Support My Blog

Monday, December 26, 2022

TERNAKAN PUYUH PEDAGING (Part 3)

BURONG PUYOH PEDAGING
 (Cortunix japonica) atau Quail (English) merupakan sejenis burung yang boleh diternak. Burung ini merupakan satu jenis burung yang menghasilkan daging puyoh. Burung ini merupakan satu industri yang berpotensi untuk diceburi oleh mereka yang berminat dalam projek ternakan burung. Pengeluaran daging puyoh di Malaysia sebanyak 3,260 metrik tan pada tahun 2013 dan pengeluaaran telur puyoh pula direkodkan sebanyak 1,760 mt pada tahun yang sama. Kajian JPV juga mendapati kadar penggunaan daging puyoh sebanyak 0.104 kg seorang setahun dan penggunaan telur puyoh sebanyak 0.063 kg pada tahun 2013. Rekod JPV juga ada menunjukkan terdapat seramai 82 orang penternak burung puyoh daging dan 22 orang penternak puyoh telur di Malaysia. Kebanyakan penternak berada di sekitar Melaka, Selangor, Perak dan Johor. Negeri-negeri lain agak kurang bilangan penternak puyoh. Kajian juga mendapati terdapat 12 usahawan atau syarikat yang mengeluarkan dan menjual anak puyoh daging dan seorang pengeluar telur baka. Ada kepercayaan orang ramai menyatakan telur dan daging burung puyoh mengendungi kolesterol yang tinggi tetapi kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Verterinar menyatakan sebaliknya. Daging puyoh mendapat permintaan yang tinggi dar semasa kesemasa dan mengandungi kandungan lemak yang rendah. Hidangan daging puyoh goreng ada dijial di Pasar Tani, Pasar Malam, Restoren, Hotel-hotel dan banyak lokasi lagi. Lazimnya daging puyoh berempah akan dijual RM 4.00 - RM5.00 seekor bergantung kepada saiz dan premis jualan. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ternakan burung puyoh daging dalam 3 siri untuk dijadikan bahan bacaan dan bahan rujukan pembaca blog ini semua. 

Amalan pengurusan penternakan burung puyoh yang baik (Good Animal Husbandry Practices - GAHP) perlu dilakukan oleh usahawan. 
Cara penternakan yang diamalkan sekarang jauh dari yang dikehendaki untuk memenuhi keperluan pelanggan masakini. Penternak juga harus menitikberatkan sistem pemeliharaan yang disyorkan bagi menjamin kehendak pelanggan (pengeluaran hasil yang bersih) dan pulangan keuntungan yang optimum. Mengamalkan GAHP meningkatkan keyakinan keatas kebersihan dan keselamatan makanan dan ini dapat meningkatkan perniagaan luar dan dalam negeri. Ternakan burung puyoh perlukan rumah dimana perumahan bagi penternakan puyuh pedaging mementingkan keselesaan dari alam sekitar dan keselamatan dari pemangsa. Puyuh amat sensitif keatas kedua perkara tersebut. Dimensi bangsal terpulang kepada sais penternakan yang hendak dijalankan. Beberapa perkara harus dipatuhi untuk menjamin pengeluaran yang maksimum seperti menentukan paksi panjang mengikut arah timur dan barat. Ini menentukan cahaya matahari tidak banyak dapat memasuki bangsal yang boleh mengakibatkan kenaikan suhu didalam bangsal. Jarak antara bangsal hendaklah jangan kurang dari 15.38 meter untuk menjaga dari perebakan penyakit dari bangsal kebangsal. Tentukan kedudukan bangsal tidak dihalangi oleh pokok pokok besar atau bangunan yang boleh menghalang peredaran udara yang sempurna. Elakan kawasan yang lembab. Lebar bangsal dihadkan sehingga 12.3 meter sahaja. Panjang bangsal bergantung kepada kontour tanah dan sistem peralatan yang digunakan. Gunakan atap bangsal diperbuat dari aluminium. Tepi bangsal perlu ditutup dengan dawai atau setaraf untuk mencegah kemasukan burung atau pemangsa. Lantai bangsal mesti disimen untuk kebersihan dan kesenangan pengurusan. Sistem peparitan sekeliling bangsal perlu ada untuk mengalirkan air dari hujan ke parit besar. 

Aktiviti p
embersihan bangsal mesti dilakukan setelah tamat pemeliharaan sekumpulan puyuh maka kebersihan bangsal perlu dijalankan dengan segera. Ini adalah untuk menjamin bangsal bersih dari kekotoran dan kuman serta virus penyakit untuk kumpulan puyuh seterusnya. Program kebersihan bangsal adalah seperti mengeluarkan sampah sarap lama dan najis dan juga mengeluarkan dan mencuci peralatan makanan. Pastikan sentiasa bersih bekas minuman dan servis bekas minuman otomatik. Lakukan semburan racun serangga termasuk kawasan bumbung. Gunakan bancuran mengikut syor dan peraturan pembekal. Pembasuhan bangsal dengan menggunakan air. Pengunaan 'High pressure sprayer' amat digalakan. Lakukan semburan racun pembasmi kuman. Gunakan bancuhan mengikut syor dan peraturan pembekal. Bagi tujuan persiapan penerimaan anak puyuh , pastikan disekeliling bangsal perlu ditutup dengan 'polyethelene sheets' bagi mengelakan kemasukan angin sejuk dari luar. Hanya 3/4 ketinggian tepi bangsal yang perlu ditutup. Ketaman kayu atau bahan setaraf yang boleh menyerap air dan selamat digunakan setebal 7.6 sentimeter hendaklah dialaskan keatas lantai. Kebanyakan peralatan ternakan puyuh adalah sama dengan peralatan ternakan ayam . Bulatan untuk perindukan 1,000 ekor anak puyuh serta peralatan perindukan hendaklah disediakan sebelum ketibaan anak puyuh. Bagi sistem menggunakan kotak khas, sekeliling bangsal perlu juga ditutup. Gunakan kertas dari jenis ' corrugated paper ' untuk dijadikan alas lantai didalam kotak. Tempatkan lebihkurang 100 ekor anak puyuh untuk perindukan bagi setiap petak. Sediakan air dan makanan sebelum kemasukan anak puyuh. Apa pun proses perindukan anak puyuh perlu dimasukkan kedalam bangsal sebaik sahaja sampai di ladang. Penangguhan akan menyebabkan anak puyuh menjadi lemah dan mengakibatkan kematian yang tinggi. Pengurusan perindukan amatlah penting kerana kegagalan memenuhi kehendak anak puyuh mengakibatkan peratus kematian yang tinggi dan kadar pembesaran yang terencat. Perindukan adalah pemeliharaan anak puyuh dengan menjaga keperluan suhu dan peredaran serta pengudaraan yang sempurna. Keperluan suhu yang sesuai adalah 35 - 36 C pada 3 hari pertama. Selepas itu suhu didalam bilik boleh dikurangkan mengikut keadaan hari. Pemberian haba tamat pada hari ke 10. Pengurusan yang paling baik adalah dengan mengikut keperluan anak puyuh dan keadaan cuaca pada hari berkenaan. Suhu yang rendah mengakibatkan kematian puyuh kerana bertindih. Manakala suhu yang terlalu tinggi akan menyebabkan kematian kerana tekanan kepanasan. Tempoh perindukan adalah 10 ke 14 hari. Air bersih hendaklah diberikan setiap hari. Guli-guli kaca ditempatkan didalam bekas minuman bagi mengelakkan anak puyuh mati lemas. Bekas minuman dan guli-guli perlu dibersihkan setiap hari. Pemberian makanan dilakukan setiap hari. Tentukan jumlah makanan yang diisikan kedalam bekas mencukupi dan tidak membazir. Tentukan hanya makanan yang bersih diberikan. Anak-anak puyuh yang mati mesti dikeluarkan setiap hari dan dibuang. Pemberian antibiotik boleh diberikan mengikut keadaan. Pengusaha dinasihatkan berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mendapatkan nasihat penggunaan ubatan.

Peringkat p
embesaran puyoh berlaku selepas sahaja peringkat perindukan dimana didalam sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, kepongan dibuka dan puyuh dibiarkan membesar diatas lantai sampah sarap. Sampah sarap setebal 7.62 - 12.7 cm perlu diberikan di kawasan khusus pemeliharaan. Gunakan bekas minuman otomatik kepada puyuh. Tentukan paras bekas minuman rendah dan dapat diminum oleh semua puyuh. Paras air didalam takongan bekas minuman automatik perlu juga keparas yang dapat diminum oleh puyuh. Bekas minuman perlu dicuci selalu. Pemberian air bersih hendaklah diberikan untuk menjaga kesihatan puyuh. Bekas makanan gantung digunakan selepas perindukan dengan kadar satu bekas untuk 100 ekor puyuh. Jumlah makanan yang diisi tidak perlu penuh kerana jumlah tabongan makanan didalamnya adalah besar. Adalah penting makanan yang segar diberi setiap hari. Gantungkan bekas makanan keparas yang dapat dimakan puyuh. Bagi pemeliharaan didalam kotak khas, selepas perindukan, tutupan diatas kotak perlu dibuka. Alas kertas hendaklah dibuang dan puyuh dipelihara diatas lantai kotak. Air minuman disyorkan dengan menggunakan bekas minuman air untuk 80 ekor ( satu petak ). Palung makanan hendaklah digantung disebelah luar untuk kemudahan pemberian makanan. Amalan pengurusan lain adalah dimana puyuh yang mati perlu dikeluarkan setiap hari dan dimusnahkan. Elakkan gangguan dari ternakan lain dikawasan penternakan puyuh dan kemasukan orang yang tidak berkenaan ke dalam bangsal. Pastikan memeriksa dan membenteras penyakit yang paling berkesan adalah dengan pengawalan. Menjaga kebersihan kawasan dan bangsal perlu sentiasa diberi tumpuan. Jika berlaku penyakit, pengusaha dinasihatkan untuk berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan atau Doktor Veterinar untuk mendapatkan nasihat. Apabila menggunakan ubatan, pemberian hendaklah mengikut kadar yang disyorkan. Pengusaha perlu menjaga keperluan kegunaan ubatan termasuk 'withdrawal period' sebelum puyuh diproses. Penangkapan burung puyuh untuk diproses dijalankan apabila umur puyuh telah mencapai umur jual maka puyuh hendaklah ditangkap dan dimuatkan kedalam bakul untuk penghantaran ketempat pemprosesan. Penangkapan perlu dijalankan dengan baik untuk mengelakkan kecederaan puyuh. Puyuh-puyuh sebelum disembelih diberhentikan pemberian makanan sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ditangkap.Cara ini bukan sahaja menjimatkan kos makanan tetapi menjamin pemprosesan yang bersih dari sisa makanan dan najis. Penangkapan hendaklah dijalankan dengan cepat dan elakkan puyuh terperanjat. Gunakan penghalang untuk memudahkan pekerjaan. Elakkan dari menendang dan membaling puyuh. Tangkap puyuh secukupnya dan dipegang dibahagian kaki puyuh. Muatkan kedalam bakul dengan memasuki kepala dahulu. Masukan secukupnya bilangan puyuh kedalam bakul dan elakkan dari kesesakan. Sebaiknya bagi mendapatkan pulangan optima, aktiviti pemprosesan puyuh perlu dijalankan. Puyuh yang telah sampai ketempat pemprosesan perlu diproses secepat mungkin. Bakul-bakul puyuh hendaklah ditempatkan didalam kawasan khas yang disediakan untuk pemunggahan. Kebersihan perlu dijaga semasa melakukan penyembelihan. Keadah penyembelihan mengikut kehendak hukum Islam perlu dilaksanakan. Teknik penceluran dan pembuangan bulu dijalankan dengan baiknya untuk mengelakkan berlaku kerosakan keatas karkas seperti patah kaki, koyak kulit atau hancur. Tentukan pembuangan isiperut dilakukan dengan sempurna sehingga bersih. Paru-paru mesti dikeluarkan. Puyuh yang siap diproses hendaklah dibasuh dengan sebersihnya dan disejukkan sebelum dibungkus. Tentukan keadaan kawasan sentiasa berada dalam keadaan bersih. Puyuh-puyuh yang telah siap dibungkus hendaklah disimpan kedalam peti sejuk untuk dijualkan. Rekod ladang dalam pemeliharaan adalah penting bagi pengusaha untuk menganalisakan kejayaan atau kegagalan penternakan. Rekod membantu pengusaha mengenal pasti kelemahan pengurusan dan tindakan serta merta boleh diambil apabila mendapati masalah. Daging puyoh berempah memang enak dimakan dengan nasi atau semasa ia penas lagi. Selamat menternak buong puyoh daging. Artikel ini ditulis dalam 3 segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 yang perlu dibaca semua. Semuga artikel ini memberi faedah kepada pembaca semua. Wasallam!.
MENTERNAK PUYOH... ADA RAHSIA...
TEMPAT SUNYI.... IA AMAT SUKA...
PUYOH DISEMBELIK..DIBEKUKAN DIA...
GORENG BEREMPAH .. ADUH ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Puyoh,
Kg Paya Redan, Pagoh,
Muar, Johor,
Malaysia.
(1 Safar 1436H),
Kemaskini pada 1 Jamadilakhir 1444H
Bersamaan 25 Disember 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...