Support My Blog

Monday, October 7, 2013

MANGGA - KAWALAN SERANGGA

Petani di seluruh dunia mengeluarkan kira-kira 36.5 metrik tan buah Mangga (Mangifera indica) pada tahun 2012 menurut tinjauan terkini daripada FAO Statistic yang saya rujuk. Nilai pengeluaran mangga pula adalah berjumlah USD 21.9 billion dengan negara India mendominasi pengeluaran mangga dunia berjumlah 15.2 juta metrik tan bernilai sebanyak USD 2.7 billion diikuti dengan negara China, Thailand, Indonesia dan Pakistan (Sila rujuk Jadual di bawah). Negara kita Malaysia tidak termasuk didalam 20 negara pengeluar mangga tetapi kita mencatitkan nilai impot yang bernilai jutaan ringgit setiap tahun terutama dari Thailand. Kebanyakan mangga yang dihasilkan di India adalah untuk pasaran produk segar, diproses dan dijadikan komoditi penting untuk beberapa negara pengeluar. Saya cuba menganalisa akan industri tanaman mangga ini dengan kawalan serangga perosak utama tanaman ini iaitu Lalat Buah. Teorinya negara India mungkin maju dalam kawalan serangga perosak ini yang menjadi masaalah kepada penanam buah mangga dan buah lain yang diserangnya. Artikel petang Sabtu ini saya dapat idea menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serangga perosak Lalat Buah dan kaitannya dengan industri tanaman mangga.  

Terdapat beberapa spesis Lalat Buah (Fruit Fly) tetapi di negara India spesis Bactocera dorsalis (Hendel) merupakan spesis yang paling sering menyerang tanaman mangga dinegara tersebut. Lain pula ceritanya dengan sejenis lalat buah mangga yang memberikan kelebihan kepada peminat mangga iaitu lalat buah (Anastrepha spp). Serangan lalat buah mampu menyebabkan kualiti buah rosak sehingga tidak boleh dimakan atau pun dipasarkan (Lihat foto sebelah). Saya sering juga jumpa buah mangga yang rosak ditebuk lalat buah terutama jenis buah mangga tradisional seperti Bacang, Kuini dan Pauh yang jarang dibuat sebarang apa-apa kawalan. Kini beberapa pakar Entomologi (kaji serangga) Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS) Amerika Syarikat (AS) David A. Jenkins menemui penyelesaian berteknologi rendah dan murah bagi mengurangkan perebakan lalat buah pada mangga. Jenkins bertugas di Stesen Penyelidikan Pertanian Tropika di Mayaguez, Puerto Rico. Di sana, pokok mangga banyak ditanam dan buah masak bertaburan di bawah pokok dan dibiarkan tanpa seliaan. Ini memberikan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan lalat buah.


Dalam kajian yang dijalankan, Jenkins dan kumpulan penyelidiknya mengutip mangga yang gugur dan membahagikannya kepada empat kumpulan. Kumpulan pertama dibiarkan di kawasan teduh sama ada di bawah pokok, kumpulan kedua disimpan di dalam rumah. Kumpulan ketiga diletakkan di bawah cahaya matahari dan yang keempat dimasukkan di dalam beg plastik hitam dan diletakkan di bawah cahaya matahari. Penyelidik merekodkan suhu persekitaran dan suhu dalam buah mangga beberapa kali sehari. Pada cuaca cerah, mangga yang diletakkan pada cahaya matahari menunjukkan peningkatan suhu dalaman dari 52 darjah Celcius (C) ke 58 darjah C. Buah mangga yang diletakkan di dalam rumah menunjukkan peningkatan 25 darjah C dan mangga di tempat teduh 37 darjah C. Selepas tiga hari, mangga yang diletakkan di luar dipantau kemunculan larva dan pupa. Jenkins mendapati mangga yang diletakkan di dalam rumah menghasilkan lebih banyak larva berbanding mangga yang terdedah kepada cahaya matahari.

Di kawasan di mana mangga tidak ditanam secara komersial, buah yang gugur akan dibiarkan tanpa seliaan selama beberapa hari sebelum dikutip dan kawasan yang redup dan dingin di bawah pokok untuk memberikan persekitaran yang sesuai bagi perkembangan lalat buah. Maka cara mudah mengawal lalat buah ini ialah dengan mengumpul dan membuang buah yang gugur di kawasan kebun. Ia akan membantu mengurangkan peluang pembiakan dan perkembangan lalat buah. Kaedah ini kurang sesuai jika kawasan penanaman mangga adalah tidak meluas dan hanya sedikit sahaja buah yang dihasilkan. Sebaiknya buah yang diasingkan tersebut disembur dengan racun serangga yang sesuai bagi menghalang kadar pembiakan lalat buah. Kawalan perosak bersepadu (IPM) bagi lalat buah merangkumi pendekatan diantara amalan agronomi, biologi, mekanikal dan juga gabungan dengan semburan racun serangga. Ini adalah sekadar paparan mengenai hasil pemerhatian untuk dijadikann bacaan. Wasallam!

Buah mangga MA224 dikebun saya dahulu di Jasin.

LALAT BUAH ...SERANG MANGGA...
PERLU DIKAWAL..DENGAN SEGERA...
PASANG PERANGKAP...SATU CARA...
KAJIAN DIATAS... SATU USAHA...

By,
M Anem
senior Agronomist
Projek Mangga Kg Tehel,
Jasin, Melaka,
Malaysia
(26 Ramadan 1434H)

Sunday, October 6, 2013

KELAPA MATAG - APA KATA AKHBAR

KELAPA MATAG (Cocos nucifera 'Matag') merupakan sejenis varieti kelapa hibrid yang disyorkan untuk penanamankelapa di Malaysia oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Kelapa merupakan tanaman dari keluarga Arecaceae atau dulu dipanggil keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, daun dan buahnya iaitu sabut, air kelapa, tempurung dan isinya oleh manusia terutama di Asia Tenggara dan juga Kepulauan Pasifik. Penanaman kelapa dahulu boleh dikatakan tanaman wajib disetiap rumah dikawasan kampong. Sebut sahaja kelapa maka akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam di kawasan tanah persisir pantai. Saya dapati terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan varieti 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walaupun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (kurang hampir 10,000 hektar), tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa matag dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.

Kelapa matag adalah nama singkatan bagi kacukan antara varieti kelapa 'Malayan Tall' dangan kelapa 'Tagnanan' yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Varieti ini telah didaftarkan pada tahun 2003 dengan nombor pendaftaran CN10 (Matag Green), CN11 (Matag Red) dan CN12 (Matag Gold). Industri tanaman kelapa di Malaysia merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi untuk pembasmian kemisikinan terutamanya pekebun kecil kelapa. Estet Jenderak di Teluk Intan merupakan satu-satunya estet kelapa Matag yang luas di Malaysia. Kebanyakan mereka mananam kelapa varieti 'Malayan Tall' yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000 hektar terutama di beberapa kawasan seperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang lebih elok berbanding kelapa sahaja. Bagaimanapun pengenalan varieti kelapa 'Matag' telah membantu mengekalkan penanaman kelapa di sini kerana permintaan kelapa yang terus meningkat. Artikel petang diaras 10 Hotel Best Western Premier sambil melihat kenderaan yang 'jam' dijalanraya saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan akhbar berkaitan usaha menanam kelapa Matag untuk bacaan dan rujukkan.


LAPORAN AKHBAR 1:
Ketara tanam 6,000 kelapa matag

Benih kelapa MATAG untuk edaran.
BESUT 15 Mei - Projek Pembangunan Terengganu Utara (Ketara) memperkenalkan tanaman kelapa matag di kawasan Baruh Keranji, Kampung Gong Bayor, dekat sini dalam usaha meningkat dan mempelbagaikan pendapatan para petani. Pengarahnya, Mohd. Kaberi Abd. Ghani berkata, seramai 22 peserta telah melibatkan diri mengusahakan kawasan tanah seluas 22.3 hektar dengan lebih 6,000 pokok kelapa tersebut sejak dua minggu lalu. Katanya, kawasan yang dipilih sudah dikenal pasti sesuai untuk tanaman kelapa matag itu kerana tanah gambut di situ tidak sesuai untuk tanaman lain. Menurutnya, selepas tempoh tiga tahun, kawasan tanaman itu bakal menghasilkan kira-kira 500,000 biji buah kelapa untuk dipasarkan yang dijangka memberikan pulangan lumayan kepada para petani. ''Setiap peserta dijangka akan dapat memperolehi pendapatan sebanyak RM15,000 setahun tidak termasuk hasil jualan air nira yang merupakan satu daripada perusahaan tradisi penduduk Kampung Gong Bayor," katanya semasa berucap pada majlis Perasmian Tanaman Kelapa Matag di Baruh Keranji Kampung Gong Bayor, semalam.  Perasmian majlis dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

Pada majlis yang sama, Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera menyampaikan peralatan pam air bernilai RM6,500 setiap satu kepada lima Kumpulan Pengurusan Air (KPA) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera. Kaberi berkata, kerajaan menerusi Ketara telah membelanjakan sebanyak RM250,000 untuk melaksanakan projek tersebut bagi membolehkan petani menikmati pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini. ''Apabila kelapa itu mengeluarkan hasil nanti, hasrat kerajaan untuk melihat golongan petani berpendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan akan menjadi kenyataan,'' jelasnya. Selain itu, katanya, Ketara juga akan berusaha untuk menyediakan benih nenas kepada petani bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan tanah tersebut sebagai tanaman selingan. ''Sementara menunggu pokok kelapa matag mengeluarkan hasilnya, para peserta juga boleh mendapat hasil nanas di samping parit yang ada dalam kawasan penanaman akan dilepaskan dengan ikan keli yang memberikan sumber pendapatan awal,'' ujarnya.



LAPORAN AKHBAR 2:
Projek kelapa matag komersial di Kuala Krau

TEMERLOH 20 Mei - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Kerdau akan melaksanakan projek tanaman kelapa matag secara komersial di kawasan seluas 70 hektar di kawasan Parlimen Kuala Krau tidak lama lagi. Pengurus Besar PPK Seri Kerdau, Abdul Razak Kassim berkata, Jabatan Pertanian bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM966,835 bagi melaksanakan projek tersebut. Bagi fasa pertama projek itu, sebanyak RM545,620 akan dibelanjakan membabitkan satu kawasan seluas 40 hektar di Kampung Pulau Raya di sini yang bakal disertai 80 peserta. ''Baki RM421,215 akan dibelanjakan iaitu bagi memajukan tanah seluas 30 hektar di Kampung Terenging di sini yang akan disertai 28 peserta. ''Tanaman tersebut boleh mengeluarkan anggaran hasil kelapa sehingga RM20,000 sehektar dan jika diusahakan secara komersial akan dapat memberikan pulangan lumayan kepada peserta,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPK Seri Kerdau ke-27 di sini hari ini.

Menurut Abdul Razak, pihaknya menjangkakan tanaman kelapa matag itu dapat mengeluarkan hasil pertama dalam tempoh tiga tahun lagi. Selain kelapa matag, kawasan itu juga ditanam dengan tanaman selingan seperti pisang dan nanas untuk memberikan pendapatan sampingan kepada peserta. Projek tersebut, katanya, sekali gus dapat mewujudkan industri hiliran dan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan kadar kemiskinan tegar penduduk di luar bandar. Jika berjaya, projek tersebut akan diperluaskan ke kawasan lain dalam Parlimen Kuala Krau. Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk yang mempunyai tanah terbiar dapat mengusahakan projek tanaman kelapa matag bagi menambahkan pendapatan. Dalam perkembangan lain, Abdul Razak meminta penduduk luar bandar mengusahakan ternakan ayam dan itik kerana ia boleh memberi pendapatan sampingan selain menjadi sumber makanan penduduk setempat. ''Ternakan itu sentiasa mendapat pasaran kerana harganya murah dan berpatutan iaitu di bawah paras RM10 sekilogram berbanding ikan yang melebihi RM10 sekilogram di pasaran," jelasnya.



LAPORAN AKHBAR 3:
Banjir jejas tanaman kelapa Matag
BALING 17 Nov. - Sejumlah penanam kelapa varieti Matag di beberapa daerah kawasan ini berhadapan masalah ekoran kawasan projek tanaman itu sering dilanda banjir. Difahamkan kawasan projek tanaman kelapa Matag di Kampung Charuk Jernih, Tawar dekat sini terjejas teruk apabila banjir yang lambat surut menyebabkan air kelapa menjadi masam, selain merosakkan akar pokok. Seorang pekebun, Shahidan Lahman, 59, berkata, projek hasil bantuan Jabatan Pertanian itu bermula sejak 2010, namun sehingga kini banjir yang sering melanda itu menjejaskan kesuburan tanaman walaupun dibekalkan dengan baja. Katanya, dia yang menanam sebanyak 200 pokok kelapa Matag masih belum menikmati hasilnya berikutan kesuburan tanaman itu terjejas akibat masalah banjir. "Kawasan ini sering banjir dan air yang bertakung menyebabkan berlakunya masalah air masam dan merosakkan akar pokok itu," katanya.

Shahidan yang mengusahakan tanaman kelapa Matag di tanah berkeluasan kira-kira 1 hektar itu masih menaruh keyakinan tinggi agar ada pihak membantu menyelesaikan masalah tersebut. Menurutnya, sebelum ini seramai 15 penduduk terlibat dengan projek itu, namun selepas dilanda masalah, kini hanya tinggal tujuh penduduk yang masih bertahan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kg. Binjol, Md. Yusoff Ismail berkata, beberapa petani di kampungnya turut menghadapi masalah yang sama menyebabkan tanaman itu masih belum mengeluarkan hasil. Katanya, masalah perparitan yang tidak sempurna menyebabkan aliran air yang tidak mampu menampung banjir apabila hujan lebat. "Banjir menyebabkan kawasan sekitar tanaman ini dipenuhi air dan pokok kelapa tidak membesar," katanya. Md. Yusoff berharap masalah tersebut akan mendapat perhatian pihak Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), seterusnya mengambil tindakan segera. Kelapa Matag yang popular di Perak dan Johor itu antara tanaman yang mudah tumbuh pada masa singkat dengan buah yang besar dan isi tebal berbanding buah kelapa biasa.


LAPORAN AKHBAR 4:
Pos Pantos perintis tanam kelapa mataq, durian

Ahmad Ishak (kanan) menyampaikan benih kelapa mataq kepada salah 
seorang penduduk Orang Asli dalam majlis penyerahan anak benih kelapa 
mataq dan durian jenis musang king di Pos Pantos, Kuala Lipis.
KUALA LIPIS 8 Julai - Masyarakat Orang Asli di Pos Pantos di sini bakal menerima pendapatan lebih baik apabila kawasan itu melaksanakan Projek Pembangunan Kawasan (PPK) yang menjadi pusat pengeluaran kelapa mataq dan durian jenis musang king. Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, kedua-dua hasil pertanian itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran. "Selain itu, FAMA juga turut menggalakkan penduduk di sini menanam pokok cempedak, durian serta beberapa tanaman kontan seperti serai, halia, lengkuas dan cekur," katanya selepas majlis penyerahan anak benih kelapa mataq dan durian jenis musang king kepada masyarakat Orang Asli terbabit di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan Komunikasi Korporat FAMA, Noor Azian Mustapha dan Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmud. Pada majlis tersebut, sebanyak 400 anak benih kedua-dua tanaman itu diserahkan kepada 200 peserta dan merupakan projek perintis anjuran FAMA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). PPK Pos Pantos mempunyai 173 Orang Asli beragama Islam terdiri daripada tujuh kampung berdekatan iaitu Kampung Serau, Kampung Nyentil, Kampung Sual, Kampung Harum, Kampung Perangkap, Kampung Ranai dan Kampung Pantos. Ahmad berkata, FAMA dari semasa ke semasa akan melaksanakan program turun padang bagi membantu masyarakat luar bandar memasarkan hasil pertanian mereka dan memberi pendidikan tentang penjagaan tanaman. "Kemudahan jalan raya yang sempurna seperti di Pos Pantos dapat membantu penduduknya memasarkan hasil pertanian dengan bantuan FAMA sebagai ejen pemasarannya," ujarnya.


KELAPA MATAG... POPULAR NAMANYA...
KELAPA HIBRID... RAMAI MENCARINYA...
BERIBU POKOK... BENIH DARI MANA ...
PROJEK DILANCAR... TUNGGU HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1017, Best Western Premier Dua Central,
8, Jalan Tun Sambhanthan, Kuala Lumpur,
Malaysia.
(4 Oktober 2013)

Saturday, October 5, 2013

HALIA BENTONG - PENANAMAN (Part 3)




HALIA BENTONG (Zingiber officinale) merupakan salah satu daripada varieti halia yang popular di Malaysia kerana kualitinya yang tinggi serta mendapat permintaan baik. Halia yang merupakan tumbuhan dari keluarga Zingiberaceae ini ditanam sejak beratus tahun dikawasan cerun bukit tanah tinggi sekitar Janda Baik dan Bentong oleh petani-petani yang mengamalkan pertanian komersil. Beberapa varieti halia lain yang ada ditanam adalah Halia Sabah, Halia Indonesia, Halia Taiwan dan beberapa varieti lagi. Harga ladang halia varieti ini merupakan antara yang paling tinggi berbanding dengan varieti lain sama ada untuk halia muda atau pun halia tua. Merujuk kepada temubual saya dengan beberapa petani dan pegawai yang menanam halia di Janda Baik, Bentong, Pahang, ada menyatakan bahawa pemilihan benih yang dijalankan sekian lama telah menghasilkan varieti yang berkualiti dan mampu menghasilkan pendapatan lumayan. Artikel malam ini saya gembira untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa testimoni akhbar akan kehebatan varieti halia bentong untuk bacaan dan rujukkan anda.


LAPORAN TESTIMONI 3:
Penanaman halia Bentong

Halia salah satu rempah-ratus yang bukan sahaja banyak digunakan dalam masakan Timur dan Barat malah antara rempah terpenting diperniagakan di dunia.  Tanaman ini berasal dari Asia Tenggara dan sekarang ditanam secara meluas di seluruh dunia. Antara negara yang banyak mengeluarkan halia ialah India, China, Nigeria, Australia dan Thailand. Penanaman halia di Malaysia boleh dikatakan masih diusahakan secara kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau selingan bersama tanaman saka seperti nanas, getah dan kelapa sawit. Begitu juga yang dilakukan oleh pengusaha halia, Ahmad Taib yang mana beliau juga terlibat dalam mengusahakan tanaman selingan lain sementara menunggu hasil tuaian halia. “Selain halia, saya mengusahakan tanaman pisang, sayur-sayuran seperti kacang botol, cili padi, serai, bayam, terung dan ulam-ulaman lain. “Ia bertindak sebagai satu pendapatan sampingan kerana hasil halia hanya boleh dituai setelah matang iaitu antara 10 hingga 12 bulan,” katanya ketika dihubungi InfoAgro, baru-baru ini.


Beliau berkata, keterlibatannya dalam penanaman halia bermula sejak 20 tahun lalu apabila mengambil upah dengan pekebun Cina di Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. “Kebanyakan penanam halia di sana menanam halia Bentong. Setelah beberapa tahun mengambil upah, akhirnya saya membuat keputusan untuk menanamnya sendiri. “Kebetulan pula, terdapat seorang rakan yang membawa halia Bentong ini ke Gerik, Perak dan di situ pula banyak kawasan tanah terbiar,” katanya. Menceritakan mengenai tanaman halianya, Ahmad berkata, ekoran dirinya yang sudah mempunyai pengalaman luas mengenai halia Bentong, beliau mengambil keputusan untuk menanamnya sendiri sejak tiga tahun lalu. “Saya mengusahakan halia Bentong di kawasan tanah seluas 0.2 hektar di Kampung Bongor, Gerik, Hulu Perak untuk di simpan sebagai benih bagi digunakan di tanah yang lebih luas,” katanya.  Beliau berkata, kebiasaannya penanam halia mencuba menanam halia Bentong dalam jumlah yang kecil dahulu untuk melihat kesesuaian tanah serta kesuburannya. “Ini dilakukan bagi mengelak kerugian yang lebih besar sekiranya tanah tidak sesuai. “Saya pernah mengalami kerugian besar apabila halia yang ditanam di satu kawasan di Gombak tidak menjadi, menyebabkan banyak pokok mati akibat daripada ketidaksesuaian tanah dan cuaca yang tidak menentu,” katanya.


Menurutnya, disebabkan beliau adalah pengusaha tunggal halia di kawasan Kampung Bongor, maka ia lebih dikenali sebagai Pak Mat Halia dan sering didatangi penduduk yang berminat untuk menanam halia. “Sebahagian penduduk dan jiran menunjukkan minat mendalam untuk mencuba menanam halia Bentong, malah ada antara mereka yang telah pun mendapat hasil tuaiannya,” katanya. Dalam pada itu, katanya, beliau telah melabur sebanyak RM15,000 dalam penanaman halia meliputi kos membaja, mengupah, meracun, merumput dan keperluan pertanian lain. “Saya tidak mendapat khidmat nasihat daripada mana-mana pihak berkaitan sebaliknya hanya bergantung pada pengalaman yang sedia ada,” katanya.

Penanaman halia Bentong
Halia Bentong mempunyai rizom yang besar dan berisi bendalir (berlendir dan berair). Halia sesuai di tanam di pelbagai jenis tanah termasuk tanah gambut yang mempunyai saliran baik serta gembur dan peroi agar tidak menyekat pertumbuhan rizom. Ahmad berkata, halia di tanam daripada keratan rizom tua yang berumur lebih sembilan bulan. Rizom yang berpenyakit hendaklah dimusnahkan untuk mengelakkan merebaknya penyakit bakteria dan kulat halia. “Rizom tersebut kemudiannya disimpan di tempat teduh dan berangin selama dua hingga tiga minggu untuk percambahan tunas. “Kemudian rizom di kerat lima sentimeter (cm) panjang dan mempunyai sekurang-kurangnya dua mata tunas,” katanya.


Selain itu, katanya, halia memerlukan penjagaan rapi seperti merumput dan menyiram yang harus dilakukan setiap hari di samping keperluan baja bersesuaian. Katanya, sebaik-baiknya halia ditanam dalam bulan Februari dan Mac iaitu musim permulaan hujan kerana ia membantu dalam percambahan rizom. “Musim kemarau berikutnya pula mengurangkan berlakunya penyakit layu,” katanya. Menurutnya, halia dituai sebagai halia muda apabila berumur empat hingga lima bulan manakala halia tua pula apabila berumur 10 hingga 12 bulan selepas ditanam. “Kelewatan menuai akan meninggikan kandungan serabut pada halia tersebut,” katanya.

HALIA BENTONG ... NAMA VARIETI...
DILERENG BUKIT... TANAM TAK HENTI...
PRODUK SEGAR ... IA BERKUALITI...
DALAM ARTIKEL... LAPORAN TERBUKTI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Halia, Janda Baik,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(20 Zulkaedah 1434H)

Friday, October 4, 2013

KULUBAN

KULUBAN atau 'Kulban' merupakan sejenis makanan berasaskan tumbuhan (Vegetarian food) yang disediakan secara tradisional yang popular dikalangan masyarakat Jawa di Malaysia dan dipercayai berasal daripada Indonesia. Saya amat minat makan kulban ini yang disediakan menggunakan resepi yang asli daripada bahan-bahan organik yang ada dikawasan kampong. Sejak kecil dulu memang hidangan kulban ini disediakan oleh ibu saya sebagai makanan yang istimewa juga. Ada yang kata kulban sama seperti nama 'Urap' sahaja bergantung kepada bahan yang digunakan. Kulban ini dimakan dengan nasi putih yang masih panas dan ikan kering bulu ayam serta sayur nangka muda masak lemak. Lebih enak lagi kalau dimakan dengan sambal belacan atau sambal krosek. Baru-baru ini Wak Aziz dikampong telah menyediakan juadah kulban untuk perewang-perewang yang membantu bergotongroyong sebagai hidangan dalam majlis kenduri kahwin. Memang seronok juga dapat makan kulban yang disediakan dimana ia masih segar dimakan bersama-sama sanak saudara dan orang-orang kampong. Artikel petang ini sambil melihat ERL yang melalui bawah hotel Best Western Premier Dua ini, saya gembira menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai juadah kuluban yang amat digemari oleh masyarakat jawa untuk bacaan anda.


Juadah kulban ini sering disediakan sebagai satu dari menu untuk kenduri 'Cukur Jambul' atau kenduri menerima anak atau bayi yang baru lahir dipanggil 'Muputan'. Para jemputan akan membaca doa selamat dan beberapa acara lain sebelum dihidangkan dengan nasi putih dengan kulban yang dibuat dari daun ubi kayu bersama kueh mueh tradisional lain. Antara kuih yang dihidangkan semasa majlis sebegini adalah seperti epok-epok, kueh lopis, onde-onde, lemet ubi, lemet pisang, rangin, koci, lempeng berinti, abok-abok  dan sebagainya. Keseronokan anak-anak apabila bapa yang balik dari 'muputan' membawa 'berkat' untuk dimakan bersama ahli keluarga yang sering ada juadah kulban didalamnya. Kini segalanya tinggal kenangan kerana saya telah tinggal di kota.


Daun ubi dicelur dulu.
Bagaimana hendak menyediakan juadah kulban ini?. Saya akan memberikan resepi ini berdasarkan ingatan dan temubual dengan isteri Wak Aziz baru-baru ini. Paling utama adalah mendapatkan bahan asas membuat kulban iaitu pucuk daun ubi (Manihot esculenta), Kacang Panjang (Vigna sesquipedalis), Taugeh (Vigna mungo), Kangkong (Imponea reptans), Kelapa Parut (Cocos nucifera), Cili Padi (Capsicum frustecens), Cili Merah (Capsicum annuum), Cekur (Kaemferia galangga), Bawang Merah (Allium cepa), Bawang Putih (Allium sativum), Belacan, Gula, Garam dan serbuk perasa (Jika perlu). Daun ubi, kangkong, kacang panjang dan taugeh dicelur dahulu sehingga lembut (jangan 'overcook') dan toskan airnya. Kelapa hendaklah dikupas dan diparut kasar untuk dicampur dengan bahan ramuan. Semasa perut kelapa elakkan daripada bahagian kulit tempurung yang berwarna coklat. Kumpulkan kelapa parut dalam bekas yang bersih. Untuk lebih tahan lama sebaiknya isi kelapa dibakar dulu sebelum diparut.


Ramuan kulban disediakan dengan kita goreng bawang, bawang putih dahulu sebelum menumbuk lumat dalam lesung semua termasuk bawang putih, bawang merah, cili padi, cili merah, daun limau purut, cekur, belacan (dibakar dahulu), garam, gula dan serbuk perasa (jika mahu). Apabila lumat masukkan ramuan kedalam bekas yang ada kelapa parut dan gaul sehingga sebati. Campurkan ramuan tadi dengan daun ubi, kacang panjang, taugeh atau kangkong yang telah masak dan gaul sehingga sebati. Kulban ini boleh dihidangkan untuk dimakan dengan nasi atau dimakan begitu sahaja. Makanan ini mudah dihadamkan dan mengandungi serat yang tinggi serta baik untuk kesihatan selain daripada enak dimakan. Selamat mencuba. Wasallam!

NAMA KULUBAN... MENU JAWA...
DAUN UBI...DICAMPUR KELAPA...
MASA KENDURI... AMAT BIASA...
LEMAK PEDAS... MEMANG TERASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1017, Best Western Premier Dua Sentral,
8, Jalan Tun Sambhanthan, 
Kuala Lumpur,
Malaysia.
(4 Oktober 2013)

Thursday, October 3, 2013

PACLOBUTRAZOL

Apa dia Paclobutrazol?.
PACLOBUTRAZOL adalah sejenis bahan kimia yang bertindak sebagai pengawalatur pertumbuhan (Growth Regulator) yang boleh menyekat proses sintesis Gibberallin (GA) dalam tanaman. Apa yang saya tahu, Paclobutrazol atau singkatannya dikenali sebagai 'PBZ' apabila disiram kepada tanah dikeliling pokok khususnya pokok buah-buahan maka ia akan bergerak melalui akar pokok untuk dihantar kepada bahagian daun sehingga pucuk tanaman. Kesannya didapati ia merangsang kepada tanaman seperti tanaman mangga dengan bertindakbalas dimana seterusnya adalah merangsang kepada pengeluaran bunga. Secara saintifik bahan ini dikategorikan sebagai 'Kimia Perencat' pertumbuhan pokok (plant growth inhibitor). Bahan PBZ ini mengandungi 25% bahan aktif iaitu merupakan hormon yang boleh mempengaruhi pokok dengan menyekat pertumbuhan vegetatif. Pada keadaan yang sesuai, pengeluaran pucuk akan terhenti dan juga kesannya tumbesaran pokok akan menjadi Dorman. Semasa peringkat dorman ini akan berlaku pengumpulan makanan (non-structural carbohydrates) dan juga tenaga dalam pokok terutama pada bahagian daun, ranting dan pucuk. Pada masa ini warna daun akan menjadi hijau yang gelap sedikit. Akhirnya pokok akan menjadi fasa reproduktif dan akan membentuk premodia bunga sehingga berlaku keadaan untuk bunga terbit daripada pokok. Artikel malam Khamis ini saya gembira menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai bahan Paclobutrazol dalam usaha untuk mempengaruhi pembungaan tanaman selepas melawat projek tanaman mangga Harumanis di Perlis.



Setelah menyemak dengan bahan rujukan, saya dapati nama biasa bahan ini adalah 'Paclobutrazol' dengan nama kimia sebagai (R*,R*)-(+)-B-(4-chlorophenol) methyl - a - (1,1 dimethyl)-1H-1,2,4-troazole-1-ethanol.  Diantara beberapa nama dagangan untuk bahan ini seperti keluaran syarikat ICI seperti Bonzil, Cultar, Parlay, Clipper, PP333, Austar dan syarikat lain seperti Flowstar, Cinta, Brightstar, Q-Stac dan Kauta250 (Nasib baik tidak ada jenama 'Auta'). Merujuk kepada Ahli Kimia, didapati bahan ini dalam keluarga kimia jenis 'Trizole'. Jenis kimia yang dinyatakan adalah C15H20CLN3O dengan berat molikul 293.8. Bentuk fizikal yang kita boleh lihat sama ada pepejal kristal atau tiada warna. Kajian makmal mendapati bahan ini sering mempunyai titik cair pada tahan 165 - 166 Celsius. Kadar ketumpatan yang dicatitkan sebagai 1.22g/cm padu. Kadar kelarutannya pula sekitar 35 mg/liter pada suhu 25 celsius. Kadar peruapan (volatilazation) adalah sedikit sahaja dan begitu juga kadar ketoksikannya.  Kajian dimakmal mendapati kadar ketoksikan adalah LD50 pada kadar 1,330- 2,000 mg/kg.  Bahan ini adalah merbahaya kepada manusia jika tertelan, tersedut atau terserap melalui kulit.Kesan residu pada tanah adalah selama 200 hari bergantung kepada jenis tanah dan cuaca.



Bahan ini mengikut pemerhatian saya merupakan bahan yang telah lama digunakan dalam industri buah-buahan diluar negara terutamanya beberapa negara maju bermula semenjak tahun 1980'an. Penggunaanya hanya dijalankan di Malaysia pada tahun 1986 terhadap kesesuaiannya terhadap aspek pembungaan tanaman mangga. Saya masih ingat tempat mula digunakan PBZ (Jenama 'Cultar') kali pertama oleh Syarikat Guthrie atau Golden Hope di Estet dekat Nilai (Sekarang sudah jadi perumahan Country Home yang Ekslusif di tepi lebuhraya PLUS). Saya dan rombongan cukup kagum dengan begitu banyak bunga yang keluar pada pokok mangga (Saya ingat-ingat ia adalah varieti Harumanis atau Nam Dok Mai) dan kalau menjadi buah, akan kaya tentunya syarikat tersebut. Malangnya hanya sedikit putik dan buah mangga dapat dihasilkan. Seterusnya saya dapati beberapa tahun kemudian semua pokok mangga diestet tersebut telah ditebang dan ditanam kelapa sawit semula. Bagaimana pun kini saya dapati penggunaan PBZ masih dipromosikan dikawasan penanaman manga terutama di kawasan penanaman mangga Harumanis (MA128) dan Sala.  Beberapa petani yang menanam mangga cokanan (MA224) juga ada menggunakannya untuk aruhan pembungaan. Bahan PBZ ini boleh digunakan dengan syarat petani diberi kefamanan dahulu cara penggunaan yang betul agar dapat menghasilkan bunga yang banyak, kadar putik melekat yang tinggi dan buah yang banyak dengan pengurusan agronomi tanman yang betul. Wasallam!



PACLOBUTRAZOL...HORMON BERGUNA...
BOLEH DIGUNA... PENGALAK BUNGA...
DISIRAM DITANAH... POKOK MANGGA...
BERHATI-HATI.... KESAN MERBAHAYA...

By,
M Anem
Senior Agrologist,
Stesyen Pertanian Bukii Temiang,
Perlis, Malaysia.
(12 Syaaban 1434H)



Wednesday, October 2, 2013

RUMPAI - RESAM dan PERANANNYA

RESAM (Dicranopteris linearis) merupakan sejenis Paku Pakis (Fern) iaitu tumbuhan dikategorikan sebagai sejenis rumpai dari keluarga Gleicheniaceae yang banyak tumbuh di negara kita. Tumbuhan liar ini hidup subur dikawasan tropikan terutama dikawasan yang lembab dengan sedikit naungan bersama-sama dengan rumpai lain yang cepat membiak. Saya kenal akan resam kerana memang banyak terdapat di kampong terutama dikawasan tanah ditepi parit sepanjang kebun getah dan kelapa sawit serta tepi jalan kekebun. Resam tumbuh secara berkumpulan atau ianya memanjat kepada tumbuhan lain untuk mendapatkan cahaya matahari dan ruang. Resam merupakan sejenis tumbuhan pakis yang lama dari zaman dahulu. Resam mempunyai RIZOM yang mana akan mengeluarkan batangnya pada ruas yang akan naik keatas. Saya kurang pasti akan asal usul nama pokok 'resam' ini berdasarkan kepada ciri-ciri marfologi atau pun taksonomi tetapi mungkin ia ada berkaitan dengan 'Adat Resam'. Daripada penyataan banyak artikel perkataan ini adalah perkatan 'Melayu' dan bukan dari bahasa lain. Pokok Resam adalah kategori Pakis (Fern) yang primitif dan mempunyai daun bersilang berwarna hijau dalam satu pelepah (Frond). Lihat foto sebelah dimana setiap pelepah mempunyai daun hijau berbentuk bujur depanjang 3 - 7 cm panjang dimana panjang pelepah diantara 10 - 20 cm bergantung kepada umur pokok dan habitat. Beberapa rujukkan menyatakan ada pokok resam yang setinggi sehingga 7 meter (20 kaki) dengan tumbuh menumpang kepada pokok lain. Kemampuan batang dan daun resam yang bersilang dan padat menyebabkan iamenghalang pertumbuhan pokok lain dikawasan dimana ia tumbuh sangat padat. Lebih dahsyat lagi apabila kita tidak dapat melalui kawasan kelompok dimana terdapat pokok resam yang padat. Pokok ini mampu tumbuh dilokasi yang ada cahaya matahari di kawasan hutan atau belukar di negara kita. Artikel subuh ini saya menulis dalam'Anim Agro Technology'mengenai beberapa laporan akhbar berkaitan pokok resam untuk bahan bacaan.

LAPORAN AKHBAR 1:
Kenali Manuskrip Melayu
Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia


MANUSKRIP yang ditulis di atas papan.

MANUSKRIP yang ditulis di atas daun nipah.
MANUSKRIP Melayu merupakan lambang kesarjanaan para cendekiawan Melayu dahulu. Kegiatan penulisan dan penghasilan manuskrip dalam pelbagai subjek bagi mewariskan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara kepada generasi Melayu yang seterusnya. Antara bidang penulisan manuskrip Melayu yang sering diketengahkan ialah seperti bidang keagamaan yang terdiri daripada ilmu tajwid, fekah, tasawuf, akhlak dan sejarah manakala dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, budaya dan perubatan. Manuskrip adalah nama yang diberikan kepada naskhah penulisan yang bertulis tangan. Manakala tulisan yang digunakan ialah Jawi. Tulisan Jawi ialah tulisan yang diadaptasi daripada huruf-huruf Arab sebanyak 30 huruf dan Parsi sebanyak lima huruf bagi membentuk perkataan bahasa Melayu.

Bahan yang digunakan untuk menulis manuskrip Melayu ialah pen, dakwat dan kertas. Pen yang digunakan oleh para penulis Melayu dahulu diperbuat daripada batang pelepah pokok resam. Pokok resam ialah sejenis pokok daripada keluarga paku-pakis yang besar dan kebanyakannya tumbuh di kawasan hutan terutamanya di kawasan sejuk seperti di kawasan tanah tinggi. Pelepah daun pokok resam diambil dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz dan mata pen yang diperlukan oleh penulis. Bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, sudut potongan mata pen perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mudah pecah dan boleh digunakan untuk masa yang lama. Selepas pen, bahan lain yang diperlukan ialah dakwat untuk menulis. Terdapat beberapa bahan digunakan sebagai dakwat seperti yang ditemui oleh para pengkaji manuskrip Melayu. Selalunya dakwat yang digunakan oleh penulis Melayu ialah hitam.

Bahan-bahan untuk menghasilkan dakwat ini terdiri daripada bahan daripada sumber alam semula jadi yang berada dalam dengan kehidupan masyarakat Melayu seperti; jelaga, arang dan dakwat sotong. Jelaga juga penting dalam penggunaan cap mohor seperti yang diterangkan oleh Annabel Gallop (2012) dalam buku Lasting Impression - Seals from the Islamic World bagaimana salah seorang Undang Johol telah menggunakan lampu minyak tanah dan mengasapi cap mohor beliau bagi menghasilkan jelaga sebelum mengecap dokumen rasmi dalam satu majlis pada 1948. Satu lagi bahan asas penting yang diperlukan untuk menulis ialah kertas. Dalam penulisan manuskrip Melayu, kertas yang digunakan bukan seperti kertas yang boleh didapati pada hari ini.

Kertas di alam Melayu di panggil 'deluang' yang diperbuat daripada lapisan kulit pokok seperti mulberi yang diketuk sehingga leper selepas lapisan dalam kulit pokok tersebut direndam sehingga lembut. Kertas ini mempunyai tekstur dan tahan lama. Selain daripada kertas deluang, bahan lain yang digunakan untuk menulis ialah seperti; kayu, daun nipah dan daun lontar. Permukaan setiap bahan yang digunakan untuk menulis menggunakan dakwat dan pen perlulah licin dan tidak terlalu kesat kerana ia akan mengganggu penulisan dan tulisan yang dihasilkan tidak jelas dan sukar untuk dibaca. Selain kertas deluang, kertas yang diimport dari negara luar terutamanya dari Barat seperti; Belanda, Perancis dan England. Kertas-kertas import ini kebanyakannya ditanda dengan cap perniagaan tersendiri yang dikenali sebagai tera air. Ikuti sambungan siri 2 di artikel seterusnya.

LAPORAN AKHBAR 2:
Potong cerun tak ikut spesifikasi
Utusan Malaysia

Dr. Tajul Anuar Jamaluddin menunjukkan gambar satelit 3D terdapat kerja-kerja
tarahan manusia di atas cerun berdekatan Rumah Persatuan Anak-anak Yatim
dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis,
Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, semalam. - BERNAMA
HULU LANGAT 22 Mei - Pemotongan cerun yang tidak mengikut spesifikasi selain aktiviti penebangan pokok getah di atas cerun berkenaan dipercayai menjadi punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, di sini, semalam.  Menurut Penyelaras Program Bencana Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Tajul Anuar Jamaluddin, jangkaannya itu dibuat setelah meneliti sendiri keadaan di sekitar tempat kejadian itu pagi ini. "Sebelum ke sini, saya melihat imej kawasan sekitar dari udara dan mendapati terdapat kawasan lompang di atas cerun tersebut dipercayai akibat aktiviti manusia. "Apabila tiba di sini, saya pergi ke kawasan tersebut dan mendapati ia hanya ditumbuhi pokok-pokok resam. Penduduk sekitar memberitahu memang terdapat aktiviti menebang pokok getah di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau di kawasan sekitar.

Tambahnya, keadaan itu diburukkan lagi apabila keadaan cerun yang dipotong bagi membina bangunan tersebut tidak menepati ciri-ciri keselamatan sepatutnya. "Akibat hujan lebat, air yang bertakung di kawasan lompang itu seterusnya mengalir ke kawasan cerun mengakibatkan ia tidak stabil lalu berlaku runtuhan. "Cerun itu dipotong tidak mengikut ciri-ciri keselamatan sepatutnya. Saya fikir, mereka tidak mendapatkan nasihat jurutera profesional bagi menjalankan tugas-tugas tersebut," ujarnya Berdasarkan pemerhatiannya, beliau memberitahu, keadaan tanah di situ masih belum stabil kerana terdapat rekahan-rekahan besar di atas kawasan curam tersebut. "Ia boleh runtuh pada bila-bila masa terutamanya jika berlaku hujan lebat sekali lagi. Saya juga telah menasihatkan pihak berkuasa agar tidak membawa masuk jentera berat kerana ia boleh menyumbang kepada gegaran tanah. "Saya fikir, elok dibiarkan selama dua atau tiga hari bagi membolehkan keadaan tanah itu kembali stabil sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya

Pucuk resam yang cantik - hiasan.
POKOK RESAM... PADAT TUMBUHNYA...
PAKIS PRIMITIF ... LASAK HABITATNYA...
BAHAN BERCETAK... MUZEUM SIMPANNYA...
KES TANAH RUNTUH...ADA PERANANNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 218, Ritz Garden Hotel, 
Jalan Lumut, Manjung,
Perak, Malaysia..
(28 Zulhijjah 1433H)

Tuesday, October 1, 2013

BETIK - SERANGAN 'PAPAYA DIEBACK'

Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) merupakan satu penyakit tanaman Betik (Carica papaya) yang serius dan telah menjadikan industri betik negara terjejas teruk. Penyakit merbahaya ini telah mula dikesan di Batu Pahat, Johor pada tahun 2003 (semasa itu saya bertugas di Johor) dan kemudian merebak ke kawasan penanaman betik komersil di beberapa negeri-negeri seperti Perak, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang. Seterusnya pada tahun 2003 Jabatan Pertanian mula mengesahkan ia sebagai penyakit merbahaya dan telah dikesan dibanyak negeri. Serangan penyakit ini menyebabkan banyak pokok betik rosak dan akhirnya mati sehingga mampu menjejaskan pengeluaran betik negara sama ada untuk pasaran domestik dan ekspot. Banyak usaha kawalan telah dibincangkan oleh Jawatankuasa khas mengawal penyakit matirosot betik dimana salah satu daripada kaedah kawalan adalah memusnahkan pokok betik yang telah dijangkiti. Di Johor juga saya pernah terlibat dengan aktiviti menebang pokok-pokok betik yang dijangkiti iaitu diperingkat awal kaedah kawalan. Pokok yang telah diserang papaya dieback akan ditebang dan kemudian membakarnya. Diantara pengalaman buruk pasukan ini adalah 'kena marah' dengan tuan rumah (menebang dikawasan pokok betik keliling rumah petani) apa tidaknya pokok betik tersbut terdapat dawai menyidai kain. Bagaimana pun pasukan ini dapat memberikan penerangan sewajarnya dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 kepada mereka. Penyakit mati rosot betik merupakan sejenis penyakit merbahaya yang tertakluk kepada akta ini. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu tajuk mengenai laporan-laporan akhbar yang berkaitan dengan serangan penyakit papaya dieback bagi bacaan dan rujukkan anda.


LAPORAAN AKHBAR 1:

Awas penyakit mati rosot betik
04/12/2009
BUAH betik yang kaya dengan vitamin B2, C dan beta-karotene digemari dan dimakan secara segar oleh orang ramai. Buah betik bukan sahaja mendapat permintaan baik dari pengguna tempatan, malah mempunyai potensi untuk dieksport ke luar negara seperti China, Jepun, Eropah dan Amerika. Kini, tanaman betik dan industri betik negara diancam sejenis penyakit yang dikenali sebagai penyakit mati rosot ataudieback disease. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Erwinia papayae dan menyebabkan kerosakan serius pada pokok dan kehilangan hasil buah betik sehingga 100 peratus. Kesemua varieti betik iaitu Eksotika, Hong Kong, Solo dan Sekaki didapati diserang oleh penyakit mati rosot dan penyakit betik dikesan berlaku di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Tanda-tanda penyakit
Penyakit mati rosot ini menyerang semua bahagian pokok betik termasuk pucuk, daun, pelepah daun, batang dan buah betik. Terdapat tanda-tanda yang jelas pada bahagian-bahagian tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini. 

Bahagian Pucuk -
Terdapat tanda lecuh basah (water-soaked) dan nekrotik kehitaman pada bahagian antara pucuk dan pelepah. Pucuk kemudian reput dan terkulai. 

Bahagian Daun : 
Kelihatan tanda lecuh basah pada tepi dan hujung daun. Urat daun dan sepanjang urat daun menjadi nekrotik kehitaman. 

Bahagian Pelepah daun:
Terdapat tanda lecuh basah dan nekrotik kehitaman pada bahagian hujung pelepah. Daun akhirnya terkulai. 

Bahagian Batang : 
Terdapat tanda lecuh basah pada batang pokok betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini. 

Bahagian Buah: 
Terdapat tompok-tompok hitam pada kulit buah, manakala isi buah kelihatan lecuh basah.

Cara merebak
Bakteria Erwinia papayae ini hidup dalam tanah. Bakteria ini boleh merebak dari satu kawasan ke kawasan lain melalui tanah dan air dan menyerang pokok betik yang sihat. Punca penyakit atau patogen dalam tanah ini turut boleh dibawa oleh manusia dan kenderaan.

Apa perlu dibuat?
Penyakit mati rosot adalah penyakit yang digazetkan sebagai berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.  Petani dikehendaki memeriksa anak benih betik di tapak semaian dan pokok betik yang baru ditanam serta pokok betik besar dan berbuah setiap minggu. Sekiranya anak benih atau pokok betik menunjukkan tanda-tanda penyakit mati rosot, musnahkan dengan segera. Tujuannya ialah untuk mengelakkan penyakit tersebut merebak dari satu ladang ke ladang yang lain dan menjadi ancaman kepada industri tanaman betik negara.

Cara memusnahkan pokok berpenyakit
Bagi ladang betik kecil dan pokok yang ditanam di sekeliling rumah, tebang pokok betik yang berpenyakit dan gali keluar bersama akarnya. Longgokan bahagian-bahagian yang dipotong dan kemudian bakar. Selain membakar, bahagian-bahagian pokok betik berpenyakit yang dipotong boleh dimasukkan ke dalam satu lubang dan timbus. Bagi ladang betik yang besar, jentera digunakan untuk menggali keluar pokok betik berpenyakit bersama dengan akar dan kemudian dilonggokkan di satu tempat, dibakar atau dimasukkan ke dalam lubang besar menggunakan jentera dan timbus.

Denda
Mengikut Seksyen 11, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, petani yang enggan memusnahkan tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Ingin menanam betik?
Sekiranya anda ingin menanam betik, patuhi Amalan Pertanian Baik yang disyorkan. Pilih satu kawasan penanaman yang tiada penyakit mati rosot dan elakkan menanam di kawasan yang telah mengalami serangan penyakit ini selama setahun. Pastikan anda menggunakan biji benih dan anak benih betik yang sihat dan bebas dari penyakit mati rosot ini. Anda dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa pokok betik anda dan memusnahkannya segera sekiranya ia didapati diserang oleh penyakit mati rosot ini.

Jangan biarkan buah betik yang gugur dan rosak di ladang kerana ia boleh menjadi punca perebakan penyakit mati rosot ini. Kutip dan musnahkan. Berikan pokok betik anda pembajaan yang cukup dan buangkan rumpai yang dijumpai dalam ladang supaya pokok betik tumbuh dengan cergas dan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Penyakit mati rosot boleh juga disebarkan melalui peralatan ladang seperti cangkul dan parang. Oleh yang demikian, ia perlulah dibersihkan dengan bahan pembasmi kuman selepas petani telah menggunakannya. Begitu juga bakul-bakul perlu dibersihkan dengan air sebelum di bawa masuk ke ladang untuk diisikan dengan buah. Sediakan tapak pencuci yang diisi dengan bahan basmi kuman di pintu masuk ladang bagi membersihkan tayar kenderaan yang memasuki ladang. Ini adalah kerana penyakit mati rosot ini boleh juga merebak melalui tanah yang terlekat pada tayar kenderaan. Akhir sekali, jangan benarkan pelawat dan kenderaan yang tidak berkenaan memasuki ladang. Hubungi Jabatan Pertanian terdekat bagi mendapat maklumat lanjut atau layarai laman sesawang www.doa.gov.my.


LAPORAN AKHBAR 2:
Jabatan Pertanian pantau penyakit mati rosot


SUNGAI PETANI 31 Dis. - Jabatan Pertanian negeri sedang memantau sebanyak 319 hektar tanaman betik melibatkan 46 petani di negeri ini bagi mengelak serangan penyakit mati rosot yang boleh mendatangkan kerugian besar kepada peladang. Pengarahnya, Ismail Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 45.5 hektar tanaman itu dijangkiti penyakit berkenaan. "Sejumlah 36.7 hektar tanaman betik yang dijangkiti telah dimusnahkan secara sukarela oleh pemilik bagi mengelak kerugian lebih besar. ''Serangan penyakit mati rosot boleh menjejaskan industri tanaman betik di negara ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian insentif pembendungan penyakit mati rosot kepada penanam betik di negeri ini di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi) negeri, Mohd. Razi Mohd. Noor dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Kedah, Rohaina Mat Nawi.

Sebanyak RM140,135 nilai insentif diberikan kepada 24 petani yang terlibat dalam pemusnahan tanaman betik secara sukarela itu. Pada majlis tersebut, seorang penanam betik dari Kuala Muda, Boo Choon Koay,55, menerima insentif sebanyak RM25,000 apabila tanaman betik yang diusahakannya seluas 7.5 hektar diserang penyakit berkenaan. Menurut Ismail, kempen memusnahkan tanaman dijalankan sejak Mac lalu dalam memberi kesedaran kepada penanam betik untuk mengawasi tanaman tersebut. Ini kerana, katanya, jangkitan penyakit rosot sukar dibendung sekiranya tanaman diserang bakteria berkenaan. Jelasnya, di negeri ini sebanyak 15 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tanaman dijangkiti penyakit tersebut. 


Dalam pada itu, Ismail berkata, pemberian insentif itu sebagai janji Jabatan Pertanian kepada penanam yang memusnahkan tanaman betik secara sukarela.  Bagaimanapun, katanya, Akta Perlindungan Tanaman menyebut bahawa jabatan itu boleh memusnahkan tanaman yang dijangkiti jika petani enggan berbuat demikian dan kos memusnahkan tanaman akan ditanggung oleh petani. "Langkah Jabatan Pertanian ini sebagai satu usaha mengawal tanaman betik di negeri ini dengan amalan pertanian baik dan menjadikan negeri ini antara pembekal betik utama negara. "Usaha memajukan tanaman betik di Kedah akan dipergiatkan berikutan terdapat permintaan bekalan terutama dari Hong Kong, Taiwan dan China," katanya.


LAPORAN AKHBAR...MEMANG ADA...
SEBAR SEMUA...PETANI MEMBACA...
CARA BERKESAN... MELALUI MEDIA...
KAWAL PENYAKIT...BUAT BERSAMA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Ladang Betik Mah Sing Group,
Ladang Labis, Segamat,
Johor, Malaysia.
(23 Syawal 1434H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...