Support My Blog

Sunday, July 24, 2011

NENAS ORGANIK

NENAS ORGANIK (Ananas cosmosus) merupakan satu produk yang boleh di ketengahkan untuk pasaran khusus (NICHE MARKET)dari Malaysia khususnya pasaran ekspot. Pengeluaran nenas pada masa kini kebanyakannya adalah menggunakan kaedah konvensional yang menggunakan baja dan racun kimia. Pengurusan agronomi tanaman nenas juga banyak melibatkan aktiviti penggunaan pil ANAA atau Ethrel untuk proses  Aruhan Bunga Nenas. Mampukah Malaysia menghasilkan produk 'Nenas organik' pada masa akan datang dengan Teknologi Penanaman Nenas Organik yang sesuai?. Artikel ini saya cuba membincangkan Teknologi Penanaman Nenas Organik berdasarkan kepada beberapa petak pemerhatian dan laporan teknikal daripada pakar-pakar dalam bidang 'Natural Farming' yang dijalankan dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan dan rujukkan anda.

Penanaman nenas organik perlukan kawasan yang sebaik-baiknya tanah baru (Belum pernah menggunakan bahan kimia) atau tanah kebun sedia ada yang disekelilingnya bebas dari aktiviti pertanian konvensional dimana penggunaan bahan kimia amat minima atau tiada langsung. Proses permohonan Sijil Organik Malaysia (SOM) memerlukan masa 1-2 tahun untuk mendapatkan sijil tersebut dan faktur lokaliti adalah satu daripada perkara asas untuk proses persijilan. Tanah mineral atau tanah gambut yang dipilih sebaiknya mempunyai sumber air yang bebas dari pencemaran dan bersih. Petani atau Usahawan serta pegawai pembimbing Ladang Nenas Organik perlu di berikan Latihan khas mengenai pengurusan Ladang Nenas Organik agar mendapat kefahaman mencukupi dan 'Hands-on Training' dalam pemahaman teknologi dan pengurusan ladang.

Konsep Perladangan Nenas Organik menggunakan 'Kaedah Fertigasi Ubahsuai' menggunakan kaedah Semburan Baja melalui Sistem Sprinkler (Foliar Fertilizer Sprinkler System).  Penyediaan Kawasan dengan membajak kawasan seperti merotor dan membina batas setinggi 15 cm dan bubuh lapisan plastik silvershine (Gred A) selebar 6 inci diatasnya. Taburkan baja asas  organik IMO 5 (Dalam bentuk debu) 10 hari sebelum menanam dengan kadar sebanyak 3 metrik tan sehektar. Tutup dengan plastik silvershine sebanyak 25 gulong sehektar kemudian kita sediakan sistem pengairan sprinkler dimana anggaran keperluan sebanyak 400 head/hektar. Jarak semburan alat sprinkler adalah 10 meter garispusat dengan pertindihan pengairan sebanyak 65%.

Buat lubang penanaman pada plastik silvershine sedalam 10 -15 cm dengan menggunakan alat penebuk lubang dengan jarak 30 cm x 30 cm ( 1 kaki x 1 kaki) untuk mendapatkan sebanyak 4 pokok satu baris penanaman dan memberikan kepadatan tanaman sebanyak 65,000 pokok sehektar. Jarak antara batas adalah sejahun 60 cm untuk aktiviti pengurusann kebun. Buat rawatan sulur benih dengan mencelup sulur kedalam larutan OHM selama 2-3 minit sebelum menanam. Pastikan menggunakan sulur benih yang sebenar (elakkan menggunakan anak benih tisu didik) dengan saiz sulur sebaiknya 25-30 cm panjang. Jenis varieti yang disyorkan adalah dari Jenis MD2 untuk tujuan pengeluaran nenas organik.

Pembajaan pertama tanaman nenas organik dijalankan pada minggu ke 8 (2 bulan lepas tanam) dengan menggunakan baja larutan organik (4 jenis bahan Campuran bahan FPJ, FAA, PCA dan CA) dengan kadar sebanyak 3,000 liter/ha yang disembur melalui sistem sprinkler selama 30 -45 minit setiap plot tanaman. Pastikan kerja penyemburan tidak di ganggu dengan cuaca hujan. Sebaiknya penyemburan dijalankan pada awal pagi atau pada lewat petang. Ini kerana pokok nenas tidak aktif pada masa tengahari atau pada masa adanya sinaran cahaya matahari. Nenas adalah tumbuhan CAM iaitu tumbuhan yang tidak aktif waktu siang tetapi aktif pada malam hari. Nenas juga merupakan tumbuhan yang sangat kurang menggunakan air (seperti juga kaktus).

Kawalan rumpai perlu dijalankan sejak mula iaitu minggu ke 8 - 18 dengan kaedah manual seperti menajak, mencabut secara manual (Rumput hanya terdapat dilorong antara batas) kerana dapat dikurangkan dengan penggunaan plastik silvershine atas batas. Bagi kawalan musuh dan penyakit nenas semburkan larutan organik NF dengan kadar 60 liter/ha di campur dengan 3,000 liter air yang disembur pada minggu ke 18 menggunakan sistem sprinkler.  Pembajaan Organik kali Ke 2 dijalankan pada minggu ke 20 dengan menyembur baja Tumbesaran II sebanyak 23 liter baja NF dengan 3,000 air setiap hektar. Pastikan penyemburan baja kali kedua menggunakan sistem bancuhan sempurna didalam tangki simpanan sebelum disembur. Kawalan rumpai terus dijalankan setiap  masa.

Proses Aruhan Bunga dijalankan pada minggu ke 36 dengan menyembur larutan organik NF sebanyak 23 liter (FFJ, FAA, PCA, CA) yang dicampur dengan 3,000 air setiap hektar. Bahan larutan dibancuh dalam sistem dan disemburkan kepada pokok nenas sehingga rata. Jalankan pemeriksaan proses aruhan bunga sehingga minggu ke 42 dan ulangi proses jika peratus pengeluaran bunga tidak memberangsangkan. Pada minggu ke 44 perlu dijalankan proses pembajaan buah (Pembajaan Foliar ke III) dengan menggunakan larutan NF Organik sebanyak 43 liter setiap 3,000 liter air sehektar dengan menggunakan sprinkler. Pastikan penyemburan mengikut keadaan cuaca pada pagi atau petang.

Pembajaan kali ke IV atau baja pembuahan akan dijalankan pada minggu ke 48 dengan baja larutan organik NF dengan kadar sebanyak 43 litar setiap 3,000 liter air sehektar. Semburan baja menggunakan sistem sprinkler dengan masa 30 minit setiap plot penanaman.  Pengurusan penanaman yang baik akan menghasilkan buah nenas organik dimana kerja menuai akan boleh dijalankan pada minggu ke 56. Buah yang bersaiz sesuai boleh dipetik menggunakan parang dan dikumpulkan sebelum digredkan dan dipasarkan. Manual tanaman nenas organik ini merupakan satu cara yang MUNGKIN boleh dijalankan dengan syarat terdapat kajian lanjut dalam sistem perladangan nenas organik.

NENAS ORGANIK... BOLEH DIUSAHAKAN...
TIDAK ADA KIMIA... IMO DIGUNAKAN...
HASIL SELAMAT... RACUN DIELAKKAN...
PASARAN DOMESTIK.. EKSPOT KEPASARAN..

By,
M Anem
Institut Latihan LPP
Langkawi
Kedah, Malaysia.
(Updated at 30 Oktober 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...