Support My Blog

Friday, November 4, 2016

IKAN TILAN - APA DIA?

IKAN TILAN (Mastacembelus erythrotaenia Bleeker) adalah merupakan sejenis ikan yang penulis kurang kenal sehingga penulis berkunjung ke Kg Tilan, Tempoyang, Lipis, Pahang minggu ini untuk sembahyang Jumaat. Ikan Tilan atau pun ikan dikenal dalam keluarga Mastscembelidae adalah ikan yang hidup di air tawar dalam sungai di kawasan tropika. Ia juga merupakan sejenis ikan ivertebrata yang seakan sama dengan 'Belut' tetapi dibahagian belakang ikan tilan ini sebenarnya ia memiliki sirip seperti duri berbaris dan memiliki tubuh yang agak pipih (Sila lihat foto diatas). Dari pemerhatian penulis mendapati anggota seperti sirip yang terdapat dibelakang tubuh ikan tilan ini berfungsi untuk melepaskan diri pada semasa ikan ini terkena pancing. Cara ia melepaskan diri dengan badannya akan menggulung dan berpusing-pusing apabila kena pancing. Ia bertujuan untuk memutuskan tali pancing dimana organ sirip yang ada di bahagian belakang ikan ini memang cukup tajam dan ikan tilan mampu melepaskan diri jika tali pancing terputus. Ikan ini memang selalunya akan makan pancing dengan umpan cacing atau udang sehingga jauh masuk kedalam bahagian perut dan amat sukar untuk terlepas. Bagaimana pun tali yang putus akibat tindakan ikan ini mampu melepaskannya. Dalam beberapa blog yang penulis rujuk tidak banyak yang menceritakan marfologi dan habitat mengenai ikan tilan. Ikan ini memang mendiami kawasan air tawar di sungai dan kolam yang kualiti air tidak tercemar lagi. Ia boleh berenang kepada umpan pancing dan memakannya. Ikan tilan hidup berasingan secara individu dan jarang berkumpulan seperti ikan jenis lain. Artikel subuh ini saya menulis lagi artikel ke 4,212 dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan tilan sebagai satu catitan selepas berkunjung kekampong Tilan di Kuala Lipis, Pahang.

Dalam pada itu ikan tilan ada memanggilnya sebagai 'Ikan Tili' sahaja mengikut bahasa kampong. Ikan ini boleh dipancing dengan mudah menggunakan pancing dengan mata kail, umpan cacing atau udang, tali tangi nylon halus dan joran dari batang buluh sahaja. Boleh gunakan tali tangsi 20 paun dan batu ladung buatan sendiri yang dibuat menggunakan batu jalan atau batu ladong yang dijual dikedai pancing. Bagaimana pun kini kita boleh menggunakan joran moden dengan kekili dan joran lentur yang sesuai. Penulis yang memang minat aktiviti memancing dahulu sering gunakan set pancing jenama Daiwa, Ajiking dan Penn. Alatan pancing ini dibeli disebuah kedai di Kahang, Kluang , Johor masa dulu kerana kedai ini menawarkan pilihan terbaik dengan harga yang berpatutan selain daripada khidmat nasihat yang praktikal dalam pemilihan set pancing. Selain daripada set pancing untuk memancing ikan darat, penjual juga menjual set pancing untuk memancing dilaut. Memancing ikan tilan tidak memerlukan skill hebat seperti memancing ikan lain. Bagaimana pun selalunya pemancing tidak dapat pastikan lubuk ikan tilan secara khusus sebaliknya hanya 'nasib' yang menentukan mereka dapat ikan tilan ketika memancing. Pada penulis memancing ikan tilan ini tidaklah sesukar mana tidak seperti memancing ikan lampan jawa atau ikan haruan. Memadai mata kail saiz no 10 atau 11, batu ladung saiz 2 atau 3 dan tali tangsi utama 15 paun. Batu ladung di ikat pada tali utama dan disambungkan ke perambut sepanjang 2-2.5 kaki. 


Daripada hasil temubual penulis dengan beberapa pemancing ikan air tawar, lazimnya jenis umpan yang didakwa paling efektif untuk memancing ikan tilan adalah cacing tanah. Cacing tanah merupakan sejenis umpan global di dalam arena memancing dalam air tawar sesuai juga untuk memancing ikan lain dan udang galah. Memasang umpan pada mata pancing mudah dilakukan iaitu dengan mencangkuk cacing pada mata kail dengan kuat dan kemudian membalingkan kebahagian tengah sungai. Sebaiknya dibiarkan arus air tersebut akan menghanyutkan umpan dan batu ladung tersebut sehingga kedasar atau sehingga ke tebing. Kecekapan seseorang pemancing mencampakkan mata pancing kelokasi tepat membolehkan ia mudah mendapat ikan. Kemudian apa yang berlaku pemancing perlu menunggu sehingga umpan di ragut ikan. Dalam banyak kes dan pengalaman pada kebiasaannya jika ada anak ikan baung disitu maka ia akan terlebih dahulu menyambar umpan tersebut. Selain itu ikan seluang (dalam bahasa Jawa dipanggil 'ikan wader') sering menyambar mata pancing tetapi jarang mengena kerana ikan ini aktif dan mempunyai mulut yang sangat kecil untuk menelan matakail. Apabila ada tanda mata pancing sudah diragut ikan maka ia ditarik keatas dan jika terkena ikan tilan maka ia sukar terlepas (Sila lihat foto disebelah). Bergantung kepada kedalaman mata kail ditelan, kalau jauh masuk kedalam perut ikan tilan  maka poton sahaja tali tangsinya.


Set pancing ringan biasanya sudah cukup untuk memancing Tilan (Sila lihat foto disebelah). Pemancinf sebenarnya tidak perlu membawa 'multiplier' elektrik kerana berat ikan Tilan hanya sekitar 200-300 gram seekor atau mungkin kecil lagi. Kebiasaannya pemancing akan membawa 2 set joran. Tetapi jika masa itu ikan galak memakan umpan maka lazimnya menggunakan sebatang pancing sudah cukup. Satu pancing ini akan membuat kita sibuk mengarau dan melontar umpan ke dalam sungai. Kecekapan pemancing untuk memilih lokasi dimana ada banyak ikan tilan bukan satu perkara yang dapat dipastikan. Ada beberapa pemancing yang mengenalpasti dimana lubuk ikan tilan berada tetapi tidak akan memberitahu kepada orang lain. Mungkin pekampungan Ikan Tilan ada di kawasan itu untuk dipancing. Ikan Tilan atau Ikan Tili adalah jenis yang selalunya akan merentap umpan dan melarikan diri dan membelit pada reba kayu di dasar sungai. Jadi apabila ada terasa tarikan maka 'strike' dan perlu mengarau tali sepantas mungkin. Ini kerana jika dibiar lama juga membuatkan ikan tilan ini akan menelan umpan jauh ke dalam mulut. Pemancing profesional dan nelayan sungai biasanya ada menyediakan banyak perambut supaya mereka boleh memutuskan mata kail yang ditelan ikan tilan dan seterusnya memasang perambut yang baru. Ini adalah kerana Tilan ini akan mengelupur dan cuba memuutuskan tali pancing dengan barisan duri yang terdapat sirip di atas badannya. Ikan tilan juga mempunyai sebatang duri yang agak panjang di bawah perutnya untuk putuskan tali pancing. Ikan ini walaupun tidak berbisa seperti ikan keli, sembilang atau duri tetapi cukup membuat kita tidak selesa untuk memancing lagi selepas itu. 

Ikan Tilan atau Ikan Tili ini perlu dibawa pulang segera selepas ditangkap. Ia kemudian perlu dibersihkan dan dibuang isi perutnya dan mata pancing jika masih melekat. Ikan Tilan ini sesuai dimasak secara masakkan kampung sahaja mengikut selera masing-masing. Pada penulis ikan tilan ini sedap jika dimasak sambal tumis atau kari bersama ubi kemili seperti masak Ikan Baung. Walau pun Ikan ini tidak bersisik dan licin tetapi mudah untuk disiang dan dipotong-potong mengikut kesesuaiannya. Dala kes lain penulis dapati ikan tilan juga sesuai dibakar sedikit dan dikikis kulitnya. Ramai dikalangan penduduk desa yang lebih suka pilihan yang ke-2 iaitu dengan membakar dan mengikis kulitnya kerana kaedah ini akan memberikan rasa yang lebih enak dan tidak hanyir. Apa yang umum perlu tahu adalah ikan tilan ini mempuntai tekstur isinya sedikit kenyal dan mirip daging ayam tetapi lebih halus. Penulis dahulu pernah cuba merasa masakan paprik Ikan Tilan dirumah kawan di Perak. Mungkin ada dikalangan orang muda atau golongan kanak-kanak yang mana pada mulanya tidak mahu merasa isi ikan ini. Tetapi apabila mereka mencuba sedikit mereka menghabiskannya. Ini kerana rasa lembut dan lemak yang ada ikan tilan memang sedap. Ada pula selepas itu akan bertanya apakan ikan tersebut dan dimana mereka boleh membelinya. Ini merupakan satu soalan yang susah untuk dijawab kerana ikan tilan tidak mudah mencarinya. Dalam pada itu antara resepi yang penulis paling suka adalah masakan Rendang Pedas Ikan Tilan yang dimakan dengan nasi panas (Sila lihat foto dibawah). Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
IKAN TILAN... MENGENALI DIA...
IKAN AIR TAWAR..ADA DIMANA...
BOLEH DIPANCING..BAGAIMANA...
DIMASAK PEDAS...ADUH ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Tilan, Tempoyang,
Kuala Lipis, Pahang,
Malaysia.
(29 Muharam 1438H)

Thursday, November 3, 2016

GENERASI MUDA CINTAKAN PERTANIAN ?

BAGAIMANAKAH untuk melahirkan generasi muda yang akan cintakan pertanian di Malaysia?. Itu merupakan antara satu stigma yang perlu dibincangkan dalam rencana penulis blog Anim Agro Technology kali ini. Daripada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian menunjukkan purata umur mereka yang aktif dalam sektor pertanian adalah warga yang berusia lebih daripada 50 tahun dan juga dari segi sektor pekerja ladang adalah buruh asing. Dimanakah golongan pelapis pertanian pada masa akan datang ini disediakan melalui program yang sesuai sedia ada?. Beberapa program jangka panjang dan jangkapendek bagi menyediakan golongan muda yang cintakan pertanian mungkin merupakan satu keperluan dalam masyarakat kita. Sebagai contoh proses pendedahan pelajar-pelajar sekolah daripada peringkat awal untuk minat dalam bidang pertanian perlu dipergiatkan. Sebagai contoh ada pelajar akan tertarik untuk melihat dengan lebih dekat tanaman herba di taman herba sekolah dengan aktiviti sesuai (Sila lihat foto diatas). Pada penulis sektor pertanian akan terus penting bagi memastikan negara mempunyai simpanan makanan yang mencukupi untuk tahun-tahun yang mendatang. Sektor pertanian menyumbang sebanyak 9.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014 dan sebanyak 1.7 juta pekerjaan terhasil dalam tahun yang sama. Namun melalui beberapa Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan menyasarkan sumbangan sektor ini akan dapat meningkat pada tahun 2020 selain berhasrat menjadikannya sebagai perniagaan. Beberapa perubahan teknologi yang semakin maju meyakinkan bahawa pertanian bukan lagi terhad kepada pengeluaran ladang sebaliknya sudah memasuki dunia yang lebih luas seperti penghasilan benih atau baka baru, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian. Pada penulis pertanian melibatkan aktiviti yang menyeluruh dari ladang hinggalah ke dapur pengguna. Pertanian kini melibatkan penggunaan bioteknologi, kejurutera­an genetik, kultur tisu, pertanian persis dan pelbagai lagi teknologi baharu. Penggunaan teknologi dalam pertanian amatlah diperlukan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Artikel subuh ini saya menulis rencana dalam "Anim Agro Technology" mengenai topik iaitu bagaimana menjadikan generasi muda untuk mencintai pertanian untuk masa akan datang.

Mungkin kita semua sedar bahawa pertanian adalah satu aktiviti utama negara pada suatu ketika dahulu. Namun hari ini sumbangan sektor pertanian sudah berkurangan dalam pertumbuhan ekonomi negara disebabkan sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan terus melonjak dengan cepat. Kini ada isu dimana golongan pekerja pertanian sudah berkurangan dalam sektor pengeluaran makanan, perikanan, perladangan dan penternakan. Penulis dapati semasa membuat tinjauan kebanyak lokasi projek pertanian mendapati memang tidak ramai anak muda yang terlibat dalam sektor pertanian. Ini juga berkait dengan kaedah menarik minat pelajar sekolah untuk aktif dalam kelab pertanian sekolah (Sila lihat foto disebelah). Pengusaha pertanian tradisional sedia di luar bandar sudah mencecah umur 50an. Dalam pada itu semakin ramai generasi muda yang berhijrah ke bandar mencari rezeki di kilang-kilang, di sektor peruncitan dan sektor perkhidmatan lain. Mereka yang tinggal dikawasan desa hanya sedikit bilangannya untuk terlibat dengan sektor pertanian. Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi beberapa negara lain didunia dimana kadar migrasi dari luar bandar kebandar amat ketara. Kerajaan pernah menguar-uarkan sehingga dijadikan slogan 'Pertanian adalah Perniagaan' sebagai satu usaha menarik minat golongan muda untuk kembali kesektor pertanian. Persoalannya mungkin kita kena fikir sejauh mana sambutan golongan muda terhadap hasrat ini?. Daripada perangkaan didapati ramai lepasan sekolah menengah lebih rela bekerja di kilang dan dipremis perniagaan daripada bekerja di ladang di mana kerjanya adalah lebih lasak dan memenatkan dengan panas dan memerlukan minat yang tinggi.

Dalam menganalisa mengenai isu ini ada kemungkinan perkara ini berlaku kerana sikap negatif golongan muda dan juga orang dewasa terhadap sektor ini. Pertanian juga ada yang mengkatakan sebagai 'sunset industry' walau pun ianya disangkal oleh pihak lain. Pekerjaan didalam bidang pertanian dianggap sebagai pekerjaan khusus untuk luar bandar dan tidak menyeronokkan. Pada saya memang ujud stigma, persepsi, sikap, pandangan negatif yang menyelubungi kita menjadikan pertanian tidak mampu menarik golongan muda ke dalam sektor ini. Inilah akibatnya apabila sikap positif terhadapnya tidak dibentuk sejak dari bangku sekolah. Banyak sekolah di Malaysia tidak menawarkan mata pelajar Sains Pertanian pada peringkat menengah atas. Pada 2014 sahaja sebagai contoh jumlah pelajar di peringkat menengah atas adalah sekitar 800,000 orang. Bagaimana pun da­ripada jumlah ini berapa ramai pula yang didedahkan dengan mata pelajaran Sains Pertanian?. Tanggapan ini selaras dengan pengeluaran guru pertanian. Misal-
nya Universiti Putra Malaysia (UPM) dimana hanya menghasilkan antara 35-40 orang guru pertanian setiap tahun. Dalam empat tahun yang akan datang iaitu tahun 2020 tidak ada guru pertanian yang dikeluarkan kerana tiada dibuat unjuran keperluan guru pertanian daripada pihak Kementerian Pendidikan. Kalau benar guru pertanian tidak diperlukan cuba fikirkan apa akan jadi dengan penawaran mata pelajaran ini di sekolah-sekolah dan hasrat kerajaan untuk meningkat peranan pertanian dalam pembangunan ekonomi negara?. Sekiranya mata pelajaran pertanian ­ingin ditawarkan kepada pelajar yang ramai supaya lebih banyak generasi muda cintakan pertanian, maka lebih ramai guru pertanian perlu dihasilkan. Persoalannya pula adakah Kementerian Pendidikan berhasrat meningkatkan kecintaan pelajar sekolah kepada pertanian?. Ini melibatkan dasar dan polisi yang jelas. Walau pun ujud beberapa institusi seperti Institut Pertanian, NATC, Kolej RISDA dan beberapa institusi lain tetali ianya dianggap masih belum mencukupi.

Menyetuh mengenai pakar mendidik dalam pertanian, berkemungkinan ada dalam kalangan warga pendidik khususnya para pentadbir sekolah yang tidak menganggap pertanian sebagai satu mata pelajaran yang boleh membina sikap positif golongan muda kepada bidang pertanian (Sila lihat foto disebelah). Mungkin ada juga dalam kalangan pentadbir sekolah yang merasakan pertanian adalah untuk golongan pelajar tertentu sahaja. Ini mungkin berlaku kerana ketidakfahaman bahawa pertanian adalah satu bidang yang penuh dengan aplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pengetahuan sains dan teknologi berperanan penting jika pertanian hendak difahami dengan mendalam. Pada masa kini banyak ada teknologi baru sudah diperkenalkan oleh saintis pertanian. Sekolah-sekolah di bandar boleh memperkenalkan pertanian bandaran secara hidroponik atau secara sistem fertigasi. Kawasan berkebun bukan lagi menjadi halangan untuk sekolah tidak menawarkan mata pelajaran Sains Pertanian. Mungkinkah tiada penawaran disebabkan oleh kekurangan guru pertanian? atau mungkinkah tiada penawaran disebabkan tiada keinginan oleh pihak sekolah untuk berbuat demikian?. Sebenarnya selagi pertanian masih dianggap sebagai penanaman dan pemeliharaan ternakan semata-mata, maka pertanian tidak akan maju. Selagi pertanian tidak dianggap sebagai satu jenis keusahawanan maka selagi itu pertanian tidak mendapat tempat di hati golongan muda. Memang menjadi tanggungjawab pihak sekolah, kementerian berkenaan dan masyarakat untuk memberikan tumpuan serius terhadap sektor ini. Difikirkan memang perlu ada kerjasama di antara agensi pertanian dan sekolah untuk memberi suntikan baru kepada pengajaran dan proses pembelajaran pertanian di sekolah bagi menimbulkan minat golongan muda menceburi bidang ini.

Sebaiknya pihak sekolah perlu menawarkan subjek pertanian kepada pelajarnya tanpa mengira kemampuan akademik. Sekolah tidak boleh lagi mengatakan sains pertanian sesuai untuk golongan pelajar yang rendah kebolehan akademik mereka iaitu tanggapan yang ada sebelum ini. Sebaiknya untuk menggalakkan kecintaan golongan muda kepada bidang pertanian dimana perlu diwujudkan Kelab Usahawan Tani di setiap sekolah di negara ini dan juga di peringkat nasional. Antara langkah ini boleh memberi suntikan baru kepada bidang pertanian apabila anak-anak yang masih di bangku sekolah didedahkan dengan ilmu pertanian dan terlibat aktif dalam Kelab Usahawan Tani. Sebenarnya memang perlu satu bentuk kerjasama antara tiga kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerjasama erat dan terancang ini adalah amat diperlukan kerana masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri. Pada penulis diharap dengan wujudnya kerjasama yang erat antara ketiga-tiga kementerian maka usaha memperkasakan pertanian dapat dicapai. Semoga dengan kerjasama ini negara dapat menghasilkan generasi yang cintakan pertanian. Artikel asal disesuaikan dari laporan akhbar oleh pensyarah daripada Fakulti Pengajian Pendidikan UPM yang ditulis semula. Semuga anda mendapat info berguna daripada rencana kali ini. Wasallam!!..
GULONGAN MUDA... APA MINATNYA...
SEKTOR PERTANIAN...AMAT KURANGNYA...
PENDIDIKAN DISEKOLAH...BAGAIMANA...
ARTIKEL DITULIS... DIKONGSI SAMA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Sekolah Pendidikan Khas,
Jalan Sg Lembing, Kuantan,
Malaysia.
(1 Safar 1438H).

Wednesday, November 2, 2016

RACUN MAKHLUK PEROSAK - APA DIA?

APAKAH DIA RACUN MAKHLUK PEROSAK?. Ini ianya merupakan satu soalan yang amat penting bagi semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian terutamanya petani, pegawai pengemvangan, pengeluar bahan racun dan pejabat kesihatan. Dari segi definasi Racun Makhluk Perosak atau ringkasnya RMP ialah sebarang bahan atau sebatian dimana penggunaannya adalah bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Racun perosak mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), antimikrob, bahan penyahjangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Makhluk perosak termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod, danmikrob yang merosakkan benda, menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak, ia tetap ada keburukannya seperti potensi keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Mengikut Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan, 9 daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal (berterusan) ialah racun perosak. Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat peganti kimia iaitu racun rumpai, racun kulat, racun serangga dan racun bakteria. Bagaimana pun dalam kursus yang penulis hadir mengenai Racun Kimia ia dibahagikan lebih spesifik kepada sasaran perosak (target). Kini jenis racun perosak dikelaskan kepada Racun Alga (Algaecide), Racun Burung (Avicide), Racun Bakteria (Bacteriacide), Racun Kulat (Fungicide), Racun Serangga (Insecticide), Racun Kutu (Miticide/Acaricide), Racun Moluska Molluscicide atau Siput), Racun Cacing Nematod (Nematicide), Racun Tikus atau Roden (Rodenticide) dan akhir sekali adalah RacunVirus. Anda mungkin hanya kenal dengan beberapa jenis racun sahaja iaitu Racun Kulat, Racun, Serangga dan Racun Tikus serta Racun Rumpai yang sering dibeli dan digunakan dikebun. Industri kimia dalam menghasilkan racun adalah besar yang dibuat dalam negara dan juga produk racun yang diimport. Apa pun semua aktiviti pengeluaran, pengiklanan, pengedaran, penjualan, penggunaan dan sebagainya mengenai racun adalah dikawal dengan akta. Artikel ke 4,099 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah dia info mengenai RMP sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Di Malaysia semua perkara yang berkaitan dengan Racun Kimia adalah dikawal melalui Akta Racun Makhluk Perosak 1974, racun perosak ditakrifkan sebagai sebarang bahan yang digunakan untuk mengawal penyebaran atau untuk tujuan membunuh perosak-perosak seperti kulat patogen, serangga, haiwan dan rumpai (Sila  lihat foto disebelah). Berdasarkan definasi yang tercatat dalam akta ini, ternyata racun perosak dikelaskan dalam racun yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan kesihatan. Terdapat beberapa kelas racun perosak dalam istilah Inggeris yang berakhir dengan "cide", yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud "untuk membunuh". Misalnya racun serangga (Insecticide) yang digunakan untuk membunuh serangga, racun rumpai (Herbicide) untuk mengawal rumpai, racun kulat (Fungicide) untuk membunuh kulat patogendan racun bakteria (Bactericide) untuk membunuh bakteria. Kini selain daripada bahan-bahan tersebut terdapat juga unsur atau sebatian-sebatian kimia yang tidak mempunyai akhiran cide tetapi masih tergolong di dalam racun perosak. Contoh sebatian-sebatian itu ialah seperti bahan pengontang, peluruh daun, pengatur tumbesaran (growth regulators), bahan pengusir (Repellent) dan bahan penyahjangkitan. Kebanyakan bahan tersebut tidak membunuh perosak. Nama racun yang digunakan bagi setiap racun perosak mempunyai tiga jenis nama iaitu Nama Biasa, Nama Dagangan dan Nama Kimia. Nama dagangan ialah nama sesuatu keluaran racun perosak yang diberikan sendiri oleh pihak pengeluar atau pengilang. Terdapat beberapa racun perosak yang mempunyai perawis aktif yang sama tetapi mempunyai nama dagangan yang berbeza-beza bergantung kepada pengeluar. Contohnya, paraquat iaitu nama biasa mempunyai pelbagai nama dagangan seperti Gramoxone® (keluaran I.C.I) dan Harquat (Crop Protection) dan berbagai-bagai lagi nama lain. Terdapat juga beberapa syarikat pengeluar yang sama menggunakan nama dagangan yang berbeza disebabkan perbezaan kandungan dalam perumusan tersebut. Apa pun kesemuanya mesti melalui proses pendaftaran dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) sebelum boleh dipasarkan.

Nama Biasa bagi racun yang ada dijual dipasaran selalunya ialah nama Perawis Aktif (active ingredient) bagi sesuatu perumusan. Misalnya racun jenama ROUND-UP, BASTA, PARAQUAT, MALATHION, DECIS dan CAPSTAN ialah nama biasa bagi perawis aktif sesuatu perumusan. Bahan sebenarnya yang memberi kesan ke atas rumpai, serangga atau kulat yang hendak dikawal. Nama biasa sesuatu bahan diberikan secara rasmi oleh badan atau pertubuhan yang disahkan olehPertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) atau Institut Pemiawaian British (BSI). Biasanya nama biasa racun rumpai diberikan oleh Persatuan Sains Rumpai Amerika (PSRA), racun serangga oleh Persatuan Entomologi Amerika (ESA) dan racun kulat oleh Persatuan Fitopatologi Amerika (PFA). Penggunaan nama biasa bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan akibat perbezaan nama dagangan dan untuk mengelakkan daripada penonjolan hasil sesuatu pengilang atau pengeluar. Sementara itu Nama Kimia sesuatu molekul racun adalah berasaskan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Perkhidmatan Abstrak Bahan Kimia yang dianggap sebagai piawai di seluruh dunia. Nama kimia ini biasanya ditulis di bawah formula struktur sesuatu sebatian. Sekiranya ia tidak diketahui, maka formula molekul yang hanya jelas mengandungi bilangan atom sahaja ditulis. Apa pun peraturan perlabelan yang ketat membolehkan pengguna boleh merujuk mengenai spesifikasi racun kimia. Racun perosak tidak digunakan dalam bentuk bahan kimia tetapi sebaliknya sebatian kimia tersebut perlu diproseskan terlebih dahulu oleh pengilang sebelum boleh digunakan. Pengeluar kelazimannya akan memproses sesuatu sebatian tersebut dengan cara mencampurkan dengan bahan-bahan lain seperti pengemulsi, pelarut atau agen pembasah tertentu. Proses tersebut dikenali sebagai perumusan. 


Racun perosak boleh digunakan dengan hanya mengikut cara-cara yang ditulis pada label dan diberikan oleh pengeluar. Biasanya pengguna hanya perlu mencairkan racun tersebut dan dicampur dengan air sesuai atau boleh juga digunakan terus (disembur) yang juga bergantung kepada jenis perumusan. Faedah-faedah lain yang boleh didapati daripada perumusan itu ialah dimana ia boeh meningkatkan kesan fitotoksik racun rumpai dan membolehkannya lama disimpan dan tidak cepat rosak akibat perubahan cuaca dan masa. Keadaan ini akam memudahkan ia diurus oleh pengguna. Lazimnya sesuatu racun perosak boleh didapati dalam beberapa bentuk perumusan yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk Emulsi Pekat (concentrate emulsion), Serbuk (Powder) atau Granul (Granules). Walaupun begitu, keadaan ini jarang terdapat dalam pasaran kerana kebanyakan racun perosak akan ada dalam satu bentuk sahaja iaitu kebanyakannya dalam bentul cecair. Sekiranya terdapat beberapa bentuk perumusan bagi satu jenis racun perosak, maka pengguna mempunyai peluang untuk memilih perumusan yang lebih berkesan bagi sesuatu perosak. Pemilihan boleh dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Selain daripada itu faktor-faktor lain seperti masalah hanyutan dan kesan kecederaan ke atas bahagian-bahagian yang dikawal juga mempengaruihi dalam pemilihan sesuatu bentuk perumusan racun.


Dalam membincangkan kes-kes racun memang perlu di beritahu akan kesan sampingan racun makhluk perosak. Kadar penggunaan yang sangat tinggi untuk racun perosak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai kerana terdapat bukti bahawa ia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan buruk ke atas alam sekitar dan manusia sendiri. Terdapat pelbagai kesan dalam penggunaan racun perosak. Cara mengguna racun dengan betul mampu mengelakkan kesan racun kepada pengguna. Sebarang kecederaan atau kesan toksik racun semmestinya dibuat rawatan segera. Beberapa anggotan bandan yang mudah terkena racun seperti bahagian mata, muka, hidung, tangan, kaki dan semua bahagian yang terdedah akibat amalan keselamatan meracun yang tidak dipatuhi. Ada sesetengah penggguna racun akan menderia dibahagian tangan kerana terkena racun dan perlukan rawatan segera (Sila lihat foto disebelah). Pengguna perlu tahu apakah tanda amaran mengenai bahayanya racun perosak. Salah satu daripada kesan yang ditimbulkan oleh racun perosak ialah kewujudan kerintangan perosak terhadap bahan yang digunakan. Ini bermakna perosak lali terhadap racun yang digunakan. Keadaan ini selalunya wujud akibat penggunaan satu jenis racun sahaja secara berterusan. Akibat daripada wujudnya daya rintangan itu maka perbelanjaan untuk mengawal perosak makin meningkat. Jenis racun terpaksa ditukar bagi mengelakkan wujudnya kerintangan di kalangan perosak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan kerugian kepada petani kerana perbelanjaan yang lebih besar diperlukan untuk mengawal perosak. Kerintangan perosak bukanlah suatu perkara baru, ia telah dikesan berlaku beberapa dekad yang lalu. Keupayaan perosak mewujudkan daya rintangan telah mula dikesan sejak 1908. Sebagai contoh Quadraspidiotus perniciosus didapati mewujudkan daya rintangan terhadap sulfur. Kemudiannya kerintangan "codling moth" terhadap plumbum arsenat mula dikesan dalam tahun 1928. Racun juga menyebabkan kecederaan kepada tanaman sekiranya racun tersebut tidak digunakan dengan cermat. Racun rumpai sering mampu menyebabkan kecederaan pada tanaman berbanding dengan racun perosak yang lain. Ini mungkin kerana fungsinya untuk membunuh tumbuh-tumbuhan sedangkan racun-racun lain pula digunakan untuk membunuh perosak yang mempunyai sifat-sifat fisiologi yang berbeza dengan tumbuhan.


Kesan kecederaan racun ke atas tanaman juga dapat dilihat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk, warna daun dan juga kadar pertumbuhan pokok. Bagaimanapun perubahan fizikal yang berlaku akibat racun tersebut agak sukar untuk dibezakan dengan kesan yang disebabkan oleh kekurangan nutrien. Racun yang terkena atau diserap oleh tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan daun menjadi kerinting dan kadang-kadang terdapat tompok-tompok kuning di atas permukaan daun. Terdapat juga tanaman yang akan terencat pertumbuhannya akibat sisa racun di dalam tanah. Kesan-kesan fitotoksik ini jelas kelihatan terutama pada benih tanaman. Racun jenis Glisophate sebagai contoh dari pemerhatian penulis dan Racun yang mengandungi bahan Amitrol memberi kesan mengurangkan ketinggian pokok, panjang daun dan berat basah pucuk. Kesan lain daripada fitotoksik racun pada peringkat awal pertumbuhan akan mempengaruhi penghasilan tanaman. Ini kerana tanaman yang terkana racun akan terencat pertumbuhannya dan hasil akan berkurangan. Pada peringkat sel pula daripada kajian didapati dimana racun perosak boleh mempengaruhi lain dalam pelbagai proses. Misalnya bahan glifosate dalam tisu jagung dan kapas boleh merencatkan pengangkutan Auksin, iaitu hormon yang penting dalam proses pembahagian dan pembesaran sel. Bahan glisophate yang diberikan pada kadar kepekatan 5 mm boleh mengurangkan sintesis protein, RNA dan lipid pada sel daun kacang soya. Keselamatan semasa pengendalian racun perosak juga penting dalam mengendalikan racun oleh pengguna. Terdapat banyak kes yang dilaporkan mengenai orang terminum racun perosak atas sebab-sebab kecuaian. Ramai di antara mangsa maut akibat lambat mendapat rawatan. Kemalangan yang berlaku mungkin dapat dielakkan sekiranya para pengguna untuk mengambil langkah-langkah keselamatan. Setiap pengguna wajib mengetahui cara-cara mengendalikan racun perosak, bermula dari pembelian sehinggalah kepada cara-cara membuang bekas-bekas isian racun perosak. Pengetahuan ini penting agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini berlaku berkenaan racun perosak. Pihak majikan perlu memberi penerangan kepada para pekerja mereka tentang bahaya racun perosak. Bagi memastikan segala peraturan diikuti oleh para pekerja, maka majikan perlu menyediakan pakaian dan alat yang sesuai kepada setiap pekerja serta meminta mereka menggunakan pakaian dan alat tersebut ketika mengendalikan racun perosak. Kebanyakan pekerja tidak mengetahui teknik mencampur atau menyembur racun perosak mengikut kaedah-kaedah yang disyorkan. Oleh yang demikian majikan perlulah memberi tunjuk dan panduan kepada para pekerja mereka agar kemalangan dapat dielakkan. Sebelum membeli sesuatu racun perosak, maka pengguna mestilah memastikan apakah jenis perosak yang hendak dikawal. Racun perlulah dipilih sesuai dengan perosak yang ingin dituju dengan membaca label yang terlekat pada botol racun atau bungkusan racun perosak. Artikel mengenai racun makhluk perosak ini diharap dapat memberikan sedikit penjelasan kepada pembaca blog Anim Agro Technology. Sebarang kenyataan adalah dirujuk daripada sumber yang boleh dipercayai. Wasallam!!...

RACUN MAKHLUK PEROSAK... ITU APA...
ADA DIJUAL... DIMANA KEDAI RACUN JUA...
PERLU DIGUNA... BACA ATURANNYA...
POKOK SIHAT... HASIL BERGANDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 7, Hotel Sri Rompin,
PT 2261, Kuala Rompin,
Pahang, Malaysia.
(22 Zulhijjah 1437H)

Tuesday, November 1, 2016

PUCUK MANIS - SAYUR BERKHASIAT

PUCUK MANIS (Souropus androgynus) atau juga dipanggil sebagai 'Cekur Manis' merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di negara Asia Tenggara seperti neara Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ia juga dikenali sebagai 'Mani Cai' dalam bahasa Cina, Sweet Shoot (Inggeris) dan 'Rau Ngot' dalam bahasa Vietnam dan sebagainya. Penulis sangat kenal dengan tumbuhan ini sejak kecil lagi kerana memang ada ditanam disekeliling rumah dikampong dan dimakan daunnya sebagai sayuran. Daun cekur manis selalunya dipetik akan dimasak lemak atau tumis air untuk hidangan makan tengahari. Dalam beberapa kes dilaporkan ada yang mengambil daun cekur manis untuk di peram atau di jeruk dan dijadikan bahan masakan yang sungguh menyelerakan. Dalam beberapa kali tinjauan mengenai tanaman di negara jiran penulis dapati pucuk manis ini merupakan salah satu sayuran daun yang popular di Asia Selatan dan terkenal kerana banyak ditanam untuk dijadikan makanan kerana ia didapati sedap. Bahagian pucukn mud merupakan bahagian lembut yang rangup, manis dimana ia juga boleh dimakan sebagai ulam atau dimasak jadi sayuran. Di beberapa negara jiran dan di Malaysia pucuk pucuk manis ini dimasak sebagai sup bersama belacan, ikan bilis, ketam atau udang kering. Pucuk muda cekur manis boleh direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau pencecah lain sebagai ulam. Rasanya manis, lemak dan semacam ada rasa sedikit berangin. Daripada beberap jurnal yang penulis rujuk, pucuk manis merupakan sayuran yang kaya dengan sumber vitamin K yang tinggi. Bagaimanapun ada beberpa laporan daripada kajian mendapati bahawa pengambilan berlebihan air cekur manis akan menyebabkan kerosakan pada organ paru-paru disebabkan kepekatan tinggi alkaloid papaverine didalamnya. Kes ini telah dikenalpasti di Taiwan sekitar tahun 1990'an apabila penduduk disama amat suka makan pucuk manis secara berlebihan akibat keenakannya. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" bilangan ke 4,139 mengenai tanaman pucuk manis sebagai sejenis sayuran berkhasiat.


Mengenali pokok pucuk manis memang mudah kerana ciri pokok tersebut yang agak unik. Tumbuhan renek saka ini boleh tumbuh sehingga ketinggian 8 m jika tidak dicantas. Bagaimana pun lazimnya untuk penanaman secara komersil ia akan dicantas dengan paras ketinggian sekitar 0.5-1.0 meter dari paras tanah untuk memudahkan aktiviti memetik hasil (Sila lihat foto disebelah). Semakin banyak kali aktiviti memetik hasil dibahagian pucuk maka semakin banyak ranting baru keluar dan membolehkan pokok mengembang serta banyak pucuk baru. Ia mempunyai jenis batang separa berkayu dimana lazimnya tidak banyak bercabang jika tidak dicantas. Daunnya berwarna hijau tua ketika muda dan kemudian bertukar keperangan setelah matang. Ia mempunyai jenis daun tunggal dengan susunan berselang-seli, berbentuk bujur, hujung tirus, hijau tua pada permukaan atas manakala hijau muda di permukaan bawah dan juga selalunya di tepi adalah rata. Pokok pucuk manis mempunyai bunga tunggal yang kecil dan berbentuk bulat. Bunga ini berwarna hijau keputihan ketika muda dan bertukar merah jambu ketika tua dimana ia selalunya akan keluar dari celah ketiak daun di balik daun. Paling penulis suka adalah pokok pucuk manis yang matang akan mengeluarkan buah berbentuk kapsul, bulat dan berlekuk enam. Ia mempunyai saiz yang sederhana besar dan berwarna hijau muda ketika muda kemudian akan bertukar kepada warna putih keunguan setelah masak. Akhirnya ia akan merekah kepada tiga pangsa apabila telah tua bagi melepaskan biji-biji untuk proses pembiakan secara semulajadi. Bagaimana pun kaedah penanaman pucuk manis lebih mudah menggunakan benih daripada keratan batang.


Tanaman pucuk manis diambil bahagian daun terutama pucuk muda untuk dijadikan sayuran. Daripada kajian saintis permakanan dilaporkan pucuk manis merupakan salah satu daripada beberapa tumbuhan yang memiliki vitamin K. Daun pokok cekur manis adalah popular sebagai sayuran di Malaysia dan negara ASEAN lain sebagai pilihan. Pokok pucuk manis ini ada dihidangkan dibeberapa restoren makanan tradisional tengahari sebagai menu yang menjadi pilihan pelanggan. Kajian menunjukkan daun pokok pucuk manis terutamanya daun segar mengandungi banyak bahan seperti Provitamin A karotinoid. Ia banyak pada bahagian daunnya yang baru dipetik dan masih segar. Selain itu ia juga kaya dengan kandungan vitamin B, Vitamin C  serta Protein dan mineral galian. Kandungan zatnya semakin tinggi dalam daun yang berwarna hijau gelap dan matang. Daripada beberapa rujukkan dilaporkan pucuk manis ini mampu merawat panas badan, mengawal tekanan darah rendah dan sesuai untuk wanita yang baru bersalin terutama untuk tujuan pengeluaran susu ibu. Ia juga didakwa mampu untuk membaiki sistem pembuangan air kecil bermasalah serta menghilangkan masaalah pening kepala dan membantu mengatasi penyakit jantung dan saluran darah (kardiovaskular). Pokok cekur manis membiak melalui dua kaedah biasa iatu biji benih dan keratan batang namun benih yang dihasilkan melalui keratan batang lebih bermutu. Ia boleh tumbuh subur di kawasan bercahaya matahari penuh ataupun di kawasan naungan yang redup. Ia juga mampu bertahan terhadap tanah yang mempunyai kandungan asid yang tinggi (masam kelat), selain mampu dan boleh tumbuh dikawasan tanah liat.

Dalam pada penulis membuat tinjauan rambang terutama dikalangan generasi muda, didapati masih ramai yang belum mengenali pokok cekur manis. Ada juga yang kurang suka makan pucuk manis ini kerana ia merupakan jenis sayuran tradisional yang biasanya diperoleh di kawasan luar bandar. Pucuk Manis adalah sayuran dari keluarga Euphorbiaceae dimana ia merupakan sayuran tradisional. Ia adalah pokok yang tumbuh renek dan mencapai ketinggian hingga 3.5 - 8.0 meter. Batang tidak mudah bercabang kecuali bila dicantas. Pada batang terdapat ranting ranting lateral pendek dan daunnya tumbuh secara berselang seli hingga ke hujung (Sila anda lihat foto disebelah). Daun cekur manis beraroma sedikit bila diramas, buahnya globos berukuran1.5 cm diameter, berpangsa tiga dan berwarna putih kemerahan. Cekur manis juga dipanggil sayur pucuk manis atau asin asin dan mempunyai warna hijau gelap serta ditanam di Asia Tenggara, India,Sri Lanka dan selatan China. Cekur manis kaya dengan kabohaiderat, lemak, serabut, asid amino, besi, fosforus, kalsium, vitamin A, B1, B2 dan C. Dari segi khasiat makanan, daun, pucuk boleh dimasak air, digoreng atau dimakan mentah. Buah cekur manis boleh dijadikan jeruk manis. Khasiat ubatan cekur manis boleh merangsang pengeluaran susu ibu dan ubat bagi memulihkan wanita lepas bersalin, ia mengubat demam panas, masalah buang air kecil, merawat pening, melawaskan kencing dan hidung berdarah.


Pembiakan dan penanaman pucuk atau cekur manis mudah dibiakkan melalui sistem batang yang berkayu keras, ystem sepanjang 20-25 cm boleh ditanam terus kebatas atau dibiakkan di dalam polibag yang diisi media tanah campuran dan diletak di tapak semaian. Batas disiapkan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang batas bersesuaian dengan kawasan penanaman. Cekur manis memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai bahan organaik yang tinggi. Jarak tanaman yang sesuai ialah 50-100 sm antara pokok dan 100-120 sm antara barisan tanaman. Tanaman dibuat satu barisan sahaja kerana ia akan bercabang banyak bila selalu melakukan cantasan. Pokok boleh bertahan sehingga 8-10 tahun jika penjagaan sempurna. Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan, tanaman perlu disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis. Pengawalan rumpai dijalankan bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Semua jenis rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman.


Tanaman pucuk manis perlukan cara pembajaan yang dijadualkan. Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan. Selalunya penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 boleh digunakan dengan kadar 80-100 gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus. Jadual pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan dengan bahan sistem tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga kg /meter persegi. Baja foliar bagi semburan daun boleh digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan daun bekalan bergantung pada pasaran. Pemangkasan dijalankan selalu. Pucuk manis memerlukan pemangkasan bagi memastikan pokok tidak terlalu tinggi dan menyukarkan penuaian hasil, ketinggian yang disyorkan ialah antara 1.0-1.2 meter. Pokok perlu dicantas bagi mengawai ketinggian dan menggalakkan pertumbuhan tunas atau pucuk baru. Bagi kes kawalan perosak tidak bermasaalah kerana pucuk manis jarang diserang perosak daripada peringkat awal penanaman kecuali ada kejadian serangan koya, hamama dan ianya mudah dikawal. Bagaimana pun jika terdapat banyak serangan serangga biasanya pokok boleh dicantas secara keseluruhan bagi mengurangkan perosak mengikut ketinggian yang dikehendaki. Penuaian pucuk manis dengan memetik secara manual pucuk muda dengan tangan. Ia boleh dituai setiap hari dengan memotong kira 20-25 cm dari pucuk. Pucuk di susun dan ditimbang antara 300-400 g dan kemudian diikat atau dimasukkan di dalam bekas seperti polistyrene yang di lubangkan bagi tujuan perpeluhan dan dijual di pasaran. Memang enak makan pucuk manis goreng belacan ketika masih panas lagi. Wasallam!...
PUCUK MANNIS... MUDAH TANAMNYA...
MENJADI PILIHAN... GENERASI LAMA...
PUCUKNYA DIPETIK... DIJUAL SENTIASA...
TANAM SENDIRI... MUDAH SAHAJA DIA...

By, 
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Tanaman Cekur Manis Komersil,
Kg Air Bemban, Jasin, 
Melaka, Malaysia.
(23 Muharam 1438H)

Monday, October 31, 2016

GRED BUAH DURIAN BELANDA

DURIAN BELANDA (Annona muricata Linn) adalah tanaman buah-buahan tropika daripada famili Annonaceae dipercayai berasal dari Amerika Selatan. Adakah anda kenal dan mahu serta tahu bagaimana hendak menanam pokok buah durian belanda?. Rasanya mungkin tidak ramai dikalangan petani yang dapat menjawabnya. Ini kerana industri penanaman pokok durian belanda di Malaysia masih kurang dilakukan disebabkan oleh banyak faktur. Tidak ramai petani dan usahawan muda yang menanam pokok durian belanda secara monokrop secara meluas dimana lazimnya mereka akan menanam dengan campuran dengan tanaman lain. Dalam beberapa info yang saya rujuk, tanaman durian belanda akan hidup subur di atas tanah jenis lom liat berpasir, pH tanah antara lima hing­ga tujuh dan bersaliran baik. Daripada ladang yang penulis lawati, keadaan saliran baik penting disediakan kerana beberapa petani menyatakan pokok ini memang kurang sesuai jika kawasan mudah ditenggelami dengan air atau paras air tanah yang tinggi. Terdapat beberapa jenis varieti durian belanda yang telah didaftarkan di Malaysia seperti DB1, DB2 dan DB3 tetapi kesemua varieti ini belum lagi disyorkan penanamannya secara komersil oleh Jabatan Pertanian. Antara isu dalam industri penanaman buah durian belanda adalah masaalah pendebungaan dan kejadian buah yang amat rendah (iaitu sekitar 5-10% sahaja). kaedah pendebungaan berbantu didapati mampu meningkatkan kadar pembentukkan putik dan buah durian belanda. Kehadiran beberapa jenis agen pendebungaan pada bunga durian belanda amat kritikal dimana jika kurang atau tiada agen tersebut kadar pungutan hasil akan jauh lebih rendah. Artkel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi penanaman durian belanda dan grading buah durian belanda untuk dijadikan bahan bacaan pembaca semua.


Dalam beberapa pemerhatian yang penulis jalankan, lazimnya pokok durian belanda yang sihat dan matang mampu berbuah dengan kualiti buah yang tidak menentu akibat proses pendebungaan yang kurang dijaga. Pokok durian belanda dewasa lazimnya mampu berbuah sepanjang tahun. Walau bagaimana pun durian belanda adalah jenis tanaman bermusim dengan kemuncak pengeluaran pada November, Disember dan Januari. Ini menyebabkan ramai petani kurang menyukai tanam durian belanda kerana ketidakpastian tentang pengeluaran buah akibat masaalah pendebungaan semulajadi yang rendah dan juga paras harga ladang. Selain itu kualiti buah juga tidak menentu dimana rupabentuk dan saiz buah yang tidak seragam disebabkan kepada amalan agronomi seperti pembajaan, sistem pengairan an ada yang rosak sebelum dituai. Walau pun kini tahap permintaan untuk buah durian belanda segar tinggi untuk jualan segar dan diproses, namun tidak banyak buah berkualiti dengan gred A yang tersedia dipasaran. Satu laporan lamanweb yang penulis rujuk ada menyatakan dalam kawasan Asia Tenggara dilaporknan bahawa negara pengeluar utama ialah Filipina, Indonesia, Malaysia dan Vietnam. Keluasan tanaman durian belanda di negara kita juga tidak ada dilaporkan dalam laporan statistik keluasan di Jabatan Pertanian dari laporan yang dirujuk. Bagaimana pun umum tahu iaitu kawasan tanaman utama durian belanda di Malaysia ialah Perlis, Johor, Pahang, Perak dan Sabah.


Buah Durian belanda berkualiti lazimnya me­ngandungi bahan seperti fosforus, kalsium, vitamin B dan C yang baik untuk rawatan demam panas dan bengkak hati. Buah ini pada kebiasaannya dimakan segar dan dibuat jus minuman. Selalunya buah durian belanda mempu­nyai saiz sederhana besar, kulit berwarna hijau, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih dan rasanya masam-masam manis. Bentuk buah seperti jantung ini mempunyai rupa bentuk yang berbeza-beza dan juga saiznya walau pun datang daripada pokok yang sama. Ia biasanya dimakan segar ataupun boleh diproses untuk dijadikan jus. Penulis dapati apabila makan buah durian belanda segar memang menyeronokkan apa lagi kalau buah tersebut masak dipokok dengan rasa yang amat manis. Harga jualan buah durian belanda mempunyai julat harga ladang berbeza-beza yang banyak bergantung kepada kualiti buah, musim pengeluaran dan juga kuantiti jualan. Harga ladang daripada serendah RM2.50 sekilogram dulu meningkat kepada RM9.00/kg sekilogram mengikut lokasi, kualiti dan kuantiti. Buah yang telah masak ranum lazimnya dijual murah sedikit kerana ia tidak tahan lama kalau tidak disimpan dalam bilik sejuk. Buah durian belanda yang dipetik sebaiknya mempunyai indek kematang yang tahan untuk lebih dari seminggu dipasaran.


Lazimnya durian belanda disyorkan penanammnya dengan jarak tanaman yang di­syorkan di ladang adalah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama. Ia boleh dibiak menggunakan biji benih atau kaedah pembiakan tut atau pembiakan secara aseks. Buah durian belanda didapati buahnya berkulit lembut, durinya jarang dan tidak tajam, kulitnya berwarna hijau dan isinya putih krim. Ia didakwa mampu merawat dan mengelakkan seseorang daripada mendapat kanser dan menyuburkan pasa­ngan inginkan zuriat. Dari segi perubatan moden, kajian mendapati, bahan yang terkandung di dalam buah durian belanda ini boleh digunakan sebagai aktibakteria, antikanser, antitumor, astrigen dan penyakit saraf. Durian belanda mengandungi bahan amyloid, asid sitrik, fruktosa, manganese, sukrosa, reticuline dan tannin. Durian belanda perlu di­kendalikan dengan sebaik­nya bermula daripada amalan ladang, pengendalian lepas tuai hingga ke peringkat pemasaran. Penuaian dilakukan apabila buah mencapai kematangan optimum yang kebiasaannya dua hingga tiga bulan selepas berbunga dan akan masak dua hingga tiga hari selepas dipetik. 


Antara teknologi yang sesuai untuk buah durian belanda masak yang hendak disimpan adalah pada suhu 15 darjah celsius dengan tahap kadar kelembapan relatif 85 hing­ga 95 peratus. Kaedah ini boleh membantu untuk mengekalkan kualiti dan juga memanjangkan jangka hayat sehingga satu hingga dua minggu. Dalam kes aktiviti untuk proses penjualan buah durian belanda segar memang perlu disesuaikan dengan teknologi penyimpanan buah dalam bilik sejuk agar buah dapat disimpah lebih lama terutama untuk penghantaran yang lebih jauh. Buah durian belanda boleh digred, dibungkus dan dilabel sebelum dipasarkan. Cara ini akan dapat memastikan semua hasil berkualiti dan selamat dimakan termasuk produk durian belanda segar kepada pengguna untuk menikmati khasiat sebenar. Laporan menunjukkan bahawa buah durian belanda boleh dikelaskan kepada empat gred iaitu bergantung kepada spesifikasi merangkumi Gred A, Gred B, Gred C dan juga Gred D. Spesifikasi untuk Gred A adalah ia hendaklah daripada varieti yang sama, segar dan bersih, mempunyai saiz dan kematangan seragam. Selain itu ia juga hendaklah bebas daripada kecacatan atau kerosakan. Gred B pula hendaklah buah daripada varieti sama, segar dan bersih, mempu­nyai saiz dan kematangan seragam serta hendaklah hampir bebas daripada kecacatan atau kerosakan. Gred C pula hendaklah buah durian belanda daripada varieti sama, segar dan bersih, mempunyai saiz dan kematangan seragam dan agak bebas daripada kecacatan atau kerosakan. Gred D merupakan gred durian belanda yang tidak menepati semua ciri yang disebut diatas. Tinjauan penulis dibeberapa lokasi mendapati buah durian belanda Gred A dijual dengan harga ladang sekitar RM 8.000/KG (Buah yang mempunyai berat dari 1.2 Kg keatas. Buan Gred B pula dijual pada harga ladang sekitar RM 7.00/KG iaitu buah yang mempuntai berat dari 800 Gram hingga 1.2 KG sebiji. Bagi buah durian belanda Gred C pula mempunyai berat buah dari 500 - 600 gram sebiji dijual pada harga ladang sekitar RM 6.00/KG. Bagi buah durian belanda Gred D pula merupakan buah yang mempunyai berat kurang dari 500 gram sebiji dijual dengan harga ladang sekitar RM5.00 sekilogram. Jika dibuat perbandingan diantara harga ladang dan dengan harga runcit didapati ia dijual daripada RM10.00 - RM20.00 sekilogram. Semuga artikel ini memberi info terbaik untuk pembaca Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!!!.
BUAH BERHARGA... DURIAN BELANDA...
MULA DITANAM,,,, DISELURUH NEGARA...
KUALITI BUAH... SEBAB BANYAK PUNCA...
GRED BUAH... MENENTUKAN HARGANYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Tani Mega,
UTC KUantan, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(27Muharam 1438H).

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...