Support My Blog

Friday, June 2, 2017

TIP HASILKAN BAJA DAN RACUN ORGANIK

PERTANIAN ORGANIK (Organic Farming) kini semakin popular dikalangan orang ramai kerana mereka mahukan jaminan keselamatan makanan. Pertanian organik kini didefinasikan sebagai satu kaedah penanaman yang tidak menggunakan baja kimia atau racun kimia. Namun setiap tanaman tetap memerlukan baja sebagai sumber makanan dan juga sering diserang oleh serangga perosak dan penyakit. Semua orang perlu faham akan teknik pertanian organik yang ada perbezaan amalan agronominya dengan cara pertanian konvensional. Perbezaan nyata adalah bahan input seperti baja dan racun yang digunakan dimana teknik konvensional menggunakan bahan input pertanian dari kimia. Bagi pertanian organik lazimnya terdapat dua jenis baja organik iaitu Baja Organik Buatan Kilang dan Baja Organik Buatan Sendiri. Kepada mereka yang baru terlibat dengan pertanian organik tidak perlu risau kerana sekarang sudah ada baja organik buatan kilang dipasaran dan ia juga mudah didapati. Mereka hanya buat pertanyaan di pasaran sekarang bagi mendapatkan baja organik kerana pada waktu dahulu sukar mendapatkannya. Pertanian organik kini menjadi satu trend kerana ramai orang telah sedar kebaikan pertanian organik apabila ramai mengaitkan kejadian serangan kanser disebabkan oleh pengambilan makanan dari ladang yang menggunakan racun kimia dengan tidak terkawal oleh petani. Petani yang tamak selalunya hanya mementingkan keuntungan penuaian hasil dan meraka mungkin akan menggunakan banyak racun kimia yang juga mungkin merbahaya kepada pengguna. Persijilan Sijil Organik Malaysia dalam MyGAP diperkenalkan oleh kerajaan bagi mempastikan produk yang betul-betul lulus SOM akan menggunakan labrl menandakan tanda keselamatan makanan organik. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa tip untuk menghasilkan baja dan racun organik sendiri.

Mereka yang belajar mengenai penanaman sayuran dan ulaman serta buah-buahan secara organik mesti faham akan konsep pertanian organik. Terdapat banyak buku rujukkan dan lamanweb yang memberi tunjuk ajar mengenai pertanian organik (Sila lihat foto buku organik disebelah). Pertanian organik mementingkan keselamatan makanan dan penggunaan bahan yang betul. Selain input benih, air dalam pertanian organik, penggunaan baja dan racun adalah amat penting. Baja organik selain daripada membelinya dari kilang sebaiknya anda juga boleh dibuat sendiri di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling kita. Ini sangat sesuai bagi petani yang ingin mengurangkan kos dan tidak terlalu bergantung kepada produk baja organik komersil di pasaran. Sama seperti baja organiksebenarnya racun organik juga boleh diperoleh dengan mudah di dalam pasaran. Racun organik juga boleh dibuat sendiri dimana prosesnya sangat mudah. Kita hanya perlu memilih sama ada membeli atau membuatnya sendiri. Kini selain daripada racun organik, kita juga boleh menggunakan tanaman penarik atau penghalau serangga (repellent).

Baja organik yang digunakan adalah berbeza dengan baja kimia biasa. Baja organik adalah berbeza mengikut kadar unsur di dalamnya dimana ada baja organik yang kaya dengan unsur N, P atau K.  Baja organik N adalah campuran bahan organik (tahi ayam kering), gula perang (molasses), bahan aktif seperti mikroorganisme efektif (EM) dan air bersih yang diperam selama antara empat dan lima hari. Ia merupakan satu proses penguraian atau pengkomposan dimana selepas itu baja tersebut boleh disiram terus pada batas dan tanaman (Sila lihat foto disebelah). Bagi baja organik P adalah hasil dari campuran batang pisang, kulit buah-buahan dan air kelapa muda yang diperam selama dua minggu. Sementara itu nagi baja organik K pula boleh dibuat dengan kaedah mencampurkan sabut kelapa dan air dan dibiarkan selama dua minggu. Penggunaan bahan kulit telur dan sisa tulang juga boleh dijadikan baja dimana disyorkan kedua-dua bahan tersebut dibakar dan ditumbuk lumat. Bahan serbuk yang terhasil ditambah dengan air dan direndam selama antara tiga dan empat hari. Siram pada tanaman yang baru mula berbunga.

Dalam pertanian organik juga dinyatakan perlunya hormon pertumbuhan semulajadi dijadikan satu amalan. Kini terdapat dua jenis baja hormon yang juga boleh dihasilkan sendiri iaitu fermented fruit juice (FFJ) dan fermented plant juice (FPJ). FFJ adalah campuran buah-buahan yang manis (betik, mangga, nangka, jambu) dan gula perang . Tambah sedikit air dan diperam selama antara lima dan tujuh hari hari. Cecair yang terhasil kaya dengan unsur P dan K. FPJ pula adalah campuran tumbuhan (rumput, sisa sayuran, sisa pangkasan), gula perang dan sedikit air bersih, dibiarkan selama lima hingga tujuh hari. Hormon ini kaya dengan unsur N. Tapis untuk mengasingkan cecair dan juga hampas. Hampas jangan dibuang tetapi ia boleh dijadikan kompos. Selalunya penggunaan FPJ dilakukan dengan menyiramnya kepada tanaman dengan sukatan dan kekerapan tertentu.

Dalam pertanian organik isu paling kritikal adalah bagaimana hendak mengawal serangan serangga perosak dan penyakit. Sebenarnya terdapat beberapa tips menyediakan bahan apa yang dinamakan 'Penghalau serangga' atau 'repellent'' bagi tujuan ini. Tumbuhan repellent ini biasanya mempunya bau yang kuat dimana peranan bau yang kuat dan dihasilkan oleh tumbuhan itu sebenarnya yang menghalau serangga perosak. Beberapa contoh repellent iaitu serai wangi, kesum, kemangi, selasih, daun kari, limau purut, pandan, daun bawang, kucai, ketumbar, marigold, pudina dan sebagainya. Manakala tumbuhan yang boleh menarik serangga perosak ialah lobak putih, markisa, bunga Tunera dan jagung manis. Pokok repellent boleh ditanam di sekitar batas tanaman. Sebaik-baiknya tanam di bahagian angin sering bertiup supaya angin boleh menyebarkan bau pokok repellent ke seluruh kawasan penanaman. Selain itu, pokok repellent juga boleh dipangkas dan dipotong kecil untuk ditabur di atas batas. Potongan repellent akan mengeluarkan bau yang tidak disukai serangga perosak. Kini dalam kaedah organik terakhir, semua daun pokok repellent boleh dicampurkan dan dikisar halus dengan sedikit air dan sabun. Cecair yang terhasil boleh disembur pada tanaman untuk kawalan serangga perosak. Begitulah tulisan ringkas kali ini untuk dijadikan bahan rujukkan. Wasallam!!.

PERTANIAN ORGANIK.. ITU APA DIA...
TIDAK MENGGUNA.. BAHAN KIMIA..
BAJA ORGANIK..MUDAH BUATNYA ..
KALAU MALAS...BELIS YANG DISEDIA..


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Jalan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(7 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...