Support My Blog

Saturday, May 31, 2014

EL-NINO : KESAN KEPADA SAWIT

FENOMENA El Nino yang dijangka berlaku dari JUN hingga OGOS 2014 dijangka akan memberi kesan kepada sektor pertanian negara termasuk untuk tanaman buah-buahan, sayuran serta tanaman industri seperti kelapa sawit. Tinjauan persendirian penulis mendapati kejadian El-Nino sebenarnya telah berlaku daripada bulan Febuari hingga Mac 2014. Ini dilihat semasa lawatan penulis pada minggu ke tiga Mac 2014 di Johor bersama Dr Joo Baek Lee (Pakar Korea) di Ladang Jambu Batu di Tangkak, Kelompok Sayur Bt 19, Sengkang dan Ladang Sayur Yongkah di Machap, Johor. Beberapa petani di Kg Solok menyatakan sudah dua bulan lebih tidak hujan menyebabkan kolam dan semua parit kering dimana buah dan bunga jambu tejejas penghasilannya sehingga 10-15% kerana saiz buah kecil dan ringan. Penanaman sayur daun oleh petani di Bt 19 Sengkang juga terhenti dibeberapa plot kerana tiada air termasuklah di kebun Tan Soo Tiok iaitu Pengerusi Persatuan Penanam Sayur Malaysia. Katanya kehilangan hasil sayur-sayuran ditanah gambut yang dialami melebihi 20%. Pengurus Ladang Sayur Yongkah Sdn Bhd pula menunjukkan kolam seluas 1.5 ekar diladang telah kering dan syarikat terpaksa membeli air dengan lori tangki untuk menyiram sayur jenis daun seperti sawi, bayam dan kangkong. Dalam kes kelapa sawit, diantara kesannya adalah dijangka pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 2015 dan tahun berkurangan jika El-Nino berlaku dalam tempoh masa ber­larutan untuk tempoh yang panjang. Pemehatian yang saya lakukan di seluruh negara mendapati kesan sebenar mungkin tidak begitu serius jika tidak dibuat kajian terperinci. Lazimnya saya dapati keadaan cuaca kering tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran buah tandan segar (BTS) dalam masa terdekat. Didapati buat masa ini contohnya Syarikat Tabung Haji Plantation (THP) mencatat 23.86 tan metrik per hektar bagi pengeluaran BTS dan merupakan pencapaian terbaik bagi syarikat perladangan tersebut. Kini THP mempunyai 52,000 hektar kawasan perladangan di Sarawak yang mampu untuk mengeluarkan 44 peratus hasil sawit daripada keseluruhan hasil MSM. Cuaca panas kering tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran BTS tetapi sekiranya berlanjutan dalam tempoh yang panjang, pengeluaran MSM akan terjejas di antara 10 hingga 15 peratus terutama pada 2015 dan 2016. Anggaran kehilangan hasil yang dinyatakan oleh Jabatan Pertanian (tidak rasmi) adalah sekitar 10-15% sahaja bergantung kepada jangkamasa kejadian El-Nino. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kesan El-nino terhadap tanaman kelapa sawit berdasarkan beberapa laporan akhbar dan kenyataan pengurus estet di Malaysia.


Fenomena El Nino yang mengakibatkan peningkatan suhu dan kekurangan taburan hujan berkemungkinan besar melanda dunia pada pertengahan tahun ini yang dijangka bermula antara Jun dan Ogos 2014. Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan berkurangan terutama di Sabah dan Sarawak selain mengakibatkan cuaca menjadi lebih panas dan kering. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, THP mencatat perolehan sebanyak RM470 juta, meningkat 25 peratus berbanding RM376 juta bagi tahun sebelumnya. THP kini telah menyasarkan untuk mencapai 1.3 juta tan metrik pengeluaran BTS menjelang 2017. Bank tanah THP juga meningkat tujuh kali ganda kepada 109,000 hektar dengan pengambilalihan PT Persada Kencana Prima awal tahun ini. THP memperuntukkan sebanyak RM105 juta bagi perbelanjaan modal (ca­pex) untuk pembangunan kilang pemprosesan buah sawit di Sarawak yang menampung kapasiti pengeluaran 324,000 tan metrik, dijangka siap penghujung 2015. Setakat ini, THP mempunyai tujuh kilang minyak sawit yang dapat menampung kapasiti pengeluaran sebanyak 1.35 juta tan metrik setiap tahun.


Bagi tanaman kelapa sawit yang ditanam dikawasan tanah gambut, penulis mendapati kesan El-Nino adalah lebih serius jika dibandingkan dengan tanaman kelapa sawit pada tanah mineral. Cuaca panas dengan tiada hujan menyebabkan sering berlaku kebakaran pada tanah gambut dengan mudah. Ini disebabkan ranting dan rumput yang tumbuh diatas tanah gambut sangat kering dan mudah terbakar sendiri yang menyebabkan pokok kelapa sawit mudah terbakar kerana tanah disekelilingnya terbakar (Sila lihat foto sebelah). Kebakaran pada tanah gambut amat sukar untuk dipadamkan kerana ia terbakar pada bahagian bawah tanah. Kalau pun kelapa sawit ditanam pada tanah gambur cetek, kesannya terhadap pengeluaran hasil amat ketara beberapa bulan kemudian. Tumbuhan ini mempunyai jeni  akar serabut yang cetek dan kekurangan air menyebabkan pembentukan buah dan pengisian yang rendah kadarnya. Langkah perlu oleh pengurus-pengurus estet dalam beberapa bulan ini penting untuk mengatasi masaalah El-Nino yang dijangka melanda Malaysia dan beberapa negara jiran. Pembersihan kawasan dari rumpai, penggalian parit-parit sempadan dan menyediakan kemudahan pemadaman api perlu dirancang dengan baik. Dianggarkan antara 10 - 15% hasil kelapa sawit akan berkurangan jika el-nino melanda negara kita tahun 2014 ini berdasarkan kajian oleh Pasukan Khas di Jabatan Pertanian Malaysia. Semuga artikel ini dapat menambah ilmu pengetahuan anda. Wasallam!.


EL-NINO... PANAS DAN KERING...
KURANG HUJAN...TANAH GERSANG...
HASIL TANAMAN... IA BERKURANG...
BERSEDIA...MACAM BERPERANG...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Kelapa Sawit,
Parit Sikom, Pontian,
Johor, Malaysia.
(30 Rejab 1435H)

Friday, May 30, 2014

IKAN HARUAN - POTENSINYA

IKAN HARUAN (Channa striatus) merupakan sejenis ikan air tawar atau spesis ikan yang suka menyendiri dimana ia sering memilih kawasan habitat berpaya, parit atau sawah padi sebagai perumah. Ikan ini juga amat mudah dikesan terutama di kawasan semak yang berair cetek dimana kita boleh menangkapnya dengan memancing, menjala, menjaring atau cara lain. Ikan haruan adalah jenis pemangsa (carnivor) yang memakan haiwan lain seperti anak-anak ikan, katak, serangga dan sebagainya. Ia selalunya mampu bersembunyi dikawasan lubuknya tanpa di ketahui oleh mangsanya dan bergerak pantas menangkap mangsa untuk makan. Walau pun ramai berkata yang ikan ini hanya popular bagi kaum Cina dahulu, tetapi kini ia telah dikenalpasti amat sesuai digunakan khususnya dalam bidang perubatan. Popularitinya meningkat naik berikutan hasil penyelidikan saintis yang mendapati dagingnya mengandungi sejenis Asid dikenali sebagai Asid arachidonis yang dikatakan mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat. Khasiatnya juga berkait dimana ia amat kaya dengan kandungan protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan. Artikel malam ini saya menulis satu lagi cetusan minda didalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi ikan haruan bagi kita menjadikan sumber pendapatan baik dengan cara menternak atau memburunya dalam lubuk ikan haruan yang ada dimana-mana.

Pemakanan ikan haruan seperti saya katakan tadi telah dikelaskan sebagai ikan jenis karnivor. Makanan utama ialah anak-anak ikan kecil, anak katak, udang dan juga cacing. Pengalaman saya yang pernah memancing ikan haruan ketika memburu mendapati ikan ini sering menyelinap di celah rumput tebal dan akan terus mendiamkan diri sebelum menyerang mangsa. Selalunya kami akan menggunakan umpan hidup seperti cicak, anak ikan, katak kecil yang diikat pada mata kail yang bergerak-gerak diatas permukaan air. Apabila ikan haruan nampak mangsanya, ia akan menyambar umpan dan mata kail dengan mulut yang besar kedalam mulutnya dan apa yang paling menarik, adalah ikan haruan hanya memakan umpan hidup dan jarang menyambar umpan mati yang tidak bergerak. Selalunya ia telan semua umpan sehingga masuk kedalam perut dan jarang sekali akan terlepas semula. Kalau terlepas disebabkan tali kail putus akibat hebat rentapan yang kuat atau pun disebabkan oleh ikatan mata kail terlucut.

Pemerhatian penulis mendapati habitat dan taburan ikan haruan ada dan sesuai pada air tawar yang agak tenang dengan keseimbangan pH7 iaitu tahap air paling sesuai baginya. Ini bermakna, ada berapa laporan mengatakan ia lebih selesa berada pada tahap air sedikit masam bercampur kelat (Sila lihat foto sebelah). Ikan Haruan memang saya dapati tidak suka berada di kawasan yang terdedah matahari. Justeru, ia lebih gemar untuk bersembunyi di tempat teduh dan terlindung. Tidak hairan jika ia lebih selesa berada di kawasan bersuhu sejuk dengan suhu air sekitar 26 darjah celsius seperti didalam lubuk sawah padi yang tenang airnya agar ia dapat mengesan gegaran atau pergerakan dilakukan oleh mangsanya. Ikan ini dikatakan mampu membesar sehingga 25 centimeter panjang dengan kadar berat mencecah lebih 1 kilogram seekor. Di negara Asia pula taburannya adalah agak menyeluruh. Ia boleh didapati dengan mudah di negara seperti di India, Pakistan, Bangladesh, Lembangan Sungai Mekong, Chao Phraya, Sumatera serta Kepulauan Jawa selain di Malaysia.

Dalam penulis membuat rujukkan dari beberapa sumber di Malaysia yang dilaporkan oleh pemancing ikan haruan bahawa ikan haruan banyak berada di kawasan seperti di Pahang yang banyak mempunyai lubuk. Ikan ini banyak menghuni kawasan anak sungai di kawasan pendalaman, terutama di Jerantut, Lipis, Rompin, dan Kuantan (Sila lihat lubuk disebelah). Kawasan lain yang mempunyai lubuk seperti ini pastinya memang ada ikan haruan tinggal. Orang Melaka memang suka mengail ikan haruan dan ikan sepat dalam parit dan lubuk dekat di sawah padi. Ikan Haruan sering menjadi buruan ramai berikutan ia mempunyai nilai komersial dan khasiat perubatan. Bagi menjamin sumber terus berkekalan, kaedah pemburuan secara berhemah perlu diterapkan. Kaedah menangkap yang boleh mengurangkan populasi haruan adalah dengan menggunakan renjatan eletrik, racun, tuba atau bahan letupan memang dilarang. Kaedah buruk ini terus menyumbang kepupusan baka ikan itu bahkan memusnahkan ekosistem sama sekali.

Selain daripada dibuat sup, ikan haruan yang didakwa membantu mempercepatkan luka dalaman, ia juga boleh dimasak pelbagai cara. Bagi orang Melayu, haruan masak lemak cili api bercampur daun kesom begitu digemari. Begitu juga penulis amat suka ikan haruan goreng berkunyit. Bagi masyarakat Cina, sup ikan haruan bercampur rempah perubatan dan haruan kukus amat popular. Di negara Filipina sup ikan haruan amat popular dimana saya dapati hidangan ini telah menjadi menu utama di hotel-hotel dan juga kedai makanan sekitar Manila dan juga pekan Los Banos berhampiran tasik Laguna. Semasa saya berkursus di UPLB, Los Banos, Manila yang letaknya berhampiran dengan tasek, hampir setiap beberapa hari mereka akan menghidangkan menu berasaskan ikan haruan berganti dengan ikan tilapia hitam. Malah, pelanggan boleh memilih haruan hidup mengikut saiz yang kehendaki untuk sajian. Di Thailand, kek ikan haruan berjaya dikomersialkan. Adunan kek bercampur dengan isi haruan itu memang mendapat permintaan tinggi penduduk di sana. Sesetengah pengamal perubatan tradisional juga percaya menelan anak ikan haruan hidup yang masih merah mampu menyembuhkan penyakit selain membantu menguatkan pengaliran darah. Begitulah hebatnya potensi ikan haruan dalam masyarakat Asia Tenggara. Wasallam.!


IKAN HARUAN... HEBAT CERITA...
SEMAKIN MAHAL...TAHU KENAPA...
IA PUPUS... ANGKARA MANUSIA...
PERLU DITERNAK...BAGAIMANA...

By,
M Anem,
Senior Agrolgist,
Tasek Temenggor,
Daerah Hulu Perak,
Perak, Malaysia.
(20 Jamadilakhir 1435H)

Thursday, May 29, 2014

KUMBANG TANDUK - KAWALAN

KUMBANG TANDUK (Chalcosoma atlas) atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Atlas Beetle merupakan sejenis kumbang yang terdapat di Malaysia. Kumbang ini juga dipanggil sebagai Kumbang Badak berdasarkan kepada struktur tanduknya seperti haiwan Badak Sumbu (Sila lihat foto diatas). Kumbang ini dikenalpasti sebagai perosak kepada tanaman seperti Kelapa, Kelapa Sawit, Nipah, Pinang, Nibong dan semua jenis tanaman ornamental daripada Palmae. Serangan kumbang ini selalu berlaku dalam keadaan terpencil dan terkawal dalam kawasan terpencil sahaja. Ia lazimnya seimbang dengan ekosistem semulajadi seperti penyakit dan musuh semulajadi kumbang ini. Penulis masih ingat ketika zaman kanak-kanak dahulu apabila menjumpai kumbang ini dikawasan kampong, kami akan mengikat dengan benang untuk mempastikan ianya tidak terbang dan kami boleh bermain dalam masa lama. Bentuknya yang menarik serta warnanya yang hitam berkilat membuatkan ramai rakan-rakan amat suka jenis kumbang ini. Selain daripada merosakkan jenis tanaman kelapa, belum banyak laporan kerosakkan yang dilakukan oleh kumbang tanduk. Sementara menunggu airport transfer daripada hotel ke Schipol airport tengahari ini, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Kumbang Tanduk atau Kumbang Badak untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan kepada anda semua. 


Daripada penelitian dan pemerhatian penulis, lazimnya kumbang dewasa akan menyerang dengan mengorek bahagian tisu lembut pada pucuk pokok kelapa. Projek tanaman kelapa matag yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian di Johor, Perak dan Selangor semenjak 10 tahun dulu dilaporkan mengalami masaalah serangan kumbang tanduk yang menyerang anak pokok kelapa matag yang baru ditanam. Jika pelepah muda dimana daunnya belum terbuka, maka tanda serangan akan kelihatan bentuk daun yang keluar seperti kipas bila daunnya membesar dan terbuka (Sila lihat foto disebelah). Sebenarnya apa yang berlaku adalah kumbang tanduk yang masuk kedalam pucuk pokok kelapa akan makan kedua belah daun pada bahagian pelepah yang diserang. Terdapat juga dilaporkan dimana kadang-kadang kumbang ini juga akan menyeran bahagian tisu lembut pada buah kelapa.


Kitaran kumbang tanduk perlu kita fahami sebelum meneruskan perbincangan ini (Sila rujuk rajah diatas). Kitaran hidup diperingkat telur selama 11-13 hari sahaja sebelum ia menetas dan menjadi larva. Telurnya adalah kecil, berukuran 3.0 mm yang berbentuk oval dan berwarna putih. Peringkat larva adalah selama 80-90 hari dimana ia mempunyai ukuran panjang badan sekitar 80-100 cm dengan lebar sekitar 25 mm. Pada peringkat ini ia berwarna kekuningan sedikit. Kemudian ia menjadi pupa selama 19-27 hari dimana saiznya sekitar 50 cm panjang dan lebarnya 2.0-2.5 mm dan ia berwarna perang kekuningan. Peringkat yang kita sering lihat dan suka adalah peringkat dewasa selama 30 - 60 hari. Saiz dewasa sekitar 35-50 cm panjang dan 20-23 cm lebar dengan warna yang perang tua atau hitam berkilat. Peringkat dewasa ini merupakan peringkat dimana ia mempunyai struktur lengkat seperti kaki, tanduk dan sebagainya.


Kawalan perosak kumbang tanduk dapat dilakukan apabila kita sering membuat pemeriksaan terutama dikawasan tanaman kelapa baru atau pokok muda. Sanitasi ladang kelapa semasa menyediakan kawasan amat penting dimana semua batang kelapa perlu dihapuskan agar tidak menjadi tempat pembiakan kumbang ini. Periksa pokok kelapa muda dengan lebih kerap dan jika terjumpa lubang kubang maka kita boleh cungkil larvanya keluar dan musnahkan. bagi mengurangkan kawasan pembiakan kubang tanduk, sebaiknya kita tanam rumput kacang penutup bumi bagi mengelakkan ia membiak pada batang kelapa yang sedang reput. Dilaporkan kawalan secara biologi oleh sejenis penyengat iaitu Scolia spp. merupakan musuh semulajadi kumbang. Selain itu kulat jenis Metarhizium spp juga menjadi musuh semulajadi kumbang ini. bagi mengawal populasi kumbang tanduk, kita boleh buat perangkap (Beetle breeding ground) dengan mencampurkan tinja ayam dengan tinja lembu dimana jika ia bertelu dan menjadi larva kita boleh musnahkan secara mekanikal atau gunakan racun sesuai. 


Kawalan menggunakan perangkap feromon juga lazim dilakukan untuk mengawal kumbang tanduk. Bahan feromon yang digunakan adalah 'Rhinoceros beetle pheromone'. Feromon ini dipasang dengan kadar 1 perangkap untuk setiap 2 hektar. Bau ini akan menarik kumbang jantan dan ia akan terbang masuk dalam baldi atau PVC yang dipasang dan kemudian kumbang tersebut dimusnahkan (Sila lihat foto sebelah). Kawalan yang juga sering dilakukan adalah dengan menggunakan racun kimia. Kaedah ini dilakukan sekiranya pasti ada serang dengan bahan Gamma BHC 6.5% dengan 9 bahagian serbuk papan dan ditabur dicelah-celah pucuk pokok kelapa. Kaedah lain adalah semburan racun Cypermethrin pada bahagian pucuk daun kelapa yang dilakukan mengikut arahan pada label. Kawalan kumbang tanduk dilakukan bagi mengurangkan risiko serangan yang boleh memusnahkan tanaman. Sekian. Wasallam!.


   
KUMBANG TANDUK...IA BADAK...
WARNA HITAM...KILAT TANDUK..
BILA JALAN...LAMBAT GERAK...
PERLU LIHAT... JANGAN GELAK...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 217, Westcord Art 3 Star Hotel,
Spaarndemdjik, Amsterdam,
Natherlands.
(11 Mei 2014)
Trip 2 weeks to Europe.

Wednesday, May 28, 2014

IKAN SELAR

IKAN SELAR atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'Yellowtail scad' adalah sejenis spesies ikan sering dijual dan dimakan dimana ia banyak terdapat di pesisir pantai dalam famili Carangidae. Di Malaysia dan Indonesia 'Selar' adalah nama yang diberikan kepada beberapa jenis ikan pelagis yang mempunyai banyak jenis. Penulis dapati daripada beberapa rujukkan menunjukkan Ikan selar banyak jenis seperti Selar Papan (Alepes vari), Selar Jalu-jalu (Selar boops), Selar Como (Atule mate), Selar Batang (Alepes keini), Selar Bulat (Alepes djedaba), Selar Bentong (Selar crumenopanthaimus), Selar Kuning (Selaroides leptoiepes), Selar Ubur-ubur (Alepes melanoptera) dan Selar Tengkek (Megalapis cordyla). Ikan selar ini tetap diklasifikasikan sebagai ikan selar ketika kita membelinya dipasar dengan harga yang mampu kita beli iaitu sederhana murah dipasaran. Lazimnya ikan selar menjadi pilihan penduduk tempatan kerana ia bersaiz kecil, murah dan sesuai untuk dihidangkan kepada ahli keluarga besar yang mempunyai ramai bilangan. Paling saya kenal dalam banyak jenis ikan selar adalah jenis Ikan Selar Papan yang mudah dikenali dengan bentuknya. Selain itu ikan selar kuning juga mudah dikenali kerana ada jalur kekuningan pada kulitnya. Ikan selar juga merupakan antara jenis ikan yang banyak dijumpai di laur Asia Tenggara untuk dijadikan sumber protin yang penting semanjak dahulu kala. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis maklumat mengenai ikan selar untuk dijadikan info bagi bacaan pembaca blog "Anim Agro Technology" demi menambahkan ilmu pengetahuan kita.


Ikan selar tergolong ikan pelagis yang hidup secara berkumpulan atau ber gerombol dalam laut (Schooling). Penulis mendapati ketika memancing ikan ini di sekitar Pulau Tinggi Mersing, memang seronok apabila aktiviti menangkap ikan ini dengan mudah dapat banyak. Ikan Selar adalah dari kerabat dengan ikan pelagis lainnya seperti golongan famili Scombridae dan Clupidae. Saya dapati bentuk badan ikan selar (Caranx leptolepis) adalah lebih kecil daripada ikan selar yang lain. Ikan selar didapati memiliki ciri-ciri morfologi seperti ia memiliki finlet berjumlah 5-7, saiz panjang maksimum adalah 22 cm dan panjang purata adalah 15 cm. Ikan kecil ini mempunyai berat maksim sekitar 625 gram seekor dan lazimnya dalam satu kelompok akan mempunyai saiz yang hampir serupa. Ia mempunyai bentuk badan yang pipih agak lonjong dan memanjang dimana terdapat sirip punggung dan sirip dubur tanpa sirip tambahan. Pemerhatian penulis juga mendapati memang tidak terdapat gigi pada rahang atas. Lazimnya ia mempunyai jenis sisik yang menebal relatif besar. Pada sesetengah jenis lazimnya terdapat satu garis kuning lebar dari pinggiran bagian atas mata ke batang ekor. Pada operkulum bahagian atas terdapat bintik hitam terang. Ikan selar kuning termasuk ikan laut perenang cepat dan kuat.


Harga ikan selar dan kembung di pasar borong hanya RM6 sekilogram tetapi apabila sampai di peringkat runcit harganya naik sehingga berbelas ringgit sekilogram. Tinjauan penulis di Pasar Borong Selangor mendapati harga runcit ikan ini diantara RM 6.00 - RM 16.00 sekilogram bergantung kepada kualiti dan musim. Selalunya jika ikan selar berharga mahal dimana ada peruncit yang menggunakan alasan kehabisan stok untuk menaikkan harga ikan ini di pasaran. Biasanya peruncit ini mereka akan beli dalam kuantiti yang sedikit misalnya ikan dari beberapa jenis, sotong dan udang masing-masing hanya dibeli sebanyak 10 kilogram (kg) daripada pemborong kemudian apabila sampai di peringkat pengguna, mereka akan memberi alasan ikan kehabisan stok untuk mengambil kesempatan menaikkan harga. Pengguna yang tidak tahu hal sebenar terpaksa akur dengan harga tinggi yang dijual oleh peruncit, padahal ikan di pasar borong masih banyak dan mencukupi.


Ikan selar sering dimakan dalam pelbagai jenis hidangan. Ia paling biasa disediakan dengan menggoreng sahaja untuk dimakan dengan nasi putih (Sila lihat foto sebelah). Ikan selar juga digoreng dan dijadikan ikan goreng masak sambal, ikan goreng masak kicap, ikan goreng masak taucu serta beberapa resepi lagi. Ikan ini juga sering dimasak kari dengan pelbagai jenama kari yang digunakan. Kalau di sebelah utara Semenanjung ia dimasak kari yang rasanya lebih pekat dan pedas berbanding dengan sebelah selatan. Pada restoran Nasi Kandar juga ikan ini sering dihidangkan sebagai satu juadah yang menarik ramai peminat. Ikan Selar Masak Pindang juga menjadi pilihan ramai surirumah dalam mempelbagaikan hidangan (Sila lihat foto dibawah). Ikan selar juga sering dimasak sebagan Masak Lemak Cili Padi atau Masak Lemak Ikan Selar yang memang menyelerakan sekali. Bagaimana pun antara hidangan berasaskan ikan selar yang paling popular adalah ikan goreng masak sambal pedas. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca blog "Anim Agro Technology" pada kali ini. Wasallam!



IKAN SELAR.... LAUT ASALNYA...
SELAR PAPAN.... POPULARNYA...
BANYAK DIJUAL...SESUAI HARGA...
ENAK DIGORENG...PILIH RESEPINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1407, Hotel Ipoh City,
Jalan Dass, Ipoh,
Perak, Malaysia.
(16 JamadilAkhir 1435H) 

Tuesday, May 27, 2014

AYAM BELANDA

AYAM BELANDA (Turkey birds) merupakan sejenis ayam dari keluarga burung yang diberi nama saintifik sebagai Meleagris gallopavo (Wild turkeys) iaitu dari keluarga Phasianidae. Kita di Malaysia amat kurang dapat lihat ayam belanda ini diternak secara besar-besaran seperti ayan daging dan ayam telur. Ayam belanda ini ada dua spesis dan dipercayai natif dari benua Amerika Utara (M. gallopavo) tetapi spesis M. ocellata berasal dari kawasan Amerika Tengah. Negara-negara Barat dan Amerika bagaimana pun kini menternak ayam ini secara komersil dan dijadikan hidangan utama didalam makanan mereka sehingga ada gearan khas terhadap makanan yang berasaskan ayam belanda ini atau 'Turkey'. Saya kurang pasti nama 'Ayam Belanda' ini di berikan di negara kita kerana ia berkemungkinan saiz ayam yang besar dengan muka juga besar macam orang belanda yang pernah menakluk Melaka dahulu atau memenag orang belanda yang mula-mula bawa masuk ke sini. Selain dipanggil sebagai ayam belanda, ayam ini juga glamour dengan nama lain iaitu 'Ayam Piru'. Ayam Belanda ialah haiwan yang tergolong dalam golongan kelas burung. Ayam Belanda ialah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Paruh Ayam Belanda tidak bergigi.. Bulunya mempunyai pelbagai warna. Bergantung kepada spesis dan baka. Daripada pembacaan mendapati beberana jenis baka ayam belanda adalah seperti 'Eastern Wild Turkey', 'Osceola-Florida Wild Turkey', 'Rio Grande Wild Turkey', 'Merriam's Wild Turkey', 'Gould's wild turkey' dan 'Ocellated Wild Turkey'. Saya kurang kenal akan spesis tersebut tetapi anda boleh layari internet untuk lihat fotonya. Artikel petang Rabu ini sambil cuti rehat hari raya ke 6 , saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ayam belanda yang agak kurang popular di Malaysia.


Menternak ayam belanda di Malaysia sesuai dibuat dalam Reban yang dibuat khusus untuk ayam belanda. Iklim panas lembab sepanjang tahun perlukan reban yang mempunyai atap sama ada diatas tanah atau mempunyai lantai kayu. Selalunya pada musim hujan kita kena pastikan perumah sentiasa kering dengan sistem saliran yang baik. Adalah disyorkan agar bahagian lantai disembur (spray) dengan larutan kimia (Disinfection) untuk mengelak jangkitan bakteria. Lazimnya patogen seperti bakteria mudah merebak dalam keadaan lembab. Semasa pembinaan reban disyorkan agar ia dibina jenis reban yang kalis nyamuk. Ini dilaksanakan dengan menggunakan jaring halus atau kelambu. Kesan gigitan nyamuk pada ayam belanda akan menyebabkan ia diserang penyakit dan mudah merebak sebarang bakteria dimana ayam belanda akan digigit dibahagian kepala atau leher yang tidak mempunyai bulu. Reban perlu dibersihkan setiap hari kerana gas ammonia dari najis ayam boleh akibatkan penyakit pneumonia. Bagi menjada keselamatan ternakan ayam belanda, kuta perlu pasang pagar Kawasan Reban bagi mengelakkan Anjing liar dan Musang yang akan menyerang pada malam hari.


Ayam Belanda Mengawan
Pembiakan ayam belanda seperti jenis ayam lain boleh dibiakkan dalam dua cara sama ada biar ayam belanda mengeram sendiri atau kita perlu menggunakan Alat Pengeraman Letrik (incubator). Laporan menunjukkan amalan di USA dan Eropah teknik permanian berhadas seperti cara pembiakan untuk haiwan lembu di gunapakai bagi mensenyawakan benih jantan kedalam betina untuk mendapatkan baka dan hasil yang optimum. Bagaimana pun di Malaysia kaedah mengawan semulajadi di gunapakai iaitu ayam belnda berkahwin sendiri ini adalah kerana permintaan ayam belanda adalah bermusim dan ayam belanda bebas mengawan untuk menghasilkan telur secara semulajadi (Lihat foto sebelah). Kita jarang menjadikan ayam belanda sebagai menu harian seperti ayam daging yang purata pengeluarannya mencecah sehingga sebanyak 32 juta ekor sebulan. Penternak cuma perlu membeli anak ayam belanda yang berumur 1 – 15 hari dari pembekal sedia ada (Kena cari dimana) dan perlu memberi perhatian lebih kerana ianya menentukan masa depan ayam itu. Sebab itulah untuk sesiapa yang baru nak belajar-belajar, beli anak ayam yang berusia 15 hari ke atas untuk mengurangkan risiko kematian dan kerugian.


Pengurusan Ternakan ayam Belanda bermula pada umur 1 Hari hingga 2 minggu dimana anak ayam perlu dipelihara dalam kotak khas (brooder) yang dibekalkan mentol sebagai pemanas (Lihat foto sebelah). Suhu boleh dikawal menggunakan thermostat bagi menjimatkan tenaga elektrik. Peringkat permulaan (starter crumble) perlu diberi makanan permulaan. Ayam Belanda dari umur sehari sehingga 3 minggu diberikan bekalan air yang secukupnya. Peringkat ini pastikan ada jaring anti nyamuk di pasang sekeliling brooder bagi mengelakkan penyakit puru dan lain2 lagi. Apabila ternakan berumur 2 minggu hingga 4 minggu maka anak ayam sudah boleh tidak diberikan lampu lagi. Makanan ayam seperti dedak halus dicampur jagung halus sudah boleh di berikan beransur-ansur. Ia kemudian boleh di pindahkan dari brooder ke reban didik bagi menjaga kebersihan. Satu amalan yang sesuai dibuat adalah dengan menyembur larutan EM di najis bagi mengelakkan pembiakan lalat dan amonia. Apabila mencapai umur 2 bulan maka anak ayam sudah boleh diturunkan ke atas tanah secara beransur-ansur dan diberi makan dedak kasar. Pada masa ini lebihan makanan dan rumput napier boleh diberikan kepada Ayam belanda ini supaya isinya kental dan sihat. sebaiknya kita perlu mengelakkan memberikan makanan lebih yang mengandungi minyak.


Makanan Ayam belanda ada beberapa peringkat dari Peringkat Ppermulaan (starter crumble) perlu mengandungi 19 – 22 %. Antara jenis makanan adalah keluaran CP iaitu makanan permulaan adalah untuk anak Ayam Belanda umur sehari sehingga 3 minggu. Kemudak peringkat seterusnya adalah Makanan untuk proses pembesaran ayam belanda (finisher pellet) yang lazimnya mesti mengandungi 16- 18 %. Makan jenis ini (CP makanan pembesar) adalah untuk peringkat 4 minggu sehingga ayam belanda mempunyai saiz yang sesuai untuk di jual. Beberapa cara lain yang boleh diamalkan adalah dengan memberikan jagung halus yang boleh dicampurkan dengan makanan komersil. Kaedah ini adalah untuk menjimatkan kos pembelian makanan. Bekalan aair dan pemeriksaan ayam belanda perlu dijalankan mengikut jadual untuk mempastikan ianya dapat dijual pada tarikh sesuai. Kelewatan proses pembesaran dan jualan akan menjejaskan pendapatan penternak.


Ayam belanda mempunyai daging yang banyak dimana ia dijual sekitar RM 30.00 - RM 35.00 seekor disekitar Kuala Lumpur atas permintaan (Lihat foto sebelah). Harganya bagi seekor hampir dua kali ganda daripada ayam daging dan 3 kali ganda daripada ayam pencen (Ayam telur tua). Kalau di negara barat ayam belanda ini adalah hidangan istimewa pada 'Hari Thanksgiving', kita di Malaysia boleh masak ayam belanda dengan berbagai menu dan resepi. Selain daripada dipangang berempah (roasted), kita boleh juga masak rendang, goreng berempah, dibuat sate, masak kari, buat sup ayam, soto dan banyak lagi. Dagingnya yang agak kental dari ayam daging memang enak dimakan begitu sahaja atau dengan roti dan nasi putih. Selamat membeli ayam belanda dan kepada mereka yang berminat untuk menternak ayam belanda boleh berkursus dengan JPV - Jabatan Perkhidmatan Verterinar atau usahawan sedia ada dilapangan.
Wasallam!.

Hidangan seekor ayam belanda panggang.
NAMA POPULAR... AYAM BELANDA...
DISEBUT 'TURKEY'... BESAR SAIZNYA...
DAGING ENAK... DIPANGGANG SAHAJA...
DIMANA NAK CARI... BERAPA HARGA...

By,

M Anem
Senior Agronomist,
The Mines Resort,
Sri Kembangan, 
Selangor,
Malaysia.
(7 Syawal 1434H)

Monday, May 26, 2014

JIHAD PERANGI ORANG TENGAH

Isu dan Masalah orang tengah (middle man) yang dikatakan menindas nelayan dan petani bukanlah satu isu yang baru malah telah berakar umbi sekian lama di dalam masyarakat tempatan. Orang tengah atau peraih ikan yang menguasai rantaian ini lazimnya memang akan melalui manipulasi harga, timbangan dan bekalan input telah membuatkan sebahagian besar nelayan terikat dengan hutang yang panjang. Keujudan orang tengah dan peranannya amat diperlukan dalam sistem rantaian bekalan mekanan daripada pengeluar sehingga pengguna melibatkan banyak peringkat dan laluan. Memang semua tahu yang kebanyakan produk pertanian adalah mudah rosak (perishable product) yang perlukan sistem kendalian cekap dan cepat demi menjamin produk tersebut dibeli dan dimakan oleh pengguna dalam keadaan segar dan berkualiti. Selalunya semua produk ikan dan sayur-sayuran segar perlu di buat pemilihan dahulu diladang sebelum dikumpulkan dalam Pusat Pengumpulan Hasil dan dihantar kepada pemborong (Mereka ini dikatakan kumpulan orang tengah yang dimaksudkan). Pemborong akan membuat penyusunan semula produk tersebut mengikut gred dan menentukan destinasi penghantaran yang lazimnya sebahagian besar adalah kepada Pasar Borong (sebagai contoh Pasar Borong Selangor di Puchong atau Pasar Borong DBKL di Selayang). Setibanya dipasar borong maka mereka akan membuat agihan kepada pemborong lain atau terus kepada peruncit dipasar basah, pasaraya atau pasar malam untuk dijual runcit kepada pengguna. Risiko yang perlu diambil oleh orang tengah ini bagi pengedaran barangan makanan mudah rosak seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan tertentu memang agak tinggi bergantung kepada sistem pengendalian yang mereka ada. Jika mereka mempunyai kelengkapan canggih seperti lori sejuk, bilik sejuk dengan jarak perjalanan yang tidak jauh maka ianya akan menjamin kualiti produk tersebut. Bagaimana pun ada dikalangan orang tengah yang akan membuat cara urusniaga dengan kadar manipulasi dan untung berlebihan menyebabkan petani dan nelayan mendapat harga jualan murah diperingkat ladang atau dijeti pendaratan ikan. Amat wajar kempen jihad memerangi orang tengah dijalankan bagi mereka yang mengambil keuntungan berlebihan ini di adakan demi menjaga kebajikan pengeluar dan juga penggguna. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa penjelasan mengenai Kempen Jihad Memerangi Orang Tengah (Ringkasnya JMOT) selepas membaca akhbar Mingguan Malaysia iaitu selepas program pelancaran kempen oleh menteri pertanian.

Daripada pemerhatian yang saya jalankan, lazimnya aktiviti-aktiviti orang tengah adalah penting peranannya tetapi ada yang semakin berleluasa dalam menipulasi harga. Kesan dari tindakan tersebut inilah yang boleh juga
mengakibatkan nelayan dan petani akan hidup dalam kerugian kerana mereka hanya akan memperolehi keuntungan yang kecil dan kebergantungan yang tinggi terhadap orang tengah. Akhirnya maka para petani dan nelayan tidak dapat lari dari cengkaman orang tengah. Dalam beberapa kes yang saya buat kajian, orang tengah akan memberikan harga baik kepada peserta projek TKPM pada peringkat awal pengeluaran hasil sayur tetapi hatga akan turun semasa pengeluaran maksima (highest farm yield production) bagaimana pun masih tertakluk kepada sumber bekalan dan cuaca serta tahap pengurusan tanaman. Saya melihat isu ini adalah amat serius dan perlu ditangani dengan segera demi membela nasib nelayan-nelayan dan petani yang menjadi mungkin telah mangsa penindasan orang tengah. Kini kementerian pertanian telah mendapati isu ini harus ditangani dengan segera kerana ia telah berakar umbi sejak sekian lama. Pada saya juga peranan orang tengah adalah sangat 'significan' dalam sistem rantaian nilai makanan. Peranan Orang Tengah perlu di kawal agar kedua-dua pihak mendapat faedah bersama iaitu nelayan dan petani menggandakan lagi tahap pengeluaran.


Kempen JMOT iaitu satu model akan diperkenalkan di mana ianya akan juga membolehkan para nelayan dan petani di seluruh negara menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan akan mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa penindasan orang tengah. Pelaksanaan model yang akan mengurangkan peranan orang tengah ini adalah seperti berikut di mana LKIM, Persatuan Nelayan, PPK dan FAMA yang akan melaksanakan projek pemasaran ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang merupakan salah satu kaedah jihad memerangi orang tengah melalui jualan terus hasil pertanian mereka. Bagaimana pun kemudahan prasarana, sistem dalam pengangkutan, modal insan dan jaminan harga diperlukan bagi menjayakan JMOT. Pengeluar makanan perlu diberikan keyakinan mereka akan menjual produk pihak mereka kepada yang mampu memberikan jaminan pasaran. Sebagai contoh bagi Projek Pemasaran Ikan disyorkan outlet baru untuk Persatuan Nelayan (PN) dapat menjalankan aktiviti pemasaran ikan bagi memberi faedah kepada nelayan khususnya nelayan pantai seterusnya meningkatkan pendapatan mereka. Melalui cara bantuan yang diberikan kepada PN yang menjalankan Projek Pemasaran Ikan dengan menyediakan beberapa kemudahan infrastruktur dan peralatan pemasaran ikan akan dapat meringankan beban PNK di dalam melaksanakan projek pemasaran ikan yang sedia diketahui mempunyai risiko yang tinggi di dalam melaksanakan projek ini.

Lazimnya jaringan pemasaran antara PNK, PNN dan NEKMAT akan dapat ditingkatkan bagi memperkasakan PN dalam bidang pemasaran ikan. Projek Pemasaran Ikan sebagai projek ekonomi yang utama dalam meningkatkan pendapatan PN dan nelayan-nelayan setempat.  Perancangan perlu diujudkan dengan rapi bagi mengenalpasti tapak Pasar Tani yang bersesuaian. Ini dengan cara dalam membantu menyediakan peralatan pemasaran kepada Persatuan Nelayan. Sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa ke lokasi Pasar Tani yang disertai oleh PN. Kempen ini akan memberikan impak dalam mengurangkan dalam monopoli atau penguasaan orang tengah dalam pemasaran ikan. Sebolehnya Persatuan Nelayan bertindak sebagai penentu harga (price leader) dimana ini akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan PN sekali gus akan dapat membantu pembangunan ekonomi PN. Langkah tersebut dapat mengelakkan nelayan terjebak dengan masalah hutang yang berpanjangan kerana segala-galanya diuruskan oleh persatuan nelayan dimana ia bermula daripada membeli peralatan menangkap ikan, beli barangan di kedai runcit, membeli ais batu untuk ikan hinggalah membabitkan aspek pemasaran ikan. Sekiranya pelaksanaan inisiatif ini berjalan dengan lancar, mungkin ramai akan percaya dan yakin inisiatif ini akan memberi pulangan yang besar kepada para nelayan dan petani di samping dapat membebaskan golongan ini dari belenggu orang tengah. Komitmen kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak berakhir di sini kerana bagi membantu nelayan dan petani bagi mendapat harga pasaran yang lebih baik, kerajaan mewujudkan pasar nelayan dan Pasar Tani  di setiap kawasan padat penduduk. Sehingga kini, sebanyak 36 buah pasar nelayan dan lebih 1,200 pasar tani telah beroperasi di seluruh negara pada tahun 2013 dan sebanyak 50 pasar nelayan serta banyak pasar tani akan ditambah menjelang hujung tahun ini. Ini juga sebagai satu langkah awal untuk mengelakkan nelayan menolak hasil jualan dengan harga yang rendah seperti mana yang mana ia ditentukan oleh peraih dan tidak berbaloi dengan kerja keras mereka.  Dalam masa yang sama, kementerian juga akan memastikan LKIM, FAMA dan LPP mewujudkan pasar borong nelayan yang dimiliki oleh persatuan-persatuan agensi di bawah kementerian. 


LAPORAN AKHBAR :
Jihad perangi orang tengah

ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan tanda bagus kepada sebahagian daripada nelayan 
pada Majlis Pelancaran Jihad Memerangi Orang Tengah Bagi Sub-Sektor 
Perikanan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kuantan, Pahang.

KUANTAN 9 Feb. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan dengan lapan strategi utama bagi membebaskan golongan nelayan daripada terus berada dalam cengkaman orang tengah. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara pendekatan agresif yang diambil kementerian dalam strategi itu termasuk mengambil alih hutang nelayan sebanyak RM40 juta daripada orang tengah menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional. "Hasil kajian yang dilakukan, dianggarkan kebanyakan 47,000 nelayan Zon A dan Zon B berhutang dengan orang tengah menyebabkan mereka terikat dan terpaksa menjual hasil kepada pihak berkenaan. Untuk itu, kita akan selamatkan dan bebaskan hutang mereka daripada orang tengah. TEKUN akan ambil alih serta bayar secara langsung dan selepas ini mereka hanya akan berhutang dengan TEKUN," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam sub-sektor pertanian di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini. Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmod dan Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohad Khazin Hamzah.

Ismail Sabri berkata, pendekatan ini juga lebih baik daripada berhutang dengan orang tengah kerana TEKUN tidak akan mengutip hutang daripada para nelayan semasa musim tengkujuh memandangkan kesulitan yang dialami golongan berkenaan pada musim itu. Beliau juga berkata, kerajaan menerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan menyediakan tabung pinjaman tanpa faedah untuk kecemasan sebanyak RM50,000 kepada 87 persatuan nelayan kawasan termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan golongan ini terus bergantung dengan orang tengah. "Kerajaan juga menerusi TEKUN bersedia memberikan pinjaman kepada nelayan yang ingin membeli bot ataupun sampan," katanya. Malah jumlah pasar nelayan pada tahun ini akan ditambah dengan mewujudkan 50 pasar nelayan baharu di seluruh negara bagi membolehkan nelayan atau kaum keluarga mereka memasarkan sendiri hasil mereka, katanya. Dalam masa sama, katanya, Nekmat juga akan memainkan peranan membeli ikan-ikan daripada nelayan dengan menawarkan harga setanding dengan yang ditawarkan orang tengah.

Katanya, nelayan juga boleh menjual produk mereka kepada Nekmat untuk tujuan sejuk beku memandangkan persatuan itu kini sedang berusaha untuk menambah dan memperluaskan lagi pasaran ikan sejuk beku. Pusat pengumpulan dan pengedaran ikan juga akan diwujudkan untuk membolehkan nelayan yang enggan menjual hasil mereka kepada Nekmat boleh terus melakukannya dengan peniaga pasar tani atau pasar-pasar harian di pusat berkenaan, kata Ismail. Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga bersedia memberikan lebih banyak tapak pasar tani kepada golongan nelayan untuk mereka menjual sendiri hasil laut yang diperoleh dengan harga yang berpatutan sekali gus memberikan keuntungan bukan sahaja kepada para nelayan tetapi juga pelanggan. "Lapan strategi berkenaan merupakan jalan keluar yang disediakan kerajaan bagi mengelakkan para nelayan daripada terus bergantung kepada orang tengah tetapi kerajaan tidak boleh memaksa mereka dan kementerian memahami bukan senang untuk mengubah pemikiran nelayan yang secara tradisinya bergantung kepada orang tengah sejak sekian lama," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian akan mengadakan dialog serta pertemuan yang lebih kerap dengan para nelayan bagi tujuan itu dan berharap apa yang dilakukan kementerian ini akan dapat kaedah atau menghapuskan tekanan orang tengah, meningkatkan pendapatan nelayan sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan. Wasallam!

Pasar Borong Selngor - sentiasa sibuk.
ORANG TENGAH... BUAT APA...
ADA KATA... IA CUMA BERNIAGA...
UNTUNG LEBIH... KENA WASPADA...
KEMPEN JMOT... SATU CARA SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Borong Selangor,
Puchong. Selangor,
Malaysia.
(25 Rejab 1435H). 

Sunday, May 25, 2014

MADU DARI POKOK ACACIA

MADU LEBAH dari pokok Akasia (Acacia mangium) merupakan sejenis madu lebah yang berkualiti dikalangan beberapa jenis madu lebah. Adakah anda tahu, kenal dan pernah membeli atau mengambil madu dari bunga pokok akasia?. Lazimnya madu jenis ini diambil bersempena pokok akasia sama ada yang tumbuh liar atau yang ditanam untuk tujuan komersil bagi menghasilkan kayu untuk pelbagai guna. Daripada banyak pembacaan, pemerhatian dan laporan kajian dinyatakan bahawa madu akasia merupakan salah satu jenis madu yang terbaik. Nilai kelembutan rasa yang tinggi dan ia juga mempunyai tahap penghabluran (crystallization) yang perlahan. Madu lebah akasia juga merupakan jenis madu lebah yang paling ringan. Kita di Malaysia lazimnya tidak teliti dalam memilih jenis madu ketika membelinya di pasaraya. Asalkan ia cantik botolnya, murah dan biasa dengan jenamanya maka kita akan membelinya. Kalau diteliti ada madu yang berwarna jernih, coklat dan kehitaman dalam sistem pembotolan yang berbeza dan berbagai. Jarang kita melihat jenis madu tersebut daripada tumbuhan mana. Setelah baca artikel kita cuba cri madu lebah dari jenis Madu Akasia (Acacia honey) yang tertera pada label seperti botol pada foto dibawah. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan madu dari pokok akasia untuk rujukan dan bacaan anda.


Madu Akasia seperti foto sebelah biasanya dibotolkan dengan cantik diluar negara untuk dipasarkan. Madu akasia lazimnya mempunyai warna agak putih (jernih) dimana lazimnya madu tersebut dalam bentuk cecair benar-benar telus, penghabluran adalah putih, halus, menyerupai salji. Terdapat juga madu akasia jenis kuning (banyak di kawasan Kuzbass) dimana ia adalah sangat ringan, hampir tidak berwarna dengan sentuhan agak kehijauan sedikit. Penelitian mendapati walau dalam keadaan matang didapati tahap kecairannya seperti air, penghabluran (pengerasan) menjadi seperti lemak, gandum putih, halus. Meneruskan penelitian madu akasia, rasa dan aroma madu ini adalah menyerupai bau bunganya. Rasa madu ini adalah sangat halus. Dalam Penghabluran Madu Akasia yang Asli (Crystallization), lazimnya untuk Madu Acacia Tulen, cecairnya tidak seperti madu jenis lain dimana madu ini akan kekal sebagai cecair untuk masa yang lama (1 – 2 tahun) dalam simpanan biasa. Keadaan ini adalah disebabkan oleh kerana kehadiran dalam strukturnya sejumlah besar fruktosa dimana ia merupakan bahan yang paling mudah dihadam. Selalunya kejadian penghabluran madu akasia sangat kecil (sedikit). Jika madu lebah tercampur sebarang kekotoran selalunya akan kelihatan madu seperti 'membeku' iaitu ia akan menebal atau seakan mengeras di bahagian lapisan atasnya.


Warna biasa Madu Akasia adalah cerah dan agak cair (Sila lihat foto sebelah).
Ciri-ciri Perubatan bagi Madu Acacia daripada hasil kajian adalah dimana ia mengandungi 36% glukosa (gula minuman keras) dan fruktosa 40% (gula buah), bahan-bahan manis di alam (fruktosa adalah 1.7 kali lebih manis daripada sukrosa iaitu gula yang diekstrak dari bit gula dan tebu dan 2-2.5 kali lebih manis daripada gula). Madu ini sesuai digunakan sebagai ubat pelali untuk penyakit saraf, kencing manis dan formula bayi. Tidak menyebabkan kesan negatif untuk alergi atau alahan. Ia juga sering dan sesuai digunakan untuk merawat penyakit mata. Madu Acacia juga mempunyai aktiviti antimikrob, digunakan sebagai tonik dan sedatif, serta ubat tidur, mengubati penyakit hempedu dan buah pinggang, dan penyakit-penyakit gastrousus (perut usus). Pokok Akasia mampu menghasilkan madu terbaik untuk kanak-kanak, terdapat banyak vitamin A (karotena). Ketika konjunktivitis (radang mata ), katarak dan glaukoma cara guna madu ini dicampur dengan air kosong (dengan kadar 1:2) dan kemudian dititis ke dalam mata pada waktu malam (1-2 titik untuk satu mata) sebelum tidur.



Madu ini sangat baik dan telah terbukti untuk rawatan penyakit hati, buah pinggang, dan sebagai sedatif untuk masalah saraf dan mental. Mempunyai ciri-ciri antiseptik yang ketara. Boleh diletakkan pada luka tanpa perlu dibasuh luka terlebih dahulu. Membantu kanak-kanak yang mengidap masalah tidak tahan kencing (enuresis) caranya dengan mengambil sesudu madu sebelum tidur (pada waktu malam tidak diberi minum selain sesudu madu). Madu Acacia mengekalkan kelembapan dalam badan dan menenangkan pada masa yang sama. Akasia Putih atau bunga juga bunga penghijrahan hanya ditemui dikawasan selatan dan barat daya Rusia ketibaan musim bunga yang lewat dan sangat indah, chestnut berakhir tidak lama sebelum permulaan pohon akasia berbunga. Hasilnya ialah madu yang menakjubkan dari pokok chestnut dengan akasia. Walau pun rasanya pahit, warna gelap, nipis, dengan rasa pedas dilafazkan terang tetapi ia jenis madu premium. Lazimnya ia dikutip dari nektar yang diperolehi daripada haruman bunga akasia dimana bagi setiap hektar dilaporkan lebah dapat menghasilkan sehingga 1,700 kg madu. Kita di Malaysia beli sahaja madu akasia yang berkhasiat untuk menafaat yang lebih terjamin. Cari yang asli. Wasallam!.

MADU AKASIA.... PREMIUM HARGANYA...
BANYAK DIIMPOT.. DIDALAM PASARAYA..
BANYAK KHASIAT... SIHAT GEMBIRA...
BACA ARTIKEL... BARU PERCAYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(20 JamadilAkhir 1435H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...