Support My Blog

Friday, February 6, 2015

AMPLANG - RAHSIA SNEK RANGUP


KUIH AMPLANG adalah sejenis makanan ringan atau Snek yang sangat popular di Sabah dan Utara Sarawak. Amplang merupakan snek rangup yang menjadi makanan ringan paling disukai ramai (Sila lihat foto diatas). Penulis memang rasa tidak lengkap berkunjung ke Sabah jika tidak membawa pulang makanan ini sebagai buah tangan. Pada saya kuih amplang bukan saja enak dimakan begitu saja tetapi ia juga turut disajikan bersama minuman petang bersama minuman kopi dan kuih lain. Semasa saya melawat beberapa projek pertanian di Sabah beberapa kali berpeluang melawat aktiviti membuat kuih amplang kerana ia begitu gah serta menjadi produk kebangaan negeri berkenaan. Bagi ramai orang Semenanjung rasanya tidak ramai yang me­ngetahui cara dan bagaimana kaedah pembuatannya. Jauh sekali yang cuba menyelongkar bahan digunakan bagi menghasilkannya. Ada kemungkinan ia menjadi rahsia kebal pembuatnya bagi melindungi kualiti atau diciplak pesaing lain. Lawatan saya terbaru ke Sabah telah berpeluang mempelajari sedikit teknik pembuatan kuih amplang dan ia telah berjaya diselongkar. Artikel pagi Selasa sempena cuti Thaipusam 2015 ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" satu artikel ke 3,210 mengenai teknologi membuat kuih amplang yang rangup dan enak dimakan.


Rahsia sebenar untuk membuat amplang yang enak dan rangup adalah dengan penggunaan isi ikan segar menjadi rahsia penting dalam pembuatan amplang. Isi ikan segar menjadi kunci kepada kualiti produk apatah lagi menjadikannya lebih manis serta ranggup bila dimakan (Sila lihat ikan segar disebelah)Isi ikan segar yang siap diproses menjadi bahan utama. Kaedahnya hampir sama dengan cara membuat keropok yang banyak diusahakan di Terengganu. Kemudian isi ikan akan dicampurkan dengan tepung sagu dan digaul hingga sebati. Lazimnya mereka menggunakan mesin pengaul kerana ia adalah lebih praktikal supaya campuran tadi benar-benar sebati. Sebagai perisa tambahan selalunya adunan seperti bawang putih, sedikit gula, serbuk penaik serta garam secukup rasa turut dicampurkan bersama. Bagaimana pun kadar campuran bahan-bahan tersebut mengikut citarasa pembuatnya. Kajian asas ada menunjukkan terdapat beberapa spesies ikan yang boleh digunakan untuk membuat amplang tetapi jenis yang paling popular ialah ikan tenggiri. Ini berikutan ikan tenggiri tidak mempunyai banyak tulang halus seperti ikan tamban atau selar kuning. Selain itu, amplang ikan tenggiri berwarna kuning bersih mendapat permintaan tinggi di pasaran.


Proses seterusnya adalah adunan isi ikan tadi akan diuli serta digentel bulat bersalutkan tepung sagu supaya ia tidak melekat ketika digoreng. Tinjauan penulis mendapati adunan yang digentel bulat memanjang bersaiz ibu jari akan diracik kecil. Racikan isi ikan berkenaan akan dimasukkan dalam bekas penggoreng selama 10 hingga 15 minit sebelum diperiksa tahap masak yang sekata. Ujian untuk tahap kemasakan yang sekata dilakukan dengan memotong beberapa biji amplang dengan memeriksanya pada bahagian dalamnya. Amplang yang sempurna diangkat dan ditoskan supaya sejuk. Ia perlu dijemur dalam dulang pengeringan sehingga sejuk sebelum dibungkus untuk dipasarkan. Beberapa usahawan yang penulis temubual menyatakan mereka hanya hanya mampu memproses 200 kilogram isi ikan sehari untuk dijadikan amplang dan jumlah itu akan meningkat apabila menambah baik peralatan. Pemasaran lazimnya disekitar Kota Kinabalu dan bandar-bandar lain berhampiran. Mereka juga ada menyatakan bahawa Jabatan Perikanan Sabah banyak membantu dalam menjayakan industri pengeluaran produk ini. Produk amplang memang satu produk snek yang enak dimakan terutama jika ia masih baru dihasilkan. Wasallam!.



NAMA AMPLANG...SNEK PERISA...
BANYAK DISABAH... RAMAI SUKA...
IKAN TENGGIRI...BAHAN UTAMA...
IA BERKHASIAT... UNTUK SEMUA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar,
Kotakinabalu, Sabah,
Malaysia.
(21 RabiulAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...