Support My Blog

Monday, March 10, 2014

PAM AIR - DALAM PERTANIAN



PAM AIR (Water pump) adalah alatan yang perlu dalam sektor pertanian terutama untuk membekalkan air kepada tumbuhan. Keperluan pam air dalam sistem penanaman komersial penting bagi mempastikan air dapat diberikan kepada tanaman mengikut jumlah dan waktu yang tepat. Hampir semua tumbuhan memerlukan air untuk hidup bagi menghantar nutrien keseluruh bahagian pokok dan menjadi komponen penting dalam tumbesaran tanaman. Sebut sahaja industri tanaman makanan seperti tanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman bijirin, tanaman umbisi dan sektor perikanan serta ternakan, memang banyak bergantung kepada pam air. Keperluan pam air menjadikan industri pertanian sangat bergantung kepada pelbagai jenis sistem pengairan daripada sistem pengairan asas yang mudah kepada sistem pengairan yang canggih dan mahal. Terdapat berbagai jenis pam air untuk disesuaikan dengan sistem pengairan, sumber air, kuantiti air dihantar, saiz ladang, kepantasan (speed) dan bahan bakar yang digunakan. Jenis Pam Petrol sama ada benzin atau disel adalah paling lazim digunakan oleh petani di Malaysia  selain daripada jenis pam air yang menggunakan kuasa eletrik atau pam air yang gunakan panel sel solar. Keperluan pam air sangat kritikal semasa musim kemarau dimana hujan amat kurang dimana tanaman mesti diberikan air untuk terus hidup dan berhasil. Di negara kita musim kemarau dan panas lazimnya daripada Januari sehingga March memang ramai petani perlukan pam air (Itu pun kalau kolam dan sungai tidak kering).  Sistem tanaman fertigasi contohnya memang wajib menggunakan pam air untuk menghantar punca air dari tong formulasi baja kepada setiap pokok. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" kepentingan pam air dalam sektor pertanian untuk bahan bacaan dan rujukkan anda.

Pemilihan jenis pam air banyak bergantung kepada beberapa faktur. Lazimnya pam air yang besar akan digunakan dalam rumah pam JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk menyedut air dari sungai atau sumber lain bagi dihantar kedalam sistem pengairan dalam Skim Pengairan Padi terutama di kawasan Jelapang Padi atau di Luar Jelapang Padi.  Penghantaran air semasa musim menanam padi dilakukan mengikut jadual menanam padi yang diaturkan sama ada untuk musim utama atau luar musim. Lazimnya JPS akan menghentikan operasi mengepam air ketika padi hendak dituai agar jentuai dapat beroperasi. Kebanyakan pam air JPS menggunakan jenis pam eletrik berkuasa tinggi atau ada yang masih menggunakan minyak diesel sebagai bahan bakar. Dikawasan kebun petani yang menanam sayur-sayuran lazimnya pam air sederhana besar atau pam air kecil digunakan bergantung kepada saiz kebun dan jenis sayur yang ditanam. Sayur daun lazimnya memerlukan jumlah air lebih banyak daripada sayuran buah dan sayuran jenis umbisi. Pam air berkuasa disel dengan 10 - 20 kuasa kuda sering dipilih oleh petani untuk kawasan tanaman sayuran. Antara jenama injin pam air yang popular dipasaran adalah seperti Yanmar, Honda, Maspot, Daedong dan banyak lagi.  Harga nya bergantung kepada spesifikasi dan kualitinya .serta kecanggihan pam air tersebut  Paling murah dan banyak dipakai adalah pam air kecil 5kk berharga RM2,000 satu unit yang menggunakan pinyak petrol.

Dalam sistem tanaman secara fertigasi yang semakin popular, memilih pam air yang menggunakan kuasa elektrik sama ada jenis single phase atau three Phase adalah efektif. Selalunya kita akan guna bekalan elektrik dengan single phase dikawasan projek dan sebaiknya pilih jenis pam air sehingga 2 HP sahaja. Dalam pasaran ada 0.5 HP (horse power), 1 HP, 1.5HP dan 2 HP. Kesesuaian pan dilihat kepada keperluan seperti jumlah pokok ditanam dan topografi tanah. Pam air 2 HP pun ada bermacam-macam spesifikasi dengan harga yang berbeza-beza. Selalunya ditulis seperti 400 L/min, 600 L/min dan sebagainya yang bermaksud jumlah air yang boleh dipam keluar dalam masa seminit. Jika tujuan untuk sistem fertigasi iaitu menggunakan sistem titisan sepenuhnya maka sebaiknya pilih jenis Q Max 600L/min. Jadi Q penting untuk kaedah fertigasi dan H pula untuk singkatan HIGH. Lazimnya lagi tinggi H lagi kuat 'pressure' atau tekanan pam air. Jika anda hendak menggunakan kaedah 'Sprinkler' sebaiknya kena cari H Max tinggi. Lagi tinggi H memang lagi elok. Sebagai contoh speksifikasi H Max 46m sesuai untuk sistem fertigasi. 'S' pula bermaksud SUCTION atau Sedut. Penting untuk sedut air dari telaga. Lagi tinggi S, lagi elok untuk menyedut air telaga. 

Pam Air biasanya digunakan dalam pertanian bagi meningkatkan tekanan sistem supaya bendalir seperti air untuk diberikan kepada tanaman. Sumber air dari kolam atau sungai dihantar dengan menggunakan sistem tersebut dapat dipindahkan ke satu bahagian yang lain. Proses menghantar seperti dari perigi ke paras mukabumi, dari sungai ke rumah, dari lombong yang di pam kepada lokasi yang memerlukan. Pam hanya digunakan bagi menghantar bekalan bendalir dari satu kawasan yang
rendah ke mana-mana kawasan yang lebih tinggi. Jika penggunaannya adalah dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah maka pam tidak perlu digunakan sebaliknya hanya dengan tekanan graviti sahaja. pam juga merupakan suatu peranti mekanikal yang digunakan untuk menambahkan tenaga cecair supaya bergerak. Pam biasanya dijalankan oleh dua punca yang asas iaitu dengan Pacuan enjin, Pacuan terus (Motor Elektrik Gabungan Terus) atau teknik lain yang sesuai. Kini pam air menggunakan kuasa sel solar semakin popular diterima kerana ia menjimatkan kos, cekap dan boleh dipasang dikawasan yang tidak ada punca eletrik atau terpencil jauh dipendalaman.


PAM AIR .... BANYAK BERGUNA...
DALAM PERTANIAN...BERMAKNA 
BANYAK JENIS...PILIH YANG MANA...
PAM AIR ....BESAR PERANANNYA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Serdang,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(20 Rabiulakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...