Support My Blog

Saturday, February 7, 2015

IKAN SIAKAP - IKAN POPULAR

IKAN SIAKAP (Lates calcariferatau) juga dikenali sebagai ikan Kakap Putih merupakan ikan air tawar dan air masin yang sangat popular dikalangan rakyat Malaysia kerana ia mudah didapati dan rasanya yang enak. Ikan Siakap sering dihidangkan di Restoran Ala-Thai dan Hotel dengan menu masakan Resepi 3- Rasa atau Ikan Siakap Masak Steam. Ikan ini juga merupakan ikan pemangsa yang diternak secara komersil. Dalam keadaan emulajadi ikan siakap lazimnya akan mendiami sungai dan air laut. Diet utamanya adalah anak-anak ikan (termasuk anaknya sendiri) dan juga udang, serangga kecil seperti cengkerik dan cacing. Kajian juga mendapati bahawa ikan siakap muda akan makan zooplankton (hidupan planton halus dalam air). Penulis beberapa kali berpeluang melawat kolam ternakan ikan siakap dan ternakan ikan siakap dalam sangkar. Ikan ini merupakan jenis 'katadromous' yang tinggal di sungai dan menyusur sungai dan kekuala dan lembah takungan banjir bagi proses bertelur. Selalunya pada permulaan musim hujan ikan jantan menyusur kehilir bagi bertemu ikan betina dan eterusnya akan bertelur dengan banyaknya (berjuta setiap ekor). Ikan dewasa lazimnya tidak menjaga telor atau anaknya yang memerlukan air payau untuk terus hidup dan membesar. Ikan ini adalah jenis dikatakan 'hermaphroditik turutan' dimana kebanyakan ikan matang sebagai jantan dan menjadi betina selepas sekurang-kurangnya satu musim mengawan dengan itu kebanyakan ikan siakap besar adalah betina. Artikel malam Ahad ini sambil menonton drama di TV Astro saya ada idea menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan siakap yang popular di Malaysia sebagai sejenis ikan pilihan.

Dalam mengenai tabiat kehidupan ikan siakap kita perlu mengetahui akan kitaran hidupnya.  Dalam keadan liar, ikan siakap memakan hidupan lain terdiri daripada crustacean, moluska dan ikan kecil. Anak ikan siakap menjadikan zooplankton sebagai diet utamanya dimana uniknya ikan siakap merupakan euryhaline tetapi stenothermalIkan siakap yang diternak dalam sangkar juga kadang-kadang akan menunjukkan ciri-ciri ikan liar biasa. Ia juga akan bertukar jantina pada saiz kecil, pembahagian lebih tinggi protogyny dan sesetengah ikan jantan pula ada yang tidak melalui perubahan jantina. Dalam dunia 'JORAN' lazimnya ikan siakap amat disukai oleh para pemancing kerana keupayaan melawan ketika memancing dimana ikan ini mempunyai daya juangnya yang tinggi. Ikan siakap juga dikatakan amat bijak mengelakkan jaring yang dipasang untuk menangkapnya dan selalunya ditangkap dengan menggunakan kaedah memancing. Teknik untuk memancing ikan siakap sesuai dengan cara menggewang pelbagai jenis umpan termasuk umpan lembut dan keras. Teknik menunda juga digemari dan merupakan teknik produktif bagi ikan siakap. Ikan siakap dalam sangkar sering menjadi sasaran popular pemancing dengan umpan permukaan kerana ia diketahui makan sebarang jenis makanan dari permukaan air termasuk katak, ikan umpan cedera dan malah anak angsa dan burung yang lain. Ramai kaki pancing mengembara ke kawasan sangkar ikan siakap untuk memancingnya.

Semasa memancing ikan siakap, kita akan dapat melihat yang ikan sering kali melompat keluar dari air sebanyak beberapa kali sepanjang pergelutan dan membuat larian jauh yang berkuasa. Ini menjadikannya sebagai jenis sasaran yang popular dikalangan pemancing. Kawasan air payau yang ada ikan siakap sering menjadi buruan pemancing dengan menggunakan jiran dan umpan yang sesuai (Sila lihat foto disebelah). Dalam banyak tulisan ada menyatakan bahawa isi ikan siakap ini mempunyai rasa 'berlumpur' disebabkan ikan siakap menghabiskan hayatnya dalam persekitaran air tawar atau kawasan berlumpur. Bagaimana pun penternak ikan sangkar mampu menghilangkan bau lumpur dengan teknologi memasukan ikan siakap tersebut dalam air berarus untuk beberapa waktu. Cara memasak ikan siakap sangat penting untuk mempastikan bau lumpur hilang dengan menggunakan air asam jawa atau perahan air limau. Antara jenis resepi ikan siakap yang popular seperti Ikan siakap tiga rasa, Ikan Siakap Sweet Sour, Ikan Siakap Masak Stem, Ikan Siakap Goreng Berlada dan beberapa resepi lagi.

Teknik memancing ikan Siakap di muara sungai atau kuala sungai serta sungai yang berdekatan dengan laut amat menyeronokan kaki pancing. Kawasan kuala sungai yang disukai dimana didiami ikan Siakap Muara atau kuala yang berukuran besar. Sungai yang bermuara terus ke laut adalah tempat mereka bersarang dan bertelur. Ikan ini juga dikenal sebagai ikan yang susah dipancing karena terlalu sensitif dan sangat berhati hati dengan kehadiran manusia. 
Masa Sesuai Pancing Ikan Siakap adalah pada waktu makan dimana ikan siakap galak makan yang biasanya bermula dari jam 4.00 petang hingga jam 6.00 petang sahaja. Keadaan dimana angin laut mulai meredup dan kemudian ada angin berubah menjadi angin darat sebentar kemudian angin timur amat sesuai untuk memancing siakap. Jika tiupan angin tidak terlalu kencang selalunya ikan siakap masih mahu makan umpan pancing. Bagaimana pun dalam keadaan lain iaitu sekitar jam 11.00 pagi -12.00 tengahari diman berlaku angin berubah ke haluan tenggara lazimnya ikan siakap akan berhenti makan sampai angin dari timur muncul lagi sekitar jam 3.00 petang atau jam 4.00 petang sehingga sampai jam 8 mlm. Faktor air sungai dikuala dan keadaan air juga mempengaruhi faktor pemakanan siakap kepada umpan. Selalunya ketika berlaku fenomena air pasang naik maka ikan siakap suka makan. Ketika air pasang penuh pula lazimnya ikan siakap mulai kurang suka untuk makan. Ketika air mulai turun atau air mula surut maka ikan siakap mulai makan lagi. Pada keadaan air bertahan (ada lapisan lumut atau plankton tipis di permukaan) lazimnya ikan siakap jarang ada yang makan umpan. Ini disebabkan oleh bahan yang bergerak akan menimbulkan semacam sinar di permukaan yang membuat siakap akan menjauhkan diri. Dari segi pemilihan jenis umpan ikan siakap terbaik adalah menggunakan Udang Putih. Selain lebih kuat berenang dibanding Udang kelabu selalunya udang putih matanya akan menyala di dalam air pada waktu malam hari. Ada juga yang menggunakan ikan Belanak tapi umpan ini perlu dikawal sebab ikan ini suka masuk ke dalam batu atau semak. Umpan belanak amat sesuai diggunakan diwaktu malam yang mempunyai cahaya bulan. Begitulah beberapa info mengenai ikan siakap dan memancing ikan siakap. Wallahualam.!

IKAN SIAKAP... GALAK GERAKNYA...
JENIS MAKANAN.... PEMANGSA....
ANAK IKAN... PELBAGAI CARA...
SEDAP DIMAKAN... MASAK 3 RASA...

By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Medan Ikan Bakar Sabak Awor,
Muar, Johor,
Malaysia.
(18 RabiulAwal 1436H) 

Friday, February 6, 2015

AMPLANG - RAHSIA SNEK RANGUP


KUIH AMPLANG adalah sejenis makanan ringan atau Snek yang sangat popular di Sabah dan Utara Sarawak. Amplang merupakan snek rangup yang menjadi makanan ringan paling disukai ramai (Sila lihat foto diatas). Penulis memang rasa tidak lengkap berkunjung ke Sabah jika tidak membawa pulang makanan ini sebagai buah tangan. Pada saya kuih amplang bukan saja enak dimakan begitu saja tetapi ia juga turut disajikan bersama minuman petang bersama minuman kopi dan kuih lain. Semasa saya melawat beberapa projek pertanian di Sabah beberapa kali berpeluang melawat aktiviti membuat kuih amplang kerana ia begitu gah serta menjadi produk kebangaan negeri berkenaan. Bagi ramai orang Semenanjung rasanya tidak ramai yang me­ngetahui cara dan bagaimana kaedah pembuatannya. Jauh sekali yang cuba menyelongkar bahan digunakan bagi menghasilkannya. Ada kemungkinan ia menjadi rahsia kebal pembuatnya bagi melindungi kualiti atau diciplak pesaing lain. Lawatan saya terbaru ke Sabah telah berpeluang mempelajari sedikit teknik pembuatan kuih amplang dan ia telah berjaya diselongkar. Artikel pagi Selasa sempena cuti Thaipusam 2015 ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" satu artikel ke 3,210 mengenai teknologi membuat kuih amplang yang rangup dan enak dimakan.


Rahsia sebenar untuk membuat amplang yang enak dan rangup adalah dengan penggunaan isi ikan segar menjadi rahsia penting dalam pembuatan amplang. Isi ikan segar menjadi kunci kepada kualiti produk apatah lagi menjadikannya lebih manis serta ranggup bila dimakan (Sila lihat ikan segar disebelah)Isi ikan segar yang siap diproses menjadi bahan utama. Kaedahnya hampir sama dengan cara membuat keropok yang banyak diusahakan di Terengganu. Kemudian isi ikan akan dicampurkan dengan tepung sagu dan digaul hingga sebati. Lazimnya mereka menggunakan mesin pengaul kerana ia adalah lebih praktikal supaya campuran tadi benar-benar sebati. Sebagai perisa tambahan selalunya adunan seperti bawang putih, sedikit gula, serbuk penaik serta garam secukup rasa turut dicampurkan bersama. Bagaimana pun kadar campuran bahan-bahan tersebut mengikut citarasa pembuatnya. Kajian asas ada menunjukkan terdapat beberapa spesies ikan yang boleh digunakan untuk membuat amplang tetapi jenis yang paling popular ialah ikan tenggiri. Ini berikutan ikan tenggiri tidak mempunyai banyak tulang halus seperti ikan tamban atau selar kuning. Selain itu, amplang ikan tenggiri berwarna kuning bersih mendapat permintaan tinggi di pasaran.


Proses seterusnya adalah adunan isi ikan tadi akan diuli serta digentel bulat bersalutkan tepung sagu supaya ia tidak melekat ketika digoreng. Tinjauan penulis mendapati adunan yang digentel bulat memanjang bersaiz ibu jari akan diracik kecil. Racikan isi ikan berkenaan akan dimasukkan dalam bekas penggoreng selama 10 hingga 15 minit sebelum diperiksa tahap masak yang sekata. Ujian untuk tahap kemasakan yang sekata dilakukan dengan memotong beberapa biji amplang dengan memeriksanya pada bahagian dalamnya. Amplang yang sempurna diangkat dan ditoskan supaya sejuk. Ia perlu dijemur dalam dulang pengeringan sehingga sejuk sebelum dibungkus untuk dipasarkan. Beberapa usahawan yang penulis temubual menyatakan mereka hanya hanya mampu memproses 200 kilogram isi ikan sehari untuk dijadikan amplang dan jumlah itu akan meningkat apabila menambah baik peralatan. Pemasaran lazimnya disekitar Kota Kinabalu dan bandar-bandar lain berhampiran. Mereka juga ada menyatakan bahawa Jabatan Perikanan Sabah banyak membantu dalam menjayakan industri pengeluaran produk ini. Produk amplang memang satu produk snek yang enak dimakan terutama jika ia masih baru dihasilkan. Wasallam!.



NAMA AMPLANG...SNEK PERISA...
BANYAK DISABAH... RAMAI SUKA...
IKAN TENGGIRI...BAHAN UTAMA...
IA BERKHASIAT... UNTUK SEMUA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar,
Kotakinabalu, Sabah,
Malaysia.
(21 RabiulAkhir 1436H)

Thursday, February 5, 2015

PENGGUNAAN RACUN POPULAR

PENGGUNAAN RACUN KIMIA dikalangan petani di negara kita merupakan satu kaedah yang lazim dijalankan. Racun merupakan formulasi bahan kimia yang digunakan untuk mengawal agen perosak dan penyakit tanaman dengan pelbagai cara. Terdapat pelbagai jenis racun yang dikeluarkan oleh pengilang untuk tujuan khusus. Racun Rumpai adalah khusus untuk mengawal rumput atau tumbuhan noxious dalam kawasan kebun sementara racun serangga adalah khusus untuk mengawal serangga perosak. Terdapat juga racun tikus, racun kulat, racun nematod, racun lipas, racun lalang, racun semut dan pelbagai lagi dijual untuk tujuan yang dikhususkan. Kebanyakan racun adalah merbahaya kepada kesihatan manusia, haiwan dan tumbuh- tumbuhan. Racun Kimia juga merupakan salah satu daripada pilihan dalam amalan kawalan perosak tanaman selain daripada teknik kawalan mekalikal, kawalan biologi dan kawalan secara kultura. Sesetengah racun disediakan sama ada bertindak secara Sistemik atau Secara Sentuhan. Bagi racun sistemik ia akan meresap dan membunuh patogen perosak dengan cara perlahan-lahan. Racun jenis sentuh pula akan bertindak serta merta terhadap semburan dan dapat dilihat kesannya dengan segera. Pemilihan dan juga penggunaan racun kimia yang popular bergantung kepada banyak faktur. Petani dan pemilik estet lazimnya akan melihat sudut kos racun, keberkesanannya, kesan terhadap tanan tanaman atau ternakan serta tahap pengendaliannya. Petani di Malaysia memang telah faham memilih racun jenis apa yang perlu dibeli berdasarkan kepada label dan juga pengalaman menggunakan racun tersebut. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa racun popular dikalangan petani sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan semua. Laporan ini diadaptasi daripada hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian, UPM dan beberapa pihak berkaitan.


Racun Rumpai (Weedicide) merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mengawal rumpai. Terdapat banyak jenama dan bahan aktif yang ada untuk diformulasikan menjadi racun rumpai daripada racun jenis sistemik, racun sentuh mahu pun khusus untuk kawalan rumpai daun lebar atau rumput biasa. Antara beberapa racun kimia yang popular dipasaran adalah seperti Round-Up, Basta, Gramoxone, Paraquat, Spark dan beberapa lagi. Racun ini dijual dengan label dan peraturan cara pengunaanya. Kini cara penggunaan racun yang tidak berdaftar atau yang telah diharamkan sangat membimbangkan. Antara racun yang telah diharamkan yang masih digunakan termasuklah ENDOSULFAN dan PARAQUAT. Pernah sesekali penulis terserempak dengan van yang mengedarkan racun-racun haram ini dikawasan kebun sayuran yang kedudukannya jauh dipendalaman. Racun ini kebanyakannya adalah dari luar negara dengan tidak didaftarkan kepada LRMP dahulu. Petani ditawarkan dengan harga murah dan kesan yang cekap tetapii lazimnya akan meninggalkan kesan sisabaki yang teruk.


Jadual 1: Racun-racun yang popular mengikut petani (%)

Jadual 1 diatas dipaparkan 12 jenis racun serangga yang popular di Malaysia dari segi jualan, penggunaan dan juga pengedarannya yang dilakukan kajian pada tahun 2012. Trend ini adalah sama dengan keputusan kajian awal pada tahun 2014.  Jika dilihat racun jenis Imidachloroprid merupakan jenis racun serangga paling popular digunakan dengan skor sebanyak 50.7% dan diikuti dengan racun jenis Lambda-cyhalothrin dengan skor sebanyak 45.8%. Jenis racun ketiga dalam enarai yang polupar adalah jenis Lufenuron diikuti dengan racun jenis Chlorpyfos serta cypermethrin. Jadual diatas juga menunjukkan penggunaan racun jenis Chlorfluazuron adalaj jenis kurang popular diguna dengan skor hanya o.4% sahaja di Malaysia.
 

Jadual 2: Kajian penggunaan racun Kulat

Jadual 2 diatas saya paparkan populariti dan penggunaan racun kimia dari jenis racun kulat di Malaysia. Senarai diatas antara jenis racun kukat paling popular digunakan adalaj jenis Difenoconazole dengan skor 30.7%. Ini diikuti dengan racun jenis Isoprothiolene dengan skor sebanyak 13.3$. Kajian menunjukkan racun kulat jenis Triclopyr butoxy ethyl esther adalah kurang digunakan di negara kita dengan kadar skor hanya 1.3% sahaja. Racun kulat sebenarnya banyak digunakan ketika kedaan cuaca lembab dimana kadar serangan selalunya meningkat.

                                      Jadual 3: Kajian penggunaan racun Rumpai
Jadual 3 diatas saya paparkan hasil kajian jenis racun rumpai yang popular di Malaysia pada tahun 2012. Dari jadual diatas menunjukkan kenis racun rumpai Pretilachlor  + pyribenzoxim adalah paling lazim digunakan dengan kadar skor 5.3%. Ini diikuti dengan penggunaan racun rumpai jenis Glufosinate ammonimum (Skor 3.6%), Racun 2-4D (2.3%), Racun Paraquat dichloride (2.1%) dan jenis Glyphosate isopropylamine (0.9%).



Kajian juga menunjukkan ramai petani yang mengamalkan teknik racun campuran dan "cocktail" racun sebagau kaedah untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan racun. Kajian mendapati hampir 96% respondan menyatakan mereka membuat campuran racun. Antara jawapan yang diberi kepada soalan mengapa membuat campuran racun ialah; menjimatkan masa menyembur, mengurangkan kos menyembur, terdapat pelbagai jenis perosak yang perlu dihapuskan pada masa yang sama, campuran dilakukan oleh pekerja dan campuran racun memberi kesan yang segera. Pengalaman penulis mendapati petani mendapat maklumat mengenai campuran racun cocktail ini daripada pekedai yang menjual racun dan rakan-rakan mereka dalam bidangusaha yang sama. Pada penanam cili seperti Ah Siong di Kg Paya Serakek, Segamat menyatakan racun cocktail yang beliau digunakan memberikan kesan baik terhadap kualiti hasil dan mengurangkan serangan perosak. Pengguna katanya hanya hendak membeli cili yang licin berkilat tanpa apa lubang atau ulat. Isunya adalah adakah pemeriksaan mengenai residu sisabaki racun (MRL) akan diperiksa sebelum sampai kepada pengguna?.

RACUN KIMIA... MERBAHAYA...
JENIS POPULAR...KENAPA....
KESAN CEPAT...DAN NYATA...
HASIL CANTIK... BERJAGA-JAGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek TKPM Sekijang,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(13 Safar 1436H) 

Wednesday, February 4, 2015

BIJI KOPI - 'ELEPHANT BEANS'


Apakah dia biji Kopi 'Elephant Beans'?. BIJI KOPI (Coffea liberica) yang dihasilkan di Malaysia mempunyai kualiti terbaik dari segi kualiti pemprosesan dan pasaran domestik. Tanaman kopi di Malaysia direkodkan seluas 3,764 hektar pada tahun 2014 dengan pengeluaran hasil sebanyak 16,500 mt terutama daripada Negeri sabah dan Johor. Petani di Malaysia hanya menanam kopi jenis liberica sahaja dan hanya sedikit sahaja masih ada tanaman kopi robusta. Penulis membuat penelitian bahawa keluasan tanaman kopi terus menurus setiap tahun dimana pada 2005 dilaporkan seluas 8,500 hektar tanaman kopi masih ada dan kini seluas 4,736 hektar telah pupus dalam masa 10 tahun. Ia merupakan pengurangan sebanyak 55% daripada keluasan asal dengan purata hampir 500 hektar setahun. Ini disebabkan oleh banyak faktor diantaranya penukaran kawasan kopi kepada tanaman kelapa sawit, kos memetik hasil kopi yang remeh, harga biji kopi jamu yang tidak menentu dan juga serangan perosak dan penyakit kopi. Ramai petani dikawasan kampong tradisionak di Johor, Selangor dan Perak yang menanam kopii bersama kelapa dan buah-buahan telah menebang pokok mereka. Kini Malaysia mengimpot sebanyak 106,555 mt biji kopi mentah dari luar untuk menampong kekurangan bekalan kopi mentah tempatan. Terdapat seramai 96 syarikat yang mempunyai kuota impot kopi dan mereka memproses kopi untuk pasaran domestik dan ekspot. Mereka mempunyai kilang memproses kopi dimana sebahagian sahaj syarikat yang mempunyai punca bekalan tempatan. Biji kopi jambu yang diproses manjadi kopi beras memerlukan kemahiran khusus untuk mendapatkan kopi beras berkualiti. Kini antara varieti kopi liberica yang disyorkan untuk penanaman secara komersil adalah Kopi MKL 2, MKL3, MKL 4, MKL 5 dan terkini adalah varieti MKL 7. MKL adalah varieti yang memberi makna sebagai MARDI Kopi Liberica. Apabila kopi jambu di proses akan menghasilkan berbagai bentuk dan saiz dan juga kualiti. Penulis baru-baru ini belajar dari sebuah kilang memproses kopi mengenai proses pengreddan biji kopi sebelum dijadikan serbuk kopi. Saya baru kenal gred biji kopi beras dinamakan 'Elephant Beans' atau Biji Kopi Gajah yang dianggap sebagai biji berkualiti premium (Sila lihat foto diatas). Ia seakan berbentuk belalai gajah yang memanjang dengan lekukan jelas ditengah-tengahnya. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penemuan penulis mengenai biji kopi kualiti gajah yang dianggap sebagai 'berkualiti premium' oleh beberapa syarikat pemproses serbuk kopi untuk rujukan anda.    


Biji kopi jenis 'elephant beans' ini adalah berbentuk panjang dengan ada lekukan jelas dibahagian tengah yang berukuran antara 1.0 - 2.0 cm bergantung kepada jenis. Ia berwarna coklat gelap dan sekali pandang seakan berbentuk 'kuih siput' yang sering dihidangkan semasa Hari Raya Puasa. Biji ini jelas dapat dibezakan dengan jenis gred biasa yang saiznya lebih kecil dan berbentuk bulat sahaja. Biji gred biasa ini ada yang tidak mempunyai lekukan ketara dan terdapat kedut-kedut atau berkerut (Sila lihat foto disebelah). Biji gred ini akan juga jelas dikenali semasa proses pengasingan penggreddan biji kopi. Sebenarnya amalan agronomi dikebun dan kualiti buah kopi serta varieti kopi kadang-kadang menyebabkan pengeluaran biji kopi semasa proses menggred. Biji kopi premium selalunya akan digunakan untuk dijadikan kopi putih (white coffee) yang harganya jauh lebih mahal dan biji gred biasa ini akan digunakan untuk dijadikan kopi hitam (Black coffee) atau untuk produk 'Kopitiam'. Bagaimana punn tidak banyak syarikat pemproses kopi yang mengamalkan cara ini kerana meraka kurang prihatin terhadap kualiti biji kopi mereka dan tidak menghasilkan jenis 'white coffee'. Jenis mesin yang digunakan untuk memproses biji kopi untuk dijadikan kopi serbuk juga menentukan produk akhir serbuk kopi. Hanya mereka yang pakar mengenai kopi sahaja akan tahu menilai akan kelebihan dan keunikan rasa kopi sebenar. Bagi kebanyakan orang biasa, pengunjung kedai kopitiam dan orang awam lain memeng kurang tahu akan kualiti minuman kopi sebenar. Kini biji kopi 'elephant beans' telah dijadikan satu jenama oleh beberapa syarikat pemproses kopi sebagai produk premium. 


Pokok Kopi Liberica di Malaysia lazimnya akan menghasilkan bunga setahun dua kali dan musim memetik hasil lazimnya juga dua kali dalam setahun. Penulis dapati musim memetik hasil kopi lazimnya banyak pada bulan Mac/April dan Oktober/November setiap tahun. Ini membolehkan pengilang kopi merancang proses penyimpanan dan pemprosesan biji kopi yang lazimnya dalam bentuk kopi beras. Kopi jambu perlu diproses untuk dijadikan kopi beras dan disimpan dalam bilik penyimpanan yang dingin agar ia tahan lama. Bagaimana pun bergantung kepada keupayaan pengilang, kuantiti biji kopi yang disimpan bergantung kepada kapasiti etor penyimpanan dan mesin memproses kopi yang mereka ada. Sebelum proses menggoreng biji kopi lazimnya akan dibuat pengasingan biji kopi mengikut gred dan kualiti. Pada masa ini proses memilih biji kopi ini dilakukan dengan cara manual dan teliti (Sila lihat foto disebelah). Kemahiran dan kesabaran mengasingkan biji kopi jenis 'elephant beans' dan biji gred biasa dilakukan oleh golongan perempuan. Walau pun ada kos dalam pemilihan biji kopi tetapi kesannya adalah ia menghasilkan kopi berkualiti premium dengan teknik menggoreng kopi yang betul. Penggunaan mesin menggoreng kopi dengan kawalan suhu dan campuran bahan-bahan ramuan tepat serta pembungkusan baik memboleh kopi dijual dengan harga premium.



Biji Kopi yang telah diasingkan akan terus dimasukkan dalam bekas berlainan. Ini bagi membolehkan proses penggorengan kopi akan dapat dilakukan dalam waktu berlainan. Biji kopi premium (elephant beans) akan diproses berasingan dengan kopii gred biasa kerana cara, suhu dan bahan campuran semasa memproses adalah berbeza. Terdapat banyak kaedah memproses biji kopi sama ada secara tradisional (Convensional), Separa automatik dan sepenohnya automatik (Fully automatic). Mengikut beberapa pengilang yang penulis temui, kebanyakan mereka menggunakan cara tradisional kerana kekurangan modal untuk membeli mesin besar yang automatik dimana harga sekitar RM1.6 juta. Oleh kerana saiz biji kopi beras adalah berbeza maka adalah penting untuk mengawal suhu dan putaran biji kopi yang digoreng. Bagi pengeluaran yang banyak maka pemproses serbuk kopi akan menggunakan mesin automatik yang cepat dan seragam. Sekali goreng biasanya sebanyak 60 kg sahaja untuk mengawal kualiti. Kopi yang enak diminum bukan kepada jenama sahaja tetapi bagaimana proses membuat kopi sebenar yang dijalankan. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada anda. Wasallam!.
BIJI KOPI ... BERBEZA KUALITI...
BENTUK BULAT... KECIL SEKALI...
GADING GAJAH... PERLU KENALI...
PERLU DIASING... DENGAN TELITI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 505, Pine Tree Hotel,
Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(2 RabiulAkhir 1436H).

Tuesday, February 3, 2015

KACANG PANJANG RENEK

KACANG PANJANG (Longbean) merupakan sejenis sayur dari keluarga kekacang yang ditanam dan dikomersilkan di Malaysia. Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan seluas 3,020 hektar pada tahun 2011 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 41,680 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM 102.2 juta. Terdapat sekitar 7 varieti kacang panjang yang ditanam dinegara kita dari biji benih yang diedarkan oleh syarikat seperti Eagle Seed (Sin Sin Huat), Leckat Seeds dan beberapa lagi. Bagaimana pun kini telah ada sejrnis kacang panjang jenis renek yang dipercayai berasal dari Filipina dan dibawa masuk ke selatan Thailand sebelum dibawa ke utara negeri Kedah. Laporan penjual benih di Pulau Pinang mendakwa ia adalah kacukan antara kacang panjang jenis memanjat dengan cowpea (cv. Group unguculata) menghasilkan kacang panjang renek. Daripada keterangan yang diberikan menyatakan yang bilangan lengai setiap pokok antara 10 dan 12 tangkai, panjang lengai antara antara 25 dan 45 sentimeter (cm). Daripada beberapa petak pemerhatian yang ditinjau mendapati hasil kacang penjang renek ini boleh dituai selepas lima atau enam minggu dari penanaman dan penuaian berterusan hingga tiga atau empat minggu dan jangka hayat ialah antara lapan dan 10 minggu. Anggaran hasil sehektar ialah antara sembilan dan 11 tan. Ini merupakan satu peluang baik kepada penanam sayur komersial dan mereka yang hobinya menanam sayur keliling rumah untuk mencubanya. Artikel malam Isnin ini sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan dari akhbar tempatan mengenai keujudan varieti baru kacang panjang renek untuk dijadikan bahan bacaan.


Tanaman kacang panjang boleh juga diusahakan di pelbagai tanah dari ringan berpasir hingga tanah liat atau gambut. Penulis mendapatii jenis tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik adalah yang paling sesuai. Dari segi kemasaman tanah didapati kacang panjang sesuai pada pH tanah ialah antara antara 5.5 dan 6.6. Dalam penanaman kacang panjang secara komersil, penyediaan tanah dengan membajak dan menggemburkan tanah sedalam antara 15 dan 30 cm supaya menjamin pertumbuhan akar yang baik. Sebaiknya disediakan batas berukuran 60 hingga 100 cm (lebar), 25 cm tinggi dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan. Kepada mereka yang minat menanam sayuran disekeliling rumah, penanaman kacang panjang renek boleh juga di tanam di dalam pasu atau polibeg. Pastikan dengan cara menggunakan tanah campuran tiga bahagian tanah atas, dua bahagian bahan, satu bahagian pasir dan campuran sabut kelapa. Pada permukaan batas ditambak dengan bahan organik atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi, permukaan batas boleh ditutup dengan plastik silvershine atau  'agrosheet' bagi tujuan untuk mengurangkan rumpai.


Penanaman kacang panjang renek tidak banyak berbeza dengan kacang panjang jenis biasa jenis memanjat pada para. Ini kerana tanaman ini memang boleh dirapatkan kerana ia tidak memerlukan junjung. Penulis dapati bahawa jarak tanaman yang sesuai antara 50-60 cm (antara barisan) x 60 hingga 100 cm (antara barisan) atau 25 hingga 30 cm (antara pokok) x 60-70 cm (antara barisan). Bagi menanam , perlu diletak dua atau tiga biji benih dalam lubang penanaman dan di kambus nipis (ke dalaman tanah tidak melebihi tiga kali saiz biji benih),biji benih akan bercambah antara lima dan tujuh hari selepas penanaman. Biji benih yang bercambah tidak perlu dibuat penjarangan, ia boleh hidup membesar satu hingga tiga pokok setiap lubang penanaman. Pengairan untuk kacang panjang amat perlu sama ada untuk tanaman dikebun atau dalam pasu. Tanaman kacang panjang renek memerlukan 30 hingga 50 cm air semusim terutama di peringkat berbunga dan pengeluaran lengai. Akibat kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan lengai lengai yang dihasilkan menjadi kecil dan pendek.  Aktiviti penyiraman sama ada secara manual atau gunakan sistem renjisan, cara ini menjimatkan 75 peratus penggunaan tenaga kerja.


Amalan pengawalan rumpai perlu kerana secara amnya tanaman kacang panjang perlu bebas dari persaingan rumpai dari mula ditanam hingga 35 hari selepas penanaman,bagi kacang panjang renik ia tidak serius kerana kepadatan tanaman yang menghalang pertumbuhan rumpai. Pertumbuhan rumpai dapat dikurangkan jika kawasan tanaman disembur dengan racun rumpai yang sesuai. Pembajaan kacang panjang dari keluarga kekacang sebenarnya tidak memerlukan baja yang banyak. Tumbuhan ini mempunyai keistimewaan kerana kebolehan semulajadi untuk menghasilkan nutrien nitrogen melalui proses pengikatan nitrogen mana gas nitrogenen dari udara ditukar kepada ammonia melalui sistem dalam bintil akar pokok. Bagaimana pun untuk mendapatkan hasil baik, pembajaan masih perlu dibuat dimana kadar pembajaan yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5 :200 K2O/hektar, pembajaan diberi dua atau tiga kali sepanjang hayat kacang panjang. Secara amnya pembajaan boleh dibuat menggunakan baja NPK Hijau pada pembajaan pertama dan NPK biru pada pembajaan kedua dan ketiga ,anggaran 30-50 gm/pokok, kadar ditambah jika kacang panjang renik melebihi satu pokok setiap lubang,pembajaan diselangkan setiap dua minggu.


Seperti tanaman Fabaceae yang lain, aktiviti pemangkasan adalah perlu. Pemangkasan tidak perlu dilakukan sepanjang pembesaran kacang panjang renek kecuali bila terdapat kerosakan akibat serangan perosak atau penyakit. Kawalan perosak juga perlu dibuat terutama daripada serangan oleh Ulat Pelombong Daun (Liriomyza sp) dimana ia akan menghasilkan jalur putih pada permukaan daun, jika serangan serius proses fotosintesis akan terjejas dan daun kehilangan air dan akan kering dan gugur. Serangan yang berterusan pada daun kemudian akan akan dijangkiti kulat. Cara kawalan dibuat adalah dengan penyemburan racun serangga yang sesuai pada peringkat awal. Serangga lain seperti Lelompat Daun (Empoasca fabae) akan menghisap cecair dari permukaan bawah daun dan memasukkan bahan toksik dalam daun dan terhasil bintik putih pada urat daun. Ini mengakibatkan klorosis dan nekrotik pada bahagian hujung daun. Kesan lain daun melengkung ke bawah dan tepi daun menggerutu. Semburan racun yang sesuai digunakan bagi mengawal perosak. Perosak lain seperti Pengorek Lengai (Maruca testulalis) dewasa akan bertelur pada bunga kacang dan larva berwarna coklat akan hidup selama 11 hingga 14 hari, larva akan memakan putik bunga dan lenggai yang menyebabkan lubang lubang pada permukaan buah. Ini menyebabkan bilangan bunga dan buah berkurangan. Lenggai kacang yang rosak akan mengakibatkan kehilangan harga. Semburan berjadual dengan racun serangga yang sesuai adalah digalakkan. 


Kawalan penyakit bagi tanaman kacang panjang perlu dilakukan dengan rapi. Penyakit sering menyerang adalah Karat Daun (Uromyces vignae). Ia merupakan penyakit utama tanaman kacang panjang, Ia menyerang daun dan buah (Sila lihat foto disebelah). Serangan peringkat awal terdapat bintik bulat berwarna hijau muda dan bertukar merah keperangan dan terdapat di bawah daun. Angin adalah agen yang merebakkan jangkitan, boleh dikawal dengan memotong dan membakar bahagian yang diserang, gunakan kultivar yang tahan penyakit dan bajak sisa tanaman semasa penyediaan tanah. Kedua adalah masaalah oleh kerana serangan Penyakit Bintik Berpusar (Colletotrichum lindemuthianum) dimana ia menyerang pada daun dan lengai. Lenggai yang diserang mempunyai warna perang hitam dan diselaputi spora merah muda di tengah. Daun dan lenggai yang diserang akan gugur lebih cepat, pertumbuhan terbantut dan hasil berkurangan. Penyakit merebak melalui angin dan air masa musim hujan serta anak benih berpenyakit. Pungutan hasil kacang panjang renek adalah dimana ia akan berbunga antara lima atau enam minggu selepas penanaman. Kelopak bunga berwarna biru muda dan dan boleh dituai selepas lima hingga tujuh hari selepas berbunga. Kutipan hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara tiga atau empat minggu. Kacang ini dipeti mengikut indek kematangan iaiatu Indeks 1, 2 dan Indek 3.
Pada Indeks 1 adalah dimana ia tidak matang, belum madalah encapai tahap kematangan ,masih terdapat kelopak bunga pada bahagian hujung serta saiz yang kecil, tidak sesuai untuk pasaran, kulit kacang panjang berwarna hijau pekat. Yahap Indeks 2 pula adalah lengai cukup matang, telah mencapai tahap kematangan, lebih dua pertiga kacang mengandungi biji dan saiznya sederhana besar serta sesuai untuk pasaran, kulit kacang berwarna hijau. Pada tahap Indeks 3 dimana lengai terlalu matang, kacang panjang dihujung jangka hayat kesegaran,tidak digalakkan untuk pasaran, kulit kacang berwarna kekuningan atau keputihan. Belum banyak penulisan dilakukan mengenai harga borong dan harga runcit untuk kacang panjang renek dipasaran. Mungkin ada keliru kacang ini dengan Kacang Buncis barangkali kerana ia macam erupa sekali pandang. Semuga anda dapat info berguna. Wasallam!...



KACANG PANJANG... RENEK PULA...
KURANG POPULAR... BARU JUMPA...
BELUM KOMERSIL... KENA CUBA...
BACA ARTIKEL... BERGUNA JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasaraya Maidin Melaka,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(21 RabiulAkhir 1436H)

Monday, February 2, 2015

KOPI - RUMAH PENGERING KOPI

PENGERINGAN BIJI KOPI (Coffee bean drying) merupakan satu proses yang penting bagi menentukan kualiti dan kos biji kopi. Teknik pengringan biji kopi di negara kita banyak menggunakan teknik menjemur dibawah cahaya matahari, menggunakan rumah sauna atau menggunakan mesin pengering oven dan sebagainya. Aktiviti pengeringan kopi dilakukan untuk mempastikan biji kopi benar-benar kering untuk tujuan penyimpanan atau juga untuk diproses menjadi produk akhir seterusnya. Setelah biji kopi dipetik maka langkah selanjutnya adalah mengurangkan kadar kandungan air pada biji kopi sehingga hanya tinggal 10% agar stabil. Bagi tujuab tersebut maka biji kopi boleh dikeringkan di bawah Jemuran Sinaran Matahari hingga kadar airnya mencapai 12% sahaja. Pengeringan menggunakan Mesin Pengering boleh mengurangkan kandungan sehingga kadar airnya hanya serendah 10%. Kaedah Pemrosesan Biji Kopi kering merupakan cara paling tua dalam sejarah manusia untuk memproses kopi. Prosedur pengeringan lazimnya dilakukan secara sederhana dimana buah kopi yang telah dipetik ditabur dan dibentangkan pada tikar khas dan akan dibiarkan untuk terjemur sinar matahari selama dua hingga tiga minggu. Keadaan cuaca semasa menjemur kopi amat penting kerana hujan akan menganggu pproses pengeringan biji kopi. Bagaimana pun bagi petani di Johor, mereka akan membuat jemuran dengan lantai simen yang dibubuh bumbung zink boleh alih sama seperti menjemur biji koko. Setelah itu akan didapati bahawa selaput dan parchment dihilangkan dari biji kopi. Kini antara kaedah pengeringan yang paling popular dan praktikal adalah dengan cara menggunakan 'Rumah Sauna'. Artikel subuh ini s aya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kaedah pengeringan biji kopi menggunakan kaedah rumah sauna berdasarkan lawatan teknikal penulis di kilang kopi 434 di Muar. Johor baru-baru ini.


Kaedah Penggunaan rumah sauna memang praktikal, murah dan mampu menghasilkan biji kopi kering berkualiti. Rumah sauna dengan ketinggian 3 meter ini dipasang dinding platik dan suhu didalamnya memang panas dan kering pada siang hari. Biji kopi ditabur diatas lantai simen yang sentiasa bersih dari sebarang kekotoran seperti tanah, pasir, batu kerikil mahupun tidak ada haiwan yang akan masuk didalamnya. Biji kopi akan ditabur rata dengan rack dan dibalikan setiap beberapa lama untuk mendapatkan p[engeringan yang seimbang (Sila lihat foto disebelah). Rumah sauna pengering biji kopi ini adalah tahan lama, menjumatkan tenaga kerja, elakan dari kena hujan dan tahap pengeringan biji kopi yang seragam. Teknik ini sesuai digunakan oleh petani yang mempunyai jumlah biji kopi yang banyak dan juga pemborong biji kopi atau pemproses biji kopi tempatan. Walau pun hujan turun pengusaha tidak perlu risau kerana biji kopi dijemur dalam rumah sauna ini tidak akan terkena hujan. Bagaimana pun pintu rumah sauna perlu ditutup selalu untuk meningkatkan suhu dan juga mengelakan gangguan dari haiwan.

Radiasi matahari di kawasan kebun kopi lazimnya berkisar antara 3,000 - 4,500 Watt-jam/ m. Secara teknikal kadar kecekapan untuk sinaran matahari dapat ditingkatkan secara nyata dengan cara menggunakan teknologi pengeringan kopi tenaga matahari. Tenaga matahari dan aliran udara secara paksa mampu meningkatkan kecekapan radiasi matahari sekitar 40 - 50 % dari yang asalnya hanya 10 - 15 % apabila digunakan untuk penjemuran. Jangkamasa pengeringan biji kopi atau buah kopi menjadi lebih singkat iaitu masing-masing antara 4 -5 hari dan 7 - 8 hari sahaja. Kini telah ada model unit pengering kopi mekanikal menggunakan haba sinaran matahari dengan kapasiti sebanyak 9 - 10 ton biji kopi jambu (50 jam). Model ini yang dibentuk gedung yang atapnya berfungsi sebagai kolektor tenaga matahari. Luas atap adalah 144 m3 dengan ada ruang pengering sesuai. Untuk mengelakan ketergantungan operasi akibat cuaca lazimnya model tersebut dilengkapi dengan sumber panas tambahan dari pembakaran kayu. Operasi pembakaran diatur secara terkawal dengan jumlah udara pembakaran yang masuk tungku dari sebuah kipas sentrifugal. Laju aliran udara pembakaran optimum adalah 100 ml/jam untuk menghasilkan suhu asap 800 °C dan suhu udara pengering maksimum 80 °C. Suhu yang dikeluarkan panas pembakaran berkisar anatara 50 - 100 kW. Kadar penggunaan kayu bakar per ton biji kopi antara 2 - 3 m3. Kombinasi kedua sumber panas tersebut secara mampu menghasilkan udara panas antara suhu 70 - 90 C dan singkatkan waktu pengeringan biji kopi menjadi hanya 40 - 50 jam.


Satu lagi pengeringan biji kopi dengan kaedah pemprosesan Separa-kering merupakan satu teknologi silang antara dua kaedah lainnya. Cara pemrosesan kopi semi kering ada dilakukan dikawasan Brazil, Sumatera dan Sulawesi. Buah kopi akan disalurkan melalui kawat dawai kasa bagi tujuan untuk menanggalkan kulit kopi dan sebahagian selaput seperti yang terdapat dalam metod pemrosesan basah. Bagaimana pun hasilnya tidak melalui proses penapaian (fermentation) atau pengelupasan lebih lanjut tetapi hanya dikeringkan terus di bawah sinar matahari. Cara pemprosesan kopi secara basah pula akan dapat menghasilkan mutu fizikal kopi yang baik namun banyak menyebabkan risiko kerosakan citarasa terutama akibatkan kecacatan citarasa busu. Pada masa dulu pengeringan buah kopi dilakukan dengan cara kering. Namun pada perkembangan teknologi berubah dengan jumlah penghasilan kopi semakin banyak dan keadaan cuaca tidak membolehkan untuk melakukan penjemuran. Kini cara pempprosesan kopi cara basah nyata lebih baik daripada pemprosesan cara kering disebabkan cara proses buah basah dapat dilakukan hanya pada biji kopi yang telah masak berwarna merah penuh. Ia berbeza dimana teknik pemproesan cara pengolahan kering boleh dilakukan pada sembarang mutu buah kopi.


Pengeringan biji kopi rasanya lebih mudah dan lebih cepat daripada pengeringan buah kopi (Kopi jambu - seperti foto disebelah). Ini kerana buah mengandungi jumlah air yang banyak untuk dikeringkan tetapi biji kopi hanya dilapisi oleh kulit nipis sahaja. Kulit nipis biji kopi menyebabkan proses peruapan dan pengeringan biji kopi boleh dilakukan dengan cepat. Oleh itu pengeringan untuk buah kopi secara teknikalnya  dimanfaatkan untuk pengeringan biji kopi.  Proses pengeringan sangat menentukan mutu fizikal dan citarasa kualiti akhir kopi. Kadar air biji kopi setelah pencucian berkisar antara 50 - 55 %. Untuk memenuhi syarat standard perdagangan lazimnya kadar kelembapan air tersebut harus diturunkan sampai 12 - 13%. Nilai ini rendah ini merupakan kadar air yang sesuai bagi biji kopi beras didalam setor simpanan dikawasan tropika. Penurunan kadar kandungan air dari biji kopi dilakukan dengan cara biasa iaitu teknik penjemuran dibawah matahari, gunakan rumah sauna, gunakan emi-mekanikal dan mekanikal.


Penjemuran merupakan cara pengeringan biji kopi terbaik untuk citarasa terbaik selagi cuaca mengizinkan dan ada kemudahan penjemuran sesuai. Menjemu biji kopi dapat dilakukan dalam dua cara sama ada di lantai simen atau dengan meja pengering. Permukaan lantai simen mempunyai sifat menyerap dan menyimpan tenaga haba matahari yang jatuh dipermukaanya. Kemampuan tersebut semakin meningkat jika lantai simen dicat dengan warna gelap (hitam).  Lazimnya pada pengeringan hari pertama maka biji kopi dihamparkan di atas lantai simen dengan ketebalan antara 2 - 5 cm. Teknik pengeringan akan dimulai dari kulit tanduk dan diakhiri di dalam biji (kernel). Jika pembalikan dilakukan secara intensif sekali setiap ½ - 1 jam, pada ketebalan tersebut maka kulit tanduk dapat kering dalam satu hari. Pada hari kedua, tebal lapisan biji dapat ditingkatkan tanpa ada risiko pertumbuhan kulat. Waktu pengeringan biji kopi di lantai simen sangat dipengaruhi oleh beberapa faktor antara lain tebal lapisan, kekerapan untuk pembalikan dan keadaan cuaca. Pada cuaca cerah maka jangkamasa proses pengeringan agak pendek antara 7 - 9 hari. Jika penjemuran melebihi 2 rninggu akibatnya cita­rasa dan aroma biji kopi akan menurun. Menjemur biji kopi dapat dilakukan pada meja pengering. Cara pengeringan biji kopi pada meja pengering tidak berbeza dan lantai simen dimana ia mempunyai beberapa kelebuhan iaitu penirisan air dari permukaan kulit buah berjalan lebih sempurna. Pada lantai simen air permukaan tidak dapat menitis tetapi terkumpul di dasar lantai. Proses pengeringan ini lebih cepat dengan adanya aliran udara persekitaran di bahagian bawah meja. 
Tidak terjadi serapan (diffusion) air tanah ke dalam tumpukan biji dan kadar kntaminasi bahan-bahan lain rendah.


Pengeringan biji kopi dengan menggunakan ketuhar atau oven boleh dilakukan dengan cepat dan cekap. Suhu panas pembakaran dan proses pengeringan sesuai dilakukan jika cara menjemur tidak boleh dilakukan dimusim hujan. Bagi hasil yang terbaik maka pengeringan dengan panas pembakaran menggunakan ketuhar atau oven dengan kos yang agak tinggi untuk letrik dan alatan tersebut (Sila lihat foto disebelah). Suhu udara pengeringan biji kopi sebaiknya tidak lebih dari 60°C. Berdasarkan aliran udara panas maka alat pengering dengan suhu panasakan menyebabkan buah dan biji kopi mengering seragam. Udara pengering dihembuskan dengan kipas dengan laju aliran tertentu melalui paipyang panas. Dengan demikian mekanisma perpindahan haba panas lebih sempurna dan suhu udara yang dihasilkan lebih stabil. Udara panas yang dihasilkan kemudian melalui dalam lapisan biji kopi sehingga mencapai tahap kering sesuai sekitar 10-12%. Proses pengeringan biji kopi merupakan asas kepada penghasilan kualiti kopi sama untuk dijadikan kopi hitam campuran (Black coffee) atau pun untuk dijadikan Kopi Putih (White Coffee) yang diminum oleh jutaan manusia setiap hari diseluruh dunia. semuga artikel ini dapat memberi sedikit info berguna kepada anda semua. Wasallam!.


MENGERING KOPI...RUMAH SAUNA...
DINDING PLASTIK... MURAH SAHAJA...
CARA MUDAH... BIJI KERING SEKATA..
MENJEMUR KOPI... PERLU DIJAGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kilang memproses Kopi Sun Kee,
Kopi 434, Jalan Sulaiman, Muar,
Johor, Malaysia.
(19 RabiulAkhir 1436H)

Sunday, February 1, 2015

RACUN MAKHLUK PEROSAK - APA DIA

RACUN MAKHLUK PEROSAK (Pesticide) ditakrifkan dibawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 di Malaysia (Pindaan 2002) iaitu sebagai bahan yang digunakan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan makhluk perosak. Itulah penerangan asas mengenai perkara tersebut dalam undang-undang dinegara kita mengenai racun makhluk perosak. Racun makhluk perosak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan perosak yang dikawal iaitu dikenali dengan jenis Racun Serangga, Racun Hama, Racun Nematod, Racun Tikus, Racun Kulat, Racun Rumpai, Racun Anai-anai, Racun Burung dan Racun Siput. Kesemua jenis racun-racun tersebut mempunyai fungsi berbeza bergantung kepada bahan aktif (active ingredients) yang berlainan. Ini kerana semua racun tersebut mempunyai perumusan (Formulasi) berbeza bagi setiap jenis. Perumusan racun makhluk perosak adalah campuran pelbagai jenis bahan untuk menghasilkan produk yang berguna dan berkesan bagi tujuan yang dinayakan. Sebagai contoh antara beberapa perumusan racun adalah seperti formulasi Pekatan Formulasi (Emulsified concentrate - EC), Serbuk Bancuh (Wettable Powder - WP), Serbuk Bancuh (Soluble Powder - SP), Debu atau Granule (GR) dan formulasi Aerosol dan sebagainya. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah dia yang perlu semua orang tahu mengenai Racun Makhluk Perosak. 


Dalam setiap jenis produk racun yang dihasilkan, Bahan Perawis Aktif (Active ingredients) merupakan asas penting kompopnen pembuatannya. Di negara kita senarai perawis aktif ini terdapat dalam Jadual 1 Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Pindaan 2002). Tahap kebisaan bahan perawis dalam racun menjadikan sesetengah racun lebih berbisa kepada perosak, manusia dan sekitar berbanding dengan racun-racun lain. Itulah sebabnya akta racun mestikan semua pengiklanan, penjualan, pengedara, penyimpanan, penggunaan dan pembuangan bekas racun dikawal dengan teliti disemua peringkat. Terdapat beberapa pengkelasan yang dilakukan untuk kawalan kebisaan dan salahguna racun. Terdapat jenis racun yang dikelaskan sebagai Kelas 1 (Sangat Berbisa/Merbahaya), Kelas II, Kelas III dan Kelas IV. Tahap penggunaan, penyimpanan dan kebisaan racun adalah berbeza mengikut kelasnya. Anda boleh membaca artikel saya yang berkaitan (Sila klik disini) dan (Sila klik disini)


Sebagai contoh Racun jenama CMC Lamda 280 adalah racun serangga Kelas II yang mempunyai bahan perawis Lamda-cyhalothris 2.8% bagi mengawal Ulat Pengorek Buah, Plutella dan Ulat Ratus. Racun ini adalah dari kumpulan Phyretroid yang bertindah secara sentuhan dan keracunan perut. Pada label jelas ditulis BAHAYA KEPADA MANUSIA dimana elakan dari terminum, terhidu wasap dan kabus dan terkena pada kulit dan mata. Jangan makan atau merokok selepas aktiviti mengendalikan racun ini.  Pastikan botol ditutup rapat, disimpan ditempat berkunci, pengudaraan baik dan kering pada suhu bilik. Penting untuk mencuci bekas racun selepas menggunakannya dan pastikan madi dengan sabun yang banyak selepas meracun.Racun ini dikeluarkan oleh Central Minerals and Chemical Sdn Bhd dalam Bentuk Emulsified Concentrate (EC) beralamat di Subang Jaya, Selangor memberikan penjelasan cara membancuh, perosak sasaran, tindakan keselamatan jika terkena racun dan sebagainya dengan jelas. ia didaftarkan dengan no rujukkan LRMP:R1/8123 dengan kandungan bersih 1 liter sebotol. Racun ini sesuai digunakan dikawasan tanaman sayuran tanah tinggi Cameroon Highland untuk mengawal Ulat Plutella, Ulat Ratus dan juga Ulat Pengorek Buah. Ini merupakan sejenis racun yang sesuai digunakan mengikut peraturan dimana ditulis dengan jelas pada bawah label perkataan "BACA LABEL SEBELUM GUNA".. Wasallam!



RACUN KIMIA.... BANYAK JENISNYA...
TERBANYAK... RACUN SERANGGA...
PERLU AWAS... SELALU WASPADA...
SALAH GUNA.... MAUT JAWABNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 220, Hotel Equatorial,
Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(24 RabiulAwal 1436H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...