Support My Blog

Tuesday, January 10, 2017

USAHAWAN SERAI BERJAYA

SERAI (Cymbopogon citratus) merupakan sejenis komoditi yang memberikan penghasilan lumayan kepada usahawan Encik Derus di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, Daerah Pekan, Pahang (Sila lihat foto diatas). Beliau yang merupakan pesara daripada Jabatan Pertanian menyatakan kalau ada tanah seluas 20 ekar, tidak mustahil untuk mendapatkan pendapatan sebanyak lebih daripada RM10,000 bersih sebulan hasil daripada tanaman serai. Beliau yang merupakan seorang daripada 16 orang peserta di TKPM Kota Perdana dengan keluasan keseluruhan projek disini seluas 122 hektar memulakan projek semenjak 3 tahun lepas (2014). Tanaman utama di TKPM ini adalah nangka (Artocarpus heterophyllus) daripada varieti Tekam Yellow (J33) yang kini berumur diantara 2-3 tahun. Kawasan kebun En Derus kini dipenuhi dengan 3 jenis tanaman iaitu Nangka, Serai dan Betik Sekaki. Hampir 100% kawasan kebun dipenuhi dengan tanaman melibat seramai 6 orang pekerja aitu 4 orang pekerja tempatan (Orang Asli) dan 2 orang adalah pekerja asing. Penulis yang membuat tinjauan bersama dengan ADUN Bebar, YB Dato' Mohd Fakaruddin, Pejabat Daerah, Pegawai Pertanian Daerah dan beberapa ketua Jabatan telah meninjau projek ini dan mendapati usahan gigih ini teruja dengan kunjungan rombongan yang hadir. Melihat kepada usaha gigih ini memang membuktikan bahawa pertanian sebagai satu perniagaan memang boleh menjamin pendapatan yang agak baik. Tanah TKPM ini disewa dengan kadar RM100 seekar (0.4 hektar) bermakna beliau membayar RM2,000 setahun dengan adanya surat perjanjian. Artikel subuh Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai usahawan TKPM yang berjaya menanam serai sebagai satu komoditi yang boleh memberikan pendapatan dan dijadikan contoh. 


Tanaman serai oleh En Derus ini merupakan tanaman selingan dengan pokok nangka dan pokok betik. Varieti serai yang luas ditanam kini didakwa sebagai dua jenis iaitu Serai Tempatan dan Serai Indonesia. Serai Tempatan adalah pokok serai dimana ada warna kemerahan pada perdunya sementara jenis Indonesia pula perdunya berwarna putih semuanya. Varieti Indonesia bagaimana pun kini ditanam dengan keluasan melebihi 80% daripada jumlah keseluruhan penanaman. Semasa membuat penerangan kepada penulis, En Derus nyatakan varieti  Indonesia ini hanya mengambil masa maksima 5 - 6 bulan untuk dituai sementara jenis tempatan agak lebih lama iaitu melebihi 8 bulan (Sila lihat foto disebelah). Cara menanam adalah dengan meletakkan anakbenih dengan jarak 30 - 40 cm antara barisan dan dibaja menggunakan baja organik dan baja kimia. Apa yang penting adalah sistem pengairan dimana ianya disediakan dengan sistem sprinkler. Aktiviti menanam dilakukan sebaik sahaja kawasan tersebut dituai dengan menggunakan benih yang diambil daripada pokok matang. Jadual penanaman diatur agar pengeluaran dapat dilakukan setiap 2-3 kali seminggu. Aktiviti  menanam dan menuai dilakukan oleh pekerja ladang diwaktu pagi hari sementara kerja mencerai perdu, membersihkan daun tua memotong dan mengikat batang serai dibuat pada petang dan malam hari. Penghantaran ke pusat jualan dilakukan setiap 2 hari sekali.


Ada dua jenis produk akhir serai segar yang dipasarkan oleh usahawan ini. Pertama adalah Ikatan Serai yang bersaiz Besar (Gred A) untuk dihantar kepada Restoren Nasi Kukus Mama yang dijual dengan harga RM1.80 seikat. Dalam seikat ada sekitar 4-5 batang serai. Bagaimana pun kemudian ia diikat menjadi ikatan yang besar dengan setiap 10 unit ikatan setiap satu menjadikan harga satu ikatan besar RM18.00 (Sila lihat foto disebelah). Nasi Kukus My Mama memerlukan lebih daripada 2,000 kg seminggu serai jenis ini untuk digoreng bersama ayam dan dijadikan 'serdak' yang enak dimakan. Terdapat 6 buah rangkaian restoren Nasi Kukus My Mama di sekitar Kuantan dan ia merupakan makanan yang mendapat kunjungan ramai pelanggan. Bagi produk kedua adalah dimana saiz serai yang agak sederhana dan saiz kecil (Gred B) diikat dengan jumlah 4-7 batang seikat dijual dengan harga ladang RM0.80 sahaja. Produk serai segar yang kecil ini dihantar sendiri kepada pasaraya dan juga pemborong seperti Pasaraya TMG, Pasaraya LYC, Syarikat Pemborong Keat Huat Kuantan dan sebagainya. Tinjauan penulis mendapati harga runcit serai jenis ini adalah RM1.50 - RM 1.70 seikat. Dikalangan pengguna biasa mereka akan menggunakan serai dalam masakan tomyam dan sebaginya. Serai juga merupakan komponen wajib bagi makanan segera Ala-Thai Tomyam dimana terdapat beratus-ratus kedai seperti iini di sekitar Kuantan dan Pahang. Apa yang penulis tabik dimana En Derus sendiri akan menghantar serai ini kepada pelangan dan mengutip bayaran tanpa bergantung kepada orang tengah.


Kaedah pengurusan yang membolehkan usahawan ini berjaya adalah sistem cara kerja yang diamalkan. Kerja menanam dan menjaga serta mebuai dilaksana dengan cara gaji bulanan (Gaji tetap) oleh beliau kepada pekerjanya. Bagaimana pun kerja memproses serai sehingga diikat siap dilakukan dengan cara borong. Setiiap ikatan Gred A diberikan bayaran RM0.50 sementara bagi ikatan Gred B dibayar RM0.20. Serai yang siap diikat mesti disusun dalam bentuk berdiri didalam bakul atau pun diterbalikkan bahagian bawah keatas (Sila lihat foto diatas). Ini bagi menjamin kualiti serainya tidak rosak. Pengalaman beliau mendapati jika ikatan batang serai diletakkan secara berbaring (horizontal) makan banyak yang akan rosak cepat. Walau pun kaedah ini agak memerlukan ruang kerja dan bakul yang banyak tetapi ia dapat menjamin muti serai segar sehingga pelanggannya berpuas hati. Teknologi menyusun serai ini hanya diketahui setelah beberapa tahun beliau membuat pemerhatian dan penelitian. Walau pun ramai orang kata menanam dan menghasilkan serai adalah mudah tetapi ilmu dan kemahiran serta pengalaman juga yang akan menentukan kejayaan. Pada usahawan, pasaran merupakan penentu kejayaan sehingga kini. Beliau masih mendapat kepercayaan daripada pelanngannya beberapa tahun kerana kualiti, konsistensi dan kemampuannya dalam mengikuti kehendak pasaran. Walau pun ada beberapa pemborong lain seperti untuk dipasarkan ke Lembah Kelang dan Singapura datang bertanya kepada beliau untuk mendapatkan bekalan tetapi ianya ditolak kerana kemampuannya adalah terhad. Penulis ucapkan tahniah kepada bekas kakitangan Jabatan Pertanian Pekan yang kini berjaya menjadi usahawan dan pengeluar makanan iaitu Serai dan Betik dan tidak lama lagi menghasilkan nangka Tekam Yellow. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua. Wasallam!!!..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPM Kota Perdana,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(7 RabiulAkhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...