Support My Blog

Saturday, September 8, 2012

MAKANAN - PERKAPITA

KEPERLUAN BAHAN MAKANAN merupakan satu keperluan yang sangat penting kepada sesebuah negara dan di sebut dalam Dasar Keselamatan Makanan (Food Security). Kemajuan dan kestabilan kerajaan sesebuah negara sangat berkait rapat dengan punca bekalan makanan, kecukupan makanan, pengedaran makanan dan paling utama adalah kecukupan makanan untuk semua rakyatnya. Kalau negara besar seperi China, India dan Indonesia maka kerajaan perlu mempastikan bekalan makanan yang banyak dan sentiasa mencukupi bagi mempastikan rakyatnya cukup makan dan mampu bekerja untuk pembangunan negara. Pelbagai usaha dijalankan bagi mempastikan kecukupan makanan seperti menyediakan varieti tanaman baru yang berhasil tinggi, menyediakan kawasan baru untuk penanaman bahan makanan, mengekalkan kawasan penanaman sedia ada, mengurangkan kos pengeluaran, Penyelidikan Pertanian, aktiviti nilai tambah dan memperkukuhkan rantaian nilai permakanan (Supply Chain Food Management). Apa yang saya agak pasti adalah tabiat pemakanan sesebuah negara sangat berkait rapat dengan keperluan bahan mentah untuk makanan dan budaya mengenai makanan. Contohnya di kawasan Asia khususnya di Asia Tenggara kebanyakan penduduknya menjadikan Beras atau Nasi sebagai makanan ruji berbanding dengan kawasan negara Eropah yang banyak berasaskan gandum dan daging. Artikel petang ini saya menulis mengenai status perkapita pengambilan makanan di Malaysia dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.


Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai bekalan makanan yang sentiasa mencukupi, selamat dimakan dengan kadar harga yang masih mampu untuk rakyatnya membeli. Di negara ini memang jarang terdengar isu rakyatnya yang menghadapi masaalah kekurangan makanan malahan isu terlebih makan didapati adalah lebih dominan. Walau sebahagian bahan mentah untuk makanan diimpot dari luar negara, Malaysia masih mampu mengekalkan harga makanan pada paras yang rendah sejak lama dahulu dengan melaksanakan banyak dasar-dasar kukuh mengatasi masaalah 'Food shortage'. Stok bekalan makan negara seperti stok beras sentiasa di pantau untuk mempastikan ianya berterusan mencukupi untuk beberapa bulan dalam zon kecukupan bajan makanan ruji seperti beras. Penanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran di Malaysia masih mampu menampong keperluan dalam negara malahan sebahagian hasil pertanian tersebut di ekspot sebagai sumber pendapatan negara. Sektor penternakan dan perikanan juga menyumbangkan asas yang kukuh untuk rakyat Malaysia mendapat bekanan makanan mencukupi.


Pengambilan Beras (Rice) diMalaysia menurut kajian oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2011 menunjukkan sebanyak 79.5 kilogram beras di perlukan untuk dimakan untuk seorang dalam setahun. Kadar ini adalah agak sederhana rendah jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia yang menggunakan sebanyak 135 kg beras seorang dalam setahun (Hampir dua kali ganda penggunaan perkapita Malaysia). Negara Malaysia mempunyai tahap sara diri (Self Sufficient Level - SSL) beras pada paras 71.4% pada tahun 2011. Baki kekurangan beras di tampung melalui proses pengimpotann beras dari beberapa negara jiran. Kajian saya mendapati penggunaan perkapita sayur-sayuran adalah pada kadar 54.7 kg Sayur seorang setahun. Sebahagian dari sayuran ini adalah di hasilkan dalam negara dimana kadar sara diri (SSL) sayuran di Malaysia adalah pada kadar 41.2%. Sayur segar yang dihasilkan dalam negara seperti sayur jenis daun dan sayuran jenis buah dihasilkan sepanjang tahun. Lebih separuh dari sayur yang diimpot adalah seperti jenis Cili Kering, Kekacang (Soyabean), Bawang, Kentang, sayur bijirin dan sebagainya.


Buah durian paling luas ditanam
Rakyat Malaysia banyak makan buah-buahan iaitu sebanyak 93.0 kilogram seorang setahun.  Kebanyakan jenis buah-buahan tempatan dihasilkan oleh petani tempatan seperti buah-buahan bermusim dan buah-buahan tidak bermusim. Kadar Sara Diri SSL bagi buah-buahan di Malaysia pada tahun 2011 adalah sebanyak 65.8%. Apa yang saya analisa, trend pemilihan untuk makan buah-buahan impot terus meningkat dari semasa kesemasa seperti Epal, Limau, Pear, Anggur dan sebagainya. Generasi muda kurang berminat untuk makan buah rambutan, manggis, ciku, nenas, durian dan beberapa jenis buah-buahan tempatan yang lain. Terdapat pokok rambutan di kampong saya yang buahnya dibiarkan kering diatas pokok tanpa di kutip untuk dimakan. Rakyat Malaysia memakan daging lembu atau kambing sebanyak 5.6 kg seorang setahun (Agak rendah berbanding dengan beberapa negara jiran ... apa lagi dengan negara maju). Negara mampu menghasilkan sebanyak 28.6% daging keluaran tempatan dan kebanyakannya diimpot dari luar dalam kuantiti yang banyak.  


Penggunaan perkapita daging Ayam di Malaysia adalah sebanyak 35 kilogram seorang setahun pada tahun 2011. Malaysia mempunyai kadar sara diri bekalan ayam (Poultry) yang amat tinggi iaitu sebanyak 127.9% dan mampu untuk mengekspot keluar negara. Industri ternakan ayam banyak menggunakan bahan makanan asas yang diimpot dari luar negara seperti jagung dan komponen lain. Apa yang saya agak terkejut adalah apabila mendapati orang Malaysia sebenarnya banyak menggunakan telur ayam. Laporan Agro Makanan MOA 2011 menyatakan setiap individu di negara kita makan atau menggunakan sebanyak 295 biji telur seorang setahun. Maknanya makan telur haampir setiap hari... bukan begitu, sebahagian telur digunakan dalam industri makanan dan sebagainya. Pengeluaran telur melebihi keperluan dengan tahap SSL sebanyak 115.4%.  Rakyat Malaysia sebenarnya sangat rendah menggunakan susu iaitu cuma 47.5 liter seorang dalam setahun. Kadar kecukupan susu (SSL) adalah pada paras paling rendah iaitu cuma 4.9% sahaja. Hampir 95% bekalan susu diimpot dalam bentuk susu segar atau susu tepong bagi diberikan kepada bayi dan kanak-kanak diseluruh negara. 


Orang Malaysia memerlukan ikan sebanyak 45.5 kg seorang setahun. Kadar ini merupakan satu paras yang sederhana dengan bekalan ikan (SSL) dalam negara sebanyak 101.7%. Penghasilan ikan laut oleh nelayan tempatan dan aktiviti akuakultur menghasilkan bekalan ikan, udang, krustcea dan sebagainya sehingga mencapai lebih dari tahap SSL. Malaysia sebenarnya mampu menjadikan industri perikanan sebagai industri yang berpotensi untuk dikembangkan kerana mempunyai sumber yang banyak. Diharap artikel ini memberikan maklumat berguna kepada pembaca untuk dijadikan rujukkan. Saya telah membentangkan laporan diatas semasa membuat kertas pembentangan dalam APEC Workshop on Innovative Approaches on Food Security Conference pada 18 - 21 Jun 2012 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. 

BAHAN MAKANAN... PENTING DIUTAMA... 
KECUKUPAN SSL.... BANYAK KADARNYA...
AYAM DAN TELUR... LEBIH BEKALANNYA....
SUSU PULA... AMAT KURANG ADANYA....

By,
M Anem
Presint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(20 Syawal 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...