Support My Blog

Thursday, February 13, 2014

PES MEE BANDUNG

PES MEE BANDUNG atau disebut juga sebagai Perencah Mee Bandung merupakan satu produk dari Industri Asas Tani yang semakin popular di Malaysia khususnya di Negeri Johor. Resepi Mee Bandung Muar kini telah menjadi satu Makanan Nasional dari Negeri Johor setanding dengan Nasi Beriyani Gam Batu Pahat, Laksa Johor, Asam Pedas Parit Jawa, Mee Rebus Hj Wahit dan Pisang Salai Johor. Artikel ke 2,900 ini saya gembira dapat menulis salah satu daripada pes makanan kegemaran saya iaitu Pes Mee Bandung Muar yang sangat enak dan amat popular. Populariti keenakan mee bandung Muar ini pada saya yang memang anak kelahiran Muar , memang tidak dapat ditandingi dengan mee udang, mee kari mahu pun mee rebus yang ada dikawasan lain. Tdak ramai orang yang tahu untuk menyediakan perencah atau pes mee bandung muar kerana ia unik dan agak banyak variasi. Oleh itu kita perlu beli sahaja pes yang ada dipasaran dalam kita menyediakan masakan mee bandung muar untuk dihidangkan kepada ahli keluarga atau pun jamuan kepada rakan-rakan. Saya memang pernah terlibat dalam membangunkan industri asas tani di Johor dan Muar khususnya semasa bertugas di Johor dengan memberikan khidmat nasehat dan bantuan peralatan kepada beberapa usahawan membuat pes mee bandung. Kini saya berasa bangga dimana beberapa syarikat telah memasarkan produk mereka dengan jayanya dan terus maju. Pes mee bandung kini dipasarkan dengan beberapa jenama popular seperti Adami, Mak Pon, Maharani, Agromas, De'Muara, Haji Senan dan banyak lagi. Produk mereka dijual di pasaraya, kedai runcit, pasar malam dan pelbagai lokasi lain. Artikel pagi Isnin ini (sempena cuti am Hari Wilayah Persekutuan), saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan pes mee bandung Muar untuk tatapan dan rujukan anda. 

Bagi orang Johor, sejarah makanan mee bandung Muar merupakan resepi kebanggaan mereka yang diasaskan oleh peniaga keluarga Abu Bakar Hanafiah sejak beratus tahun dahulu. Keenakan mee bandung Muar terletak kepada ramuan yang digunakan iaitu udang kering, daging, kacang tanah dan banyak ramuan lain (Sila lihat foto sebelah). Ia memberikan rasa pedas, manis, lemak, masin dengan aroma yang mendatangkan selera kepada peminatnya. Kalau orang tempatan (orang lama), mereka akan mencari mee bandung yang dikatakan 'ORI' di Jalan No 2 iaitu sebuah kedai yang sering penoh dikunjungi. Kini saya tinggal di Putrajaya, rakan saya di di Pulau Pinang atau di Kota Baru tidak perlu gusar untuk menikmati mee bandung Muar kerana telah banyak pes perencah mee bandung yang ada dipasaran. Kepada peminat mee bandung muar boleh membeli pes (perencah) yang telah disediakan dalam bentuk tersedia untuk dimasak. Harga pes mee bandung ini bergantung kepada saiz bungkusan, jenis pes, jenama dan lokasi dimana kita hendak membelinya. Harga diantara RM 5.00 - RM 10.00 sepaket. Lazimnya paket pes yang sedia untuk hidangan 8 - 10 oeang sekitar RM 8.50 hingga RM 10.00 sepaket (jenis pes basah).

Pes atau perencah mee bandung ini mempunyai dua bentuk iaitu Pes Basah dan juga Pes Kering. Bagaimana pun pada saya, pes basah merupakan pes yang paling banyak dipasaran kerana ia memberikan citarasa asli yang sebenar berbanding dengan pes kering. Pes basah lazimnya dibungkus dalam plastik yang kemas (atau tertapack) dan disimpan dalam peti sejuk atau dalam keadaan suhu bilik (jangkamasa simpanan pendek sedikit). Pada saya ketika ini, jenama pes mee bandung keluaran 'Mak Pon' merupakan pes mee bandung yang paling 'sesuai' dengan citarasa lidah saya berbanding dengan jenama lain (Lihat pes Mak Pon di sebelah). Saya telah membeli banyak jenama pes mee bandung lain dan memasaknya sendiri dimana memang tidak boleh lawan kehebatan pes mee bandung Mak Pon yang kilangnya juga di Muar (Tidak jauh dengan rumah mertua saya). Setiap kali kami masak mee bandung jenama ini memang dihirup kuahnya sehingga licin semuanya. Lain-lain jenama yang 'catching-up' adalah seperti De'Muara, Agromas dan Adami. Bagi simpanan lama kita juga boleh membeli perencah mee bandung jenis kering walau pun dari segi rasanya agak  kurang sedikit.

Apakah komponen yang ada dalam pes mee bandung ini?. Anda boleh baca apa yang ditulis pada label pembungkusan. Lazimnya bahan asas untuk pes mee bandung adalah cili merah, udang kering, kacang tanah, ramuan herba terpilih dan sebagainya. Kesemua bahan asas tersebut diproses dan diadun sehingga menjadi pes yang sedia untuk dimasak. Lazimnya memasak mee bandung dengan menggunakan pes tersedia amat mudah. Mula-mula panaskan air dalam kuali dan masukkan daging atau air rebusan daging sehingga empuk. Kemudian pes mee bandung dimasukkan kedalam kuali dan panaskan sehingga masak. Apabila telah mendidih boleh dimasukkan telur, sawi, tahu, fishcake dan sebagainya sehingga masak dan masukkan mee kuning. Mee bandung telah sedia untuk dihidangkan dengan dibubuh daun sup, cili potong atau bawang goreng. Sebaiknya makan mee bandung ketika masih panas selepas dimasak. Apabila telah sejuk lazimnya mee akan meyerap kuahnya menjadikan ia telah kembang dan tidak sedap lagi. Kalau hendak beli untuk dibungkus balik kerumah sebaiknya diasingkan antara mee dan kuahnya dalam bungkusan berbeza. Industri pembuatan pes mee bandung kini semakin popular dan semakin ramai usahawan tempatan yang menjayakannya. Tahniah semua!.
Wasallam!...


PES MEE BANDUNG... APA DIA...
ADA USAHAWAN..DAN JENAMA...
PES BASAH...KERING PUN ADA...
MASAK DIRUMAH...SEMUA SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Dato Hj Kusai,
Muar, Johor,
Malaysia.
(4 Rabiulakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...