Support My Blog

Saturday, October 24, 2015

NASI KANDAR - APA HEBATNYA

NASI KANDAR adakah satu jenis hidangan popular yang berasal daripada utara Semenanjung Malaysia dan digemari ramai rakyat Malaysia. Nasi kandar dipercayau berasal dari Pulau Pinang semenjak beratus tahun dahulu yang menjadi makanan tradisi masyarakat disana dan kekal sehingga kini malahan ianya telah dikembangkan diseluruh negara. Ia satu hidangan nasi kukus yang boleh tawar atau sedikit berperisa, dan disajikan dengan kepelbagaian kari dan hidangan sampingan. Perkataan Nasi Kandar kerana ia mungkin timbul sewaktu waktu kelihatan penjaja nasi menjinjing (mengandar) tiangkayu yang menggantung dua bekas nasi. Nama itu telah kekal dan hari ini perkataan Nasi Kandar ada kelihatan pada kebanyakan restoran Tamil Islam atau "Mamak Malaysia" dan gerai hidangan India Muslim. Penulis bukan seorang yang minat makan nasi kandar semenjak dahulu lagi. Ini kerana kali pertama pada tahun 1982 makan nasi kandar telah sakit perut kerana kuah kari yang pekat dan mungkin tercemar masa itu. Sehingga kini penulis memang tidak minat beberapa makanan popular seperti Nasi Kandar, Budu, Cencalok dan juga Ikan Pekasam. Walau pun beberapa kali mencuba tetapi memang 'tak datang' makan nasi kandar tidak seperti rakan-rakan yang lain. Lazimnya apa yang penulis perhatikan, nasi untuk dijadikan nasi kandar biasanya diletakkan dalam bekas kayu kira-kira tiga kaki tinggi yang memberi ia satu bau tersendiri. Hidangan nasi kandar dilengkapi oleh daging seperti ayam goreng, limpa kari, daging lembu, telur ikan, udang atau sotong goreng. Hidangan sayur itu biasanya adalah seperti terung, bendi atau peria. Satu campuran sos kari dituang pada nasi. Ini dipanggil 'banjir' (pembanjiran) dan menyampaikan satu rasa pelbagai pada nasi. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Nasi Kandar dan kehebatannya sekadar menambah maklumat kepada pembaca semua.


Dalam kebanyakan menu Nasi Kandar, selalunya secara tradisi nasi kandar selalu dihidangkan bersama-sama dengan beberapa hidangan sampingannya dalam satu pinggan. Itu dahulu tetapi pada masa ini mereka menggunakan mangkuk jenis Melamine kecil adalah digunakan untuk hidangan sampingan. Bagaimana pun perubahan cara hidangan apa yang pasti adalah campuran sos kuah kari sentiasa dicurahkan terus pada nasi. Ini menyebabkan nasi putih yang dihidangkan semestinya akan dicurah kari didalamnya sebagai 'identiti' nasi kandar. Mengenai jenis lauk sampingan ini bermacam-macam jenis daripada ayam goreng, sotong, daging, udang, terlur, limpa, terlu rebus dan bermacam-macam lagi. Pilihan lauk sampingan ini adalah mengikut selera dan bajet yang ada. Daripada tinjauan diseluruh negara, terdapat banyak restoran dan gerai Nasi Kandar dengan pelbagai daya tarikan masing-masing. Bagaimana pun antara yang popular seperti Nasi Kandar Dinas, Nasi Kandar Padang Kota, Nasi Kandar Line Clear, Nasi Beratur, Nasi Kandar Subaidah, Kayu Nasi Kandar, Nasi Kandar Nashmir, Nasi Kandar Izadol Kampung Melayu, Nasi Kandar Mohd Noor Al-Putat Bertam, Nasi Kandar Ayam Merah, Nasi Kandar Jamal Mohammad, Nasi Kandar Pelita (Sila lihat foto disebelah)Nasi Kandar Astana dan juga Kayu Nasi Kandar.


Beberapa pengusaha nasi kandar mempunyai menu yang agak berlainan. Lazimnya resepi Nasi Kandar adalah satu hidangan utara Malaysia yang sangat terkenal dan berasal dari Pulau Pinang. Resepi Nasi Kandar merupakan satu hidangan nasi kukus yang mempunyai rasa tawar atau sedikit berperisa. Resepi Nasi Kandar biasanya disajikan dengan kepelbagaian kari dan hidangan sampingan. Perkataan Nasi Kandar mungkin dinamakan sedemikian adalah kerana pada zaman dahulu, seorang penjaja nasi menjinjing (mengandar) tiang yang menggantung dua bekas nasi dan nama kandar telah didapat daripada keadaan ini. Nama itu telah kekal sehingga hari ini dan ditulis dalam menu makanan bagi kebanyakan restoran Tamil Islam atau "Mamak Malaysia" dan gerai hidangan India Muslim. Selalunya nasi untuk dijadikan Nasi Kandar biasanya diletakkan dalam bekas kayu yang mempunyai kira-kira tiga kaki tinggi dan memberikan ia satu bau tersendiri. Hidangan Nasi Kandar akan dilengkapi oleh daging seperti ayam goreng, limpa kari, daging lembu, telur ikan, udang atau sotong goreng. Hidangan sayur itu biasanya adalah seperti terung, kobis, bendi atau peria. Satu campuran sos kuah kari akan dituang pada nasi untuk satu usaha menambahkan kesedapannya. Ini dipanggil 'banjir' (pembanjiran) dan menyampaikan satu kepelbagaian rasa pada nasi tersebut. 


Nasi Kandar dipercayai berasal dari selatan India dan didapati mula menular di Tanah Melayu masa itu apabila ramai para pedagang India Muslim yang datang berulang-alik di antara India dan Tanah Melayu. Sebelum Nasi Kandar terkenal di Pahang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak penulis juga dapat info bahawa nasi Kandar tertumpu terlebih dahulu di Pulau Pinang. Ia juga popular dahulu di Kangar, Perlis dan Sungai Petani serta Alor Setar, Kedah. Para pengkaji sejarah mempercayai makanan ini bertapak di Pulau Pinang sekitar tahun 1920 hingga 1930 yang dinikmati atau dimakan pada waktu pagi untuk membekalkan tenaga yang banyak bagi pekerjaan buruh. Bagaimana pun cara menyediakan Nasi Kandar dengan memasak air sebanyak 4½ mug bersama dengan 3 kuib ayam. Beras dibasuh dan ditoskan sehingga kering dan kemudian panaskan periuk dan cairkan majerin. Masukkan bawang putih serta halia dan juga apabila sudah naik wangi, masukkan beras dan goreng beras bersama marjerin tadi kira-kira 8 minit. Kemudian alihkan beras tadi ke dalam periuk nasi. Curahkan air yang sudah mendidih ke dalam periuk nasi dan masukkan daun pandan dan biarkan ia tanak sehingga masak. Seterusnya perlu leraikan dengan garfu setelah nasi masak. Bagi tujuan sediakan lauknya iaitu cara untuk Menyediakan Kari Ayam Kering Penang boleh dihiris 5 biji bwang merah kecil, 4 biji bawang putih dan tomato di belah 4. Selepas itu 4 cabai kering di belah 2 serta bagi ayam bahagian dada ayam dipotong kuib.  Panaskan kuali dengan 5 sudu minyak, kemudian tumiskan bawang merah kecil, bawang putih, 4 biji bunga cengkih dan satu kayu manis. Apabila bahan tumisan sudah naik bau, masukkan cabai kering dan 3 sudu besar serbuk kari. Kacau sehingga ayam itu masak dan kemudian masukkan tomato.  Masukkan garam, gula dan lada sulah secukup rasa. Renehkan sehingga agak hampir kering dan masukkan yogurt. Apabila siap maka sejukkan dan boleh dihidangkan. Apa juga pun lebih cepat nerkunjung kerestoran nasi kandar daripada memasak sendiri dirumah. selain dapat nasi kandar yang original anda juga boleh menikmati suasana makan nasi kandar dengan senang hati. Wasallam!.
NASI KANDAR...APAKAH HEBATNYA...
ADA NASI.... KUAH KARI DIBANJIRNYA...
PILIHAN LAUK... PELBAGAI PILIHANNYA...
BANYAK RESTOREN...BAYAR HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kompleks IOI Mall,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(10 Muharam 1437H)

Friday, October 23, 2015

MENTERI DAN BELALAI GAJAH

PROJEK TANAMAN BELALAI GAJAH (Sabah Snake Grass) di Negeri Sembilan telah dikunjungi oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek iaitu pada 18 Ogos 2015. Lawatan ini telah diaturkan oleh Jabatan Pertanian dengan pengusha syarikat sebagai satu lawatan kerja rasmi. Menteri menyarankan dalam lawatan tersebut agar dilaksanakan kaedah pemasaran produk herba secara dalam talian (On-line). Ini katanya dilihat amat praktikal selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai hasil pertumbuhan eksport sebanyak RM1.3 bilion menjelang 2020. Cadangan pemasarannya secara dalam talian juga bersesuaian bagi pasaran luar negara. Kini produk herba tersebut boleh dipasarkan menerusi laman web Agrobazaar di www.agrobazaar.com.my atau laman web khusus. Katanya sebagai permulaan MOA bercadang untuk di aktifkannya sempena mycybersale (www. mycybersale. com) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang diadakan pada September ini. Tahun 2014 dilaporkan bahawa mycybersale mengutip RM60 juta hasil jualan dalam masa tiga hari sahaja. Ini merupakan satu teknik yang perlu dikaji bagaimana teknik mysyberspace menjual produk mereka. Beliau menyatakan ketika ditemui selepas melawat Ladang Herba Belalai Gajah You Don Chau dekat Kampung Sendayan, Negeri Sembilan. Kerajaan akan terus mencadangkan untuk memasarkan produk herba menerusi portal perniagaan sedia ada seperti Ali Baba. Ini kerana ujud aspek pembungkusan dan juga kandungan penceritaan tentang produk herba sangat penting dalam usaha menarik minat pembeli. Kini impian produk herba di Malaysia ini bukan setakat dijual di pasar basah tetapi mempunyai nilai tinggi, ada status tertentu sehingga ada orang yang sanggup mengeluarkan wang untuk membeli dan memberi keuntungan kepada semua pihak. Artikel malam ini saya gembira menulis semula dalam "Anim Agro Technology" potensi pasaran tanaman herba Belalai Gajah dijadikan satu komoditi yang mempunyai potensi baik untuk dimajukan selaran dengan lawatan menteri pertanian. 


Kerajaan melalui Jabatan Pertanian dan pelbagai agensi lain telah lama bersedia membantu pemaju-pemaju industri herba termasuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk penanaman jenis tumbuhan herba di seluruh negara. Pada masa ini terdapat 17 jenis herba yang digalakkan untuk ditanam dan diproses untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Pada tahun 2015 sahaja hampir RM8 juta diluluskan untuk penanaman dan pengeluaran bahan bentah herba melalui projek EPP1. Diantara jenis tanaman herba yang digalakkan adalah seperti herba Kacip Fatimah, misai kucing, belalai gajah, mengkudu, pegaga, mas cotek dan peria katak yang mempunyai potensi dalam pasaran kerana kelebihannya yang tersendiri. Projek EPP1 merupakan salah satu daripada 17 projek EPP dibawah NKEA Pertanian semenjak tahun 2011. Skop bantuan yang diberikan dibawah pembangunan projek ini adalah seperti kemudahan penyediaan kawasan, infrastruktur ladang dan khidmat nasehat teknikal. Beberapa pusar pengumpulan hasil herba dan pemprosesan asas herba juga disediakan dalam program pembangunan herba ini. 


Dalam lawatan menteri ke Projek Belalai Gajah ini, ianya adalah lawatan rasmi sulung menteri keprojek herba. Syarikat herba tempatan ini dimaklumkan telah bermula apabila rakan kongsi projek iaitu Lee Chong yang kehilangan ibu akibat menderita penyakit kanser usus beberapa tahun lepas dijadikan iktibar. Menurut kisah meskipun disahkan tidak akan hidup lama dengan cuba menggunakan sejenis herba dipanggil daun belalai gajah sebagai penawar maka ibu rakannya dapat bertahan sedikit derita ssakit berbanding yang dijangkakan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 2013. Doktor jangka dua bulan tetapi ibu rakan saya diberi minum herba daun belalai gajah yang dikisar dan mampu bertahan sehingga empat tahun. Peristiwa tersebut menjadi titik tolak bagi salah satu pengusaha iaitu En Hazmi terjun dalam perniagaan setelah sekian lama terlibat dalam industri perbankan. Dia kini mendakwa telah membuat pilihan yang tepat menceburi bisnes dan menjadi usahawan setelah berkhidmat dengan bank selama 14 tahun. Beliau kini menjadi usahawan dimana ia adalah lebih mencabar dan memerlukan pengorbanan masa dan tenaga serta fokus yang lebih bagi memastikan kelancaran, hala tuju syarikat menepati sasaran dan di landasan yang betul dan yakin. Bidang industri kecil dan sederhana (IKS) yang menghasilkan minuman daripada daun belalai gajah jenama UTurn juga merupakan cabaran baharu selepas beralih arah daripada kerjaya tetap. Jika anda ingin mengubah kehidupan sekeluarga daripada bergantung kepada ‘makan gaji’ setiap bulan dengnan cara berniaga kerana ada kenyataan bahawa  punca rezeki 9/10 adalah dari perniagaan.


Mengembangkan produk berasaskan daun belalai gajah menjadi satu kepuasan apabila dapat membantu pelanggan mendapat produk yang ternyata memberi kesan baik kepada kesihatan dan membantu mereka kembali sihat dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kini daun belalai gajah (Sabah Snake Grass) atau nama saintifiknya Clinacanthus nutans sememangnya agak asing bagi kebanyakan kita sebelum ini. Pada peringkat permulaan membangunkan produk daun belalai gajah itu mereka mendapat bantuan daripada pakar herba tempatan yang berbangsa Cina yang mencurahkan ilmu mengenai khasiatnya yang boleh membantu mengawal pelbagai penyakit yang kronik dan pihak Jabatan Pertanian. Modal yang paling utama adalah keyakinan yang tinggi terhadap keberkesanan herba belalai gajah itu sendiri dan sudah tentu untuk memulakan sebarang perniagaan, perlu ada sumber kewangan yang cukup bagi memastikan kesinambungan setiap usaha.  Peringkat awal mereka mengeluarkan modal kira-kira RM200,000 untuk menjalankan kerja-kerja penanaman herba belalai gajah di atas tapak seluas empat hektar yang disewa daripada peneroka Felda Sendayan, Negeri Sembilan pada 14 Disember 2011. Ladang tersebut merupakan model Ladang Herba Kluster Rembau di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).  Jabatan Pertanian Putrajaya dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan tampil menghulurkan bantuan dari segi prasarana dan infrastruktur ladang seperti pagar, netting dan silver shine serta peralatan kilang. Antaranya termasuklah mesin pengeringan, penyejuk, mesin pemotong dan alat timbang yang disalurkan menerusi geran Geran Berimpak Tinggi (High Impact Project - HIP).


Kini produk UTurn yang dipasarkan oleh You Dun Chao Healthcare Products Sdn. Bhd. adalah mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan. Produk itu berasaskan ekstrak daun belalai gajah yang dijadikan makanan tambahan dalam bentuk moden bagi memudahkan pengambilannya. Terdapat empat jenis produk iaitu daun segar, serbuk dengan campuran perisa, kapsul dan teh uncang. “Daun yang dipetik akan dihantar ke kilang TPM Biotech di Raub, Pahang untuk diekstrak. Sebelum dikeringkan dengan ketuhar, daun akan dicuci sebelum dikeringkan dan direbus sehingga pekat. Cecair tersebut kemudian diekstrak menjadi serbuk,” ujar Hazmi Haron yang kini dalam proses memasarkan produk UTurn ke Dubai. Daun herba tersebut dikatakan mampu didalam memusnahkan sel-sel kanser dalam tubuh disebabkan kandungan antioksidan yang tinggi. Selain mengekalkan kesihatan tubuh , herba berkenaan juga berupaya membantu mengatasi pelbagai masalah. Antarany sakit buah pinggang selain membantu pesakit radang prostat, membantu merendahkan tahap kolesterol dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Lebih istimewa herba daun belalai gajah ini juga dikatakan dapat menurunkan kadar asid urik yang tinggi dalam tubuh, mengatasi beberapa masalah diabetes dan mengurangkan risiko salur darah tersumbat. Ia juga didakwa membantu membuang toksin dalam badan di samping mengurangkan keletihan. Tanaman ini dimulakan dengan pengambilan benih daripada rakan penanam daun belalai gajah. Pada awalnya memang kita tidak ambil banyak benih kerana bekalannya terhad, namun lama kelamaan saya berjaya membiakkan tanaman itu. Secara umumnya kematangan herba yang ditanam bermula tiga hingga sembilan bulan sebelum dituai. Cara menanamnya amat mudah berbanding pokok herba lain. Pokok perlu disiram pada waktu pagi dan petang selain dibaja setiap dua minggu. Jika air dan baja mencukupi, memang tanaman ini akan subur. Isu tenaga pekerja yang tidak mencukupi sering menganggu operasi ladang. Kini syarikatnya juga bercadang membuka sebuah kilang produksi sendiri pada masa hadapan. Lawatan menteri keladang herba ini membantu dalam projek herba yang berpotensi tinggi ini. Wasallam!.
MENTERI LAWAT...PROJEK HERBA... 
DISENDAYAN... LOKASI TANAMANNYA...
PRODUK U-TURN...ADA KHASIATNYA...
SIAPA BERMINAT... KONTEK SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Main Hall, Klana Resort,
Seremban, Beneri Sembilan,
Malaysia.
(17 Ogos 2015)
Present the 1st paper on the Herbs Export Seminar 2015.

Thursday, October 22, 2015

SNEK BIJI RAMBUTAN

SNEK BIJI RAMBUTAN?.... Itulah nama makanan ringan berkhasiat yang dibuat daripada biji buah rambutan (Nephelium lappaceum). Kali pertama penulis melihat snek ini adalah di negara jiran Indonesia semasa berkursus di SPAT, Malang, Jawa Tengah beberapa tahun dahulu. Masa itu saya agak ia adalah biji daripada buah-buahan lain dan bukannya biji rambutan dimana saya hanya mengetahuinya selepas penjual memberitahunya (Sila lihat foto diatas). Bagaimana pun satu laporan akhbar tempatan Harian Metro pada 6 Okt 2015 telah menyiarkan satu artikel mengenai snek biji rambutan yang mana saya telah jumpa dan lihat beberapa tahun dahulu di Malang, Pulau Jawa. Akhbar tersebut telah mulakan dengan ayat 'Siapa sangka biji rambutan boleh dijadikan snek?'. Ia dibuktikan pensyarah UiTM Pulau Pinang Mohamad Azli Razali yang menghasilkan snek dipanggil 'Rambuseed Florentine'. Beliau berkata, snek menggunakan 40 peratus biji rambutan yang telah pun dikeringkan sebagai bahan utama itu adalah sejenis manisan berasal dari Itali. Katanya, selepas biji rambutan dikeringkan, ia disimpan dalam bekas kedap udara. Apabila ia ingin digunakan selalunya biji itu dicencang sebelum dicampur dengan bahan lain mengikut resipi asal iaitu Rambuseed Florentine. Idea menjalankan kajian terhadap biji rambutan ini sebenarnya rentetan daripada kajian terhadap biji durian sebelum ini yang pernah dijadikan tepung untuk digunakan dalam makanan. Tepung biji durian ini saya telah belajar daripada pakar iaitu Bapak Agung di SPAT, Malang semasa berkursus di sana selama 1 minggu iaitu program kerjasama diantara Jabatan Pertanian-TFnet dan SPAT. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis semula satu cetusan idea dari laporan akhbar mengikut pengalaman penulis iatu potensi biji rambutan untuk dijadikan snek.

Sebenarnya Malaysia dari penelitian saya mempunyai kawasan tanaman rambutan yang luas iaitu sekitar 24,500 hektar CHE dengan hasil sekitar 78,500 metrik tan pada tahun 2014 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia). Walau pun kebanyakan tanaman rambutan ini ditanam secara dusun campuran dikawasan keliling rumah, terdapat juga beberapa petani menanam rambutan secara monokrop terutama untuk jenis atau varieti Anak Sekolah / Rong Rien (R191), Deli Baling (R193), Mas Gading (R156) dan beberapa varieti lagi. Terdapat 67 varieti rambutan yang telah didaftarkan dengan Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian dimana hanya beberapa sahaja yang disyorkan untuk ditanam komersil kerana ada permintaan domestik dan eksport. Anda boleh rujuk varieti rambutan dalam siri penulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Kini penulis masih sedih kerana setiap kali musim rambutan lazimnya ada banyak kes yang mana buahnya dibiarkan kering diatas dahan tanpa dituai. Upah untuk memetik, menggred dan menghantar kelokasi jualan tidak setimpal dengan harga jualan runcit yang agak rendah kerana belum ada sistem pemasaran untuk buah rambutan seperti apa yang berjaa dilakukan di Thailand mengenai industri buah rambutan. Ada pula yang memilikki pokok rambutan dikampong kata 'tunggu cucu balik' untuk diberikan mereka makan rambutan (Sila lihat foto sebelah). Malangnya cucu yang balik tidak suka makan buah rambutan sebaliknya mereka lebih suka kepada buah epal, strawberri, kurma dan limau sunkist atau lain-lain buah import.

Berbalik kita kepada potensi menjadikan biji rambutan sebagai snek memang masih ada. Florentine adalah snek bersira yang menggunakan pelbagai kacang import seperti badam dan walnut. Dengan menggunakan biji rambutan dikatakan ia dapat mengurangkan penggunaan kacang badam dalam resipi asli snek ini sebagai produk baru (Sila lihat biji rambutan disebelah). Apa yang menarik adalah penggunaan biji rambutan juga memang dapat menjimatkan kos kerana harga kacang badam yang diimport agak mahal di pasaran. Antara objektif kajian yang dijalankan adalah untuk mengurangkan penggunaan kacang import dengan meng­gantikannya dengan bahan tempatan. Pada masa ini memang masih ramai tak tahu khasiat biji rambutan yang mempunyai Lemak Polifenol tinggi. Polifenol adalah antioksidan yang dapat melindungi tubuh manusia daripada kerosakan sel akibat radikal bebas. Ia memberi manfaat seperti antipenuaan, antiinflamasi, antibarah dan juga antipatogen. Selain itu, biji rambutan didakwa akan dapat membantu merawat penyakit kencing manis. Kajian dilakukan pakar pemakanan iaitu En Pram Pramono ada terdapat ekstrak metanol pada biji rambutan mengandungi flavonoid dan fenolik.

Seterusnya mengenai khasiat dan kehebatan biji rambutan telah dikaitkan dengan cara yang betul untuk menyediakannya. Hanya cara memproses yang betul akan memberi produk berkualiti (Sila lihat foto disebelah). Snek biji rambutan juga didakwa boleh digunakan biji rambutan sebagai perubatan alternatif untuk merawat kencing manis. Biji rambutan juga dipercayai mampu merawat sakit buah pinggang. Asid oleic dan asid stearic dalam biji rambutan juga mampu mencegah penyakit berkaitan jantung. Kajian dimakmal mendapati biji rambutan mengandungi nutrisi seperti protein (7.8 peratus), karbohidrat (46 peratus), serat (11.6 peratus) selain asid lemak seperti oleic (40.3 peratus), arachidic (6.1 peratus), palmitic (7.1 peratus) dan stearic (6.3 peratus). Kini snek biji rambutan mendapat maklum balas positif daripada pengguna semasa ujirasa dijalankan kerana ia adalah rangup, lemak manis dan sedap. Kini didakwa mereka yakin produk ini mendapat sambutan jika dipasarkan dengan cara betul dan berterusan kerana kerana setakat ini belum ada pihak menghasil­kan snek biji rambutan. Produk ini memasuki pertandingan reka cipta dan memenangi pingat gangsa di Pertandingan Inventions, Innovations and Design (IID) peringkat UiTM. Pada saya yang memang lama terlibat dan berkecimpung selama lebih 35 tahun dalam pertanian menyatakan ia mungkin perlukan komitment tinggi untuk mengkomersilkan snek biji rambutan kepada produk akhir.

Pokok rambutan adalah sejenis buah bermusim iaitu berbuah sekitar bulan Jun - Ogos setiap tahun. Biji buah rambutan selalunya dibuang begitu sahaja selapas diambil isinya untuk dimakan. Tetapi masa kini tidak ramai yang meminati makan buah rambutan lagi kerana telah banyak pilihan buah-buahan lain. Harga runcit buah rambutan berbeza-beza mengikut varieti, lokasi jualan dan juga berlaku lambakkan atau tidak. Lazimnya harga runcit rambutan agak tinggi diawal musim berbuah dan menurun atau hampir tidak menguntumgkan dijual ketika musim puncak dan berlaku lambakkan diamana harganya akan naik balik selepas musim penghujung. Kajian penulis di Kedah mendapati harga ladang rambutan Deli Baling sekitar RM0.40 - RM0.70 sekilogram. Kedah Agro juga pernah ada kilang memproses rambutan untuk ditinknan untuk pasaran domestik dan eksport. Bagaimana pun belum ada usahawan tempatan berjaya membuat snek biji rambutan secara komersil dilaporkan oleh Jabatan Pertanian. Apa juga pun artikel ini cuma mendedahkan mengenai snek biji rambutan sebagai satu produk snek yang belum lagi dikenali ramai sebagaimana jualan biji buah gajus. Semuga ia memberi info berguna kepada anda. Wasallam!...
BIJI RAMBUTAN...DIBUANG SAJA...
BOLEH DIPROSES...SNEK JADINYA...
RASA LEMAK... BERKHASIAT PULA...
SUDAH MEMBACA... KENA CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1323, Hotel Imperial,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(9 Muharram 1437H)  

Wednesday, October 21, 2015

PETIK KELAPA MUDA - POKOK JADI TINGGI?

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan tanaman dari famili Arecaceae yang penting di Malaysia dimana ia adalah tanaman ke 4 terpenting selepas tanaman Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Kini ramai dikalangan petani yang menanam kelapa matag (Matag Green - CN13, Matag Orange -CN14 dan Matag Gold - CN15) di Malaysia dimana sebahagian besar dari merka telah memetik hasil kerana semenjak projek penanaman kelapa hibrid matag di mulakan seawal tahun 2000, lebih 15,000 hektar tanaman kelapa varieti hibrid Matag telah berhasil. Tidak seperti kelapa varieti Malayan Tall (CN1), beberapa petani yang menanam kelapa matag kini telah mengubah cara memetik buah hasil pokok kelapa kepada KELAPA MUDA (Young nuts). Kajin penulis juga mendapati terdapat masih ramai petani yang menanam kelapa matag untuk dipetik sebagai KELAPA TUA (Matured nuts). Kelapa muda dari pokok jenis Matag lazimnya akan dipetik pada umur 8 bulan selepas berbunga dimana pada masa ini kandungan air dan isi kelapa (flesh) adalah terbaik untuk diminum. Isi daging pada kelapa muda umur 8 bulan ini masih lembut dan boleh dikorek dengan sudu untuk menikmati keenakan rasanya. Saya memang amat suka minum air kelapa untuk kesihatan dan hilangkan dahaga. Kelapa muda ini dipetik sama ada ianya berwarna hijau, kuning oren atau kuning gold dengan sabut yang masih berair (isi sabut masih putih). Kelapa ini perlu dipetik dengn berhati-hati daripada pokok yang tinggi kerana kalau jatuh termpas ketanah selepas dipetik ianya boleh pecah. Kelapa muda yang pecah sudah tidak bernilai lagi. Kelapa tua matag pula lazimnya akan dituai atau gugur buahnya sendiri selepas berumur 12 bulan keatas. Kelapa tua adalah buah (nuts) yang ringan (purata berat 0.8 - 1.3 kg sebiji) dengan sabut kulitnya berwarna coklat gelap dan telah kering. Kelapa tua yang dipetik mengandungi air kelapa dan isi kelapa yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Dalam beberapa tinjauan dan penelitian saya mengenai kesan pemetikkan kelapa muda pada tanaman kelapa jenis matag ini, penulis mendapati ada beberapa temuan yang akan saya bincangkan dalam artikel kali ini. Beberapa orang pakar kelapa dan petani yang saya temuduga dalam kajjian ini menyatakan memetik kelapa muda akan menyebabkan POKOK KELAPA CEPAT TINGGI berbanding dengan jika buah kelapa dibiarkan tua dipokok. Ia juga berlaku untuk pokok induk yang diambil debunga dan dijadikan pokok induk bagi pengeluaran benih kelapa hibrid. Apakan ini satu perkara hipotesis atau testimoni yang boleh dibincangkan secara teknikal?. Artikel malam ini setelah penat membuat pemantauan di projek penanaman kelapa matag komersil dibeberapa lokasi di Batu Pahat dan Pontian, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai perkara memetik buah kelapa muda menyebabkan pokok kelapa lebih cepat meninggi diladang.

Dalam mengupas isu ini, ada beberapa persoalan saya ajukan kepada pakar-pakar kelapa Jabatan Pertanian dan Estet Swasta United Plantation Berhad serta Estet NLFCS. Adakah benar dakwaan jika tanaman kelapa dipetik muda menyebabkan ia cepat tinggi?. Mereka menjawab 'YA' dan beberapa petani yang ada menanam kelapa matag untuk penuaian kelapa bagi kelapa muda dan kelapa muda juga menyatakan 'YA'. Mereka menjawab berdasarkan kepada perbandingan ketinggian pokok kelapa yang diambil mayang untuk pengeluaran kelapa hibrid dan juga pokok kelapa Matag yang buahnya dipetik sebagai buah muda. Persoalan saya seterusnya adalah kenapa berlaku perkara tersebut dan adakah perkara ini signifikan ketara jika dikaji?. Saya juga ajukan persoalan teknikal mengenai beberapa fakta dan kemungkinan-kemungkinan berlakunya perkara tersebut. Persoalan saya adalah sama ada ianya direkodkan atau dibuat kajian saintifik. Daripada testimoni beberapa petani saya temui menyayakan, kini didapati memang agak betul dakwaan mereka mengenai isu ini. ini berasaskan kepada pemerhatian fizikal dikebun yang mempunyai asas pemerhatian sama dan ada didapati perbandingan ketara. Memang agak nyata kelihatan dimana pokok kelapa yang buahnya dipetik muda adalah lebih tinggi secara purata berbanding dengan pokok kelapa yang buahnya dipetik sebagai kelapa tua. Selain daripada faktor amalan agronomi, perbezaan ini berlaku diatas asas-asas saintifik yang boleh dibincangkan seperti pengambilan nutrien oleh pokok, keperluan unsur zat makanan untuk mematangkan buah dan juga pokok akan lebih bersifat 'vegetatif' jika buah kelapa dipetik muda.

Pokok kelapa dewasa akan mengambil nutrien daripada akar pokok dalam kadar tertentu bagi proses-proses tumbesaran, pembungaan dan seterusnya untuk tujuan menghasilkan buah kelapa. Bahan nutrian bersama air akan dibawa kebahagian daun untuk proses fotosintesis menghasilkan makanan kepada tumbuhan. Makanan ini akan dihantar kepada semua bahagian tumbuhan termasuk buahnya daripada peringkat putik sehingga matang dan tua. Jumlah pengambilan nutrien ini mengikut ketersediaan unsur nutrien dalam tanah yang mana tanaman perlu dibaja mengikut kadar yang disyorkan. Pokok kelapa matag lazimnya akan mula berbunga seawal 3 tahun lebih dan berbuah pada umur 4 tahun (Sila lihat foto penulis disebelah). Pemberian baja dan makanan kepada buah kelapa cuma perlukan masa 8 bulan sahaja untuk kelapa matag dipetik muda berbanding dengan semala lebih 12 bulan untuk kelapa menjadi kelapa tua. Ini bermakna buah kelapa tua memerlukan kuantiti bahan nutrien lebih banyak daripada kelapa muda. Diharap artikel ini memberi sedikit ruang untuk perbincangan mengenai perkara ini selanjutnya. Saya fikir perlu ada kajian saintifik dijalankan bagi menjawab persoalan ang saya utarakan ini. Semuga anda dapat informasii berguna untuk dibaca. Wasallam!.  

KELAPA MUDA...DIPETIK AWALNYA...
KELAPA TUA... 12 BULAN LAMANYA...
KESAN POKOK...TINGGI JADINYA...
APA SEBAB... PENULIS BINCANGNYA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Kelapa Komersil,
Kg Parit Lapis, Sg Ayam, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(18 Zulhijjah 1436H)

Tuesday, October 20, 2015

NENAS BARIO - APA DIA?

NENAS BARIO (Ananas comossus) merupakan sejenis varieti nenas yang unik ditanam di kawasan tanah tinggi Bario, Pendalaman Miri, Sarawak, Malaysia. Nenas ini kini banyak diperkatakan oleh ramai penduduk tempatan dan dari luar Negeri Sarawak serta antarabangsa sebagai sejenis nenas premium yang manis, wangi dan amat berkualiti. Penanaman nenas jenis ini telah dijalankan dikawasan tanah subur di perkampongan semenjak dahulu lagi. Nenas ini ditanam dikawasan lereng bukit disekeliling penempatan Bario. Penulis yang pernah ke Bario semasa bertugas selama lebih dua tahun di Sarawak telah berpeluang untuk membuat tinjauan dan makan buah nenas bario yang unik ini. Lawatan masa itu bersama AA Paul Chee dan AA Paulus Thulu (semuanya sudah bersara) memang meninggalkan kesan sehingga hari ini kerana berlaku peristiwa helikopter jatuh depan mata kepunyai RAS Doktor Udara di Bario. Kerosakkan blade belakang yang tidak berfungsi telah menyebabkan pilot helicopter tersebut mematikan injin helocopter dari ketinggian 100 kaki depan kuarters kami duduk dan jatuh terhempas jam 1.20 tengahari. Semua penumpang hanya cedera termasuk doktor udara, matron, jururawat dan pilot sendiri. Setakat ini belum pasti sama ada nenas Bario ini didaftarkan dalam kategori Pendaftar Petunjuk Geografi (GI) seperti untuk Beras Bario. Pada penulis keujudan tanaman nenas ini semenjak dahulu memang menjadi satu keistimewaan kepada daerah pendalaman ini yang didiami oleh kaum Kelabit dan juga Penan. Nenas Bario ini boleh dikomersilkan oleh pihak tertentu seperti peranan CERIA yang membangunkan beras bario organik. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Nenas Bario sebagai satu lagi sumbangan pengalaman dan kepakaran yang saya ada untuk bacaan anda semua


Penanaman Nenas Bario dilaksanakan oleh petani disekitar kampong di Dataran Tanah Tinggi Bario yang dahulu hanya boleh dihubungi dengan Kapalterbang Kecil saja. Jalan darat dari Bandar Miri ke kawasan pendalaman ini dahulu memerlukan masa lebih seminggu lebih dengan melalui jalan balak. Diharap dengan pembinaan jalanraya yang baru akan membolehkan kawasan ini dihubungi dengan kenderaan darat dan membolehkan beras bario dan nenas bario akan dikomersilkan dimasa akan datang. Nenas Bario mungkin juga dari jenis nenas Sarawak atau di Sarawak dipanggil sebagai Nenas Paun yang popular dikawasan lain. Selain itu ia mungkin dari kumplan jenis Nenas Sarikei yang juga manis dan menjadi sebutan penduduk tempatan. Bagaimana pun saya fikir nenas bario menjalani mutasi setelah ditanam begitu lama dikawasan tanah tinggi yang sejuk dan subur. Pokok nenas ini sama saja dari segi marfologinya dengan nenas moris atau nenas paun dan ia lazimnya lambat untuk dituai kerana suhu agak sejuk. Kalau nenas moris perlukan 10 -12 bulan dituai tetapi nenas bario mengambil masa lebih dari 14-15 bulan untuk ia cukup matang atau lebih lama daripada itu. Jangkamasa lama dituai dengan amalan agronomi yang baik dan dipetik masak membolehkan nenas bario amat manis sehingga mencecah kemanisan lebih 16 darjah Brix.


Rakan saya En Jason dari Miri, Sarawak bertanya adakah nenas bario sesuai dikomersilkan ditanah rendah sekitar Miri dan Bintulu serta Lawas?. Saya berpendapat jawapanya adalah 'BOLEH' tetapi jika benih nenas diambil daripada kawasan ini belum menjamin ia akan menghasilkan kualiti yang sama dengan nenas bario yang ditanam di Bario. Ini adalah kerana faktur ketinggian, suhu, jenis tanah dan cara pengurusan. Nenas bario ditanam dilereng bukit dimana kawasan ini hanya menggunakan bahan input organik sahaja (agak sukar untuk mendapatkan baja dan racun kini) kerana jauh dari sumber. Pohon nenas yang kelihat kurang subur ini sebenarnya boleh diberikan Sijil Organik Malaysia (SOM) kerana memang tiada bahan kimia digunakan. Ada laporan petani menyatakan walau pun pohon nenas agak kecil dan lambat berhasil namun buah yang dituai memang tidak mengecewakan. Ia sesuai dimakan oleh penduduk tempatan dan juga pelancong yang ramai untuk berkunjung dikawasan tanah tinggi. Nenas Bario memang varieti yang boleh diperluaskan penanamannya di kawasan ini dan dijadikan 'ikon' bagi di Sarawak agar ia memberikan pendapatan baik kepada penduduk tempatan. Tidak banyak maklumat teknikal mengenai Nenas Bario untuk dirujuk. Penulis fikir kena berkunjung lagi ke Bario untuk membuat analisa agronomi mengenai tanaman ini. Wasallam!...

Ketibaan penulis di Bario tahun 1996 dahulu sebagai kenangan.
NENAS BARIO ....AMAT MANISNYA...
DITANAH TINGGI... DITANAM LAMA...
TANAM ORGANIK.. LAMBAT TUAINYA...
DIMAKAN SEGAR... BERSAMA-SAMA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
R00m1332, Imperial Hotel,
Jalan Datuk Tawi Sli,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(12 Oktober 2015)
Posted on 20 Oktober 2015

Monday, October 19, 2015

KELAPA DAN SAWIT - ANALISA EKONOMI

Tanaman KELAPA SAWIT (Elaeis guineensis) dan KELAPA (Cocos nucifera) adalah dua jenis tanaman dari keluarga Arecaceae yang popular di Malaysia. Kelapa sawit pada masa ini mendudukki tempat pertama dalam sektor tanaman di Malaysia dimana direkodkan keluasan 4.7 juta hektar pada tahun 2014 dan menyumbang sebanyak RM2.3 billion setahun. Tanaman kelapa sawit dimajukan oleh sektor swasta melalui pembukaan estet seperti Sime Darby, Golden Hope dan juga Syarikat GLC seperti FELDA, FELCRA dan juga oleh pekebun kecil kelapa sawit. Terdapat lebih darii 1,200 buah kilang kelapa sawit diseluruh negara yang mempproses tandan kelapa sawit kepada Crude Palm Oil (CPO) dan beribu kilang lagi yang terlibat dengan aktiviti pemprosesan hiliran. Tanaman kelapa pula merupakan tanaman ke 4 terpenting dalam negara selepas kelapa sawit, getah dan padi. Terdapat seluas 87,500 hektar tanaman kelapa di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 650 juta biji kelapa bernilai sekitar RM700 juta setahun. Kajian Jabatan Pertanian mendapati 65-70% pokok kelapa tersebut adalah dari jenis Kelapa Tinggi jenis Malayan Tall (CN1) manakala sekitar 20% dari varieti Hibrid seperti Matag (CN13, CN14 dan CN15) dan MAWA (CN3) dan bakinya adalah Kelapa Pandan (CN6)serta kelapa jenis lain (Sila klik disini untuk mengenali 16 varieti kelapa yang telah berjaya didaftarkan di Malaysia). Artikel petang Ahad 18 Oktober 2015 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu analisis ekonomi diantara hasil tanaman kelapa sawit dengan tanaman kelapa satu kajian kes dijalankan di Kg Sg Ayam, Batu Pahat, Johor dan beberapa lokasi laon di Kuala Selangor dan Bagan Datoh, Perak.


Kajian kes ini dijalankan semasa aktiviti lawatan penulis terhadap beberapa projek penanaman kelapa oleh Jabatan Pertanian. Tanaman kelapa ditumpukan kepada 3 lokasi atau kluster kelapa iaitu di Daerah Batu Pahat, Johor, Sabak Bernam, Selangor dan Bagan Datoh, Perak. Tumpuan penanaman dengan memulihkan kawasan dan penanaman baru dengan bantuan diberikan kepada petani dikawasan kelapa. Tinjauan penulis mendapati tanaman kelapa ini secara semulajadi ditanam dikawasan kampong bersama dengan tanaman kelapa sawit dan tanaman lain mengikut kemahuan pemilik lot-lot tanah. Sebagai contoh di Kg Sg Ayam didapati tanaman kelapa Matag dan Kelapa Pandan ditanam bersebelahan dengan tanaman kelapa sawit disepanjang kampong tersebut.   Kelapa Sawit ditanam sebagai tanaman industri oleh sektor pekebun kecil dimana buah yang dipetik akan dihantar kepada pemborong dan seterusnya dikumpulkan dan dihantar kekilang. Pihak PPK dan beberapa pemborong kecil beroperasi dikawasan kampong untuk memetik buah kelapa sawit malahan turut membaja, membuat cantasan pelepah (pruning) dan sebagainya. Pemilik kebun kebanakannya hanya tunggu dirumah untuk menerima wang tunai daripada pemborong kelapa sawit yang dilantik. Pekerja ladang yang membuat kerja-kerja diladang sawit dan kebun kelapa dikawasan kampong kini kebanyakannya adalah orang asing (terutama dari Indonesia) yang bekerja sepenoh masa. Itulah senario penanaman kelapa sawit di kawasan kampong masa kini.


Apa pun penulis ingin membincangkan analisa ekonomi penanaman kelapa berbanding dengan tanaman kelapa sawit pada masa harga kelapa sawit agak rendah masa artikel ini ditulis. Penulis menebubual 4 orang petani yang mempunyai kebun kelapa sawit dan juga kebun kelapa pandan serta kelapa Matag. Salah seorang daripada mereka adalah Tn Hj Kason yang merupakan seorang peladang jaya diperingkat Negeri Johor dan peringkat Kebangsaan. Beliau mempunyai banyak kawasan tanaman kelapa dan sawit sama ada ditanah kepunyaan sendiri atau tanah yang disewa daripada penduduk dalam kampong. Katanya pada masa kini untuk kawasan seluas 10 ekar kelapa sawit yang telah berbuah miliknya mampu menghasilkan sekitar 10 mt buah kelapa sawit dalam sebulan (Purata hasil kelapa sawit sekitar 1 mt seekar). Harga kelapa sawit semasa kajian kes dibuat adalah sekitar RM300 - RM350 satu metrik tan. Ini menjadikan anggaran purata pendapatan untuk 10 ekar (4 hektar) kelapa sawit adalah RM3,000 - RM3,500 sebulan yang diterima. Bagaimana pun hasil dari kelapa sawit dikawasan tanah gambut katanya kadang-kadang tinggi dan turun bergantung kepada jumlah tuaian, cuaca dan juga harga. Bagaimana pun banyak mana tandan sawit yang dipotong memang tidak pernah ada masaalah pasaran kecuali harganya sahaja yang tidak menentu.  


Bagi tanaman kelapa pula ianya ada dua jenis kelapa dikawasan kajian iaitu Kelapa Pandan dan Kelapa Matag. Kelapa Pandan ditanam untuk dijual bagi air kelapanya yang berbau pandan dan ia dikenali sebagai 'aromanic coconut' dikalangan pelancong asing. Kelapa Pandan dipetik sebagai kelapa muda kerana apabila ia sudah tua maka kurang kualiti airnya. Kelapa pandan dengan isi yang masih lembut atau tandan buah sekitar 7- 8 bulan sesuai dipetik setiap bulan. Sepokok mampu menghasilkan setandan kelapa pandan setiap bulan jika pokok dibaja dan dijaga dengan baik. Saiz buah dan bilangan biji kelapa juga bergantung kepada kesuburan pokok. Kajian penulis mendapati dalam 10 ekar (4 hektar) kelapa pandan mampu dipetik sebanyak 10,000 biji sebulan. Ini berasaskan kepada pengiraan iaitu sebanyak 10 biji buah setandan dengan 100 tandan dari sekitar 100 pokok kelapa dituai dalam sebulan. Pada masa kajian harga ladang kelapa pandan adalah RM1.70 sebiji (harga naik sebanyak 30 sen semenjak Mac 2015) menjadikan purata pendapatan kasar dari 10 ekar tanaman kelapa pandan mencecah sehingga purata RM17,000.00 sebulan. Dahulu mereka menerima sekitar RM14,000 sebulan semasa harga ladang kelapa pandan sekitar RM1.40 sebiji. Mulanya penulis agak terkejut dengan kiraan ini tetapi setelah diulangtanya beberapa kali kepada beberapa petani mereka seterusnya mengesahkannya. Ini bermakna semasa kajian kes ini dijalankan, anggaran pendapatan dari 10 ekar tanaman kelapa pandan hampir lima (5) kali ganda daripada pendapatan kelapa sawit. Pada masa ini peraih tetap akan datang mengambil kelapa pandan yang dihantar kebandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.


Analisa penulis dalam kajian kes ini diteruskan dengan penanaman kelapa Matag yang matang dan berbuah dikawasan kajian. Pokok kelapa Matag adalaj jenis kelapa hibrid kacukan diantara kelapa renek MRD atau MYD dengan kelapa tinggi Tagnanan. Benih F1 kelapa hibrid tulin ini hanya dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, United Plantation dan NLFCS sahaja dengan harga pasaran sekitar RM30.00 sepokok. Adalah difahamkan pada masa kajian ini ditulis bekalan benih kelapa Matag amat berkurangan akibat dua syarikat yang dahulu mengeluarkan benih ini tidak menjual benih tersebut kerana digunakan untuk penanaman diestet mereka sahaja. Ramai petani yang tertipu dengan pembelian benih kelapa Matag F2 yang diambil daripada pokok kelapa Matag yang berbuah untuk dijadikan benih. Berbalik kepada kajian dijalankan, tanaman 10 ekar (4 hektar) kelapa matag yang dipetik sebagai buah kelapa muda (berumur 8 bulan) mampu menghasilkan sebanyak 7,000 biji sebulan. Ini berdasarkan kepada rekod tuaian kelapa matag muda sebanyak 10 biji setandan dengan 70 pokok seekar.  Pada masa kajian harga ladang kelapa matag muda adalah RM1.40 sebiji dan harga kelapa matag tua sekitar RM1.00 sebiji. Ini menjadikan pendapatan ladng dari 10 ekar tanaman kelapa matag dipetik muda adalah sebanyak RM9,800.00 sebulan. Pendapatan ini adalah lebih dua (2) kali ganda daripada pendapatan tanaman kelapa sawit dikawasan tanah gambut dengan keluasan yang sama. Walau pun mungkin kajian ini amat 'basic' berdasarkan kepada temubual dengan beberapa petani namun ianya boleh dijadikan tanda aras rujukkan mengenai senario semasa analisa ekonomi kedua tanaman ini. Semuga kajian lebih lanjut dapat dijalankan oleh saintis, ahli akademik dan ekonomis dalam sektor pertanian dimasa akan datang. Semua maklumat dan analisa adalah hasil tinjauan oleh penulis sendiri. Wasallam!...


TANAM SAWIT... HASIL DIANALISA...
KELAPA PANDAN... MATAG JUGA...
AMAT TERKEJUT ... PADA MULANYA...
DISEMAK-SEMAK...BETUL IA NYATA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bangunan Kompleks Seri Negeri,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(19 Zulhijjah 1436H)

Sunday, October 18, 2015

SERBUK ASAM BOI

SERBUK ASAM BOI (Tamarind powder) merupakan satu pelengkap dalam kita makan buah-buahan tempatan yang menambah keenakkan ketika makan buah. Nama serbuk 'Asam Boi' tidak pasti bagaimana ujudnya tetapi penulis fikir kerana sesiapa yang makan buah yang agak masam ditabur dengan asam boi akan berkata "AMBOI SEDAPNYA!" lalu asam tersebut dipanggil sebagai 'Asam Boi'.  Asam Boi disediakan daripada buah asam jawa (Tamarindus indica) merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan buah dalam bentuk lengai (pod) dimana didalamnya ada isi asam jawa yang mengelilingi bijinya. Biji asam jawa lazimnya berwarna hitam dan besar saiznya. Asam Jawa sesuai ditanam dikawasan tanah subur beriklim tropika yang mana ia boleh berbuah sepanjang tahun. Malaysia tidak menanam pokok asam jawa secara komersil kerana ia tidak dilaporkan dalam laporan ststistik Jabatan Pertanian Malaysia. Saya ada menulis artikel mengenai tanaman asam boi dalam artikel sebelum ini untuk anda jadikan bahan rujukkan. Artikel ini menjelaskan banyak perkara mengenai penanaman, teknologi dan kegunaan asam jawa. Anda boleh baca dengan membuat pautan berikut (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Buah Asam Jawa sering dikutip dan boleh dijadikan pelbagai produk kegunaan dapor termasuk untuk diproses menjadi asam boi. Penulis dapati tidak banyak atau macam 'tiada' artikel yang khusus menulis mengenai cara untuk membuat asam boi atau teknologi mengenai pemprosesan asam boi komersil. Bagaimana pun petang Sabtu ini saya terus berfikir dan menulis artikel mengenai asam boi dalam "Anim Agro Technology" untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.


Penyediaan asam boi lazimnya dijalankan sebagai usaha kecil 'cottage industry' atau perusahaan industri asas tani secara kecil-kecilan sahaja. Ini kerana prosesnya tidak memerlukan teknologi canggih dan peralatan yang mahal. Penelitian penulis dari beberapa rujukkan mendapati antara negara yang banyak memproses asam boi seperti China, India, Thailand dan Vietnam. Mereka hanya menggunakan mesin pengisar yang mudah dan skala kecil (Sila lihat foto disebelah). Mesin pengisar dan penapis (ayak) digunakan dalam pemprosesan asam boi. Buah asam jawa yang masak dikutip dan dikeluarkan isinya. Asingkan isi dengan biji dan ia kemudian dijemur dibawah cahaya matahari atau pun dalam oven. Jemur selama 7 - 9 hari sehingga isi asam boi mengering. Mesin pemisah antara kulit asam jawa dengan biji dan isinya juga ada digunakan untuk kilang yang agak besar. Kemudian isi asam boi yang telah kering ini perlu dikisar dalam mesin pengisar atau pun 'blender kering' jika anda buat sendiri dirumah.Kisar sehingga sederhana kasar saiznya dalam mesin. Keluarkan dan kemudian dijemur lagi selama 1-2 hari agar kisaran menjadi agak kering. Masa ini ia akan dapat dipisahkan dan sebaiknya dikisar sekali lagi sehingga halus. Kemudian ia perlu dijemur semula sehingga kering dan kisar semula (Jika perlu). Tapis semua untuk mengasingkan partikel kasar dan halus serta bahan lain yang tidak diinggini. Masukkan kedalam bekas kedap udara untuk penyimpanan dan juga untuk pembungkusan.


Serbuk Asam Boi yang dijual dipasaran ada dalam pelbagai bentuk, saiz partikel dan juga warna. Begitu juga ia sering dijual dalam pelbagai produk daripada Serbuk Asam Boi Tulin (100% asam boi) atau yang dicampur dengan pelbagai bahan lain. Paling asas adalah asam boi yang dicampur dengan garam atau gula sebagai bahan penyedap rasa (Sila lihat foto disebelah). Penulis juga mendapati kini ada asam boi terbaik atau extra kerana ia digabungkan antara serbuk asam jawa (asam boi), garam, gula dan juga serbuk cili. Rasa pedas pada produk ini amat sesuai untuk ditabur pada buah-buahan seperti mangga muda, apel, nenas, jambu air, jambu batu dan banyak jenis buah lagi. Kita boleh membuat asam boi sendiri dirumah jika ada ilmu pengetahuan, kemahuan dan peralatan yang sesuai. Alat yang diperlukan cula pengisar kering (blender), ayak dan juga bekas penyimpanan. Buah asam jawa diambil sisinya dan dijemur dan dikisar beberapa kali dan dijemur semula dan ditapis sehingga ia menjadi asam boi sebelum dibotolkan. 


Pembungkusan Asam Boi dalam pelbagai saiz dan teknik. Paling asas adalah dibungkus dengan plastik kecil yang jernih dan boleh dilihat isi asam boi didalamnya (Sila lihat foto disebelah). Ia perlu ditutup kuat agar udara tidak masuk kedalamnya kerana kualitinya akan menurun jika udara masuk kedalamnya. Terdapat juga pek pembungkusan asam boi dalam kontena plastik atau botol kaca yang lebih kukuh dan tahan lama. Ia ada dijual dipasaraya, kedai runcit dan juga gerai menjual buah-buahan dimerata tempat. Pek bungkusan asam boi yang palng meluas dipasarkan dalam bungkusan plastik kecik sekitar 50 gram dijual dengan harga RM1.00 satu paket. Sesiapa yang membeli jambu batu di RnR PLUS Tapah, Perak mestinya akan membeli asam boi ini jika membeli jambu batu, jambu air, mangga atau buah-buahan lain. Ada juga pek yang lebih bedar dengan harga jualan lebih tinggi bergantung kepada kuantiti.


Pada penulis makan buah jambu batu dengan ditabur asam boi merupakan nikmat sebenar. Jambu batu sama aa dari varieti GU8 atau namanya Jambu Batu Kampuchea (Berbiji) atau Jambu Batu Lohan (GU16) atau Jambu Batu Tanpa Biji (Seedless) memang enak. Jambu batu Kampuchea merupakan varieti yang manis, keras sedikit, masam manis dan tahan lama amat sesuai dipotong-potong sama ada dalam bentuk dadu, nipis atau leper amat sesuai dimakan bersama asam boi (Sila lihat foto disebelah). Penulis mempunyai banyak pengalaman dalam penanaman jambu batu semasa melaksanakan projek tanaman jambu batu di TKPM Sekijang, Segamat, Johor 15 tahun dahulu. Buah Jambu yang matang dipetik dan dibuang bijinya dan enak dimakan semasa buah jambu batu masih segar. Pasaran utama buah jambu batu adalah dikantin dan sekitar sekolah-sekolah. Lazimnya harga jambu batu menurun semasa sekolah bercuti dan sambutan Tahun Baru China serta bulan puasa. Asam boi adalah pasangan terbaik untuk makan jambu batu dan biah-buahan lain. Semuga artikel ini memberi ilmu berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology dalam alam maya. Wasallam!.
ASAM BOI... IA DARI ASAM JAWA..
SERBUK HALUS... DIBUNGKUSNYA...
RASA MASAM... PELBAGAI RASA...
SENANG MEMBELI...MAKAN SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 113, Ridel Boutique Hotel,
Wakaf Che Yeh, Kota Bahru,
Kelantan, Malaysia.
(28 Zulhijjan 1436H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...