Support My Blog

Thursday, December 29, 2022

CANTUMAN DEWASA DURIAN - TEKNIKNYA

CANTUMAN DEWASA DURIAN 
(Durio zibethinus) kini semakin diperkatakan oleh ramai petani dan dikalangan ramai ahli pengembangan pertanian serta para penyelidik. Ianya disebabkan oleh program pemulihan semula tanaman buah-buahan oleh Kementerian Pertanian Malaysia melibatkan peruntukkan sebanyak RM 29 juta oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini (Sumber : Lamanweb MOA). Beberapa jenis tanaman buah-buahan terpilih seperti Durian, Rambutan, Manggis, Nangka, Cempedak, Dokong/ Duku, Limau dan sebagainya akan dipulihkan dengan kadar maksima peruntukkan sebanyak RM 6,000 sehektar untuk beberapa tahun bergantung kepada kelayakan dan kelulusan oleh peringkat Jawatankuasa Pelaksana di Peringkat Negeri dan Daerah. Seluas lebih daripada 4,400 hektar kawasan dusun dijangka akan dapat dipulihkan dalam program ini diseluruh negara. Diantara tanaman paling popular adalah tanam durian. Pemulihan tanaman durian akan dilakukan dengan cara penanaman semula, penggantian pokok lama durian tidak berklon kepada varieti baru yang disyorkan dan penggantian pokok durian dengan tanaman buah-buahan lain yang lebih menguntungkan. Salah satu daripada cara untuk memulihkan tanaman durian adalah dengan membuat cantuman dewasa pokok durian atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'Rejuvelinization' pokok dengan varieti baru. Tidak banyak penulisan dan laporan mengenai teknik-teknik yang jelas mengenai teknologi cantuman dewasa dikupas dalam lamanweb atau buku percetakan. Beberapa petani yang menanam durian secara komersial (Khususnya petani Cina) di Raub, Pagoh, Kelantan dan Pulau Pinang telah menjalankan aktiviti cantuman dewasa semenjak 15 - 20 tahun dahulu. Sebenarnya terdapat beberapa teknik cantuman dewasa yang boleh dijalankan mengikut kesesuaian lokasi, umur pokok, teknik, kemahiran pencantum dan kedapatan teknologi. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa teknik cantuman dewasa durian untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda semua.

Teknik Cantuman Dewasa Durian secara asasnya boleh dibahagikan kepada dua cara. Kaedah Pertama adalah Teknik Pembentukkan Semula Tunas Penanti  dan Kedua adalah dengan Teknik Tanpa Pembentukkan Semula Tunas Penanti. Pemilihan teknik ini bergantung kepada banyak faktur seperti umur pokok durian, tahap kesuburan, ketinggian pokok, klon sedia ada, cuaca, kepakaran pencantum, sumber mata tunas, kesediaan pokok penanti (tunas) dan sebagainya. Mungkin akan timbul 'RASA SAYANG' oleh pemilik pokok durian yang masih berbuah dengan kualiti yang sederhana atau 'agak baik' seperti beberapa jenis 'durian kampong'. Agaknya pegawai pengembangan akan merasa agak sukar untuk meyakinkan petani tradisional yang masih belum cukup faham atau tidak mahu pokok yang ditanam oleh datuk atau moyangnya diusik untuk menjalankan aktiviti cantuman dewasa. Ini terutama apabila dimaklumkan akan dilakukan beberapa penebangan atau cantasan major yang menjadikan pokok durian yang setiap tahun berbuah akan tidak mengeluarkan buah atau terjejas jumlah pengeluarannya. Bagaimana pun bagi petani komersil yang menanam durian secara monokrop didapati amat responsif dengan aktiviti cantuman durian terutama penggantian klon durian kampong atau klon lama kepada varieti komersil seperti Durian D197 (Varieti Raja Kunyit atau Musang King) dan Durian D168 (Varieti Hajah Hasmah). Kedua-dua varieti kini mendapat harga pasaran yang baik dikalangan penjual dan peminat durian. Varieti Raja Kunyit atau Musang King kini merupakan varieti yang mampu diekspot keluar negara dengan teknologi yang betul. 


Teknik Cantuman Pembentukan semula Tunas Penanti ini boleh dijalankan melalui 3 cara iaitu Kaedah 'Pollarding', Kaedah Tunggul dan Kaedah Kelaran. Pemilihan antara 3 kaedah tersebut juga amat penting ditentukan kerana ia melibatkan kejayaan proses cantuman dewasa yang dipilih. Terdapat beberapa kaedah yang sesuai disatu kawasan tetapi apabila dilakukan dikawasan atau kebun atau pokok lain ianya tidak berjaya dengan baik. Penelitian dan bimbingan daripada orang yang mahir dan pakar dalam bidang ini sangat perlu diperolehi disamping komitment tinggi daripada pemilik kebuh itu sendiri. Kursus teknikal daripada persiapan awal sebelum membuat cantuman dewasa sehinga aktiviti menyediakan kayu sokong untuk pokok cantuman berbuah perlu diperolehi melalui latihan atau kursus secara teori dan 'hands-on'. Walau pun kini saya kaji tidak ramai pencantum dewasa pokok durian yang 'MAHIR' dan pakar, tetapi ada beberapa individu yang mampu membuat cantuman dewasa durian dengan kadar upah 'siap jadi' sekitar RM 150.00 sepokok. Kalay satu hektar ada 60 pokok, maknanya jika semuanya dicantum (secara berperingkat2) sudah tentu ia memerlukan kos mencantum dewasa pokok durian sebanyak RM 9,000 sehektar. Ini belum lagi dimasukan kos pembajaan, kawalan serangga dan perosak, pemasangan kayu sokong dan sebagainya. Kalau begitu nampaknya amat senang hendak membuat cantuman dewasa tetapi saya dapati ianya memerlukan perancangan rapi, teknologi yang sesuai dan komitment daripada semua pihak untuk menggantikan pokok durian yang tidak produktif dari varieti kurang baik kepada varieti yang disyorkan.


Kaedah Pollarding 
adalah dimana pokok durian tua yang tidak ekonomik perlu ditebang dengan meninggalkan satu (1) dahan sahaja mengikut kesesuaian (Sila lihat foto sebelah). Rawatan asas sebelum membuat pollarding adalah dengan memberikan baja, air dan kawalan penyakit paling optima agar ia meningkatkan lagi peratus kejayaan. Setelah pollarding, akan keluar beberapa tampok tunas dari batangnya untuk dilaksanakan aktiviti cantuman dewasa. Cara mencantum pula boleh dilakukan dengan kaedah Kaedah Cantuman Mata Tunas atau juga boleh dilakukan dengan Kaedah Sandingan. Kajian penulis mendapati kaedah cantuman secara sandingan adalah cara terbaik dari segi kejayaan berbanding dengan kaedah lain. Dalam kaedah cantuman mata tunas terus pada tunas yang ada pada batang pokok secara pollarding, paling utama adalah menyediakan mata tunas berkualiti (Varieti disyorkan) dengan scion diambil daripada petak tapak nurseri atau pokok durian sedia ada dikebun yang dikenalpasti. Hanya dahan yang matang pada Phase 2 sahaja disyorkan kerana mempunyai jumlah 'mata' tunas yang banyak, subur dan sihat. Cara mencantum sama seperti kaedah cantuman mata tunas pada pokok penanti durian daripada biji dalam polibeg. Bagi Kaedah Sanding pula pastikan pokok dari varieti disyorkan yang disediakan dinurseri sesuai untuk dicantum sanding dengan tunas yang keluar selepas pollarding. Pastikan saiz dan umur mata tunas dengan tunas penanti mempunyai kambium sama atau serasi. 

Kaedah seterusnya adalah Kaedah Tunggul dimana ia 
adalah teknik penyediaan mata tunas pokok durian dengan memotong batang pokok durian sehingga kelihatan seperti 'Tunggul Pokok' sahaja. Persiapan awal sebelum penebangan atau potong batang pokok adalah dengan memilih pokok durian yang sesuai dan pastikan diberikan naja cukup agar pokok subur. Cara potong batang pokok durian menggunakan gergaji mesn dengan memotong pada kecerunab sekitar 25-30 darjah untuk elakkan serangan kulat jika air bertakung. Kemaskan semua dahan yang dipotong dan biarkan tunggul terdedah kepada cahaya matahari. Sapukan cat atau bahan kimia lain yang sesuai diatas permukaan potongan batang durian. Biarkan selama 2.5 -3 3 bulan untuk membenarkan tompok tunas keluar dari batang. Tinggalkan sebanyak 3 tompok tunas dengan setiap tompok dipelihara hanya satu tunas naik dan buang yang lainnya. Sentiasa membuat pemeriksaan tunas yang naik agar ia sihat dan naik sehingga sempurna untuk dibuat cantuman mata tunas atau dibuat cantuman sandningan. Apabila saiz dan umur sesuai maka laksanakan proses cantuman dewasa dengan kemahiran sedia ada. Kejayaan teknik ini amat memuaskan dengan kadar kejayaan antara 60 - 80% bergantung kepada banyak faktur penentu.

Seterusnya adalah Kaedah Kelaran dimana ia merupakan  teknik menyediakan pembentukkan semula tunas cantuman dewasa durian dengan membuat kelaran pada batang pokok durian. Pilih pokok durian yang sesuai untuk dibuat kelaran. Mula-mula tandakan pada batang pokok durian yang hendak dikelar dengan parang tajam, pahat dan juga parang. Lebar kelaran bergantung kepada saiz pokok dan juga umur pokok (Sila lihat foto sebelah). Kelaran dibuat dengan menggunakan pahat dan parang atau kapak kecil sehingga nampak kayu tengah batang berwarna keputihan. Tinggalkan sekitar 1/8 bahagian tidak di kelar untuk membenarkan kulit masih melekat bagi membenarkan pengaliran makanan keseluruh bahagian pokok durian. Setelah biarkan selama 3 bulan untuk mrmbrnarkan tompok-tompok tunas keluar dari bahagian bawah kelaran tersebut. Pilih 3 tompok mata tunas dan pelihara 2 tunas untuk dijalankan cantuman mata tunas atau dibuat cantuman sandingan. Kaedah ini mampu memberikan kejayaan diantara 40 - 60% kejayaan untuk menyediakan mata tunas bagi tujuan cantuman. Pokok asal akan dibuang apabula cantuman dewasa berjaya secara berperingkat-peringkat. Semuga tulisan artikel ini memberi info berguna kepada semu apembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
POKOK DURIAN...SUDAH TUA....

HASIL RENDAH... ISI KETAWA...
CANTUM BARU...CARA DEWASA...
PERLU DIBUAT...PETANI SEMUA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Jamu Rias,
Karak, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(29 Januari 2014)
Hasil Perbincangan teknologi cantuman dewasa durian.
Kemaskini pada 28 Disember 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...