Support My Blog

Saturday, April 27, 2013

BURUNG WALIT - APA ISUNYA

Industri terkini yang menjadi 'kegilaan' ramai ialah Industri Burung Walit. Industri ini telah berkembang dengan begitu pantas dimana tahun 2010 sahaja direkodkan terdapat sebanyak 6,050 premis dikenalpasti yang melibatkan sebanyak 3,750,000 buah sarang (Laporan Statistik Tahunan Agromakanan MOA, 2010). Penghasilan produk burung walit dilaporkan mencecah sebanyak 30,000 metrik tan dan kalau purata harga sarang burung ialah RM 4,500 - RM 6,000 sekilogram ...agak-agak berapa nilai pengeluaran industri ini... kasarnya RM 1.8 billion!.  Industri ini mendapat perhatian khusus dari Perdana Menteri Malaysia dalam pembentangan bajet beberapa tahun dahulu. Sesiapa yang ada minat, ada modal, ada kawasan sesuai maka mereka boleh mendapatkan ilmu bagaimana hendak menceburi bidang ini dengan berkursus dan menjadi usahawan burung walit. Tanpa disedari dan diketahui umum, industri sarang burung walit kini mencecah RM1 bilion setahun selepas migrasi besar-besaran spesies burung itu dari Indonesia selepas Tsunami di Aceh. iaitu kira-kira 10 tahun lepas. Jumlah itu dijangka meningkat ekoran permintaan berterusan dari negara China di mana sup sarang burung sangat popular dalam kalangan rakyatnya selain turut menjadi "pengukur" kepada status individu di China. Malaysia kini saya dapat laporan merupakan negara pengeluar sarang burung ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Thailand dengan purata lebih 12 tan sarang burung dihasilkan dalam sebulan. Artikel subuh Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa isu industri burung walit yang rancak dijalankan di Malaysia untuk sama-sama kita ketahui.

Industri menternak sarang burung walit yang mana nama saintifiknya adalah Aerodramus fuciphagus (edible-nest swiftlet - EBN) dan black-nest swiftlet atau "Aerodramus maximus" yang terdapat di Malaysia adalah yang terbaik dari segi kualitinya. Kualiti tinggi ini menyebabkan produk EBN ini terus mendapat permintaan dan harga premium yang agak tinggi dipasaran antarabangsa (Lihat foto diatas). Bagaimana pun saya dapati banyak isu-isu berkaitan industri ini yang perlu kita ketahui dan bincangkan dengan teliti untuk meningkatkan pengetahuan kita. Saya membincangkan isu-siu tersebut berdasarkan beberapa tajuk seperti berikut setelah membuat rujukan beberapa sumber:-

1. ISU PERLESENAN RUMAH BURUNG 
Isu ini telah timbul sejak kebelakangan ini termasuk masalah perlesenan lebih 1,500 rumah burung walit di beberapa negeri seperti di Sarawak akan menjejaskan perkembangan industri yang berpotensi besar ini. Ini kerana Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan burung walit diternak di kawasan bandar. Negeri itu juga tidak mempunyai garis panduan penternakan burung berkenaan yang mana ia membolehkan rumah burung dibina di kawasan bandar seperti mana di Semenanjung Malaysia. Peraturan Perlindungan Hidupan Liar (Sarang Burung Boleh Dimakan) 1998 dan Peraturan Perlindungan Hidupan Liar 1998 juga menjelaskan bahawa spesis itu hanya boleh diternak di tanah pertanian yang terletak dikawasan luar bandar selain habitat asalnya seperti gua. Bagaimana pun dSemenanjung Malaysia, saya dapati premis burung walit dibenarkan dibina di rumah kedai dan lot komersil di bandar mengikut syarat tertentu, premis yang sama tidak dibenarkan di kawasan bandar di negeri itu. Umum telah tahu idustri burung walit mempunyai nilai ekonomi tinggi, meningkatkan nilai hartanah setempat dan juga menjadi alternatif kepada petani dan nelayan untuk mengusahakannya secara serius. Terdapat banyak rumah burung dibina dan rumah kedai diubahsuai menjadi rumah burung di bandar berhampiran pesisir pantai, dikawasan ladang dan sebagainya.

2. STATUS TERKINI PERLESENAN
Sehingga hari ini daripada lebih 1,500 premis burung walit di Sarawak yang ada, hanya dua premis diberikan lesen oleh pihak berkuasa. Ini bermakna 99.8 peratus rumah burung walit di negeri itu ialah premis haram. Dua pilihan sama ada ia boleh dipusatkan penternakan burung walit ke sesebuah kawasan melalui pembinaan eko-park atau mengadaptasi garis panduan penternakan burung walit. Bagaimana pun agak mustahil untuk memindahkan burung-burung ini. Burung walit bukannya seperti ayam atau itik yang boleh kita tangkap dan pindahkan. Burung-burung ini sudah jadikan rumah burung sebagai hotel tempat bersarang. Difahamkan sehingga hari ini belum ada kaedah memindahkan burung walit yang juga spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 1972. Ini menjadikan usaha memindahkannya, terutama anak burung, adalah mustahil tanpa risiko "membunuh" burung itu. Bagaimanakah kerajaan terutama akan menangani isu ini tanpa mengenepikan kepentingan semua pihak termasuk pemilik rumah burung?.

3. ADUAN DARI PENDUDUK 
Pembangunan industri burung walit ini perlu dilakukan secara sistematik mengikut undang-undang sedia ada. Kebanyakan mereka yang minta lesen adalah di bandar yang mengikut definisi undang-undang, mereka perlu ambil kira jika ada risiko epidemik seperti selesema burung. Terdapat beberapa aduan daripada orang ramai mengenai masalah bau dan bunyi bising daripada pembesar suara yang dipasang di premis burung itu bertujuan memanggil burung walit singgah bersarang. Ada juga pembinaan rumah burung di kawasan bandar turut menjejaskan perniagaan sesetengah pihak terutama mereka yang menjual makanan di restoran atau gerai berdekatan. Ramai juga orang yang berfikir sepatutnya pembinaan rumah burung di bandar tidak dibenarkan kerana melanggari undang-undang tempatan dan kajian serius perlu dibuat serta aktiviti pemantauan oleh pihak berkuasa perlu regular. 

4. ISU MONOPOLI INDUSTRI 
Adakah berlaku cubaan pihak tertentu untuk memonopoli industri burung walit di Malaysia?. Mungkin tidak berlaku kerana hanya mereka yang mempunyai modal cukup, ilmu pengetahuan dan jaminan pasaran akan melaksanakan projek tersebut. Beberapa isu mengenai dakwaan berlaku monopoli mungkin berkait dengan pemasaran iaitu isu harga sarang burung walit (jika ada)Ini kerana sekilogram sarang burung walit boleh mencecah RM 4,000 sekilogram dan jumlah itu meningkat sekurang-kurangnya sekali ganda selepas ia diproses untuk diimport ke negara luar seperti China, Hong Kong dan Korea. Tinjauan yang dijalankan mendapati  projek ini mampu mengeluarkan lebih 100 kilogram sarang burung yang bernilai RM 400,000 sebulan jika ia komersil dengan premis yang besar dan bayangkan jumlah pendapatan yang mampu dijana lebih 40 ribu rumah burung yang bertaburan di seluruh negara. Walaupun dakwaan monopoli itu masih belum dibuktikan, pihak terbabit perlu memberi perhatian kepada perkara seumpama itu yang boleh membantutkan hasrat kerajaan Malaysia bagi memajukan industri sarang burung selain.


5. PUNCA PENYAKIT
Berlaku kebimbangan terhadap ancaman penyakit yang berpunca dari industri burung walit. Walau pun belum ada kes-kes penyakit yang dilaporkan tetapi ada kemungkinan air yang ditakung dalam kolam dipremis menyebabkan nyamok membika jika tidak dirawat dengan betul. Kebersihan najis dalam sarang juga perlu dilihat kesan pembiakan bakteria yang mungkin berlaku jika tidak dibersihkan dengan betul dan cara sanitasi. Kajian makmal terhadap lebih 5,000 sampel burung walit yang diuji Jabatan Perkhidmatan Veterinar sejak tiga tahun lepas didapati masih bebas daripada selesema burung dan penyakit sampar ayam. Aktiviti pemantauan dan persampelan perlu dijalankan setiap masa mengikut jadual termasuk premis yang kedudukannya jauh dari kawasan bandar. Tidak guna kita dapat kesan penyakit avian flu jika wabak tidak dapat dikawal lagi.  Begitulah beberapa isu dalam penternakan burung walit yang dapat kita kupas kali ini. Saya ada juga menulis mengenai akibat burung walit terhadap ancaman lain (Sila kilik disini). Wasallam!

BURUNG WALIT...INDUSTRI BARU...
BANYAK ISU... SENTIASA DIPANTAU...
PERLU DIATASI...DIBINCANG SELALU...
MENJANA HASIL...BERBILION TAU?...

By,
M Anem
Bandar Hilir, 
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(11 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...