PENYAKIT REPUT TANGKAI NENAS di Malaysia kini merupakan satu ancaman kepada industri tanaman nenas. Penulis blog mendapati penyakit ini merupakan sejenis penyakit penting yang memberi anaman serius kepada petani dan usahawan nenas. Apa pun daripada maklumat terkini yang diperolehi dalam pembentangan kertas pada Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2017, penulis telah pun dimaklumkan oleh pakar ia berpunca daripada jenis patogen BAKTERIA dan patogen KULAT. Penyakit reput teras bakteria adalah disebabkan oleh bakteria dikenalpasti sebagai Dickeya spp. (dahulu bakteria ini dipanggil sebagai Erwinia chrysanthemi). Dalam penelitian penulis mendapati dimana Bakteria Dickeya spp. ini juga boleh menyerang buah nanas dan menyebabkan penyakit buah hantu. Perkara ini merupakan satu keadaan yang mengancam ramai penanam nenas diseluruh negara jika tiada pemantauan sempurna. Dalam pada itu Penyakit reput teras Phytophthora yang berlaku pula disebabkan oleh patogen kulat yang dikenali sebagai Phytophthora spp. Kulat ini merupakan sejenis kulat yang menyerang banyak tanaman lain dinegara kita. Dalam kajian kes yang dijalankan di Projek Nenas Bersepadu Rompin (Rompin Intergrated Pineapple Project) atau pun ringkasnya RIPP), Bahagian Biosekuriti Tanaman Jabatan Pertanian Pahang telah dilakukan. Projek yang luasnya 1,500 ekar ini dilaksanakan melalui ladang kontrak yang diuruskan oleh Anchor Company. Bagaimana pun kajian ini ditumpukan di Ladang Nukleus (300 ekar), Ladang Koperasi Orang Asli (100 ekar) dan Ladang Kontrak Usahawan (80 ekar) dimana tanaman nenas ssuai dijalankan kajian dan mendapat kerjasama yang baik daripada mereka. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu temuan laporan serangan penyekit reput teras nenas sebagai satu sumbangan penulis dalam teknologi tanaman nenas negara untuk rujukkan.
Kaedah kajian telah dijalankan dengan membuat pemeriksaan dan bancian status di ladang dan pusat pengumpulan hasil. Pemeriksaan diladang dilakukan secara rawak terhadap pokok nenas dan kemudian sampel pokok yang memang menunjukkan simptom akan diambil untuk analisa dimakmal (Sila lihat foto disebelah). Kerja ini memerlukan kepakaran, kesabaran dan penelitian oleh pegawai. Kaedah kedua dimana sebanyak 10 biji buah nenas 'reject' di pusat pengumpulan hasil dan 15 biji buah nenas yang telah 'digred' untuk pasaran diambil untuk dibuat analisis di makmal. Dalam makmal pokok dan buah ini akan dibuat ujian dengan cara Sistem BIOLOG, 'Baiting' dan ''Blotter'. Hasil daripada kajian adalah dimana di Ladang Nukleus peratus kejadian penyakit adalah kurang dari 1% (>1%) bagi kedua-dua jenis Penyakit Reput Teras Bakteria (Bacterial Heart Rot) dan juga Penyakut Reput Teras Phytopthora (Phythopthora Heart Rot). Bagaimana pun keadaan ini berbeza didalam Ladang Nenas Orang Asli dimana kadar serangan adalah sekitar 3 - 10% untuk penyakit yang disebabkan oleh patogen Dickeya spp atau Penyakit Reput Teras Bakteria dan Penyakit Reput Teras Phythopthora. Kajian maklmal juga mendapati keadaan serangan Reput Teras Bakteria yang disebabkan oleh patogen Dickeya spp di Ladang Kontrak agak tinggi iaitu sekitar 15 - 18% tetapi tidak ada serangan berlaku untuk Reput Teras Phythopthora dikawasan ini.
Berikut adalah beberapa keputusan temuan di makmal berkaitan sampel-sampel buah yang diambil di Pusat Pengumpulan hasil. Keputusan kajian mendapati bagi sampel buah 'reject' terdapat 4 jenis patogen yang menyebabkan 4 jenis penyakit ditemui. Patogen tersebut adalah Kulat Penicilium spp yang menyebabkan Penyakit Mata Hitam (Fruitlet Core Rot). Kedua ditemui patogen iaitu bakteria Dickeya spp yang menyebabkan Penyakit Buah Hantu (Fruit Collapse). Anda boleh lihat penyakit buah hantu di foto sebelah. Ketiga yang ditemui patogen jenis kulat iaitu Chalara parodaxa atau Thielaviopsis paradoxa yang telah menyebabkan Penyakit Reput Hitam Thielaviopsis atau Penyakit Reput Lembut Thielaviopsis (Thielaviopsis Softrot / Blackrot). Jenis patogen ke 4 yang dijumpai dalam buah 'reject' adalah patogen kulat Rhizopus spp yang menyebabkan Penyakit Reput Rhizopus (Rhizopus Rot). Keadaan berlainan berlaku pada sampel buah yang telah digred untuk pasaran diladang RIPP ini. Kajian makmal menemui hanya sejejis patogen yang ada dalam sampel buah ini iaitu patogen dikenali dengan nama Chalara parodaxa atau Thielaviopsis paradoxa yang telah menyebabkan sama dengan buah nenas yang diatas iaitu Penyakit Reput Hitam Thielaviopsis atau pun Penyakit Reput Lembut Thielaviopsis (Thielaviopsis Softrot / Blackrot). Bagaimana pun temuan ini memang tidak mengejutkan penulis blog yang beberapa kali membuat tinjauan teknologi kelokasi penanaman nenas yang luas di Pahang ini dibawah tajaan LPNM dan ECERDC.
Dalam membincangkan mengenai temuan kajian ini dari hasil lawatan juga mendapati tahap pengurusan ladang yang berbeza mengikut ladang telah pun mempengaruhi kejadian serangan penyakit yang menyerang nenas. Antara yang perlu dibincangkan adalah dimana keadaan rumpai di ladang koperasi dan ladang kontrak yang dilawati tidak terurusdengan baik berbanding dengan keadaan rumpai di Ladang Nukleus adalah baik. Selain itu didapati pengurusan untuk pokok-pokok nenas yang telah mati dan dijangkiti penyakit dibiarkan di dalam ladang yang menyebabkan kadar serangan lebih serius. Sementara itu di Pusat Pengumpulan, pula serangan oleh patogen bakteria Dickeya spp., kulat Penicillium spp., kulat Chalara paradoxa (atau dikenali dengan nama lain Kulat Thielaviopsis paradoxa) dan kulat Rhizopus spp. telah dapat diasingkan daripada sampel buah ‘reject’ yang telah diambil. Manakala bagi buah nenas yang telah ‘digred’ hanya terdapat jangkitan kulat selepas tuai iaitu kulat Penicillium spp., kulat Chalara paradoxa (=Thielaviopsis paradoxa) dan kulat Rhizopus spp dimakmal ketika saringan dijalankan. Bagaimana pun keputusan kajian adalah dimana kedua-dua Penyakit Reput Teras (Penyakit Reput Teras Bakteria Dickeya spp. dan Penyakit Reput Teras oleh patogen Phytophthora) dikesan di ladang-ladang RIPP. Seterusnya sebagai keputusan adalah dimana Penyakit Buah Hantu Dickeya spp telah dikesan pada buah dari pusat pengumpulan tetapi pada buah ‘reject’. Lain-lain penyakit buah nanas di pusat pengumpulan adalah penyakit lepas tuai yang didapati diladang ini.
Syor yang diberikan Jabatan Pertanian kepada pihak pengurusan RIPP adalah dengan sentiasa membuat pemeriksaan dan memantau serangan penyakit di ladang dan pusat pengumpulan. Pemantauan secara berjadual ini memang perlu memandangkan keseluruhan kawasan ladang yang luas ini akan terjejas jika berlaku serangan penyakit. Sistem pengurusan ladang perlu diperbaiki agar ladang sentiasa berada dalam keadaan baik bagi meminimumkan serangan perosak. Pokok dan juga buah yang menunjukkan simptom serangan di ladang perlu segera dimusnahkan dengan cara betul dan berjadual. Buah nanas di pusat pengumpulan yang kelihatan tidak normal atau berpenyakit perlu diasingkan dahulu dan dimusnahkan segera. Perlu dipastikan keadaan ladang dan juga pusat pengumpulan sentiasa bersih dan sanitasi yang baik. Perlu dilakukan Pengurusan Penyakit Secara Bersepadu (IPM) yang meliputi semua aspek pencegahan dan pengurusan penyakit dari peringkat sebelum menanam sehingga kepada peringkat lepas tuai di pusat pengumpulan. Amalan ini adalah amat penting dalam mencapai matlamat ke arah ladang yang bebas penyakit dan perosak dan seterusnya menjadi ladang perintis untuk pasaran eksport ke luar negara. Nenas daripada RIPP ini telah berjaya dieksport ke luar negara seperti ke negara-negara Teluk, Jeppun, Korea dan Hong Kong. Penghasilan buah berkualiti akan menjamin pasaran eksport nenas dari Malaysia akan terus berkembang dimasa akan datang. Semuga anda mendapat info berguna dari tulisan dalam anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
REPUT TANGKAI...PENYAKIT BAHAYA...
POKOK NENAS...ADA SERANGANNYA...
PERLU DIKAWAL...IKUT SIMPTOMNYA...
POKOK SIHAT... BUAH NENAS BERHARGA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Nenas RIPP, Kg Tanam,
Rompin, Pahang,
Malaysia.
(26 Rejab 1438H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.