Support My Blog

Friday, October 14, 2016

ANGKUT-ANGKUT

ANGKUT-ANGKUT (Eumenes coarcatus) merupakan sejenis serangga dari keluarga Vespidae (dulu ia digelar keluarga Euminidae) iaitu serangga berwarna unik yang diberi nama kerana sifatnya semulajadinya yang suka mengangkut tanah disekelilingnya untuk dijadikan sarang. Angkut-angkut ini dipanggil 'Portter Wasps' ini merupakan sejenis TABUAN yang menyengat dan adalah jenis berbisa sengatannya. Saya ketika zaman kanak-kanak dahulu saya sangat takut dengan serangga ini dengan warna badan yang hitam berbelang kuning dan mempunyai organ penyengat dibahagian belakangnya (Hornet). Dalam membuat banyak rujukkan mengenai serangga ini, penulis dapati serangga ini terdapat dibanyak kawasan tropika diseluruh dunia dengan ada lebih daripada 200 spesis. Terdapat berbagai saiz, warna, koloni dan sebagainya bagi kumpulan tabuan jenis 'angkut-angkut ' ini yang kebanyakannya membuat sarang untuk ia tinggal dan bertelur. Warna spesis yang ada adalah hitam, kuning, merah atau kombinasi diantaranya. Laporan saintid menunjukkan ada warna-warna bercampur termasuk ada yang berwarna metalik. Walau pun serangga ini ada dikatakan menyengat, angkut-angkut selalunya mengunjungi bunga untuk mendapatkan nektar sebagai makanannya dan perkara ini juga membantu didalam proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan dikawasan keliling kita. Artikel petang Sabtu ini sambil mendengar celoteh MC yang melalak mengendalikan Majlis Kenduri Kahwin depan rumah saya di Putrajaya saya teruskan untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serangga angkut-angkut yang mungkin anda jumpa tetapi tidak kenal sebagai satu bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Serangga angkut-angkut ini suka terbang dan hinggap dikawasan tanah yang lembap atau tanah lumpur dimana kemudian ia akan terus mengangkut tanah tersebut untuk dibuat sarang. Sarang serangga jenis ini yang dibina benyak bentuk seperti bulat seperti bentuk tempayan (Lihat foto sebelah) dimana akan mempunyai satu pintu untuk serangga angkut-angkut ini keluar dan masuk. Lazimnya sarang tanah ini dibina dikawasan terlindung seperti dibawah rumah-rumah kayu di kampong, lubang kayu, bawah daun besar yang terlindung daripada hujan dan beberapa lokasi lain. Didalam lubang ini angkut-angkut betina akan bertelur setelah mengawan didalam sarang secara sistematik. Kemudian ia akan mejaga dan membiakan anaknya sehingga ia keluar dari sarang dan mampu terbang. Apabila sarang tanah tersebut dipecahkan (Lihat foto bawah sekali), kita akan dapat melihat dimana terdapat telur atau serangga dengan jumlah antara 1-2 ekor didalamnya. Bilangan sarang tanah yang dibina oleh angkut-angkut ini sama ada satu atau dalam jumlah yang banyak dimana kelihatan anak-anaknya akan keluar dari sarang yang berlainan. Tabiat ini jika diteliti memang sungguh unik serangga ini.


Angkut-angkut adalah jenis tabuan yang juga merupakan serangga PEMANGSA (Predator). Penelitian penulis mendapati walau pun ia mengunjungi bunga dan ia menyedut nektar atau manisan pada bunga, ia juga sering menyerang serangga seperti Lebah madu (Apis cerana) atau Lebah Import (Apis mellifera) atau Kelulut (Trigona itama) untuk menyedut manisan daripada badan lebah atau kelulut yang terbang keluar dan masuk dalam haif atau log kayu. Angkut-angkut juga penulis lihat akan menyerang haif lebah yang hampir dengan rumahnya. Penulis juga beberapa kali menjumpai koloni lebah diserang angkut-angkut sehingga menyebabkan koloni lebah boleh lari atau pindah disebabkan sekumpulan angkut-angkut yang selalu menganggu di Kuantan, Merlimau dan juga di Sabak Bernam. Serangga angkut-angkut ini juga menyerang serangga mangsa lainn dengan menyengat dan ini menjadikan mangsa akan 'paralysed' seperti larva kumbang, labah-labah dan cartepillars. Apabila mangsa tersebut sudah diserang dan lemah ma ia akan terus membawanya balik kesarang untuk dijadikan makanan kepada anak-anaknya. Kebisaan sengatan angkut-angkut ini banyak julat kebisaannya bergantung kepada spesis. Ada yang venomnya mampu melemahkan mangsa yang saiznya lebih besar untuk dijadikan makanan atau sebegai taktik perlindungan angkut-angkut tersebut. Kalau ada angkut-angkut dikawasan rumah kita apa anda akan buat?.. Setakat ini penulis belm ada maklumat mengenai kegunaan serangga ini dan belum ada laporan usahawan menternak angkut-angkut secara komersil. Kemungkinan kajian mengenai kegunaan venom angkut-angkut menjadikan serangga ini akan dikomersilkan dimasa akan datang. Siapa tahu?...Adakah anda akan membunuhnya jika terjumpa atau membiarkannya sahaja?, fikir sahaja apa yang anda perlu buat setelah membaca artikel ini. Wasallam!...
Dalam sarang angkut-angkut.
ANGKUT-ANGKUT...TABUAN JUGA SAMA...
WARNA GARANG... MENYENGAT PULA...
SARANGNYA PELIK... TANAH ASALNYA...
ADA DIRUMAH ... MUSNAHKAN SAHAJA...


By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Jalan P11/D26,
Precint 11, Putrajaya,
W.P. Persekutuan,
Malaysia.
(15 Syaban 1434H)

Diedit semula pada 12 Oktober 2016.

Thursday, October 13, 2016

SAYUR LODEH

SAYUR LODEH merupakan sejenis hidangan yang sangat popular dikalangan masyarakat Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei yang lazimnya disediakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Jangan anda keliru sayur lodeh sebagai sejenis sayuran berdaun seperti Kobis, bayam, Kangkong, Terung dan sebagainya. Ini kerana sayur lodeh ini memang enak jika ia dimakan dengan ketupat atau nasi himpit dengan lauk rendang ayam atau rendang daging dan sambal kacang. Ada juga dikaitkan sayur loden dengan juadah sarapan pagi iaitu Makanan Lontong. Sayur lodeh boleh dibahagikan kepada Lodeh Harian dan Lodeh Istimewa. Sayur Lodeh Harian ini disediakan untuk hidangan harian berupa bahan sayur (sawi putih, rebung, umbut, sayur daun dsb) yang dimasak dengan santan kelapa dan dimakan bersama nasi putih untuk makan tengahari. Lodeh yang dimaksudkan adalah seakan sama dengan menu masakkan sayur masak lemak iaitu mengikut gelaran dan nama lokaliti. Penulis sebagai anak jati Johor dari Daerah Muar (sekarang sudah menjadi Daerah Ledang) memang sejak kecil lagi kenal dan meminati makanan sayur lodeh. Bagaimana pun penulis kali ini lebih berminat untuk menulis sayur lodeh istimewa yang disediakan khusus untuk sambutan Hari Raya kerana ia menjadi satu makanan khas semasa hidangan bersama keluarga dan disediakan dengan rendang, ketupat dan pelbagai laukpauk. Lodeh ini lazimnya dimakan pada pagi hari raya pertama sebelum sembahyang sunat hari raya. Artikel petang 30 Ramadan 1434 hijrah ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sejenis makanan istimewa (Sila lihat foto diatas) iaitu sayur lodeh untuk hidangan berbuka puasa dan juga hari raya.


Sayur lodeh boleh disediakan sama ada jadi Lodeh Putih atau Lodeh Kuning. Dari segi rasa tidak banyak perbezaan kerana ia hanya dibezakan dengan warna kuning yang ditambah dengan serbuk kunyit sahaja. Apa pun penulis menggemari kedua-dua jenis lodeh tersebut asalkan semua bahan-bahan utama ada didalamnya dan cukup rasa. Kali ini penulis mempaparkan cara sediakan sayur lodeh kuning mengikut majoriti kehendak ahli keluarga. Bahan-bahan untuk membuat sayur lodeh adalah santan kelapa, cili besar, serbuk kunyit, bawang merah, ikan bilis segar, udang kering, bawang putih, sengkuang, kobis bunga, tauhu putih, tempe, lobak merah, mee soon, tauhu kering, fucuk, kentang, cendawan tiram kelabu, cendawan telinga beruk, timun, kacang panjang, garam dan gula secukup rasa. Semua bahan-bahan ramuan tersebut perlu dipotong atau dihiris mengikut saiz dan ukuran yang sesuai. Bahan seperti sengkuang dan kobis lazimnya akan menaikkan lagi kelazatan sayur lodeh bersama tauhu putih dan tempe. Pada penulis sebenarnya sayur lodeh adalah antara jenis sayur yang mempunyai banyak komponen dan 'ingredient' dan ia mudah disediakan serta amat enak dimakan. Ia amat kaya dengan serat dan merupakan makanan yang lengkap kerana mengandungi protin, karbohiderat, mineral, vitamin dan zat-zat penting lain. Ia mempunyai santan kelapa yang berupaya menyihatkan badan asalkan jangan diambil berlebihan. Kandungan pprotin dan mineral dalam sayur lodeh adalah tinggi daripada bahan yang digunakan.

Bahan-bahan tumis disediakan dan dimasukkan kedalam kuali atau periuk dengan api sederhana. Lemudian dimasukkan kentang, karot, cendawan telinga beruk (Bahan ini agak lambat masak) dipanaskan sehingga agak masak seketika sebelum dimasukkan santan cair dahulu. Kacau dengan perlahan dan rata agar santan tersebut tidak mendidih dan kemudian dimasukkan bahan-bahan ramuan lain secara berperingkat sehingga ia masak. Masukkan santan pekat dan garam serta gula dan bahan perisa makanan (pak aji) dan sentiasa mengacau. Apabila semua bahan sudah masak (pastikan sentiasa menjaga api agar tidak santan mendidih dan berketul). Apabila semua ramuan sudah masak semasa dikacau maka ia sudah sedia di angkat untuk dihidangkan. Bagi sayur lodeh kuning, proses berikutnya adalah dengan memasukkan bahan perwarna iaitu serbuk kunyit untuk menjadikan warna kuning pada kuahnya. Pada masa yang sama sediakan ketupat (Lihat foto sebelah), rendang dan sambal kacang untuk dihidangkan bersama lodeh. Selain daridapa rendang daging dan rendang ayam, penulis lebih suka makan dengan daging goreng sate. Apabila kesemuanya sudah dihidangkan maka kita akan menikmati kombinasi makanan istimewa sempena sambutan hari raya aidilfitri atau majlis keraian lain dengan menyelerakan sekali. Tetapi awas kalau anda makan sedap hendaklah berpada-pada kerana makanan ini adalah mengandungi banyak kolesterol. Kata orang berhenti makan sebelum kenyang dan boleh sambung lagi bila lapar kelak.


Kalau anda pergi ke Bandar Muar (atau juga dulu disebut Bandar Maharani), anda boleh menikmati sarapan pagi dengan sayur lodeh bersama ketupat atau nasi himpit dengan sate yang amat popular sebagai hidangan 'SATE PAGI' (Lihat foto sebelah). Hidangan unik ini merupakan satu identiti bagi bandar ini iaitu daerah dimana saya lahir, sekolah dan pernah berkerja selama 5 tahun. Anda boleh makan resepi hebat 'Lodeh Muar' dibeberapa restoran yang memang terkenal dikalangan masyarakat tempatan. Lazimnya lodeh jenis komersil ini dihidangkan juga dengan menu lain seperti Sate Pagi, Mee Rebus Muar, Mee Bandung Muar, Mee Jawa Muar, Asam Pedas Muar, Rojak Petis Muar, Kopi 434 dan beberapa identiti makanan daerah ini. Terdapat beberapa variasi mekanan lontong atau lodeh muar ini bergantung kepada pemilik gerai atau restoren makanan disekitar bandar Muar ini. Kini makanan sayur lodeh ini bukan sahaja dimakan pada hari-hari kebesaran sahaja tetapi merupakan menus masakan yang dimakan mengikut kesukaan. Kepada mereka yang 'Bukan orang Muo' kenalah berkunjung kebandar ini untuk mendapatkan citarasa menu masakan Sayur Lodeh yang enak dan lazat ini. Pada penulis sayur lodeh boleh diketengahkan kepada seluruh negara malahan keseluruh dunia. Diharap artikel sayur lodeh ini memberikan maklumat berguna kepada anda semua. Wasallam!....

SAYUR LODEH ... AMAT ENAK RASANYA....
RENDANG, KETUPAT...PENLENGKAPNYA...
BANYAK RAMUAN... SATE PAGI LAWANNYA..
KEBANDAR MUAR...SETIAP PAGI ADA...


Artikel berkaitan:
1. Mee Bandung Muar (Klik disini)
2. Mee Siput (Klik disini)
3. Kupang (Sila klik disini)
4. Siput Sedut (Sila klik disini)
5. Duku (Sila klik disini)
6. Asam Pedas (Sila Klik disini)
7. Mas Cotek Tanah Gambut (Klik disini)


By,
M Anem.
Senior Agronomist,
Jalan Kamariah,
Bandar Muar,
Johor, Malaysia.
(1 Syawal 1434H)
Kemaskini pada 11 Oktober 2016.

Wednesday, October 12, 2016

FERTIGASI BANTAL - SATU INOVASI

FERTIGASI BANTAL?.   Mungkin bunyinya agak pelik kepada mereka yang terlibat dalam penanaman sayuran secara fertigasi. Bagaimana pun anda mungkin setuju dengan terminologi yang penulis berikan jika melihat foto diatas. Inovasi fertigasi bantal adalah kelihatan seperti sebuah bantal hitam (saiznya memang sama dengan bantal tidur dirumah) dan disusun diatas batas yang berasaskan plastik silvershine seakan sebuah tilam tidur. Penulis yang mulanya melihat agak lain kaedah penanaman sayuran ini mendapati ada seluas 4 hektar kawasan kebun sayur ini semuanya ditanam dengan peria (Momordica charantia) menggunakan teknik ini yang menjadikannya sebagai satu teknologi penanaman fertigasi yang baru. Mungkin anda biasa dengan Fertigasi Tertutup, Fertigasi Terbuka, Fertigasi NFT, Fertigasi Rakyat, Fertigasi Gantung dan beberapa jenis penanaman secara fertigasi ini. Bagaimana pun penulis dimaklumkan oleh petani yang membuat fertigasi cara ini iaitu En Wong, dimana kaedah penanaman cara fertigasi bantal menjadi kegemarannya kerana beberapa faktor. Antaranya adalah penghasilan yang tinggi dan keseragaman buah yang amat baik. Buah peria yang dihasilkan juga berkualiti, bersaiz besar dan pokok tahan lama berbanding dengan kaedah fertigasi kaedah konvensional. Ini kerana akar pokok peria mampu untuk mengambil nutrien air baja dalam bantal dan juga jauh masuk kedalam tanah dibawah bantal tersebut. Penelitian penulis mendapati purata hasil yang diperolehi oleh petani ini yang menggunakan sistem fertigasi bantal amat tinggi. Dengan harga baik diperolehi mampu menjamin pendapatan lumayan kepada pengusaha ini. Artikel subuh ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" bagaimana kaedah penanaman cara fertigasi bantal ini.


Keperluan asas sistem fertigasi ini hampir sama dengan sistem fertigasi lain kecuali bahagian pangkal pokok yang mana petani akan menggunakan beg plastik saiz besar dibentuk seperti bantal. Plastik besar ini diisikan dengan media tanaman daripada campuran cocopeat dengan tanah dan diikat sehingga membentuk bantal. Ia akan diletakkan diatas batas tanaman yang telah dipasangkan lapisan plastik silvershine (Sila lihat foto disebelah). Apa yang penting adalah kedudukkan bantal tersebut diletakkan ditengah-tengah batas tanaman dengan jaran antara 1.0m - 1.5 meter bergantung kepada kedudukan dan kecerunan batas tanaman. Bantal ini diletakkan betul-betul dibawah jajaran tiang junjung yang seterusnya dipasang dengan jaring atau pukat. Pukat ini adalah buatan China yang kos adak rendah berbanding dengan pukat daripada negara jiran atau buatan tempatan. Setiap lubang penanaman akan diletakkan dua anakbenih yang mana sulur pautnya akan naik melalui pukat dan seterusnya memenuhi ruang para trellis dalam masa 2.00 - 2.5 bulan. Didapati setiap lubang penanaman disediakan paip kecil yang membekalkan air baja diletakkan ditengah-tengah bantal. Permukaan atas bantal dibuat lubang-lubang kecil bersaiz 0.5 cm untuk membolehkan air hujan masuk kedalam tanah dan untuk pengudaraan. Lubang penanaman dibahagian atas bantal membolehkan air baja masuk, pembajaan baja organik (mereka gunakan PCD - Processed chicken dung) sebagai menambah kesuburan tanah.


Fertigasi bantal ini memerlukan kos awal agak tinggi untuk menyediakan infra sistem fertigasi dengan 10 buah tangki untuk membuat air baja dan disalurkan kepada semua bantal. Baja air Set A dan Set B dibuat sendiri oleh petani dimana baja asas dibeli daripada Cameroon Highlands. Katanya baja dari kawasan CH ini berkualiti dan harga berpatutan berbanding dengan pembekal lain. Terdapat 8 buah tangki air dengan kapasiti 1,000 gelen disambungkan dengan sistem fertigasi. Baja fertigasi selalunya dibancuh menggunakan air daripada kolam besar yang jaraknya 180 meter dari pondok bancuhan baja fertigasi. Dua buah pam air petrol jenama Robin digunakan untuk menghantar larutan air baja keseluruhan kebun. Lazimnya air baja akan dihantar duakali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang. Setiap kali pam di hidupkan untuk selama 1.5-2.0 jam mencukupi untuk keseluruhan kawasan. Pemeriksaan pada setiap bantal diakukan setiap masa untuk mempastikan semua bantal akan menerima karutan air baja. Ini mermasuk memeriksa jika ada emitter yang tersumbat atau terputus. Pokok peria akan gagal tumbuh dengan baik jika berlaku gangguan pada sistem pembajaadan pengairan ini. Penelitian penulis dikebunini mendapati pertumbuhan pokok adalah seragam dan subur.

Kawalan musuh dan penyakit dilakukan dengan kaedah semburan racun kimia. Pemeriksaan dibeberapa kuntum bunga mendapati tiada seekor pun kutu thrips yang ujud dikawasan kebun. En Wong juga ada menyatakan semburan racun serangga dilakukan mengikut jadual. Kehadiran Lalat Buah (Daucus spp) juga hampir tiada dikebun ini. Lalat buah dikawal dengan beberapa kaedah seperti memasang perangkap feromon, membuang buah-buah yang gugur ditanah dan membuat semburan racun kimia. Kesemua putik peria tidak dibungkus dan memang tidak dirosakkan oleh lalat buah. Pernah mereka dahulu membalut buah peria dan ianya memerlukan kos yang tinggi dan masa lama untuk menyiapkannya. Selain daripada itu sanitasi atau kebersihan kawasan kebun dijaga dengan baik dimana kawalan rumpai dilakukan secara berjadual. Memetik buah peria dilakukan sejak awal pagi lagi dan dikumpulkan di pondok pusat pengumpulan hasil untuk digredkan mengikut saiz dan kualiti. Lazimnya dgredkan kepada dua dred iaitu Gred A dan Gred B. Gred A adalah buah yang besar dan disukai oleh kaum China sementara Gred B yang kecil sedikit disukai oleh kaum lain termasuk Melayu. Sayur ini akan dihantar ke Pasar Borong Selayang sebelum jam 12.00 tengahari. Menurut petani penanaman peria menggunakan teknologi fertigasi bantal amat memuaskan dan juga lebih menguntungkan jika harga ladang mencecah RM1.80 - RM2.00 sekilogram seperti semasa penulis membuat tinjauan dan temubual. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
FERTIGASI BANTAL... TELAH DICUBA...
PLASTIK BESAR... DIISIKAN MEDIA...
DUA POKOK DITANAM...AIR DIBAJA...
HASIL LUMAYAN...PETANI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lot 4 dan Lot 5,
TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(8 Muharram 1438H)

Tuesday, October 11, 2016

AYAM KAMPONG ORGANIK - SATU CATITAN

AYAM ORGANIK dari DQ Organic Farms yang terletak di Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Daerah Bentong, Pahang kini merupakan satu produk yang mempunyai kualiti terbaik. DQ Farm Products Sdn Bhd kini beroperasi di Daerah Bentong iaitu beralamat Lot 1677, CT 813, Mukim Bentong, Daerah Bentong, Malaysia dimana ia bpleh dihubungi pada ralian +603-4251 6580.  Ladang Organik seluas 48 ekar ini ditanam dengan tanaman makanan seperti Durian (Varieti D24), Pisang, Herba, Ulam-ulaman dimana mendapat persijilan MyOrganic (Dahulu adalah Sijil Organik Malaysia - SOM) sebagai bukti ia sentiasa mengamalkan amalan pertanian organik. Terdapat lebih daripada 800 pokok durian matang D24 yang telah berbuah dimana ia diberikan baja organik dari aktiviti ternakan yang dijalankan dikebun ini. Penulis berpeluang melawat ladang organik ini dengan diberi taklimat mengenai aktiviti pertanian organik oleh Pengurus Ladang Encik Razali dan Rohana. Turut mengiringi adalah pengusaha dan Pegawai Pertanian Daerah Bentong. Ladang ini telah menerima persijilan SOM dan MyOrganic daripada Jabatan Pertanian Malaysia sebagai bukti memang mereka mengamalkan pertanian organik. Penulis bertukar memakai kasut boot kegunaan ladang sepanjang lawatan dalam kebun ini sebagai satu peraturan yang diamalkan. Terdapat pelbagai jenis tumbuhan, haiwan dan mikrob semulajadi didalam kebun ini yang mengamalkan kelestarian pertanian (sustainable agriculture). Pengamalan pertanian organik masih kurang dilaksanakan dinegara kita kerana belum ramai yang memahami akan kepentingannya dalam kualiti makanan. Ladang ini merupakan salah satu daripada lebih 200 ladang yang menerima persijilan organik sehingga kini. Kebanyakan pengusaha pertanian masih menjalankan amalan pertanian konvessional dalam menghasilkan produk makanan. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pertanian organik di kebun ini terutamanya didalam pengeluaran ayam kampong organiok dan sebagainya.


Dalam usaha memahami akan ayam organik ini penulis percaya rata-rata pengguna kini sedia maklum mengenai ayam pedaging yang terdapat di pasaran kebanyakannya menerima antibiotik sama ada melalui suntikan mahupun bahan makanannya untuk tujuan tumbesaran dan ketahanan melawan penyakit. Malah mungkin masyarakat juga sedar akan keburukan memakan ayam yang disuntik antibiotik secara berlebihan ini kerana ia akan menyebabkan kesan negatif ke atas manusia. Sehingga hari ini pun masih ramai penternak ayam menggunakan sejenis antibiotik yang mempunyai kesan karsinogenik (penyebab barah) dan boleh merosakkan sistem saraf pusat. Antaranya seperti Nitrofuran yang merupakan satu kelas ubatan yang amat toksik digunakan untuk mengawal penyakit yang menyerang ayam. Tetapi kini ia lali terhadap dos antibiotik yang diberi. Oleh itu selalunya penternak akan menggunakan dos yang lebih tinggi mungkin untuk memastikan ayam mereka tidak akan diserang penyakit. Namun kesan negatif di atas tindakan tersebut adalah terhadap manusia. Kaedah pengamalan menternak ayam kampong secara organik diladang ini menggunakan baka ayam kacuk yang dibeli dari Johor dengan harga RM1.80 seekor pada umur 1 hari. Ia akan dimasukkan dalam rumah khas dan berikan makanan orhanik yang diproses sendiri dalam kebun. Ayam kampong disini diproses menggunakan kaedah kitar semula dimana ada sistem tersendiri. 


Dalam membuat analisis, penulis yang pernah melawat banyak ladang ayam mendapati selalunya  penternak ayam biasa sering menggunakan antibiotik untuk membantu tumbesaran ayam serta mengelakkan ayam daripada mati diserang penyakit.Amalan pemberian bahan antibiotik bukan sahaja sepatutnya diberikan kepada ayam yang sakit sahaja malah kepada semua ayam untuk memudahkan kerja dikawasan ternakan. Kini dinasihatkan agar difikirkan alternatif lain (probiotik) bagi menggantikan penggunaan antibiotik ini ke atas ternakan seperti kaedah perladangan organik. Sebagai contoh kini telah ditemui sejenis bahan dikenali sebagai Nutripro iaitu produk yang telah dihasilkan melalui proses pengasingan sejenis bakteria baik daripada tapai ubi (proses penapaian). Nutripro iaitu makanan penggalak tumbesaran ayam dihasilkan bagi menggantikan antibiotik yang biasa digunakan penternak ayam bagi mempercepatkan tumbesaran ayam. Probiotik tersebut dihasilkan daripada sejenis bakteria Lactobacillus plantarum menggunakan sistem fermentasi dikenali sebagai metabolites dalam proses penapaian ubi kayu. Bahan tersebut yang juga merupakan ekstrak semulajadi dihasilkan dalam dua bentuk iaitu cecair dan serbuk. Bagi bentuk serbuk, ia perlu dicampurkan ke dalam makanan ayam sebagai makanan tambahan sementara bentuk cecair hanya perlu disembur ke atas ternakan. Nutripro mempunyai banyak kebaikan terhadap kesihatan haiwan ternakan selain dapat meningkatkan asid laktik dalam sistem pencernaan dan mengurangkan bakteria yang boleh menyebabkan cirit birit. Asid laktik penting bagi mengurangkan cirit-birit dan memperbaiki sistem pertahanan badan ternakan. Selain itu metabolites juga berperanan memastikan aktiviti organ penghadaman dan proses pembesaran berada dalam keadaan baik. Walau pun tidak dijelaskan dengan nyata tetapi proses seperti ini ada dijalankan diladang ini.


Perladangan Organik disini menggunakan proses kitar semula bahan yang terdapat diladang. Semua bahan-bahan organik dikumpulkan dan diproses untuk menjadi baja kompos bagi kegunaan tanaman. Satu proses pembuatan baja organik daripada najis ayam dilakukan dengan kaedah mengumpulkannya dan dimasukkan kedalam kawasan khas (Sila lihat foto disebelah). Terdapat cacing didalam bahan tersebut untuk mempercepatkan proses pereputan iaitu dalam masa kurang dari dua blulan sahaja. Bahan mikrob juga diletakkan dalam kolam simen tersebut sebagai 'enhancer' proses membuat baja kompos. Pada masa ini pengusaha sedang dalam proses menentukan lokasi untuk membina rumah strutktur pelindung hujan untuk tanaman sayuran organik tertentu. Jabatan Pertanian Daerah membantu dalam projek ini dari aspek teknikal dan bantuan pembinaan infra asas. Ini dijangka akan menambah produk organik terutama sayuran organik dimasa akan datang. Lawatan penulis bersama rakan pejabat kekebun organik ini banyak membincangkan perkara teknikal dan apa yang dilakukan oleh pengusaha ini bagi menghasilkan produk bertaraf organik yang berkualiti. Semuga coretan ini memberi info yang boleh dibaca dan dirujuk. Wasallam!!.

AYAM ORGANIK.. SELAMAT DIMAKAN...
ANTIBIOTIK... TIDAK PERLU GUNAKAN...
PERIKSA LADANG... SIJIL DIPASTIKAN...
CORETAN PENULIS..BUAT RUJUKKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Organik DQ,
Jalan Lama KL-Bentong,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(16 Zulkaedah 1437H)

Monday, October 10, 2016

ALFAFA - PRODUK ORGANIK

ALFAFA SPROUT (Medicago sativa) merupakan satu produk yang dihasilkan daripada proses mencambahkan biji alfafa untuk dijadikan makanan sebagai SALAD. Makanan salad alfafa lazimya dihidangkan bersama dengan sayuran lain seperti tomaro, kobis, taugeh, kacang, lettuce, carrot, timun, isi ikan, daging dan sebagainya mengikut kesukaan yang menyediakannya (Sila lihat foto dibawah sekali). Kita di Malaysia amat jarang membeli alfafa spprout dipasaraya atau dipasar basah kerana agak kurang mengenalinya dan hanya jumpa salad ini di hotel-hotel tertentu sahaja. Penulis pun hanya beberapa kali makan alfafa sprout di hotel dalam beberapa kali kunjungan semasa makan tengahari atau makan malam. Makanan salad adalah makanan sihat kerana ia lazimnya membekalkan banyak vitamin, protin dan bahan mineral lain untuk menambah kesihatan. Apa yang perlu kita tahu adalah bahawa alfafa spprout ini mesti disediakan dengan mengikuti sistem pengeluaran perladangan secara organik. Kepentingan jaminan keselamatan alfafa sprout ini menyamai dengan penganaman ulam kerana ia adalah makanan yang dimakan terus dari ladang. Bahan atau media tanaman yang perlu digunakan menggunakan bahan yang selamat digunakan dimana ia tidak mengandungi bahan merbahaya seperti logam berat, toksin dan sebagainya yang akan diserap oleh biji alfafa semasa proses percambahan. Apa pun artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penyediaan alfafa sprout hasil tinjauan penulis di Highland Sprout di Kg Chersting Tengah, Janda Baik, Daerah Bentong, Pahang baru-baru ini.


Biji Alfafa atau rumput Alfafa ini diimport dari luar negara kerana ia tiada di hasilkan di Malaysia. Biji ini banyak yang diimport daripada Australia tetapi ada juga daripada USA dan China. Dahulu harga biji alfafa murah sahaja iaitu sekitar RM20.00 sekilogram tetapi kini mencecah RM40.00 sekilogram. Bagi pembungkusan biji alfafa yang seberat 25 kg satu beg ianya berharga sekitar RM1,000 (Sila anda lihat foto disebelah). Bagaimana pun ada benih yang murah dipasaran tetapi tiada jaminan kualiti kerana kadang-kadang peratus percambahan agak rendah dan tidak sekata. Pengusaha tidak akan mengambil risiko dengan membeli benih yang murah ini kerana akan menjejaskan semua program atau jadual pengeluarannya. Benih yang baik disimpan dengan kemas agar tidak berlaku kebocoran plastik pembungkusan atau ditebul tikus yang menyebabkan benih rosak. Lakukan pemeriksaan tarikh luput pada beg pembungkusan benih. Ada juga yang membeli benih rumput alfafa ini untuk ditanam sebagai rumput pastura bagi makanan ternakan seperti lembu dan kambing. Ini kerana rumput alfafa dikenalpasti sebagai sejenis rumput yang mengandungi nilai permakanan baik untuk ruminan. Ia ditanam dengan sistematik dan teratur oleh penternak lebu di negara kita.


Media tanaman untuk alfafa sprout ini perlu disediakan dengan betul  dan sistematik. Bahan media tanaman ini mestilan bebas dari sebarang bahan toksik atau bahan yang menjelaskan kualiti alfafa sprout kelak. Pengusaha yang penulis lawati menggunakan sisa bongkah lama dari cendawan tiram kelabu (Pleurotus pulminorius) yang diproses menjadi media tanaman. Bongkal ini akan dibiarkan dibawah sinaran matahari dan mereput sendiri sebelum sesuai dikisar untuk dijadikan media tanaman. Bahan ini dicampur dengan bokashi dengan kadar 40:20:20 (Kompos Cendawan:Bokashi:tanah). Media ini digaul rata menggunakan mixer sebelum di masukkan kedalam Dulang plastik (plastic seeding tray) berukuran 30 cm x 50 cm atau saiz yang lebih besar. Dulang Semaian ini diisikan dengan media tanaman sedalam 1-2 cm  dan ditekan dengan alat khas agar rata dan sedikit padat (Sila lihat foto disebelah). Setelah disusun maka biji alfafa akan ditabur rata diatas dulang semaian tersebut dan disusun diatas rak-rak buluh atau rak kayu. Penyiraman dengan air dilakukan pada waktu pagi dan petang dengan kaedah 'misting'. Benih ini akan bercambah beberapa hari kemudian sebelum sesuai untuk dituai.


Apabila berumu4-5 hari maka alfafa sprout ini boleh diproses untuk penuaian. Apa pun ada kalanya jangkamasa watu menuai ini berubah mengikut jenis benih digunakan, keadaan cuaca dipersekitaran dan juga siraman air yang dijalankan. Apabila ketinggian alfafa sprout ini sekitar 4 - 6 cm lazimnya dulang semaian ini akan dibawa ketempat memproses. Air paip mengalir dilalukan didalam tong air plastik dan alfafa akan dicabut dari dulang dan dibersihkan bahagian akar dan kotilidon yang masih melekat (Sila anda lihat foto disebelah). Ia kemudian dikumpulnak dalam bekas dulang lain untuk ditoskan selepas dilalukan air bersih sekali lagi. Ia dimasukan dalam bejas khas atau bungkusan plastik dengan berat dan jumlah tertentu untuk dipasarkan. Jumlah dan cara pembungkusan ini berbeza mengikut pasaran sama ada dalam pek yang banyak, sederhana atau pek kecil-kecil. Ia perlu dihantar kedestinasi dengan segera dan dijaga agar terus segar dengan cara semburan air. Walau pun makanan alfafa sprout ini tidaklah popular macam 'Taugeh' tetapi ia masih mempunyai kadar permintaan yang tinggi dikalangan orang luar (expatriate) yang tinggal di Lembah Kelang. Semuga artikel ini serba ringkas memberi info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology" sebagai menambah ilmu. Wasallam!!..

ALFAFA SPROUT ... JARANG JUMPA...
CARA ORGANIK... ITU SYARATNYA...
DIJADIKAN SALAD...CARA MAKANNYA...
CARA MEMBUAT...SAYA PAPARKANNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Organik Highland Sprout,
Janda Baik, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(30 Zulkaedah 1437H)

Sunday, October 9, 2016

DURIAN BELANDA - ALAT 'MURICATA SHAKER'

ALAT "MURICATA SHAKER" merupakan satu hasil inovasi dari Jabatan Pertanian Negeri Johor yang mampu membantu didalam meningkatkan proses pendebungaan pokok Durian Belanda (Sila lihat foto diatas). Durian Belanda (Annona muricata) merupakan sejenis pokok buah-buahan tropika yang menghadapi masaalah pendebungaan yang rendah sekitar 6% sahaja. Penulis yang telah menulis lebih dari 15 artikel mengenai durian belanda setakat ini amat berpusahati dengan alat ini yang kini memenangi satu Anugerah Inovasi Jabatan Pertanian Tahun 2016 sebagai satu temuan inovasi yang amat membanggakan dan sangat membantu didalam industri tanaman durian belanda secara komersil. Masaalah utama didalam industri ini secara asasnya adalah kadar peratus kejayaan proses pendebungaan yang amat rendah secara semulajadi oleh serangga, angin dan sebagainya. Terdapat beberapa kes dimana ada petani yang menebang pokok durian belanda mereka yang matang kerana mendakwa pokoknya tidak berbuah pada beberapa tahun dulu yang penulis jumpa. Mereka nyatakan semua amalan agronomi dilakukan dan keadaan pokok subur serta berbunga tetapi buah yang dituai tidak berbaloi. Kejadian ini adalah disebabkan oleh proses pendebungaan secara semulajadi yang tidak berjaya berlaku kerana waktu puncak reseptif bunga betina adalah bermula sekitar jam 4.00 - 5.00 petang sedangkan waktu aktif puncak bagi bunga jantan yang menghasilkan debunga pada malam hari iaitu bermula sekitar jam 8.00 - 9.00 malam. Bunga durian belanda tidak mempunyai bau yang menarik perhatian serangga pendebunga, tiada manisan nektar dan warna yang kurang menarik. Ianya juga mempunyai kelopak yang tertutup menyebabkan sukar untuk menerima debunga lain yang terdapat disekitarnya. Selama ini amat kurang maklumat bagaimana untuk mengoptimakan kaedah pendebungaan durian belanda sehingga beberapa cara pendebungaan dibuat. Antara kaedah mendebungakan pokok durian belanda terkini adalah dengan cara Teknik Pendebungaan Berbantu (Assisted pollination technique) dan Teknik Gegaran menggunakan alat 'Muricata Shaker'. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai inovasi menggunakan Alat Muricata Shaker bagi meningkatkan kejayaan pendebungaan pokok durian belanda sehingga mencapai kejayaan 90% dan ianya amat menguntungkan usahawantani.



Pokok Durian Belanda mempunyai masaalah didalam proses pendebungaan kerana waktu matang diantara bunga betina dengan bunga jantan yang berbeza waktunya. Penulis merujuk kepada hasil kajian oleh Bridg, H. pada tahun 2000 dan beliau berjaya menghasilkan carta kesuburan bunga durian belanda seperti rajah diatas (Sila rujuk carta tersebut). Perkara ini juga disahkan oleh Ithnin (Penyelidik MARDI) dimana didapati bagi pokok durian belanda yang matang waktu kematangan bunga betina adalah bermula pada jam 4.00 - 5.00 petang untuk selama beberapa jam. Bagaimana pun waktu kematangan bunga jantan hanya bermula pada jam 8.00 - 9.00 malam. Perangai pokok durian belanda ini memang unik berbeza dengan beberapa tanaman buah-buahan lain kerana ciri seperti ini yang menyebabkan kadar pendebungaan secara semulajadi kurang berjaya. Kini penulis dapat info dimana waktu disyorkan untuk proses pendebungaan pokok durian belanda adalah diantara jam 8.00 - 10.00 malam (2000 hrs - 22hrs). Waktu ini adalah kerana bunga betina dan bunga jantan durian belanda berada dalam tempoh matang, kelopak bunga belum gugur dan ia dikelaskan dalam 'malam masih muda'. Sebenarnya waktu selepas itu pun masih boleh dilakukan proses pendebungaan tersebut. Selama ini angin yang bertiup pada waktu malam mungkin membantu 'mengegarkan' pokok durian belanda yang matang pada malam hari tetapi berapa kalikah angin kencang bertiup dikebun dalam seminggu atau sebulan?. Hipotesis penulis mendapati buah dibahagian atas pokok (Top area) selalunya bersaiz besar, bentuk penoh, banyak dan berkualiti juga berkait dengan kesan gegaran oleh perkara seperti dibincangkan ini. 


Kini dengan inovasi mencipta alat 'Muricata Shaker' ini diharap industri penanaman durian belanda di Malaysia tidak menjadi isu tidak berbuah atau hanya sedikit buah dihasilkan. Alat ini dicipta untuk membuat GEGARAN pada dahan pokok durian belanda agar gegaran ini akan menghasilkan pendebungaan pada bunga dipokok. Alat ini yang menggunakan logam aluminium stainless steel boleh laras hanya seberat kurang 0.5 kg (Sila lihat foto disebelah). Ia ringan, tahan lasak dan mudah dibawa kemana-mana kebun serta mudah untuk dibuat sendiri. Kos membuatnya juga murah daripada bahan yang boleh dibeli daripada kedai hardware. Komponen alat Muricata Shaker adalah tersiri daripada Galah Aluminium Stainless Steel (RM18.00), Lampu Suluh (RM8.00), Bateri Lampu Suluh 3 biji (RM4.50), Cangkuk Y (RM11.00), Tiub Getah (RM1.50), Hose Clip (RM4.00) dan Wire Tape (RM3.00) menjadikan jumlah kos membuatnya RM50.00 satu unit. Ia dipasang dengan kuat agar alat ini tidak mudah rosak atau terxabut dibahagian cangkuknya.


Cara menggunakan alat ini amat mudah iaitu dengan men'cangkuk'kan kepada bahagian dahan dan ranting pokok durian belanda di malam hari diantara jam 8.00 - 10.00 malam. Pengguna boleh MENARIK atau MENOLAK alat ini bergantung kepada keselesaan dan kedudukan dahan pokok durian belanda. Cangkuk 'Y' dwi fungsi ini juga amat mudah digunakan (Sila lihat foto disebelah). Oleh kerana aktiviti mengegarkan dahan pokok durian belanda ini dilakukan pada malam hari maka diingatkan agar pekerja perlu menggunakan lampu suluh di kepala untuk berjalan dan juga lampu suluh pada galah bagi mencari dahan yang hendak digegarkan. Pokok durian belanda mempunyai kanopi yang rendang dan pilih dahan sesuai atau sebaiknya keseluruhan dahan pokok digegarkan. Jangkamasa gegaran hanya beberapa saat sahaja sehingga pasti bahawa berlaku proses pendebungaan pada setiap bunga yang ada pada pokok tersebut. Kerja yang dilakukan pada waktu malam ini agak pelik kerana ia amat jarang diketahui selama ini. Bagaimana pun penulis ingin membuat peringatan semasa menjalankan kerja ini diwaktu malam kerana kadang-kadang ada bahaya yang boleh menganggu. Antaranya seperti kemungkinan terjumpa dengan haiwan binatang liar, ular pada pokok dan 'gangguan hantu'. Amat kurang pekerja yang mahu membuat kerja ini kalau tidak diberi imbuhan lebih tinggi.


Hasil daripada beberapa pemerhatian yang penulis dapati antara perbandingan diantara beberapa teknik pendebungaan durian belanda amat menakjubkan. Foto disebelah menunjukkan 3 kaedah pendebungaan pokok durian belanda matang. Kaedah pendebungaan semulajadi hanya mencapai purata kejayaan sekitar 6% sahaja (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun keputusan kajian menunjukkan kaedah pendebungaan berbantu (assisted pollination) mampu mencapai peratus kejayaan sehingga 40%. Amat menakjubkan apabila penulis dapati teknik gegaran menggunakan alat Muricata Shaker direkodkan mampu mencapai kejayaan pendebungaan sehingga 90%!. Bentuk buah dan saiz buah yang dihasilkan juga lebih seragam, bersaiz besar dan juga boleh dijual dengan gred A yang lebih mahal harganya. Teknologi ini juga sesuai dilakukan oleh semua penanam durian belanda dengan menggunakan galah buluh bercangkuk, kayu panjang bercabang atau mengegarkan pokok durian belanda dengan kudrat sendiri. apa pun hanya waktu 8.00 - 10.00 malam sahaja ia sesuai dilakukan dan bukannya pada siang hari. Bagi bunga durian belanda yang melekat pada batang pokok atau pangkal dahan memang tidak boleh digegarkan. Teknik sesuai bagi bunga yang begini adalah dengan 'Menjentik Manja' bunga tersebut dengan jari pada awal pagi hari. Ia akan membantu mendebungakan bunga durian belanda yang dapat dicapai. Semuga artikel ini membantu ramai penanam durian belanda untuk lebih berjaya. Wasallam!!!..
SATU INOVASI... CANGGIH TEKNOLOGINYA...
TEKNIK GEGARAN... POKOK DURIAN BELANDA...
ALAT MURICATA SHAKER... BOLEH DIGUNA...
MALAM HARI... MASA TEPAT GEGARANNYA...
BUAH BANYAK... SERAGAM DAN BESARNYA...
ARTIKEL DITULIS... PENULIS RASA SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Inderapura,
Jalan Kuantan-Pekan,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(3 Muharam 1438H)

Saturday, October 8, 2016

DURIAN BELANDA - 3 CARA PENDEBUNGAAN

PENDEBUNGAAN POKOK DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan isu utama dalam menentukan jumlah penghasilan buah. Durian belanda (soursop) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga Annonaceae yang sama dengan buah seperti Nona Seri Kaya, Nona Kapri, Atemoya, Cherimoya dan beberapa jenis lagi. Tanaman ini dipercayai natif dari kawasan di Amerika Tengah dan tidak banyak yang ditanam secara komersil di Malaysia seperti buah-buahan lain (Sila klik disini - untuk artikel berkaitan durian belanda). Durian belanda memerlukan kawasan tanah yang subur dengan kadar kecerunan antara 0 - 15 darjah, mempunyai sistem saliran baik (ia tidak tahan air banyak) dan pH tanah diantara pH5.0 - 5.5 dengan kedalaman tanah melebihi 1 meter. Dari segi hujan pula saya dapati tahap keperluannya adalah SEDERHANA sepanjang tahun dan hujan berlebihan akan menganggu proses pendebungaan. Pokok durian belanda juga akan terjejas hasilnya jika kurang air atau kemarau agak panjang. Di Malaysia terdapat 3 varieti durian belanda yang telah lama didaftarkan iaitu DB1, DB2 dan DB3. Kesemua varieti ini akan mengeluarkan hasil selepas 3 tahun penanaman pada pokok yang dijaga dengan baik dikebun. Antara isu penting dalam tanaman durian belanda adalah masaalah pendebungaan yang sering menjadi masaalah kepada ramai petani tempatan. Bunga durian belanda mempunyai masaalah pendebungaan yang agak serius terutama jika ditanam dikawasan yang sentiasa lembab, kurang tiupan angin, pokok kurang subur, jumlah pokok sedikit, jarak tanaman berjauhan atau pun kekurangan serangga agen pendebunga. Bunga durian belanda (Lihat foto diatas) merupakan bunga yang mempunyai kelopak berwarna hijau muda dengan stigma dan anthers berada didalamnya. Dalam beberapa rujukkan yang saya buat, terdapat beberapa fasa kematangan bunga durian belanda yang berbeza-beza antara Bunga Betina (stigma) dan Bunga Jantan (menghasilkan debunga). Masa matang atau masa kesediaan stigma durian belanda beberapa varieti tempatan didapati terbuka untuk stigma menerima debunga lazimnya pada waktu petang sekitar jam 3.00 - 5.00 petang (waktu paling reseptif). Waktu awal pagi atau lewat petang juga ada beberapa kuntuk bunga dalam pokok yang sama atau varieti lain terbuka dan sesuai menerima debunga. Bagaimana pun masa kematangan debunga (pollen) pada anthers didapati banyak berlaku pada lewat petang atau malam hari (sekitar jam 8.00 - 9.00 malam) dimana ianya boleh gugur dan jatuh kepada stigma. Umumnya semut, kerengga, rama-rama dan agen pendebunga lain adalah kurang aktif pada malam hari. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 3 kaedah pendebungaan durian belanda yang berlaku atau boleh dilakukan dikebun durian belanda untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

(1) PENDEBUNGAAN SEMULAJADI
Proses pendebungaan semulajadi bunga durian belanda berlaku dengan bantuan angin, serangga dan beberapa faktur lain. Kajian penulis daripada beberapa lokasi penanaman durian belanda mendapati peratus kejayaan hanya sekitar 6% sahaja. Kajian menunjukkan cara ini menghasilkan purata berat buah kurang dari 5 kg sebiji dengan penghasilan diantara 3-5 biji sepokok setahun. Ini kerana bunga durian belanda tidak mempunyai bau, warna, nektar yang akan menarik serangga untuk menghampirinya dan membantu proses pendebungaan. Kehadiran serangga seperti semut dan kerengga lazimnya akan ada selepas stigma sudaj tiak reseptif untuk menerma debunga (Sila lihat foto disebelah). Pokok muda, ditanam jarang atau jauh jarak antara pokok dan pokok yang rendah (cantasan berlebihan) juga menyebabkan proses tiupan angin tidak berapa efektif untuk membantu didalam proses pendebungaan semulajadi. Masa bunga betina yang reseptif pada petang hari dan bunga jantan yang keluar dimalam hari menyebabkan kurang serangga yang akktif pada waktu tersebut. Ini menjadikan proses pendebunggaan secara semulajadi amat rendah. Ada beberapa petani yang penulis pernah jumpa mengadu bahawa dikebunnya boleh dikatakan tidak berbuah kerana tidak berlaku proses pendebungaan secara semulajadi masa dulu. Keadaan ini lebih serius jika hanya terdapat beberapa pokok durian belanda ditanam dikawasan keliling rumah yang kurang subur dan tidak dijaga. Tinjauan penulis mendapati purata pendapatan bago setiap pokok yang menjalani pendebungaan semulajadi hanya RM75.00 sepokok setahun sahaja. Kiraan analisa pendapatan ini  berasaskan kepada hasil 5 biji x 1.5 kg x RM10.00/kg untuk kiraan sepokok setahun. 


(2) PENDEBUNGAAN BERBANTU
Teknik Pendebungaan Berbantu Pokok Durian Belanda (Assisted Pollination) merupakan kaedah terawal yang telah diperkenalkan kepada penanam durian belanda. Kaedah pendebungaan ini dimulakan dengan mengutip debunga jantan durian belanda dan disapu kepada stigma bunga betina menggunakan berus lukisan pada setiap bunga yang reseptif. Setelah menyapu berus yang ada debunga maka perlu dipatahkan satu kelopak untuk menandakan bung tersebut telah didebungakan. Kadar kejayaan kaedah ini sekitar 40%. Kos peralatan untuk teknik ini menelan belanja sebanyak RM135.00 untuk membeli tangga aluminium, bekas debunga, berus lukisan, pisau, gunting dan sebagainya. Keupayaan seseorang untuk melalukan pendebungaan berbantu ini sekitar 30 kuntum bunga dalam masa satu jam. Antara kelemahan cara ini adalah keupayaan untuk melakukan pendebungaan dengan ketinggian terhad sahaja mengikut ketinggian tangga dan bunga yang tinggi tidak mampu dilakukan. Apa yang menyeronokan petani adalah apabila teknik ini mampu menghasilkan saiz buah yang purata beratnya sekitar 2.5 kg sebiji. Purata bilangan buah durian belanda yang boleh dihasilkan sebanyak 15 - 20biji sepokok setahun.  Analisa yang penulis kira dimana kaedah ini mampu memberikan pendapatan sebanyak RM500.00 sepokok setahun berdasarkan kepada asas kiraan 20 biji x 2.5 kg x RM10.00 sekilogram. Cara pendebungaan ini memerlukan pekerja mahir untuk melalukannya agar mencapai peratus kejayaan yang tinggi.


(3) TEKNIK GEGARAN 
Teknik gegaran (shaking) bunga durian belanda merupakan satu kaedah terkini yang amat mengkagumkan. Daripada inovasi yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor dilaporkan teknik ini mampu memberikan peratus kejayaan sehingga 90% dikebun. Mereka mencipta alat yang dinamakan 'Muricata Shaker' yang dibuat dengan harga RM50.00 satu unit dan berjaya menggunakan teknologi ini dibeberapa kebun durian belanda komersil. Ketinggian yang mampu dicapai oleh alat ini melebihi 5 meter (25 kaki) dengan pemegang boleh laras. Teknik gegaran ini perlu dijalankan dari jam 8.00 - 10.00 malam dimana pada waktu tersebut bunga betina dan debunga dalam keadaan reseptif untuk pendebungaan. Alat ini akan diletakkan pada dahan pokok yang berbunga dan di gonchang (gegar) selama beberapa saat lamanya untuk membolehkan debunga jantan jatuh kepada bunga betina. Keupayaan mengguna alatan ini mampu mendebungakan sebanyak 75 kuntum bunga dalam masa satu jam. Hasil buah durian belanda yang dicapai purata beratnya 2.5 kg sebiji dengan sebanyak 40 - 50 biji mampu dihasilkan sepokok setahun. Ia mempu menghasilkan bentuk buah yang sekata simiteri dan dijual sehingga menghasilkan pendapatan sekitar RM 1,250.00 sepokok setahun. Asas kiraan adalah untuk 50 biji x 2.5 kg sebiji x RM10.00 satu kilogram. Kalau anda mempunyai 100 pokok bermakna pendapatan kasar dari ladang menggunakan teknik gegaran dengan syarat penjagaan pokok adalah baik mencapai RM125,000 setahun. Teknologi terkini iaitu Teknik Gegaran untuk proses pendebungaan pokok durian belanda adalah yang terbaik dilakukan oleh semua pemilik kebun durian belanda. Kekangan yang mungkin dihadapi adalah waktu melakukannya pada malam hari, gangguan cuaca, dahan yang rosak atau patah jika salah mengendalikan alatan dan buah yang kecil jika pokok tiada baja dan sistem pengairan.

Pada masa ini kesemua 3 teknik pendebungaan durian belanda telah saya terangkan. Penulis percaya pokok durian belanda akan menjadi satu tanaman yang menarik ramai usahawan untuk menceburinya. Beberapa usahwan kini menebang kelapa sawit, getah dan tanaman buah-buahan lain dan menukar tanaman kepada durian belanda yang ada potensi besar untuk menjana keuntungan. Buah durian belanda yang berkhasiat mampu merawat masaalah kanser, gout dan beberapa masaalah kesihatan lain. Semuga anda mendapat ilmu yang berguna untuk dijadikan bahan rujukkan. Penulis mengucapkan terimakasih kepada beberapa pakar tanaman durian belanda di Jabatan Pertanian dan petani yang memberikan info ini kepada penulis. Wasallam!!!.
DURIAN BELANDA... KELUARKAN BUNGA...
PERLU DIGEGAR... TEKNIK KINI BERJAYA...
HASIL TINGGI... PETANI PALING GEMBIRA...
ARTIKEL DITULIS... RUJUKKAN SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Tanaman Durian Belanda,
(Maran, Bera, Melaka, Johor dll),
Pahang, Malaysia.
(27 Zulhijjah 1437H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...