CENDAWAN TAHUN atau Kulat Tahun atau Kulat Petir ialah sejenis cendawan yang tumbuh beberapa hari selepas berlakunya petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan dan dipercayai tumbuh setahun sekali sahaja dan selalunya tumbuh di kawasan ladang kelapa sawit, getah atau kawasan berbusut. Ada orang kata cendawan ini juga dipanggil sebagai 'cendawan busut' tetapi saya masih kurang pasti mengenainya. Kalau ia sama dengan CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp) ia merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh liar dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai (Sila rujuk artikel saya - Sila klik disini). Melihat kepada rupa bentuknya memang agak sama tetapi hanya pakar yang mengetahuinya. Kini hidangan berasaskan cendawan atau kulat sememangnya mempunyai keenakan lain daripada sayuran yang lain. Produk cendawan kini merupakan satu produk yang dipelbagaikan untuk tujuan makanan dietary. Kini dalam akhbar tempatan dan lamanweb banyak memberi info mengenai cendawan Volvariella. Ini kerana cendawan volva mudah diusahakan dibawah kebun getah dan mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah. Walaupun memang terdapat pelbagai variasi atau jenis tumbuhan daripada kumpulan cendawan sama ada ditanam atau tumbuh meliar, cendawan tetap mendapat tempat di hati penggemarnya. Sebut sahaja cendawan tiram atau butang, semuanya mudah didapati di mana-mana premis seperti di pasar, kedai atau pasar raya tetapi agak berlainan dengan cendawan yang tumbuh secara semula jadi yang dipanggil kulat tahun ini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu info iaitu jenis Cendawan Tahun yang jarang ditemui untuk rujukan anda.
Cendawan Tiram Kelabu |
Sesetengah pendapat mendakwa kulat atau cendawan tahun ini lazimnya akan didapati tumbuh hanya beberapa hari kemudian selepas adanya dentuman petir dan hujan lebat di sesuatu lokasi atau kawasan. Keunikkan yang ketara membezakan kulat tahun dengan cendawan lain ialah kerana ia tumbuh setahun hanya sekali dan sukar untuk memperolehnya kecuali di ladang-ladang kelapa sawit atau getah dan kawasan berbusut di belukar kampung. Pengalaman saya melihat sendiri kulat tahun ini tumbuh dengan segar sekali dikampong di Muar, Johor dan benarlah seperti bidalan atau pepatah Melayu "seperti cendawan tumbuh selepas hujan'. Sepanjang jalan menuju ke kawasan kebun getah terdapat beberapa penoreh getah mengambil kesempatan mengutip setiap kali cendawan ini keluar. Cendawan ini yang lebih popular dengan nama kulat tahun ramai yang tidak tahu akan kewujudan kulat tahun ini kerana ia tumbuh hanya sekali sahaja setahun iaitu sekitar Mac dan April. Selalunya penduduk kampong dan ramai yang ternanti-nantikan kulat tahun ini apabila tibanya bulan Mac setiap tahun dikebanyakan lokasi. Kulat tahun ini hanya tumbuh di lorong-lorong menuai di ladang kelapa sawit dan mengambil masa lima hari sahaja. Bagaimana pun hanya pekerja ladang sawit yang membuat kerja-kerja diladang sawit yang menjumpainya. Mereka akan menmungutnya dan membawa pulang untuk memasaknya.
Pemerhatian dan laporan tidak rasmi penulis dapati kulat tahun akan tumbuh di kawasan yang sama setiap tahun terutama di atas busut dan tanah yang subur di ladang kelapa sawit. Selalunya kulat tahun akan tumbuh selepas hujan dan akan bertahan dalam tempoh lima hari (5) sahaja. Kulat ini keluar dari permukaan tanah dengan mempunyai bahagian kepala dan badan pada peringkat awal sebelum mengembang (Sila lihat foto sebelah). Semasa kudup belum kembang atau baru sahaja kembang merupakan tahap yang paling sesuai dipetik atau paling enak dimakan. Selepas lima hari jika cendawan ini tidak dikutip maka ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya. Ramai generasi baru atau penduduk kota yang tidak kenal akan kulat tahun ini menyebabkania akan terbiar begitu sahaja. Mereka tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan dan lebih sedap berbanding cendawan biasa. Lazimnya kulat tahun yang keluar akan lebih subur jika tumbuh di kawasan permukaan tanah yang terkena petir ini rasanya lebih sedap jika dibuat sup. Di pasaran kampong penulis masa dulu lazimnya jika ada kutipan hasil yang banyak maka cendawan ini boleh dijual dengan harga RM2.00 seikat iaitu sebanyak sepuluh kuntum. Bagaimana pun harga di pasat tani jika ada dijual runcit diantara RM3.00 - RM5.00 satu bekas. Cendawan Tahun memang agak jarang dijual tetapi jika musim kena memang boleh didapati dijual.
Pengalaman penulis masak cendawan tahun adalah dengan resepi masak lemak (Sila lihat foto sebelah), tumis cili padi, buat sup atau masakan berempah. Memang sungguh enak dan sedap rasanya cendawan tahun ini semacam rasa sotong kalau buat sup atau rasa ayam goreng jika dimasak dengan betul. Ramai yang akan menggemarinya setelah dapat merasa sendiri cendawan ini terutama jika cendawan ini di goreng. Mungkin mereka kali pertama makan memang tidak menyangka kulat tahun yang juga dari tumbuhan cendawan begitu enak rasanya. Kulat tahun yang telah kembang lama (hampir busuk) bagaimana pun agak kurang keenakkannya. Lazimnya jika di lihat kulat tahun ini akan tumbuh di kawasan yang sama di lorong-lorong ladang kelapa sawit dalam keadaan segar untuk dimasak. Kulat tahun ini akan bertambah sedap sekiranya ia semakin mekar berkembang berbanding yang baru berputik. Selepas lima hari kita tak kutip maka kulat ini akan hancur dengan sendirinya. Kulat tahun ini memang sedap kerana rasanya lebih manis berbanding cendawan biasa. bagaimana pun kita kena berhati-hati ketika cuna mempastikan ianya adalah Cendawan Tahun atau Cendawan Beracun. Sila pastikan ianya memang boleh dimakan dengan melihat beberapa tanda (Baca artikel saya sebelum ini). Dibawah saya sertakan satu laporan akhbar begaimana satu keluarga keracunan akibat makan cendawan tahun.
LAPORAN AKHBAR:
SATU kELUARGA kERACUNAN MAKAN CENDAWAN TAHUN
Akhbar KOSMO
Mahdzir Baharom, 53, ditemuramah oleh para wartawan di wad Hospital Sultanah Bahiyah selepas dimasukkan di hospital itu petang semalam akibat keracuran selepas memakan cendawan tahun semalam. |
Alor Setar - Akibat memakan cendawan tahun yang tumbuh di tepi sebuah terusan, lima sekeluarga di Kota Sarang Semut dekat sini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini petang semalam selepas mengalami sakit perut dan muntah yang teruk. Mahdzir Baharom dan isterinya serta tiga anak mereka dipercayai mengalami keracunan makanan selepas memakan cendawan itu tengah hari semalam. Cendawan tahun ialah sejenis cendawan yang tumbuh beberapa hari selepas berlakunya petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan dan dipercayai tumbuh setahun sekali sahaja dan selalunya tumbuh di kawasan ladang kelapa sawit, getah atau kawasan berbusut. Mahdzir, 53, yang merupakan pesara tentera ketika ditemui di HSB hari ini berkata dia menjumpai cendawan itu yang tumbuh di tepi Terusan Wan Mat Saman.
Semasa saya pulang dari pekan Kota Sarang Semut, saya terlihat cendawan itu tumbuh subur di tepi terusan itu dan mengambilnya...hanya lauk itu sahaja makanan kami sekeluarga untuk tengah hari semalam,” katanya. Katanya dia berasa pening ketika menunggang motosikal untuk berniaga ais kacang dari rumah ke rumah dan kemudiannya muntah-muntah dan mengambil keputusan pulang ke rumahnya di Taman Impian dan ketika sampai di rumah dia lihat isteri dan tiga anaknya juga mengalami keadaan yang sama. Memandangkan keadaan semakin teruk, saya menghubungi abang untuk meminta bantuan, dia (abang) menghubungi polis dan ambulans dan membawa kami ke hospital,” katanya. Isterinya, Faridah Yusof, 50, telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi manakala tiga anaknya Siti Nur hidayah, 22, Siti Nor Bazuri, 17, dan Syafikah, 13, masih di rawat di hospital yang sama. Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata mereka disahkan mengalami keracunan makanan dan keadaan mereka kini stabil dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika makan cendawan yang tumbuh liar di sesuatu kawasan. Semuga rencana ini memberi info berguna. Wasallam!!!...
CENDAWAN TAHUN..APA DIA...
SETAHUN SEKALI...DIJUMPA...
RASA ENAK...TIDAK TERHINGGA...
AWAS YANG BERACUN...JAGA2..
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok,
Gersik, Ledang,
Johor, Malaysia.
(22 Rabiulawal 1435H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.