Support My Blog

Tuesday, January 8, 2013

MACADAMIA NUT

MACADAMIA NUT (Macadamia intergrifolia atau Macadamia tetraphylla) merupakan sejenis buah-buahan temperate (nuts) dari keluarga Proteaceae yang kurang kita di Malaysia kenali. Mungkin nama yang sesuai untuk kita panggil adalah Kacang Macademia (Macademia nuts). Kacang ini banyak di gunakan dalam pelbagai produk makanan dan juga ekstrak pati minyak dalam industri komestik. Ia banyak tumbuh dan berasal dari kawasan sepanjang pantai timur di Australia (latitude 25 - 32 darjah selatan). Pengeluaran macademia dunia sekitar 26,700 metrik tan pada 2010 dimana Australia merupakan pengeluar utama dengan keluasan melebihi 16,000 hektar diikuti dengan Afrika Selatan seluas 12,000 hektar dan Hawai. Tiga negara tersebut menguasai sebanyak 70 - 80% pengeluaran macadenia dunia. Negara lain yang ada menanam dan mengeluarkan macademia adalah Kenya, Malawi dan Guatemala. Kita di Malaysia mengimpot banyak produk kacang macademia untuk industri makanan dan sebagainya. Artikel subuh Insin ini saya menulis dalam "Anim Agro Tehnology" satu lagi buah-buahan temperate dikenali sebagai kacang macademia yang saya rujuk dari buku "Temperate and sub-tropical fruit" terbitan CABI (2011) untuk bacaan, rujukkan dan pengetahuan pembaca blog ini.


Pokok macademia adalah jenis pokok saka dengan ketinggian antara 10 -15 meter (Lihat foto sebelah). Pokok ini mempunyai batang kukuh dengan bentuk merimbun dan dahan yang banyak. Daunnya berwarna hijau tumbuh dengan lebatd dengn 3-4 helai daun terbit pada pangkal ruas ranting. Daunnya mempunyai bentuk seperti berkerinting (whorl) dan setiap daun mempunyai siri 'auxilary buds'.  Bunganya berbentuk jambak panjang (spike) yang panjang antara 10 - 20 cm mengandungi sebanyak 75 - 400 bunga setangkai pada jambak yang berwarna putih krim (Lihat foto bunga dibawah).  Buah macademia adalah jenis buah kekacang dengan kulit keras berwarna hijau ketika muda dan menjadi coklat apabila matang (Lihat foto diatas dan bawah sekali). Didalam kulit keras macedemia bila dibuka mengandungi biji yang berwarna krim susu dengan ukuran 1.5 - 2.5 cm garispusat yang mengandungi minyak pati yang amat tinggi. Laporan saintis menyatakan kandungan minyak mencecah sehingga 72% apabila diproses.


Pokok ini mempunyai jenis seksual sebagai Hermaoridite dengan kemampuan untuk melakukan pendebungaan sendiri (Lihat foto bunga disebelah). Lebah madu juga didapati membantu didalam proses pendebungaan pokok macademia ini. Bunga akan keluar lazimnya pada musim bunga (spring flush) dan pada pertengahan musim panas banyak bunga terhasil. Rekod di Australia mendapati buah macademia akan matang pada pertengahan musim sejuk. Pokok ini sesuai tumbuh dikawasan sub-tropika, dimana jika suhu melebihi 35 celcius mengganggu pembungaan dan pembesaran buah. Pokok ini toleran dengan suhu sejuk sehingga -6 celcius tetapi jika saiz pokok kecil, ia hanya tahan pada suhu - 3 celsius. Keperluan taburan hujan adalah diantara 1,000 - 2,200 mm setahun. Tanaman ini memerlukan bekalan pengairan terutama pada musim kemarau. Sistem pengakaran akarnya yang tidak kuat menyebabkan pokok boleh tumbang jika ditiup angin kuat dan perlukan pelindung angin. Tanah dengan kedalaman lebih 1 meter sesuai ditanam dengan pH tanah antara 8.0 - 7.0.  Bagaimana pun ia kurang sesuai pada tanah masin (saline soils). Program pembajaan dijalankan sebanyak 3 - 4 kali setahun dengan kadar baja 5 kg/pokok pada pokok berumur 10 tahun keatas. Pemberian baja N berlebihan akan menyebabkan pokok gila daun dan ini akan mengurangkan bilangan bunga dan buah.


Penanaman macademia menggunakan bahan anakbenih semaian daripada biji yang telah dipilih. Semai didalam pasir sebelum ianya dipindahkan kedalam polibeg semaian (Lihat foto sebelah - anak semaian). Jika perlu boleh dibuat cantuman pada pokok penanti dengan varieti yang produktif. Jarak penanaman adalah 4.5 meter antara barisan dan 2.3 meter dalam barisan pokok. Bagaimana pun apabila pokok mencapai umur 10 - 15 tahun, ia akan dibuat penebangan untuk penjarangan pokok. Cantasan pembentukkan adalah sangat penting dibuat dari peringkat awal untuk mendapat bentuk kanopi pokok yang seimbang sistem percabangannya. Oleh kerana pokok ini besar, cantasan penjagaan perlu diteruskan untuk memberikan cahaya matahari yang optima, meningkatkan pengedaran udara dan mengurangkan kadar serangan perosak serta memudahkan aktiviti menuai hasil.


Pokok macademia akan matang dan mula dituai selepas 5 - 12 tahun ditanam. Ini kerana ia bergantung kepada pengurusan tanaman dan keadaan lokasi sesuatu kawasan penanaman. Penghasilan optima terbanyak apabila pokok berumur 10 - 15 tahun selepas ditanam. Buah yang telah masak akan berwarna coklat gelap dan boleh dipetik menggunakan tangan. Teknologi menuai hasil  di Australia telah canggih dimana mereka meggunakan jentera dengan mengumpul (menyedut) buah macademia yang telah gugur. Anggaran hasil macademia yang telah direkodkan adalah lingkungan 30 - 70 kg/hektar untuk pokok berumur 10 - 12 tahun. Kita mungkin merupakan negara yang mengimpot produk berasaskan macademia dalam pelbagai bentuk untuk kegunaan harian tanpa disedari. Bagi melihat buah macademia ini, mari kita lihat foto dibawah yang saya ambil dari google untuk kita kenal dimana yang atas sekali adalah isi yang telah dikopek, ditengah buah muda dan buah masak dan dibawah skali buah dipecahkan. Wasallam!



BUAH MACADEMIA... KACANG BENTUKNYA...
BANYAK DIAUSTRALIA...AFRIKA SELATAN JUGA...
KULIT TEBAL ... WARNA KRIM DALAMNYA...
DITANAM MELUAS ...LUMAYAN HASILNYA...
PELBAGAI GUNA... PASTI LAZAT RASANYA...
TELAH KENAL DIA ... BILA MELAWATNYA....

By,
M Anem
Taman Cendana 
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(24 Safar 1434H)


Monday, January 7, 2013

HAZELNUTS

HAZELNUTS (Corylus avellana) merupakan nama sejenis buah yang kita di Malaysia selalu dengar ujud dalam Coklat yang kita beli di Langkawi Pulau Bebas Cukai. Dalam bahasa Inggeris Hazelnuts ini juga dipanggil sebagai Filberts, Cobnuts dan Barcelona Nuts. Terdapat dua jenis hazelnut yang popular iaitu European Hazelnut (Corylus avellana), European filbert (Corylus maxima), American filbert (Corylus americana) dan Turkish Filbert (Corylus colurna). Banyak kultivar yang mengabungkan kedua-dua spesis tersebut dan beberapa spesis lain. Saya membaca beberapa buku termasuk buku bertajuk 'Temperate and subtropical fruit production" terbitan CABI (2011) untuk rujukan. Pokok hazelnut adalah pokok jenis deciduous dengan ketinggian pokok 4 - 5 meter dan lebar kanopi sekitar 4 -5 meter garispusat. Ia dikelaskan sebagai pokok yang Monoceous dan dichogamous maknanya bunga jantan terbuka dahulu baru diikuti dengan bunga betina. Proses pendebungaan oleh angin dimana bunga jantan terbuka dan keluarkan debunga pada awal musim sejuk dan bunga betina pada pertengahan musim sejuk hingga musim bunga. Artikel malam Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sejenis tanaman temperate iaitu pokok hazelnut untuk dijadikan bahan bacaan anda semua.


Pengeluaran hazelnut seluruh dunia dianggarkan sebanyak 816,500 metrik tan pada tahun 2010. Daripada 15 spesis yang ada, didapati spesis C. avellana dan C. maxima palin banyak di usahakan secara komersil. Negara Turki sahaja telah menghasilkan 70% daripada pengeluaran hazelnut dunia (itu negara Islam). Walau pun pengeluaran hazelnut daripada Turki telah menurun dengan banyaknya daripada sebanyak 434,000 (1996) kepada hanya 310,000 (2010) ianya telah ditampong dengan pengeluaran daripada negara-negara lain. USA, Sepanyol, Iran, Georgia, China dan Azerbaijan adalah antara negara yang menanam dan mengeluarkan hazelnut. Anggaran hasil di Turki sekitar 0.9 - 1.2 metrik tan sehektar. Hazelnut adalah kaya dengan lemak tidak tepu (80%), rendah minyak tepu (5%), Vitamin E (56 mg/100 g) dan Protein (16%). Saya memang suka makan aiskerim yang ada hazelnut didalamnya. Kacang hazelnut ini juga di buat kek, pie, coklat dan minyak patinya sangat bernilai.


Pokok hazelnut memerlukan iklim temperate dimana pokok ini tahan pada keadaan salji -5 darjah celsius. Tanaman ini perlukan banyak air untuk menghasilkan bunga dan buah. Keadaan tanah lembap pokok sederhana sesuai tetapi jika kemarau pokok tidak berapa toleran. Tanaman ini tidak tahan dengan iupan angin kencang dan sebaiknya ditanam dikawasan terlindung atau dibawah keadaan terlindung (Sheltered condition). Kawasan tanah rata atau sedikit beralun sesuai untuk tanaman ini bagi tujuan pengurusan dan juga aktiviti menuai hasil. Tumbuhan ini mempunyai sistem pengakaran cetek dan ianya boleh tumbuh subur dalam keadaan tanah cetek sama ada jenis tanah liat atau sebaiknya tanah liat berpasir. Tanah dengan pH 6.0 paling ideal untuk pokok hazelnut. Pembajaan dengan baja N,P dan K dijalankan mengikut syor dengan dibuat analisa daun setiap 2-3 tahun sekali. Kekurangan unsur Boron sering menjejaskan prestasi pertumbuhan pokok. 


Pembiakan tanaman hazelnut idjalankan dengan cantuman dari biji benih kultivar terpilih. Pokok penanti boleh menggunakan jenis C. avellana atau C. maxima tetapi perlu dilihat kesesuaiannya dengan baka yang hendak dicantum. Kaedah bahan tanaman daripada keratan batang dan keratan akar didapati kurang berjaya diamalkan. jarak penanaman yang disyorkan adalah 4.5 meter x 4.5 meter. Terdapat juga petani yang menanam padat dengan jarak tanaman 3.6 meter x 2.4 meter dilokasi yang sesuai. Pokok yang ditanam rapat ini kemudian dibuang mengikut umur dan saiz pokok. Pertumbuhan pokok perlu dibuat cantasan pembentukkan agar ianya terbuka tengah (open centered). Cantasan ini merupakan aktiviti penting dibuat untuk memberikan pengedaran udara sempurna, memberikan cahaya matahari kebahagian bawah dan menggalakkan pengeluaran dahan yang aka  berbunga.  Penjarangan pokok  tidak perlu dibuat apabila pokok dewasa. 


Kawalan rumpai adalah perlu dilakukan untuk kawasan diantara barisan. Kawalan menggunakan racun rumpai atau jentera pemotong rumput. Kebersihan dibawah pokok daripada rumput , kayu , kekotoran dan daun yang gugur perlu dibuat jika aktiviti penuaian dijalankan menggunakan jentera (Lihat foto ebelah). Kegagalan kita membuat pembersihan akan menyusah aktiviti mengutip biji hazelnut dengan trekter. Pokok hazelnut mula menuai hasil 4 -5 bulan selepas menanam dimana ini bergantung kepada faktur pengurusan tanaman. Pengeluaran hasil optima paling banyak pada pokok berumur 4 - 5 tahun selepas ditanam. Jika ditanam menggunakan anak benih cantuman, pokok hazel mampu mengeluarkan hasil produktif selama 40. Kaedah mengutip hasil adlah secara manual dengan tangan (Turki), menggunakan jentera pengutip biji buah atau menggunakab mesin hampagas (USA).  Kadar penghasilan hazelnut sebanyak 2 kg sepokok (5 tahun) meningkat kepada 4 kg /pokok (8 tahun) dan 3.5 metric ton  apabila dewasa.  


Kek enak dengan hazelnut diatasnya.

BUAH HAZELNUT ... POPULAR NAMANYA...
NEGARA SEJUK... TEMPAT KELUARNYA...
DIDALAM COKLAT ... LAZAT RASANYA...
AISKRIM DAN KEK ... AMBOI ENAKNYA..

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(24 Safar 1434H)


Sunday, January 6, 2013

HALWA ROSEL

HALWA ROSEL (Hibiscus sabdariffa) merupakan satu produk yang dihasilkan daripada pemprosesan bunga rosel. Rosel merupakan sejenis tanaman renek yang sesuai ditanam di Malaysia untuk dijadikan jus minuman, kordial, sirap, halwa dan juga bijinya boleh diekstrak untuk mendapatkan minyak patinya. Saya telah merupakan pengasas dan juga sangat berpengalaman memberi perkhimatan teknikal penanaman rosel semenjak tahun 1997 lagi ketika bertugas di Mersing. Saya telah memperkenalkannya kepada petani disana sehingga tanaman tersebut masih diusahakan sampai sekarang. Rosel varieti UMKL merupakan varieti yang paling luas ditanam kerana mempunyai kualiti bunga rosel yang baik, hasil tinggi, pokok agak tahan serangan penyakit dan kehebatannya yang cepat berbuah. Pengalaman saya masa itu mendapati,  purata pengeluaran hasil rosel sekitar 14 -18 metrik tan sehektar yang ditanam secara monokrop. Bunga rosel yang matang ini akan di petik dan dibuang bijinya (decoring) kemudian diambil bahagian Kaliks (calyx) untuk dijual atau diproses sendiri untuk dijadikan sebagai produk hiliran. Artikel malam ini saya berkongsi pengalaman saya dalam 'Anim Agro Technology' berkenaan satu produk berasaskan rosel iaitu HALWA ROSEL.


Bunga rosel yang segar yang dituai dari ladang di buang bijinya menggunakan alat khas untuk mengambil bahagian Kaliksnya  sahaja. Kaliks ini kemudian perlu dibasuh sehingga bersih dan ditoskan sebelum diproses untuk dijadikan jus, kordial atau halwa rosel. Pengalaman saya mendapati, sebanyak antara 140 - 145 kaliks mencapai berat 1 kilogram (Setelah bunga rosel dibuat decoring). Pemerhatian dikebun juga saya dapati, setiap dahan ada purata sebanyak 75 kuntuk bunga atau sebanyak purata 150 - 155 kuntum bunga sepokok. Pastikan memetik bunga rosel yang telah matang (Tidak terlebih matang) atau elakkan dari memetik bunga rosel yang masih muda. Kaliks yang hendak diproses untuk dijadikan halwa juga sebaiknya perlu dipilih dari yang berkualiti dan sesuai. Memproses halwa rosel dijalankan selepas memproses jus rosel.


Lazimnya kaliks segar sebaiknya diproses untuk menjadi sirap rosel dan produk jem atau halwa. Cara membuatnya dengan mengambil sebanyak satu (1) kilogram kaliks yang perlu dimasukkan kedalam periuk mengandungi air bersih. Pastikan kadar kuantiti air dengan gula adalah pada kadar 2:1 kandungan gula. Ini bermakna kalau anda menggunakan 4 cawan air boleh masukkan 2 cawan gula pasir. Reneh dengan api sederhana antara 10 - 15 minit mendidih sebelum ditutup apinya dan dibiarkan sejuk. Apabila sejuk, tapis untuk mengasingkan air sirap atau jus rosel dengan kaliks yang telah lembut. Sirap rosel yang terhasil ini boleh terus dibotolkan untuk diminum dan kemudian dilabel sebelum boleh dipasarkan. Kordial ini adalah asli (no additive) kerana tidak mengandungi bahan pengawet lain selain daripada gula pasir. Kordial ini mengandungi vitamin C sangat tinggi sehingga ada saintis mendakwa kandungannya 9 kali ganda lebih tinggi dari blackcurrants yang diimpot.


Proses seterusnya adalah untuk membuat halwa roselle. Kumpulkan kaliks rosel yang diasingkan dari penapis tadi kemudian buat persediaan untuk membuat produk halwa. Panaskan periok dan masukan 2 cawan air dan dua cawan gula pasir. Panaskan ia dengan api yang sederhana sehingga agak pekat dimana gula akan larut baru kita masukkan kaliks. Kacau perlahan-lahan sehingga larutan gula menjadi kering dan kemudian sejukkan. Kalau masih terlalu lembap boleh dipanaskan lagi dan kalau kuantiti banyak kita boleh keringkan menggunakan oven pada suhu rendah. Halwa rosel agak lembab dan apabila sejuk boleh dijalankan pembungkusan dan perlabelan. Saya amat suka akan halwa rosel kerana ia mempunyai rasa manis dan masam selain daripada aroma rosel yang menyegarkan. Harga jualan halwa rosel sekitar RM 4.00 - RM 5.00 satu pek (antara 180 - 200 gram). Halwa sesuai dimakan setiap masa dan paling elok ketika memandu kereta yang boleh menghilangkan rasa mengantuk.

HALWA ROSEL .... MASAM MANIS RASANYA...
EARNA MERAH .... TINGGI VITAMIN 'C' NYA....
MUDAH DI PROSES .... TINGGI KUALITINYA....
SIAPA BERMINAT... TANAM SENDIRI SEBAIKNYA...

By,
M Anem
Kg Air Tawar, Endau,
Mersing, Johor,
Malaysia
(Bekas Pengasas Tanaman Rosel di Mersing 
- 17 Muharram 1434H)


Saturday, January 5, 2013

PASAR KARAT

PASAR KARAT adalah satu lagi aktiviti pemasaran yang kini menjadi trend di negara kita. Apakah dia pasar karat?. Nama pasar karat ini dari dua patah perkataan iaitu 'PASAR' yang bermakna tempat jual beli dan 'KARAT' iaitu jualan barang-barang lama atau barang-barang antik (Besi lama selalunya karat). Pasar Karat banyak di dapati dibandar-bandar besar di seluruh dunia dan di Malaysia kita boleh persi pasar karat di bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh (Banyak Barang Antik), Kota Kinabalu dan banyak lagi bandar lain diseluruh negara. Konsep perniagaan pasar karat adalah berasaskan kepada jualan barangan terpakai, barang lama, barang antik, barang pelik, barang usangalat ganti terpakai, barang hiasan dan sebagainya. Penjual di pasar karat kebanyakannya adalah bukan sepenuh masa (Part time) sahaja dan hanya sebahagian kecil sahaja yang merupakan perniagaan tetap. Artikel malam ini saya menulis maklumat untuk dibaca mengenai pasar karat dalam 'Anim Agro Technology' berdasarkan pemerhatian dan tinjauan.  


Lokasi Pasar Karat ini kebanyakannya di kawasan tanah lapang atau kini ada yang telah masuk didalam kawasan kompleks perniagaan seperti AmCorp Shah Alam, Mid Valley dan sebagainya. Dikawasan khas ini, peniaga akan membuka bonet kereta atau van dan memasang payung serta kanvas diatas tanah untuk mempamerkan barangan yang hendak dijual. Kebanyakan penjual tidak meletakkan tanda harga kerana barang yang dijual kadang-kadang adalah barang terpakai yang tidak boleh digunakan lagi. Pembeli yang berminat kena memeriksa dan membelek barang yang diminatinya dan barulah berlaku tawar menawar mengenai harga jualan. Contohnya kipas angin meja lama yang telah rosak, berapa agaknya hendak dijual kerana pembelinya hanya mahu motor eletriknya sahaja dan suis kipas? , kena pandai tawar menawar untuk menentukan harganya. Barang antik logam lazimnya dijual dengan harga tinggi bergantung kepada usia dan tahap keantikan (antiquity) barangan tersebut. Peminat barang antik memang tidak sayang duit untuk membeli barangan tersebut. Barang lama seperti duit syiling, tembikar lama, telefon lama, radio lama, buku lama, barang letrik lama, setem lama, senjata seperti keris, pedang, senapang, pistol, parang adalah  diantara barangan yang ada dipamerkan.


Operasi pasar karat selalu dijalankan  seminggu sekali atau dua kali lazimnya pada hari Sabtu atau Hari Ahad. Pasar Karat Ipoh yang berdekatan dengan Hotel Ipoh City diadakan contohnya setiap hari Ahad dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Saya suka berjalan melihat pasar karat ditempat tersebut sebulan sekali jika ada masa lapang untuk melihat barang-barang. Ada yang mempamerkan barang jualan di dalam kereta atau di dalam bonet kereta. Mereka menjual sebagai hobi atau suka-suka sahaja setiap minggu. Kebanyakan barangan yang dijual pun ada pembeli khusus (niche market). Saya melihat ada peminat duit lama yang sedang tawar menawar dengan penjual dan mereka memang pakar mengenai duit lama tersebut. Penjual barang karat pun mungkin orang yang mempunyai hobi menyimpan duit lama yang telah lama disimpan. Menjual ada yang sepenoh masa dan ramai merupakan 'part-time job' di pasar karat dimana ini akan menambahkan lagi pendapatan mereka yang mempunyai hobi mendatangkan pendapatan tambahan.


Kini pasar karat telah mula menjadi satu daya tarikan kepada pelancong tempatan dan pelancong luarnegara. Beberapa lokasi pasar karat dilokasi strategik kini telah disenaraikan untuk dijadikan tempat lawatan kepada pelancong domestik dan juga pelancong dengan pelbagai kemudahan dan jaminan keselamatan. Siapa yang tidak kenal dengan Pasar Petaling Street di Kuala Lumpur?. Tempat ini merupakan satu lokasi dimana ramai pelancong suka mengunjunginya. Konsep pasar karat ala 'Jualan Bonet Kereta' atau 'Car boot sale' telah mula mendapat tempat dikalangan rakyat Malaysia. Pihak berkuasa dan kerajaan tempatan sepatutnya terus aktif mempromosikan dengan lebih agresif keujudan pasar karat agar lebih tersusun, tersohor dan dikunjungi oleh lebih ramai pembeli. Walau pun kebanyakkan rakyat Malaysia mampu untuk membeli barangan baru untuk kegunaan harian, keujudan pasar karat akan terus menjadi tumpuan khusus kepada mereka yang suka akan perkara tersebut.

PASAR KARAT.... DIMANA LOKASINYA...
BARANG LAMA... ANTIK JUGA ADANYA...
HARGA DI TAWAR... PUAS PEMBELINYA...
TARIKAN KHUSUS... ADA YANG DICARINYA...

By,
M Anem
Pasar Karat Ipoh,
Ipoh, Perak,
Malaysia.
(17 Muharram 1434H)

Friday, January 4, 2013

PASAR TAMU

PASAR TAMU merupakan satu aktiviti jualan produk di Sabah dan Sarawak yang popular secara tradisional semenjak dulu. Pasar Tamu berasal daripada dua perkataan iaitu 'Pasar' yang bermaksud tempat jualan dan 'Tamu' iaitu pengunjung atau pembeli yang datang untuk membeli.  Lazimnya Pasar Tamu diadakan ditapak khusus pasar tamu seperti di Pasar Tamu Gaya Street, Kota Kinabalu, Pasar Tamu Tenom, Pasar Tamu Sandakan, Pasar Tamu Sri Aman, Pasar Tamu Bekenu, Pasar Tamu Miri, Pasar Tamu Bintulu dan banyak lagi lokasi. Dari segi sejarah, asal usul pasar tamu adalah dimana golongan petani, nelayan, penternak dan penduduk tempatan akan  mempamerkan hasil tani mereka untuk dijual kepada orang ramai setiap minggu. Bergantung kepada lokasi, kekerapan pasar tamu adalah berbeza-beza antara lokasi dengan lokasi yang lain. Seperti yang saya lawat di Ranau dan banyak lokasi lain, lazimnya mereka mengadakan pasar tamu satu kali dalam seminggu dan memang sangat ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan serta pelancong. Artikel petang jumaat ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai pasar tamu berdasarkan kepada pemerhatian dan pengetahuan saya sendiri.

Pasar Tamu Bekenu, Miri
Antara ciri-ciri khusus pasar tamu adalah tempat tapak perniagaan yang khusus dan ditetapkan oleh majlis tempatan. Tapak ini asalnya merupakan tanah lapang yang meletakkan beberapa plot perniagaan kepada penjual.  Dibeberapa lokast terdapat struktur tetap disediakan tetapi ada juga yang tiada struktur tetap melainkan tapak tanah kosong sahaja dan waktu jualan daripada awal pagi sehingga hari petang sebelum malam. Terdapat juga kawasan pasar tamu berskala kecil yang berniaga sehingga tenghari sahaja. Dikalangan penjual kini ada yang membawa khemah kanvas sementara dan ada yang membawa khemah moden atau payung besar untuk teduhan. Bagi mereka yang sudah lama berniaga kadang-kadang membina pondok separa kekal beratapkan zink dan ada para khas untuk meletakan barang jualan. Terdapat juga dikalangan penjual meletakkan produk jualan diatas tanah sahaja.

Pasar Tamau di Ranau, Sabah
Diantara barangan jualan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, hasil ternakan (ayam, ikan, daging, kambing dsb), barangan dapur, produk herba, produk hutan, produk kraftani, produk industri asas tani dan sebagainya. Jualan ternakan hidup seperti kambing, kerbau dan lembu juga popular zaman dulu. Mereka akan menjalankan aktiviti tawar menawar sehingga mendapat persetujuan harga dan membelinya. Apabila waktu sudah lewat petang biasanya harga barangan akan turun disebabkan penjual tidak mahu membawa pulang produk segar mereka. Pasar tamu masih terus dikekalkan dan di pelihara oleh masyarakat Sabah sebagai satu jenis pasar yang ditambah nilai dengan aktiviti pelancongan. 


Kini pasar tamu sering dikunjungi oleh pelancong domestik dan luarnegara sebagai satu tarikan. Didalam EPP17, kerajaan telah menaiktaraf beberapa pasar tamu dengan pembinaan struktur tetap serta rekabentuk lebih moden dimana ada beberapa Pasar Tamu (di Sabah) telah dibina struktur berbumbung yang canggih dan menarik. Mengenai projek Pasar Komuniti Rakyat (PAKAR), saya terbaca berita bahawa projek ini menerima peruntukkan lebih RM 40 juta untuk menambah nilai pasar seperti ini (Pasar Tamu, Pasar Malam, Pasar Lambak dsb) kepada satu sistem pemasaran yang boleh diperbaiki kearah negara maju dimasa akan datang. Apa yang kita harapkan agar kaedah pemasaran seperti Pasar Tamu akan berterusan didalam budaya masyarakat Malaysia yang unik dan berbudaya. Wasallam!

PASAR TAMU... DI SABAH SAHAJA...
PETANI BERTEMU.... JUAL HASIL MEREKA...
TAWAR MENAWAR... ADALAH CARA BIASA...
TARIKAN PELANCING.. JUGA PENGGUNA... 

By,
M Anem
Taman Maju,
Tronoh, Perak, 
Malaysia.
(13 Muharram 1434H)  

Thursday, January 3, 2013

DOKONG - MENGAWAL KERUPING

DOKONG (Lansium domesticum Corr) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Meliaceae yang mana ia dikenalpasti sebagai mempunyai masaalah keruping batang. Tanaman ini berhadapan dengan masalah keruping kulit kayu yang menyerang batang, dahan atau pun rantingnya. Keadaan keruping boleh menjadi begitu buruk sehingga merencatkan tumbesaran pokok dimana ianya akan mengakibatkan mati rosot dan menjejaskan penghasilan sehinggakan sesetengah pengusaha mengalihkan tumpuan mereka kepada tanaman lain. Saya banyak kali berjumpa dengan petani yang menanam pokok dokong dan mengadu mengenai masaalah keruping ini pada pokok dikawasan dusun bercampur. Walau pun belum banyak laporan kajian dibentang tetapi beberapa kaedah kawalan boleh dipraktikkan untuk mengurangkan kerugian akibat keruping ini. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kawalan serangan keruping pada tanaman dokong dan tanaman lain yang serupa dengannya untuk bacaan semua.

Apa yang saya buat pemerhatian, gejala masaalah keruping boleh berlaku pada anak pokok di tapak semaian dan juga pokok di ladang. Pemerhatian saya dibeberapa lokasi di ladang mendapati, pokok dokong muda dan pokok dokong yang baru matang lebih peka (mudah) diserang berbanding dengan pokok yang sudah tua. Selalunya pada peringkat awal serangan, akan keluar bintil-bintil bulat kecil berwarna coklat muda kelihatan bertaburan di permukaan batang, dahan ataupun ranting. Pada ketika ini jika tidak dibuat pemeriksaan dikebun dengan teliti, mungkin kita tidak dapat mengecamnya. Kemudian apabila kulit kayu semakin matang, saya dapati bintil-bintil ini akan membesar dan akan menebal menjadi tompok-tompok yang lebih gelap. Seterusnya tompok-tompok ini membentuk seperti ketuat (Anda pernh lihat ketuat atau 'Kutil' dalam bahasa Jawa?) dan berkeruping. Apa yang saya lihat apabila kita kopek kulitnya, keruping ini akan tanggal,  dimana saya dapati akan mendedahkan bahagian dalam kulit batang pokok yang hijau dan sering akan jumpa sejenis ulat didalamnya. Walau bagaimanapun, kadangkala ulat tidak kelihatan apabila keruping dikopek. Batang pokok yang tidak ada keruping lazimnya akan licin sahaja.


Jika tidak dibuat aktiviti pengawalan maka, akan semakin teruk serangan dimana akan menjadi semakin tebal keruping.  Apa yang berlaku ialah bintil-bintil yang kecil tadi seterusnya akan bercantum antara satu sama lain. Seluruh permukaan batang, dahan dan ranting yang diselaputi oleh keruping akan kelihatan merekah. Kesan dari keruping ini jika diteliti boleh menyebabkan tumbesaran pokok akan terencat kerana pokok yang teruk diserang kurang berpucuk. Apa yang saya perhatikan, jika berpucuk pun maka pucuk yang keluar jadi pendek dan kelihatan berwarna kekuning-kuningan kerana tidak sihat. Ranting kecil yang teruk diserang akan menjadi kering dan mati. Ini akan menyebabkan ranting tersebut akan jadi apa yang dikatakan sebagai 'Mati Rosot'. Ranting pucuk baru juga akan diserang keruping jika tidak dijalankan pengawalan dan pemeriksaan ladang. Pada peringkat awal serangan, ulat tidak kelihatan dengan ketara. Bagi pokok dokong yang sudah matang, mungkin berlaku serangan yang teruk akan menjejaskan pembentukan bunga kerana permukaan dahan dan ranting merupakan tapak bunga. Kesan tersbut juga merupakan kesan 'secondary' yang muncul kemudian.


Daripada beberapa buku rujukkan saya baca, didapati yang penyebab kepada serangan keruping ini adalah kurang jelas. Bagaimanapun terdapat dua pendapat berkaitan agen penyebab gejala keruping pada pokok  Lansium spp (Duku Terengganu dan Dokong). Segelintir ahli sains berpendapat bahawa gejala ini disebabkan oleh serangan serangga berdasarkan adanya ulat apabila keruping dikopek. Tetapi ada juga ahli pertanian yang berpendapat bahawa keruping atau ketuat disebabkan oleh serangan kulat. Kehadiran ulat hanya merupakan serangan sekunder yang memakan tisu-tisu mati dalam bentuk keruping yang diakibatkan oleh kulat. Setakat ini saya juga tidak pasti pendapat manakah yang betul. Semasa melawat ladang dokong di Chantaburi , Thailand pada Mei 2012, saya ada berbincang dengan petani komersil menanam dokong yang menggunakan baja berasaskan 'Chitosan' dan Baja Organik mengandungi Mikrob berfaedah (BMO) dengan kuantiti banyak dimana tidak ada masaalah keruping langsung (Lihat foto paling bawah). Malahan saya dapati pokok yang tidak ada menggunakan treatment ini sangat teruk keadaannya seperti buah kurang atau kecil sahaja (control tree).


Kaedah kawalan masaalah keruping bagaimana pun boleh diatasi dengan pelbagai teknik. Apa yang saya tahu, lazimnya pokok dokong yang ada mendapat penjagaan yang sempurna terutama dari segi pembajaan, naungan dan pengairan lebih tahan terhadap gejala ini. Berdasarkan pemerhatian saya di beberapa Stesen Pertanian Jabatan Pertanian dan Plot Tanaman dokong beberaap petani, saya dapati gejala keruping boleh dikawal dengan lebih berkesan melalui penyemburan Racun Kulat Berkupram (Copper-base fungicide). Semburan larutan ini boleh dibuat dengan menggunakan mana-mana peralatan penyembur sama ada yang bermotor atau tidak bermotor (Knapsack sprayer). Adalah dinasihatkan agar muncung alat penyembur (Nozle) diacukan pada batang atau dahan dan ranting-ranting yang diserang dengan keruping (vegetative stage). Selalunya bahagian yang diserang harus disembur sehingga betul-betul hingga basah keseluruhannya. Racun berkupram yang telah diuji ialah "copper hydroxide" serta "copper oxychloride" dan "metallic copper". Apa yang disyorkan adalah pada permulaannya, semburan dibuat setiap 10 hari dengan kekerapan sebanyak 2-3 kali . Teknik ini akan diikuti dengan semburan ulangan 2-3 bulan sekali sehingga keruping terhapus. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang saya lihat, kadar yang disyorkan bergantung pada tahap serangan dan juga keadaan umur pokok dan juga cuaca. Jadual dibawah menunjukkan kadar digunakan untuk menjalankan penyemburan.




Apa yang saya perhatikan adalah keruping pada pokok dokong yang telah disembur menjadi rapuh dan seterusnya relai dari batang. Apa yang berlaku kemudian adalah keruping pada dahan serta ranting dan jatuh ke tanah. Jika keruping hilang maka pokok dokong yang lemah tadi akan mula berpucuk dimana pucuk baru kelihatan sihat dan panjang. Gejala penyakit tidak lagi kelihatan jika kawalan dibuat dengan sempurna. Bagaimana pun aktivitii penyemburan perlu dibuat secara berterusan. Bagi pokok yang teruk diserang didapati hanya akan pulih dalam masa 8-10 bulan itu pun kalau dijalankan mengikut kaedah betul. Semasa rawatan ini dijalankan, penggunaan racun serangga (Pesticide) tidak digalakkan. Amalan ini bertujuan mengelakkan pembunuhan sejenis ulat yang hidup aktif serta memakan keruping secara semuljadi (kulit kayu yang mati). Cara ini saya memang percaya yang keruping akan relai dengan lebih cepat. Bagaimana pun kita perlu membuat penyemburan racun serangga juga untuk mengawal ulat daun. Pastikan racun tersebut hanya disembur pada bahagian daun. Pokok dokong yang sihat tanpa serangan keruping akan memberikan hasil yang banyak dan berkualiti kerana putik bunga dan buah dokong keluar pada bahagian batang, dahan dan ranting pokok dokong pada 'point' yang hampir sama setiap kali. 


Pokok dokong di Chantaburi, Thailand yang di kawal
penyakit keruping guna Chitosan
.
KERUPING DOKONG... BURUK BATANGNYA...
BINTIL-BINTIL KELUAR.... LEKAT JELASNYA...
COPPER BASE SOLUTION...KAWALANNYA...
POKOK DOKONG SIHAT ... TINGGI HASILNYA...

By,
M Anem
Ladang Dokong,
Chantaburi Dokong Farm,
Thailand
(5 Safar 1434H) 

Wednesday, January 2, 2013

TAMARILLO

TAMARILLO (Solanum betacum) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Solanaceae dimana buahnya seperti buah tomato mini tetapi bentuknya sedikit berbeza. Buah ini juga dipanggil sebagai 'Tree Tomato' atau 'Terung Belanda' di Indonesia yang buahnya macam tomato tetapi bentuknya bulat bujur. Kita di Malaysia kurang mengenali tanaman ini kerana kurang popular tetapi di Indonesia orang suka buat 'Jus Tomato Belanda' untuk diminum. Nama saintifik lain bagi Tamarillo adalah Cyphomandra betacea yang mempunyai sebanyak 40 spesis. Tumbuhan ini adalah jenis renek (shrub)  yang berbatang sederhana lembut dengan ketinggian maksima 3 - 4 meter dan lebar kanopi seluas 1 - 3 meter. Ia mempunyai sistem akar yang cetek dan pendek. Daunnya adalah lebar dan mempunyai dahan yang banyak. Tumbuhan ini mempunyai seksualiti sebagai Hermaprodite dan sesuai ditanam pada kawasan yang bersuhu agak sejuk. Artikel tahun baru ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah Tamarillo untuk pengetahuan dan maklumat pembaca blog ini.


Tanaman Tamarillo ini dipercayai berasal dari Banjaran Andes seperti Chile, Equador, Peru, Bolivia dan Colombia di Amerika Selatan. Namanya sahaja sudah macam bahasa Sepanyol atau Amerika Selatan.  Tamarillo kini banyak ditanam dibeberapa negara seperti di New Zealand, India, Hong Kong, China, USA dan Afrika Selatan. Tanaman ini sesuai ditanam dikawasan Sub-Tropika dengan taburan hujan diantara 400 - 3,000 mm setahun. Pokok ini sesuai pada suhu antara 15 - 20 Celcius dan jika suhu menjadi sejuk sehingga suhu -2 celcius, maka pokok akan rosak. Tanah jenis ringan dengan sistem saliran sempurna diperlukan untuk sistem pengakaran tumbuhan ini iaitu jenis yang cetek. Kemasaman tanah di antara pH5.5 hingga pH8.0 adalah sesuai untuk tanaman tamarillo. Pokok ini tidak tahan tiupan angin kencang dan perlukan sokongan diperingkat awal penanaman. Dalam keadaan kemarau pokok ini perlukan sistem pengairan lengkap kerana ia perlukan air yang banyak untuk tumbuh. 


Bahan tanaman adalah daripada Keratan Batang daripada pokok induk yang sihat dan bebas daripada serangan virus. Keratan batang ini dipotong sepanjang 45 cm panjang dan cm ketebaban daripada pokok yang berumur lebih 2 tahun dan disemai didalam polibeg dan disimpan dalam nurseri. Apabila akar telah mencukupi, ia boleh ditanam di ladang dengan jarak tanaman 1.5 meter antara pokok dan 4.5 meter antara barisan. Pastikan pembajaan asas diberikan sebelum menanam. Pada peringkat awal penanaman disyorkan dipasang kayu pancang atau tiang untuk melatih pokok tamarillo ini naik keatas kerana batangnya agak lembut (Lihat foto sebelah). Selepas mencapai ketinggian 2 meter, digalakkan untuk pokok mengeluarkan dahan dan ranting.  Laksanakan program cantasan sepanjang masa bagi membuang dahan berpenyakit, melempai kebawah dan bunga di bahagian pucuk yang tidak dikehendakki.


Kawalan penyakit dan rumpai perlu dijalankan mengikut kesesuaian dimana elakkan dari menggunakan racun  rumpai. Antara masaalah serangan penyakit adalah "Tamarillo Mozaic Virus" selain daripada serangan nematod, serangga dan kulat (fungi). Pembajaan dengan baja organik dan Sebatian NPK dijalankan mengikut jadual. Kadar baja NPK adalah sebanyak N (110-170 kg/ha), P (35 - 55 kg/ha) dan K (50 - 100 kg/ha). Penuaian sering dijalankan dengan secara manual dimana tamarillo lazimnya akan berbuah 18 bulan setelah ditanam. Pokok akan menghasilkan buah optima selepas 3 tahun ditanam dengan anggaran hasil sebanyak 6.5 metrik tan/ha pada umur 1.5 tahun. Anggaran hasil pada umur 3 -4 tahun adalah sebanyak 15 - 17 mt/hektar. Kajian menunjukkan sepokok tamarillo mampu menghasilkan sekitar 20 kg sepokok semusim. Buah yang cukup masak dipetik dengan tangan apabila semuanya telah berwarna merah. Buah yang tidak cukup masak akan ada warna kekuningan diantara merah.


Buah tamarillo yang telah dipetik tahan selama 12 minggu jika disimpan didalam suhu 3.5 - 4.5 Celcius (jangan terlalu sejuk kerana buah akan rosak). Selepas dikeluarkan dari simpanan, ia boleh tahan selama 7 hari lagi. Daripada beberapa rujukkan mendapati masaalah penanaman tamarillo adalah serangan serangga seperti 'White Fly', Loper caterpillar, nematod, kumbang pemakan daun hijau, Karah bakteria, Kulapok Downey, Reput akar (root rot) dan bintik-bintik daun. Antara produk popular di Amerika Selatan daripada buah tamarillo adalah 'Teh Tamarillo' yang ditujukkan dalam foto sebelah. Kegunaan lazim buah tamarillo adalah untuk dimakan segar, dibuat jus, puree, jem dan banyak lagi yang saya kurang kenal di Malaysia. Kalau sesiapa pernah melawat Indonesia, ada sesetangah restoran yang menghidangkan Jus Tomato Belanda atau namanya 'Tamarillo juice' seperti foto dibawah! Agaknya sedap kot!.


Ini dia Jus Tamarillo..sedap!.

NAMANYA TAMARILLO... ANDES ASALNYA...
MACAM TOMATO... MERAH MASAKNYA...
BUAH DIPETIK... DIMAKAN SEGAR AGAKNYA...
KITA DIMALAYSIA... KURANG KENALNYA...

By,
M Anem
Putrajaya,
Malaysia.
(19 Safar 1434H)   

Tuesday, January 1, 2013

HARGA RACUN SERANGGA

RACUN SERANGGA (Pesticide ata Insecticide)  sejenis bahan kimia yang digunakan dalam sektor pertanian sebagai satu bahan untuk memusnahkan serangga perosak. Terdapat banyak jenis racun serangga yang dijual dipasaran untuk tujuan kawalan bagi perosak terutama didalam sektor pertanian. Racun ini dijual di pelbagai jenis outlet mengikut lesen perniagaan daripada jenis yang terkawal (Tahap Kebisaan Kelas 1) kepada jenis yang tidak perlukan permit jualan untuk kelas lain. Racun di perbuat daripada campuran bahan aktif (active ingredient) dan bahan lengai mengikut piawaian khusus oleh pengeluar yang dikawal oleh LPRMP. Adakah kita sedar berlaku perubahan harga jualan terhadap produk racun serangga di pasaran?. Ini kerana krisis minyak pada tahun 2008 telah menjejaskan banyak sektor termasuk harga racun dimana sebahagian besar daripada racun adalah berasaskan kepada petrolium. Artikel petang 1.1.2013 (artikel pertama untuk tahun baru 2013) ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai trend harga racun serangga di Malaysia berdasarkan kajian yang saya buat dari tahun 2008 hingga 2012 untuk makluman dan rujukkan anda semua.



Harga racun serangga tidak mempunyai trend meningkat berterusan mengikut tahun semenjak tahun 2008 hingga 2012 secara purata. Merujuk kepada jsdual diatas, purata empat jenis racun di Semenanjung Malaysia ialah RM 104.1 satu kilogram pada tahun 2008 meningkat sediki pada tahun 2009 kepada RM 102.71 dan lebih ketara pada tahun 2010 kepada RM 108.99 sekilogram dan RM 110.69 pada tahun 2011. Bagaimana pun kajian tersebut seterusnya harga purata racun serangga menurun kepada RM 101.20 sekilogram pada tahun 2012. Harga pasaran runcit racun serangga dipasaran banyak ditentukan oleh pelbagai faktur yang akan dibincangkan. Kenaikan pada tahun 2009 dan 2010 amat dipengaruhi oleh harga bahan asas pembuatan racun serangga iaitu petrolium yang tinggi pada tahun 2008 dan kesannya berlaku pada tahun 2009 dan 2010. Kenaikan tersebut ditunjukkan pada gambaran geraf yang dituntukkan dibawah untuk memudahkan kita membacanya.





Diantara jenis racun serangga yang dibuat kajian adalah Racun Confidor (Bahan aktif : Imidacloprid 18.3% w/w). Data yang dianalisa menunjukkan harga racun Confidor RM366.00 sekilogram pada tahun 2008 meningkat paling tinggi sebanyak RM 386.67 sekilogram pada tahun 2010. Racun keluaran Syarikat Bayer ini merupakan sejenis racun serangga paling popular dikalangan petani di Malaysia untuk mengawal banyak jenis serangga perosak tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Petani dinasehatkan agar membaca label pada botol untuk cara penggunaan racun yang betul dan selamat.


Selain itu Racun Malathion merupakan racun serangga yang mengandungi bahan aktif 'malathion' yang banyak digunakan oleh penanam sayur-sayuran khususnya sayuran jenis buah dan sayuran jenis daun. Racun Malathion 55% dijual dengan harga runcit RM 23.00 satu liter pada tahun 2008 dan serendah hanya RM 15.25 satu liter pada tahun 2012. Racun Malathion adalah racun sentuh yang lazimnya berkesan dalam mengawal serangga kerana baunya yang kuat. Jenis Malathion yang lebih kuat (Tinggi tahap kepekatnnya iaitu  84.0% w/w) dijual dengan harga RM 18.28 pada tahun 2008, RM 22.50 (2009), RM 17.50 (2010), RM 43.00 (2011) dan hanya RM 21.50 (2012). Saya dapati trend harga runcit pasaran racun jenis ini nampaknya tidak mengikut trend biasa. 


Racun serangga Furadan 3G (bahan aktif : Carbofuran) merupakan sejenis racun jenis sistemik yang sangat popular digunakan dikawasan tanaman sayur-sayuran, tebu dan sebagainya terutama untuk mengawal jenis perosak dalaman. Purata harga runcit racun ini diseluruh Semenanjung Malaysia pada tahun 2008 ialah RM 8.75 bagi satu kg (2008), RM 8.81 (2010) dan mencapai harga tertinggi pada tahun 2011 sebanyak RM 11.00/1kg tetapi menurun semula kemudian. Penggunaan racun jenis furadan perlukan kaedah yang betuk untuk semburan dengan mengamalkan 'Post Harvest Interval' yang ditulis pada label. Harga racun Furadan paling tinggi adalah pada tahun 2011 dimana kenaikan ini amat ketara.
Analisa harga runcit racun serangga agak komplikated sedikit berbanding dengan bahan input pertanian yang lain. Kajian yang dijalankan selama 5 tahun ini mungkin membantu kita dalam membuat perancangan dalam penyediaan pelan bisnes untuk membuat projek pertanian.

HARGA RACUN SERANGGA... PELIKNYA....
TAHUN 2011 ... AMAT TINGGI HARGANYA...
TAHUN 2012... TIDAK LENGKAP DATANYA...
MEKLUMAT DIANALISA... ADA GUNANYA...

By,
M Anem
Room 207, Hotel Putra Inkandar,
Bandar Iskandar, Perak,
Malaysia.
(14 Safar 1434H)




THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...