Support My Blog

Tuesday, October 25, 2016

KUNYIT -TEKNOLOGINYA

Kunyit (Cucuma domestica) merupakan satu jenis tumbuhan yang dikategorikan sebagai jenis herba berkhasiat daripada  keluarga Zingiberaceae. Tumbuhan ini dari segi sejarah dipercayai telah lama di tanam di negara India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa sanskrit. Apa yang saya baca, di India dan Indo-Malesia kunyit dianggap dari Cochin-China dengan terdapat rekod dari expedisi Marco Polo yan telah direkodkan. Pada tahun 1280 ia menyebut bahawa Koncha (kawasan yang berjiran dengan Fokien, China) terdapat sejenis sayuran bercirikan betul-betul saffron (bahan pewarna dari stigma kuning Crocus sativus) tetapi bukan saffron yang sebenar. Laporan tersebut juga saya dapati bermaksud mungkin serbuk kunyit seperti saffron. Pada masa ini kunyit umumnya dijumpai diserata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di Asia. Dalam bahasa Sankrit ia dipanggil Harida,  Arab (Kukum), Tamil (Manja), Inggeris (Tumeric), Cina (Kiang-hoang) dan Jawa (Kunyir). Penanaman kunyit di Malaysia tidak begiru luas dimana laporan daripada Jabatan Pertanian hanya melaporkan sekitar 12o hektar CHE sahaja pada tahun 2012. Kebanyakan tanaman kunyit dilakukan dipinggir kawasan kebun sayur atau ditanam dikawasan keliling rumah. Artikel subuh Rabu ini saya terus menulis didalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman kunyit dan beberapa ciri-ciri mengenai kunyit untuk kita lebih kenal dengan tanaman ini.

(1) BOTANI KUNYIT
Apa yang saya belajar dulu di Universiti, Tumbuhan Kunyit merupakan jenis tanaman herba saka tetapi ditanam sebagai tanaman tahunan. Tingginya boleh mencapai 1.0 meter jika ia dijaga dengan baik dan ia berbatang pendek dan daun-daunnya berjumbai keluar dari perdu pokok. Pelepah-pelepah daunnya menbentuk batang yang tumbuh menegak. Apa yang saya faham, dibahagian dalam tanah terdapat Ubi utamanya dan ia dipanggil rizom. Rizom ini lazimnya akan berbentuk bulat panjang serta mempunyai tunas-tunas cabang berkembang membentuk anak-anak ubi sisi yang mempunyai gelang-gelang rapat. Bahgian rizom dan ubi sisi inil adalah yang digunakan sebagai rempah-rempahan. Ubi sisi ini bercabang-cabang lagi sehingga keseluruhannya membentuk suatu rumpun. Bekas-bekas akar nampak jelas pada ubi-ubi sisi ini yang berwarna jingga kecoklatan dari luar. Pada bahagian dalamnya berwarna jingga terang atau agak kuning. Rasa ubi ini agak pahit dan getir dengan bau yang khusus. Ia berbunga dihujung batang dan panjangnya 10-15 cm. Daun-daun pelindung bunganya berwarna putih atau putih bergaris-garis hijau dan merah jambu dihujungnya, manakala yang terletak di bahagian bawah hijau muda. Bunganya putih atau kuning pucat dan mekar atau kembang bersama-sama (Lihat foto sebelah atas).

(2)  IKLIM DAN TANAH
Dari segi kesesuaian tanah, saya dapati yang tanaman Kunyit sesuai ditanam dikebanyakan tempat di Malaysia yang mempunyai iklim panas dan lembap dengan suhu 15-35 C. Ia boleh ditanam di dataran rendah dari paras laut hinggalah pada paras 1,220 meter atas paras laut. Curahan hujan yang berterusan terutamanya di kawasan tadahan hujan adalah baik untuk penanaman kunyit. Hujan tahunan yang optima untuk kunyit adalah sekitar 100 hingga 200 cm. Hujan sederhana lebat diperlukan semasa menanam dan hujan lebat semasa peringkat awal vegetatif. Keadaan kering selama sebulan diperlukan sebelum penuaian dijalankan. Keadaan tanah sesuai bagi tanaman kunyit, biasanya bersaliran sempurna dan subur yang terdapat pada tanah jenis lom. Tanah rendah yang boleh bertakung air tidak sesuai kerana ianya peka terhadap keadaan terendam. Ketahanan pH tanah bagi tumbuhan ini adalah antara pH4.3 dan pH7.4. Pada tanah yang terlalu kering ketika musim yang agak panjang saya syorkan agar  bantuan pengairan diperlukan. Sistem pengairan renjis atau sistem pengairan titis boleh digunakan mengikut kemampuan jika ditanam secara meluas.

(3)  VARIETI KUNYIT
Varieti tang khusus dari tempatan jarang ditemui melainkan dari India dimana pelbagai varieti dikeluarkan dan dibiakbaik untuk tanaman komersial. Varieti-varieti yang ditanam di India yang sama keperluan ekologi-fisiologinya dengan Malaysia adalah seperti jadual dibawah.


(4)  BAHAN TANAMAN
Benih kunyit boleh ditanam dengan mengambil cebisan rizom dari bahan yang terpilih berat 20kg tiap-tiap satu digunakan sebagai bahan tanaman pada kadar 2.0 tan/hektar. Rizom perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 1-2 mata tunas. Untuk mendapatkan cebisan bahan tanaman yang sihat, dinasihati memperolehinya terus dari ladang tanaman yang telah mengeluarkan hasil. Untuk memastikan cebisan rizom ini bebas dari penyakit, racun kulat digunakan. Bagi tujuan ini cebisan rizom direndam dalam larutan kulat selama 15-30 minit. Untuk mendapatkan pokok yang seragam pra-cambahan selalunya diamalkan. Ini memastikan tiada berlaku kegagalan pertumbuhan pada sesuatu lubang tanaman itu.

(5)  PENANAMAN dan HASIL
Kunyit ditanam dengan bermulanya musim hujan diatas batas berukuran 1-1.5 meter lebar dan tinggi 20 cm serta panjang yang bersesuaian. Ianya ditanam sedalam lebih kurang 6-8cm. Jarak tanaman yang disyorkan 45-60cm antara baris dan 25cm antara pokok. Setelah ditanam cebisan pra-cambah, ianya diberikan lindungan sementara, sehingga tanaman berumur kira-kira 3 bulan. Pembajaan kunyit dengan menggunakan baja organik (tahi ayam) pada kadar 4-5 tan/ha/musim digaulkan ke dalam tanah 3-5 hari sebelum menanam. Baja sebatian dengan kadar 60kg N, 30kg P, 90kg K per hektar di bubuh 3 kali sepanjang masa penanaman. Hasil kunyit sebanyak 15 – 25 t/ha. Selepas lebih kurang 9 - 10 bulan ditanam, rizom boleh dituai apabila pokok menjadi kuning, dengan menggalinya menggunakan cangkul. Pembungkusan secara pukal tidak melebihi 40kg menggunakan bekas yang kukuh. Beg dari jenis polietilena, beg kertas dan beg dari jenis filem polivinil klorida boleh digunakan untuk tujuan pembungkusan runcit. Produk kunyit segar lazimnya dijual secara timbangan berat berbanding dengan kunyit yang digunakan untuk pemprosesan bagi dijadikan serbuk dalam buntil guni. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...

NAMANYA KUNYIT...RENEK POKOKNYA...
BANYAK KHASIAT...JUGA PEWARNA...
DIKELILING RUMAH...DITANAM MUDAHNYA...
UMBISI DAN DAUN... SEMUA BERGUNA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Bukit Tinggi, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(13 JamadilAkhir 1434H)

Monday, October 24, 2016

FERTIGASI GANTUNG - TKPM PULAU MANIS

FERTIGASI GANTUNG merupakan satu teknologi baru dalam penanaman sayuran yang sangat popular dilakukan oleh peserta TKPM Pulau Manis iaitu di Daerah Kuantan, Pahang. Penulis yang beberapa kali membuat tinjauan teknologi kekawasan penanaman sayuran komersil disekitar Kuantan mendapati aktiviti penanaman sayur ini semakin moden untuk mendapatkan pulangan yang cepat serta lebih menguntungkan dengan hasil yang berkualiti. Pada peringkat awal kaedah penanaman fertigasi gantung di TKPM ini yang dipelopori oleh Encik Ramli dan rakan-rakannya adalah untuk mengatasi masaalah banjir yang merosakkan tanaman terutama pada musim banjir bulan Disember.  Bagaimana pun setelah melalui banyak peringkat pengubahsuaian maka teknologi ini akhirnya mereka meneruskan cara menanam sayur dengan cara Fertigasi Gantung. Apa yang penting dalam cara menanam sayur gunakan teknologi ini adalah ada jaminan hasil yang berkualiti dan konsistent. Tanaman fertigasi gantung kini telah diperluaskan kepada jenis sayuran seperti Cili Besar, Cili Padi, Terung Bulat, Terung Panjang, Terung Ulam, Peria, Petola, Timun, Kacang Panjang, Kacang Buncis dan beberapa lagi. Media yang digunakan untuk tanaman adalah tanah campuran dan cocopeat. Baja Set A dan Baja Set B kebanyakkanya dibuat dan di bancuh sendiri oleh petani dengan bahan asas baja dibeli daripada Cameroon Highland dan Kuantan. Setiap polibeg yang diisi dengan media tanaman akan dipasang dengan paip saluran air baja untuk mempastikan makanan akan sampai kepada setiap pokok dalam masa cepat dan kuantiti mencukupi. Media tanaman ini akan digantung pada dawai kasar yang disambung dengan tiang kukuh setinggi 1 meter dari paras tanah. Kaedah ini amat mudah dilakukan jika ada kemahiran petani dan juga pekerja ladang untuk membuatnya. Apa pun artikel malam ini saya terus menulis didalam "Anim Agro Technology" mengenai dua jenis kaedah fertigasi yang unik diamalkan oleh salah seorang peserta di TKPM ini dan ia telah dicontohi oleh beberapa peserta lain.  


Penggunaan kaedah fertigasi pada ini pendapat penulis hanya dilakukan oleh mereka yang ada kemahiran, mempunyai modal mencukupi dan menyediakan satu jadual menanam yang terjamin boleh menghasilkan sayuran dengan konsistent. Penanaman Kacang Panjang (Vigna sesquapedalis) adalah antara sayuran buah jenis kekacang yang sedang ditanam berumur 2-3 minggu semasa lawatan penulis. Setiap polibeg ditanam dengan Kacang Panjang varieti 321 dengan setiap polibeg diisikan dengan 2-3 anakbenih (Sila lihat foto disebelah). Media tanah campuran dan cocopeat dimasukkan sehingga memenuhi polibeg hitam besar dan dipasang digantung pada ketinggian 1 meter dari paras tanag menggunakan tali yang kuat. Tali tersebut diikat pada kawat kasar yang disokong oleh tiang kayu yang kuat membentuk sistem para trellis. Air baja daripada tangki disalirkan kepada setiap polibeg yang digantung menggunakan paip kecil dan emitter. Pam yang digunakan akan membekalkan air kepada setiap polibeg dengan kekerapan 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Baja tambahan seperti PCD (Processed chicken dung) akan diberikan setiap polibeg mengikut jadual pembajaan baja organik. Penulis dapati pekerja yang buat fertigasi gantung di TKPM ini tahap kemahiran yang amat tinggi dimana mereka juga selain dibayar gaji bulanan akan diberi imbuhan insentif berdasarkan kepada penghasilan dari aktiviti yang dilakukan.


Teknik Fertigasi gantung yang dilakukan di TKPM ini melibatkan seramai 3 peserta dengan keluasan keseluruhan 15 hektar pada setiap musim penanaman. Pemerhatian penulis mendapati cara tanaman ini sesuai dikawasan ini yang agak rendah dan sering dilanda banjir pada musim hujan daripada November - Januari setiap tahun. Pada masa inilah akan berlaku banjir dikawasan rendah. Fertigasi gantung dapat menyelamatkan tanaman. Kaedah ini juga didapati cepat berhasil dan kurang diserang penyakit 'soil borne disease'. Jangkamasa penanaman dan penuaian dalam sistem fertigasi gantung ini lebih singkat berbanding dengan kaedah penanaman cara konvensional. Ini kerana air baja dan nutrient yang dibekalkan mencukupi dan bilangan pokok 2-3 batang membolehkan ia cepat berhasil. Petani disini kebanyakannya membancuh sendiri baja Set A dan Set B dimana bahan asas baja fertigasi ini dibeli daripada Cameroon Highland. Satu polibeg yang ada tahan untuk dua kali penanaman jika dijaga dengan baik. Bahan media tanaman yang ada didalamnya akjan ditambah dan dimasukkan benih baru iaitu untuk tanaman seperti Kacang Panjang, Petola, Timun dan peria. Bagaimana pun fertigasi gantung untuk tanaman cili hanya menggunakan media tanaman dan polibeg untuk satu kali pusingan sahaja.


Dalam penulis melihat tanaman fertigasi gantung dengan cili (Capsicum annum) didapati kaedah penanaman iini agak kurang kes serangan Kerinting Daun. Setiap polibeg ini ditanam dengan 1-2 batang benih cili dan diberikan dengan air baja melalui paip yang diberikan setiap beg. Kkebuh di Plot 7 yang berumur 3.5 bulan ini masih berbuah dengan kiraan sekitar 15-25 biji sepokok (Sila lihat foto disebelah). Apa yang menarik perhatian penulis apabila diantara blok tanaman sayuran fertigasi gantung ini dipasang jaring kalis serangga setinggi 12 kaki. Tujuan pemisah ini sepanjang sempadan adalah untuk mengelakkan pergerakkan serangga perosak daripada sati blok penanaman keblok yang lain. Walau pun kaedah ini belum ada kajian saintifik yang dijalankan tetapi daripada testimoni petani dan pekerja ladang mendapati perkara ini amat berkesan. Memang benar apabila penulis mendekati dinding ini dimana terdapat serangga seperti kutu aphids, pianggang, tebuan, kelulut, lebah keran, rama-rama, lalat buah dan sebagainya. Kemungkinan kaedah pemasangan dinding pemisah ini boleh dibuat kajian saintifik dengan beberapa kaedah amalan agronomi. Kaedah tanaman sayur di TKPM Pulau Manis dengan cara Fertigasi Gantung didapati amat sesuai dengan kawasan dan kemahiran yang ujud disini. Semuga pembaca semua mendapat info berguna daripada artikel kali ini. Wasallam!!!.


CARA FERTIGASI ...AMALAN  DISITU...
TKPM PULAU MANIS... TERBUKTI JITU...
TANAMAN SUBUR... BERKUALITI TENTU...
DIJADIKAN CONTOH... INOVASI BARU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(8 Muharram 1438H)

Sunday, October 23, 2016

PENGURUSAN PENYAKIT LAYU BAKTERIA PISANG

PENYAKIT LAYU BAKTERIA PISANG (MOKO) adalah disebabkan oleh bakteria Ralstonia solanacearum. Bakteria ini akan hidup di dalam perumah iaitu pada sisa tanaman perumah yang dijangkiti secara sementara dimana kajian menunjukkan ia boleh hidup selama 2-3 tahun. Ia juga boleh hidup pada bahan tanaman yang berpenyakit, air yang berada dipermukaan yang tercemar, pada baja tahi ayam dan organik tahi lembu yang mana pada keadaan ini ia boleh hidup selama beberapa minggu. Kesan serangan penyakit Moko ini boleh menyababkan kerugian nesar kepada petani kerana mereka tidak boleh menjual pisang yang dihasilkan kerana apabila buah pisang telah diserang dan kemudian ianya dipotong didapati isi buah pisang" discoloured", berwarna hitam dan reput (Sila lihat foto diatas). Buah pisang diserang juga masak dengan tidak seragam. Daripada kajian saintis mendapati bakteria ini tidak boleh hidup lebih dari 6 bulan di tanah yang mempunyai "water holding capacity" kurang dari 65%. Kaedah sebaran atau jangkitan yang berlaku banyak bergantung kepada aktiviti dikebun. Sebaran penyakit dari ladang ke ladang dan dari pokok ke pokok adalah disebabkan oleh aktiviti serangga dan manusia terutamanya peralatan ladang yang digunakan. Serangan seringkali merebak terutamanya selepas banjir. Dalam beberapa rujukkan, pisang nipah didapati antara spesis pisang yang mudah menyebarkan penyakit ini oleh serangga dan burung. Jantung pisang nipah yang besar dengan nektar yang banyak serta aroma kuat menyebabkan ia sering dikunjungi oleh lebah, semut, tebuan malahan burung kelicap yang menghidap nektar yang tercemar dengan bakteria ini. Ia cepat menyebarkan kepokok pisang lain kemudiannya.

Terdapt banyak simptom serangan ini pada semua bahagian pokok pisang. Jenis simptom serangan bergantung kepada cara jangkitan. Kultivar pisang "dessert"jangkitan adalah melalui akar dan rizom manakala bagi kultivar "cooking banana" jangkitan adalah melalui cara serangan serangga. Pada bahagian pucuk muda yang diserang akan menunjukan bahagian pucuk yang berpintal-pintal. Simptom serangan pada pelepah dan batangdimana akan kelihatan bahagian tisu vaskular menjadi perang atau kehitaman, apabila direndam ke dalam air makan akan keluar jurai "ooze" bakteria akan kelihatan. Simptom serangan pada daun menyebabkan warna kekuningan dan kering iaitu berlaku pada pokok yang sedang membesar, daun paling muda akan menjadi hijau pucat atau kekuningan, warna dan corak adalah abnormal (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun simptom serangan penyakit moko pada pada pokok tua dilihat daun yang paling dalam (inner leaf) pada pelepah menjadi kuning, pelepah akan patah, daun layu dan koyak dan seterusnya mati. Ini dapat disahkan lagi dengan simptom serangan yang berlaku pada bahagian umbisi menjadi reput dan berbau hancing. Serangan bakteria bermula dari bahagian tengah dan ia akan merebak keluar (from centre outwards). Simptom lain berlaku pada bahagian putik bunga dan tangkai dimana ia menjadi hitaman yang disebabkan jangkitan oleh serangga. 

Serangan penyakit layu bakteria pisang ini perlu dibuat kawalan dengan betul. Kaedah kawalan boleh dilakukan dengan cara melaksanakan kaedah kawalan secara kultura. Antara yang perlu untuk dilakukan adalah dengan menjalankan sanitasi ladang hendaklah dijaga dengan rapi dan mempastikan saliran ladang hendak dipastikan sempurna. Sebarang perumah kepada bakteria mestilah dibuang dan dihapuskan dengan kaedah yang betul. Semestinya menggunakan anak benih pisang yang bebas penyakit seperti benih kultur tisu yang ada jaminan. Benih sulur yang tercemar daripada kawasan tanaman pisang dikebun hendaklah dielakkan pengambilannya. Jika ada pokok yang ada simptom serangan maka perlu musnahkan pokok yang dijangkiti dengan segera dengan cara mencincang dan bakar pokok yang dijangkiti. Pastikan sentiasa membasmi kuman pada peralatan ladang yang digunakan untuk menggali, memotong dan mencantas dengan larutan clorox setiap kali digunakan. Kajian mendapati kaedah kawalan secara kimia memang tidak ada untuk penyakit Layu Bakteria Pisang (Moko).

Penulis tertarik  kepada satu thesis yang dibuat oleh Leong Wai Ching bertajuk 'KAJIAN AWAL PENGAWALAN PENYAKIT LAYU YANG DISEBABKAN OLEH Fusarium oxysporum f. sp. cubense PADA PISANG DENGAN MENGGUNAKAN BAHAN SEMULAJADI'. Dalam Abstrak mendapati ia boleh dibuat rujukkan. Penyakit layu Fusarium pada pisang yang disebabkan oleh Fusarium oxysporum f. sp. cubense (Foc) merupakan salah satu penyakit yang menyebabkan kerugian yang sangat tinggi pada pisang di seluruh dunia. Berbagai kaedah pengawalan telah dikaji dan dicuba tetapi sehingga ke saat ini belum ada kaedah yang berkesan, penyakit ini masih merupakan masalah utama penanaman pisang. Kajian ini dilakukan untuk menguji keberkesanan produk semulajadi iaitu silikon (Si) dan racun kulat ekstrak sitrus (AFX) dalam pengawalan penyakit tersebut. Kultur Foc yang digunakan dalam kajian ini telah dikenalpasti kevirulenannya terhadap planlet pisang yang sihat dan dicamkan identitinya secara morfologi. Tiga ujian keberkesanan perawatan silikon tambahan (MR-250) untuk tempoh yang berlainan telah dilakukan untuk membuktikan hipotesis sama ada silikon boleh digunakan untuk mengawal penyakit layu Fusarium pada pisang. Planlet pisang diinokulat dengan Foc yang virulen dan indeks simptom daun dan indeks perubahan warna rizom direkodkan. MR-250 didapati gagal menunjukkan kesan pengawalan terhadap penyakit layu Fusarium. Analisis kandungan silikon yang mendap di dalam pokok pisang menunjukkan bahawa kandungan silikon adalah lebih tinggi di dalam daun berbanding dengan akar sehingga diduga sebagai penyebab kepada ketidak berkesanan tersebut. 

Selanjutnya, ujian keberkesanan racun kulat AFX dilakukan secara in vitro dan in vivo dengan menggunakan benomil sebagai pembanding. Dalam ujian in vitro pada agar-agar ubi kentang (PDA), benomil dan AFX menunjukkan kesan xv perencatan terhadap Foc. Perencatan pertumbuhan miselium sepenuhnya diperhatikan pada medium PDA-benomil berkepekatan 1000 µg/ml, 100 µg/ml, dan 10 µg/ml. Pada medium PDA-AFX berpekatan 50 µl/ml, perencatan pertumbuhan miselium sepenuhnya dapat diperhatikan. Dalam ujian preventif, AFX (0.1%) dan benomil (0.5 g/L) tidak dapat menunjukkan kesan preventif dalam pengawalan penyakit layu Fusarium. Walau bagaimanapun, AFX dan benomil telah menunjukkan kesan kuratif pada planlet yang masing-masing diberi rawatan racun kulat selepas tiga dan lima minggu penginokulatan. Kajian ini memberikan sedikit info tambahan dalam artikel ini untuk dibaca dan dirujuk. Semuga artikel ini memberi info berguna untuk rujukan anda semua. Wasallam!!...
PENYAKIT MOKO... AMAT BAHAYA...
SIMPTOM SERANGAN... BANYAKNYA...
KAEDAH KAWALAN...AMALAN KULTURA...
BACA ARTIKEL... TAHU RAHSIANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronmist,
Projek Tanaman Pisang Komersil,
Maran, Pahang,
Malaysia.
(20 Muharam 1438H)

Saturday, October 22, 2016

ARANG - KHASIAT ARANG DIMINUM?

ARANG (charcoal) merupakan bahan yang terhasil daripada pembakaran bahan kayu (organic) mengikut kaedah khusus sehingga menjadi warna hitam. Arang mempunyai berbagai jenis daripada arang batu, arang kayu dan beberapa jenis lagi yang ujud secara semulajadi atau dibuat oleh manusia. Penggunaan arang batu memang telah dilakukan oleh manusia semenjak beratus tahun dahulu sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga. Bagaimana pun sekarang ini penggantungan terhadap arang batu kini telah semakin berkurangan kerana ianya semakin berkurangan dan harganya tinggi. Pembuatan arang berasaskan bahan organik seperti kayu, buluh, tempurung, sabut, pokok dan sebagainya kini dilakukan untuk menghasilkan arang. Kalau di negara kita pembuatan arang kayu bakau merupakan satu industri yang dilakukan sejak lama dahulu dikawasan pantai barat Semenanjung Malaysia seperti di Perak. Kebanyakan hasil arang kayu ini adalah untuk kegunaan domestik. Dalam pada itu kini arang kayu atau tempurung telah digunakan sebagai produk kesihatan. Beberapa jenama arang dalam bentuk pill ada dijual di farmasi sebagai ubat menghilangkan angin dalam perut dan masaalah lain. Bagaimana pun kini arang telah dikaitkan pula dengan kemampuannya untuk melambatkan proses penuaan dimana telah ada beberapa individu dianggap ikon menyatakan iaitu 'Minum air arang akan Awet Muda'. Adakah ini dakwaan yang signifikan atau hanya satu retorik sahaja?. Ini kerana kita tahu arang batu sering digunakan sebagai bahan bakar yang mampu menghasilkan suhu tinggi yang stabil. Api dari arang batu memang digunakan untuk membakar sate, BBQ, bakar ayam percik, bakar ayam golek, bakar ikan, bakar ayam dan sebagainya. Sebagai contoh di restoren Kenny Rogers terdapat ruang untuk arang dibakar untuk produk makanan yang dijual dipremis tersebut. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat dan kebaikan arang sebagai produk kesihatan.


Kebanyakan kita kini amat kurang mengunakan bahan produk arang kayu kerana telah ada tenaga eletrik. Dizaman dahulu arang digunakan untuk pengosok baju (iron) dan memang jadi asas kepada bahan bakar memasak air direstoren dan kedai-kedai makan tradisional. Beberapa janakuasa letrik juga menggunakan arang batu untuk dibakar dan menghasilkan tenaga eletrik. Bagaimana pun penulis dapati penggunaan arang kayu dan arang tempurung kelapa telah lama digunakan dimana ia bukan ini sekadar sumber bahan bakar bara sahaja tetapi kini dijadikan sebagai bahan penapis air (carbonated filter) yang amat baik. Bahan seperti Carbonated charchoal mampu membersihkan air dalam sistem penapisan untuk air minum. Ia bukan sahaja sebagai bahan penjernih air tetapi juga sebagai bahan penyerap bau tetapi peranannya memang lebih daripada itu. Terdapat beberapa fakta dimana arang adalah berkhasiat bagi tujuan dijadikan produk kesihatan. Beberapa penelitian beberapa pakar dari Taiwan dan Korea telah berjaya dan mampu menjelaskan yang arang mampu melepaskan sinar ultra inframerah (Ultra infrered ray) yang boleh membantu menghangatkan tubuh. Perkara ini akan dapat memperbaiki dalam sistem peredaran darah dengan melepaskan beberapa komponen ion negatif yang menyeimbangkan sumber energi dalam tubuh. Ia berlaku dengan menghalau radiasi gelombang elektromagnetik yang akan merosakkan sel-sel tubuh dalam badan manusia. 


Penggunaan cara sinar ultra inframerah juga didapati bertindak pada sistem parasimpatetik sebagai teknik untuk menenangkan fikiran. Apa yang paling seronok bagi ramai orang adalah untuk mengambil atau minum air arang kerana didakwa ia berkebolehannya untuk menjadikan 'Awet Muda'. Bagaimana bahan arang ini boleh menyebabkan awet muda?. Kajian di Jepun mendapati bahawa arang atau bahan aktif karbon diubah menjadi 'Nanohorn' iaitu struktur halus yang menyerupai satu batang berukuran sepersejuta meter. Bahan ini adalah unik dimana salah satu hujung silindernya meruncing dan tertutup seperti tanduk. Kajian tersebut telah menyatakan pada bahagian hujung itu dipasang butiran 1-2 nanometer ubat kanser yang bernama 'cisplatin'. Setelah disuntikkan ke tubuh pesakit maka bahan 'nanohorn' ini akan mengalir dalam darah. tetapi ia tidak tersebar ke seluruh badan. Ini kerana ia hanya akan berkumpul (accumulate) dalam sel-sel kanser kerana sel kanser elalunya akan lebih mudah menyerap benda-benda berukuran 100 nanometer dibandingkan sel tubuh lain. Sistem penghantaran ubat ini adalah didapati lebih efektif untuk dalam memusnahan sel-sel kanser dan tumor serta tanpa efek sampingan lain direkodkan.


Khasiat arang sebagai bahan ubat sudah digunapakai sejak 1500 sebelum masihi oleh masyarakat Mesir. Mereka telah pun menggunakan arang sebagai penyembuh luka dan pembersih usus halus setelah makan. Kini pil dan tablet ini telah banyak dijual di farmasi sebagai ejsnia ubat komersil (Sila lihat foto disebelah). Penulis sering juga membeli tablet pil arang dipasaran untuk tujuan kesihatan dan sentiasa mempunyai stok sim[anan. Kajian saintis menunjukkan bahawa jenis racun strychnine yang dicampurkan butiran arang yang tidak berbau dan tidak berasa mampu menyerap 60% zat beracun. racun ini tidak masuk ke seluruh sistem penyerapan dan juga jaringan pencernaan seperti dalam usus halus, usus besar dan perut. Hasilnya ia efektif bekerja selama 1.5 jam setelah pengambilan arang. Perkara ini adalah disebabkan arang akan menyerap dengan kadar sangat tinggi semua bahan tercemar. Kajian di USA pula ada membuktikan bahawa arang bersifat anti-penuaan dan memanjangkan umur 40% terhadap beberapa ujian terhadap tikus. Antara fungsi arang ini kerana ia didakwa mampu menyerap beberapa jenis bahan kimia dan racun dalam tubuh mereka. Arang juga akan dapat seimbangkan metabolisma bahan lemak dimana aia juga akan menurunkan aktiviti sintesis protein yang mencepatkan aktiviti penuaan serta menghalang proses arteriosklerosis dan fibrosis. Dos penggunaan arang sekitar 30 gram sehari yang diminum 2 kali seminggu ketika masa perut kosong amat berkesan. Arang juga dapat kurangkan kandungan kolesterol dimana jika sebanyak 8 g arang diambil sehari menurunkan 25% dari jumlah kolesterol. Ini termasuk penurunan sebanyak 41% kolesterol jahat LDL (low density lipoprotein) serta melipatgandakan kadr HDL per LDL kolesterol. Wasallam!.


IA ARANG... HITAM WARNANYA...
ASAL KAYU...MURAH HARGANYA...
JADIKAN UBAT...AWET MUDA...
BELI TABLET PILL...MUDAH GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Restoren Ayam Dapor Penyet,
Cyberjaya, Selangor,
Malaysia.
(19 Zulkaedah 1435H) 

Friday, October 21, 2016

LADA HITAM - POTENSI TANAMAN

LADA HITAM (Piper nigrum) merupakan tanaman yang dikenali oleh masyarakat seluruh dunia sebagai ramuan masakan perisa dan sos. Berasal dari barat daya India ditanam di Sarawak sejak tahun 1856 dimana ia diusahakan secara meluas sekitar 1900an lagi. Malaysia menduduki tempat kelima lada dunia selepas Vietnam,India,Indonesia dan Brazil. Bukan mudah untuk menanam lada hitam untuk menghasilkan buah berkualiti dan gred yang baik. Lada Hitam masih merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk terutama di kawasan pedalaman Negeri Sarawak. Keluasan purata kebun lada direkodkan masa kini adalah 0.2 hektar. Lada banyak ditanam di beberapa daerah yang aktif menanam seperti di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan penanaman lada hitam di Sarawak ialah kira-kira 13,000 hektar (Sumber: Laporan Tahunan, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak 2015)Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada pada tahun 2004 berbanding sebanyak 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98 peratus hasil dari pengeluaran lada di Malaysia adalah di Negeri Sarawak. Pengeluaran untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Agensi yang menjaga industri lada hitam adalah Lembaga Lada Malaysia yang dulunya dikenali dengan Jemaah Pemasaran Lada Hitam Malayais (JPPH) yang beribupejabat di Kuching, Sarawak. Bentuk Lada untuk Eksport masa kini adalah dimana kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk Lada hitam (Black Pepper) dan Lada Putih (White Pepper). Bentuk lain adalah dalam bentuk oleoresin lada, minyak lada, lada hijau dan lada kisar. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi tanaman lada hitam di Malaysia terutama untuk kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.


Menanam Lada merupakan satu aktiviti yang rumit terutama untuk memetik hasil. Secara teorinya pokok lada hidup subur di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembap seperti di Malaysia. Lazimnya tanaman pokok lada dibiak daripada keratan batang dimana ada juga kaedah untuk pembiakan lada dengan menggunakan bijinya tetapi ia amat jarang dilakukan kecuali untuk program biakbaka (Plant breeding). Sistem akar berkembang daripada akar adventitius yang terbentuk pada bahagian buku keratan batang yang ditanam. Daun lada hitam akan keluar pada setiap buku semasa peringkat tumbesaran keratan pucuk utama. Akar adventitius pula akan berkembang untuk membantu pucuk melekat pada tiang sokongan yang dibina daripada kayu, konkrit atau batang pokok sokongan.. Pada setiap buku akan ada mata tunas aksil tumbuh menjadi dahan sisi dan seterusnya akan mengeluarkan sulur buah. Bunga lada keluar pada buku yang bertentangan dengan setiap daun di dahan sisi. Kebanyakan kultivar lada mempunyai bunga dwiseks yang kebiasaannya mengalami pendebungaan sendiri. Buah lada yang lebih dikenali sebagai beri, berwarna hijau dan berkeadaan lembut di peringkat awal pembentukan. Ia bertukar ke warna hijau tua dan menjadi keras apabila matang. Kulit luar (eksokarpa) berwarna kuning dan merah cerah dan menjadi lembut apabila masak. Setiap beri lada mengandungi biji tunggal yang diselaputi isi buah (mesokarpa). Lada hitam terdiri daripada keseluruhan beri yang telah dikeringkan manakala lada putih adalah biji lada. Pada penulis mendapati dimana rasa pedas buah lada adalah disebabkan oleh kehadiran bahan alkaloid piperine, chavisine dan piperettine manakala pada minyak pati menghasilkan aroma lada. Kedua-dua sebatian tersebut membentuk oleoresin yang dapat diperolehi melalui proses ekstraksi pelarut. Kepedasan lada juga dipengaruhi oleh varieti dan persekitaran penanaman lada.


Pada masa ini banyak varieti atau kultivar terutama di negara India yang merupakan tempat asal tanaman lada. Bagaimana pun di Sarawak antara variti/kultivar yang paling banyak ditanam ialah Varieti Kuching (Sila anda lihat foto disebelah). Selain itu melalui daripada aktiviti berterusan penyelidikan, Jabatan Pertanian Sarawak telah menghasilkan dua varieti  iaitu varieti 'Semongok Perak' dan varieti 'Semongok Emas' dimana keduanya kini telah disyorkan kepada petani (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Terdapat 47 'kemasukan' (accessions) Piper nigrum dan 46 'kemasukan' (accessions) spesies Piper di dalam koleksi germplasma lada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok. Bahan-bahan ini digunakan untuk program penambahbaikan tanaman lada. Lada Hitam di Sarawak sebenarnya mula ditanam oleh pekebun Cina tetapi kini kira-kira 87 peratus daripada pekebun lada adalah kaum bumiputera, terutama kaum Iban dan Bidayuh iaitu hasil daripada galakan dan bantuan skim penanaman yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 1972. Penulis yang pernah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak dari 1995-1997 dapat melihat industri penanaman lada hitam diseluruh negeri tersbut. 


Penanaman lada di Sarawak dijalankan atau ditanam sebagai tanaman tunggal atau secara Monokrop tanpa naungan khas terutamanya di kawasan lereng yang bercerun landai dan curam (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya bagi kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar maka perlu ada sistem parit perlu disediakan kerana tanaman ini tidak sesuai jika ada akar terendam dalam air. Pokok lada ditanam di atas busut (mounting) yang mesti disediakan semasa penyediaan tanah. Secara tradisional lazimnya pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk dimana ia boleh merosakkan permukaan tanag dan sebab itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi. Menanam di ladang perlukan masa yang betul dan disesuaikan dengan cuaca. Masa yang paling sesuai menanam lada adalah di antara bulan Oktober hingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna. Tiang sokongan amat penting bagi tanaman ini. Pokok lada yang masih muda dilatih untuk tumbuh memanjat pada tiang sokongan. Secara tradisional, tiang kayu belian digunakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, hasil kajian telah mendapati tiang sokongan hidup daripada pokok jenis kekacang (contohnya Gliricidia sepium dan Erythrina indica) sesuai digunakan sebagai tiang sokongan alternatif.


Pemangkasan atau aktiviti cantasan amat perlu dilakukan pada tanaman ini. Lazimnya pokok lada hendaklah dicantas untuk menggalakkan kadar pembentukan kanopi yang sesuai. Tiga pusingan pemangkasan disyorkan: pangkasan pertama ialah enam bulan selepas menanam untuk pengeluaran tiga pucuk utama. Pangkasan kedua adalah di peringkat 12–14 bulan apabila pokok lada mencapai ketinggian separuh tiang sokongan. Pangkasan terakhir dilakukan apabila pucuk utama mencapai bahagian atas tiang sokongan dan ini adalah seiring dengan masa pengeluaran buah yang pertama. Program pembajaan ang berjadual membolehkan pook tumbuh subur dan mengeluarkan hasil banyak serta berkualiti. Pokok lada memerlukan banyak bekalan nutrien. Penggunaan baja kimia adalah penting untuk pengeluaran hasil yang tinggi. Pengapuran juga perlu dilakukan untuk meningkatkan kandungan zat pemakanan Kalsium (Ca) dan Magnesium (Mg) serta untuk mengawal kemasaman (pH) tanah. Pokok lada muda perlu kerap dibaja dengan baja yang mengandungi nutrien utama Nitrogen (N), Fosforus (P) dan kalium (K). Pokok lada matang pula memerlukan bekalan nutrien dalam kuantiti yang banyak. Keperluan baja, komposisi nutrien dan jadual pembajaan untuk pokok lada yang matang dan belum matang telah dikaji. Gejala kekurangan nutrien dan keracunan juga telah dihuraikan.
Pokok lada lazimnya mengeluarkan hasil yang pertama pada awal musim hujan di tahun kedua penanaman. Pengutipan hasil dilakukan mulai bulan Mac hingga Ogos. Lada hitam dihasilkan dengan menjemur buah lada yang telah matang tetapi belum masak di bawah cahaya matahari. Lada putih diproses dengan merendam buah lada dalam air bersih yang mengalir untuk membuang lapisan isi buah (perikarpa) sebelum dikeringkan di bawah matahari. Untuk penghasilan lada putih, sagaran buah yang mempunyai banyak buah yang hampir masak digunakan. Kawalan serangga dan penyakit perlu dijalankan kerana ada banyak serangga perosak dan penyakit boleh menyebabkan kerosakan pada tanaman lada. Serangga perosak utama yang merosakkan pokok dan bunga lada ialah Kumbang Belalai (Lophobaris piperis) dan Kepinding Lada (Dicronocoris hewetii).serta Kumbang Rokok (Lasioderma serricorne) yang boleh merosakkan biji lada semasa dalam proses penyimpanan. Penyakit yang biasa menyerang lada adalah disebabkan oleh kulat yang membiak dalam keadaan yang panas dan lembap. Penyakit yang perlu diawasi oleh pekebun lada ialah penyakit Reput Akar (Phytophthora capsici), Penyakit Buah Hitam (Colletotrichum capsici, C. piperis dan C. gloeosporioides), Penyakit Aendawan Angin (Corticium salmonicolor), Penyakit Hawar Lembut (Septobasidium sp.), Penyakit Akar Putih (Rigidoporus lignosus) dan Penyakit Kuning (disebabkan oleh gabungan serangan Cacing Nematod Radopholus dan Kulat (Fusarium solani)Cacing nematod (Meloidogyne spp.) menyerang bahagian akar pokok lada. Penyakit daun keriting yang disebabkan oleh virus juga boleh menyerang pokok lada muda dan matang. Kawalan perlindungan tanaman lada daripada serangga perosak dan penyakit dengan menggunakan bahan kimia menyebabkan kos pengeluaran lada meningkat.


Dalam aspek pemasaran lada hitam, pada masa ini dan sejak beberapa belas tahun kebelakangan ini harga lada dipasaran dunia adalah stabil. Kini kira-kira 70 peratus lada keluaran Sarawak dieksport dalam bentuk lada hitam dan selebihnya 30% adalah sebagai lada putih, jeruk lada, lada nilai tambah dan produk hasil lada yang lain. Di kawasan pedalaman selalunnya pekebun kecil akan menjual hasil lada mereka kepada peniaga di kampung yang kemudiannya menjual kepada peniaga di bandar. Di kawasan yang berhampiran bandar, pekebun akan menjual terus kepada peniaga di bandar atau pengeksport. Lembaga Pemasaran Lada Hitam, sebuah Agensi Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1972, bertanggungjawab terhadap maklumat pemasaran, promosi dan pengembangan, penambahbaikan kualiti, perdagangan, peraturan pemasaran melalui pelesenan peniaga dan pengeksport lada serta pembangunan produk lada. Penulis akan bincangkan beberapa masaalah dan kekangan yang perlu diketahui kepada pekebun kecil sedia ada atau pun bakan penanam lada yang baru. Antara masalah utama dan kekangan yang dihadapi oleh pekebun lada adalah seperti peningkatan kos pengurusan serangga perosak dan penyakit, Harga baja dan kos tenaga kerja bertambah dan Harga pasaran eksport yang turun naik. Bagaimana pun kajian oleh saintis tempatan diteruskan terutama bagi menyediakan koleksi koleksi gemplasm dan penilaian peringkat ladang serta pembiak baikan dan pemilihan genotip yang sesuai dengan ciri yang diingini. Kajian mengenai keperluan baja mengikut jenis tanah, genotip dan tanaman penutup bumi juga dijalankan. Perlu juga diujudkan teknologi amalan penanaman untuk sistem pengeluaran lada berkos-rendah serta aktiviti untuk kaedah pengutipan hasil menggunakan tenaga buruh yang kurang. Kajian seperti kaedah kawalan penyakit reput akar Phytophthora yang berkesan juga dilakukan. Dilakukan kuba analisis sisa baki racun perosak bagi lada yang diproses serta penggunaan kaedah bioteknologi untuk pembiakbakaan, penandaan DNA dan diagnostik penyakit lada. Sasaran kawasan tanaman lada akan diperluas kepada 20,000 hektar menjelang 2020. Pada masa ini ada 14,600 hektar tanaman lada yang sedia ada di Sarawak.


Penulis merujuk kepada kenyataan akhbar tempatan dimana kawasan tanaman lada di Sarawak akan bertambah seluas 6,000 hektar dalam tempoh lapan tahun akan datang. Pengeluaran lada Malaysia juga dijangka meningkat 1.9 peratus iaitu 26,500 tan metrik pada tahun 2013 berbanding 26,000 tan metrik pada tahun ini. Langkah yang dijalankan Lembaga Lada Malaysia (LLM) adalah baik kerana mereka akan menumpukan kepada produktiviti dan juga mutu pengeluaran lada. Ini seimbang dengan kehendak negara-negara yang membeli produk lada dari Sarawak. Lada Sarawak setakat ini memang tidak pernah ditolak oleh mana-mana negara pembeli sama ada dari segi pengeluaran, pemprosesan dan pemasarannya. Pematuhan standard dan kawalan mutu menunjukkan produk lada hitam tempatan bersaing dengan negara-negara industri pengeluar lada lain. Pada masa ini pembeli utama lada Malaysia ialah Jepun, Korea, China, Eropah, Australia dan Taiwan. Pada masa ini komponen dari segi sektor dan bantuan akan ditingkatkan kepada golongan petani. Kerajaan akan menyerahkan kepada petani sendiri untuk mengusahakan tanaman lada, mungkin terhad dari segi kemampuan, namun mereka boleh dibantu menerusi program tanaman lada untuk skim baik pulih lada, skim tanaman baharu, 1AZAM dan bantuan ‘one-off’. Pada masa ini harga ladang bagi lada putih krim ialah RM34 sekilogram, lada putih RM25.80 sekilogram dan lada hitam RM16 sekilogram dan harga ini diramalkan agak stabil. Semuga artikel ke 4,137 ini menjadi sumber bacaan ilmu mengenai tanaman lada untuk pembaca blog ini. Wasallam!.

NAMA LADA... HITAM PUTIH JADINYA...
NEGERI SARAWAK...PENGELUAR UTAMA...
3 VARIETI LADA... DITANAM SEMUANYA...
ARTIKEL DITULIS.. RUJUKKAN BERSAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist, 
Projek Tanaman Lada, 
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(21 Muharam 1438H)

Thursday, October 20, 2016

DURIAN BELANDA - 'TEKNIK GEGARAN'

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah-buahan kini merupakan sejenis tanaman buah-buahan yang semakin menarik minat ramai usahawan dan pekebun kecil, Ini kerana harga buah segar diladang sekitar RM7.00 - RM10.00 sekilogram dan harga runcit sekitar RM16.00  - RM20.00 sekilogram. Teh Daun Durian Belanda pula kini telah mendapat pasaran amat baik kerana dipercayai boleh merawat beberapa masaalah kesihatan seperti Kanser, Gout, Darah Tinggi dan beberapa masaalah lain. Dalam pada pengamatan dan pemerhatian penulis, kadar pengeluaran buah durian belanda yang ditanam tanpa apa-apa bantuan proses pendebungaan adalah amat rendah. Ini kerana kematangan bunga betina dengan bunga jantan adalah berbeza masanya dimana ini telah menyebabkan kejayaan pendebunggan rendah secara semulajadi. Bunga betina durian belanda akan mula matang (receptive) sekitar jam 4.00-5.00 petang sedangkan masa matang debunga pada bunga jantan (anthers) adalah bermula dari jam 8.00 - 9.00 malam. Bunga durian belanda yang tidak membuanyai bau, warna kurang menarik dan tiada nektar menyebabkan agen pendebungaan seperti serangga, semut, lebah, burung dan sebagainya kurang tertarik untuk mengunjungi bunga durian belanda dan menjalankan proses pendebungaan. Kadar peratus kejayaan pendebungaan secara semulajadi hanya sekitar 6% sahaja. Teknologi pendebungaan berbantu durian belanda (Assisted pollination) pula dilakukan untuk proses pendebungaan. Kaedah ini walaupun agak rumit prosesnya tetapi laporan kajian menunjukkan cara ini mampu mencapai 40% kejayaan. Bagaimana pun sebenarnya daripada beberapa rujukkan dan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian menunjukkan 'TEKNIK GEGARAN' adalah salah satu cara terbaik untuk proses pendebungaan tanaman durian belanda. Teknik ini berjaa memberikan peratus kejayaan tinggi sehingga 90% dan memberikan kualiti hasil yang berkualiti dan boleh dijual dengan harga berpatutan. Artikel subuh ini saya menulis lagi arikel ke 4,125 dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknik gegaran uang boleh dilakukan oleh pemilik dusun dengan betul dan tepat. 


Durian Belanda merupakan sejenis pokok buah-buahan tropika yang menghadapi masaalah pendebungaan yang rendah sekitar 6% sahaja. Penulis yang telah menulis lebih dari 15 artikel mengenai durian belanda setakat ini merasa ada banyak masaalah didalam proses pendebungaan pokok durian belanda secara komersil. Masaalah utama didalam industri ini secara asasnya adalah prestasi atau kadar peratus kejayaan proses pendebungaan yang amat rendah secara semulajadi oleh serangga, angin dan sebagainya. Terdapat beberapa kes dimana ada petani yang menebang pokok durian belanda mereka yang matang kerana mendakwa pokoknya tidak berbuah pada beberapa tahun dulu yang penulis jumpa. Mereka nyatakan semua amalan agronomi dilakukan dan keadaan pokok subur serta berbunga tetapi buah yang dituai tidak berbaloi. Kejadian ini adalah disebabkan oleh proses pendebungaan secara semulajadi yang tidak berjaya berlaku kerana waktu puncak reseptif bunga betina adalah bermula sekitar jam 4.00 - 5.00 petang sedangkan waktu aktif puncak bagi bunga jantan yang menghasilkan debunga pada malam hari iaitu bermula sekitar jam 8.00 - 9.00 malam. Bunga durian belanda tidak mempunyai bau yang menarik perhatian serangga pendebunga, tiada manisan nektar dan warna yang kurang menarik. Ianya juga mempunyai kelopak yang tertutup menyebabkan sukar untuk menerima debunga lain yang terdapat disekitarnya. Selama ini amat kurang maklumat bagaimana untuk mengoptimakan kaedah pendebungaan durian belanda sehingga beberapa cara pendebungaan dibuat. Antara kaedah mendebungakan pokok durian belanda terkini adalah dengan cara Teknik Pendebungaan Berbantu(Assisted pollination technique) dan Teknik Gegaran menggunakan alat 'Muricata Shaker'. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam"Anim Agro Technology" mengenai inovasi menggunakan Alat Muricata Shaker bagi meningkatkan kejayaan pendebungaan pokok durian belanda sehingga mencapai kejayaan 90% dan ianya amat menguntungkan usahawantani.



Pokok Durian Belanda mempunyai masaalah didalam proses pendebungaan kerana waktu matang diantara bunga betina dengan bunga jantan yang berbeza waktunya. Penulis merujuk kepada hasil kajian oleh Bridg, H. pada tahun 2000 dan beliau berjaya menghasilkan carta kesuburan bunga durian belanda seperti rajah diatas (Sila rujuk carta tersebut). Perkara ini juga disahkan oleh Ithnin (Penyelidik MARDI) dimana didapati bagi pokok durian belanda yang matang waktu kematangan bunga betina adalah bermula pada jam 4.00 - 5.00 petang untuk selama beberapa jam. Bagaimana pun waktu kematangan bunga jantan hanya bermula pada jam 8.00 - 9.00 malam. Perangai pokok durian belanda ini memang unik berbeza dengan beberapa tanaman buah-buahan lain kerana ciri seperti ini yang menyebabkan kadar pendebungaan secara semulajadi kurang berjaya. Kini penulis dapat info dimana waktu disyorkan untuk proses pendebungaan pokok durian belanda adalah diantara jam 8.00 - 10.00 malam (2000 hrs - 22hrs). Waktu ini adalah kerana bunga betina dan bunga jantan durian belanda berada dalam tempoh matang, kelopak bunga belum gugur dan ia dikelaskan dalam 'malam masih muda'. Sebenarnya waktu selepas itu pun masih boleh dilakukan proses pendebungaan tersebut. Selama ini angin yang bertiup pada waktu malam mungkin membantu 'mengegarkan' pokok durian belanda yang matang pada malam hari tetapi berapa kalikah angin kencang bertiup dikebun dalam seminggu atau sebulan?. Hipotesis penulis mendapati buah dibahagian atas pokok (Top area) selalunya bersaiz besar, bentuk penoh, banyak dan berkualiti juga berkait dengan kesan gegaran oleh perkara seperti dibincangkan ini. 


Kini dengan inovasi mencipta alat 'Muricata Shaker' ini diharap industri penanaman durian belanda di Malaysia tidak menjadi isu tidak berbuah atau hanya sedikit buah dihasilkan. Alat ini dicipta untuk membuat GEGARAN pada dahan pokok durian belanda agar gegaran ini akan menghasilkan pendebungaan pada bunga dipokok. Alat ini yang menggunakan logam aluminium stainless steel boleh laras hanya seberat kurang 0.5 kg (Sila lihat foto disebelah). Ia ringan, tahan lasak dan mudah dibawa kemana-mana kebun serta mudah untuk dibuat sendiri. Kos membuatnya juga murah daripada bahan yang boleh dibeli daripada kedai hardware. Komponen alat Muricata Shaker adalah tersiri daripada Galah Aluminium Stainless Steel (RM18.00), Lampu Suluh (RM8.00), Bateri Lampu Suluh 3 biji (RM4.50), Cangkuk Y (RM11.00), Tiub Getah (RM1.50), Hose Clip (RM4.00) dan Wire Tape (RM3.00) menjadikan jumlah kos membuatnya RM50.00 satu unit. Ia dipasang dengan kuat agar alat ini tidak mudah rosak atau terxabut dibahagian cangkuknya.


Cara menggunakan alat ini amat mudah iaitu dengan men'cangkuk'kan kepada bahagian dahan dan ranting pokok durian belanda di malam hari diantara jam 8.00 - 10.00 malam. Pengguna boleh MENARIK atau MENOLAK alat ini bergantung kepada keselesaan dan kedudukan dahan pokok durian belanda. Cangkuk 'Y' dwi fungsi ini juga amat mudah digunakan (Sila lihat foto disebelah). Oleh kerana aktiviti mengegarkan dahan pokok durian belanda ini dilakukan pada malam hari maka diingatkan agar pekerja perlu menggunakan lampu suluh di kepala untuk berjalan dan juga lampu suluh pada galah bagi mencari dahan yang hendak digegarkan. Pokok durian belanda mempunyai kanopi yang rendang dan pilih dahan sesuai atau sebaiknya keseluruhan dahan pokok digegarkan. Jangkamasa gegaran hanya beberapa saat sahaja sehingga pasti bahawa berlaku proses pendebungaan pada setiap bunga yang ada pada pokok tersebut. Kerja yang dilakukan pada waktu malam ini agak pelik kerana ia amat jarang diketahui selama ini. Bagaimana pun penulis ingin membuat peringatan semasa menjalankan kerja ini diwaktu malam kerana kadang-kadang ada bahaya yang boleh menganggu. Antaranya seperti kemungkinan terjumpa dengan haiwan binatang liar, ular pada pokok dan 'gangguan hantu'. Amat kurang pekerja yang mahu membuat kerja ini kalau tidak diberi imbuhan lebih tinggi.


Hasil daripada beberapa pemerhatian yang penulis dapati antara perbandingan diantara beberapa teknik pendebungaan durian belanda amat menakjubkan. Foto disebelah menunjukkan 3 kaedah pendebungaan pokok durian belanda matang. Kaedah pendebungaan semulajadi hanya mencapai purata kejayaan sekitar 6% sahaja (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun keputusan kajian menunjukkan kaedah pendebungaan berbantu (assisted pollination) mampu mencapai peratus kejayaan sehingga 40%. Amat menakjubkan apabila penulis dapati teknik gegaran menggunakan alat Muricata Shaker direkodkan mampu mencapai kejayaan pendebungaan sehingga 90%!. Bentuk buah dan saiz buah yang dihasilkan juga lebih seragam, bersaiz besar dan juga boleh dijual dengan gred A yang lebih mahal harganya. Teknologi ini juga sesuai dilakukan oleh semua penanam durian belanda dengan menggunakan galah buluh bercangkuk, kayu panjang bercabang atau mengegarkan pokok durian belanda dengan kudrat sendiri. apa pun hanya waktu 8.00 - 10.00 malam sahaja ia sesuai dilakukan dan bukannya pada siang hari. Bagi bunga durian belanda yang melekat pada batang pokok atau pangkal dahan memang tidak boleh digegarkan. Teknik sesuai bagi bunga yang begini adalah dengan 'Menjentik Manja' bunga tersebut dengan jari pada awal pagi hari. Ia akan membantu mendebungakan bunga durian belanda yang dapat dicapai. Semuga artikel ini membantu ramai penanam durian belanda untuk lebih berjaya. Wasallam!!!..
RAMAI TANAM...DURIAN BELANDA...
HARGA MAHAL... ITU PENYEBABNYA...
ADA MASAALAH...PROSES DEBUNGA...
TEKNIK GEGARAN.. SELESAI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Durian Belanda Komersil,
Kg Awah, Maran,
Pahang, Malaysia.
(11 Muharam 1438H)
Terimakasih semua yang ucap 'Happy Birthday' kepada saya Semalam.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...