Support My Blog

Saturday, April 19, 2014

KACANG POOL

KACANG POOL JB merupakan satu jenis makanan yang istimewa bagi penduduk Johor Bahru yang kini semakin popular di negeri lain. Kuah kacang istimewa yang akan dihidangkan di dalam mangkuk lengkap dengan telur mata separuh masak serta limau kasturi selain sekeping roti bakar buatan sendiri pasti membangkitkan selera pada awal pagi. Melihat hidangannya yang ringkas, semua pasti tertanya-tanya apa keistimewaannya sehinggakan ia menjadi buah mulut pelancong yang datang ke Johor Bahru. Di sebalik setiap hida­ngan yang enak pasti punya cerita tersendiri. Salah satu tempat menjual hidangan istimewa ini yang saya pernah kunjungi adalah Kacang Pool Haji yang terletak di Larkin, Johor Bahru. Kini kalau hendak makan kacang pool di tempat tinggal saya di Putrajaya ini anda cuma pergi ke Pasar Tani Mega Putrajaya pada setiap hari Jumaat. Merujuk kepada sejarah mengenai kacang pool ini yang diusahakan Makpol Kairon, 54, atau lebih dikenali sebagai Haji K Pool, kacang pool adalah salah satu hidangan atau menu Arab. Namun, menu itu diolah bagi memenuhi cita rasa Melayu dan Jawa, sekali gus menjadikan Kacang Pool Haji ini digemari ramai termasuklah orang kenamaan. Makanan ini telah dijadikan satu hidangan istimewa dari Negeri Johor sama seperti Nasi Beriyani Gam, Mee Bandong Muar, Mee Rebus Hj Wahid, Asam Pedas Parit Jawa, Mee Siput dan sebagainya. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai menu hidangan kacang pool JB untuk dikongsi bersama.

Bahan yang digunakan bagi menghasilkan hida­ngan yang lazat ini sangat ringkas. Ia hanya menggunakan kacang parang dan dimasak dengan campuran daging serta campuran rempah ratus yang dihasilkan sendiri Haji K Pool (Sila lihat foto sebelah). Pada saya menariknya, hidangan itu tidak menggunakan garam, gula atau perasa tambahan kerana semuanya sudah ada dalam rempah ratus yang digunakan termasuk rasa manis bawang besar. Justeru, ia hidangan yang cukup sihat. Jika memesan kacang pool, ia akan didatangkan bersama roti bakar yang lembut dan tebal hasil air tangan Haji K Pool. Cara menikmati hida­ngan sarapan pagi yang cukup popular ini adalah dengan menggaulkan kacang pool, telur mata separuh masak dan perahan limau kasturi. Roti buatan sendiri Haji K Pool itu kemudiannya dicicah dengan kacang pool. Ia pastinya membuatkan anda teruja terutama ketika menikmatinya dimana ia masih panas. Kacang Pool Haji ini terletak di Medan Selera Larkin iaitu bersebelahan Balai Bomba Larkin, Johor. Ia dibuka dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari. Selain Kacang Pool, Gerai Makan Kacang Pool Haji ini juga menyajikan makanan lain seperti rojak buah, tauhu bakar, roti goreng dan nasi lemak.


LAPORAN AKHBAR :
Selera Selatan keistimewaan kami

KALAU singgah di Johor Bahru, tidak lengkap percutian kita jika tidak merasai kelazatan hidangan nasi beriani, kacang pool atau laksa Johor. Antara gerai popular tumpuan ramai di bandar raya itu adalah kedai makan Kacang Pool Haji dekat Balai Bomba Larkin. Namun jika kita berada di luar Johor Bahru dan tiba-tiba teringin untuk menikmati kelazatan kacang pool, tak mungkin ada yang sanggup memandu lebih 300 kilometer dari Kuala Lumpur dan Melaka semata-mata mahu menikmatinya. Menyedari begitu ramai penggemar kacang pool, maka Restoran MS Beriani, Asam Pedas di Lot 7, Persiaran Selangor, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor turut menyajikan menu tersebut. Pengurus restoran itu, Hafizuddin Md. Salleh, 26, berkata: "Menu kacang pool agak sukar didapati di sekitar ibu kota, jadi kami mengisi 'kekosongan' itu dengan menyajikannya di restoran kami." "Menu kacang pool diperkenalkan setelah kami dapati ia agak sukar ditemui di Kuala Lumpur mahupun Shah Alam. Tidak banyak kedai ada jual kacang pool. Sebab itulah restoran ini menawarkan menu kacang pool. Jadi, tak perlu lagi ke Johor Bahru, sebaliknya mereka boleh singgah makan di restoran ini.

Tentu enak menikmati kacang pool yang dihidangkan bersama roti, daging cincang, cili hijau potong, hirisan bawang holland, perahan limau kasturi serta telur mata separuh masak. Selain kacang pool, restoran itu juga menawarkan nasi beriani dan asam pedas. Restoran milik keluarga yang baru dibuka pada 3 Februari lalu itu dikendalikan sepenuhnya oleh Hafizuddin bersama ayah, ibu dan adik-beradik yang lain. Katanya, ayahnya, Md. Salleh A. Manap merupakan pakar dalam masakan nasi beriani kambing dan beriani ayam dan sering mendapat tempahan katering untuk pelbagai majlis, sama ada kenduri kahwin, makan malam korporat dan lain-lain. "Mak saya pula, Rasidah Mohd. Ali akan menyediakan sendiri kuah laksa Johor, mee rebus dan asam pedas. Untuk menu asam pedas, pengunjung boleh memilih ikan kembung, pari, parang, bawal, jenahak atau sembilang. Asam pedas daging tetel akan diperkenalkan tidak lama lagi. "Selepas memilih ikan segar kegemaran masing-masing, barulah ia dimasak dan dihidangkan dalam mangkuk claypot. Masakan kari juga disediakan mengikut konsep yang sama," tambahnya.

Menurutnya, konsep menghidangkan makanan yang masih panas semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai. Justeru, pihaknya, berusaha memenuhi kehendak itu dengan menyediakan masakan mengikut konsep tersebut. "Set asam pedas dan kari dihidangkan bersama nasi putih, ulam timun dan sambal belacan," tambahnya.. Menu lain yang turut disajikan adalah nasi tomato, nasi ayam dan nasi putih bersama ayam goreng berempah. Dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, kecuali hari Isnin minggu kedua, Hafizuddin berkata, minuman istimewa pula adalah sirap bandung soda dan air belimbing. "Mengenai harga, apa yang ditawarkan di sini berpatutan dengan kualiti dan servis yang diberi. Misalnya, harga semangkuk asam pedas bermula daripada RM6, manakala nasi beriani bermula daripada RM11 sepinggan," katanya menamatkan bicara.

KACANG POOL .... ENAK RASANYA...
JOHOR BAHRU..TEMPAT ASALNYA...
MAKAN SEDIKIT...KENYANG JUGA...
SILA NIKMATI... BERSAMA-SAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Restoran Kacang Pool Haji
Larkin, Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(19 RabiulAwal 1435H)
- Posting dari Simfoni Resort, Kuah, Langkawi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...