KOSTING TANAMAN TEBU (Saccharum officinarum Linn) adalah penting dlam penanaman tebu secara komersil untuk menentukn untung rugi komoditi tersebut. Tebu merupakan sejenis tanaman singkat masa yang selalunya ditanam untuk mendapatkan airnya yang manis bagi jenis tebu kegunaan segar dan dijadikan gula bagi jenis tebu gula iaitu daripada keluarga Graminae. Laporan Jabatan Pertanian menyatakan terdapat seluas 2,300 hektar tanaman tebu kuning di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 45,500 mt pada tahun 2013 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian). Kawasan utama pengeluaran tebu kuning adalah di Johor dan juga di Negeri Sembilan. Di Johor dikenalpasti Daerah Muar dan Baru Pahat merupakan dua kawasan utama dimana penanaman tebu kuning sangat aktif dengan sistem pemasaran secara ladang kontrak yang cekap. Kini telah ujud aktiviti pengekspotan tebu kuning segar ke Singapura telah dimodenkan dimana pengekspot akan memotong tebu sepanjang 40 - 50 cm setiap batang dan dimasukkan kedalam kotak. Anda boleh baca artikel berkaitan dalam penulisan saya sebelum ini bertajuk Tebu Eksport (Sila klik disini). Penanaman tebu kini bukan satu perkara yang senang dan tidak terlalu sukar juga. Paling utama adalah mengetahui teknologi tanaman tebu dan dimana tebu tersebut akan dipasarkan kelak. Amalan Agronomi yang seperti Pakej Amalan Teknologi Tanaman Tebu yang diterbitkan oleh Jabatan Pertanian boleh dirujuk dengan mudah. Bagaimana pun pada pengalaman dan pendangan penulis, perkara penting yang perlu kita faham adalah pengengenalan musuh dan perosak serta cara kawalannya. Artikel subuh ini saya menulis lagi didalam "Anim Agro Technology" mengenai kosting atau aliran kos pengeluaran dan pendapatan tanaman tebu kuning yang ditanam secara komersil dari pemerhatian dengan penanam tebu di sekitar Muar dan Batu Pahat.
Penanaman tebu kuning lazimnya dilakukan diatas tanah mineral sama ada sebagai tanaman monokrop atau pun tanaman selingan dengan kelapa sawit. Tebu akan mencapai kematangan pada bulan 7 -10 selepas ditanam bergantung kepada jenis tanah, pengurusan tanaman dan kehendak pasaran. Pada umur ini lazimnya batang tebu dianggar setinggi 2.5 - 3.0 m dan warna batang bertukar kepada warna kuning keemasan. Pastikan batang tebu yang cukup matang dan besar tersedia untuk dituai. Cara menuai tebu juga mudah iaitu dengan memotong bahagian batang di bahagian pangkal pokok keparas tanah. Sebaiknya perdu tebu perlu ditinggalkan sedikit akarnya ketika menuai. Ini bertujuan untuk membolehkan ia tumbuh semula sebagai pokok ratoon. Batang tebu yang telah ditebang dibuang pucuknya dan diikat mengikut kesesuaian. Lazimnya batang tebu tersebut boleh tahan lebih lama sedikit sama ada dalam pengangkutan yang jauh atau semasa di pasaran. Batang tebu tahan beberapa minggu sebelum diproses untuk dijadikan air tebu yang dujual digerai dan pasar malam. Air tebu menjadi minuman kegemaran ramai dan memberikan tenaga kepada peminatnya dan enak diminum jika dimasukkan air batu didalamnya.
Penanaman tebu dilakuan diatas batas atau tanah yang telah digemburkan dahulu. Lazimnya tebu ditanam dengan jarak tanaman 1m - 2m serta kepadatan 5,000 rumpun/ha (10,000 batang/ha), maka musim tuaian pertama pada 9-10 bulan selepas ditanam memerlukan anggaran kos sebanyak RM9,700/ha/musim. Manakala tanaman ratun berikutnya yang mana hasilnya dikutip antara bulan 10-17 selepas ditanam memerlukan kos sebanyak RM3,600/ha/musim. Benih tebu dipilih daripada pokok induk yang subur dan tahan daripada serangan perosak dan penyakit. Kawasan penanaman tebu yang dipasang dengan sistem pengairan lazimnya akan memberikan hasil tebu lebih cepat dan berkualiti berbanding dengan kawasan tidak ada sistem pengairan. Kerja menanam, mengawal rumpai dan membaja perlu dilakukan dengan mengikut pakej tanaman tebu. Bagi mengawal perosak dan penyakit tebu anda boleh baca dalam artikel saya sebelum ini (Sila klik disini). Tebu akan kurang berkualiti jika tidak dijaga dengan sempurna.
Penanaman tebu menguntungkan jika diusahakan dengan baik. Dari segi pulangan lazimnya digunakan beberapa andaian seperti harga ladang kebun tebu kuning biasanya adalah RM1.00/batang. Ini akan memberikan pendapatan bersih bagi tanaman pertama/ha/musim dengan pengeluaran hasil terendah (10,000 batang/ha) sebanyak RM10,000 sehektar / semusim. Bagaimana pun jika pengeluaran hasil yang sederhana (20,000 batang/ha) maka jumlah pendapatan bersih ialah sebanyak RM20,000 sehektar semusim. Jika hasil tebu mencapai kadar tinggi iaitu melebihi 30,000 batang/ha maka ia meningkatkan pendapatan bersih kepada RM30,000 sehektar /semusim. Kajian di ladang juga menunjukkan potensi bagi pendapatan bersih bagi tanaman tebu ratun (ratoon crop) berikutnya masing-masing pada RM12,000 (pengeluaran 16,000 batang/ha), RM20,000 (pengeluaran 24,000 batang/ha dan RM28,000 (32,000 batang/ha). Kosting tanaman tebu ini menunjukkan penanaman tebu mampu memberikan pulangan baik jika diusahakan dengan betul dan komersil. Wasallam!.
TANAH KOSONG...TANAM TEBU...
TEBU KUNING... DIBAJA SELALU...
KAWAL PEROSAK... IA BERMUTU...
AIR TEBU... DIJUAL DAHULU...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tebu Komersil,
Sg Balang, Muar,
Johor, Malaysia.
(25 Rejab 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.