Varieti baru padi MR 315 mempunyai ciri daun pengasuh tegak dan pendek (Sila lihat foto disebelah). Varieti ini dikategorikan sebagai matang awal iaitu sekitar 105 -109 hari dengan purata ketinggian pokok ialah 103.3 - 106.3 cm iaitu lebih rendah jika dibanding dengan varieti padi MR 284 (121.6 - 127.8 cm). Manakala daei segi purata bilangan biji bernas per tangkai ialah sekitar 132 - 136 biji berbanding dengan MR 284 iaitu 151 - 163 biji. Ia juga mempunyai peratusan pengisian biji bernas per tangkai yang baik iaitu 88.3 - 88.6% dengan purata berat seribu biji 29.5 - 30.0 gram. Kelebihannya dapat dilihat pada bilangan tangkai per rumpun yang banyak (15 - 19 tangkai) berbanding dengan MR 284 (12 - 16 tangkai). Varieti MR 315 mempunyai panjang beras melebihi 6.21 mm dan dikategorikan sebagai beras panjang dan tirus yang mana nisbah panjang dan lebar beras melebihi nilai 3.0. Ciri-ciri ini memenuhi keperluan pengguna dan bersesuaian dengan pasaran tempatan. Peratusan perolehan pengilangan dan beras kepala juga baik iaitu masing-masing melebihi 60 - 80%. Kandungan amilosa adalah sederhana iaitu sekitar 22.6 - 23.0%, konsistensi gel ialah 32.0 - 34.0 mm dan nilai pecahan alkali sekitar 6.8 - 7.0 yang memberikan cita rasa nasi yang setara seperti MR 284.
Padi MR315 ini juga dilihat dari segi tahap kerintangan penyakit dan perosak. Varieti padi MR 315 adalah rintang kepada penyakit karah tangkai serta sederhana rintang kepada penyakit karah daun dan hawar seludang. Kelebihan ini dapat mengurangkan penggunaan fungisid untuk mengatasi serangan ketiga-tiga jenis penyakit ini. Namun demikian, perhatian khusus perlu diberikan kepada pencegahan serangan penyakit hawar daun bakteria dengan menggunakan racun kimia yang berunsurkan kuprum pada peringkat pembentukan tangkai hingga tangkai terbit kerana varieti ini didapati sederhana rentan kepada penyakit tersebut. Penggunaan baja berunsur nitrogen yang berlebihan perlu dielakkan serta aplikasi baja mestilah mengikut peringkat pertumbuhan tanaman dan kadar baja yang disyorkan. Varieti ini juga sederhana rentan kepada serangga benah perang dan langkah pencegahan awal perlu diberi perhatian. Varieti ini juga tidak disyorkan untuk ditanam di kawasan yang mengalami masalah penyakit merah virus kerana ia adalah sederhana rentan terhadap penyakit tersebut. Syor pembajaan dan pengurusan tanaman dimana aspek pengurusan tanaman bagi varieti MR 315 ini adalah seperti yang disyorkan dalam Manual Penanaman Padi Lestari (2008). Kadar baja yang disyorkan ialah 100 kg N: 42 kg P2O5: 100 kg K2O/ha dengan masa aplikasi baja semasa tiga peringkat iaitu pada peringkat vegetatif, pembentukan tangkai dan tangkai terbit (Jadual 4). Ia dapat mengurangkan masa aplikasi baja dan kos upah membaja. Bagi kaedah menanam mencedung, aplikasi baja disyorkan pada hari kelima, 15 - 20 dan 35 - 40 hari lepas tanam. Manakala bagi kaedah tabur terus disyorkan aplikasi baja disyorkan pada 15 hari, 25 - 30 hari, 45 - 50 hari dan 65 - 70 hari lepas tabur. Untuk tujuan menggalakkan pengisian biji sebaiknya alukan semburan baja dedaun/foliar yang mengandungi unsur kalium juga disyorkan pada hari 60 - 65 hari lepas tanam atau 65 - 70 hari lepas tabur.
Prestasi hasil dipercubaan penentusahan setempat (LVT) dimana hasil kajian mendapati varieti padi MR 315 adalah berpotensi untuk memberikan pulangan hasil yang baik kepada pesawah dan juga petani. Berdasarkan kepada potensi hasil yang dicapai semasa percubaan penentusahan setempat dimana ia memperoleh hasil yang baik di Sungai Besar dan Simpang Lima di Barat Laut Selangor iaitu masing-masing merekodkan purata hasil bersih 8.3 t/ha dan 7.5 t/ha. Manakala purata hasil bersih di kawasan sederhana subur seperti di Mulong, Teratak Pulai, Bukit Mertajam dan Penaga adalah pada julat 5.6 - 6.6 t/ha. Secara amnya, purata hasil keseluruhan kawasan ialah 6.2 t/ha dan setara dengan varieti popular semasa MARDI Siraj 297 (MR 297). Varieti padi MR 315 mampu menjana pendapatan yang lebih baik kepada pesawah. Berdasarkan kepada hasil tuaian penanaman peningkatan skala di Pantai Kamloon IADA Pulau Pinang pada musim utama 2019/2020, pendapatan bersih yang akan diperoleh oleh petani sekiranya menanam varieti padi baharu ini ialah RM7,071.90/ha. Dengan menggunakan pakej subsidi pula, anggaran purata pendapatan bersih petani ialah RM5,750.76/ha (Jadual 5). Penggunaan varieti MR 315 dijangka dapat menjimatkan kos operasi (upah membaja) sebanyak RM100/ha dengan masa aplikasi pembajaan baja pada tiga peringkat sahaja (peringkat vegetatif, pembentukan tangkai dan tangkai terbit) berbanding dengan amalan pakej pembajaan subsidi. Namun demikian, terdapat pertambahan kuantiti pada baja MOP dengan implikasi kos sebanyak RM93 dan perbezaan keseluruhan kos pengeluaran adalah dikira sebanyak RM7. Selepas pemutuan dimana hasil bersih yang diperoleh dengan menggunakan pakej pembajaan MR 315 adalah sebanyak 6.26 t/ha berbanding dengan pakej subsidi iaitu sebanyak 5.42 t/ha. Dengan perbezaan hasil sebanyak 840 kg yang dijangka mampu menjana pertambahan dalam pulangan sebanyak RM1,317.40/ha. Anggaran perbelanjaan separa yang diunjurkan menunjukkan terdapat faedah yang akan dinikmati petani dan juga implikasi kos yang akan ditanggung sekiranya menggunakan varieti MR 315 dalam penanaman padi mereka. Sebagai kesimpulan dimana varieti padi MR 315 telah dihasilkan melalui kaedah kacuk-ulang antara titisan padi Y1512 dan varieti ulangan (recurrent parent) MR 253. Ia mempunyai kelebihan rintang penyakit karah tangkai dan ciri kualiti yang bersesuaian dengan pasaran tempatan. Secara amnya, hasil tuaian adalah setara dengan varieti MR 284 dan MARDI Siraj 297 iaitu kurang dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan boleh disyorkan untuk ditanam di kawasan sederhana subur. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
HASIL TINGGI ...LEBIH 7 MT/HA ....
CEPAT TUMBUH... AWAL TUAINYA...
BAKA BARU... PESAWAH SUKA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(23 Safar 1443H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.