POKOK PILI NUTS (Canarium ovatum) atau BICOL merupakan sejenis tumbuhan saka yang tumbuh dari keluarga Burseraceae. Tumbuhan ini dipercayai natif di kawasan Asia Tenggara, Utara Australia, Papua New Guinea dimana ia mempunyai lebih daripada 60 spesis semuanya. Kajian menunjukan hanya negara Filipina yang aktif menanam pokok Pini ini secara komersil sehingga membawa nama Pili atau Bicol kepada buah kekacang (nuts) yang dihasilkan. Mungkin ramai rakyat Malaysia yang tidak kenal akan pokon bicol atau pili ini kerana amat jarang ditanam dinegara kita. Saya kali pertama melihat pokok Pili ini di Taman Pertanian Sabah pada 6 Mac 2015 dimana didapati kebanyakkan pokok pili ini telah berbuah. Apabila membuat rujukkan dilamanweb saya dapati biji pili nuts ini rupanya memang telah dikomersilkan di Filipina dan beberapa negara lain yang aktif menanam pokok ini. Penulis menjangka ramai dikalangan orang kita tidak kenal atau mungkin tidak pernah dengar akan pili nuts atau bical ini. Artikel malam Sabtu ini sambul meninton TV3 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tanaman kurang popular di Malaysia iaitu Pili Nuts atau Bicol untuk tatapan anda.
Pokok Pili Nuts mampu tumbuh menegak dengan batang kukuh dan kanopi seimbang. Ia mampu tumbuh sehingga 20 meter tinggi (65 kaki) dan batang mengeluarkan resin (Sila lihat foto disebelah). Pokok yang tinggi ini rimbun dan mempunyai akar tunjang kuat sehingga tahan daripada tiupan angin yang kencang. Daunnya adalah berwarna hijau dan lebat serta jumlah yang banyak. Ia adalah pokok jenis dieocious dengan berbunga bentuk cymose yang keluar dari pangkal pucuk daun muda. Seperti pokok rambutan dan pokok betik didapati bunganya juga ada kalanya bersifat Hermaprodit. Pendebungaan sering dibantu oleh serangga. Walau pun berlaku proses pendebungaan tetapi daripada 3 ovari yang ada pada bunga selalunya hanya 1 ovari sahaja yang akan membentuk buah (nuts). Jangkamasa pembentukkan buah pili ini selalunya mengambil masa yang agak lama. Lazimnya jika pokok pili ditanam dengan komersil dan rapat maka kadar buah banyak diperolehi jika pokok cukup matang dan cukup penjagaannya.
Buah Pili adalah jenis berangkai (Drupe) yang mana buah muda berwarna hijau (Sila lihat foto sebelah). Buah matang lazimnya mempunyai ukuran 4-7 cm panjang, 2.0 - 4.0 cm garispusat dengan berat sebiji buah sekitar 15 - 45 gram. Buah yang masak akan bertukar warna kepada coklat ungu gelap dengan bahagian kulit luar (exocarp) yang licin, berkilat dan keras sedikit (Sila lihat foto paling atas sekali). Buah yang masak akan gugur sendiri atau untuk ladang komersil ia boleh dipetik menggunakan galah. Pokok pili sesuai ditanam dikawasan tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina tetapi hanya di Filipina yang dilakukan secara komersil. Tanah yang gembur dengan saliran baik dan hujan banyak amat diperlukan untuk tumbuhan ini. Anak benih disediakan melalui pembiakan aseksual seperti cara marcoting, budding dan grafting. Benih yang ditanam dengan cara ini lebih cepat tumbuh dan matang. Tanaman ini hanya popular dibeberapa lokasi di Filipina seperti di Pulau Tablas dan persekitaran Bicol (iaitu di Selatan Tagalog dan Timur Visayas).
Lazimnya buah pili nut yang matang dituai pada bulan bulan Mei - Oktober dengan potensi pengeluaran sebanyak 100 -150 kg sepokok dewasa. Kajian menunjukkan puncak penuaian adalah pada bulan Jun - Ogos. Isi buah pili ini melekat ketika buah segar tetapi ianya akan lekang apabila dikeringkan dengan kandungan air 3 - 5% sahaja. Proses pengeringan pada suhu 30 Celcius selama 27 - 28 jam perlu dilakukan dengan menjemur ditengah panas atau menggunakan oven. Isi yang telah kering ini berwarna kekuningan dan lembut serta boleh disimpan pada suhu bilik sehingaa setahun lamanya tanpa kurang kualiti. Pili Nuts kaya dengan zat Manganese, Pottasium, Kalium dan Posforan serta bahan protein dan lemak yang baik untuk kesihatan manusia. Dari segi nutrisi juga kandungan Glyceride dan Asid Oleic (44 -55%) serta asid Palmitic (32-26%) menjadikan ia lebih bernilai. Pucuk mudanya boleh dijadikan ulam segar dimakan dengan nasi. Kulit buah muda boleh di makan selepas direbus dahulu. Ada juga mereka yang merebus buah pili dan dimakan dimana rasanya seperti makan kentang.
Kulit Buah Pili matang yang diproses boleh menghasilkan minyak masak yang kualitinya sama dengan cototn seed oil yang juga boleh dijadikan sabun mandi. Kulitnya juga boleh dijadikan bahan tanaman orkid kerana ia bersifat porous. Buah pili nuts yang telah diproses kelihatan enak dimakan dengan pelbagai perasa (Sila lihat foto disebelah). Biji pili nuts ini sering dimakan segar atau di panggang (roaested) dijadikan makanan snek. Biji pili nut sama seperti almond nuts sering dijadikan bahan dalam membuat kek, ais kerim dan juga biskut. Laporan menunjukkan pengimport utama pili nuts dunia adalah Hong Kong dan Taiwan kerana bahan ini digunakan dalam membuat 'Kuih Bulan'. Potensi tanaman ini adalah sangat baik setanding dengan Kacang Macedonia yang mendapat permintaan meningkat saban tahun. Isunya adalah hanya beberapa lokasi sahaja di Filipina yang menanam dengan beberapa varieti dan ianya tidak berapa berkembang. Ini disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan anakbenih akibat proses pembiakan yang sukar. Harga pili nuts dijangka akan terus meningkat akibat bekalan yang kurang berbanding dengan permintaan. Petani di Malaysia belum ada yang cuba menanam pili nuts secara komersill. mana tahu akan ada usahawan yang ingin mencuba menanam pili nuts ini. Penulis sempat meninjau pokok pili nuts di Taman Pertanian Sabah untuk melihat kajian yang dijalankan (Sila lihat foto dibawah). Semuga artikel ini menambah ilmu dari 'Anim Agro Technology' untuk rujukkan anda. Wasallam!.
PILI NUTS... BICOL JUGA DIA...
POKOK BESAR...BUAH ADA...
BUANG KULIT... ISI DIGUNA...
BELUM POPULAR...DIMALAYSIA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 202, Hotel Sento,
Keningau, Sabah,
Malaysia.
(19 JamadilAwal 1436H)
(Bersamaan 6 Mac 2015)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.