Support My Blog

Saturday, February 26, 2011

Endive


Endive (Cichorium endivia Linn) adalah sejenis sayuran daun dari keluarga COMPOSITAE yang baru di perkenalkan di Malaysia untuk digunakan sebagai sayuran segar atau ulam-ulaman. Tanaman ini hanya di tanam dikawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland dan ada juga ditanam di kawasan tanah rendah di sekitar Johor Bahru. Nama lain sayuran ini adalah Endive ; Escarole (English), Chichoree frisee (Perancis), an-dewi (Indonesia), endiba (Filipina) dan phak-kat poi (Thailand). Tumbuhan yang berasal dari kawasan Meditrenean ini digunakan untuk sayuran segar salad atau di buat jeruk masin atau di celur. Artikel ini saya memperkenalkan teknologi sejenis sayuran baru yang ada ditanam di Malaysia tetapi kita kurang mengenalinya.

Sayuran endive ini paling luas ditanam di negara kawasan Eropah dan Amerika Utara dan di kawasan Asia Tenggara seperti di Filipina, Malaysia, Thailand dan juga Indonesia. Sayuran endive ini mengandungi zat setiap 100 g dengan 85 g air, karbohiderat (1.5 g), Protin (2 g), Lemak (0.3 g), Serat ( 1 g), K (300 mg), Mg (20 mg), Ca (80 mg), P (90 mg), Vitamin A (3,200 IU), Vitamin B (0.2 mg), Vitamin C (10 mg) dan Niacin (0.5 mg). Sayur ini juga mengandungi bahan Intybin yang menyebabkan rasa pahit pada daun ketika di makan. Tumbuhan ini renek tumbuh menegak dengan bentuk 'rosette' dan daun yang lebar berwarna hijau. Ketinggian ketika tampang lazimnya setinggi 50-150 cm dan menghasilkan bunga berwarna biru dan sebagainya. Bunganya terbuka pada waktu pagi selama 6 jam dan kebanyakan kultivar adalah menjalankan pendebungaan sendiri.


Endive sangat mudah ditanam dengan menggunakan biji benih. Kawasan tanah gembur dan subur dengan banyak baja organik sangat sesuai untuk ditanam dengan endive dan sediakan batas penanaman adalah lebih baik. Di kawasan tropika tanaman ini subur dikawasan tanah tinggi melebihi 500 meter dengan suhu lingkungan 18 - 20 celsius. Tanah dengan pH 6.5 - 7.2 sangat sesuai dengan pancaran cahaya matahari mencukupi. Biji benih hanya dihasilkan di kawasan temperate yang ada 'long daylight'.

Biji benih (Lihat foto sebelah) yang di impot dari luar negara perlu di semai dalam kotak semaian dan akan di pindahkan keatas batas tanaman selepas 1 bulan apabila mempunyai 4-5 helai daun. Batas tanaman disediakan lebih awal dan jarak penanaman disyorkan 25-40 cm x 25 - 40 cm. Penanaman endive yang terlalu rapat boleh menyebabkan serangan reput pangkal pada peringkat dewasa. Program pembajaan dengan baja organik dan baja NPK dengan kadar 120 kg Nitrojan, 20 kg P2O5 dan 45 kg K2O. Baja Magnesium diperlukan untuk tanaman endive ini dengan menyemburkan larutan Mangesium sulphate pada kepekatan 2% terus pada tanaman. Tanaman ini tidak tahan dengan keadaan terendam dan akan layu atau mati.


Serangan perosak dan penyakit pada tanaman endive tidak berapa serious. Kajian mendapati serangan Kulat Botrytis cinera dan Kulat Sclerotinia spp pada daun dan batang menjejaskan kualiti endiva. Terdapat serangan bakteria dikenali sebagai Penyakit Reput Pangkal. Serangan Bintik daun (Altenaria spp) menjejaskan daun. Terdapat juga serangan kulapok berdebu (Downy mildew) pada endiva disebabkan oleh Kulat Bremia latucae yang boleh di kawal dengan kombinasi IPM dan semburan racun kimia. Antara serangga yang menyerang tanaman endiva seperti Aphid (Aphid spp), Ulat makan daun (Keluarga Noctuidae) dan juga nematod. Elakkan menanam endiva selepas penanaman karot, kentang, beet atau apa-apa dari keluarga Compositae.


Endive matang selapas 60 -90 hari selepas di ubah keladang. Lazimnya daun bahagian atas akan ditutup untuk mampastikan kurang atau sederhana rasa 'pahit' pada daun. ada petani yang menutup bahagian atas endive selama 10 hari menggunakan tin untuk elakkan cahaya matahari. Terdapat beberapa kultivar yang memang kurang pahit di pasaran. Penuaian di mulakan apabila bahagian atas (head) bersaiz 250 - 400 mg dengan memotong pangkal tanaman menggunakan pisau tajam. Anggaran hasil endive lingkungan 20 metrik tan sehektar dikawasan sesuai. Hasil dituai akan mudah layu dan tahan hanya 1 hari sahaja. Bagi tujuan komersial endive yang disimpan dalam suhu 0 -1 celsius dengan kelembapan 90% mampu menjamin kesegaran sehingga 2 minggu.


Tanaman endive ini merupakan satu tanaman baru yang berpotensi untuk ditanam di Malaysia. Kemahiran teknikal petani mengenai tanaman ini tidak sukar kerana hampir sama dengan amalan agronomi tanaman leek, beet dan karot. Masaalah mungkin mendapatkan bekalan benih yang perlu diimpot dari luar negara dan promosi kepada orang ramai perlu dibuat untuk memperkenalkan tanaman ini. Diharap artikel ini sedikit sebanyak membantu pembaca mengetahui sayuran daun endiva yang berpotensi untuk di perluaskan di Malaysia.


TANAMAN ENDIVA. . . . TANAMAN BARU....
DI TANAH TINGGI.... SESUAI DI TANAM...
SUSAH NAK JUMPA.... DI PASAR PUN TAK TAHU ...
NAK CUBA TANAM... MASIH TAK FAHAM....



By,
M Anem
Melaka
1 Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...