Support My Blog

Tuesday, April 17, 2018

SKB SUNGAI AYAM - KELAPA WAK KASON

SUMBER KEKAYAAN BARU (SKB) Tanaman Kelapa di Projek Kelapa Sg Ayam, Batu Pahat Johor oleh Wak Kason merupakan satu projek yang boleh dijadikan 'success story' dalam sektor penanaman kelapa. Penulis blog berpeluang memantau projek tanaman kelapa yang dahulu projek ini telah di perkenalkan oleh Jabatan Pertanian di Kg Sg Ayam, Parit Lapis, Batu Pahat,  Johor dimana ia kini terbukti memberikan pulangan yang baik kepada petani. Lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan beberapa ketua jabatan termasuk Ketua Pengarah LPNM, Ketua Pengarah MAQIS, Ketua Pengarah LPP, Pengarah Bahagian PTIF Jabatan Pertanian, Pengarah Unit Agropreneur Muda MoA, Pengarah Pertanian Johor, Pengarah LPP Johor dan ramai lagi para delegasi dan wartawan disambut oleh Hj Kason dan anaknya En Hamidi di Ladang Kelapa Pandan yang berumur 8 tahun. Berhadapan kebun ini ada tanaman kelapa Matag yang telah berumur 18 tahun dengan tahap penghasilan kelapa amat memuaskan. Pada masa ini menurut Wak Kason pendapatan daripada tanaman kelapa memberikan satu kepuasan kepada beliau apabila pendapatan bulanan beliau memang amat baik sekali. Ini merupakan lawatan kali ke 3 penulis blog kekebun ini bersama sekumpulan para wartawan. Lawatan KSU Kementerian ini ada hubungkait dengan kerja tinjauan untuk mempastikan bahawa tanaman kelapa kini memang betul dan sesuai dibangunkan semula dengan pendekatan sebagai salah satu sumber kakayaan baru negara bidang pertanian selain daripada sektor kulinari, tanaman nanas, tanaman durian, sektor ruminan dan juga jagung bijian. Ia juga berkait dengan cadangan untuk kajian penubuhan dan penggabungan industri kelapa dengan nanas dalam satu badan iaitu Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia (LPKNM). Artikel malam ini saya terus menulis artikel ke 4,731 dalam blog "Anim Agro Technology" berkaitan aktiviti penanaman kelapa secara komersil yang boleh dikelaskan sebagai satu "success story" untuk dicontohi orang lain.  


Terdapat 16 varieti kelapa (Cocos nucifera) yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia boleh ditanam dan di komersilkan. Jika ingin mengetahui apakah dia varieti kelapa tersebut anda boleh merujuk kepada artikel saya sebelum ini (Sila klik disini) dan mempastikan anda akan memahaminya. Sejak lama dahulu komoditi tanaman kelapa dimajukan oleh Jabatan Pertanian dibawah program Rancangan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) yang telah ditamatkan pada awal 1980'an. Ruang ini menyebabkan ramai pekebun kelapa dan getah telah menukarkan tanaman mereka kepada kelapa sawit (Ealeis guineensis) dan keluasan tanaman kelapa terus menurun saban tahun sehingga hanya tinggal sekitar 86,700 hektar sahaja pada tahun 2017. Fenomena kelapa MATAG (Kelapa Hibrid diantara induk MRD/MYD dengan Tagnanan) telah menjadi kegilaan ramai penanam kelapa tetapi kesukaran untuk mendapatkan benih dilaporkan menyebabkan hasrat petani terjejas seketika. Benih Kelapa Matag merupakan jenis benih hibrid yang sukar untuk disediakan kerana ia melibatkan kos yang tinggi, kemahiran yang tepat dan stok pokok induk yang mencukupi. Hanya ada kurang dari 5 pembekal benih kelapa Matag Hibrid F1 diseluruh negara termasuk 2 syarikat swasta dan 3 adalah Jabatan Pertanian sendiri. Sering berlaku penipuan penjualan benih kelapa Matag di mana-mana yang didakwa adalah Kelapa matag F1 tetapi ramai yang kecewa akhirnya. Dinasihatkan mereka yang hendak membeli kelapa matag F1 sentiasa merujuk kepada Jabatan Pertanian. Wak Kason adalah antara peserta yang menanam kelapa Matag sejak tahun 2000 (kini pokoknya sudah berumur 18 tahun dan tinggi) yang berjaya menerima bekalan benih terbaik. Anak Wak Kason iaitu Encik Hamidi mengambil alih pengurusan kebun bapanya yang terus memperluaskan kawasan tanaman kelapa (Sila lihat foto beliau disebelah). Kini difahamkan keluasan tanaman kelapa milik keluarga beliau melebihi 60 ekar.


Penamanan kelapa memerlukan kemahiran asas dalam bidang pertanian, kerajinan dan pengurusan amalan agronomi yang betul. Dari tinjauan penulis blog di kebun ini juga mendapati Wak Kason telah menerima persijilan MyGAP dari Jabatan Pertanian dimana ini membuktikan Wak Kason memang sentiasa menerima tunjukajar teknikal daripada semua pihak terutama dari Jabatan Pertanian. Penulis dapati keadaan kebun amat bersih dengan buah yang banyak setiap tandan dan kerja memetik dan memasarkan kelapa. Kelapa Pandan (CN6) yang telah ditanam berumur 8 tahun menghasilkan purata buah sebanyak 12 - 15 biji satu tandan dengan harga ladang kini mencecah RM1.70 sebiji. Peraih akan datang kekebun dan mengambil buah kelapa pandan ini setiap hari untuk dia mengedarkan dipasaran sekitar Johor Bahru, Singapura dan Lembah Kelang. Kaedah memetik kelapa muda mesti betul seperti menggunakan tali untuk menurunkan buah agar tidak pecah jatuh ketanah. Buah kelapa yang pecah memang tiada nilainya lagi. Bagi tanaman kelapa Matag juga beliau sering memetik muda serta buah tua yang gugur akan dikutip. Pokok kelapa yang selalu diambil buah muda biasanya CEPAT TINGGI kerana tandan buah dipotong semasa berumur 7 -  8 bulan berbanding dengan kelapa tua selama satu tahun. Pokok kelapa matag telah mengeluarkan buah setelah 3.5 - 4 tahun ditanam dengan amalan agronomi yang baik (Sila lihat foto disebelah). Sama seperti kelapa pandan, kelapa matag yang dipetik muda juga dijual dengan harga RM1.70 sebiji. Bagaimana pun kelapa matag tua dijual dengan harga diantara RM1.20 - RM1.40 sebiji mengikut harga semasa. Kelapa tua mendapat permintaan yang baik dipasaran. Pada masa ini keperluan penggunaan kelapa di Malaysia adalah sekitar 750 juta setahun sedangkan bekalan tempatan hanya sekitar 650 juta. Bakinya kelapa tua biji  diimport untuk sektor perkilangan adalah dari Indonesia dengan pengeluaran 'AP' yang dikawal oleh kerajaan. 


Rombongan ini dihidangkan dengan kelapa pandan yang baru dipetik daripada pokok. Ia memeng memberikan rasa air kelapa yang manis, ada aroma pandan dan memang menghilangkan dahaga. Ada beberapa wartawan dan pegawai yang minum sehingga 2-3 biji kerana kesegarannya. Pada masa ini pendekatan kerajaan untuk industri kelapa ditumpukan untuk memperluaskan lagi penanaman dengan program penanaman kelapa kawasan baru, pemulihan semula tanaman kelapa tua dan projek intergrasi kelapa dengan tanaman lain. Pada tahun 2018 bajet sebanyak RM50 juta diluluskan tanaman kelapa di bawah Program Sumber Kekayaan Baru (SKB) dimana sebanyak RM25.5 juta telah disalurkan kepada LPNM. Ia selaras dengan cadangan penggabungan Lembaga Nanas dengan Kelapa untuk dijadikan LKPNM pada tahun hadapan. Tanaman Kelapa dan nanas sebenarnya boleh diintergrasikan seperti yang dahulu pernah dijalankan di Batu Pahat, Pontian dan Muar dengan pengurusan yang betul. Penanaman kelapa dan nanas membolehkan petani mendapat hasil nanas dalam masa setahun lebih sebelum kelapa mengeluarkan hasil. Kawasan kelapa sedia ada yang pokoknya sudah tinggi boleh ditanam semula dengan kelapa pada jarak yang sesuai dimana ditengahnya sesuai ditanam dengan nanas.


Dalam akhbar Utusan Malaysia Online pada 16 April 2016 bertajuk "Dulu makan gaji, kini usahawan kelapa berjaya" ia melaporkan apa yang dicatit diatas. Wartawan Mohamad Azmi Zaid yang turut sama dalam lawatan ini menyatakan iaitu 
siapa sangka daripada hanya makan gaji dengan berpendapatan RM1,500 sebulan kini Mohd Hamidi Kason berumur 30, mampu memperolehi berpendapatan sekitar RM50,000 setiap bulan selepas terlibat dalam perniagaan penanaman pokok kelapa. Dalam pada itu menurutnya, selepas melihat hasil tuaian kelapa yang memberansangkan pada permulaan penanaman tanaman itu kemudian dia bertekad untuk berhenti bekerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan pokok kelapa. “Saya memang berminat dalam bidang penanaman ini sejak dari dahulu lagi, selepas saya melihat hasilnya lantas tidak fikir dua kali untuk berhenti berkerja.  “Saya mula hanya dengan dua ekar sahaja bagaimanapun kini saya ada sekitar 36 ekar untuk tanaman pokok kelapa jenis matag dan pandan. “Dulu kelapa harga hanya RM1 sebiji namun kini harga kelapa boleh mencecah sehingga RM1.70 sebiji. Cuba bayangkan kalau setiap hari ladang saya boleh keluarkan lebih daripada 1000 biji kelapa sehari,” ujarnya kepada Utusan Online dalam sesi lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar di ladangnya di sini hari ini.  Menurut Mohd Hamidi, dia mendapat bantuan daripada pelbagai pihak untuk menjaga dan mengembangkan perniagaan tanaman pokok kelapa miliknya.

Seterusnya dia menyatakan dimana  dia mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian dan menerusi bantuan itu saya dapat membuat parit dan menabur baja untuk tanaman ini,” ujarnya. Tambah Mohd Hamidi, dia mendapat pembeli daripada pelbagai tempat antaranya Melaka, Selangor dan Singapura. “Saya memang berhasrat untuk eksport ke luar negara pada masa akan datang bagaimanapun untuk memenuhi permintaan daripada dalam negara masih tidak mencukupi,” ujarnya. Sementara itu, Ismail memberitahu, draf rang undang-undang Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia (LPKNM) sedang dalam proses semakan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen dalam masa selewat-lewatnya akhir tahun ini.  “Seramai 70,000 orang pekebun kelapa dianggarkan akan mendapat manafaat yang besar hasil daripada penubuhan LPKNM ini yang bertujuan untuk memastikan pengurusan kebun dan ladang kelapa lebih sistematik serta mampu dalam meningkatkan lagi pengeluaran buah kelapa negara,” katanya. Sumber - UTUSAN ONLINE.
Semuga tilisan dalam artikel ini memberi perangsang kepada semua pembaca blog anim agro technology untuk teringin menanam kelapa sebagai SKB yang berjaya. Wasallam!!!.
TANAMAN SKB... TERMASUK KELAPA...
LAWAT KEBUN...PENDAPATAN BAIKNYA...
MUDAH DIURUSKAN... ILMU KENA ADA...
BAGI ORANG MUDA...JADIKAN KERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Kebun Kelapa Wak Kason,
Sg Ayam, Parit Lapis,
Batu Pajat, Johor,
Malaysia.
(30 Rejab 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...