Support My Blog

Tuesday, August 21, 2012

AZOLLA

AZOLLA (Azolla sp) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Azollaceae iaitu tumbuhan akuatik yang terapong diatas permukaan air berwarna hijau yang sering kita jumpa dalam sawah padi atau kolam. Terdapat 7 jenis tumbuhan Azolla ini dan kita boleh bahagikan kepada 3 kategori iaitu yang tumbuh di kawasan Asia (Azolla japonica, Azolla filliculoides dan Azolla pinnata), Kawasan Afrika (Azolla nilotica) dan Kawasan Amerika (Azolla caroliniana, Azolla mexicana dan Azolla microphylla). Jenis azolla yang banyak tumbuh sendiri di kawasan Asia Tenggara adalah dari jenis Azolla pinnata yang kaya dengan kandungan protin (diantara 25 - 30%) dari kandungan berat kering. Tumbuhan ini kurang mendapat perhatian di negara kita kerana tidak ramai yang mengusahakan tumbuhan ini kecuali untuk di letakkan dalam akuarium ikan dan dibiarkan dalam sawah padi. Artikel subuh 28 Ramadan ini saya menulis mengenai azolla dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama.


Azolla yang sering kita jumpa di sawah padi adalah tumbuh sendiri yang mana benihnya masuk kedalam sawah melalui sistem bekalan air. Apabila mendapat baja dan cahaya matahari, azolla akan membiak dengan cepat dan memenuhi ruangan air didalam sawah sehingga menjadi permukaan air yang hijau (Foto sebelah). Azolla sebenarnya mampu bersimbiosis dengan sejenis bakteria Biru-Hijau yang dikenali dengan nama Anabaena azollae yang boleh mengikat Nitrojen terus dari udara. Kejadian ini membolehkan tumbuhan ini sesuai dijadikan baja asas hijau kepada sawah padi sama ada sawah berair atau sawah kering. Walau pun di negara kita kurang diperkatakan akan menafaat azolla, beberapa negara jiran telah mengaplikasikan dengan lebih sesuai.


Azolla dalam keadaan persekitaran yang sesuai (Optimum condition) mampu tumbuh dan membiak dengan cepat iaitu sekitar 35% setiap hari. Kajian saintis mendapati azolla mengandungi kandungan zat makanan tinggi dengan protin (25-30%), Asid Amino seperti Lisin (0.42%) iaitu jauh lebih tinggi daripada jagung, dedak dan byproduk beras. Ini menjadikan tumbuhan ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan makanan kepada aktiti ternakan dan ternakair.  Dalam penanaman padi ianya memang tidak dinafikan sangat memberikan kesan baik. Dibeberapa negara seperti di China dan Vietnam, penggunaan amalan agronomi kombinasi azolla terbukati memberikan hasil yang tinggi kepada tanaman padi mereka. Azolla yang sesuai dipanggil sebahaj 'Baja Hijau Semulajadi' ini memberikan baja N tambahann kepada padi. 


Walaupun kita hanya kenal akan Azolla pinnata di sawah, kajian oleh para saintis mendapati jenis Azolla microphylla lebih baik digunakan kerana jenis ini tumbuh lebih tebaal, bertompok-tompok dan ianya mengandungi nitrisi yang lebih tinggi (Lihat foto sebelah). Jenis ini sanat sesuai untuk ditanam dan dijadikan bahan makanan untuk ternakan seperti ternakan ikan, lembu, ayam, kambing dan sebagainya. Cara menghasilkan tanaman azolla mudah sahaja iaitu dengan menyediakan kolam asas atau induk diisi dengan air. Pastikan ianya terdedah kepada cahaya metahari dan bubuh baja tahi kambing yang dibancuh didalamnya. Masukkan benih azolla didalamnya. Ianya akan membiak dengan cepat dan kutip hasilnya untuk diberi makan kepada ternakan. Mudah sahaja! Semuga artikel ini menambah ilmu pengetahuan kita. BERSAMBUNG!

NAMANYA AZOLLA...HIJAU DAUNNYA....
TUMBUH TERAPONG...BANYAK FAEDAHNYA...
TANAMAN PADI..NITROJAN DIBEKALNYA...
TINGGI PROTIN...TERNAKAN MAKANANNYA...

By,
M Anem
Sawah Ring, Muar,
Johor, Malaysia.
(2 Shawal 1433H)          

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...