Support My Blog

Sunday, July 15, 2018

IKAN SEGAR DI PASAR TAWAU

PASAR TANJUNG TAWAU (Tanjung Market, Tawau) pada penulis blog merupakan salah satu pasar di Sabah yang menjual banyak ikan laut segar dan pelbagai hasilan laut. Pasar Tanjung Tawau memang menarik, meriah, unik dan ciri tersendiri. Pasar ini adalah destinasi pelancongan paling utama di tawau. Jika datang ke Tawau dan tidak singgah pasar ini maka dikira tidak sah. Memandangkan Bandar Tawau bersempadan dengan Indonesia (Sungai Nyamuk, Nunukan, Tarakan) maka memang banyak barangan dari Indonesia yang ada diperdagangkan di pasar ini. Antaranya seperti makanan pelbagai jenis kuih, sayur-sayuran, barang hasilan laut kering dan basah, pakaian harian dan banyak lagi. Pasar ini kini merupakan satu pusat periagaan yang setiap hari amat sibut dikunjungi pelanggan sehinggakan amat sukar untuk endaptak tempat letak kereta. Walau pun ada disediakan tempat letak kereta tertutup tetapi jumlahnya masih tidak mencukupi. Terdapat lebih daripada 40 penjual ikan segar dann produk hasilan laut lain di pasar ini yang masa pasar ini bersambung dengan jeti pemunggahan barangan produk tangkapan laut dan juga nelayan sungai. Rak-rak jualan dipenohi dengan pelbagai jenis hasilan segar laut yang dipamerkan dan para pengunjung akan membuat tinjauan seterusnya membeli. Penjual terdiri banyak kaum dengan ada dipasangkan tanda harga dipamerkan mengikut akta KPDNKK berkaitan dengan tanda harga. Memang saya suka membuat tinjauan dan perbandingan harga hasilan ikan, kerang-kerangan, ketam, sotong dan sebagainya. Ini adalah satu keseronokkan melihat ikan tuna yang amat besar sekali dan jarang penulis blog lihat dan juga beberapa spesis ikan yang jarang dijumpai di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia. Selain daripada ikan kelihatan segar apa yang seronok apabila melihat harga yang diletakkan ianya jauh murah dari harga di Semenanjung. Artikel subuh ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai kunjungan penulis blog ke Pasar Ikan Tawau untuk dikongsi dengan semua pembaca.


Udang dipasar ini mempamerkan pelbagai jenis daripada jenis Udang Kara (Manthis Prawn), Udang Putih, Udang Pengantin, Udang Kertas, Udang Harimau dan sebagainya. Udang bergred tinggi seperti udang pengantin dijual dengan harga diantara RM35 - RM45 sekilogram bergantung kepada saiznya. Apa yang menarik mengenai jualan udang adalah bagi udang bersaiz kecil dijual dengan harga RM7.00 sekilogram (Sila lihat foto disebelah). Harga ini dikira murah berbanding dengan harga di Semenanjung dengan kualiti yang lebih segar. Udang ini amat sesuai dimasak sambal mahu pun digoreng dengan disalut tepong dan dimakan dengan nasi putih. Bagi udang besar sudah tentu enak digoreng dengan rasa manis kerana ia adalah udang segar dari laut. Udang segar mengandungi banyak kolesterol dimana penulis blog pernah memakan terlalu banyak udang segar ini sehingga berlaku gangguan pada saraf mata yang menyebabkan sedikit rabun. Apa yang penting bagaimana pun jika kita makan udang segar ini dengan kadar berpatutan maka ianya tidak menjadi masaalah. Udang segar ini boleh dibeli dan ada disediakan perkhidmatan membungkus (packing) untuk dibawa balik dengan kapalterbang (hand carry) balik ke Semenanjung.


Ada pula banyak jenis ikan pelagik yang dijual dipasar ini atau ia dikelaskan sebagai ''Ikan Rakyat''. Terdapat ikan selar, ikan cencaru, ikan sardin, ikan kembong dan ikan kerisi yang dijual dipasar ini dengan harga yang berpatutan. Ikan-ikan ini dipamerkan dengan banyak pilihan kepada pengguna untuk membelinya. Apa yang menarik penulis blog adalah ikan yang dijadikan ikan bili bersaiz sederhana kecil dijual dengan harga RM3.50 sekilogram (Sila lihat foto disebelah). Walau pun penulis blog tidak berapa kenal dengan akan beberpaa jenis ini tetapi akan kenal apabila ikan ini dikeringkan menjadi sejenis Ikan Bilis sahaja. Ikan ini pada anggapan penulis sesuai digoreng dengan tepong dan dimakan dengan nasi putih semasa suam panas lagi. Harga ikan disini masih dianggap tinggi oleh penduduk tempatan pada masa ini berbanding dengan 15 tahun dahulu dari segi nilainya. Mamang dahulu harga ikan disini amat murah kerana belum ramai pelancong yang datamg ke Tawau.

Menarik dipasar Tanjung Market ini ada dijual RUMPAI LAUT SEGAR (Frseh Seaweed) yang berwarna hijau (Sila lihat foto disebelah). Rumpai laut atau Seaweed segar ini dijual dengan harga murah disini iaitu sekitar RM2.00 untuk satu jumlah longgok sahaja. Kawasan laut di Tawau dan Semporna dalam perairan Sabah kini juga mempunyai lokasi menanam rumpai laut yang terbesar di Malaysia. Terdapat sekitar 1,250 pengusaha rumpai laut di Sabah dengan jumlah pengeuaran sebanyak 280 - 350 metrik tan setahun. Jumlah ini akan ditingkat kepada lebih 750 metrik tan setahun melalui projek ladang seaweed yang dicetuskan oleh Kementerian Pertanian da Indstri Asas Tani Malaysia melalui projek EPP 3 iaitu 'Seaweed Mini Estate NKEA'. Penulis blog tidak berapa pasti kepada mereka yang membeli rumpai laut bewarna hijau ini. Bagaimana pun daripada beberapa pameran AgroFood yang penulis hadir didakwa rumpai laut mempunyai banyak khasiat dengan pelbagai cara penyediaannya.


Penulis blog berjalan lagi kebelakang dan menjumpai IKAN BUNTAL yang bersaiz besar banyak dijual disini (Sila lihat foto disebelah). Ikan buntal dengan kulitnya berwarna coklat gelap dengan titik-titik cerah dijual dengan harga RM6.00 seekor dengan berat sekitar 1.3 kg seekor. Penjual ikan buntal ini dikenali dengan nama Husin menyatakan dimana ikan ini adalah beracun dimana orang tempatan di Tawau tahu bagaimana untuk membuang racun pada ikan buntal. Racun ikan buntal terletak pada bahagian kulit ikan dimana spesies ikan ini mengandungi racun jenis Tetrodotoxin iaitu sejenis toksik yang amat berbahaya dimana hanya sejumlah kecil racun 25 miligram mampu membunuh manusia. Lebih menakutkan dimana dilaporkan memang tiada antidot atau penawar bagi toksik ikan buntal dan dianggap lebih bahaya daripada sianida. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ikan buntal langsung tidak boleh dimakan kecuali jika dibuat proses pengasingan bahagian yang beracun dibuat dengan kemahiran yang tinggi. Bahagian lain yang beracun adalah seperti hati, mata, telur, darah dan kulit. Ikan buntal atau dikenali sebagai fugu di Jepun turut dijadikan hidangan makanan laut, namun ia dijual di pasar dan restoran yang dikawal dengan ketat. Rasa isi ikan buntal kononnya seperti rasa daging ayam dimana isinya pejal dan sangat sesuai jika digoreng kerana tidak mudah hancur.

Ketam merupakan satu lagi hasilan laut yang popular dipasar ini dengan harga antara RM7.00 - RM18.00 sekilogram bergantung kepada jenis, saiz dan juga kesegarannya (Sila lihat foto disebelah). Ketam merupakan makanan sefood yang mesti dimakan di Tawau kerana harganya yang murah berbanding dengan beberapa ditempat lain di Semenanjung Malaysia. Penulis blog mengunjungi Restoren Makanan Laut Titingan dan merasa hidangan ketam masak sambal dan ketam masak cornflake yang memang enak dimakan dengan nasi putih. Daging ketam merupakan sumber protin tanpa lemak dan ianya sangat kaya dengan vitamin dan mineral yang sangat berguna untuk badan kita. Ia banyak vitamin B12 bersama-sama dengan vitamin B yang lain berfungsi untuk menukarkan mekanan menjadi tenaga dan membantu fugsi sel saraf. Vitamin dalam ketam juga menyediakan Posforus yang baik untuk kesihatan tulang dan bahan anti-oksida yang membantu fungsi Tiroid dan Immuniti manusia.

Ikan Tuna yang dijual dipasar ini bukan jenis ikan biasa sebaliknya saiznya amat besar sehingga melebihi 25 kg seekor. Bagaimana pun ikan tuna ini akan dipotong-potong isi daginnya dan dijual dengan harga RM12.00 - RM18.00 sekilogram (Sila anda lihat foto disebelah). Bertanya kepada penjual dia nyatakan ikan tuna ini adalah dari jenis Yellow Fin Tuna yang memang enak dagingnya. Ikan tuna memang memiliki banyak khasiat mulai dari lemak, daging sehingga kandungan minyaknya. Manfaat minyak ikan tuna didaka dapat membantu menjaga kesihatan dan nutrisi yang diperlukan oleh badan kita. Apalagi khasiat dari daging ikan tuna itu sendiri yang cukup banyak tetapi ia juga perlu diperhatikan ikan tuna didaka juga mengandungi bahan Raksa (Mercury) akibat dari perairan laut tercemar. Seperti yang telah diketahui bahwa ikan tuna merupakan jenis ikan air masin dari keluarga Scombridae dan Genus Thunnus, dan termasuk salah satu ikan paling popular di Jepun dan dunia Eropah. Ikan tuna segar jauh lebih berkhasiat disebabkan ianya amat kaya denga bahan omega-3. Semuga tulisan dalam anim agro technology kali ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...

KEPASAR TAWAU ... MEMANTAU HARGA...
IKAN SEGAR... KECIL DAN BESAR ADA...
MAKANAN SEAFOOD...PILIH SAHAJA...
MEMANG SERONOK.. ARTIKEL DISEDIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 1313, Hotel Promenade,
Tawau, Sabah,
Malaysia.
(15 Rejab 1439H).

Saturday, July 14, 2018

MENTERNAK BELUT - SATU POTENSI

MENTERNAK BELUT SAWAH (Monopterus albus) seperti belut sawah merupakan satu bidang usaha yang agak kurang di usahakan di Malaysia oleh rakyat tempatan. Terdapat beberapa syarikat yang pernah menjalankan ternakan belut secara komersil seperti oleh Syarikat Soon Seng, di Nenasi, Pekan, Pahang dimana syarikat tersebut telah beroperasi lebih 15 tahun bersama dengan ternakan udang. Bagaimana pun kini kebanyakkan kolam di lokasi tersebut telah menukar operasi kepada penternakan udang harumau yang beberapa jenis ikan lain. Terdapat banyak jenis belut yang didapti daripada belut didalam air masin, belut air payau dan juga belut air tawar. Didalam laut banya terdapat jenis ikan belut yang kebanyakannya adalah pemangsa. Di negara kita dan beberapa negara Asean yang lain paling popular adalah Belut Sawah atau dipanggil Moa, atau Lindung iitu adalah sejenis ikan anggota suku Synbranchidae (belut), ordo Synbranchiiformes yang mana ia mempunyai nilai ekonomi dan ekologi. Ikan ini boleh dimakan dengan cara menggoreng, dimasak dengan sos pedas masam atau dijadikan Sup Belut yang berkhaiat. Apa pun secara ekologi saintis juga telah menjadikan belut sebagai satu indikator pencemaran persekitaran habitat sebab haiwan ini agak mudah beradaptasi. Ketiadaan belut disuatu lokasi menunjukkan telah berlaku kemusnahan persekitaran yang sangat parah telah terjadi. Belut adalah predator ganas di kawasan paya dan sawah. Makanannya terdiri daripada hidupan seperti ikan kecil, cacing, krustasea dimana belut juga lazimnya aktif di malam hari. Haiwan ini dapat mengambil oksigen terus dari udara dan mampu hidup berbulan-bulan tanpa air asalkan kelilingnya tetap basah. Penulis blog juga mendapati belut mampu menyerap oksigen melalui bahagian kulitnya. Belut lazimnya akan bersarang di dalam lubang berlumpur dan menunggu mangsa yang melalui didepanya dan memakannya. Walaupun didapati dimana  berasal dari daerah tropika tetapi belut sawah diketahui dapat bertahan hidupdimasa musim sejuk dengan suhu sangat rendah. Kombinasi sifat-sifat yang dimiliki belut membuatkannya menjadi haiwan yang dianggap berbahaya bagi persekitaran yang bukan habitatnya. Bagaimana pun kini belut sawah telah dijadikan ternakan yang komersil melalui berbgai kaedah penternakan dan teknologi. Artikel pada petang Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penternakan belut sawah sebagai satu manifestasi penulis blog unggul di Malaysia.


Bagi mengenali ciri-ciri dan sifat belut lebih baik merujuk kepada beberapa jurnal. Biasanya ukuran maksimum belut adalah 1meter walau pun ada yang banyak dimakan paling panjang 40 cm. Belut ini tidak memiliki sirip kecuali sirip ekor yang memanjang (Sila lihat foto disebelah). Bentuk tubuhnya menyerupai tabung panjang dengan tubuh licin dan memang tanpa sisik. Warna belut adalah bermacam warna namun biasanya kecoklatan hingga kelabu bergantung juga kepada persekitarannya. Apa yang anda perlu tahu dimana belut merupakan haiwan hermaprodit dimana masa muda ia merupakan belut betina dan bersarang di lubang untuk meletakkan telur-telurnya pada buih-buih di air yang cetek. Kemudian aapabila telurnya menetas maka keluarlah belut muda yang semuanya betina. Dalam usia lebih tua dalam proses kehidupannya berikutnya ia akan menjadi belut jantan. Belut sawah berasal dari Asia Timur dan Asia Tenggara barat bagaimana pun kini belut sawah sekarang sudah ada dipaya di Hawaii, Florida dan Georgia di USA dan dianggap sebagai haiwan invasif. Apa yang pasti dimana belut sawah adalah sejenis ikan yang hidup liar pada air di sawah, kawasan paya atau di pinggiran sungai. Binatang ini menyerupai juga ular. Bentuknya panjang dan memiliki tubuh yang licin karena diselimuti oleh lendir. Meski sebahagian orang merasa jijik terhadap jenis ikan ini akan tetapi belut memiliki kandungan protein yang sangat tinggi. Daging belut ini sangat baik jika dierikan makan kepada kanak-kanak disebabkan kandungan proteinnya sangat tinggi memang amat baik untuk masa pertumbuhan dan untuk membangun otak anak kita.


Apa yang berlaku kini harga runcit belut amat baik dipasaran. Harga runcit sekitar RM10.00 - RM15.00 sekilogram bergantung kepada musim, saiz dan juga kesegaran untuk belut hidup. Tinjauan penulis blog baru-baru ini di tepi jalan Rantau Panjang, Kelantan ia dijual dengan harga RM8.00 sekilogram. Di negara jiran Indonesia harga belut sawah diantara R030,000 - Rp50,000 sekilogram bergantung juga kepada kualiti dan musim serta kadar permintaan, Khasiat belut sawah yang kaya dengan zat protin menyababkan semakin ramai orang yang mula mencarinya untuk dimakan. Walau pun harga agak tinggi bagi belut yang suadh siap diproses sedia untuk dimasak tetapi permintaan untuk belut adalah terus meningkat. Mencari belut liar dikawasan sawah sudah menjadi semakin sukar dimasa ini. Ini disebabkan oleh kerana aktiviti mrmburu belut secara liar tanpa kawalan  menyebabkan ia semakin pupus terutama jika menggunakan kaedah yang tidak mesra alam. Penyebab menurunnya habitat belut di alam atau di sawah juga sebab memburu menggnakan kejutan eletrik, penggunaan baja kimia dan racun kimia berlebihan disawah sehingga keadaan tanah menjadi keras dan belut tidak boleh hidup dan membiak. Belut dikawasan sawah yang komersil semakin kurang apabila makannannya seperti ikan-ikan kecil juga pupus akibat penggunaan bahan kimia berlebihan disawah padi.


Kini telah ada aktiviti dan teknologi menternak belut dimana ia juga telah menjadi salah satu usaha  yang menjanjikan pulangan lebih baik daripada memburunya. Kini ada permintaan pasaran agak yang tinggi untuk produk belut. Pengeluaran belut masih sangat terbatas sebab belum ada teknologi penternak komersil yang produktif dan praktikal untuk ikan jenis belut ini. Permintaan belut dipasaran antarabangsa didakwa mencecah sehingga 300,000 metrik tan setahun dimana hampr separuh adalah untuk pasaran di Jepun sahaja iaitu sebanyak 150,000 metrik tan setahun. Selain Jepun didapati permintaan daging belut berlendir ini amat tinggi dibeberapa negara lain seperti Hong Kong, Korea Selatan, China dan Taiwan. Hanya beberapa negara yang ada menternak belut ini secara komersil seperti di Thailand, Indonesia dan juga di Malaysia untuk pasaran eksport. Dilaporkan pada masa ini negara Indonesia masih merupakan pengeluar ikan belut terbesar di dunia sama ada belut yang diburu daripada kawasan semulajadi atau pun belut yang diternak. Sebenarnya selain pasaran eksport didapati belut sawah mendapat permintaan baik didalam negara. Apa yang penulis blog hendak kongsi adalah kehebatan khasiat belut. Belut memiliki nilai zat permakanan yang sangat tinggi. Kandungan vitamin A ikan belut sawah mencapai 15,000 IU/100 gram diana nilai ini adalah lebih tinggi dibandingkan dengan vitamin A yang terkandung dalam mentega yang hanya mempunyai sekitar  1,900 IU/100 gram. Kandungan DHA pada belut adalah 1,337 mg/100 gram dimana nilai ini mengalahkan ikan salmon yang hanya mengandungi sekitar 820 mg/100 g juga mengalahkan ikan makarel yang hanya mengandung 748 gram/100gram dagingnya. Walau pun ramai geli geleman melihat belut ini tetapi apabila dihidangkan dengan tersusun rapi akan menarik mereka untuk memakannya. Belut memiliki cita rasa yang khas berlemak, lazat, dan berkhasiat dimana ia sesuai dioleh kepada pelbagai jenis masakkan seperti belt goreng, belut sambal, sup belut dan bermacam lagi. 


Meskipun belut adalah haiwan yang termasuk dalam kategori ikan tetapi belut berbeza dengan jenis ikan pada umumnya. Ini disebebkan belut dapat hidup di air yang tidak terlalu banyak seperti lumpur. Belut juga banyak ditemui di paya dan persawahan. Tetapi sekarang dilaporkan semakin susah untuk mencari belut dikawasan sawah kerana ia semakin pupus seperti dilaporkan diatas. Cara Ternak Belut  yang mudah dengan memnyiapkan kolam menternak belut. Kini belut dapat diternak dengan tong drum, kolam kanvas, tong atau kontainer plastik. Dua kaedah yang paling sering dilakukan untuk menternak belut adalah menternak didalam tong drum plastik atau didalam kolam kanvas (Sila lihat doto disebelah). Plastik kanvas dan tong drum plastik ini amat sesuai untuk elakkan belut-belut ini keluar sendiri dari kawasan ternakan  kerana permukaan yang licin dan kerana sukar untuk belut menebuknya. Sebaiknya cari tong darum plastik (selalu berwarna biru) dan dicuci hingga benar-benar bersih terutama pada bahagian dalam tong drum. Kemudian dibuat lubang persegi panjang pada bahagian atas tong drum dan letakkan drum pada bahagian tanah yang rata dan diberi penyokong  gar tong drum tidak terguling atau pun ia tergolek. Kemudian dibuat saluran pembuangan air dan kekotoran di bawah tong drum. Digalakkan agar semua otng drum ini diletakkan dibawah peneduh supaya belut tidak kepanasan sebab terkena sinaran matahari terus. Dalam pada itu rahsia kejayaan menternak belut adalah pemilihan media yang betul. Media yang sesuai adalah diberi lapisan jerami pada dasar drum dengan ketebalan 50 cm dan sebaiknya siram jerami menggunakan mikrrorganisma starter sebanyak 1 liter per drum. Kemudian diberi lapisan kompos setinggi 7 cm dimana kompos sesuai juga diganti dengan baja organik atau najis haiwan atau tanah humus. Lapisan terakhir (paling atas) diberi lumpur kering yang sebelumnya dicampur dengan TSP 5 kg dan diletakkan hingga setinggi lapisan 25 cm. Akhirnya dimasukkan air bersih sedalam 17 cm dan ia dan biarkan selama 14 hari untuk tujuan proses pereputannnya. Elakkan masukkan benih belut sebelum 14 hari keatas.


Kemudian selepas 14 hari benih anak belut baru dimasukkan. Sebaiknya pastikan memilih benih belut yang bagus dan sihat agar meminimaksn kadar kematian belut. Kriteria bibit belut yang sihat dengan memilih benih belut dengan ukuran yang seragam agar semasa menuai kelak akan mendapat saiz belut yang dihasilkan juga seragam atau sama besar. Selain itu ia bertujuan untuk elakkan agar belut tidak saling memangsa belut lain yang ada di kolam. Pilih belut yang cergas, lincah dan aktif serta semestinya bebas dari penyakit. Penulis blog meninjau dimana saiz benih belut yang sesuai berukuran sekitar 10-12 cm panjang. Memberi makan belut sawah penting semenjak permulaan penternakan. Makanan belut berupa ikan kecil, berudu (anak katak), isi siput atau cacing yang sebelumnya dicincang terlebih dahulu. Makanan ini perlu diberikan satu kali sehari setiap petang sebanyak 5 - 20% dari jumlah benih belut setiap hari.  Pada umumnya belut diserang penyakit yang disebabkan oleh organisma seperti virus, bakteria, protozoa atau kulat. Bakteria yang sering menyerang belut adalah Aeromonas sp dan Pseudomonas sp. Belut yang diserang bakteria tersebut tandanya adalah seperti berlaku pendarahan hebat di bahagian bawah kulit, insang dan juga rongga mulut dan akan merebak ke seluruh bahagian tubuh. Kawalan boleh dilakukan dengan memasukkan umbut batang pisang pisang yang telah busuk ke dalam tempat ternak belut. Umbut batang pisang berfungsi sebagai antiseptic semulajadi yang dapat memusnahkan kadar pertumbuhan kedua patogen bakteria tersebut. Selain itu umbut batang pisang yang telah busuk juga akan dapat menimbulkan cacing-cacing kecil yang akan menjadi punca makanan semulajadi kepada belut (Sila lihat foto disebelah). Teknologi ini mudah dan murah serta sangat efektif didalam penternakan belut.


Aktiviti menuai belut sawah boleh dijadualkan mengikut program jualan. Apa yang penulis blog pernah tinjau di negara jiran didapati untuk satu tong drum sahaja secara idealnya benih belut yang dapat masuk sebanyak 2 kg dengan ukuran benih tersebut sekitar 11-13 cm. Waktu pengusaha menuai belut dalam masa 3 - 4 bulan selepas masukkan benih. Harga benih belut yang berukuran sekitar panjang 7-12 cm (Besar) sekitar RM18.00 satu bekas yang mengandungi sebanyak 76 - 111 ekor. Jika penternak membeli benih belut yang kecil sedikit sekitar RM10.00 satu bekas dengan mempunyai 4 - 6 ekor sahaja. Pemasaran belut diperingkt awal perlu dikenalpasti dimana dan bagaimana. Belut kini telah menjadi salah satu makanan harian yang banyak disukai masyarakat sama ada digorengm dibuat sup atau dijadikan kerepek belut yang popular di Indonesia.  Khasiat belut banyak diperkatakan dimana isi daging belut mengandung protein yang tinggi sehingga baik untuk masa pertumbuhan kanak-kanak. Lebih dari itu daging belut juga mengandung vitamin, mineral, kalsium, karbohidrat, fosfor dan lemak sama halnya seperti ikan. Didakwa dar kajian makmal belut mempunyai kalori sebanyak 303 kcal, Lemak (27 gram), Protein (14 gram),  Fosforus (200 mg), Karbohidrat (0), Kalsium (20 mg), Vitamin A (1,600 IU), Air (58 gram), Vitamin B (0.1 mg), Zat besi (20 mg) dan Vitamin C (2 mg) bagi setiao 100 gram yang dianalisa. Aktiviti penternakan belut di Malaysia perlu dilakukan untuk menjanjikan pendapatan baik kepada pengusaha golongan muda. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...


MENTERNAK BELUT... ADA TEKNOLOGINYA...
DALAM TONG DRUM...IA BOLEH DIGUNA...
LEPAS 3-4 BULAN... MULA MENUAINYA...
BANYAK KHASIAT... ARTIKEL MEMBANTUNYA...

By,

M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria,
Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(29 Syawal 1439H).

Friday, July 13, 2018

MASAK LEMAK TELUR ITIK

MASAK LEMAK TELUR ITIK merupakan sejenis hidangan istimewa dikalangan masyarakat Malaysia dimana ia sering dihidangkan dibeberapa majlis keramaian, kenduri dan makanan ahli keluarga. Lauk ini juga sering dihidangkan dibeberapa buah restoren terutama restoren yang biasanya menyediakan makanan Melayu Tradisional. Penulis blog memang suka makanan ini terutama untuk hidangan makan tengahari (lunch) atau pun adakalanya dihidangkan pada waktu makan malam. Sesuai dimakan dengan nasi panas ia membuka selera apabila aroma dan warna kekuninan dipancarkan daripada hidangan masak lemak telur itik. Bergantung kepada citarasa dan kemahiran tukang masak, lazimnya resepi yang paling disukai ramai adalah jenis masak lemak telur itik cili padi yang pedas, lemak dan enak. Kaedah masakan lauk unik ini ada berbagai daripada yang mudah dan simpel kepada yang komplikated dengan pelbagai campuran lain dan hiasannya. Lauk ini adalah jenis makanan yang berkhasiat kerana mengandungi tinggi protin, lemak dan vitamin. Telur itik mengandungi Vitamin A yang cukup tinggi, iaitu sekitar 472 IU vitamin A, yang mampu memenuhi 9.4 peratus yang diperlukan, selain amat baik untuk kesihatan mata, tulang dan gigi serta membantu menguatkan sistem imuniti. Dalam sebiji telur itik juga terdapat 0.9 mg vitamin E, yang mewakili 3 peratus daripada keperluan seharian tubuh badan yang dapat memelihara sistem pencernaan dan metabolisme serta berperanan sebagai antioksidan terhadap penyakit. Selain itu didakwa kandungan mineral seperti fosforus, kalsium, kalium dan zat besi merupakan sumber yang ideal bagi tubuh kita. Kini dengan harga yang lebih murah daripada daging atau susu, makin ramai memilih telur itik untuk memenuhi keperluan protein sehari-hari. Selain itu, telur itik mentah juga biasa dibuat telur asin. Kaedah menyediakannya juga mudah kepada mereka yang pandai memasak dan rajin masuk dapur. Kos untuk membuatnya juga amat murah berbanding dengan laukpauk lain yang berasaskan daging dan telur. Penulis baru-baru ini berkunjung kerumah saudara di Melaka yang mana dihidangkan dengan lauk masak lemak telur itik dengan nasi putih untuk makan tengahari. Artikel subuh ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai makanan istimewa iaitu masak lemak telur itik untuk dikongsi dengan pembaca semua.

Resepi masak lemak telur itik ini berbeza-beza mengikut negeri dan kehendak tukang masak. Kalau hidangan ini dibuat di Negeri Sembilan dan Melaka mereka lazimnya akan masak dengan cili api yang pedas menyengat sebaliknya di sebelah Kelantan dimasak dengan kurang pedas. Diantara bahan-bahan yang diperlukan untuk masak dengan pedas makanan ini adalah mengunakan 5 ulas bawang merah, 15 cili padi, 1.5cm kunyit hidup, sehelai daun kunyit yang perlu dikoyak-koyakkan, sebatang serai yang perlu diketuk, 2 cawan santan kelapa, 4 biji telur itik segar dan juga perisa seperti garam, gula dan sebagainya. Pada penulis blog resepi asas memasak untuk satu keluarga mudah dimana pertama sekali perlu ditumbuk bawang merah, cili padi dan kunyit sehingga lumat dalam lesung. Kemudian bahan ramuan ini dimasukkan dalam periok atau kuali bersama dengan ramuan lain iaitu bahan yang telah ditumbuk bersama daun kunyit, serai dan santan ke dalam periuk. Didihkan di atas api yang perlahan dan dikacau agar tidak hangus. Kemudian dipecahkan telur sebiji demi sebiji ke dalam kuah tadi dan biarkan membeku dimana elakkan telur tersebut dikacau kerana ia akan tidak berketul (Sila lihat foto disebelah). Akhirnya perlu dimasukkan garam secukup rasa dan biarkan sehingga telur masak. Perlu diingatkan agar jangan kerap dikacau bagi mengelakkan telur hancur. Makanan ini sudah sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas dengan rasa yang pedas.

Bagi resepi yang mana ia kurang pedas diperlukan bahan yang hampir sama iaitu 5 biji telur itik, 450ml santan kelapa pekat, 1-2 keping asam keping, garam dan gula secukup rasa dan bagi bahan ramuan perlu disediakan 5 ulas bawang merah, 1cm kunyit hidup, 1 batang serai, 1 biji cili merah dan 1 biji cili hijau. Bagi masakkan jenis ini disyorkan kalau ada belimbing buluh pun sesuai. Mula-mula bahan ramuan seperti bawang, serai, kunyit hidup, cili dikisar didalam blender sehingga lumat. Seterusnya perlu juga dimasukkan bahan santan kelapa, asam keping, bahan kisar, garam dan gula dalam periuk dan sentiasa dikacau dengan api yang dikawal kepanasannya.  Panaskan di atas api yang perlahan sambil dikacau sentiasa supaya tidak pecah minyak. Kemudian apabila santan kelapa hampir sahaja menggelegak pecahkan telur sebiji-sebiji sambil dikacau perlahan. Sebaiknya jangan masak terlalu lama kerana nanti akibatnya telur itik akan menjadi keras tidak berapa sedap. Kemudian tuup api dan masukkan didalam mangkuk hidangan dengan hiasan daun kunyit yang dihiris dan ia sedia untuk dimakan (Sila lihat foto disebelah). Resepi jenis ini sesuai dimakan oleh orang dewasa dan juga kanak-kanak berbanding dengan resepi masakan masak lemak telur itik cili api yang pedas. Dalam beberapa rujukkan penulis blog dapati manfaat telur itik yang dikaitkan dengan kesihatan tubuh manusia dimana setiap sebiji telur itik memiliki 9 gram protein yang mampu memenuhi 18 peratus protein yang diperlukan tubuh manusia setiap hari untuk membaiki dan memelihara sel-sel dalam tubuh, terutamanya setelah kita berolahraga.

Dalam pada itu telur itik memang mudah dibeli di pasar atau pasar tani atau pun kedai runcit. Harganya juga masih berpatutan untuk telut itik segar mahu pun telur itik masin. Kini ada dakwaan dimana ramai yang mendakwa makan telur dalam jumlah yang banyak boleh menjejaskan kesihatan kerana tahap kolesterol yang tinggi. Namun adakah benar fakta tersebut?. Dalam satu artikel yang penulis buat rujukkan sebenarnya mengamalkan memakan telur ayam atau telur itik adalah baik kerana ia memang diakui banyak khasiatnya. Ia adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet harian manusia di seluruh dunia. Itik juga merupakan sejenis ternakan yang boleh dipelihara sendiri dikawasan rumah yang sesuai (Sila lihat foto disebelah). Sebenarnya sejak turun-temurun lagi telur ayam dan kadang kali bagi penduduk kampung telur itik dan angsa menjadi makanan menyihatkan dan ubat bagi pelbagai penyakit. Cara penyediaannya juga mudah dimana ia boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada separuh masak, tiga suku masak, rebus, goreng, sambal, kari dan sebagainya dan artikel ini mempaparkan masak lemak. Selain itu popular juga telur ayam kampung dimana ia boleh dijadikan penawar atau ubat tradisional bagi merawat pelbagai penyakit. Permintaannya sangat tinggi untuk telur ayam kampung dan telur itik kerana ia mengandungi vitamin dan galian yang mencukupi hasil daripada pemakanan haiwan tersebut yang asli dan organik, iaitu bebas daripada bahan kimia. Sebiji telur ayam atau telur itik mengandungi lebih kurang 10 peratus cangkerang, 30 peratus kuning telur dan 60 peratus albumen (mengikut berat). Kandungan kimia telur ayam, telur itik dan telur puyuh tidak terlalu berbeza antara satu dengan lain, kecuali kandungan kolesterol telur itik adalah lebih tinggi sedikit iaitu lebih kurang 16.20 miligram bagi setiap gram kuning telur. Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak. Apa yang agak unik adalah ia juga mengandungi sejenis lagi protein yang dipanggil avidin iaitu sejenis bahan antibiotik semula jadi yang amat berguna untuk melawan jangkitan mikro organisma yang dapat merosakkan telur tersebut. Antibiotik ini wujud bersama-sama dengan biotin dan akan musnah apabila dimasak. Kadar lemak dan kalori dalam telur adalah rendah tetapi ia kaya dengan sumber protein dan vitamin A. Bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang. Selain kolesterol ia mengandungi banyak zat-zat makanan yang penting, antaranya adalah 67 miligram sulfur atau lapan peratus daripada keperluan seharian. Semuga artikel dalm anim agro technology subuh ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!...
MASAK LEMAK TELUR ITIK... APA DIA...
RESEPI PEDAS... MENYENGAT RASANYA...
MUDAH DIMASAK... MURAH BAHANNYA...
MAKAN TENGAHARI... AMAT BERSELERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 743, Hotel Mariott,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(26 Syawal 1439H).

Thursday, July 12, 2018

TERUNG HIJAU BULAT

TERUNG HIJAU BULAT atau TERUNG LALAP ( Solanum melongena) atau sering juga dipanggil terung ulam hijau dri keluarga Solanaceae merupakan sejenis terung yang mudah ditanam dan enak dimakan sebagai sayuran atau ulaman. Penulis blog yang baru-baru ini melawat beberapa negeri dipantai Timur iaitu Negeri Pahang, Terengganu dan juga  Kelantan sempat melawat beberapa kebun petni yang menanam terung bulat hijau dan beberapa gerai makan yang menghidangkan terung ini. Walau pun penanaman terung jenis ini hanya sebagai tanaman campuran dengan sayuran lain namun ianya telah memeberikan pendapatan yang baik kepada penanamnya. Terung ini ditanam daripada benih yang diperolehi daripada buah terung hijau tua yang di kutip daripada pokok sedia ada dan dikebun dan dijemur sebelum dikeluaran bijinya. Ia dijemur dan kemudian disemai didalam tapak semaian atau didalam polibeg dan apabila sesuai ditanam diatas batas atau didalam pasu. Lazimnya terung ini akan berbunga dan berbuah selepas 3 - 4 minggu selepas ditanam dan dengan penjagaan yang baik mampu tumbuh berhasil sehingga lebih daripada 5-6 bulan. Terung yang matang bersaiz sekitar bola pingpong atau besar sedikit dengan kulitnya berwarna hijau gelap dengan hijau terang  (Sila lihat foto diatas). Terung ini sebaiknya diberikan baja organik dan elakkan daripada gunakan sebarang racun kimi  kerana ia sering juga dimakan sebagai ulam-ulaman atau dimakan terus dengan nasi dan sambal. Terung jenis ini lazimnya ada dijual dipasar tani, pasar biasa dan juga di pasaraya beberapa premis tertentu dengan harga yang berpatutan. Artikel subuh ini jam 3.30 pagi sambil menonton perlawanan bolasepak separuh akhir Piala Dunia Russia 2018 diantara Perancis dengan Belgium (Perancis Menang 1-0) saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai terung bulat hijau sekadar untuk memberikan info teknikal kepada semua pembaca.


Mungkin ada dikalangan pembaca yang ingin katakan apakah perbezaan antara Terung Hijau Buat dengan Terung Pipit.
Terung Pipit (Solanum tarvum) atau juga dikenali sebagai terung rembang atau terung manggul adalah sejenis ulam yang tumbuh liar atau lazim ditanam dikawasan kebun tetapi lazimnya ia terdapat di hutan Malaysia. Terung Pipit diberi nama mungkin kerana ia adalah amat disukai oleh burung seperti burung pipit yang memakan terung ini apabila masak didalam keadaan semulajadi (Sila lihat foto disebelah). Saya ada menulis artikel mengenai terung pipit sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Terung pipit banyak dijual dipasar tani atau pasar tamu atau pasar minggu yang dikutip oleh penduduk kampong dengan harga selonggok diantara RM2.00 - RM3.00. Belum ada senarai harga terung pipit di dalam senarai harga sayuran dipasar yang dipaparkan. Antara kegunaan terung pipit adalah untuk dijadikan ulam ketika makan nasi dengan dicecah sambal belacan atau dimasak sayuran sambal ikan bilis pedas dan sebagainya. Ia merupakan sejenis sayur yang berkhasiat dimana secara saintifik apa yang penulis rujuk didalam tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan mengandungi bahan iaitu air 89 g, protein 2 g, lemak 0.1 g, karbohidrat 8 g, serat 1.0 g, kalsium 50 mg, fosforus 30 mg, ferum 2 mg, vitamin A 750 I.U., vitamin B1 0.08 mg, vitamin C 80 mg. Oleh itu tidak hairan jika dikatakan bahawa terung pipit merupakan tumbuhan berubat yang digunakan secara tradisi. Buahnya memang mengandungi banyak khasiat seperti diantaranya dengan meminum air rebusan buah ini dapat meredakan kesakitan akibat sakit perut yang berterusan. Selain itu akarnya pula dapat mengubati retak kulit pada kaki. Batangnya berkayu liat dan ia mempunyai dahan banyak dan berduri. Daunnya yang berwarna hijau dan tebal tumbuh berpasangan dan mudah dikenali. Ia mempunyai garis bentuk bujur dan terdapat juga duri pada urat daunnya. Bunganya berjambak-jambak di hujung atau terminal ranting, berwarna putih. Penggunaan lain terung pipit adalah ia mempunyai potensi bagi membersihkan kawasan tercemar pada tanah kerana ia mampu menyerap logam berat (Heavy metal) dari tanah. Bagaimanapun pokok yang ditanam bagi tujuan ini hasilnya adalah tidak sesuai digunakan kerana mengandungi logam berat atau untuk dimakan bagi mengelak keracunan kepada manusia yang memakannya. 


Terung bulat hijau akan dipetik dan biasanya akan dimakan bersama dengan ulaman dan kampong lain sama seperti ulam lain iaitu kacang botor, petai, jering, daun pucuk gajus, pucuk tepus, terung pipit, timun mini, jantung pisang rebus, pucuk betik, ulam raja, selom dan sebagainya. Ulaman ini sesuai dimakan bersama sambal belacan atau sambal lain bersama nasi putih dan pelbagai lauk lain (Sila lihat foto sebelah). Memang cukup menyelerakan makan tengahari dengan pelbagai jenis ulam-ulaman di beberapa buah restoren yang penulis blog kunjungi di Pahang, Terangganu dan Kelantan dimana ia adalah menu hidangan yang sering menarik minat ramai pelanggan. Ulaman seperti terung hijau bulat ini lazimnya perlu dibasuh bersih dengan air sebelum dihidang begitu sahaja atau ia di belah dua sebelum dihidangkan. Memang terung ini mempunyai rasa sedikit kelat dan aroma terung jika dimakan mentah bersama bijinya yang masih muda. Jika terung yang dihidangkan ini terlalu tua maka ia agak keras dan kurang enak dijadikan ulaman. Apa pun memang amat menyelerakan apabila kita masuk kerestoren yang menghidangkan pelbagai jenis ulaman untuk makan tengahari. Harga makanan seperti ini memang murah berbanding dengan memakan pelbagai lauk-pauk lain yang dijual di restoren tersebut.


Sebenarnya penulis blog amat suka dengan hidangan terung hijau bulat yang dimasak sambal pedas sama ada dengan cili api (berwarna hijau) atau dengan cili kering (berwarna kemerahan). Terung bulat hijau ini mudah dimasak dengan cili api dan beberapa ramuan lain seperti bawang, bilis, garam dan sebagainya dan dihidangan dengan nasi putih panas (Sila lihat foto disebelah). Sayuran ini sangat mudah disediakan dan enak dimakan pada masa tengahari. Jika ingin masak dengan sambal merah cili kering pun ianya amat enak dan mudah untuk disediakan. Sayuran yang kaya dengan vitamin C dan beberapa nutrisi lain ini boleh didakwa sebagai sayuran organik jika tidak menggunakan bahan kimia semasa menanamnya. Hidangan berasaskan terung bulat hijau ini boleh dippromosikan diperingkat nasional dan antarabangsa jika ada pihak kuliner yang mereka mahu melakukannya. Penanaman secara komersil terung jenis ini juga boleh dirancang dengan lebih sistematik sama seperti penanaman jenis sayuran jenis buah yang lain untuk jumlah pengeluaran yang banyak dan konsisten. Semuga artikel subuh ini memberikan info berguna kepada pembaca anim agro technology subuh ini. Wasallam!!...
TERUNG BULAT HIJAU... SUDAH JUMPA....
DIJADIKAN ULAMAN... ENAKNYA RASA....
MUDAH DITANAM... DIRUMAH ANDA JUA...
MEMBACA ARTIKEL...TERIMAKASIH SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 743, Hotel Mariott Putrajaya,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(27 Syawal 1439H).

Wednesday, July 11, 2018

DURIAN - MACAM2 KISAH

DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang sangat popular di Asia khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan sebagainya. Buah durian ini hanya dikenali oleh orang-orang barat semenjak zaman kolonial Belanda sekitar tahun 1912 dimana, walau pun ada diantara mereka yang mengatakan bau durian itu busuk (Skunk of the orchard) tetapi durian mempunyai rasa sangat sedap (Morstesen and Bullard , 1964). Sehingga kini pun penulis blog dimaklumkan apabila pernah diberitahu dimana buah durian dihalang untuk dibawa masuk kedalam bilik hotel kerana baunya yang kuat akan menganggu penghuni hotel yang lain akibat edaran udara di dalam sistem berhawa dingin. Saya dapati kebanyakan hotel di Malaysia, Indonesia dan Thailand membuat peraturan dan papantanda menghalang buah durian dan buah Manggis untuk dibawa masuk kedalam bilik penginapan dihotel-hotel. Buah Durian akan menyebabkan ada bau durian yang kuat dalam hotel sementara getah manggis juga boleh sebabkan warna hitam yang merosakan cadar tilam atau langsir dalam hotel. Penulis beberapa kali membuat rujukkan dari buku terkenal mengenai buah durian iaitu karangan Suranat Subhadrabandhu dan Saichol Ketsa dari Thailand dalam bukunya berjudul 'Durian - King of the Fruit'. Dakwanya durian merupakan tumbuhan natif dari kawasan di Malaysia dan juga Thailand tetapi kini telah disebarkan ke kawasan lain seperti di Sri Lanka, Selatan India, Myanmar, Vietnam, Filipina, New Guinea dan terkini ia telah banyak di tanam di Australia Utara. Di Malaysia sahaja terdapat seluas 104,655 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 300.47 juta metrik tan yang bernilai RM 1.40 billion pada tahun 2016. Terdapat banyak spesis durian dan jenis yang popular ditanam adalah Durio ziberthinus Murr. . Antara spesis lain yang boleh dijumpai dibeberapa lokaliti seperti di Borneo, Indonesia dan Thailand adalah seperti durian dinamakan sebagai Lai (Durio kutejensis), Keratongan (Durio oxleyanus) atau dikenali dengan nama ''Hairy durian'', Tabelak (Durio graveolens) atau ''Red Durian'' dan Lahong (Durio dulcis) atau jenis durian berbau kuat. Spesis tersebut adalah spesis yang jarang kita jumpa. Durian dahulu dalam pengkelasan adalah dibawah Order Malvales iaitu didalam Keluarga Bombaceae. Keluarga Bombaceae yang mana ia mempunyai 200 spesis dimana genus Durio mempunyai 28 spesis yang mana 19 spesis daripadanya terdapat hanya di kepulauan Borneo. Banyak tu! . Daripada 19 spesis tersebut, didapati sebanyak 14 spesis terdapat di Sabah dan 16 spesis di Sarawak (Abang Mokhtar, 1991). Adakah spesis-spesis ini telah diambil dan digunakan untuk program pembiakbakaan oleh negara lain ?.  Artikel subuh Jumaat ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai bermacam-macam kisah mengenai buah durian seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan untuk dikongsi bersama anda semua.


Kes pertama berkaitan dengan tajuk akhbar ''Penuh durian curi'' dimana sepasukan anggota polis telah berjaya  memeriksa dan menangkap kenderaan yang digunakan suspek (Sila lihat foto disebelah). Berita sensasi ini dilaporkan berlaku di Daerah Segamat, Johor dimana seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis kerana mencuri durian di dusun di Kampung Tengah pada jam 2 petang. Dilaporkan pada masa sama hasil dari siasatan polis mendapati kereta jenis Perodua Kembara digunakan suspek juga adalah merupakan kenderaan curi. Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata dimana lelaki terbabit ditahan ketika pihaknya melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan berkenaan. Dakwanya ketika dihampiri pihak polis didapati suspek terus menghidupkan enjin kenderaan. Pihak Polis menahannya dan pemeriksaan di bahagian belakang kereta Perodua Kembara itu menemui guni dipenuhi dengan buah durian. Pemeriksaan lanjut pada nombor pendaftaran pada Perodua Kembara itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran kereta Proton Saga. Polis mendapati durian yang dicuri bernilai RM500 dan ujian air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine iaitu dadah. Suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri. Kes ini menunjukkan dimana buah durian pun ada nilai untuk dijadikan bahan curi bagi mendapatkan dadah!.


Dalam kes kedua mengenai macam-macam durian laporan akhbar bertajuk ''Mat Salih 'hantu' durian'' dimana ada satu berita iaitu Mat Salleh bernama  Justyna dan Simon menikmati durian ketika berkunjung ke Sabah. Mereka dilaporkan boleh makan durian antara 
15 - 30 biji sehari (Sila lihat foto disebelah). Mereka telah makan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Pasangan pengembara Eropah dikenalpasti sebagai Justyna Stolklosa berusia 38 tahun dan teman lelakinya En Simon Beun yang berusia 25 tahun. Memang mendengar cerita ini bunyinya agak pelik memandangkan kebanyakan pelancong Eropah akan mengelak daripada raja buah itu kerana tidak gemar rasa dan baunya. Bagaimanapun bagi pasangan ini mereka sudah terpikat dengan durian. Malah minat terhadap durian dan buahan eksotik membawa pasangan itu mengembara ke beberapa negara di Asia Tenggara iaitu sejak dua tahun lalu. Dalam pada itu Justyna yang berasal dari Belgium berkata, dia dan teman lelakinya mengamalkan gaya hidup fruitarian, sejak empat tahun lalu. ''Fruitarian'' adalah amalan diet hanya berasaskan buah-buahan. Bagaimanapun kini mereka hanya berpeluang mencuba durian di Belgium iaitu kira-kira dua tahun lalu.  Durian itu diimport dari Thailand. Ketika mencuba durian buat pertama kali mereka telah melihat teksturnya agak kompleks berbanding buah lain seperti epal dan pisang dimana dengan sedikit rasa seperti madu dan pudina. Mereka mendakwa sebenarnya mula menggemari durian ketika mengembara di Bali. Walaupun hanya makan buahan, namun ia sudah cukup memberi kami tenaga bagi melakukan pelbagai aktiviti ketika mengembara. Justyna berkata dia dan teman lelakinya yang telah mengamalkan makan durian bersama air kelapa.


Meneruskan laporan tersebut mereka berdua dilaporkan boleh makan durian tanpa makanan lain, katanya ketika ditemui di gerai menjual buahan dikawasan gerai di Segama, Kota Kinabalu, Sabah. Sementara itu Mr Simon yang berasal dari Poland berkata durian adalah buah pertama yang mereka cari di setiap destinasi yang tuju kerana keunikan raja buah itu. Walau ramai pelancong asing tidak gemar menikmati durian, namun ia berbeza bagi kami kerana beranggapan raja buah ini mempunyai rasa unik dan tidak terdapat pada buahan lain. Secara peribadi dia memang saya suka makan durian, Ini keana buah-buahan terutama di Borneo mempunyai keistimewaannya tersendiri. Selain durian dikatakan pasangan itu turut gemar menikmati rambutan, tarap, cempedak dan bambangan. Simon berkata yang mereka turut merakamkan pengalaman mengembara sambil menikmati pelbagai buahan tempatan menerusi Instagram. Ditanya selepas ini lagi mereka akan melawat Bali. Ini memandangkan musim durian baru saja bermula di sana. Kami mahu menikmati keistimewaan musim buahan di sana. Penulis blog dapati memang ada jenis manusia pelik seperti ini yang menjadikan buah durian semakin berharga.


Kes ketiga pula bertajuk iaitu ''Durian  Musang King cecah RM800 bagi 1kg'' merupakan senario berlaku masa kini. Berita yang dipetik dari Seremban, Negeri Sembilan 2017 ini menyatakan kadar permintaan tinggi terhadap durian jenis Musang King (D197) menyebabkan harga raja buah terbabit melonjakkan sehingga mencecah RM800 sekilogram di luar negara. Ia berikutan buah berkenaan mendapat sambutan baik terutama dari negara China, Singapura, Hong Kong dan Australia sekali gus memberi impak kepada harga di pasaran tempatan yang mencecah antara RM60 sehingga RM100 sekilogram. Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan Mat Iesak Ngathinee berkata, disebabkan itu pihaknya juga telah menggalakkan usahawan menceburi penanaman durian Musang King yang mampu memberi pulangan lebih lumayan selain menjana hasil baik sama ada untuk pasaran tempatan mahupun luar negara. Kini Jabatan yang mencari mereka berminat untuk lebih ramai mengusahakan penanaman itu dengan sasaran 50 peserta membabitkan keluasan satu hektar tanah bagi setiap seorang bermula tahun depan. Peserta yang berminat perlu berhubung dengan pegawai pertanian di daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kami akan membantu daripada segi baja dan khidmat nasihat,” katanya selepas program Hari Ladang Peringkat Daerah Seremban di Balai Raya Kampung Gebok, di sini, kelmarin. Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon. Ini menunjukkan buah durian telah menjadi sejenis tanaman yang semakin mendapat perhatian dikalangan petani yang mempunyai dudun durian diseluruh negara.


Dalam macam-macam durian dilaporkan kes ke 4 dengan tajuknya ''Hati-hati beli durian, takut kena tipu'' dimana ia sering berlaku. Semasa membeli buah durian sebaiknya jangan terima saja dan sebaik-baiknya periksa hasil timbangan berat durian yang dibeli dan alat penimbang yang digunakan (Sila lihat foto disebelah).  Itu yang perlu anda semua dilakukan penggemar durian bagi mengelak ditipu penjual durian yang mahu mendapatkan untung berlebihan. Dalam viral pada Sabtu lalu, video yang berdurasi 41 saat tular menunjukkan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang sebiji durian dengan menggunakan dua penimbang berbeza di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Berat asal sebiji durian hanya dua kilogram namun apabila ditimbang ia menjadi lebih tiga kilogram angkara oleh kelicikan peniaga durian. Bagaimana pun kes seperti ini akhirnya peniaga dan ativiti jualan peniaga itu disita oleh DBKL. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, pihaknya mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penipuan seperti itu melaporkan segera kepada KPDNKK. Antara gerai menjual durian yang telah diperiksa anggota KPDNKK KL di sekitar Kuala Lumpur.  Orang ramai boleh membuat aduan di e-Aduan atau boleh menghubungi talian 1800-88-6800 atau terus ke pejabat KPDNKK. ''Jadilah pengguna bijak''. Menurutnya hasil dari susulan video tular itu sebanyak 52 gerai durian di sekitar Kuala Lumpur diperiksa pihaknya. Operasi dijalankan selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad lalu. Antara lokasi pemeriksaan termasuk di Cheras, Setapak dan Kampung Baru. Operasi Ops Durian itu dijalankan susulan video tular di laman sosial mengenai peniaga durian menggunakan penimbang tipu. Hasil pemeriksaan mendapati dua gerai gagal mempamerkan tanda harga bagi durian yang dijual manakala dua lagi gerai yang mana penjualnya berusia lingkungan 40 hingga 50-an menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan (tiada pelekat tanda penentusahan). Biasanya "Alat 'Standard Weight' digunakan bagi tujuan menentukan ketepatan alat timbang perniaga dan mendapati semua alat timbang yang diuji periksa adalah tepat timbangan. Akhirnya peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972. Semuga laporan akhbar mengenai kes-kes buah durian dalam artikel kali ini yang dipaparkan didalam blog anim agro technology kali ini memberi info berguna kepada anda pembaca semua. Wasallam!!...


KES BUAH DURIAN ... MACAM-MACAM CERITA...
ADA YANG MELUCUKAN...JENAYAH PUN ADA...
LAPORAN AKHBAR... RAMAI YANG PERCAYA...
MUSIM DURIAN.. RAMAI DAKWA SAUDARA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana,
Persimpangan Bukut Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(4 Ramadan 1439H).
Posted from:
Room 743, Hotel Mariott,
Putrajaya, WP, Malaysia.
(11 Julai 2018).

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...