Support My Blog

Friday, January 6, 2017

MENUAI SAYURAN

MENUAI SAYURAN merupakan satu aktiviti terpenting pada diperingkat akhir penanaman sayuran diladang. Apa yang penulis blog faham, penuaian (harvesting) adalah merupakan operasi awal dalam pengendalian aktiviti lepas tuai (Post harvest activity). Kecekapan petani didalam memahami akan kepentingan aktiviti ini sangat penting kerana kualiti sayuran sangat bergantung kepada cara pengendalian yang betul. Adalah menjadi kerugian setelah menam sayur untuk jangka masa baberapa minggu atau bulan tetapi apabila hasilnya dituai dibiarkan begitu sahaja diladang atau dikendalikan dengan cara tidak betul yang akibatkan menurunkan kualiti sayuran tersebut. Pengalaman penulis menguruskan dan juga memantau beberapa projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) banyak memberikan pendedahan kepada kepentingan dalam aktiviti penuaian dan lepas tuai kepada peserta projek. TKPM adalah salah satu projek yang menghasilkan makanan untuk negara dalam pembekalan sayur-sayuran dan buah-buahan dikelolakan oleh Jabatan Pertanian. Diantara aspek penting bagi penuaian adalah menentukan tahap kematangan yang sesuai serta tepat dan cara penuaian dan pengendalian yang betul. Pada asasnya petani perlu faham akan tahap kematangan (maturity indexs) dengan betul ketika penuaian. Ini kerana ia mempengaruhi mutu selepas tuai dan ketahanan semasa penyimpanan. Kehendak pasaran menentukan masa memetik hasil sayuran sama ada pasaran perlukan yang muda, sedang atau cukup matang. Sebagai contoh mungkin bagi tanaman cili ada dua masa menuai untuk pasaran iaitu untuk Cili Merah dan Cili Hijau (Sila lihat cili hijau pada foto diatas). Citarasa sesuatu jenis sayur berbeza sekiranya hasil dikutip terlalu muda atau terlalu tua. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Tehnology" mengenai cara menuai sayur dan aktiviti lepas tuai yang sesuai dijalankan.


Masa untuk menuai hasil sayuran yang sesuai adalah berbeza-beza bergantung pada iklim, musim penanaman tertentu, varieti dan jenis sayur dan paling penting adalah KEHENDAK PASARAN. Penulis blog ini mendapati bagi bukan mudah untuk menentukan tahap sesuatu jenis sayur itu telah mencapai puncak mutu terbaik. Pengalaman petani dan pekerja kebun amat membantu dlam proses penuaian kerana ia bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan. Jangkamasa kematangan sayuran ada yang ditulis atau tertera pada label yang terdapat pada paket atau katalog biji benih boleh digunakan sebagai panduan sahaja tetapi bagaimana kalau menggunakan atau buat benih sendiri?. Indeks penuaian bagi kebanyakan sayur buah dan sayur daun adalah berbeza asasnya berdasarkan saiz dan warna. Sayur buah pada peringkat muda seperti timun dan bendi, misalnya boleh dipetik pada beberapa saiz dan umur mengikut keperluan pasaran. Manakala kebanyakan sayur buah yang diperlukan pada peringkat matang seperti tomato dan cili lazimnya aktiviti penuaian mungkin bergantung pada perubahan warna pada hasil sayuran tersebut. Bagi sayur daun pula, saiz biasanya digunakan sebagai kriteria utama bagi menentukan indeks penuaian. Manakala sayuran lain seperti kobis diambilkira faktur kepadatannya bunga dimana ia digunakan sebagai asas penuaian. Pada umumnya penulis blog nyatakan peringkat kematangan sayuran yang sesuai untuk penuaian berbeza mengikut jenis sayur dan cara pemasarannya.

Pengendalian hasil ladang perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan berlaku kecederaan mekanikal yang mana ini boleh memberi kesan lebam, calar atau pecah pada hasil sayuran. Pengendalian awal yang dilakukan di ladang akan dapat mengurangkan kadar kerosakan sayuran pada peringkat pengendalian yang berikutnya. Disamping itu, operasi penyediaan pasca tuai sesuai untuk dilakukan di rumah pengumpulan hasil dimana aktiviti penggredan dan pembungkusan dijalankan. Ianya akan dapat mengurangkan kadar kerugian sekiranya penyediaan awal telah dilakukan di ladang. Kebanyakan sayur segar akan dipetik menggunakan tangan sahaja (plucking) dengan menggunakan pisau yang tajam dan jarang gunakan mesin di Malaysia. Ini kerana perlu ada penelitian untuk memilih hasil yang sesuai untuk dituai. Pisau yang digunakan mestilah sentiasa tajam dan bersih untuk mengelakkan penyebaran virus dari satu pokok ke pokok yang lain. Teknik penuaian berbeza bergantung pada bahagian tanaman yang dipetik. Bagi sayuran jenis crucifer (kobis, kailan, kubis bunga dan brokoli), sebaiknya batang utamanya dipotong dengan pisau tajam dan kerja pembersihan boleh dibuat di ladang. Manakala sesetengah sayur daun yang lain (bayam, kangkung) biasanya dicabut dengan tangan. Perlulah dipastikan supaya bahagian tangkai yang dipotong tidak menyentuh permukaan tanah. Sayur buah yang mempunyai tangkai yang ada lapisan pemisah (kacang panjang, buncis, cili) boleh dipetik dengan cara memutuskan tangkai dengan mudah menggunakan tangan. Sebaliknya sayur buah yang mempunyai tangkai yang liat, memetik menggunakan tangan boleh merosakkan sama ada tangkai atau buah (bendi, terung, timun, labu). Sayur jenis ini boleh dipetik dengan cara memotong tangkai menggunakan gunting (secateurs) atau pisau. Bagaimana pun faktur seperti pengalaman amat perlu bagi kecekapan dan produktiviti memetik hasil sayuran diladang.

Masa yang sesuai untuk menjalankan operasi penuaian perlu juga difikirkan. Penuaian perlu dilakukan pada waktu yang paling sejuk, sama ada pada awal pagi atau lewat petang. Sayuran untuk pasaran tempatan boleh dipetik pada waktu pagi. Untuk pasaran yang jauh, penuaian lebih baik dilakukan pada waktu petang sekiranya pengangkutan yang sesuai dapat diatur untuk mengangkut sayuran ke pasaran pada waktu malam atau awal pagi keesokan harinya. Bekas pengisi sayuran yang digunakan semasa penuaian mestilah mempunyai saiz yang sesuai dan boleh dibawa oleh pekerja ke seluruh ladang. Bekas tersebut mestilah mempunyai lapisan dinding yang tidak tajam untuk mengelakkan cedera atau kerosakan pada sayur. Penggunaan bekas yang kotor atau tercemar oleh tanah, sisa tumbuhan dan sisa yang reput perlulah dielakkan. Di Malaysia antara jenis bekas sayuran yang sering digunakan sama ada Bakul Buluh atau Bakul Plastik sebagai bekas pengumpulan hasil dan pengangkutan hasil. Bagaimana pun penggunaan kereta sorong merupakan satu alatan paling lazim digunakan untuk memuai kerana kapasiti dan mudak ditolak (Sila anda lihat foto disebelah). Pelbagai Dikawasan penanaman sayuran bercerun curam dan bertebing mereka menggunakan kabel khusus untuk mengangkut dari kawasan kebun curam kepada akses laluan untuk dihantar kepusat pengumpulan hasil. 

Sayuran yang telah dipetik mestilah dikumpulkan di tempat yang redup dan sekiranya pengangkutan segera tidak dapat dilakukan. Sayuran yang terdedah  terus dibawah sinaran panas matahari akan mengalami peningkatan suhu yang menyebabkan sayur mudah rosak dan layu. Aktiviti merenjis dengan air mungkin perlu supaya sayur tidak cepat layu terutamanya jenis sayur daun. Sayuran yang telah dipetik juga mesti dielakkan daripada tercemar dengan tidak meletakkannya secara terus di tanah terutamanya pada tanah basah. Sebaiknya ia akan terus dikumpul dan juga digredkan mengikut cara manual dengan menggunakan mesin atau alatan menggred seperti untuk buah tomato di foto sebelah (Lihat foto sebelah). Alat ini penggredan ini lazimnya mampu untuk megasingkan buah tomato mengikut saiz dan berat yang sesuai untuk kehendak pasaran. Buah tomato yang telah digred ini akan dimasukkan kedalam bekas dan dibungkus sebelum dihantar kepada pemborong atau pasaran. Pembungkusan sayuran sebelum masuk kepasaran terutama Pasaraya (Hypermarket) kini dilakukan oleh 'orang tengah' dimana ia memberi tambah nilai. Mereka akan menggunakan pek pembungkusan yang cantik dan kemas dan memberikan keterangan pada label produk berkaitan. Produk yang menarik dalam pakcaging cantik akan menyebabkan pengguna membuat pilihan tepat. Ia berbeza dengan cara pamerkan produk sayuran di pasar borong dimana penjual akan timbang kilo setelah pengguna membuat pilihan. Semuga artikel dalam anim agro technology kali ini memberi info berguna kepada semua.
Wasallam!..
Penggunaan bakul plastik di Yongkah Trading, Machap, Johor.
Pembungkusan sayur untup pasaraya di Singapura.


MENUAI SAYUR... PENTING SEKALI...
KAEDAH BETUL... ELAKAN RUGI...
PERLU DIGRED... IKUT KATEGORI...
MASA YANG TEPAT...PASAR IA PERGI..

By,
M Anem
Senior Agronomist
Projek TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia
(16 Syaaban 1434H)
Ditulis semula pada 29 Disember 2016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...