Support My Blog

Sunday, January 31, 2016

ADA BUKIT, ADA PAYA.

ADA BUKIT, ADA PAYA merupakan satu peribahasa atau bidalan lama yang kini semakin kurang digunakan oleh generasi baru. Peribahasa ini berkait dengan persekitaran dan alam pertanian yang membawa makna iaitu "Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya" dalam masyarakat kita. Kalau begitu memang tepat peribahasa ini dicipta oleh bijak pandai bahasa Melayu sejak lama dulu kerana dalam dunia dan masyarakat, memang ada jenis ORANG JAHAT yang selalu menyusahkan masyarakat seperti perompak, pencuri, pembunuh, pemfitnah, penipu, perasuah dan bermacam lagi jenis kejahatan yang dilakukan. Bagaimana pun ujudnya golongan seperti ini menyebabkan kerajaan menyediakan mahkamah, polis, penjara dan undang-undang untuk mengurangkan gangguan dalam masyarakat. Tetapi pada masa sama ramai pula jenis ORANG BAIK yang memelihara kerukunan masarakat, mencipta inovasi baru, menjadi pemimpin, petani, pegawai kerajaan, ketua kampong, ahli politik, rakyat yang baik demi kesejahteraan masyarakat. Jika ramai orang baik dalam komuniti maka pembangunan negara akan dapat dicapai dan rakyatnya akan hidup harmoni serta cepat mencapai kemajuan. Golongan Orang Kaya akan bertambah ramai jika ada jaminan keselamatan dan kesejahteraan ujud untuk menjalankan perniagaan atau apa juga bidang ekonomi yang diceburi. Negara Maju selalu mempunyai jumlah rakyat berstatus kaya yang ramai bilangannya berbanding dengan negara mundur dan tidak aman dimana rakyat yang miskin dimana ada berjuta orang jumlahnya. Orang Miskin pula lazimnya ramai dalam negara yang tidak stabil, berlaku peperangan, kurang sumber asli bumi, sering dilenda bencana alam, pemimpin yang korupsi dan banyak faktur lain. Peribahasa ini menerangkan dengan nyata bahawa dalam dunia dan masyarakay keujudan bukit dan paya memang ada dimana yang bukit itu disamakan dengan kebaikan dan kekayaan dan yang paya itu disamakan dengan kejahatan dan kemiskinan. Itu adalah peribahasa yang diajar disekolah dahulu dimana penulis pernah belajarnya disekolah rendah dan menengah. Apa pun perbincangan kali ini adalah artikel yang ke 3,590 mengenai "BUKIT' dan 'PAYA' dalam "Anim Agro Technology" dan kaitannya dengan alam semulajadi, sektor pertanian sesuai dengan blog yang berkonsepkan teknologi pertanian dan perkara berkaitan dengannya.


TANAH BUKIT (Hills) merupakan tanah yang terbentuk dan ujud secara semulajadi dalam proses pembentukan alam. Bukit adalah suatu bentuk rupabumi yang ujud dalam kawasan terbentang dialam semesta. Ia memiliki permukaan tanah yang lebih tinggi dari permukaan tanah rendah yang terdapat disekelilingnya namun ia didapati mempunyai tahap ketinggian relatif yang rendah dibandingkan dengan Gunung (Mountain). Gunung lazimnya mempunyai struktur dan kedudukan yang tinggi dan curam sehingga mencecah ribuan meter dari paras laut. Lazimnya apa yang penulis ingin katakan bahawa 'dunia perbukitan' adalah rangkaian banyak bukit yang berjajar di suatu lokasi atau kawasan yang cukup luas. Itu sebabnya dalam geografi pernah dikatakan sebagai 'mountainous state' atau 'negeri berbukit atau bergunung'. Beberapa negeri di Malaysia juga ada yang mempunyai lebih banyak kawasan berbukit daripada tanah rata dan sebaliknya. Dalam Kamus Bahasa Melayu penulis terbaca bahawa makna 'bukit' juga dimaksudkan sama seperti gunung. Rujukkan dalam buku A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries (1856), John Crawford menulis bahwa 'bukit' dalam Bahasa Melayu sama dengan gunung dalam Bahasa Jawa iaitu dataran yang tinggi. Pada masa zaman kolonial atau zaman penjajahan dahulu kebanyakan kawasan tanah bukit di Semenanjung Malaysia yang subur diambil oleh penjajah untuk ditanam dengan tanaman ladang seperti Getah, Koko, Tebu dan Kelapa Sawit. Mereka membuka tanah berbukit ini dan dijadikan estet dimana kemudian hasilnya dieksport kenegara mereka. Konsep perladangan ini dijalankan semenjak beratus-ratus tahun sehingga kerajaan Malaysia ambil balik beberapa pengurusan estet mega seperti Sime Darby, Golden Hope dan sebagainya pada zaman Tun Ghafar baba. Pembukaan rancangan Tanah FELDA dari zaman Tun Razak juga banyak menumpukan pembangunan ditanah bukit sebagai ladang komersil dan kawasan penempatan peneroka. Tanaman Getah dan Kelapa Sawit dimajukan FELDA menjadi punca pendapatan kepada berjuta ahli keluarga peneroka. Pengurusan FELDA mengusahakan tanah sebanyak 9,000 kilometer persegi dimana kebanyakannya kini adalah ladang kelapa sawit. Walaupun objektif utama FELDA secara umumnya adalah untuk mengurangkan kemiskinan di luar bandar melalui petempatan semula,kini FELDA dilaporkan juga memegang kepentingan dalam ekonomi Malaysia.


TANAH PAYA (Swamp land) merupakan tanah yang selalunya rendah, berair, rata dan mudah tenggelam air. Dalam istilah lain ia sangat rapat dengan ciri-ciri 'Tanah Lembab' atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'Wetland'. Banyak kebaikan yang dikaitkan dengan tanah paya dari segi keseimbangan ekosistem persekitaran. Paya merupakan kawasan genangan air secara ilmiah yang terjadi terus-menerus atau bermusim akibat parit yang cetek atau pun tersumbat serta mempunyai ciri-ciri khusus secara fizikal, kimia dan biologi. Definasi yang lain dari tanah paya adalah semua jenis tanah berlumpur ujud secara semulajadi atau angkara buatan manusia dengan campuran air tawar atau air laut. Ia ujud secara kekal atau sementara termasuk kawasan laut yang dalam airnya kurang daripada 6 meter semasa air surut iaitu paya dimana ada keadaan tanah pasang surut. Tanah Paya lazimna banyak humus seperti tanah gambut yang mempunyai penuh nutrien. Ada tanah paya yang sentiasa berair dan merupakan gudang harta ekologi untuk kehidupan pelbagai jenis hidupan. Kawasan paya kini sebenarnya amat penting kerana ia berfungsi sebagai "pembersihan alam semulajadi". Ini kerana tanah paya itu berfungsi untuk mencegah pencemaran atau pencemaran alam sekitar alam. Atas sebab tersebut maka kawasan tanah paya sering mempunyai nilai tinggi dari segi ekonomi, budaya, persekitaran dan lain-lain, sehingga tanah-tanah dipersekitaran paya harus tetap dijaga kelestariannya. Di Malaysia negeri Sarawak merupakan negeri yang paling luas kawasan tanah berpaya dengan keluasan melebihi 2.0 juta hektar. Di Semenanjung Malaysia pula negeri yang agak luas kawasan paya adalah Pahang, Perak dan Johor serta Selangor. 


Kombinasi tanah paya dan tanah bukit didalam kawasan pertanian dan kampong memang ujud semenjak zaman dulu. Saya memang amat suka dengan keadaan kampong tradisional di Melaka dan Negeri Sembilan dimana rumah mereka selalu didirikan diantara tanah bukit dan tanah paya dalam satu geran tanah yang luasnya sekitar 2 ekar. Rumah akan didirikan diatas bahagian tanah bukit sementara tanah paya depan rumah akan dijadikan sawah padi atau pun kolam ikan (Sila lihat foto disebelah). Ini merupakan satu senario yang nyaman dan indah untuk sesebuah rumah kampong tradisional. Penulis yang bertugas di Melaka selama 14 tahun dalam bidang pertanian banyak terlibat didalam membangunkan tanah sawah terbiar ini dengan pelnagai projek termasuk pemulihan sawah padi dengan padi, ditukar dengan tanaman mangga, projek kolam ikan dan tanaman pelbagai sayuran serta projek ternakan. Keaslian kampong tradisional ini semakin kurang popular kerana generasi baru kini lebih suka membuat rumah batu berbanding dengan rumah kayu tradisional yang mahal dan upah tukang juga semakin tinggi. Memang benar kata-kata peribahasa 'Ada bukit, ada paya' yang bermakna semasa menjalankan kerja dengan orang kampong penulis sering berjumpa pelbagai manusia yang baik, yang jahat, yang miskin dan yang kaya. Pandai-pandailah kita menilai akan orang jahat dan orang baik dalam kehidupan seharian. Ini adalah lumrah alam. Wasallam!.
ADA BUKIT... ADA PAYA...
ADA MISKIN... ADA KAYA...
ADA JAHAT...BAIK PUN ADA..
SAYA TULIS...UNTUK ANDA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Berisu, Alor Gajah,
Melaka, 
Malaysia.
(19 Muharam 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...