Ubi Gadong lazimnya akan tumbuh dan membesar di dalam kawasan tanah belukar (Sila lihat foto sebelah). Ia akan hidup dengan liar dalam kelompok kecil atau secara bersendiri. Ubi gadung dilaporkan sebagai sejenis tumbuhan beracun dan mampu hidup dalam pelbagai keadaan cuaca. Laporan agronomist mendapati ia boleh hidup bertahun lamanya dan amat sukar untuk mati kerana umbisinya kekal ujud dalam tanah dan mampu bertunas semua setelah beberapa waktu. Ia dikategorikan sebagai tumbuhan jenis liar yang hidup sendiri tanpa gangguan dan campurtangan manusia. Masyarakat Melayu kita menamakannya 'ubi gadung' manakala di Thailand pula saya dapati digelar 'Kloi' dan di Filipina memanggil 'Nami' (Saya rasa ini naman dalam Bahasa Tagalog). Menurut penelitian yang saya dapat dari Pegawai FRIM, pokok ini juga boleh dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang hidup dengan menjalar dan memanjat serta boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri. Tumbuhan ini juga mampu tumbuh dengan baik dibawah naungan.
Sebenarnya untuk ubi gadong ini kita boleh membezakan dengan ubi yang lain melalui bentuk daunnya. Ubi beracun ini mempunyai daun berbentuk hampir tiga segi yang tidak bercantum antara satu sama lain dengan warna hijau pekat dan urat daun yang jelas kelihatan (Sila lihat foto sebelah). Kalau diteliti lagi seakan ada satu lapisan berbulu dibahagian bawah daun dan diatasnya agak licin. Bunganya amat jarang ditemui tetapi jika ada pun ia akan tumbuh di bawah daun dengan warna kekuningan dan berbau wangi. Batangnya berwarna hijau berbentuk selinder dengan ia boleh melilit batang pokok lain atau menjalar di atas tanah. Jika menjalar diatas tanah lazimnya daunnya akan bergumpal dan pokok yang subur mempunyai rimbunan besar. Kaedah untuk menanam lazimnya menggunakan keratan umbisi dan jarang menggunakan biji benih atau keratan batang. Memang ramai yang setuju tumbuhan ini jarang ditanam secara komersil.
Umbsi atau ubi tumbuhan ini membesar di dalam tanah seperti ubi kayu dan ubi keledek. Di dalam satu liang atau pangkal pokok lazimnya akan terdapat beberapa biji ubi dan bentuknya agak bulat serta berkulit keras nipis dan ada akar serabut disekelilingnya (Sila lihat foto sebelah). Kulitnya berwarna coklat kekuningan atau agak gelap sedikit bergantung kepada warna tanah disekelilingnya. Bagaimana pun apabila ia dibelah akan kelihatan isinya pula kuning keputihan (Sila lihat foto paling atas sekali). Ubi Gadung tahan disimpan lama setelah dituai kerana ia mengandungi bahan simpanan makanan karbohiderat yang tinggi. Pemerhatian penulis mendapati apabila ubinya terlalu tua dalam tanah maka kulitnya akan bertukar warna menjadi warna kehijauan. Pada peringkat ini kajian menunjukkan bahawa ia disahkan mengandungi kuantiti racun yang tinggi. Ia sesuai untuk dijadikan benih tanaman. Saiz ubi gadung boleh membesar hingga mencapai beberapa kilogram.
Seperti umum tahu iaitu ubi gadung memang mengandungi bahan racun tinggi. Kajian menujukkan kesemua bahagian tumbuhan ini beracun terutama ubinya. Ubi ini kaya dengan kanji yang mengandungi Alkaloid dioscorin beracun dimana ia adalah hampir sama dengan Alkaloid dioscoricin (Unsur beracun). Terdapat kes-kes yang telah direkodkan melibatkan keracunan ini iaitu selepas seseorang memakan secara mentah ubi daripada ubi gadung. Laporan menunjukkan memakan sebahagian ubi gadung sebesar sebiji buah epal sudah memadai untuk membunuh si pemakannya. Anda perlu INGAT bahawa ia memang merbahaya kepada manusia. Bahan alkaloid yang terkandung dalam ubi ini akan juga menyebabkan radang kerongkong, pening kepala, muntah darah, kesukaran untuk bernafas, mengantuk dan keletihan. Kematian biasanya berlaku kira-kira 6 jam selepas memakan ubi gadung ini. Bagi mengelakkan ubi ini daripada beracun kita boleh masak dulu bertujuan untuk membuang alkaloid. Sebaiknya kita juga boleh merendam ubi gadung dlam air bersih selama 3-4 hari sebelum merebusnya. Apakah rasa ubi gadung ini sama dengan ubi keladi?. Kepada mereka yang belum pernah makan, sila cari dulu dan makan setelah direbus untuk hilangkan bisa racun. Wasallam!.
UBI GADONG... BERACUN DIA...
UMBISI COKLAT...BERAMBUT PULA...
KUNING PUTIH...ISI DALAMNYA...
REBUS DULU... BARU MAKANNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronmist,
Taman Herba FRIM,
Kepong, Selangor,
Malaysia.
(15 JamadilAkhir 1435H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.