Support My Blog

Saturday, September 11, 2021

TEKNOLOGI TANAMAN PAKU MIDIN

TANAMAN PAKU MIDIN
(
Stenochlaena palustris (Burm.f.) Bedd kini boleh dilakukan setelah beberapa kajian agronomi dijalankan oleh Jabatan Pertanian Sarawak. Tumbuhan paku midin ini adalah daripada famili Blechnaceae yang tergolong didalam kumpulan pakis. Paku midin yang menjadi makanan popular terutama di Sarawak dan juga beberapa negeri lain sebenarnya banyak diambil daripada pokok pakis liar yang tumbuh dikawasan tanah paya dan lembap. Paku midin atau ada yang menyebutnya sebagai 'paku miding' merupakan pucuk midin yang lembut dan kian menjadi makanan kegemaran pelancung dan penduduk tempatan Sarawak. Penulis blog yang pernah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak dahulu memang mengenali sayur paku midin yang banyak tumbuh dikawasan rumah kuarters selain daripada membelinya di Pasar Satok dengan kualiti masih segar dan harga yang murah. Selain daripada sayur midin, penulis blog juga sering membeli rebung buluh segar di Pasar Satok dan juga Cili Granong (Habanero) yang pedas setiap minggu. Pengalaman penulis blog yang sering membuat tinjauan teknologi dahulu bagaimana pun belum jumpa pakej amalan teknologi penanaan pokok paku midin sehingga ia di selesaikan dalam 5 tahun kebelakangan ini sahaja. Penulis blog juga pernah terlibat dalam usaha membangunkan teknologi tanaman paku pakis ditanah gambut Negeri Johor dahulu akan tetapi masih diperingkat pembangunan sehingga kini. Bukan mudah juga untuk menanam paku pakis yang mana pengurusannya adalah agak berlainan dengan cara menanam sayuran komsersil lain yang diusahakan. Artikel malam Sabtu ini sambil saya menonton Berita Astro Awani 531, saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology"  berkaitan engan pakej amalan teknologi penanaman paku midin yang sukar didapati untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog semua.

Tumbuhan paku midin atau paku pakis 
merupakan tanaman semusim rizomatous dan epiphytic dengan bahagian akarnya mencengkam di tanah. Ia juga biasanya terdapat di kawasan paya gambut dan air tawar dan juga di hutan belukar. Pucuk paku midin yang lembut, berdaun atau tanpa daun terbuka adalah digunakan secara tradisional sebagai sayur. Pelepah yang berdaun kecil yang mempunyai banyak komponen spora biasanya tidak dimakan. Warna pelepah berbeza dari hijau muda ke hijau tua atau kemerah-merahan. Pelepah subur dan warna merah terhasil daripada tindak balas kepada pertukaran persekitaran yang tidak menentu seperti cuaca dan jerebu. Jabatan Pertanian Sarawak menyatakan dimana bagi menyediakan benih dan semaian untuk menanam paku midin ini agak unik. Paku Midin boleh dibiak daripada spora atau batangnya seperti batang rizomatous. Sebaiknya keratan batang sepanjang 25-30 cm dengan 2-5 buku dimana sesetengah daun diambil dari pokok midin liar yang dikenalpasti sesuai untuk dijadikan benih. Keratan tersebut perlu dicucuk dahulu ke dalam beg plastik kecil 10 cm x 25 cm (4" x 8") yang berisi tanah campuran atau jenis tanah subur. Pastikan penyiraman sering dilakukan untuk mempercepatkan proses pertumbuhan benih tersebut. Kira-kira 2-3 minggu kemudian dan apabila sudah tumbuh sebaiknya selepas itu beransur-ansur didedah kepada sinaran matahari untuk pertumbuhan lebih baik. Dalam tempoh ini seperti habitat paku midin dikawasan liar sebaiknya aktiviti penyiraman mestilah dilakukan dengan kerap. Amalan membaja dengan memberikan baja bintil dan beberapa sudu baja organik lengkap reput adalah juga baik diberikan agar proses pertumbuhannya lebih subur. Kira-kira 3-4 bulan kemudian keratan benih tersebut sudah sedia untuk diubah ke ladang. Pastikan hanya memilih anakbenih yang subur, cukup saiz dan besar untuk ditanam diladang.

Penanaman di ladang paku midin perlu dirancang setelah penyediaan benih mencukupi dan sedia untuk tujuan dipindahkan. Sebenarnya paku midin ini adalah sesuai ditanam di atas pelbagai jenis tanah dari keadaan tanah daripada jenis tanah tanah asid sulfat yang rendah, paya gambut hinggalah kepada jenis tanah mineral berbukit. Di kawasan tanah berbukit bagaimana pun sebaiknya tanah boleh dibajak untuk kerja menggaul baja organik dengan kuantiti banyak ke dalamnya. Kawasan yang dipilih untuk menaman paku miding hendaklah dipilih dan dipastikan jenis tanah yang lembab kepada tanah basah. Bagaimana pun kajian mendapati dimana proses pertumbuhan dan pengeluaran pelepah paku midin adalah terhad sekiranya ia terdedah kepada terlalu banyak air. Pokok Paku Midin yang ditanam di tanah basah lembab berdekatan dengan sumber air akan mengeluarkan hasil yang lebih baik dari segi kuantiti dan kualiti selain daripada tahap kesuburannya. Menanam paku midin dengan mana benih keratan yang sudah berakar diubah ke tanah yang sebaiknya dinaikkan batas datar dengan saiz berukuran 1.2 - 1.5 m lebar. Disyorkan agar paku miding ditanam pada jarak 60 cm x 60 cm dalam dua barisan atau 30 cm jika cara menanamnya dalam satu barisan. Sebaiknya dipastikan untuk memberikan ruang selebar 1.5 - 1.8 meter di antara barisan untuk kemudahan laluan dan menjalankan aktiviti menyelenggara tanaman ini. Kira-kira 10,000 pokok midin diperlukan untuk kepadatan agar pertumbuhan satu hektar petak dengan jayanya dan cepat membesar. Pastikan kawasan tersebut juga mempunyai sinaran cahaya matahari yang mencukupi. Lakukan aktiviti penyiraman selepas penanaman sehingga pokok paku midin stabil pertumbuhannya. Aktiviti penting pengurusan tanaman paku midin adalah pembajaan. Sebaiknya satu atau dua kali pembajaan diperlukan dengan memberikan sebanyak 200 - 400 gram/meter padu baja reput (naja organik) dan sebanyak 10-20 gram/meter persegi dengan baja NPK 15:15:15 atau 12:12:15 atau 12:12:17:2. Baja biasanya akan menggalakkan pertumbuhan dalam tempoh 6 - 8 bulan. Bergantung kepada kesuburan tanah, kekerapan pembajaan boleh dipertingkatkan kepada sekali dalam 2-3 minggu semasa dalam pengeluaran. Pembajaan berlebihan hasil kejian mendapati akan mengurangkan hasil.

Paku midin ditanam di tanah datar biasanya perlu dilatih memanjat pokok atau pada kayu sokongan hidup atau struktur lain yang sesuai yang membolehkan lebih banyak ruang untuk mempercepatkan proses pengeluaran hasil. Sekiranya ia ditanam di tanah datar biasanya paku miding akan merayap di atas tanah. Batang yang produktif cenderung menjadi kurus dan tumbuh menegak. Sekiranya pucuk-pucuk ini mewujudkan pelepah yang lemah maka ia harus dipotong bagi tujuan untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk baru. Daun dan pucuk lama boleh dicantas sekali setiap 6 bulan bagi membolehkan pertumbuhan baru. Oleh kerana tiang memberikan ruang lebih luas untuk pucuk-pucuk paku tumbuh dimana secara teorinya, sistem penanaman ini boleh menghasilkan lebih banyak pelepah. Tiang sokongan atau cuat dicucuk pada jarak 1 meter dalam barisan dan 1.5-1.8 meter jarak antara satu sama lain. Bagi memudahkan kerja-kerja memetik sebaiknya ketinggian cuat tidak harus melebihi 150 cm (5') dari atas tanah. Dan seperti sistem penanaman datar, daun dan pucuk tua harus juga dicantas. Berbanding dengan penanaman secara mendatar, penuaian pertama agak lewat. Diingatkan agar jangan gunakan mana-mana racun herba untuk mengawal rumput kerana paku miding sangat sensitif terhadap racun. Dalam musim panas dan kering ingat agar pengairan sangat berguna terutama di tanah tinggi. Dilaporkan jenis perosak dan penyakit kurang dan tidak serius dan tiada penggunaan kimia diperlukan. Oleh kerana biasanya penanaman miding memerlukan input kimia yang minima maka jumlah pengeluaran hasil boleh dilakukan dengan cara menggunakan baja organik.

Semua pembaca pastinya ingin tahu akan aktiviti penuaian dan pra-tuai bagi penanaman paku midin. Disyorkan agar pelepah muda paku midin dituai setiap 3 hari sekali dimana biasanya dibuat apabila sudah kering daripada embun pagi atau menuai pada lewat petang. Kerja menuai dilakukan secara memetik dengan cara mematahkan bahagian tangkai bahagian bawah daunnya yang bergulung dengan cara menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Tangkai-tangkai ini kemudiannya dikumpul di dalam bakul dengan baik sebelum ianya digredkan dan dijual atau dimakan sendiri (Sila lihat foto disebelah). Pelepah bergaris pusat lebih daripada 3 cm sesuai digredkan berasingan sebagai gred super A, B dan C dan diasingkan.  Tangkai-tangkai ini kemudiannya dipotong 20 cm daripada pucuknya dan diikat kepada ikatan sekitar 250 gram atau 500 gram setiap satu. Setiap ikat dibungkus dengan daun dan diikat dengan gelang getah. Untuk mengekalkan kesegarannya sebaiknya bungkusan paku miding diletak ke dalam bekas dengan bahagian yang dipotong direndam dalam 0.5 cm air kedalamannya. Bagi tujuan untuk penyimpanan yang lebih lama, paku miding dibungkus dengan kertas terlebih dahulu dan sesuai diletak dalam beg plastik disimpan dalam kotak yang dingin. Hasil yang diperolehi daripada petak penanaman yang diwujudkan di tanah mineral dan asid sulfat, purata hasil yang direkod ialah 5-18 mt/ha. Daripada jumlah ini dilaporkan sekitar 20% paku midin tersebut adalah jatuh dalam gred A. Analisa ekonomi dan pulangan kewangan bagi sehektar tanaman pakis juga dianalisa. Anggaran Kos Pengeluaran adalah sebanyak RM4,000 - RM6,000 untuk mendapatkan sehektar paku midin. Sebahagian besarnya adalah untuk kos membuat petak, terutama kalau miding ditanam bercuat, dan untuk penuaian. Penggunaan tenaga kerja separuh masa atau keluarga sendiri biasanya boleh mengurangkan kos pengeluaran. Jika harga ladang sekitar RM0.50 seikat (250 gram) atau RM1.00 (500 gram) maka anggaran pendapatan kasar adalah sebanyak RM10,000 - RM36,000 sehektar. Semuga artikel ini boleh memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
MENANAM MIIDIN... TEKNOLOGI ADA,,,
SEDIAKAN BENIH.. 3-4 BULAN LAMA...
BENIH DITANAM... DISIRAM DIBAJA....
MENGUNTUNGKAN... JIKA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia. 
(5 Safar 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...