Support My Blog

Friday, January 24, 2020

BENTUK BUAH DURIAN BELANDA BENGKOK?

BUAH DURIAN BELANDA BENGKOK?. Itu meru[akan satu perkara yang mungkin anda dakwa sebagai perkara biasa sahaja pada buah durian belanda. DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah tropika yang dikelaskan dibawah keluarga Annonaceae. Bentuk buah durian belanda yang sempurna adalah berbentuk seperti jantung (Heart Shape) tetapi dalam keadaan biasa dahulu lebih banyak buah durian belanda yang tidak berbentuk jantung sebaliknya berbentuk bengkok. Penulis blog banyak meneliti akan buah durian belanda yang kita jumpa dijual dibeberapa premis termasuk Pasar Biasa, Pasar Malam, Pasar Tani, Pasar Tamu, Pasaraya dan sebagainya dahulu lebih banyak yang membengkok daripada yang berbentuk jantung dan besar. Apa pun bagi senior agronomist macam penulis blog ia boleh diperbaiki dengan amalan teknologi pertanian yang tepat kepada pokok durian belanda anda. Ada yang dakwa dimana keadaan buah yang bengkok ini juga dapat kita lihat sesekali pada buah durian. Selalu yang menjadi persoalannya adalah ramai yang bertanya saya kenapa ia berbentuk begitu. Saya sebenarnya sudah menulis lebih daripada 25 artikel mengenai buah durian belanda yang anda boleh buat rujukkan (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Penulis blog yang juga banyak info dan pengalaman tentang tanaman ini mendapati keadaan ini terjadi disebabkan oleh proses pendebungaan pada stigma tidak sempurna. Maka ovul tidak membesar membentuk biji dan menyebabkan ruang tersebut kosong dan tidak terisi. Dan ini menyebabkan bentuk buah bengkok. Adalah lebih baik diberitahu dimana bunga durian belanda adalah bersifat hermafrodit iaitu bahagian pembiakan jantan (stamen) dan betina (stigma) berada pada kuntum bunga yang sama. Artikel malam Sabtu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan info dan teknologi mengenai kejadian buah durian belanda yang bengkok dari segi saintifiknya untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.


Bunga durian belanda apa yang saya teliti adalah kerana bersifat Dichogamous protogynous dimana bunga jantan dan bunga betina mempunyai fasa atau masa kematangan yang berbeza.  Bunga betina akan matang terlebih dahulu dan diikuti oleh kematangan bunga jantan. Daripada penelitian saya lebih 20 tahun mendapati dimana fasa kematangan bunga betina bermula pada pukul 4 - 5 petang. Ketika ini kelopak bunga akan mula terbuka sedikit dan stigma mula lembab dan melekit dan telah bersedia untuk menerima debunga (waktu reseptif). Keadaan reseptif ini berlaku 3 ke 4 jam selepas antesis. Namun uniknya pada waktu tersebut stamen masih lagi belum matang untuk membebaskan debunganya.  Hasil kajian mendapati juga masa kematangan debunga (pollen) pada anthers didapati banyak berlaku pada lewat petang atau malam hari (sekitar jam 8.00 - 9.00 malam) dimana ianya boleh gugur dan jatuh kepada stigma. Umumnya semut, kerengga, rama-rama dan agen pendebunga lain adalah kurang aktif pada malam hari. Pada ketika ini bunga durian belanda akan mengeluarkan bau yang wangi bagi menarik agen pendebungaan terutamanya kumbang kecil bagi membantu proses pendebungaan. Itulah sebabnya saya memperkenalkan teknologi pendebungaan durian belanda yang berlaku akan menentukan bunga durian belanda ini akan didebungakan menjadi buah atau ia tidak dapat didebungakan dan tidak menjadi buah durian belanda. Isu kedua adalah cara pendebungaan berlaku dimana sama ada ia berlaku pendebungaan secara semulajadi atau melalhi proses pendebungaan berbantu atau menggunakan teknik gegaran dimalam hari.


Proses pendebungaan semulajadi bunga durian belanda berlaku dengan bantuan angin, serangga dan beberapa faktur lain. Kajian penulis daripada beberapa lokasi penanaman durian belanda mendapati peratus kejayaan hanya sekitar 6% sahaja. Kajian menunjukkan cara ini menghasilkan purata berat buah kurang dari 5 kg sebiji dengan penghasilan diantara 3-5 biji sepokok setahun.  Teknik Pendebungaan Berbantu Pokok Durian Belanda (Assisted Pollination) merupakan kaedah terawal yang telah diperkenalkan kepada penanam durian belanda. Kaedah pendebungaan ini dimulakan dengan mengutip debunga jantan durian belanda dan disapu kepada stigma bunga betina menggunakan berus lukisan pada setiap bunga yang reseptif. Setelah menyapu berus yang ada debunga maka perlu dipatahkan satu kelopak untuk menandakan bung tersebut telah didebungakan. Kadar kejayaan kaedah ini sekitar 40%. Kos peralatan untuk teknik ini menelan belanja sebanyak RM135.00 untuk membeli tangga aluminium, bekas debunga, berus lukisan, pisau, gunting dan sebagainya. Keupayaan seseorang untuk melalukan pendebungaan berbantu ini sekitar 30 kuntum bunga dalam masa satu jam. Antara kelemahan cara ini adalah keupayaan untuk melakukan pendebungaan dengan ketinggian terhad sahaja mengikut ketinggian tangga dan bunga yang tinggi tidak mampu dilakukan. Apa yang menyeronokan petani adalah apabila teknik ini mampu menghasilkan saiz buah yang purata beratnya sekitar 2.5 kg sebiji. Purata bilangan buah durian belanda yang boleh dihasilkan sebanyak 15 - 20biji sepokok setahun.


Teknik Gegaran (shaking) bunga durian belanda merupakan satu kaedah terkini yang amat mengkagumkan. Daripada inovasi yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor dilaporkan teknik ini mampu memberikan peratus kejayaan sehingga 90% dikebun. Mereka mencipta alat yang dinamakan 'Muricata Shaker' yang dibuat dengan harga RM50.00 satu unit dan berjaya menggunakan teknologi ini dibeberapa kebun durian belanda komersil. Ketinggian yang mampu dicapai oleh alat ini melebihi 5 meter (25 kaki) dengan pemegang boleh laras. Teknik gegaran ini perlu dijalankan dari jam 8.00 - 10.00 malam dimana pada waktu tersebut bunga betina dan debunga dalam keadaan reseptif untuk pendebungaan. Alat ini akan diletakkan pada dahan pokok yang berbunga dan di gonchang (gegar) selama beberapa saat lamanya untuk membolehkan debunga jantan jatuh kepada bunga betina. Keupayaan mengguna alatan ini mampu mendebungakan sebanyak 75 kuntum bunga dalam masa satu jam. Hasil buah durian belanda yang dicapai purata beratnya 2.5 kg sebiji dengan sebanyak 40 - 50 biji mampu dihasilkan sepokok setahun.


Berbalik kepada persoalan pokok tajuk artikel ini apabila proses dimana stamen (bunga jantan) terdapat beberapa lapisan mengelilingi ovar ini jatuh kepada keseluruhan stigma maka pembentukkan buah akan menjadi sempurna. Tetapi jika hanya sebahagian sahaja stigma yang didebungakan secara semulajadi atau 2 kaedah lain maka pembentukkan buah akan menjadi bengkok. Ini juga kerana akibat dari masa debunga jantan mulai matang diwaktu malam antara jam 8 hingga 10 malam. Filamen stamen pendek dan ia mempunya debunga yang banyak. Lazimnya debunga akan mula gugur apabila kelopak bahagian luar bunga terbuka dan mula gugur. Debunga ini terletak pada hujung anther dan berwarna kekuningan. Didalam keadaan biasa maka semut dan kumbang kecil adalah merupakan agen pendebungaan yang akan membawa debunga dari bunga yang lain untuk didebungakan kepada bunga yang lain. Pendebungaan yang kurang lengkap, akan menyebabkan persenyawaan tidak lengkap berlaku ke seluruh stigma dan menyebabkan buah mempunyai bentuk yang tidak sempurna atau bengkok seperti bentuk ginjal. Jika kita dapat lihat pada buah durian belanda yang telah membentuk dan matang maka setiap satu spike yang terdapat pada kulit buah berkenaan adalah mewakili setiap satu stigma yang telah matang. Walau buah bengkok akan tetapi dengan amalan agronomi yang baik ia akan menghasilkan kualiti isi yang boleh dipasarkan akan tetapi dgre yang rendah. Buah durian belanda yang bengkok ini sesuai diproses menjadi jus, pes dan minuman yang bernilai juga. Pastikan menggunakan alat 'Muricata shaker' dan membuat teknik gegaran pada malam hari dan memberikana ir serta baja mencukupi agar buah durian belanda menjadi bentuk jantung lebih banyak dari yang bengkok. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
 
KENAPA BENGKOK... DURIAN BELANDA...
MASAALAH PENDEBUNGAAN...ASASNYA...
BOLEH DIELAKKAN... BETUL TEKNIKNYA...
BACA ARTIKEL...DAH MENDAPAT INFONYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(21 RabiulAkhir 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...