Support My Blog

Tuesday, November 4, 2014

KELULUT - PENGURUSAN MUSIM HUJAN (Part 2)

KELULUT (Heterotrigona spp) merupakan serangga yang boleh diternak untuk mendapatkan madu dan produk-produk lain. Di Malaysia terdapat sekitar 7 spesis kelulut yang sesuai diternak walau pun dua spesis amat popular iaitu terdiri daripada Kelulut spesis iaitu Trogona thoracica dan Trigona itama. Kedua-dua spesis ini memang ujud hidup semulajadi dikawasan kita di Malaysia dengan mendiami batang-batang kayu sebagai rumahnya. Batang kayu berlubang daripada pokok rambutan, pokok durian, pokok leban dan sebagainya sering menjadi kegemaran koloni kelulut. Kini telah ramai mula berminat dengan aktiviti untuk menternak lebah kelulut yang tidak menyengat (Stingless bee) dengan teknik menggunakan batang kayu dan juga kotak topping. Kini Jabatan Pertanian dan beberapa pihak swasta lain telah ada menganjurkan kursus teknikal mengenai penternakan lebah kelulut untuk mengembangkan lagi industri ternakan ini di Malaysia. Daripada rekod direktori perlebahan kebangsaan Jabatan Pertanian melaporkan seramai 730 orang individu dan syarikat terlibat dengan penternakan lebah madu tahun 2013. Sebahagian dari mereka adalah merupakan penternak lebah kelulut. Pengurusan ternakan kelulut sama seperti perlukan perhatian terutama ketika musin hujan dimana serangga tersebut tidak dapat keluar cari makan dan sumber nektar serta pollen juga kurang. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai cara untuk menguruskan ternakan kelulut ketika musim hujan bagi dijadikan bahan rujukan anda. Maklumat ini hasil daripada pengalaman penulis dan kursus teknologi ternakan kelulut.


Pemberian Makanan Tambahan merupakan satu cara yang boleh kita praktikal untuk pengurusan kelulut dimusim hujan. Penulis dapati daripada pemerhatian daripada penternak-penternak telah membuktikan kelulut memang suka pada beberapa buah-buahan terpilih sebagai makanan pilihan. Tanaman-tanaman tersebut ialah rambutan, duku/dokong, longan dan pisang. Pisang salai juga merupakan makanan kegemeran kelulut. Kelulut juga suka pada bunga pisang walaupun yang telah gugur ke tanah. Buah-buahan lain yang pernah digunakan oleh penternak sebagai sumber makanan tambahan kepada kelulut ialah betik, tembikai, rambutan, durian dan paling mudah dengan menggunakan buah pisang yang telah cukup masak. Dalam pada itu amat diingatkan agar penternak jangan meletakkan sumber makanan tambahan ini  dalam sarang kelulut kerana sumber makanan boleh menyebabkan kelembapan. Perkara ini menyebab kandungan air akan meningkat dan ini akan menimbul masalah kepada kelulut dalam usaha untuk mengurangkan kandungan air pada madu. Makanan buah-buahan ini juga boleh mengundang masalah yang berkaitan dengan kehadiran perosak. 


Daripada pemerhatian mendapati sebaiknya makanan tambahan juga tidak digalakkan diletakkan dekat dengan corong keluar masuk kelulut. Ini kerana makanan seperti buah rambutan (Sila lihat foto sebelah) yang dihidangkan kepada kelulut juga boleh manarik serangga lain seperti lalat dan perosak lain. Serangga musuh kelulut seperti ini akan datang ke kawasan corong sebab ada tarikan sumber makanan dan ini dikhuatiri boleh menyelinap masuk ke dalam sarang kelulut yang ada madu. Adalah disyotkan agar makanan tambahan atau sumber makanan tambahan ini seharusnya diletak ditempat khusus yang mana ia mesti berasingan daripada koloni kelulut. Tiang khas untuk meletakkan buah-buahan manis ini boleh dipasang dengan tapak diatasnya untuk meletakkan makanan tambahan ini. Ia juga seperti beberapa stesen makanan dimana ia boleh dibuat untuk meletakkan buah-buahan tersebut  yang mana tingginya separas dengan ketinggian dengan corong koloni. Makanan tambahan daripada formulasi pollen bee dengan madu boleh disediakan seperti artikel yang saya tulis (Sila rujuk disini). Petani di beberapa negara lain seperti di Indonesia dan Brazil ada mengamalkannya. Makanan ini yang dipanggil bebola makanan tambahan akan disalut dengan lilin cair sebelum diletakkan dalam kotak topping dan ianya lebih sesuai dilakukan.


Pada musim hujan lazimnya simpanan madu dan pollen boleh digunakan oleh kelulut untuk dimakan semula. Adalah lebih sesuai jika tidak Menuai Madu. Madu yang disimpan adalah stok untuk musim kekurangan sumber makanan yang disimpan dalam kantung madu (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya sumber makanan adalah terhad pada musim hujan dan kelulut tidak banyak dapat keluar mencari makanan. Semua penternak kelulut dinasihatkan supaya tidak menggangu koloni pada bulan-bulan tersebut. Gangguan pada koloni kelulut akan juga menyebabkan kurang selesa kepada koloni. Sebaiknya elakkan daripada menuai madu atau roti lebah pada musim hujan memandangkan roti lebah dan madu adalah sumber makanan bagi koloni tersebut. Jika ada makanan yang mencukupi bagi koloni maka akan ada jaminan jumlah koloni kekal pada populasi banyak dan ianya tidak berkurang walau pun musim hujan agak panjang. Sering lakukan pemeriksaan secara berkala untuk mengetahui akan situasi kelulut dalam musim hujan sama seperti musim biasa.


Keselamatan Koloni pada musim hujan adalah sangat penting dijaga. Kegagalan menjaga kayu dan kotak koloni lebah kelulut boleh menyebabkan kerosakkan pada koloni dan kayu yang mengandungi kelulut. Adalah disyorkan agar setiap koloni dikendalikan dengan lebih teliti pada musim hujan. Apa yang penting adalah untuk mempastikan air hujan tidak boleh masuk kedalam kayu atau kotak kelulut. Cara untuk menutup kayu dan kotak iaitu dengan teknik membungkus dengan lapisan plastik nipis (Sila lihat foto disebelah). Ini adalah agar air hujan yang berterusan tidak dapat meresap masuk ke dalam haif seterusnya masuk dalam bahagian sarang. Bagaimana pun sebaiknya jenis kayu atau kotak atau haif yang digunakan dilengkapi dengan bumbung kalis air yang diperbuat daripada logan seperti zinc atau di at atau dengan tikar getah yang dipotong. Bagaimana pun dengan cara meletakkan koloni tersebut ditempat selesa yang terletak dibawah teduhan seperti pondok atau wakaf adalah bersesuaian.  Penempatan koloni seharusnya jauh daripada kawasan yang mudah banjir (Kalau hanyut ... Nahas kita) atau mudah terdedah dengan angin kencang. Pastikan tempat meletak koloni kelulut tinggi dan selamat.Wasallam!.


TERNAK KELULUT...ADA CARA...
AMAT MUDAH ... MUSIM BIASA...
MUSIM HUJAN...PERLU DIJAGA...
BACA ARTIKEL... BARU TAHUNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiaru Sekayu,
Kuala Berang,
Terengganu, Malaysia.
(8 Muharam 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...