Support My Blog

Tuesday, August 21, 2012

CENDAWAN BUSUT

CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp) merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh liar dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai. Saya memang kenal akan cendawan busut ini kerana sering makan ketika zaman remaja dulu dimana memang mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sekitar kampong saya di Gersik, Muar, Johor. Memang enak dan sedap cendawan busut ini yang di masak sayur tumis atau lebih lazat lagi di buat sup cendawan busut. Isinya yang lembut dan aromanya yang wangi menyebabkan cendawan busut ini menjadi hidangan istimewa pada musim cendawan ini di jumpai dari kawasan kebun. Pada masa ini setelah saya belajar mengenai kulat, saya dapati cendawan busut ini terdapat lebih dari 60 spesis diseluruh dunia dimana hanya 18 spesis sahaja yang telah dibuat kajian dan pencirian oleh saintis. Cendawan busut adalah berkait rapat dengan anai-anai dimana ianya sering tumbuh dimana ada koloni anai-anai dan juga merupakan sumber makanan utama kepada koloni anai-anai.  Jenis yang terdapat di Malaysia yang saya tahu ada dua yang boleh dimakan iaitu Termitomyces heimeii dan Termitomyces albuminosa. Pada petang akhir Ramadan 1433H ini saya menulis mengenai cendawan busut berdasarkan kepada pengalaman penulis, rujukan dari buku ilmiah dan rujukkan dari beberapa laman sesawang lain untuk ditulis dalam didalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.


Cendawan busut hanya didapati dikawasan ladang sawit, ladang getah, dalam hutan dan kawasan belukar yang bebas dari sebarang jesan racun dan terdapat koloni anai-anai (Dari Spesis Microtermes atau Spesis Odototermes)  dikawasan persekitaran tersebut. Beberapa perkara dan fakta mengenai cendawan busut yang saya faham adalah keujudannya sering berlaku  selepas hujan dalam cuaca agak lembab dan ada busut dari koloni anai-anai berdekatan. Lazim juga saya jumpa yang cendawan ini tumbuh diatas busut anai-anai atau sekitarnya dan menghasilkan bau atau aroma yang kuat. Cendawan ini tumbuh secara berkoloni atau berkelompok di suatu lokasi sahaja dan walau pun puas kita tinjau kawasan lain di kebun tidak pun akan jumpa. Selalunya semasa berjalan dibawah pokok getah untuk aktiviti menoreh getah, kalau ada cendawan busut boleh diketahui dengan bau yang kuat atau kita ternampak dengan mata sendiri.


Bentuk cendawan busut adalah berbentuk 'Pilleus' iaitu ada batang dan tudung (Lihat foto sebelah). Cendawan busut yang baru tumbuh akan mempunyai tudung yang masih bertutup seperti kudup bunga dan ianya akan terbuka penoh beberapa jam kemudian. Warna cendawan busut berbeza mengikut lokasi dari warna yang betul-betul putih, warna putih krim dan juga warna kelabu. Penting diingatkan, hanya cendawan busut yang mempunyai akar panjang sahaja yang boleh dimakan dan cendawan seperti cendawan busut yang tidak ada akar jangan diambil. Akar ini dipercayai boleh memanjang hingga mencecah sarang anai-anai. Ada kalanya cendawan busut keluar dengan kuantiti yang banyak sehingga beratus kilogram dalam satu masa atau lokasi. Lazimnya apa yang saya jumpa dulu kuantitinya sekitar 5 - 10 kg sahaja. Satu lagi petua penting yang cendawan busut tersebut adalah jenis boleh dimakan / edible (non poisoinous) adalah jika ada tanda terdapatnya hidupan lain seperti serangga agas dan semut makan cendawan yang telah matang.


Pernah kita dengar ada orang sakit perut malahan ada kes membawa maut setelah mereka makan cendawan busut. Menurut beberapa buah buku yang saya baca, ada dinyatakan cendawan yang mempunyai marfologi hampir menyerupai cendawan busut seperti dari Spesis Lepiota (Foto di sebelah), Spesis Macrolepiota dan Spesis Amanita. Spesis-spesis ini  juga tumbuh dikawasan yang mungkin sesuai untuk cendawan busut pernah di dapati. Kalau dilihat dari segi fizikal, ianya agak serupa apa lagi kalau kita kurang ariff tentang cendawan ini, memang orang akan anggap 3 spesis cendawan tersebut sama dengan cendawan busut tetapi hakikatnya ia adalah cendawan beracun. Saya ingin ulangi akan petua hendak pastikan bahawa yang kita tuai sebagai cendawan busut, nasihat saya berasaskan kepada  3 perkara asas yang perlu diingati iaitu baunya yang kuat, ada serangga atau ulat yang makan dan serangga tidak mati (sentiasa menghurungi) dan cendawan busut ada ciri mempunyai akar yang agak panjang kedalam tanah.


Cendawan busut boleh di tuai dengan cara mencabut dengan tangan atau gunakan pisau tajam memotong pangkal cendawan . Kemudian dikumpulkan kedalam baldi atau bekas besen yang bersih dan buang tanah yang melekat. Ketika mencabut cendawan dari permukaan tanah buat dengan teliti dan hati-hati agar cendawan tidak patah atau perdunya tertinggal dalam tanah. Bersihkan cendawan busut dari kekotoran tanah dan basuh sehingga bersih. Potong cendawan busut tersebut mengikut urat ari dan jika bersih ianya boleh mula di masak. Pastikan jangan makan cendawan busut mentah ditakuti ada kesan beracun atau sebagainya. Saya paling suka masak sup cendawan busut (Lihat foto diatas) atau cendawan busut masak lada hitam atau tumis dengan cili padi. Cendawan busut mengandungi antioksidan yang banyak dan baik untuk kesihatan. Enak dimakan dengan nasi panas selepas dimasak ketika perut lapar. Harga cendawan busut dipasaran diantara RM 30.00 - RM 40.00 sekilogram, itu pun memang susah hendak jumpa di pasar atau di pasar tani. Nasib baik sahaja akan ada orang kampong atau jiran tetangga di kampong yang hantar cendawan busut kerumah. Bolehkah kita ambil spora cendawan busut dan kita tanam macam cendawan komersial yang lain?....Sila jawab....

CENDAWAN BUSUT..... JARANG JUMPANYA....
TUMBUH BERKOLONI...ANAI-ANAI PUNCANYA....
BERWARNA PUTIH... AMAT KUAT AROMANYA...       
SEDAP DIMAKAN... BANYAK KHASIATNYA....

By,
M Anem
Kg Parit Bengkok/Off Gunong Sari,
Gersik, Ledang, Johor,
Malaysia
(29 Ramadan 1433H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...