Support My Blog

Showing posts with label FENOMENA DURIAN DI CHINA. Show all posts
Showing posts with label FENOMENA DURIAN DI CHINA. Show all posts

Sunday, November 12, 2017

FENOMENA DURIAN DI CHINA (Part 2)

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah tropika yang luas ditanam di Malaysia dan merupakan buah yang menerima gelaran 'Raja Segala Buah'. Kini terdapat seluas 110,000 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dengan anggaran penghasilan sekitar 300,000 metrik tan setahun. Terdapat lebih daripada 200 varieti durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dibawah 'Plant National Listing' bagaimana pun hanya sekitar 15 varieti sahaja yang dikomersilkan penanamannya. Antara varieti durian yang popular adalah Durian Musang King (D197), Durian Teka, Durian Hajah Asmah (D168), Durian D24, Durian D16, Durian Merah, Durian Tembaga dan banyak lagi. Pada masa ini durian D197 yang didaftarkan dengan nama Durian Raja Kunyit atau nama lain Durian Musang King mendapat pasaran baik dalam pasaran domestik dan pasaran antarabangsa. Kualiti durian Musang King yang manis, tahan lama, aroma yang kuat dan disukai ramai memang dijual dengan harga lebih tinggi daripada varieti durian lain. Kawasan utama pengeluaran durian di Malaysia adalah di Daerah Raub, Pagang, Daerah Muar Ledang di Johor dan Daerah Batu Kurau di Perak. Kini buah durian dari Malaysia telah dipromosikan dimana ia dijangka akan menembusi pasaran ke China. Pasaran durian di China kini dimonopoli oleh Thailand yang telah lama mengeksport 3 varieti kenegara tersebut iaitu jenis Munthong, Chanee dan Kanyou. Bagaimana pun durian dari Thailand dipetik daripada pokok dengan indeks kematangan sederhana  sedangkan durian dari Malaysia masak ranum. Satu promosi Festival Durian Malaysia 2017 telah diadakan dari 3-5 November 2017 di Hang ang City Compleks, Nanning, China dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan Gobenor Guangxi Zhuang Autonomous Region. Promosi ini telah berjaya menarik lebih daripada 300,000 pengunjung untuk merasai durian Malaysia, Nanas MD2 dan juga Nangka Tekam Yellow yang di pamerkan. Sebanyak 20 gerai produk akanan berasaskan durian juga mempamerkan barangan mereka dalam festival ini. Artikel malam ini saya menulis beberapa laporan akhbar dalam "Anim Agro Technology" sebagai satu rekod untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan.


(f) Laporan Media ke 6:  
"Pasaran durian terbuka di China"
Zulfadli Sharifudin
04 November 2017 3:00 AM

WANG GEBING (kanan) melayani Ahmad Shabery Cheek ketika jamuan 
makan tengah hari di Qinzhou, China, semalam. 

QINZHOU 3 Nov. – Kerajaan Malaysia memohon kelulusan segera daripada Kerajaan China untuk membolehkan durian musang king segar dibawa ke pasaran republik itu dalam masa terdekat. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia secara tidak langsung membolehkan pasaran raja buah itu mampu bersaing dengan buah-buahan tempatan yang sudah berjaya dieks­port ke negara itu sebelum ini. Jelasnya, setakat ini negara tersebut hanya menerima pasaran eksport musang king sejuk beku sahaja. “Buat permulaan sampel musang king akan diperkenalkan pada Festival Durian Malaysia di Nanning yang bermula hari ini hingga Ahad. Dalam masa terdekat saya yakin dengan langkah ini, ia dapat mempromosikan Malaysia melalui durian. “Paling penting, festival ini dapat mengumpulkan para pengusaha durian di Malaysia sekali gus menjadi platform mereka mencari tempat perniagaan dan tempahan di China. Bagi kita, ini juga peluang untuk memasuki pasaran besar dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi Forum Pelaburan, Perdagangan dan Pertanian di sini hari ini. Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Parti Komunis China Jawatankuasa Bandar Qinzhou, Wang Gebing bagi membincangkan hubungan perdagangan dua hala Malaysia dan China. Ahmad Shabery berkata, pertemuan tersebut merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan beliau percaya melalui industri pertanian dapat mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara melalui kerjasama yang terhasil. “Contohnya semalam saya turut bertemu dengan beberapa pemimpin tertinggi Wilayah Guangxi untuk membincangkan isu sama. Di samping itu, Malaysia juga berbangga kerana lazimnya, kementerian sesebuah negara hanya dibenarkan bertemu pemimpin setempat, tetapi kita dapat bertemu dengan pemimpin ter­tinggi bandar Qinzhou,” katanya.

Tambahnya, dalam kedua-dua pertemuan itu turut dibincangkan mengenai pasaran eksport tiram, sarang burung walet dan beberapa produk pertanian dari Malaysia.  “Ini sesuatu yang baik kerana semua produk untuk kebaikan bersama dan Ginzhou juga mempunyai produk mereka untuk dikongsi bersama. Di situ juga mempunyai Taman Industri Malaysia-China Qinzhou (QIP) sama seperti di Kuantan, Pahang yang boleh diperkemaskan lagi fungsinya,” katanya. Mengulas lanjut mengenai festival tersebut, beliau berkata, objektif utama adalah rakyat China dapat mengenali durian seperti musang king yang popular di Malaysia. “Di Malaysia, ia merupakan makanan kegemaran kita jadi kita tidak salah berkongsi kegembiraan yang sama dengan mereka. Kebanyakan rakyat China sudah mengenali musang king dan menganggap durian kita adalah yang terbaik,” katanya. Sementara itu, Wang berkata, walaupun Thailand turut mengeksport durian ke negara ini namun beliau mengakui durian Malaysia adalah yang terbaik di dunia.  Untuk rekod, sehingga Julai lalu, nilai perdagangan kedua-dua negara berjumlah RM4.66 bilion yang terdiri daripada eksport Malaysia berjumlah RM1.18 bilion manakala import dari China berjumlah RM3.48 bilion. Malaysia mengeksport makanan yang diproses, bijirin, makanan laut, kopi, teh, koko dan rempah, manakala Malaysia mengimport dari China pula, seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan makanan yang diproses. UTUSAN

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



(g) Laporan Media ke 7:
Pasaran Eksport Durian Di China Sangat Luas  
Isnin, 30 Oktober 2017 
MStar 4:33 PM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek 
(empat, kanan) bergambar bersama pengusaha-pengusaha durian
 yang akan mengambil bahagian pada sesi taklimat peserta 
Festival Durian Nanning 2017 di Menara LPP, Isnin.

KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia untuk mengeksport durian ke China tidak menjejaskan dominasi eksport raja buah oleh Thailand memandangkan pasaran yang sangat luas di negara Tembok Besar itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata produk durian dari Malaysia dan Thailand adalah berbeza serta mempunyai peminatnya yang tersendiri di China. “Saya percaya bahawa dalam dunia sekarang ini kita tak perlu gusar kerana durian Thailand ada penggemar sendiri, dan (festival) ini peluang untuk Malaysia ketengahkan hasil produk seperti ‘Musang King' dan ‘Blackthorn'. “Di China potensi pasarannya sangat besar … tak semua orang China suka makan durian, tapi kalau kita mendidik atau biasakan lebih ramai orang di sana makan durian, adakan aktiviti seperti pesta durian dan sebagainya, ia akan jadikan durian sebahagian budaya dan cara hidup, dan menjadi satu pasaran besar,” katanya pemberita di sini, Isnin selepas memberi taklimat kepada usahawan yang akan menyertai Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, China bermula Rabu ini. Baru-baru ini, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan kesediaan China mengetepikan larangan ke atas Malaysia untuk mengeksport durian segar,yang dilihat mampu menamatkan dominasi Thailand yang menjadi pengeksport terbesar ‘Raja Buah' ke negara itu. Bagaimanapun, permintaan ke atas durian Musang King dari Malaysia meningkat mendadak, dan kementerian berjaya mendapat kelulusan khas untuk membawa lima tan durian segar pelbagai jenis, termasuk produk-produk premium berkaitan durian ke festival selama tiga hari di Nanning, Wilayah Guanxi itu. Sebelum ini, Malaysia hanya diberi kebenaran untuk mengeksport durian yang disejuk beku dan produk pes ke China, dengan pasaran bernilai RM23.52 juta dan RM18.02 juta masing-masing pada tahun 2015 dan 2016.

Pada masa sama, Singapura dilaporkan turut menzahirkan kebimbangan pasaran mereka hanya akan menerima durian gred kedua sekiranya Malaysia lebih memberi tumpuan kepada pasaran China. Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke MDF 2017 berkata, tidak menjadi masalah untuk Malaysia terus menghantar durian gred tinggi ke negara jiran itu, dengan syarat, mereka bersedia dengan harga yang dapat memberi pulangan tinggi kepada pengusaha durian di Malaysia. “Ini sebahagian daripada adat pasaran, tapi saya percaya kalau Singapura mampu bayar lebih, yang saya percaya orang sana lebih berkemampuan, tak perlu gusar, kita akan terus hantar (durian) yang terbaik,” katanya. Sementara itu, menurut kenyataan kementerian, selain lima tan metrik durian Musang King, produk buah-buahan seperti nangka madu dan nanas, serta produk berasaskan industri asas tani akan turut dihantar ke festival itu. Selain itu, ia dirangka untuk menyediakan platform kepada usahawan yang terlibat untuk menyertai sesi pemadanan perniagaan yang telah diatur dengan 400 pengusaha China.- Bernama.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



(h) Laporan Media ke 8:
Parlimen: Durian Malaysia Jadi 'Fenomena' Di China
Bernama
09/11/2017 
Pengunjung dari Provinsi Guangxi membanjiri Festival Durian Malaysia yang diadakan di Nanning pada awal bulan ni - gambar BernamaKUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Durian Malaysia terutama 'Musang King' mendapat sambutan luar biasa di China apabila lebih 150,000 rakyat negara itu mengunjungi Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, baru-baru ini untuk menikmati keenakan durian Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata sungguhpun eksport 'raja buah' itu ke China masih lagi kecil, ia menunjukkan potensi yang besar dan boleh dijadikan sumber kekayaan baharu negara. "Penganjuran festival durian di Nanning baru-baru ini berjaya menarik lebih 150,000 pengunjung yang datang semata-mata untuk merasa seulas durian kita dan ia dianggap suatu fenomena.  "Namun, pengeksportan durian ke China masih lagi di peringkat yang rendah. Kalau dilihat paten eksport ke China pada 2015 adalah sekitar RM23 juta berbanding RM18 juta pada tahun lepas, ia adalah kecil berbanding keseluruhan jumlah eksportsekitar RM74 juta," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai status terkini pengeksportan durian ke negara China dan kesan kepada industri serta pekebun durian tempatan. BERNAMA.

                            @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(i) Laporan Media ke 9:
Durian Musang King Malaysia popular di China selepas menang anugerah
Mei 31, 2015 09:47 MYT

Selepas memenangi anugerah berkenaan keenakan rasanya, 
durian Musang King Malaysia terus menjadi bualan
 hangat masyarakat di China. 

SHENZEN: Durian jenis Musang King dari Malaysia mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat China sehingga pernah memenangi Anugerah Pertanian 10 Terbaik oleh stesen televisyen China, CCTV, pada 2013, kata pemenang anugerah itu, Sean Lee. Beliau berkata selepas memenangi anugerah berkenaan keenakan rasanya, durian Musang King Malaysia terus menjadi bualan hangat masyarakat di China sehingga beliau berjaya memiliki sembilan kafe yang menjual manisan dan minuman menggunakan durian dari Malaysia di beberapa wilayah di China. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan kafe terbaru milik Sean yang dinamakan Mallove Dessert House di Vanke Mall, di sini pada Sabtu. Menurut Sean, Mallove merupakan cantuman dan singkatan daripada perkataan Malaysia Love. Beliau mengusahakan syarikat tersebut melalui syarikat miliknya di China iaitu HBS International (Shenzen) Limited yang beribu pejabat di sini. Dalam taklimat kepada Ismail Sabri pada pelancaran hari ini, Sean, yang berasal dari Kuantan, Pahang, berkata pada 2011, beliau mula menjual dan memasarkan pes durian Malaysia ke China namun sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan. "Kerana tidak mahu pes durian yang saya bawa ke China rosak, saya menggunakan kreativiti sendiri untuk mencipta resepi pelbagai pemanis mulut berasaskan durian seperti kek durian dan pai durian. Sambutan yang diterima bagi manisan mulut yang dibuat dari durian Musang King Malaysia sungguh menggalakkan. "Kafe saya yang pertama di Shenzen dibuka pada Disember 2012 dengan nama Dorena dan sambutan yang diterima sangat baik. Pada November 2013, kafe kedua saya dibuka dan ini diikuti dengan yang ketiga dan keempat. Kesemuanya di Shenzen. Kafe kelima di Guangzhou, keenam di Harbin, ketujuh di Shenzen dan kelapan di Dongguan," katanya. Kini rangkaian kafe beliau menyajikan lebih 20 jenis pemanis mulut dan minuman yang dihasilkan menggunakan durian Musang King, D24 dan durian kampung dari Malaysia. Menu paling popular di rangkaian kafe milik beliau ialah pizza durian dan milkshake durian. "Cabaran yang dihadapi saya sekarang ialah mendapatkan bekalan durian dari Malaysia secara konsisten dan memastikan pembungkusan pes durian dari Malaysia menepati piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa China," katanya. Sementara itu, Ismail Sabri berkata durian Malaysia mempunyai pasaran besar di China dan kementeriannya akan berusaha memastikan bekalan durian kepada usahawan produk berasaskan durian Malaysia di China tidak putus.  Bagi merebut peluang daripada pasaran luas dan permintaan tinggi untuk durian Malaysia oleh China, kementerian sudah pun melaksanakan kempen penanaman semula durian," katanya. Ismail Sabri juga mahukan pengusaha produk berasaskan durian menjual durian Musang King hanya dalam bentuk dingin beku kerana rasanya yang begitu istimewa. 

                             @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



(j) Laporan Media ke 10:
Durian paling dicari dalam Alibaba.com di China

Buah durian antara carian tertinggi di dalam laman e-dagang Alibaba.com oleh pengguna negara China ketika ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. KUALA LUMPUR, 7 Nov 2017. Buah durian dan produk berasaskan durian merupakan antara carian tertinggi di dalam laman e-dagang Alibaba.com oleh pengguna negara China ketika ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang meneliti langkah mengeksport durian dalam bentuk buah kerana ketika ini durian yang dieksport sudah dikupas dan dalam produk berasaskan ‘‘cookies’’ dan kuih yang mempunyai perisa buah itu. “Kalau dilihat dalam carian yang tertinggi dalam Alibaba.com oleh pengguna dari negara China, segala perkara tentang durian adalah carian nombor satu dalam portal itu. “Kementerian Asas Tani sebenarnya sedang mengadakan perbincangan dan tidak lama lagi kita akan tahu bagaimana kita boleh eskport durian dengan lebih mudah,” katanya dalam sesi Pertanyaan- Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.  Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan menyediakan sistem eskport secara besar-besaran buah durian bagi memudahkan mereka menanam secara ladang.  Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Othman Abdul (BN-Pendang), Ahmad berkata dagangan dua hala antara Malaysia dan China pada sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM212.94 bilion, berbanding RM170.64 bilion bagi tempoh sama tahun lepas. Beliau berkata, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga September tahun ini meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM91.87 bilion manakala jumlah import meningkat sebanyak 19.7 peratus kepada RM121.08 bilion. Dalam pada itu, Ahmad berkata pada 31 Dis tahun lepas, sejumlah 220 projek perkilangan dengan penyertaan dari negara China telah dilaksanakan dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.2 bilion dan projek-projek ini mewujudkan 33,020 peluang pekerjaan. Bernama
Semuga tulisan dan ssunan semula laporan media ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology yang setia. Wasallam!!!.

FESTIVAL DURIAN... DARI MALAYSIA...
ADA NANAS... JUGA BUAH NANGKA...
MEREKA MINAT... PASARAN TERBUKA...
LAPORAN AKHBAR...DI PAPARKAN DIA...

By,
M Anem,
Senior Agaronomist,
Festival Durian Malaysia 2017,
Hang Yang City Complexs,
Nanning, China.
(6 November 2017)

Saturday, November 11, 2017

FENOMENA DURIAN DI CHINA (Part 1)

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah tropika yang luas ditanam di Malaysia dan merupakan buah yang menerima gelaran 'Raja Segala Buah'. Kini terdapat seluas 110,000 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dengan anggaran penghasilan sekitar 300,000 metrik tan setahun. Terdapat lebih daripada 200 varieti durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dibawah 'Plant National Listing' bagaimana pun hanya sekitar 15 varieti sahaja yang dikomersilkan penanamannya. Antara varieti durian yang popular adalah Durian Musang King (D197), Durian Tekka, Durian Hajah Asmah (D168), Durian D24, Durian D16, Durian Merah, Durian Tembaga dan banyak lagi. Pada masa ini durian D197 yang didaftarkan dengan nama Durian Raja Kunyit atau nama lain Durian Musang King mendapat pasaran baik dalam pasaran domestik dan pasaran antarabangsa. Kualiti durian Musang King yang manis, tahan lama, aroma yang kuat dan disukai ramai memang dijual dengan harga lebih tinggi daripada varieti durian lain. Kawasan utama pengeluaran durian di Malaysia adalah di Daerah Raub, Pagang, Daerah Muar Ledang di Johor dan Daerah Batu Kurau di Perak. Kini buah durian dari Malaysia telah dipromosikan dimana ia dijangka akan menembusi pasaran ke China. Pasaran durian di China kini dimonopoli oleh Thailand yang telah lama mengeksport 3 varieti kenegara tersebut iaitu jenis Munthong, Chanee dan Kanyou. Bagaimana pun durian dari Thailand dipetik daripada pokok dengan indeks kematangan sederhana  sedangkan durian dari Malaysia masak ranum. Satu promosi Festival Durian Malaysia 2017 telah diadakan dari 3-5 November 2017 di Hang ang City Compleks, Nanning, China dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan Gobenor Guangxi Zhuang Autonomous Region. Promosi ini telah berjaya menarik lebih daripada 300,000 pengunjung untuk merasai durian Malaysia, Nanas MD2 dan juga Nangka Tekam Yellow yang di pamerkan. Sebanyak 20 gerai produk akanan berasaskan durian juga mempamerkan barangan mereka dalam festival ini. Artikel malam ini saya menulis beberapa laporan akhbar dalam "Anim Agro Technology" sebagai satu rekod untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan.


(a) Laporan Akhbar 1
Rakyat China gila Musang King
IZWAN ROSLIN
3 NOVEMBER 2017


Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning China bermula hari ini hingga Ahad di Hang Yang City South Square. RAJA buah Malaysia, Musang King kini jadi kegilaan dan buruan rakyat China berikutan rasa serta kualitinya dianggap luar biasa. Atas permintaan tinggi terhadap Musang King di republik itu bakal membuka lembaran baharu pasaran eksport besar-besaran buah-buahan Malaysia, yang giat diusahakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dalam sidang akhbar, Timbalan Ketua Pengarah Fama, Mansor Omar berkata, Kerajaan Malaysia sedang menunggu kelulusan Kerajaan China untuk mengeksport durian itu secara berterusan. “Memang diakui mereka (rakyat China) sanggup tempah penerbangan ke Pulau Pinang semata-mata ingin merasa sendiri Musang King yang semakin popular. “Kerajaan yakin dengan beberapa rangka promosi dibuat sebelum ini, membolehkan pasaran durian mendapat tempat di China. “Kami berharap China dapat meluluskan segera eksport durian segar secepat mungkin yang mampu menggalakkan permintaan durian ke negara itu,” katanya pada sidang akhbar sempena Festival Durian Malaysia 2017 Nanning, di sini, semalam.  Menurutnya, ketika ini hanya produk durian dalam bentuk sejuk beku dibenarkan dieksport ke China, selain produk seperti kerepek, kopi dan aiskrim berasaskan durian.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata, Musang King mampu menjadi sumber kekayaan baharu negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Bajet 2018, baru-baru ini. “Bayangkan di Malaysia, Musang King boleh dijual harga pasaran mencecah RM120 sekilogram. Jika di Hong Kong, durian tersebut boleh dijual RM700 sekilogram. "Berkemungkinan di China boleh dijual RM900 sekilogram, lebih dua kali ganda harga di Malaysia,” katanya. Bagaimanapun katanya, kerajaan sebenarnya tidak menyasarkan jualan tinggi, asalkan akses pemasaran untuk ke China berjaya.  Menurutnya, kerajaan menyasarkan nilai eksport pelbagai jenis durian dengan nilai RM100 juta menjelang akhir tahun ini di seluruh dunia. Sementara itu, festival julung kali dianjurkan kementerian bersama beberapa agensi dan jabatannya, diadakan bermula hari ini hingga Ahad di Hang Yang City South Square di sini, bagi memperkenalkan durian Malaysia kepada pengguna dan pihak industri negara itu. Idea program itu pertama kali dicadangkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa pertemuan dengan Naib Gabenor Wilayah Guangxi Zhuang pada November tahun lalu, dan terus mendapat persetujuan semua pihak.  Sebanyak 250 jenama produk berasaskan raja buah membabitkan 50 usahawan Malaysia, termasuk buah-buahan lain seperti nangka, manggis, nanas dan sarang burung walit akan dipamerkan pada festival itu.
-------------------------------------------------------------------


(b) Laporan Akhbar 2
Pesta durian Malaysia di China raih kontrak RM2.87 bilion
November 7, 2017
Sin Chew Daily
PETALING JAYA: Hanya dalam tempoh 3 hari, pengusaha durian tempatan berjaya memeterai perjanjian dianggarkan berjumlah RM2.87 bilion menerusi Pesta Durian Malaysia 2017 yang dianjurkan di Nanning, China mulai 3 November lalu. “Jumlah urus niaga Pesta Durian Malaysia 2017 pada 2 hari pertama mencecah 4 bilion yuan (RM2.5 bilion),” katanya penganjur bersama pesta itu, Dominic Su yang dipetik Sin Chew Daily. Ketua pegawai eksekutif Regal International itu berkata, jumlah pelawat yang mengunjungi acara 3 hari itu mencecah 165,000 orang berbanding sasaran 100,000 orang. Katanya, ada sanggup terbang khas dari Liaoning atau memandu selama 5 jam ke Nanning semata-mata untuk menikmati durian Musang King atau menemui pengusaha raja buah itu. “Pesta durian yang diadakan julung kali ini mencapai prestasi di luar jangkaan sehinggakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganggap ini satu kejayaan.” Sehubungan itu, beliau berharap pesta durian ini boleh dijadikan acara tahunan dan Nanning boleh dijadikan asas mereka sebelum diperluaskan ke bandar lain. Su berkata, bandar Nanning yang terletak di wilayah Guangxi mempunyai jolokan “Bandar Musang King Malaysia” kerana ia merupakan laluan yang didapati boleh menyambungkan 10 negara Asean dalam inisiatif “One Belt One Road”. Katanya, Guangxi boleh menjadi pusat pengedaran Musang King, buah-buahan tropika dan produk berkaitan durian ke Nanning dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia di tenggara China. Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menemui pegawai tertinggi beberapa syarikat besar di China, termasuk Jingdong Group Co Ltd yang merupakan salah satu peruncit atas talian terbesar di negara itu dan Fusido Holding Group Co Limited.  Antara isu dibincangkan mereka ialah cara memasarkan durian, kopi, nanas, sarang burung dan makanan laut diproses ke negara itu, termasuk secara atas talian.  Penganjur bersama pesta itu berkata, ada sanggup terbang khas dari Liaoning atau memandu selama 5 jam ke Nanning semata-mata untuk menikmati durian Musang King atau menemui pengusaha raja buah itu.
-------------------------------------------------------------------


(c) Laporan Akhbar 3
Tahukah anda...ini gara-gara durian Malaysia di China
09 NOVEMBER 2017 
BY WARTAWAN AGENDADAILY
Ini satu cerita agar menarik. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Shabery Cheek bagitau kisah ini dalam sidang Dewan Rakyat Khamis. Tahukah anda setakat ini ada dua benda di China yang telah buat orang berbaris sangat panjang. Satu ialah untuk beli telefon bimbit baru iPhone X ... dan satu lagi untuk beli durian dari Malaysia. Shabery baru saja pulang dari Naning ,China untuk hadir acara prpmosi durian Musang King Malaysia di sana. (Gambar atas) dimana orang ramai di Naning. China terpaksa berbaris sekitar tiga jam untuk rasa seulas durian Malaysia. Gambar ini dipetik dari facebook Datuk Seri Shabery Cheek semasa acara promosi durian Malaysia. 
Beliau beritahu demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) masa sesi soal jawab. Ini ekoran Lim Guan Eng (DAP-Bagan) telah menyalahkan kerajaan mengeksport durian ke China penyebab harga durian tempatan naik. Shabery menjelaskan pengeluaran durian yang kurang 20 pada musim ini adalah penyebab kenaikan harga dan bukan kerana eksport ke China. Beliau memberitahu permintaan durian di China merupakan sumber kekayaan baru kepada petani Malaysia. Sebenarnya usaha untuk eksport durian ke China telah dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 -------------------------------------------------------------


(d) Laporan Akhbar 4
Durian Malaysia jadi fenomena di China
 9 Nov 2017 12:46PM 

Peniaga durian Allen Sia menunjukkan isi Musang King yang boleh mencecah harga sehingga RM128 sekilogram. Durian Musang King terkenal itu mendapat sambutan hangat ketika berlangsungnya Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, China. DURIAN Malaysia terutama "Musang King" mendapat sambutan luar biasa di China apabila lebih 150,000 rakyat negara itu mengunjungi Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, baru-baru ini untuk menikmati keenakan durian Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata sungguhpun eksport "raja buah" itu ke China masih lagi kecil, ia menunjukkan potensi yang besar dan boleh dijadikan sumber kekayaan baharu negara.  "Penganjuran festival durian di Nanning baru-baru ini berjaya menarik lebih 150,000 pengunjung yang datang semata-mata untuk merasa seulas durian kita dan ia dianggap suatu fenomena.  "Namun, pengeksportan durian ke China masih lagi di peringkat yang rendah. Kalau dilihat paten eksport ke China pada 2015 adalah sekitar RM23 juta berbanding RM18 juta pada tahun lepas, ia adalah kecil berbanding keseluruhan jumlah eksportsekitar RM74 juta," katanya pada persidangan dewan rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai status terkini pengeksportan durian ke negara China dan kesan kepada industri serta pekebun durian tempatan. Penganjuran festival tersebut merupakan inisiatif proaktif serta faktor daya tolak untuk mempercepat kelulusan laluan pasaran ke China. "Kita sedang berusaha mendapatkan kelulusan pihak berkuasa China bagi pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji berikutan permintaan yang semakin meningkat di negara itu," katanya. Ahmad Shabery berkata pihaknya yakin isu tersebut dapat diatasi dan jumlah durian yang dieksport akan meningkat pada masa akan datang. Beliau berkata pengeksportan durian ke negara luar tidak boleh dilihat sebagai suatu yang negatif kerana ia mampu meningkatkan pendapatan pengusaha selain dapat mewujudkan pelbagai jenis pekerjaan baharu.  
---------------------------------------------------------------

(e) Laporan Akhbar 5
Nikmati durian cara kampung di China
Oleh Bernama
-November 4, 2017
QINZHOU: “Durian Malaysia adalah yang terbaik di dunia,” kata Setiausaha Parti Komunis China (CPC) Jawatankuasa Qinzhou, Wang Gebing semasa kunjungan hormat delegasi Malaysia diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Walaupun Malaysia masih belum mendapat kelulusan kerajaan China untuk mengeksport durian segar terutama jenis Musang King yang popular, Wang berkata raja buah itu sentiasa diminati rakyat China, lebih-lebih lagi masyarakat Qinzhou, dan mereka tidak sabar menunggu hasil positif rundingan berhubung perkara itu. Ahmad Shabery, yang kini berada di China sempena Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Guangzi, menjawab bahawa durian adalah simbol kasih sayang dan kebahagiaan di Malaysia dan kerajaan memutuskan untuk menganjurkan festival itu bagi berkongsi kegembiraan dengan rakyat China. “Semasa (lawatan awal pada 2016) saya bertanya setiap orang yang saya temui di China, adakah anda suka durian? Saya terkejut dengan jawapan positif yang diberikan, sebab itu saya cadangkan untuk anjurkan festival durian di sini. Kerana di Malaysia, ia dipanggil raja buah, melambangkan kasih sayang dan kebahagiaan. “Lawatan kali ini saya bawa sekali pihak industri dalam perniagaan durian dan sarang burung untuk memberi kebahagiaan dan berkongsi apa yang disukai oleh rakyat Malaysia. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada China atas hubungan mesra ini dengan menganjurkan festival durian ini,” katanya kepada pemimpin tertinggi Qinzhou itu. Menteri itu yang diiringi Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya, Konsul Jeneral Malaysia di Nanning Bong Yik Jui, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan pegawai kanan lain.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan tentang kemungkinan lain untuk meningkatkan hubungan Malaysia-China melalui Qinzhou, termasuk mengukuhkan industri makanan halal di China, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan untuk perubatan herba serta perdagangan produk marin. Bercakap kepada media kemudian, Ahmad Shabery menyampaikan penghargaan tertinggi kepada kerajaan China kerana sangat menyokong inisiatif Malaysia untuk mengeksport durian segar serta mengeksport semula sarang burung mentah, terutama setiausaha CPC jawatan kuasa Qinzhou itu sendiri, sudi bertemu dengannya.  “Ia satu pertemuan yang hebat kerana dalam konteks sistem politik China, biasanya pemimpin kalau daripada peringkat kementerian dan sebagainya hanya berjumpa kerajaan. Pada asalnya saya dijadualkan berjumpa gabenor (sewaktu di Guangxi semalam), tapi perubahan terakhir saya bertemu setiausaha parti bagi provinsi (Guangxi) ini. “Ertinya satu kedudukan lebih tinggi dan ketika di sini (Qinzhou) saya berjumpa setiausaha parti di peringkat sini, lebih tinggi daripada datuk bandar itu sendiri. Ini satu penghormatan besar kepada Malaysia, dan mereka percaya melalui pertanian, dapat eratkan hubungan antara dua negara, dan bagi saya, ini ruang untuk kita memasuki pasaran terbesar dunia,” katanya lagi. Semasa lawatan delegasi Malaysia ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia kemudian, menteri itu juga diberi peluang untuk merasmikan pembukaan Pangkalan Perdagangan Pemprosesan Sarang Burung CMQIP. Menurut kenyataan media kementerian itu, Malaysia menyasarkan untuk menghasilkan 1,000 tan metrik (MT) sarang burung, yang terdiri daripada produk mentah dan diproses setiap tahun menjelang 2020, dengan nilai eksport kira-kira RM20 bilion. Malaysia masih dalam usaha rundingan dengan kerajaan China untuk membenarkan mengeksport semula sarang burung mentah belum bersih ke negara itu apabila komoditi tersebut dijangka mencecah 600MT menjelang 2020 dengan nilai RM1.7 bilion. Semuga semua laporan ini memberi info berguba kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
FESTIVAL DURIAN... DARI MALAYSIA...
ADA NANAS... JUGA BUAH NANGKA...
MEREKA MINAT... PASARAN TERBUKA...
LAPORAN AKHBAR...DI PAPARKAN DIA...

By,
M Anem,
Senior Agaronomist,
Festival Durian Malaysia 2017,
Hang Yang City Complexs,
Nanning, China.
(6 November 2017)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...