Support My Blog

Monday, April 13, 2015

PADI - PENGGUNAAN VARIETI

NASI merupakan makanan yang dimasak daripada beras dimana ia adalah merupakan makanan ruji penduduk Malaysia (Foto diatas). Pertumbuhan penduduk negara dijangka meningkat sebanyak 1.4% setahun dan kini dilaporkan mencecah seramai 30 juta orang. Penulis membuat rujukkan dimana sasaran MOA adalah untuk meningkatkan SSL sehingga 100% bekalan beras negara menjelang 2016. Saranan ini juga telah menggerakkan penyelidikan dan pembangunan teknologi padi kearah berupaya meningkatkan pengeluaran beras negara. Prestasi pengeluaran padi pada 2013 dan 2014 menerusi Laporan Penyiasatan Pengeluaran Padi Musim Utama 2013 /2014 menunjukkan, penggunaan varieti padi MARDI berserta amalan pertanian baik (GAP) telah menyumbang kepada peningkatan purata hasil padi di Malaysia ia itu dari 3.834 tan sehektar pada 2013 kepada 4.297 tan sehektar pada 2014. Pada masa ini jurang antara potensi hasil varieti dan potensi sebenar varieti dijelapang dan luar jelapang dapat dikurangkan melalui amalan agronomi dan kultura yang betul. Manual Penanaman Padi Berlestari yang telah diterbitkan oleh MARDI pada 2008 sebagai piawaian membolehkan pengurusan operasi tanaman padi dalam sawah bertakung dengan kesesuaian umur kematangan padi 120 hari. Peningkatan hasil padi 1 tan per hektar dengan penggunaan manual ini didalam projek perintis dibawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang telah dijalankan diseluruh jelapang padi utama pada tahun 2008 - 2010. Jabatan Pertanian dengan Rice-Check sentiasa menjalankan aktiviti untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi dikawasan Jelapang dan Luar Jelapang Padi. Kadar pembajaan yang disyorkan untuk varieti padi inbred semasa perhektar adalah 120 kgN:70kg P2O5: 80kg K2O. Kadar ini dapat diselaraskan mengikut keperluan tanaman, kesuburan tanah, kejadian perosak dan penyakit serta cuaca persekitaran. Masa pembajaan yang tepat juga penting didalam pengurusan nutrien tanaman. Ianya dapat mengelakkan penggunaan baja yang tidak efisien oleh tanaman. Artikel malam Ahad ini sambil menonton sukan Bolasepak Liga Perdana antara PDRM dengan FELDA, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti dan potensi penanaman padi hasil pembentangan kertas pada Confrentech 2015 di Kuching, Sarawak pada 6-9 April 2015.



Amalan kultura di sawah berkait rapat dengan pengurusan penyakit dan perosak padi dimana kehadiran penyakit yang disebabkan oleh kulat seperti karah selalunya akan lebih teruk apabila kadar penggunaan nitrogen (N) tinggi (lebih 120N). Keadaan yang sama juga dilihat bagi perosak ulat daun yang menyerang daun padi yang hijau gelap (akibat dari baja N berlebihan). Bagi membantu petani mengurus tanaman secara lestari, cara mempelbagaikan kaedah pengawalan penyakit,  perosak dan rumpai dan tidak hanya tertumpu kepada pengawalan menggunakan bahan kimia sahaja. Teknologi ‘Pengurusan Perosak Bersepadu’ (PPB atau IPM) tanaman padi telah dilancarkan pada Simposium IPM 2012. Menekankan proses pengawalan populasi perosak ke tahap yang boleh diterima dengan penggunaan varieti rintang, amalan kultura, biologikal dan kimia yang mesra alam. Ianya merangkumi pengurusan serangga perosak, penyakit, rumpai, siput gondang, tikus serta pengurusan tanah, air, nutrien dan pembajaan tanaman padi. Buku panduan pengurusan perosak bersepadu yang mementingkan penjagaan persekitaran tanaman padi dari penggunaan bahan kimia berlebihan tanpa menjejaskan hasil pengeluaran padi. Melalui pendekatan ini, bilangan musuh perosak semula jadi didapati meningkat dan membantu mengawal perosak utama tanaman padi. Amalan kultura yang digariskan dalam kedua-dua penerbitan ini  diharap boleh dijadikan piawaian operasi pengurusan tanaman padi diMalaysia.



Buku poket ‘Perosak, Penyakit dan Rumpai Padi’ telah dilancarkan pada MAHA 2014. Kandungan dalam buku ini merangkumi pengenalan kepada perosak seperti kutu thrip, ulat layar, ulat pengorek batang, tombak padi, benah perang, benah hijau dan perosak-perosak lain. Pengenalan kepada penyakit pula mengkhusus kepada penyakit bawaan kulat seperti karah daun, karah tangkai hawar seludang dan penyakit bawaan bakteria seperti hawar daun bakteria, reput perang seludang (sambang), penyakit merah virus dan penyakit-penyakit lain. Pengurusan rumpai pula menjurus kepada jenis rumput daun tirus, rumput daun lebar, rusiga dan paku pakis. Buku ini turut menyenaraikan bahan aktif bagi racun serangga, kulat, bakteria, rumpai, tikus dan siput yang menerangkan tindakan racun tersebut kepada sel, tisu atau organ perosak. Kini telah ramai pesawah terutama di Selangor yang telah menerima pengiktirafan MyGAP daripada Jabatan Pertanian setelah melalui beberapa proses. Amalan Pertanian Baik yang dijalankan dikawasan sawah padi yang mempunyai MyGAP didapati lebih cekap dan relevan.

Jadual 1: Peratus penggunaan varieti di Malaysia

Jadual 1 diatas menunjukkan peratus penggunaan beberapa varieti padi popular di Malaysia mengikut kawasan utama penanaman padi di 10 buah Jelapang Padi negara. Jadual tersebut menunjukkan bahawa varieti MR220CL2 merupakan varieti paling luas ditanam di Malaysia dengan jumlah 50.3% daripada keseluruhan keluasan sawah dan penggunaan varieti. Kawasan IADA BLS (Projek Barat Laut Selangor) menggunakan hampir 83.6% varieti ini dimana ini bermakna ia merupakan paling tinggi penggunaan MR220CL2 dikalangan kawasan jelapang padi lain. Sementara itu di kawasan IADA Kerian di Perak dan MADA di Kedah juga mempunyai peratusan yang tinggi untuk penggunaan varieti MR220CL2. Mendudukki tempat kedua dalam penggunaan varieti padi adalah dari MR219 iaitu sebanyak 26% daripada keseluruhan kawasan penanaman. Laporan menunjukan bahawa IADA KETARA di Terengganu mencapai 78.9% pesawah menggunakan varieti ini diikuti dengan IADA Pulau Pinang sebanyak 39.8%. Jadual juga menunjukkan varieti MR263 menduduki tempat ketiga dengan sebanyak 16.4%  penggunaannya terutama dikawasan seperti IADA Pekan, Pahang dan IADA Kemasin Semerak, Kelantan. Varieti MR220, MR220CL1 dan MR263 tidak banyak ditanam dikebanyakan kawasan jelapang padi utama iaitu hanya 3.7%, 1.3% dan 0.1% sahaja. Laporan ini belum mencatitkan beberapa varieti baru seperti MRQ76 (Padi wangi) ditanam dalam kawasan utama pengeluaran padi negara. Ini mungkin ia masih belum sesuai untuk dikomersilkan lagi atau masih diperingkat kajian lagi. Penanaman Padi Aerob juga masih belum ada info mengenai keluasan penanamannya. Diharap artikel ini mamberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.


MAKAN NASI.... TANAM PADI...
JELAPANG PADI...10 MENJADI...
BANYAK PILIHAN...APA VARIETI...
TULIS ARTIKEL... RAMAI 'COPY'...

By,
M Anem,
Senior Agronomist
Lapanganterbang Antarabangsa Kuching,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(19 JamadilAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...