Support My Blog

Monday, October 31, 2011

MIDIN

MIDIN  (Stenochlaena palustris) atau Pucuk Paku (Jungle fern shoot) merupakan sejenis sayuran dari kumpulan PTERIDOPHYTE yang sangat popular di Malaysia khususnya di Negeri Sarawak sebagai satu hidangan istimewa oleh penduduk tempatan dan pelancong asing. Kumpulan tumbuhan paku pakis atau 'fern' ini mempunyai lebih dari 12,000 spesis dari pelbagai bentuk, saiz dan warna dan habitat berlainan. Habitat semulajadi tumbuhan ini adalah kawasan yang lembab dan tanah gambut dalam yang  mempunyai bahan organik yang tinggi dan juga boleh tumbuh dengan sedikit naungan. Pokok Paku Pakis atau Pokok Midin yang tumbuh secara semulajadi di Sarawak, Johor, Selangor dan banyak kawasan rendah di Indonesia dimana kebanyakan diatas tanah jenis gambut (peat soil) yang lembab. Saya berpengalaman makan dan masak midin semasa bertugas di Sarawak dari tahun 1996 - 1998 dan amat menggemari makan sayur goreng midin sehingga kini. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu teknologi tumbuhan midin atau paku pakis berdasarkan pengalaman, pembacaan dan juga pemerhatian mengenai tumbuhan diberi nama 'midin'.


Pokok paku pakis adalah tumbuhan semulajadi dikawasan lembab di sekitar tanah gambut di Sarawak yang terdapat dimerata kawasan. Tumbuhan ini akan menghasilkan pucuk baru dari pangkal rumpun pokok setiap masa dan sangat aktif pada musim hujan dan banyak panas. Pucuk paku pakis ini berwarna hijau dan mempunyai 2-6 helai daun pucuk yang baru bertunas dan bergulong dihujungnya. Penghasilan pucuk midin agak berkurangan pada musim panas dan kemarau. Pucuk midin dikutip menggunakan tangan atau pisau tajam dengan memotong pucuk paku pakis sepanjang 3-5 inci bergantung kepada keadaan pucuk. Pucuk midin yang lembut sekitar 2-3 inci dibahagian atas. Kumpulkan pucuk midin dan diikat menggunakan getah setiap satu genggam dan potong pangkal batang dengan pisau tajam agar rata. Daun pisang atau sebarang daun sesuai atau kertas boleh dijadikan pembalut bagi setiap ikatan.


Midin satu ikat dijual di pasar basah atau di Pasar Satok dengan harga RM 1.00 satu ikat atau lebihkurang RM 3.00 sekilogram (Basah lebih berat). Bersihkan dan basuh pucuk midin sebelum di masak. Menu paling popular masak midin ialah MIDIN GORENG BELACAN iaitu dengan ramuan belacan, udang, bilis, sedikit garam , minyak masak dan juga cili api (yang minat pedas). Sayur Midin sedap dimakan dengan nasi panas dan masakan ikan tiga rasa atau apa jua lauk pauk 'seafood'.  Satu hidangan sayur midin di sekitar Kucing sekitar RM 6.00 - RM 15.00 bergantung kepada resepi dan bahan campuran didalamnya. Kalau menu mengandungi udang atau daging segar maka harganya agak mahal sedikit. Sayur midin goreng belacan sedap dimakan ketika suam panas selepas di goreng dan minum teh cina.


Sayur Midin dipercayai mengandungi banyak zat baik seperti Vitamin C, B2, Karbohiderat, Protin, Serat, Lemak serta berbagai zat mineral.  Sayur Midin perlu di masak segar terus dari kawasan ladang yang terdapat disekitar Kuching dan banyak kawasan lain di Sarawak. Pucuk Midin tahan 5-8 hari segar jika disimpan dengan baik dalam peti ais tetapi rasa kesegarannya mulai berkurangan. Apabila bahagian bawah midin direndam dalam air maka pucuk midin akan terus tumbuh dan akhirnya daun akan keluar dan berwarna hijau pudar. Ramai orang tetap kata Sayur Goreng Midin Belacan adalah menu paling sedap dan popular. Memang disahkan makan sayur ini sedap apa lagi kalau free dan perut sangat lapar!


Berikut adalah satu daripada menu masakan Sayur Midin Goreng Belacan untuk panduan kepada mereka yang terlupa bagaimana nak masak atau memang langsung tidak tahu masak resepi istimewa ini :


Sayur Midin Goreng Belacan

Bahan - bahannya :
(Bahan2 di bawah ni semua dikisar halus)
6 biji cili merah atau
4 biji cili padi
2 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
4 camca besar udang kering
2 cm belacan.

(Yang ni pula tidak perlu di kisar)
¼ cawan Minyak masak
8 ekor udang kasar (dibuang kakinya sahaja)
2 camca besar sos ikan
2 cekak sayur Midin

Cara-caranya :
1. Panaskan kuali dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar sampai wangi.
2. Masukkan udang, sos tiram dan sos ikan. Masukkan sedikit air. Kemudian masukkan sayur Midin.
3. Apabila sos mulai pekat dan sayuran telah empuk maka bolehlah dihidangkan segera.

4. Hidangkan dengan nasi panas, ikan 3 rasa dan teh cina.



MASAK MIDIN...MAKAN MASIH PANAS.....
KUTIP MIDIN...BAHAYA PERLU AWAS....
PETIK YANG MUDA...LEMBUT TAK KERAS...
GORENG BELACAN...SEDIKIT PEDAS....

Artikel berkaitan:

1. Paku Pakis (Klik disini)
2. Baby Corn (Klik disini)
3. Kacang Botor (Klik disini)
4. Pegaga (Klik didini)
5. Petai (Klik disini)
6. Jering (Klik disini)
7. Buah Keras (Klik disini)
8. Buah Pala (Klik disini)

By,
M AnemNo 15, Jalan Ridgeway, 

Off Jalan Ong Tiang Swee,
Simpang Tiga,
Kuching
Sarawak

Malaysia
(Kemaskini pada 10 Mac 2013)

Sunday, October 30, 2011

PANDAN

PANDAN (Pandanus amaryllifolius Roxb syn Pandanus odorus) merupakan sejenin tumbuhan dari keluarga Pandanaceae yang tumbuh di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara. Keluarga Pandan mempunyai banyak spesis dan terdapat pandan biasa dan pandan wangi. Nama lain bagi pandan adalah Pandan bau ; Pandan jelingkeh ; Pandan Rampeh ; Pandan Wangi ; Pandan Rampai (Melayu),  Qi Yi Lan (China), Kenr (Hindi), Nioi Tako No Ki (Jepun), Pandanasu (Korea), Bai Toei ; Bao Toey Hom (Thailand) dan Dura Thom (Vietnam).  Pandan ditanam di kawasan rumah khususnya orang-orang Melayu sebagai satu tanaman penting yang mesti ada setiap rumah sama ditanam dalam pasu atau daiatas tanah. Tidak ada laporan rasmi mengenai keluasan tanaman pandan di Malaysia dicatitkan akan tetapi penulis telah membuat anggaran sekitar 500 -600 hektar CHE jika diambilkira tanaman monokrop dan tanaman keliling rumah. Pandan wangi mempunyai saiz daun dan tumbuhan lebih kecil dari pandan biasa. Pandan Wangi digunakan untuk buat sirap yang memberikan aroma dan rasa lazat minuman sirap tersebut. Daun pandan juga sangat penting dalam majlis perkahwinan orang-orang Melayu dan Majlis lain (Potong Jambul, Berkhatan dsb) untuk dibuat 'Bunga Rampai' dicampur dengan bunga-bunga lain. Daun Pandan juga sesuai diguna untuk dijadikan ramuan dalam banyak jenis kuih mueh tradisional seperti Lempeng Gulong, Kek Pandan, Bingka Pandan, Roti Pandan, Kueh Tako, Apam Pandan dan bepuloh jenis kueh lagi. Artikel pagi Ahad ini saya menulis berkaitan teknologi tanaman pandan untuk bacaan semua.


Tumbuhan Pandan adalah jenis monokot yang mempunyai lebih dari 600 spesis. Hanya pandan wangi yang banyak ditanam untuk digunakan dalam masakan dan ekstrak pati minyaknya. Pandan jenis lain digunakan untuk membuat anyaman tikar, pokok hiasan ornamental dan juga dalam industri lain yang berkaitan. Pokok pandan tidak mempunyai batang kayu keras tetapi mempunyai akar udara yang mudah tumbuh dalam semua keadaan jenis tanah. Daunnya keluar dari pangkal rumpun menegak keatas berwarna hijau gelap. Lebar daun sekitar 2-3 cm dan panjang daun 30-60 cm bergantung kepada kesuburan pokok. Ketinggian pokok pandan wangi dalam 0.5 -1.5 meter. Pandan boleh hidup subur diatas tanah lapang atau dikawasan yang agak bernaung dari cahaya matahari. Ramai menanam pandan didalam pasu dan diletakkan dikeliling rumah walau pun mereka yang tinggal dirumah pangsa.


Penanaman pokok pandan dibuat menggunakan Benih Keratan yang mempunyai akar dan daun serta bahagian pucuk atau dari Sulur Pokok yang keluar dari pangkal rumpun pokok. Potong sulur dari pangkal rumpun pokok yang matang dan buangkan sedikit bahagian pucok. Tanam sulur atau keratan tadi diatas tanah atau dalam pasu sedalam 2-3 inci dalam tanah dan siram dengan air. Penanaman pandan secara monokrop yang luas di ladang biasanya dengan jarak penanaman 1m x 1m. Pembajaan disyorkan menggunakan baja organik (Tahi ayam proses dan lain-lain baja organik) dan baja NPK 15:15:15 pada kadar disyorkan. Kawalan rumpai menggunakan kaedah manual iaitu tajak atau mesin porong rumput dan elakkan menggunakan sebarang racun rumpai. Ini kerana pokok pandan adalah sensitif dengan kebanyakan racun rumpai. Pandan tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serious tetapi pokok yang lemah akan diserang kulat bintik daun dan juga kering pucuk daun. Perlu dikutip atau di potong daun-daun pandan tua kerana jika ianya terlalu rimbun akan menjejaskan sistem pengakaran. 


Tanaman pandan secara komersil boleh mula menuai selepas 10-12 bulan ditanam diladang. Kaedah menuai dengan memotong pangkal rumpun semua atau berperingkat2 menggunakan pisau tajam dan kumpulkan untuk dibersihkan. Buang bahagian pangkal rumpun dan ceraikan setiap helai daun pandan yang berkualiti. Daun pandan tua dan terlalu muda diasingkan. Ikat secara 'bundle' daun pandan untuk dihantar kepada pemborong didalam bakul atau guni. Pemborong dan peruncit akan menjual daun pandan dalam 10-20 helai satu ikat dengan harga RM 1.00 satu ikat. Ada yang menjual masih dalam bentuk satu rumpun (yang ini agak tahan lama disimpan). Daun pandan tanpa sebarang rawatan akan segar dalam 3-5 hari sebelum layu bagaimanapun jika disimpan dalam peti sejuk boleh bertahan sehingga 2 minggu. 


Ayam goreng balut pandan.
Pokok pandan mengandungi kompoun bahan kimia yang berbau dipanggil sebagai 2-acetyl-1-pyrolline dan komponen ini penting didalam industri ekstrak pati. Pati ini banyak digunakan dalam industri minyak wangi, masakan dan juga produk kesihatan. Bau pandan ini sangat berkesan untuk menghalau Lipas dan  beberapa serangga lain sebagai 'repellent'. Jika daun pandan diletk dalam kereta yang berbau kerana bawa buah durian akan meyerap bau tersebut dengan kadar segera. Terdapat juga laporan yang daun pandan akan dapat mengelakkan monyet dari mendekati tanaman kita jika ada pokok pandan ditanam disekeliling kebun atau rumah. Kalau kita ke restoran ala Indonesia sering kita jumpa menu ayam goreng dibalut daun pandan yang memang sangat sedap dengan rasa dan baunya. Banyak kueh-mueh kegemaran yang menggunakan perisa pandan sama ada dari dalam botol 'essence ready made' atau didapati dari pandan asli. 


Kueh Tako daun pandan.
Penanaman pandan merupakan satu aktiviti penting dalam masyarakat Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Singapura, Vietnam, China dan beberapa negara lain. Kajian mengenai penanaman dan penggunaan daun pandan perlu dipertingkatkan lagi agar mampu menjadi satu komoditi penting pada masa akan datang. Keluarga tumbuhan pandan jenis yang bukan jenis pandan wangi sesuai digunakan untuk membuat kraftangan seperti tikar, bakul, raga, atap, dinding rumah dan sebagainya. Tikar dari anyaman daun pandan yang diwarnakan menjadi satu hasil kraftangan yang bernilai tinggi dan menarik. Kajian lanjut dari segi agronomi, post harvest dan biakbaka mungkin perlu diteruskan untuk menjadikan tanaman pandan menjadi satu bidang komoditi yang berdaya maju dan berfaedah. Diharap artikel ini memberikan sedikit maklumat berguna kepada pembaca. Sekian.


DAUN PANDAN .....SANGAT BERGUNA....
PANDAN WANGI....PRODUK DITERIMA....
MUDAH DITANAM...DI MANA-MANA...
DIBUAT SIRAP...SUNGGUH BERMAKNA...


Related articles:
1. Asam Gelugor (Klik disini)
2. Asam Jawa (Klik didini)
3. Kelapa Pandan (Klik disini)
4. Aloe Vera (Klik disini)
5. Pinang (Klik disini)
6. Neem (Klik didini)
7. Rami (Klik disini)
8. Jintan (Klik disini)


By,
M Anem
Jerantut, Pahang,
Malaysia(30 Zulkaedah 1432H)

Saturday, October 29, 2011

RUSA

RUSA (Cervus Timorensis) merupakan sejenis haiwan dari Keluarga Cervidae yang dilindungi  di Malaysia dibawah undang-undang perlindungan haiwan terancam. Aktiviti penternakan rusa merupakan suatu perusahaan yang masih baru di negara kita Malaysia. Tanggapan bahawa rusa adalah hidupan liar menjadikan rusa antara perusahaan yang masih kurang mendapat tempat sepenuhnya di hati para penternak khususnya golongan belia negara. Keadaan ini menjadikan bekalan untuk produk rusa khususnya daging dan tanduk (antler/velvet) rusa sering mengalami masalah kekurangan stok. Apabila masalah ini timbul, maka harga pasaran semasa rusa sering mengalami kenaikan, khususnya rusa hidup (baka rusa). Saya beberapa kali melihat projek ternakan rusa sama ada secara besar-besaran oleh Sebuah Bank Perdagangan di Sekijang Segamat yang gagal serta beberapa penternak tempatan secara kecil-kecilan yang berjaya di Johor. Artikel kali ini saya menulis sedikit maklumat mengenai penternakan rusa untuk dijadikan bacaan umum sahaja.

Terdapat beberapa jenis rusa dan sub spesisnya yang hidup di seluroh dunia dan kawasan Asia Tenggara secara semulajadi semenjak dulu. Haiwan rusa merupakan sejenis haiwan eksotik yang diburu semenjak dahulu sehingga ianya akan pupus jika tidak dilindungi oleh kerajaan. Permintaan daging, tanduk, kulit dan sebagainya dipasaran antarabangsa adalah sangat baik kerana daging rusa mengandungi kolesterol rendah dan tujuan perubatan. Laporan menunjukkan antara beberapa jenis rusa adalah seperti Rusa sika (Cervus nippon), Rusa Sambar (Cervus unicolor), Rusa Merah - red deer (Cervus elapus), Rusa Wapiti atau Elk, Rusa Fallow Deer (Dama-Dama), Rusa Chital (AxIs-Axis), dan Rusa Timor atau exotic (Cervus timorensis). Kajian menunjukkan terdapat tiga jenis rusa utama yang diternak, khususnya di Malaysia. iaitu :-



1) Rusa Timor (Exotic) :
Rusa Timor (Cervus timorensis) merupakan jenis rusa yang kerap diternak, khususnya negara Malaysia. Rusa ini sering menjadi pilihan kerana sifatnya yang mudah menyesuaikan diri pada keadaan persekitaran, khususnya iklim khatulistiwa negara. Selain itu, tanduknya (velvet) yang berguna dalam perubatan masyarakat cina sering mendapat permintaan yang tinggi dari kalangan pengamal perubatan. Akibat kurangnya penternakan rusa mengakibatkan kurangnya bekalan velvet kepada aktiviti perubatan dan ini membawa kepada kenaikan harga velvet dalam pasaran tempatan. Kadar kelahiran yang tinggi turut menjadikan temorensis sering menjadi pilihan utama penternak untuk diternak, malah kadar kematiannya juga rendah jika dibandingkan dengan jenis rusa lain seperti axis.

2) Rusa Sambar :
Rusa Sambar (Cervus unicolor) merupakan jenis rusa yang lebih besar badannya jika dibandingkan dengan temorensis dan mempunyai tanduk yang lebih menarik. Namun, sambar ialah rusa yang mendapat perlindungan dari pihak kerajaan Malaysia. Untuk menternak rusa jenis ini, lesen diperlukan dari pihak perhilitan negara kerana jenis ini jarang didapati dan kini masalah kepupusan menghantui rusa jenis sambar.

3) Rusa Axis-Axis :
Rusa Axis-Axis (Cervus axis-axis) merupakan rusa yang sukar untuk didapati kerana harganya yang terlalu tinggi. Badan atau bulunya yang berbintik merupakan antara tarikan utama rusa jenis ini dan faktor ini mempengaruhi harga pasaran rusa jenis axis-axis. Pada masa ini diianggarkan harga seekor anak rusa jenis axis-axis mampu mencecah RM3,000.00 seekor keatas dan harganya yang tinggi mempengaruhi perkembangan penternakan rusa jenis axis-axis di dalam negara. Selain itu juga didapati jenis rusa axis-axis ialah rusa yang lebih gemarkan iklim sejuk dan ini memyebabkan rusa jenis ini kurang bersesuaian untuk diternak dalam negara beriklim khatulistiwa seperti Malaysia. Kadar kematian anak yang tinggi jika dibandingkan dengan jenis Cervus timorensis juga membawa kepada masalah kurangnya penerokaan aktiviti penternakan rusa jenis ini. Namun begitu dalam zoo atau hotel-hotel terkemuka kerap menternak rusa jenis axis-axis sebagai daya tarikan kepada pengunjung kepada zoo dan ini jelas mengambarkan bahawa rusa jenis axis-axis lebih sesuai untuk diternak dengan tujuan membangunkan aktiviti pelancongan negara bukan untuk aktiviti pengeluaran produk rusa secara komersial bagi pengeluaran dagingnya.


Tujuan pemiliharaan rusa di Malaysia adalah kerana untuk rekreasi dan kegemaran, sebagai tindakan mencegah kepupusan rusa, untuk Kajian bagi mengenalpasti potensi,  sebagai sumber pendapatan dari hasil daging, tanduk, kulit dan sebagainya, sebagai makanan enak, sebagai Perhiasan dan sebagainya. Dari segi keperluan infrastruktur ladang rusa sangat gemar dengan kawasan yang sunyi dengan yang lapang dengan persekitaran berhampiran dengan hutan  dan mempunyai kawasan berteduh. Perlu disediakan kawasan rumput untuk ragutan yang menghijau dan perlu dipagar agar tidak lari daripada kawasan ternakan. Perlu disediakan juga kawasan lembah berair yang ada sungai agar rusa dapat berkubang dikawasan tersebut. 


Kawasan ternakan rusa perlu dipagar setinggi boleh sekurang-kurangnya 8 kaki ( sekurang-kurangnya 2 meter) dengan bahagian bawah dikonkrit serta bahagian atas dipasang kawat duri  untuk mengelakan ianya melompat keluar apabila rusa terkejut atu ketakutan akibat didatangi oleh manusia yang tidak dikenali atau gangguan lain. Sebaiknya elakan menanam rumput 4 kaki dari tepi pagar kerana rumput akan mati akibat aktiviti rusa yang suka berkumpul dan bergesel dikawasan tepi pagar. Rusa tidak berapa suka duduk dalam padok diwaktu sianghari dan sentiasa aktif bergerak disekeliling ladang ternakan. Sediakan pokok0pokok teduhan yang sesuai dikawasan ternakan untuk rusa berteduh dan daunnya akan dijadikan makanan. Kalau hendak menanam pokok baru pastikan batangnya dibalut dan pokok tinggi mengelakan dirosakkan oleh rusa. 


Rusa suka makan rumput hijau dan dedaun segar dikawasan ladang atau diberikan kedalam kawasan ternakan. Rusa juga makan dedak makanan haiwan, roti kering, ada yang bagi maggi kering, biskut dan sebagainya. Sediakan tong minuman air yang bersih dikawasan padok atau ujudkan kolam tau anak sungai kecil untuk bekalan air. Kapasiti stok untuk rusa sebaiknya sekitar 10 ekor bagi satu ekar uang mempunyai rumput hijau untuk ragutan. Kadar stok ini boleh diubah suai mengikut sisitem penternakan sama ada intensif atau separa intensif. Makanan tambahan dedak seperti 'Cattle Pallet' sesuai untuk dijadikan makanan rusa. Pondok teduhan untuk takung makanan perlu disediakan bagi ruma berteduh sambil makan dedak. Sebaiknya ada kolam  mandi dikawasan ladang kerana rusa perlu mandi dan berkubang untuk menyejukkan badannya dan sememangnya ia satu cara semulajadi rusa berkubang. Pondok kawalan atau pimtu masuk juga perlu dibina dengan kukuh agar keselamatan ternakan rusa yang bernilai ini dapat dijaga dengan baik.


Kepada mereka yang berminat untuk menternak rusa perlukan satu kawasan yang sesuai untuk ternakan rusa seperti lokasi dijelaskan diatas. Paling penting adalah minat, modal dan kemampuan untuk mengurus ternakan rusa yang pada habitat semulajadinya adalah liar. Pasaran daging rusa ada khusus )niche market' dan tidak boleh bersaing dengan daging lembu yang diimpot dari India. Ramai rakyat jelata tidak dapat membezakan daging rusa dengan daging lembu impot jika mereka tidak pakar dalam bidang ini. 


By
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Sabtu , Oktober 2011)

Friday, October 28, 2011

IKAN PATIN

IKAN PATIN (Pagasius sutchi) dari keluarga Pangasiideae merupakan sejenis ikan air tawar yang popular di Malaysia. Ikan ini menjadi identiti sebuah bandar di Pahang iaitu Bandar Temerloh dengan ternakan dan menu masakan ikan patin sebagai industri yang penting. Habitat ikan patin adalah kawasan sungai , tasek atau kawasan bekas lombong yang mempunyai kualiti air sesuai. Ikan Patin merupakan sejenis ikan yang mempunyai sepasang sengat dikiri dan kanan serta satu sengat dibahagian atas belakang badannya. Ikan ini tidak bersisik dan mempunyai kulit licin berwarna perak kelabu. Artikel ini menceritakan mengenai ikan patin berdasarkan kepada pembacaan dan pengalaman penulis dalam melawat beberapa projek penternakan ikan patin.


Ikan patin merupakan sejenis ikan ikan eksotik dimana pernah menjadi satu isu dengan harganya yang terlalu mahal sehingga mencecah lebih RM 150.00/kg iaitu spesis liar yang dikutip dari Sungai Pahang. Ikan ini sebenarnya jenis maserba yang memakan anak-anak ikan, buah-buahan yang jatuh ditepi sungai, anak udang dan juga bangkai binatang. Pengalaman saya di Sg Endau, Mersing mendapati beberapa spesis patin yang diternak dan liar mudah meragut matakail dengan umpan yang betul. Patin yang diternak dalam sangkar di Sg Endau mempunyai nilai yang tinggi kerana kualiti ikannya yang seakan ikan patin liar.


Terdapat beberapa jenis ikan patin yang sesuai untuk dikomersilkan dan dijual dipasaran. Antara panggilan nama tempatan iaiah seperti Patin Buah, Patin Muncung, Patin Juara, Patin Kolam dan Patin Sungai. Ikan ini merupakan sumber protin yang penting dan mahal kerana nilai estetiknya dan kini dapat diatasi dengan kaedah penternakan secara komersil. Di Segamat terdapat satu restoran iaitu R&Z Restorans yang menghidangkan menu masakan Ikan Baung sangat popular dan kadang-kadang menjual menu Ikan Patin.


Ternakan ikan patin dalam kolam tanah perlukan kawasan sesuai dari tanah jenis liat berpasir dengan sumber air mengalir masuk yang bersih. Suhu air kolam yang sesuai antara 26-28 celsius dengan pH sekitar 6.5 - 7.0. Anak benih ikan patin boleh dibeli dari Jabatan Perikanan, Syarikat swasta atau sesiapa yang rajim mengutip dari sungai yang liar (Kos ahak tinggi). Anakbenih ikan patin perlu diternak dalam kawasan khas sebelum dilepaskan didalam kolam apabila mencapai saiz optima.


  

Thursday, October 27, 2011

BUAH BILAK

BUAH BILAK (Aegle marmelos Linn) merupakan sejenis buah unik dari keluarga Rutaceae yang tumbuh dinegara kita tetapi ramai yang tidak kenal akan Buah Bilak. Buah ini banyak tumbuh liar didalam hutan kering di India, Pakistan dan Bangladesh serta Sri Lanka serta tersebar di Asia Tenggara termasuk di Malaysia. Pokok bilak ditanam terutama nya disekitar kuil Hindu merupakan pokok berkayu sederhana kecil mencapai ketinggian sehingga 10-15 meter dari paras tanah. Batang pokok menegak dengan kulit batang berwarna coklat dan ukurlilit batang sekitar 25-50 cm keliling. Tidak ada rekod keluasan tanaman bilak di dunia atau di Malaysia kerana ianya bukan tanaman bernilai komersil.  Dahan pokok bilak tua adalah berduri tunggal atau kembar sepanjang 1-2 cm durinya. Daun pokok bilak dengan susunan selang seli sebanyak 3 helai daun satu tangkai. Panjang tangkai daun 2-4 cm. Bunganya berwarna putih yang akan membentuk buah berbentuk beri seperti bulat bola berukuran 5-12 cm garispusat. Kulit buahnya keras macam tempurung dan mempunyai sis 8-16 ulas. Setiap ulas mempunyai 6-10 biji yang jernih dan melekit. Buah bilak masak berwarna kuning atau oren dengan aroma yang wangi. Petang cuti ini saya menulis mengenai buah bilak dan kegunaanya dalam kegunaan kepada manusia.


Buah Bilak mengandungi banyak zat yang berguna untuk kesihatan manusia. Kajian saintis menunjukkan setiap 100 gram isi buah mengandungi sebanyak 61.5 gram air, 31.6 gram kabohiderat, 1.8 gram protin, 0.39 gram lemak, 55 mg karotina, 1.1 mg niacin, 1.19 mg riboflavin, 0.13 mg thiamnie dan sebanyak 8 mg Vitamin C.  Kandungan lain seperti assid askorbik, marmelosin, minyak pati dan garam mineral seperti P, K, Fe, Ca dan Mg. Kajian juga menunjukkan yang kulit pokok bilak banyak mengandungi Tanin sehingga 20%. Daun pokok bilak banyak kandungan aegelin dan rutasin. 


Pokok Bilak boleh ditanam daripada bijinya yang telah matang dengan menyemainya didalam polibeg.  Anak benih ini perlu dipindah kebeberapa polibeg lebih besar sehingga berumur setahun sebelum sesuai ditanam dikebun. Jarak tanaman yang disyorkan adalah 6 meter x 9 meter jika ditanam secara monokrop. Kaedah lain mendapatkan benih adalah dengan mengambil tunas daripada akar secara cantuman atau tut. pokok yang ditanam menggunakan kaedah tampang (cantuman atau Tut) mampu mengeluarkan hasil dalam masa 5 tahun sementara yang menggunakan biji perlukan masa lebih lama. Hasil akan sampai kemuncak pada umur 15 tahun dengan sebanyak 400 biji sepokok. Lazimnya buah akan masak dalam musim panas. Buah yang masak perlu dituai dengan tangan dan elakkan dari buah gugur ketanah kerana kulit buah bilak akan rosak dan akhirnya buah cepat busuk. Tanaman ini tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serious.


Serbuk Bilak dijual
Bahagian buah bilak yang dimakan ialah isinya yang dimakan mentah. Kadang-kadang perlu dicampur dengan sedikit gula untuk buah yang tidak cukup manis. Buah bilak boleh diproses menjadi sirap, kordial, jem atau manisan lain/ Terdapat penduduk kampong di India yang menggunakan pucuk daun bilak sebagai perisa makanan. Kulit pokok bilak boleh digunakan sebagai sumber perwarna kuning atau sebagai bahan penyamak. Kulit pokok yang ditumbuk lumat boleh dijadikan tuba ikan yang baik. Kayunya boleh dipotong dan dijadikan perkakas, perabut atau kraftangan seperti sarung parang.  


Pokok dan buah bilak mempunyai pelbagai kegunaan untuk kesihatan manusia. Daun bilak yang direbus boleh diminum untuk rawatan demam panas. Cara tradisional menggunakan campuran daun bilak, sireh dan kapor yang ditumbuk lumat lalu disapukan pada kulit yang gatal-gatal atau luka mampu menyembuhkannya. Cecair daun bilak mampu menyembuhkan Bisul, Luka Bernanah, Gatal. Ruam Panas, Sakit Mata, Kaki Bengkak serta yang best ianya didakwa mengubati penyakit 'Kuku dan Mullut - FMD' ternakan haiwan seperti lembu. Buah bilak yang hampir masak dipotomh-potong berkeping-keping lalu dijemur sehingga kering.  Air rebusannya membantu merawat cirit birit, sembelit, bengkak pada dubur, penyakit hati, tibi dan juga membantu sistem penghadaman. Itulah rahsia alam kurniaan Ilahi , kalau kita tidak buat kajian maka kita tidak akan tahu disebalik kejadian tumbuh-tumbuhan didunia ini.


POKOKNYA TINGGI...ITU POKOK BILAK...
RAMAI TIDAK KENAL...BUKAN POKOK BALAK...
NAK MULA TANAM..BENIH MANA PULAK..
APA KATA...KITA CARI DI TAMAN HERBA PERAK....


By,
M Anem
Jerantut, Pahang,
Malaysia
(28 Zulhijah 1432)

Wednesday, October 26, 2011

TERNAKAN KERANG

KERANG (Anadara granosa) merupakan sejenis hidupan dari kumpulan Kerang-kerangan atau Molluska dari keluarga CARDIIDAE yang popular di negara kita. Keluarga kerang mempunyai lebih dari 200 spesis dan sebahagian besarnya tidak sesuai untuk dikomersilkan atau dimakan. Ternakan kerang di Malaysia banyak dijalankan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dari pantai Kedah di utara sehingga ke Johor  dibahagian Selatan Tanah Air. Hanya sedikit kawasan laut di Pantai Timur Semenanjung yang sesuai untuk ternakan kerang. Di Sabah dan Sarawak ternakan kerang kurang dimajukan kerana masaalah keujudan sejenis plankton 'Red Algae' yang beracun dan jika diserap oleh kerang dan merbahaya kepada manusia. Itu sebab harga kerang di Sabah dan Sarawak mahal kerana ianya dibawa masuk dari kawasan lain. Artikel cuti hari Deepavali 2011 kali ini saya membentangkan teknologi penternakan kerang berdasarkan pengalaman saya memantau projek ternakan kerang di kawasan pantai sekitar Merlimau di Melaka, Pantai Muar di Johor, Pantai Bagan Datok di Perak dan Pantai Juru di Pulau Pinang untuk bacaan anda semua. 


1. PENGENALAN
Ternakan kerang di Malaysia mula dikenali dan dikomersilkan dalam tahun 1984 oleh seorang ketua kampung di Kg Bagan Pancor, Perak secara kebetulan. Percubaan ini telah berjaya dan sejak itu ternakan kerang berkembang luas di sepanjang kawasan paya bakau di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan juga dimana dianggarkan keluasan kawasan berpotensi untuk ternakan kerang di Malaysia ialah 28,540 hektar. Spesis kerang yang biasa diternak di Malaysia ialah jenis Anadora granosa. Ia mepunyai pasaran yang baik di negara kita dan juga negara jiran khususnya Thailand dan Singapura. Ternakan ini mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan ternakan yang lain di antaranya ialah kerana a) Kaedah ternakan yang mudah dimana cara pengurusan dan penjagaan yang minima (b) Memberi pulangan/keuntungan yang memuaskan (c) Mempunyai potensi pasaran dengan harga yang menggalakkan. Sehingga kini ternakan kerang dilakukan secara 'kultur separa' iaitu bergantung bekalan benih semulajadi. Benih kerang boleh dihasilkan secara asuhan tetapi perbelanjaannya adalah tinggi dan kadar hidupnya terlalu rendah daripada kajian yang dijalankan.


2) PERSEDIAAN UNTUK TAPAK TERNAKAN
Pemilihan kawasan yang sesuai adalah berdasarkan kepada faktur tanah dan air. Ciri yang sesuai untuk ternakan kerang mestilah dari kawasan yang terlindung dari arus dan ombak laut. Keadaan dasar lautnya yang berlumpur halus dan lembut dengan ketebalan 46-76 cm. Sebaiknya tekstur tanah mengandungi 50-80% liat dan selebihnya kelodak. Kadar kemasinan air sekitar 18(ppt) dan mempunyai kecerunan dasar tapak ternakan yang sederhana dipantai. Kawasan bebas dari pencemaran sisa buangan atau sisa kimia dan bebas dari musuh. Kawasan yang dikenalpasti sesuai terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan dari kerajaan negeri untuk memperolehi lesen hak milik sementara (TOL). Kajian saya mendapati dikebanyakan kawasan ternakan perlukan keluasan yang ekonomi bagi individu untuk menjalankan ternakan ini adalah 10 hektar (+25 ekar). Jenis kerang yang diternak adalah dari sepsis (Anadara granosa) Kawasan yang sesuai untuk menjalankan ternakan kerang perlu diawasi dari pencerobohan oleh nelayan pantai atau penceroboh dan perlukan kawalan keselamatan.


3) PENGUTIPAN BENIH
Benih-benih kerang biasa terdapat di kawasan daratan berlumpur seperti di pergigian hutan bakau atau muara-muara sungai. Pengutipan benih dibuat setelah ia mencapai saiz antara 4-10 mm. Pengutipan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai, dulang kayu dan sekeping papan. Alat ini ditarik melalui permukaan lumpur beberapa kali kemudian dibersihkan untuk mengasingkan benih kerang dengan lumpur. Pengutipan benih biasanya menggunakan sampan di kawasan semulajadi pantai semasa air surut. Harga benih kerang bergantung pada saiz benih, untuk saiz 1,000-3,000 biji/kg harganya dianggarkan RM60.00/guni. Saiz benih kerang yang ditabur ialah 6.4cm. Penyeludupan benih kerang ke Thailand sering menjadi isu disempadan kerana permintaan yang tinggi dari negara tersebut.


4) MENABUR BENIH KERANG DI TAPAK TERNAKAN
Kerja-kerja penaburan benih dibuat dengan menggunakan bot yang berinjin. Sebelum taburan benih dibuat perlu agar cengkerang-cengkerang dan musuh-musuh kerang (siput pengorek) perlu dibuang. Penaburan benih perlu dibuat pada cuaca yang baik dan dimana keadaan air mula pasang. Benih perlu ditabur sebaik sahaja ianya sampai ke tapak projek untuk mengelakkan kematian benih akibat tekanan (stress). Penaburan benih perlulah sekata supaya kerang membesar dengan baik. Kadar penaburan benih adalah bergantung kepada saiz benih dan kesesuaian kawasan.


5) MENGUBAH SELERAK KERANG DAN MEMBUANG PEMANGSA 
Dalam tempoh 3-4 bulan setelah anak benih ditabur maka   kepadatan kerang mesti diperiksa. Sekiranya didapati tidak sekata maka ia perlu diubah selerak atau 'diserak' untuk menghasilkan tumbesaran kerang yang cepat dan sekata. Semasa aktiviti ubah selerak dibuat musuh-musuh kerang mesti dikutip atau ditangkap dan dibuang atau dibunuh. Di antara musuh-musuh kerang ialah Siput duri, Siput belitung kecil, Siput umum, Siput halia, Siput bintang dan Ikan pari. Pengalaman saya memeriksa kawasan kerang mendapati saiz kerang kerang dewasa yang mencapai saiz pasaran ialah 3.8cm.


6) PEMELIHARAAN HINGGA KE SAIZ PASARAN
Penternakan kerang untuk mencapai saiz pasaran iaitu 80 -100 biji/kg (70 biji/kati) biasanya ternakan kerang akan mengambil masa 12-18 bulan bermula dari tarikh benih ditabur. Tumbesaran kerang dipengaruhi oleh kesuburan tapak, mutu air, saiz benih yang ditabur dan kepadatan. Kajian menunjukkan kekerapan memeriksa kerang penting untuk mempastikan saiz pembesaran dan kawalan keselamatan. Terdapat kes-kes dimana pencerobohan dilakukan oleh orang asing yang mengetahui tentang kerang yang sudah sedia untuk dituai pada malam hari.


7) PENGENDALIAN PUNGUTAN KERANG BESAR
Perancangan strategi pemasaran penting dikaji terlebih dahulu sebelum mengutip hasil kerang. Ini kerana kerang perlu msih hidup sampai kepada pengguna terakhir. Sebelum hasil ternakan dipungut untuk dipasarkan maka penganggaran stok perlu dibuat bagi mengetahui kuantiti stok kerang tersebut untuk dijual secara runcit atau tender. Pungutan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai dimana secara asasnya alat ini sama dengan alat pengutipan benih cuma jarak dawai (mesh size) adalah lebih besar. Aktiviti Pengendalian Pungutan Kerang ini dengan cara :- 
a. Menggoncang alat mengutip kerang tersebut. 
b. Simpan sementara di dalam bot hingga didaratkan ke pangkalan 
c. Mengasingkan kerang daripada sampah, cengkerang-cengkerang kosong dan siput-siput lain. 
d. Mengisi kerang ke dalam guni dengan anggaran 70 kg/guni. 
e. Mengangkut kerang untuk dijual kepada pemborong atau peruncit.


8. HASIL PENDAPATAN KERANG
Kajian mendapati cara CASHFLOW bagi ternakan kerang iaitu cara mengira kos pengeluaran dan pendapatan seperti berikut : 
(a) Saiz bersih kerang – 2,000 biji/kg (b)Taburan benih – 50 guni/ha 
(c) Tempoh ternak -18 bulan 
(d) Luas kawasan ternak – 10 ha 
(e) Kadar Hidup – 50% 
(f) Saiz Pasaran – 100 biji/kg 
(g) Harga Kerang Besar – RM 25.00/guni 1 Guni – 70 Kg 
(h) Jualan 1,000 guni/ha x Rm45/guni x 10ha x 50% RM225,000 
(i) Kos Operasi Benih Kerang 50 guni/ha x 10 ha x RM150/guni RM75,000 
(j) Upah Tabur RM 10,000 
(k) Upah Selerak dan Cuci Kawasan RM15,000 
(l) Jumlah RM100,000 
(m) Penyelenggaraan Penyelenggaraan Bot RM5,000 
(n) Minyak Bot RM10,000 
(o) Penyelenggaraan Enjin/pancang kawasan RM5,000 
(p) Penyelenggaraan Pondok RM3,000 
(q) Lain-lain RM2,000 
(r) Jumlah RM25,000 
(s) Kos Pengurusan Bayaran TOL (250×20) x 18 bulan RM10,000 
(t) Gaji 2 orang jaga (2×650) RM23,400 
(u) Luar Jangka RM10,000 
(v) Jumlah RM43,400 
(w) Jumlah Besar/Perbelanjaan RM168,400 
(x) Pendapatan Pendapatan Kasar / pusingan RM56,600 (Jualan- Perbelanjaan) 
(y) Pendapatan Bulanan (dalam masa 18 bulan) RM3,144.00


9. MASALAH TERNAKAN KERANG
Masalah yang mungkin dihadapi dalam ternakan kerang pada masa ini ialah seperti isu Bekalan Benih tidak tetap atau tidak mencukupi, Isu Kecurian, Masaalah musuh-musuh kerang (pemangsa) dan juga isu pencemaran air (Buangan Perindustrian). Kajian mendapati serangan oleh Siput Halia ialah salah satu musuh utama kerang . Peluang pelaburan dalam projek ternakan adalah terbuka kepada semua terutamanya Persatuan Nelayan, kumpulan nelayan dan juga perseorangan.


Industri ternakan kerang banyak bergantung kepada kualiti air dan keujudan persekitaran yang sesuai bagi industri ternakan kerang. Permintaan kerang adalah terus meningkat setiap tahun dimana kerang ini di makan dalam pelbagai cara diantaranya sebagai Kerang Rebus, Rendang Kerang, Kerang Bakar, Satey Kerang, Sambal Kerang, Sos Kerang, Kerang Kering, Mee Tiow Kerang dan banyak lagi menu yang menggunakan kerang. Kandungan zat makanan yang banyak mengandungi kalsium membantu kesihatan kita dan menjadi keperluan penduduk di Malaysia. Semuga industri ini akan diteruskan dengan mamperbanyakan lagi kajian dan penternakan dikawasan yang sesuai.


TERNAKAN KERANG...SEMAKIN TERANCAM....
BENIH KERANG...JUGA SEMAKIN KURANG...
KAWASAN TERNAKAN...BANYAK GANGGUAN...
SATE KERANG ...MEMANG SEDAP DIMAKAN....


Related articles:
1. Siput Sedut (Klik disini)
2. Ikan Puyu (Klik disini)
3. Kupang (Klik disini)
4. Belut (Klik disini)
5. Udang Galah (Klik disini)


By,
M Anem
Merlimau, Melaka,
Malaysia
(28 Zulkaedah 1423H)

Tuesday, October 25, 2011

GULA MELAKA

GULA MELAKA atau COCONUT PALM SUGAR merupakan sejenis gula berwarna coklat yang dibuat daripada air manisan kelapa (Cocos nucifera) atau Nira Kelapa yang dimasak sehingga pekat dan kemudian membeku apabila sejuk. Gula Melaka merupakan produk yang sangat popular dikalangan Masyarakat Malaysia dan Asia Tenggara lain kerana khasiatnya dan kegunaannya dalam menyediakan beberapa juadah makanan tradisional. Antara juadah dari jenis kuehmueh yang menggunakan gula melaka seperti Kueh Buah Melaka (Orang Muar panggil 'Kelepon'), Kueh Bingka, Apam Gula Melaka, Kueh Badak Berendam, Lempeng Berinti Kelapa dan Gula Melaka, Cendol, Bubur nasi merah, kueh koci dan banyak lagi. Masakan asam pedas, tumis pedas dan bubur kacang jika dibubuh gula melaka lebih lazat. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi mengenai gula melaka berdasarkan pengalaman bertugas di Melaka selama 14 Tahun, Di Johor selama 15 tahun dan di Sarawak selama 3 tahun yang mana industri membuat gula melaka memang aktiviti aktif di negeri-negeri tersebut.


Gula Melaka merupakan satu daripada produk daripada tanaman kelapa (Cocos nucifera) yang banyak tumbuh diseluruh dunia. Indonesia, India dan banyak kepulauan di Asia Pasifik dan Kawasan Tropika yang lain banyak menanam kelapa. Dikawasan Asia gula melaka juga digelar dengan pelbagai nama seperti Gula Aren ; Gula Jawa ; Gula Merah ;Gula Semut (Indonesia), Nam taan pep (Thailand), Duong thot not (Vietnam), Pol Pani ; Kitol Pol Puru (Sinhalese Sri Lanka), Pakaskas (Filipina), Karrrupati (Tamil), Num taan (Laos) dan Skot tnot (Kemboja).  Indonesia dilapor sebagai pengeluar paling banyak gula melaka didunia. Rekod pengeluaran gula melaka tidak ada dicatit secara rasmi kerana ianya termasuk dalam rekod pengeluaran gula didunia sekitar 60 -65 juta metrik tan setahun iaitu ebanyakannya dari gula tebu (Saccharum officinarum).


Gula Melaka didapati bermula dengan menanam kelapa sehingga sesuai mengeluarkan bunga dan buah. Kelapa MAWA, Kelapa MATAG, Kelapa Tinggi Malaysia  dan beberapa vatieti lain adalah diantara varieti kelapa yang boleh diambil nira. Tangga atau kaedah memanjat pokok kelapa kebahagian mayang bunga kelapa dan dilenturkan setiap hari selama seminggu sehingga membengkok kebawah. Apabila sesuai maka dibuang seludang mayang bunga dipotong tirus menggunakan pisau yang dipanggil 'Penyadap'. Masukkan hujung mayang dipotong dengan Bekas Tabung (Container) untuk mengutip air nira yang mengalir keluar dari mayang yang dipotong. Ada yang bubuh kapor untuk elakkan kemasaman. Kutip air nira setiap pagi dan petang dan dikumpulkan dari setiap pokok. Kajian mendapati kuantiti air nira yang dihasilkan bergantung kepada kaedah memotong, saiz pokok, varieti kelapa, musim (Panas atau redup) dan lain faktor lagi.


Air nira yang dikumpulkan dalam bekas perlu segera di proses untuk mengelakan kemasaman. Kuali atau kawah besar diletakan diatas tempat masak atau 'Sabak' yang dipasang api menggunakan kayu atau bahan bakar lain yang sesuai (Gas Masak jarang digunakan kerana kos mahal). Tuang air nira dalam kuali dan biarkan sehingga mendidih dan selepas 4 jam dan sentiasa dikacau supaya tidak mendak atau hangus dibawah kuali. Kawal api agar tidak terlalu kuat dan ada pengusaha masukan serbuk kulit manggis untuk menambahkan warna coklat yang menarik dan mengurangkan buih dalam kuali. Apabila pekat maka kuali diturunkan dan dikacau perlahan-lahan sehingga pekat seperti gula halus.Tanda kepekatan adalah apabila buih cukup panas dan berbentuk seperti 'bunga sena'.


Sediakan bekas acuan gula melaka daripada Ruas Buloh setinggi 3-4 inci yang berlubang dikedua-dua hujung dan susun diatas lapisan lantai zink atau alas sesuai secara rapat-rapat. Tuangkan pekatan gula melaka tadi menggunakan senduk khas kedalam lubang buloh tadi dan biarkan sehingga ianya sejuk dalam 30 - 50 minit dimana gula akan membeku sendiri. Pada masa ini ada banyak lebah keran (Apis cerana) akan mengunjungi bekas gula melaka kerana menghisap manisan. Apabila cukup sejuk keluarkan gula mekala dari bekas buloh dengan menjolok keluar dari satu bahagian. Periksa kualiti biji gula melaka mengikut saiz dan simpan dalam bekas kedap udara. Pembungkusan gula melaka dalam bekas plastik dengan 4 biji satu bekas. Satu pek dijual dengan harga RM 1.50 - RM 2.00 sahaja.


Kuih onde-onde inti gula melaka.
Terdapat industri masak gula pasir yang dijual sebagai gula melaka oleh beberapa usahawan. Ketika harga gula pasir murah dahulu maka 'towkey' akan hantar gula pasir dan dimasak sehingga cair dan dicampur dengan beberapa bahan lain kemudian dibekukan sama seperti gula melaka. Mereka yang pakar sahaja dapat membezakan gula melaka asli dengan gula melaka tiruan. Gula Melaka asli adalah lembut, mudah dipecahkan dan berwarna coklat sederhana  sementara gula melaka tituan agak keras, susah dihancurkan dan berwarna coklat gelap sedikit. 


Industri gula melaka di Malaysia semakin berkurangan kerana kekurangan tenagakerja untuk memanjat, menyadap, mengutip nira yang agak rumit dan proses memasak gula melaka yang lama dan memenatkan. Harga gula melaka juga tidak begitu tinggi kerana persaingan gula pasir yang harganya dikawal oleh kerajaan sebagai bahan keperluan asas harian setiap keluarga. Persaingan dengan gula melaka tiruan juga ujud kerana pengusaha tidak perlu panjat pokok kelapa untuk dapatkan bahan mentah (Gunakan gula pasir sahaja). Permintaan gula melaka juga tidak meningkat dan hanya untuk pasaran khusus sahaja (niche marketz) berbanding dengan permintaan gula pasir. Diharap industri pembuatan gula melaka akan terus ujud dinegara kita dimasa akan datang. 


DARI NIRA KELAPA...JADI GULA MELAKA...
WARNA COKLAT...LEBAH MEMANG SUKA...
DIBUAT KUIH MANIS...SELERA TERBUKA..
INDUSTRI MENGUNCUP...BAGAIMANA PULA...


Anda mungkin minat :-
1. Coconut (Click here)
2. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
3. Benih Kelapa Matag (Klik disini)
4. Kelapa Pandan (Klik disini)
5. VCO Technology (Click Here)


By,
M Anem
Pantai Morib,
Banting ,Selangor,
Malaysia.
(27 Zulkaedah 1432H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...