Pasar Moden Diera Waterfront disini adalah satu manifestasi sebuah negara kaya dimana memerlukan 'first class treatment' untuk rakyat dan penduduknya. Di Dubai sekarang memang terdapat banyak bangunan tinggi pencakar langit dengan pelbagai bentuk dan warna serta ia menjadi ikon sebuah negara kaya yang maju. Bangunan tertinggi didunia seperti Buruj Khalifa juga menjadi ikon untuk menandakan ia sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian bangsa dari seluruh dunia datang untuk melihatnya. Penduduk UAE yang berjumlah lebih dari 9 juta orang terdiri daripada 10% terdiri daripada rakyat Arab Warganegara sementara bakinya adalah merupakan orang asing yang berkerja di negara tersebut sebagai expatriate, diplomat, businessman, pelabur, bankers, developers, jutawan dan pekerja biasa. Sebahagian besar rakyat asing daripada India diikuti dengan Pakistan, Bangkadesh, Filipina dan negara teluk yang lain. Negara yang asalnya padang pasir ini hanya menerima hujan sekali atau beberapa kali sahaja setahun dimana pembangunan dapat dilakukan dengan pantas hasil pelaburan besar. Pasar Diera ini juga disediakan untuk rakyat tempatan dan rakyat asing yang berbelanja dengan jarak sekitar 20 minit dari ibukota. Pasar ini berkonsepkan sebuah pasar moden berhawa dingin yang sentiasa dibersihkan lantainya dengan mesin (Sila lihat foto disebelah) dengan lantai tile yang putih berkilat. Didalam pasar yang berhawa dingin tiada lalat, bau busuk dan yang diutamakan adalah hasilan sayuran, buah-buahan, ikan dan daging akan lebih segar didalamnya.
Memasukki disebelah kiri pasar Dierra adalah ruangan buah-buahan, sayur-sayuran dan buah kurma. Bahagian buah-buahan segar dipamerkan segala jenis buah berkualiti dari seluruh dunia seperti buah-buahan tropika, buah sub-tropika dan juga buah nadir. Bagi ramai pelanggan mereka akan menolak satu atau beberapa trolli yang akan dipenohkan dengan pelbagai jenis keperluan dapur. Penulis blog dapat perhatikan dimana warga tempatan biasanya membeli dengan kuantiti banyak beberapa troli dengan dibantu oleh 'porter' yang bersedia menunggu atau orang gaji yang mengekorinya. Kalau membeli buah tembikai merah bukan 1 biji malahan sampai 4-5 biji walau pun buah tembikai tersebut sangat besar. Kalau beli ayam beberapa kotak ayam proses kerana saya juga difahamkan keluarga orang tempatan mempunyai beberapa keluarga anakberanak lain dalam satu rumah besar mereka. Menarik di ruangan sayuran jenis daun hijau dan sayur buah seperti cili besar dan sebagainya. Bayam Merah diantara yang paling dipromosi oleh penjual disini kerana bayam merah mengandungi anthosianin yang berkhasiat. Ruangan buah kurma sangat menarik kerana ia mempamerkan banyak jenis buah kurma yang berkualiti dan masih segar. Penulis blog paling suka merasa dan membeli buah kurma segar yang berwarna kuning susu dengan harga jualan AED20 sekilogram (RM22.00). Buah kurma segar yang manis ini memang banyak dijual (Sila melihat foto disebelah). Pelbagai kurma kering dijual dengan harga amat mampu dibeli jika dibandingkan dengan buah yang masih segar dan berkualiti dipasar ini.
Meneruskan perjalanan di sebelah kanan pasar Diera ini adalah ruangan menjual ikan segar yang sangat luas dan bersih (Sila lihat foto disebelah dan foto diatas sekali). Susunan rak jualan amat rapi dimana lantai dan dindingnya putih dengan biru dan lantai berkilat. Banyak jenis hasil laut tempatan (dimana ada sebahagian diimport) yang dipamerkan diatas rak dimana penjual (kebanyakannya warna India, Pakistan atau dari Bangladesh) sangat peramah didalam menarik perhatian pelanggan. Daripada ikan pelagik yang kecal kepada ikan bersaiz besar berbagai jenis dijual disini. Penulis geram betul dengan ikan segar, ketam segar, udang dan sotong segar yang dipamerkan tetapi apakan daya hanya dapat melihat sahaja. Semua penjaja memakai uniform seragam biru dengan memakai topi. Dubai memang terletak dipinggir laut yang mana dipercayai industri perikanan pada masa dahulu merupakan satu industri penting bagi negara tersebut. Dalam pada itu bagi daging ayam segar dan daging lembu segar kebanyakannya diimport daripada Brazil. Orang tempatan saya lihat membeli beberapa kotak ayam daging beku dimana setiap kotak mengandungi 10 -12 ekor ayam. Begitu juga dengan daging lembu yang masih dilihat segar dan berkualiti dipasar Diera ini.
Apa yang paling menarik penulis blog adalah adanya perkhidmatan untuk siang ikan dan produk laaut lain disediakan. Setelah pelanggan siap membeli ikan atau ketam atau lain-lain maka mereka akan pergi kekaunter khas bagi dibuang sisik, perut dan siripnya serta dipotong dan dibasuh sehingga bersih sedia untuk disimpan atau dimasak. Mereka akan kekaunter bayaran dan mengambil nombor daripada petugas serta serahkan ikan untuk dibersihkan. Mereka kemudian duduk dikerusi selesa sambil melihat skrin TV sama ada ikan mereka telah siap untuk dikutip (Sila lihat foto disebelah). Terdapat lebih dari 100 orang yang membuat kerja siang ikan sehingga selesai mengikut nombor dengan caj yang murah dan munasabah. Perkhidmatan juga diberikan untuk memotong ayam daging, daging lembu dan sebagainya. Balik sahaja kerumah maka semuanya sudah siap dan campak sahaja kedalam kuali. Di ruang legar utama ada kedai runcit, Mesin ATM, Bank Pertukaran wang asing dan penghantaran wang ke negara asal, farmasi, kedai cenderahati, restoren makanan segara dan sebagainya. Di ruang menghadap laut ada waterfront yang sangat cantik menghadap sebuah pulau yang sedang dibangunkan dengan rumah mewah dan ada susunan iaitu kemudahan awam restoren Bistro dengan kerusi menghadap kelaut. Pasar moden Diera pada penulis blog boleh dijadikan penanda aras bagaimana pasar ikan yang lazimnya tidak menarik menjadi satu daya tarikan bukan sahaja kepada penduduk tempatan malahan sering dikunjungi pelancong asing. Ruangan tempat letak kereta yang luas dibawah pasar Diera membolehkan mudah untuk berbelanja. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology selepas melawat pasar moden ini. Wasallam!!..
PASAR MODEN... NAMANYA PASAR DIERA....
DAHULU BURUK... DIMAJUKAN SEMULA...
TIDAK BERBAU...IA BERSIH LANTAINYA...
MENJADI CONTOH... SEMUA NEGARA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Diera Waterfront Market,
Al-Khaleej Road (Infront of Dubai Hospital),
Dubai, UAE.
(22 Muharram 1440H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.