Support My Blog

Friday, July 25, 2014

RUMPUT SIKU-SIKU

RUMPUT SIKU-SIKU (Oldenlandia corymbosa) merupakan sejenis tumbuhan jenis rumpai daripada keluarga Rubiaceae yang sering didapati disekeliling kita. Rumput jenis ini juga dipanggil sebagai 'rumput mutiara', 'suku dengan', 'pokok telur belangkas', 'daun mutiara', 'lidah ular' atau 'katepan'. Rumput ini mudah tumbuh subur dikawasan tanah yang lembap atau dikawasan kebun kosong yang sedikit berair serta disekitar halaman rumah, tepi jalanraya dan atas ban sawah. Rumput ini terkenal sebagai tanaman jenis ubatan yang telah digunakan oleh masyarakat China, India dan masyarakat lain sekitar Asia Tenggara untuk menjadi bahan penawar perubatan berbagai jenis penyakit. Kita dikalangan pembaca internet kadang-kadang dikelirukan jenis rumput ini yang disamakan dengan rumput kerbau atau rumput yang dikatakan sama rupanya. Bagaimana pun artikel ini saya rujuk dan memetik dari beberapa buku dan menyemak dengan laman web untuk mengenali rumput siku-siku bagi dijadikan bahan bacaan atau rujukan dalam "Anim Agro Technology". Rumput ini merupakan sejenis rumpai yang menjadi masaalah kepada pekebun kerana ia mudah tumbuh dalam banyak keadaan dan bersaing dengan tanaman dari segi ruang, makanan, cahaya matahari malahan mungkin menjadi perumah kepada sesetengah serangga perosak dan penyakit. Daripada buku laporan statistik Jabatan Pertanian, saya dapati tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tumbuhan rumput siku-siku ini ditanam dan keluasannya.


Dari segi morfologi rumput ini lazimnya akan tumbuh menegak atau condong sedikit atau rebah mengikut keadaan setempat ia tumbuh. Pertumbuhannya adalah dimana ia akan mula bercabang mulai dari pangkal batangnya dengan tinggi 50 - 60 cm (Sila lihat foto sebelah). Saya lihat ia mempunyai jenis batang bersegi empat, gondol atau macam ada sisik sangat pendek. Batang rumput (stems) bercabang dengan tebal 1 mm dan berwarna hijau pekat sampai hijau kelabu jika ia cukup dewasa. Daunnya relatif kecil dengan panjang daun sekitar 2-5 cm panjang dimana dibahagian hujungnya adalah meruncing dengan ada satu struktur tulang daun di tengah. Bentuk hujung dan pangkal daunnya memang tirus meruncing yang kelihatan berwarna hijau pucat dengan sisik sisik kecil disepanjang tepi daun. Lazimnya ia mempunyai tangkai daun sangat pendek dan memiliki rambut pendek pada ujungnya. Bahagian akar tanaman herba ini merupakan akar tunjang dan juga akar rambut dengan garis tengah berukuran sekitar 1 mm berbentuk benang.


Tumbuhan rumpai ini merupakan jeins tumbuhan semusim. Ia mempunyai saiz batang yang kecil, bentuk bersegi dan memang selalunya lemah. Ia juga mudah merebah ditanah dimana ianya dilihat bercabang dan dihujung batang adalah tegak (Sila lihat foto sebelah). Mempunyai warna kulit batang hijau dimana pada keadaan biasa maka panjang batang 15-50 cm. Dalam pemerhatian dikawasn rumah di Putrajaya, saya lihat daunnya bertangkai pendek dengan aturan daun bersilang berhadapan, hujung daun meruncing dan juga kelihatan berbulu. Ia juga seperti laporan diatas mempunyai tulang daun hanya satu ditengah helaian daun, panjang daun 2-5 cm. Ia mempunyai jenis bunga majmuk yang berwarna putih dan mempunyai tangkai keras dimana panjang tangkai sekitar 5-10 mm. Lazimnya bunga rumput siku-siku akan keluar dari ketiak daun dengan ada sejumlah 2-5 unit yang berbentuk seperti payung dan berwarna putih. Buah ini berbentuk bulat dengan bahgaian hujung buah pecah yang mengandungi beberapa biji kecil. Tumbuhan ini lazimnya membiak melalui bijibenih. Rumput ini tumbuh liar pada kawasan seperti di pinggir jalan. Kajian makmal juga mendapati ia mengandungi unsur seperti Hentriacontan, Stigmasterol, Asid ursolate, Asid oleonate, B-sitosterol, P-Asid Kumarate, Flavonoid, Tannin dan Kumarin. Bahan kimia ini yang dipercayai bahawa rumput siku-siku merupakan jenis herba yang menjadi penawar kepada beberapa masaalah kesihatan manusia.


Dari segi perubatan didapati rumput sesiku banyak digunakan untuk merawat beberapa penyakit. Kegunaan rumput mutiara antaranya berkhasiat untuk dijadikan ubat akibat digigit ular, tersiram air panas, tulang patah, kanser, usus buntu, terkehel, sakit buah zakar dan saluran seperma lelaki tersumbat. Daripada beberapa lamanweb saya mendapati rumput ini digunakan bagi merawat kanser dan radang usus. Caranya perlu diambil sebanyak 60 g rumput siku-siku (yang bebas dari pencemaran) direbus dengan 3 gelas air sampai mendidih. Air rebusan disejukkan dan amalkan untuk 3 kali minum selama 6-8 hari. Bagi kegunaan kaum lelaki yang ada msaalah sakit buah zakar dan saluran seperma tersumbat boleh diambil rumput siku-siku (rumput mutiara) segar 30 g kemudian direbus dengan 2 gelas air hingga menjadi 1 gelas. Setelah air rebusan sejuk boleh diminum 3 kali sehari selama 3-4 minggu. Seterusnya adalah kehebatan rumput ini merawat gigitan ular atau tersiram air panas. Caranya dengan ambil daun rumput ini dan dilumatkan kemudian ditampalkan pada bahagian yang sakit sehingga sembuh. Jika ada yang tersiram air panas boleh dirawat dengan mengambil seluruh bahagian rumput siku-siku secukupnya direbus dalam air selama beberapa minit dimana air rebusan tadi digunakan untuk mencuci bahagian yang tersiram air panas sehingga sembuh dan kurang sakit. Apa-apa pun saya fikir adalah dinasihatkan berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Wasallam!.


RUMPUT SIKU-SIKU...IA MUTIARA...
TUMBUH LIAR... MERATA-MERATA..
CIRI MARFOLOGI... AMAT KETARA...
WALAU RUMPUT...BANYAK GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
W.P., Putrajaya,
Malaysia.
(22 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...