Support My Blog

Tuesday, November 8, 2016

TANAH - INFO ASAS


TANAH (Soils) merupakan satu lapisan permukaan bumi yang secara fizikal berfungsi sebagai tempat dimana akar tumbuh-tumbuhan berkembang untuk menyokong pokok tumbuh menegak diatasnya. Tanah juga membekal kepada tumbuh-tumbuhan bahan seperti unsur AIR, NUTRIEN, UDARA dan sebagainya kepada tumbuhan melalui akar untuk proses fotosintesis yang mengahsilan tenaga, gas dan gula. Tanah juga berfungsi sebagai tempat menyimpan berbagai jenis unsur baja (bahan organik dan bukan organik) yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan sama ada ia unsur asas atau unsur mikro seperti  N, P, K, Ca, Mg, S, Cu, Zn, Fe, Mn, B, Cl dan sebagainya. apa yang kita perlu tahu, didalam tanah terdapat sistem kehidupan biologi dimana terdapat banyak hidupan halus (Micro-organism) yang aktif dalam mengurai serta menghasilkan pelbagai unsur lain didalam tanah. Tanah juga akan membekalkan penghasilan biomass serta didalam proses mengeluarkan hasil tanaman makanan, tanaman industri dan sebagainya. Tanah adalah satu lapisan atas permukaan bumi dimana ia mempunyai lapisan yang berbeza dari segi ketebalan dan warna yang dipengaruhi oleh iklim, topografi, bahan induk, tumbuhan asal dan masa. Pembentukkan tanah berlaku beribu tahun melalui proses luluhawa sehingga menjadi tanah yang boleh digunakan untuk pertanian dan sebagainya. Terdapab beberapa jenis tanah dipermukaan bumi ini bergantung kepada proses pembentukannya. Di Malaysia terdapat banyak jenis tanah yang sesuai untuk pertanian dan juga tanah bermasaalah. Antara jenis tanah bermasaalah yang perlukan pengurusan tambahan seperti Tanah Gambut, Tanah Bris, Tanah Asid Sulfat (Tanah Masam), Tanah Bercerun dan beberapa lagi. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai infi asas tanah sebagai satu bahan bacaan berdasarkan kepada beberapa pembacaan dan rujukkan.

Terdapat tiga (3) lpisan tanah yang lazim kita kelaskan iaitu Lapisan Tanah Atas, Lapisan Tanah Bawah dan Lapisan Batuan (Sila Rujuk rajah sebelah). Lapisan Tanah Atas (Topsoil) merupakan lapisan yang paling atas sekali dimana lazimnya akan terdapat sisa daripada tumbuhan dan haiwan yang akan terurai menjada kompos dan membekalkan nutrien. Didalam bidang Sains Tanah, saya dapati ketebalan lapisan tanah lapisan atas ini sekitar 15 cm daripada permukaan tanah kebawah dan merupakan lapisan paling subur untuk tumbuhan hidup (top soils). Dikawasan ini ia selalunya akan mempunyai sistem pengudaraan baik dengan kandungan bahan organik tinggi untuk diambil oleh akar tumbuhan. Lazimnya akar tumbuh dengan baik serta dilapisan inilah paling banyak mikrob dan hidupan tanah lain tinggal. Lapisan Tanah Bawah (Subsoil) adalah lapisan kedua yang berada dibawah tanah atas dimana ianya lebih padat. Lapisan ini mengandungi bahan terkumpul melalui aktiviti larut resap. Ia juga merupakan satu lapisan yang keras dimana ia menghalang akar tumbuh dan pengaliran air berlaku. Kebanyakan pada lapisan subsoil ini hanya ada sedikit organisma hidup. Paling bawah sekali adalah apa yang dikatakan sebagai Lapisan Batuan (Bedrock) dimana ia merupakan bahagian bahan induk kepada pembentukkan tanah. Ia adalah lapisan batu keras dimana selalunya ia akan mengalami proses luluhawa sehingga ia menjadi tanah.

Kepentingan Tanah dalam pertanian adalah sangat signifikan dalam menentukan tahap kesuburan tanaman dan hasil tanaman. Ini kerana tanah akan memberi sokongan mekanik kepada akar dimana ia akan lakukan cengkaman akar menyebabkan tumbuhan tumbuh tegak dan tidak tumbang. Ini membolehkan tumbuhan atau pokok akan dapat menerima cahaya untuk menjalankan proses fotosintesis. Tanah juga berfungsi sebagai membekal nutrien kepada tumbuhan dan juga tempat menyimpan nutrien tersebut dimana lazimnya sebahagian berbentuk bahan organik yang dibebas apabila reput. Peranan tanah juga akan membekalkan baja yang diberi bertindakbalas dengan kumin tanah dan disimpan dalam tanah. Ramai juga tahu yang dalam tanah terdapat fungsi untuk membekal oksigen dan air kepada akar tumbuhan dan hidupan dalam tanah. Contohnya udara tanah didapati mengandungi gas Karban dioksida (CO2) dan Oksijan (O2) dan lain-lain gas yang diperlukan untuk tumbuhan. Bagaimana pun gas karbon dioksida selalunya hadir lebih banyak kerana terhasil dari proses seperti respirasi akar, respirasi organisma tanah dan pereputan bahan organik. Air tanah memang ujud dalam bentuk filem yang meliputi kumin tanah sama ada ia dalam bentuk wap dalam rongga tanah atau dalam bentuk cecair (mengalir dalam rongga tanah). Air sangat penting didalam tanah untuk kehidupan tumbuhan. Kualiti air dalam tanah bergantung kepada jenis tanah disekelilingnya. Jika ia daripada jenis tanah masam maka airnys adalah asidik sebaliknya jika ia dari tanah gambut yang banyak humus maka airnya lebih alkaline.

Komponen Tanah terdiri daripada beberapa iaitu Komponen Unsur Mineral sebanyak 45 %, Komponen Air sebanyak 25 %, Komponen Gas sebanyak 25% dan bakinya ialah Komponen Bahan Organik sebanyak 5 % (Sila rujuk rajah sebelah). Bagi komponen bahan mineral Bukan Organik lazimnya terdiri daripada bahan mineral tanah (inorganik) yang terdiri dari kumin mineral iaitu pasir (kuarza), kelodak dan liat hasil proses luluhawa. Kuarza pula mengandungi silika dioksida sementara kumin pasir dan kelodak mempunyai silika dioksida tinggi dimana ia tidak terlibat dalam tindakbalas kimia dalam tanah. Bagi kumin liat terdiri dari silika oksida, oksida ferum dan aluminium. Bagi Mineral Bahan Organik terdiri daripada humus iaitu hasil akhir pereputan bahan organik. Ciri Humus merupakan bahan yang stabil, berwarna gelap, tidak larut dalam air, menyimpan air serta menyimpan kation. Lazimnya sumber bahan organik adalah dari sisa tumbuhan dan haiwan, najis, tumbuhan dan haiwan mati. Tanah yang subur mempunyai kombinasi dan keseimbangan unsur-unsur yang diperlukan untuk tumbuhan.

Terdapat juga hidupan seperti Bakteria dan Kulat merupakan agen penguraian yang mengurai bahan organik didalam tanah. Kesan baik bahan organik kepada tanah adalah kerana ia membekal nutrien kepada tumbuhan dengan bahan seperti N, P, K, Ca dan Mg dan juga membaiki struktur tanah. Humus sebagai bahan pelekat dimana ia akan terus melekatkan kumin tanah membentuk agregat tanah. Susunan agregat ini dipanggil 'Butirapuh'. Susunan agregat butirapuh memberi pengudaraan dan saliran yang baik. Ia akan menambahkan daya penampungan air tanah. Bahan organik dicampur dengan tanah pasir menambah daya penampungan air. Bahan Organik juga akan menghalang kehilangan nutrien dalam tanah. Proses pereputan bahan organik dalam tanah menghasilkan bahan-bahan bercas yang berupaya menarik ion Ca, K, Mg, Fe, Zn, Bo diman ion ini diikat pada bahan organik kerana bahan organik bercas negatif dan tidak mudah hilang melalui larutresapan. 

Dalam tanah juga mengandungi Udara (Air) yang terdapat pada rongga tanah yang tidak diisi dengan air akan diisi oleh udara. Gas tanah mengandungi banyak karbon dioksida dan juga kelembapan tinggi berbanding di amosfera. Karbon dioksida (CO2) lebih banyak kerana respirasi akar dan organisma tanah dan pereputan bahan organik di dalam tanah. CO2 terperangkap di dalam tanah. Gas oksigen tanah penting untuk respirasi akar dan organisma tanah. Didalam tamah juga terdapat komponen Air (water) dimana ia terdapat pada ongga tanah halus dipenuhi cecair dan rongga lebih besar terisi gas. Kandungan air tanah pada paras muatan medan memastikan bekalan oksigen mencukupi. Ciri-ciri muatan air tanah adalah dimana muatan medan (had basah tanah) dan satu keadaan di mana rongga tanah dipenuhi oleh air dan masih terdapat ruang udara. Apabila berlaku tanah tepu air, iaitu bila semua rongga tanah dipenuhi air maka berlaku ketiadaan udara iaitu situasi air berlebihan dan akar pokok tumbuhan terendam di dalam air yang boleh menyebabkan kematian pokok. Apa yang dikatakan sebagai Had Layu (titik layu) adalah bila terdapat terlalu sedikit air dalam tanah dan tidak dapat diambil oleh akar. Kesannya pokok akan layu. Sistem Pengairan perlu disediakan pada jenis tanah tertentu untuk mempastikan tumbuhan mendapat bekalan air. Terdapat banyak sistem membekalkan air yang digunakan oleh petani seperti Sistem Pengairan Renjis (Sprinkler system) dan Sistem Pengairan Titis (Drip irrigation). Rencana mengenai Info asas tanah dalam blog Anim Agro Technology subuh ini diposting sempena Simposium Tanah Negeri Pahang pada 8 November 2016 yang diadakan di Pusat Latihan Pertanian Inderapura, Kuantan dan dirasmikan oleh YB Dato Shafik iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Pahang. Semuga rencana ini memberi info berguna.  WASALLAM!.
Perasmian Simposium Pengurusan Tanah Negeri Pahang 2016
DEFINASI TANAH... BANYAK MAKNA...
TANAH ATAS... TUMBUHAN BERADA...
MENGANDUNGI NUTRIEN...ITU BAJA...
ADA AIR, MIKROB....DAN  BAKTERIA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11,
Putrajaya
Malaysia
(Ditulis pada 6 Mei 2013) 
Posting pada 8 November 2016
Hadir Simposium Tanah Pahang 2016 di PLP Inderapura.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...