Berapa banyakkah ulat perosak daun yang anda ketahui menyerang tanaman kita?... Satu jenis, dua jenis atau lebih daripada itu? Artikel kali ini saya akan berkongsi maklumat mengenai mengenai perosak 3 Jenis Ulat Daun yang jika tidak dikawal akan menyebabkan hasil tanaman kita terancam dengan teruk. Pesawah padi antara mereka yang terdedah kepada serangan ulat makan daun di semua dari peringkat awal penanaman dan akan menjejaskan penghasilan hasil padi. Pelbagai kajian telah dijalankan oleh para saintis mengenai masaalah serangan ulat ratus termasuk menggunakan varieti padi yang tahan, kawalan biologi, kawalan kimia, 'pest suiveilance' dan bermacam kaedah lagi.
1) ULAT RATUS
Ulat Daun yang pertama ialah jenis ULAT RATUS (Spodoptera mauritia) merupakan sejenis ulat dari Kupu-kupu dewasa iaitu keluarga NOCTUIDAE yang merupakan perosak kepada banyak jenis tanaman padi. Ulat ini merosakkan tanaman padi yang memakan daun padi sehingga rosak teruk. Saya kenal ulat ini ketika membantu bapa menanam padi pada tahun 1970'an di Sawah Ring, Muar, Johor dimana bapa mengusahakan tanaman padi seluas 2 ekar. Pada masa itu tanaman padi adalah untuk kegunaan sendiri. Jadi keluarga saya sentiasa makan beras baru dengan mengisar padi yang telah dijemur dari setor simpanan kayu (dipanggil 'Kepok') setiap 2 minggu atau sebulan sekali. Ulat ratus mudah merebak dalam sawah padi. Kajian mendapati ulat ratus terdapat dikawsan Asia dan Australia yang mengancam tanaman padi sawah.
Kupu-kupu dewasa yang berwarna kelabu hitam dan mempunyai bintik-bintik berwarna hitam (Lihat foto) pada sayapnya akan bertelur yang berwarna putih dan berbentuk bulat. Telur yang terlekat pada daun padi akan menetas dan seterusnya menghasilkan larva atau ulat yang berukuran 38 mm panjang berwarna hijau, kelabu dan coklat kehitaman. Ulat ini akan memakan daun padi sehingga musnah terutama pada musim kering atau cuaca panas kemarau. Serangan ulat ini amat bahaya jika tidak dikawal dari peringkat awal dan dibiarkan. Larva akan membentuk kepompong (pupae) berukuran 13 mm panjang sebelum menetas menjadi kupu-kupu dewasa dan bertelur semua di atas daun padi. Kadar merebak serangan perosak ini adalah sangat cepat dan merugikan pesawah jika tidak dibuat 'pest surveilance' pada setiap masa.
Kawalan ulat ratus menggunakan menggunakan Konsep Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM). Kawalan paling lazim dijalankan adalah dengan semburan racun kimia degan racun yang mengandungi bahan aktif seperti Cartap hydrochloride (Jenama Padan ; Tadan), Tebufonozide (Jenama Mimic 20S), Thrichlorofom (Jenama Dipterex) dan Carbaryl (Jenama Carbacide atau CH Carbaryl). Kawalan biologi menunjukkan serangga cengkerik memakan ulat ratus diperingkat larva, nim dan juga peringkat dewasa. Terdapat juga jenis kulat yang menyebabkan kerosakan pada larva ulat ratus. Pastikan mengawal dengan menggunakan racun mengikut arahan pada label.
2) ULAT LAYAR
Ulat Pemakan Daun yang kedua adalah ULAT LAYAR (Nymphula depuntalis) yang juga menyerang tanaman padi. Ulat Layar terdapat dikawasan sawah padi di Malaysia, Filipina dan juga Thailand. Ulat ini mudah menyerang tanaman padi dimana keadaan sistem pengairan disawah padi kurang elok. Kupu-kupu dewasa lazimnya mempunyai kepak berwarna lutsinar dengan terdapat garisan zigzag berwarna perang. Ia akan bertelur pada daun padi dan telurnya berbentuk oval dengan warna kekuningan. Telur akan menetas dalam tempuh 3 hari sahaja sebelum menjadi larva (ulat) yang akan memakan daun dan merosakkannya.
Larva Ulat Layar berwarna hijau lutsinar dengan bahagian kepala agak berwarna kekuningan dan lazimnya tinggal dalam bekas gulongan daun (daun yang diserang akan bergulung-gulung). Tempoh peringkat larva antara 13-26 hari (13 hari makan daun) sebelum menjadi kepompong. Kepompong akan terbentuk dalam gulungan daun di pangkal pokok padi selama 3-7 hari. Kerosakan adalah dengan larva memotong dan membuat sarung pada daun padi dan bersembunyi didalamnya. Larva akan makan bahagian hijau daun. Akibatnya daun rosak dikenalpasti dengan meninggalkan lapisan putih berjalur atau bertompok pada rumpun padi. Kawalan kimia dijalankan dengan Racun Dipterex (Bahan aktif: Trichlorophon), Racun Applaud (Bahan aktif : Buprofenzine + Tebufenozide) dan Racun Malathion (Bahan aktif : Malathion). Kawalan biologi ialah dengan ujudnya Serangga Penyengat yang makan larva ulat layar.
3) ULAT LIPAT DAUN
Ulat Lipat Daun (Cnaphalocrosis medinalis) juga merupakan salah satu perosak utama dalam industri tanaman padi. Ulat ini terdapat dikawasan sawah padi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Myanmar dan juga Filipina. Kupu-kupu dewasa mempunyai warna putih kekuningan dengan bahagian kepak terdapat garisan perang merentangi kepak. Kupu-kupu dewasa ini sangat aktif dan bertelur pada waktu malam. Sepanjang dewasa seekor kupu-kupu ini mampu bertelur sebanyak 250 biji. Saya tak boleh nak kira berapa banyak populasi kupu-kupu ulat ini dalam satu lokasi sawah padi yang tidak diperiksa. Telurnya sama ada dalam sebiji-sebiji atau berkelompok dibahagian bawah daun dan lazimnya menetas dalam masa 5 hari sahaja. Larvanya mempunyai 4-6 instar berukuran 12-25 mm dimana hidup selama 15-13 hari. Pada masa itulah larva ini akan menyerang daun padi dari peringkat muda sehingga dewasa.
Larva akan menyerang padi daripada peringkat awal pertumbuhan sehingga padi berbuah dengan menggulong daun dan mencantumkannya dibahagian hujung. Larva akan makan bahagian hijau daun sehingga meninggalkan bahagian kutikelnya. Tanda serangan apabila dilihat terdapat jalur-jalur berwarna ceraah yang bertompok-tompok pada daun. Larva akan menjadi kepompong dalam masa 7-8 hari yang berwarna coklat berukuran 9-12 mm sebelum keluar menjadi kupu-kupu dewasa. Kajian mendapati penggunaan baja UREA yang berlebihan akan menyebabkan merebaknya perosak ini. Antara kawalan biologi perosak ini adalah dengan Kumbang, Ladybird dan Labah-labah yang memakan serangga ini disawah. Kawalan kimia sama seperti kawalan kimia diatas.
ADA ULAT DAUN....DISAWAH PADI.......
SERANGAN TERUK..HASIL TAK MENJADI...
PERLU DIKAWAL...KAWALAN BIOLOGI...
GUNAKAN RACUN...LEBIH BERKESAN LAGI...
By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Ahad 3.25 petang)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.