Support My Blog

Saturday, April 1, 2017

DAUN RERAMA -CARA MENANAM

DAUN RERAMA (Mariposa christia vespertilionis) kini di Malaysia semakin dikenali ramai terutama dalam produk herba akibat dari promosi yang mendakwa ia dikatakan berupaya menjadi penawar penyakit berbahaya seperti barah (Cancer). Teh Rerama Herba yang asalnya dari Rantau Asia dan banyak terdapat di negara Thailand. Ia juga lebih popular dengan nama Rerama atau dalam bahasa Inggerisnya Butterfly Wings. Di Malaysia tidak ramai yang memiliki tanaman herba ajaib rerama ini. Sudah lama saya ingin menulis rencana mengenai kehebatan herba ini sehingga tahun 2017 ini. Penulis blog sebenarnya pertama kali mendengar dan melihat produk dari daun rerama ini kira-kira 5 tahun lalu daripada unit herba di Jabatan Pertanian Putrajaya. Melihat tumbuhan melilit yang mempunyai bentuk daun berwarna hijau (Sila lihat foto diatas) seperti kepak rama-rama (Butterfly) ini memang tidak percaya kemudian menjadi begitu mahal harganya dijual dalam polibeg walau pun ianya masih kecil lagi. Dalam satu promo yang dibuat diperkarangan Wisma Tani Putrajaya ia dijual dalam polibeg kecil diantara RM30.00 - RM50.00 satu unit. Itu pun dalam beberapa minit sahaja stock sebanyak 80 pokok habid dibeli oleh mereka yang mengetahui akan kehebatannya. Kali kedua penulis blog melihat pokok rerama liar (wild plants) adalah semasa melawat kebun durian di Bukit Ajil, Kemaman, Terengganu yang banyak terdapat dibawah pokok durian dipuncak bukit yang tinggi tersebut. Beberapa rakan yang mengetahui akan tumbuhan herba berharga ini berebut mendapatkannya. Ia dikatakan mudah ditanam sendiri secara organik dikeliling rumah dengan kaedah penanaman yang mudah dipelajari. Artikel malam Sabtu ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis rencana ke 4,298 mengenai daun herba rerama yang kini menjadi buruan ramai peminat produk herba.


Kini salah satu produk utama dari daun rerama ini adalah produk TEH HERBA RERAMA (Sila lihat foto disebelah). Apa yang penulis lihat didalamnya hanya terdapat daun-daun rerama yang dikeringkan dan ada yang dalam bentuk kepingan besar, saiz yang sederhana dan serbuk. Apa yang penulis blog lihat dimana herba rerama ini tumbuh secara fizikalnya mampu mencapai ketinggian 1.5 - 2.0 kaki dalam masa empat bulan bermula dari benih bergantung kepada kaedah pengurusan. Anakbenih asal boleh dicari sendiri daripada kawasan belukar atau hutam atau membelinya daripada rakan-rakan dalam bentuk keratan. Ini kerana pokok yang matang sesuai dipotong batangnya dan disemai dalam polibeg yang ada media cocopeat atau tanah campuran. Selepas ditanam maka daun yang sudah matang boleh dibuat ubat setelah mencapat tempoh empat bulan. Jika pokok dibiarkan selama setahun dan tidak dipotong lazimnya pokok rerama mampu mencapai ketinggian hingga 5-6 kaki tingginya jika ada sokongan. Dari pemerhatian penulis blog mendapati daun rerama turut didakwa mampu mengubati penyakit denggi, angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, lelah, migrain, resdung, demam campak serta masalah usus seperti gastrik. Bagaimana pun untuk mendapatkan produk rerama ini boleh melayari internet, mendapatkan daripada kedai ubat herba atau daripada rakan yang telah biasa menggunakannya.


Kini penulis blog anim agro mendapati pokok berkenaan semakin mudah didapati selepas ia menjadi fenomena dan boleh dijumpai di hampir setiap nurseri dan juga banyak kediaman. Salah satu yang penulis blog pernah lalui ketika berkursus mengenai bagaimana menanam herba jenis rerma ini dianjurkan oleh Jabatan Pertanian. Pakar herba telah berkongsi cara penanaman dan penjagaan pokok berkenaan yang boleh dilakukan sendiri di rumah yang dilaporkan dalam akhbar tempatan. Penanaman herba rerama boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu sama ada melalui biji benih atau keratan batang. Kedua-dua cara atau kaedah penanaman ini mampu dilakukan sendiri di rumah namun tempoh penumbuhan menerusi keratan batang lebih cepat berbanding penanaman melalui anak benih. Anak benih boleh didapati pada pokok itu sendiri dan keratan batang juga boleh dibuat sekiranya pokok itu mencapai tahap kematangan dan sesuai dikerat (Sila lihat foto disebelah). Biasanya langkah pertama dijalankan dengan menyediakan campuran tanah yang terdiri daripada sabut, tanah merah (top soil), pasir, tanah dan baja. Seterusnya perlu menyediakan pasu plastik kecil yang ada lubang di bahagian bawah pasu untuk saliran air.


Kemudian cara menanam dengan keratan batang yang dikerat sebaiknya dicelup dalam air terlebih dahulu sebelum diletakkan ubat penggalak akar (seperti Seradix A) pada pangkal pokok untuk menggalakkan proses pertumbuhan akar. Selepas lubang dibuat, pacakkan keratan batang dan kemudian tutup dengan cermat tanpa merosakkan batang berkenaan (Sila lihat foto disebelah)Ia hendaklah terus disiram bagi memastikan pokok itu serasi dengan suasana baru.  Pokok yang sudah disiram itu hendaklah diletakkan di tempat teduh seperti di celahan pokok besar atau teduhan jaring hitam (black netting) bagi mengelakkan ia terkena cahaya matahari terus. Selain mudah ditanam pokok daun rerama juga dikatakan tahan lasak dan tidak memerlukan perhatian yang lebih. Bagi memastikan pokok berkenaan naik lebih tinggi perlu dipastikan ia dicantas ketika mencapai ketinggian sekitar 0.30 - 0.45 meter. Selalunya penulis juga dapati dalam tempoh sekitar dua bulan dimana hasil keratan batang itu boleh mencapai sehingga 0.6 meter dan akan berbunga serta menghasilkan biji benih. Sebaiknya ia boleh biakkan semula pokok itu melalui biji benih atau keratan batang. Hasil pokok boleh dituai selepas ia berusia sekitar empat bulan sama ada dikeringkan untuk dijadikan teh atau direbus lama dan dan air hasil rebusan itu diminum. Pokok ini sebaiknya disiram dua kali sehari atau pun sekurang-kurangnya sekali sehari mengikut kesesuaian. Sebaiknya selalu periksa keadaan tanah terlebih dahulu sama ada kering atau lembap. Jika ia masih lembap disyorkan agar ia tidak perlu membuat penyiram lagi dan tunggu sehingga hari esok. Pokok daun rerama juga tidak cerewet kerana sesuai dengan pelbagai jenis baja tetapi penulis syorkan hanya gunakan baja organik dan dilarang penggunaan sebarang bahan kimis kersa daunnya akan dijadikan teh. Semuga ada yang berminat untuk menanam herba rerama selepas membaca artikel ini dan mendapatkan khasiatnya. Wasallam!..
POKOK POPULAR... HERBA RERAMA...
DAUN HIJAU... KEPAK RAMA-RAMA...
MUDAH DITANAM...SENANG DIJAGA...
RENCANA DITULIS...ANDA MEMBACA..

Oleh,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Herba,
Daerah Kuala Lipis,
Pahang, Malaysia.
(7 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...