Support My Blog

Wednesday, December 21, 2011

BUNGA TAHI AYAM

BUNGA TAHI AYAM (Lantana camara) merupakan sejenis pokok bunga dari keluarga Verbenaceae yang dijadikan pokok pagar dan juga pokok hiasan yang menarik. Pokok bunga tahi ayam memang tidak asing dikalangan masyarakat kita dikampong-kampong tradisional sebagai sejenis tanaman bunga yang mudah ditanam dikawasan rumah dan mengeluarkan bunga yang sangat menarik dan cantik. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan Amerika Tropika yang dibawa masuk oleh penjajah. Bunga tahi ayam juga dipanggil dengan nama Lantana, Vanderblomst, Yellow Sage, Red Sage dan Shrub Verena. Kawasan taman bunga dan pemisah jalanraya dalam Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya sering di tanam dengan pokok bunga tahi ayam sebagai tanaman hiasan yang popular seperti di Bandaraya Melaka. Artikel petang ini saya menulis mengenai bunga tahi ayam untuk rujukkan umum.


Pokok Bunga Tahi Ayam merupakan sejenis tumbuhan renek yang lazimnya daun dan batangnya ada bulu. Pokok tumbuh menegak dengan daun berwarna hijau dan mampu mencapai ketinggian 3-5 kaki jika tidak di cantas. Terdapat lebih dari 100 spesis bunga tahi ayam diseluruh dunia dengan pelbagai bentuk dan warna bunga yang berbeza-beza. Walau pun warna dan bentuknya cantik tetapi bunga ini mengeluarkan BAU BUSUK yang tidak enak dan mungkin orang Melayu katakan bunga ini macam 'Bau Tahi Ayam'. Nasiblah bunga yang secantik ini digelar sebagai bunga tahi ayam di Malaysia. Daunnya juga mengeluarkan bau busuk serta kadang2 ada duri pada sesetengah spesis.


Bunga Tahi Ayam mempunyai banyak warna iaitu Kuning, Krim, putih, Oren, Merah , Ungu, Merah Jambu dan kombinasi pelbagai warna. Bunga yang berbentuk payung ini akan bertukar warna mengikut tahap umur pokok serta perubahan iklim sesuatu kawasan penanaman. Penanaman pelbagai warna bunga tahi ayam yang disusun rapi mengikut landskap khusus. Ini akan memberikan permandangan yang sangat indah dan sangat disukai oleh mereka yang melihatnya sama ada dikawasan taman bunga, persimpangan jalan atau dimana jua. Kombinasi daun berwarna hijau dengan bunga yang pelbagai warna menyebabkan ianya satu 'decoration' yang sangat menarik.


Penanaman pokok bunga tahi ayam adalah sangat mudah bermula dengan menyediakan kawasan. Tanah lom berpasir yang agak lembab sesuai untuk tanaman bunga tahi ayam dengan menggemburkan dahulu dan bubuh baja organik seperti Tahi Ayam.  Benih bunga tahi ayam diambil dari bunga tahi ayam yang telah matang dan kering. Benih yang berbentuk panjang dan berwarna coklat kehitaman berukuran 1.0 - 1.5 cm ini ditabur diatas tanah yang telah disediakan. Pembiakan vegetatif bunga tahi ayam juga boleh juga menggunakan keratan batang. Siram sehingga anak pokok tumbuh dan kemudan sebaiknya membuat penjarangan anak pokok kepada 10 - 20 cm diantara pokok. Pokok yang terlalu rapat akan menyebabkan kurang subur dan tinggi kerana perebutan makanan dan cahaya matahari. Pokok akan mula menghasilkan bunga 25 - 35 hari selepas disemai bergantung kepada spesis dan pengurusan tanaman.


Bunga Tahi Ayam yang berbau busuk ini tidak mempunyai musuh serangga perosak atau masaalah penyakit yang serius. Pokok ini sering digunakan sebagai 'Crop Trap' bagi hama dan aphids kerana serangga ini akan tertarik dengan warna terang pada bunga tersebut dan suka tinggal didalamnya. Selalunya tanaman ini akan disembur dengan racun serangga untuk membunuh hama dan aphid yang ada didalam bunga tahi ayam. Bagaimana pun bunga tahi ayam adalah jenis beracun yang boleh menyebabkan masaalah gangguan sistem pernafasan, muntah dan anak mata mengembang jika termakan. Kesan lain seperti masaalah pucat, koma malahan didakwa boleh menyebabkan kematian jika di makan dalam kuantiti yang banyak. Racun jenis Pentacyclic trterpenoids dalam bahagian menyebabkan kesan teruk kepada binatang ternakan dan boleh membunuhnya jika diragut dengan kuantiti banyak. 


Walau pun bunga tahi ayam yang ditanam dapat mencantikan halaman rumah tetapi jika tidak dikawal ianya akan menjadi rumpai yang menimbulkan masaalah kepada petani kerana cepat membiak dan sukar untuk dikawal. Belum ada banyak kegunaan klinikal untuk menjadikan bunga tahi ayam dalam perubatan dan dijadikan makanan kesihatan. kajian lanjut mungkin boleh dijalankan mengenai bunga tahi ayam selain daripada sebagai tanaman hiasan sahaja. Mungkin pokok tahi ayam boleh digunakan sebagai penahan hakisan yang menarik, tanaman 'trap crop' berkesan dan diproses untuk dijadikan produk industri asas tanii yang bernilai.


BUNGA TAHI AYAM.....ALANGKAH BUSUKNYA....
DIPANDANG CANTIK...PELBAGAI WARNANYA...  
SENANG DITANAM...MEMANG SUBUR POKOKNYA...
MARILAH MENANAM...CANTIK HALAMANNYA....


By,
M Anem
Room 619, New Pcific Hotel,
Kota Bharu, Kelantan,
Malaysia
(24 Muharam 1433) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...