Support My Blog

Monday, January 18, 2016

TEH DAUN SUKUN

TEH DAUN SUKUN (Breadfruit tea leaf) merupakan produk teh yang semakin popular diiklankan dalam alam maya dan juga dijual dikedai-kedai ubatan herbal. Mungkin ramai yang telah menggunakan teh ini dan masih ramai lagi yang tidak tahu mengenai keujudannya. Produk yang dikatakan amat berkhasiat ini didakwa mampu mengubati beberapa masaalah kesihatan termasuk paling hebat untuk rawatan Sakit Jantung. SUKUN (Artocarpus altilis) termasuk keluarga Moraceae yan sama dengan pokok nangka dan cempedak yang tumbuh subur di Malaysia dan negara jiran yang lain. Tanaman ini secara umum adalah mudah hidup dipelbagai kawasan dan jenis tanah termasuk dikawasan tanah tidak subur. Selama ini hanya buah sukun sahaja yang digunakan sebagai bahan makanan. Kandungan Nutrisi Buah Sukun didapati berzat dengan kadar yang cukup tinggi. Bahan yang terkandung dalam sukun termasuk zat seperti Karbohidrat, Protein, Serat, Lemak, Niacin, Folates, Pyridoxine Thiamin, Riboflavin, Vitamin A, Vitamin E, Vitamin C, Vitamin K, Sodium, Kalsium, Kalium Tembaga, Magnesium, Besi Manganese, Selenium, Fosforan, Zink Karoten-ß, Lutein-zeaxanthin dan juga bahan Crypto-xanthin-ß. Oleh kerana buah sukun kaya dengan kandungan serat, maka ia telah dikatakan sesuai diambil bagi para pengidap diabetes. Buah sukun didakwa sangat bemanfaat disebabkan kandungan seratnya yang dapat mengurangkan kadar penyerapan gula oleh tubuh. Menurut kajian dijalankan, ada menunjukan bahawa memakan buah sukun secara rutin akan dapat mengurangkan risiko diabetes kerana kadar gula dalam darah dapat dikawal. Memakan buah sukun memang akan rasa 'Kenyang lebih lama'. Oleh itu buah sukun sering dijadikan makanan pengganti nasi dimana jika seseorang menjalankan 'program diet' ia amat sesuai sekali. Buah ini dikatakan bila dimakan tanpa meningkatkan kadar serapan kalori dimana ia akan dapat memberikan rasa kenyang yang tahan lama. Seseorang merasa aktif dan bertenaga jika ada memakan buah sukun. Bagaimana pun artikel ke 3,619 ini dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya menulis lagi mengenai khasiat dan pembuatan daun pokok sukun sebagai teh yang mendapat permintaan baik dikalangan pengguna.

Produk Teh Herbal Daun Sukun kini amat popular di Malaysia dan lebih lagi di Indonesia kerana beberapa testimoni yang mana ia mampu merawat jantung. Ia adalah teh semulajadi yang dibuat daripada daun pokok sukun yang ditanam secara organik dan tidak menggunakan bahan kimia yang membahayakan pengguna. Pokok sukun yang sesuai dipetik daunnya dan diproses dengan mengeringkannya sebelum ia sesuai untuk dikisar dan dikeringkan dan dibungkus (Sila lihat foto disebelah). Teh ini perlu diproses mengikut amalan GMP dan Hygenik dimana bahan dari daun sukun terpilih sahaja digunakan bagi tujuan menjaga kualiti dan kesegaran selain untuk kenikmatannya rasanya. Tinjauan mendapati proses untuk membuat teh dari daun sukun ini amat mudah dibuat sendiri dan boleh digunakan sebagai amalan untuk dijadikan bahan minuman. Khasiat dari teh daun sukun dikatan amat bermanfaat dimana daun sukun sangat efektif untuk tujuan mengubati beberapa penyakit kronik seperti penyakit hati, hepatitis, sakit gigi, gatal-gatal, pembesaran limpa dan penyakit jantung. Khasiat daun sukun dalam mengubati berbagai macam penyakit tersebut disebabkan daun sukun mengandungi beberapa unsur seperti asam hidrosianat, asetilcolin, ribofavlin, tannin dan beberapa bahan lain. Secara saintifik, manfaat daun sukun juga bagus untuk mengatasi kerosakan ginjal. Melalui penelitian lain yang dilakukan mendapati bahawa daun sukun sangat berguna untuk mengubati penyakit kardiovaskular. Untuk mengubati penyakit ginjal, daun sukun direbus kemudian diminum airnya setiap hari secara rutin. Memang perkara ini juga memerlukan disiplin dan kerana harus dilakukan secara rutin dan dalam jangkamasa panjang. Sebagai petua nagi merawat dari penyakit jantung, anda sebaik baiknya pilih daun sukun yang sudah berumur disebabkan daun sukun yang telah berumur tua memiliki kandungan zat yang tinggi.

Teh Herbal Daun Sukun merupakan minuman semulajadi yang bermanfaat bagi menambah tahap kesihatan. Teh ini yang dibuat dari daun sukun dipadukan dengan daun teh pilihan sehingga ia akan memberikan cita rasa khas dan penuh manafaat untuk kesihatan. Banyak jenama produk teh daun sukun dipasaran sama ada dari dalam negara atau buatan luar negara (Sila lihat foto disebelah). Ia kini dijual dengan harga agak murah dan dikategorikan sebagai produk mampu beli oleh semua golongan masyarakat. Bagaimana pun penulis menggalakkan agar kita membuat sendiri teh daun sukun kerana selain ia mudah diproses, dapat kuantiti yang banyak dan paling penting adalah jaminan tahap keselamatan teh tersebut. Paling penting adalah bagaimana kita memilih daun teh daripada pokok sukun yang bebas racun atau mencapai tahap pokok sukun organik. Cara untuk mengguna teh ini sama dengan teh lain iaitu dengan mencelup teh kedalam air panas dan diminum. Ia sesuai diambil dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang. Jika ia dibungkus dalam uncang maka ia sesuai disajikan dengan memasukkan 1 uncang teh herbal daun sukun ke dalam gelas dan cawan. Kemudian perlu dituangkan air mendidih kedalamnya. Biarkan beberapa saat sampai diperolehi satu warna, kepekatan dan aroma sesuai. Angkat uncang teh tersebut kacau dengan sudu dan jika mahu boleh juga ditambahkan gula mengikut selera. Pada saya sebaiknya elakkan dari menambah gula dan susu dan minum sebagai teh-O tanpa gula. Kesegaran rasa dan khasiat teh herbal daun sukun sedia untuk dinikmati.

Pokok sukun mempunyai saiz daun yang besar tersusun berselang seli dengan lebar daun 20 -40 cm x 20 - 60 cm. Ia mempunyai bentuk tulang daun yang tirus dan berwarna hijau tua yang berkilat di bahagian atas (Sila lihat foto disebelah).Daun sukun seperti keluarga Moraceae yang lain adalah kasar dan berbulu halus di bahagian bawah. Bentuk daun adalah unik dengan terdapat lekukan ketara dan terdapat kuncup yang tertutupi daun asas besar berbentuk kerucut. Tanaman ini memiliki cabang mendatar dan pada semua bahagian. Penelitian mengenai pokok sukun menunjukkan ia akan mengeluarkan getah berwarna putih apabila tergores atau dilukai dibahagian batang, dahan atau daunnya. Buah sukun merupakan buah yang tidak mempunyai biji ia dijadikan bahan makanan penting dibeberapa negara sebagai sumber karbohidrat. Buah Sukun sesuai dipotong dan digoreng. Bagaimana pun ada orang yang akan membakar, disangran (goreng tanpa minyak atau pun direbus. Sukun yang sudah diproses tadi akan dihiris kecil kemudian dikeringkan ke dalam oven ataupun di bawah sinar matahari untuk lebih tahan lama. Ada laporan dimana buah sukun akan ditapaikan (fermented) selama beberapa minggu di dalam lubang tanah. Kemudian hasilnya seperti pasta yang menyerupai dengan keju yang berzat dan tahan lama untuk diproses menjadi makanan berasaskan sukun yang lain. Pada saya Kerepek Sukun adalah hidangan paling disukai dan memang enak sekali dimana ada rasa lemak dan masin garam.

Sukun mudah hiudp dipelbagai kawasan dan jenis tanah termasuk dikawasan tanah tidak subur. Penulis biasa melihat tanaman sukun tumbuh dengan baik ditanah mineral, tanah bris, tanah gambut, tanah masam dan sebagainya. Apa yang penting bagi tanaman ini adalah sistem saliran yang baik kerana akar pokok sukun amat sensitif jika terendam dalam air dan mudah mati akibat terendam agak lama. Varieti Sukun belum didaftarkan lagi dalam Senarai Varieti Tanaman Nasional kerana tidak banyak kajian dan penulisan mengenainya dilakukan. Bagaimana pun dari beberapa tinjauan dan rujukkan, penulis mendapati ada 3 jeni sukun yang boleh didapati. Pertama adalah Jenis SUKUN KECIL atau juga disebut sebagai 'Sukun Kuning'. Antara ciri sukun ini adalah kulitnya berduri lembut, buahnya semasa muda berwarna hijau dan apabila tua berwarna kuning. Varieti ini tidak banyak mengandung air dan yang penting ia akan tahan disimpan 8 hari setelah dipetik. Isinya agak kering, kenyal dan rasanya enak dengan berat buah antara 1.0 - 1.5 kg sebiji. Jenis sukun yang kedua adalah SUKUN BOTAK (atau Sukun Gundul) dimana ia mempunyai jenis kulit yang halus dan tidak berambut. Uniknya buah jenis ini dari muda sampai tua berwarna hijau. Kandungan airnya adalah banyak dimana daya tahan simpan selama 3 - 4 hari. Isi buah kurang kenyal dengan rasanya kurang enak berbanding dengan sukun kuning dengan berat sekitar antara 2.0 - 3.5 kg sebiji. Varieti ketiga adalah SUKUN MEDIUM iaitu merupakan kacukan diantara sukun botak dengan sukun kecil. Cirinya merupakan pertengahan antara kedua jenis sukun tersebut di atas dengan kulit buah berdiri (seperti buah nangka). Jenis ini mempunyai isi buah yang agak kenyal dimana kandungan airnya lebih rendah dari sukun botak tetapi lebih tinggi sukun kuning. Kelebihannya adalah kerana ia tahan untuk di simpan selama 6 hari. Semuga tulisan ini memberi info dan ilmu berguna kepada anda. Wasallam!.
TEH DAUN SUKUN...ENAKNYA...
BUAT SENDIRI... AMAT MUDAHNYA...
BELI DAH SIAP... JUALAN DIMANA...
BANYAK KHASIAT...HEBATNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana, 
Bandar Melaka, 
Melaka, Malaysia.
(4 Safar 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...