Support My Blog

Wednesday, December 28, 2011

PADI HUMA

PADI HUMA atau PADI BUKIT merupakan sejenis padi yang ditanam dikawasan tanah mineral atau tanah tanpa genangan air dikawasan lereng bukit sebelum penanaman yang kini banyak diusahakan iaitu tanaman PADI SAWAH lagi. Padi huma di tanam kebanyakan di kawasan pendalaman oleh masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan juga penduduk pribumi di Sarawak serta Sabah. Tanaman padi ini oleh pribumi tempatan sebagai satu tanaman yang agak penting sejak dahulu untuk tampung bekalan makanan mereka. Merujuk kepada statistik Jabatan Pertanian, keluasan tanaman padi huma di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana tidak direkod secara rasmi daripada seluas 673,745 hektar kawasan tanaman padi pada tahun 2010 dengan hasil padi sebanyak 2,548,309 metrik tan. Bagaimana pun adalah dianggarkan keluasan sentiasa turun naik bergantung kepada cuaca dan isu semasa. Penulis menganggarkan tanaman padi huma sekitar 700 - 1,350 hektar setahun terutama di Sarawak  (520 ha) dan Sabah (140 ha). Kajian di Semenanjung Malaysia tanaman padi huma hanya terdapat di Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan sedikit di Johor. Penanaman padi huma ini walau pun hasilnya rendah tetapi ia signifikan untuk kawasan pendalaman yang agak sukar untu mendapatkan bekalan beras dari luar. Artikel pagi ini saya menulis  dalam "Anim  Agro Technology" mengenai tanaman padi huma untuk bacaan semua.


Pada hujung tahun 1960'an dan awal 1970'an arwah bapa saya menanam padi huma di Kg Gunung Sari, Gersik semasa saya berumur 7- 8 tahun. Tanaman padi jenis 'Bukit Gantian' ini ditanam selama hampir 5-6 bulan untuk mendapatkan hasilnya. Benih Padi Huma ini perlu di masukkan kedalam lubang yang di tugal menggunakan sebatang kayu ditajamkan sedalam 2-4 cm dalam (Lihat foto disebelah) . Masukkan sekitar 3-6 biji setiap lubang penanaman dan kambus dengan tanah untuk elakan dimakan burung atau serangga lain. Benih perlu dicampur dengan racun semut dan racun kulat. Waktu menanam disesuaikan dengan musim hujan. Bagi kurangkan pertumbuhan rumput perlu gunakan racun pra cambah atau tanah di bersihkan dengan rumpai dengan membakar rumput atau gunakan cangkul/ tajak. Saya terpaksa menjaga kawasan tanaman padi huma ini bersama adek beradek yang lain terutama ketika bulan terakhir dimana padi hampir masak. Pembajaan menggunakan baja asas seperti baja bantuan RISDA walau pun kurang sesuai tetapi tiada pilihan ketika itu. Kadang-kadang dapat juga beli baja padi dari Syarikat Kerjasama Padi Sawah Ring seperti baja Urea, Amophos dan beberapa jenis racun serangga.


Bila padi mula bunting pasangkan 'orang-orang' iaitu kayu berpalang yang dipakaikan dengan Baju Lama dan Topi serta di gantung tin susu yang diikat batu didalamnya. Tiang orang-orang ini akan dikat dengan tali bersambungan antara satu sama lain sehingga sampai di pondok di tengah kebun. Oleh kerana kawasan kebun berada ditengah-tengah kawasan kebun getah maka apabila padi nak masak banyak burung yang datang untuk makan terutama burung PIPIT UBAN dan PIPIT HITAM. Kelompok burung ini datang berkumpulan dan makan padi perlu dihalau dengan menarik tali tadi maka bunyi tin serta gerakan orang-orang mengejutkan burung dan terbang. Kami di pondok akan melaung sekuat hati menghalau burung tersebut. Tetapi kerja ini berterusan kerana kelompok burung pipit tetap akan datang lagi di lokasi lain dan perlu dihalau berkali-kali setiap hari.


Padi yang telah cukup masak akan dituai dengan memotong tangkai padi menggunakan sejenis pisau khas yang dibuat sendiri dipanggil sebagai 'ani-ani'. Besi lembut dipanaskan dan diketuk sehingga nipis dan dibengkokkan sebelum dipasang pada papan. Alat ini digenggam dengan tangan kanan dan tangkai padi dipotong dengan menarik tangkainya dan akan putus. Tangkai padi ini di ikat dengan tali (dulu guna tali dari pelepah pisang) dan digantung didalam pondok untuk pengeringan. Kaedah lain memotong rumpun padi huma dengan sabit dan terus dibanting dalam alat khas untuk terus meleraikan biji padi dengan tangkai.  Padi huma ini perlu dijemur sebelum di tumbuk dalam lesung kayu besar dengan alu kayu. Kulit padi yang pecah dan terpisah perlu di tampi untuk membuang kult dengan beras.


Beras padi huma memang agak sedap dimasak menggunakan kadar air yang sedikit. Rasanya berbeza dengan nasi dari padi sawah. Walau pun rasa dan aromanya agak berbeza tetapi keluarga saya terjamin bekalan beras untuk selama 3 tahun dengan menanam beras dari padi huma. Hasil padi huma memeng rendah sekitar 1.0 - 1.2 mt/ha dan jangkamasa menanamnya juga lama. Tanaman padi huma juga mudah diserang musuh terutama burung, babi hutan (menyondol dan menumbangkan rumpun padi), Belalang, Pianggang, Kesing, Tikus, Benah dan sebagainya. BERSAMBUNG...


PADI HUMA...HASILNYA KURANG...
PENGALAMAN SENDIRI...JADI INGATAN...
BERASNYA KERAS...BENIHNYA KURANG...
HANYA KENANGAN..ARTIKEL DIKARANG...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Room 4-6, Blok Cempaka,
Teluk Batik Resort,
Lumut, Perak,
Malaysia.
(5 Safar 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...