Support My Blog

Showing posts with label KELULUT - TEKNOLOGI TERNAK. Show all posts
Showing posts with label KELULUT - TEKNOLOGI TERNAK. Show all posts

Tuesday, September 30, 2014

KELULUT - TEKNOLOGI TERNAK (Part 2)

KELULUT atau Lebah Kelulut merupakan serangga kecil yang ujud didalam kawasan tumbuh-tumbuhan semulajadi di negara kita. Serangga ini dahulu hanya dibiarkan sahaja membuat sarang dicelah-celah batang kayu, di rumah kayu, dicelah-celah batu dan tidak dipandang sebagai satu sumber ekonomi. Kini telah ramai dikalangan usahawan kita yang mula berminat untuk menternak kelulut kerana potensi pendapatan yang boleh dijana adalah baik. Penulis blog ini mendapat kini terdapat lebih dari 35 spesis kelulut terdapat di Malaysia antaranya Trigona mellina, Trigona atripes, Trigona terminata, Trigona itama, Trigona collina, Trigona apicalis, Trigona laeviceps, Trigona thoracica dan banyak lagi. Bagaimana pun hanya dua spesis kelulut yang paling berpotensi untuk diternak secara komersil iaitu Trigona thoracica (Berbadan agak besar sedikit dan sangat aktif) dan juga Trigona itama (agak kecil sedikit dan aktif). Daripada pemantauan penulis dibeberapa projek ternakan lebah kelulut di Pokok Sena, Kedah, di Kelantan dan di Negeri Terengganu mendapati bahawa jenis spesis T. thoracica memberikan hasil lebih cepat berbanding dengan jenis spesis T. itama walau pun pada akhirnya kedua-dua spesis ini memberikan jumlah hasil yang hampir sama dari segi ekonomik. Spesis T. itama ini didapati masih aktif mencari makanan walau pun pada musim hujan berbanding dengan spesis satu lagi. Hanya mereka yang berkursus mengenai lebah keluut yang diadakan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI serta syarikat swasta mungkin akan mengenali perbezaan kedua-dua spesis kelulut tersebut. Mungkin masih ada dikalangan kita kurang faham bahawa serangga kelulut merupakan jenis lebah yang tidak menyengat seperti lebah madu jenis Apis cerana (Lebah Keran) dan Apis mellifera (Lebah impot). Walau pun jumlah madu lebah kelulut yang dihasilkan agak sedikit berbanding dengan lebah madu ia masih menguntungkan kerana nilai madu kelulut lebih mahal menjadikan ia adalah nilai sumber ekonomi baru yang boleh dibangunkan di Malaysia. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan ilmu mengenai ternakan kelulut bagi rujukan anda. 


Sebenarnya apa usahawan perlu tahu sebelum menternak Lebah Kelulut?. Pada saya beberpa tips penting sebelum mulakan penternakan kelulut perlu dipauhi. Pertama sekali adalah mengkaji lokasi dimana kita hendak menternak kelulut, Semestinya usahawan baru perlu untuk mendapatkan sebanyak mana ilmu berkaitan kelulut melalui kursus, lawatan belajar atau membaca info tambahan daripada internet. Pastikan anda meluangkan masa menghadiri kursus anjuran Jabatan Pertanian, MARDI atau pihak swasta kelulut yang berwibawa. Setelah kursus anda perlu menentukan sumber koloni bagi mulakan projek sama ada mencari sendiri atau beli dari pembekal yang ada jaminan. Pastikan anda tahu jenis koloni kelulut yang sesuai dibela (T. thoracica atau T. itama). Antara faktur penentu dalam kejayaan penternakan kelulut adalah menentukan pemasaran produk kelulut sama ada ujud atau tidak berhampiran anda. Selalu berkunjung ke tempat ladang ternakan pengusaha sediada dan berhubung dengan penternak kelulut yang berjaya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara hands-on. Kini telah ramai usahawan kelulut yang menternak secara kecil-kecilan dikawasan rumah dan juga dikawasan hutan akasia atau hutan gelam. Kalau anda buka internet, banyak artikel dan informasi mengenai teknologi menternak kelulut untuk dijadikan rujukan. 

Terdapat dua Teknologi Pemeliharaan Lebah Kelulut iaitu menggunakan TEKNIK TOPPING dan TEKNIK KOTAK. Apa yang kini lazim dilakukan oleh ramai usahawan muda dan baru adalah Teknik Topping adalah dimana kaedah ini menggunakan bahan batang pokok kayu yang mengandungi koloni lebah kelulut dan akan diletakan 'kotak madu' dibahagian diatasnya. Batang Kayu yang mempunyai lubang ditengahnya dan mengandungi koloni kelulut akan disambung dengan Kotak Madu dimana disambung dengan lubang bulat ditengahnya. Lubang seluas 2 inci ditengah-tengah kotak membolehkan kelulut menyimpan madu dalam kantung yang dibina. Teknik ini lebih sesuai dilakukan untuk pengusaha baru kerana risiko kelulut lari rendah kerana koloni utama masih tinggal dalam batang kayu sama seperti keadaan semulajadinya dihabitat asal. Bagaimana pun terdapat juga beberapa kelemahan teknik ini dimana koloni kelulut sukar untuk diubah ke beberapa tempat lain yang banyak sumber makanan. Teknik ini juga agak sukar untuk membuat proses pemecahan koloni. Pemecahan koloni akan dilakukan dengan teknik membelah batang kayu. Lazimnya jangkamasa madu untuk naik ke kotak lambat sedikit dengan teknik kotak dan teknik ini boleh menyebabkan sarang ada risiko diserang anai-anai.

Pilihan kedua dan moden adalah cara Teknik Kotak dimana ternakan kelulut menggunakan Kotak Kelulut yang dibina khas untuknya (Sila lihat foto sebelah). Cara ini melibatkan teknik pemindahan koloni ke dalam kotak perlu dilakukan dengan berhati-hati agar proses itu memudahkan kita dan kemasukkan kelulut. Perkara yang penting dalam proses ini ialah kedudukan corong atau muncung sarang lebah kelulut. Ia mempunyai sejenis bauan yang akan menjadi tanda bahawa sarang itu didiami oleh spesis tersebut sahaja.  Lazimnya koloni lebah kelulut dalam batang kayu perlu dibelah untuk mengeluarkan telurnya. Teknik membelah koloni perlu dilakukan dengan berhati-hati agar mesin memotong tidak terkena telur dan ratu. Jika ratu kelulut tersebut mati maka lazimnya semua koloni akan mati akhirnya dan koloni akan membuat ratu baharu jika ada telur ratu. Cara ini mudah untuk proses pemecahan koloni tetapi memerlukan kemahiran dan kepakaran yang hebat.

Menternak Lebah Kelulut adalah cara terbaik sebagai sumber pendapatan sampingan. Peternakan lebah kelulut memberi hasil yang lumayan sama seperti lebah madu biasa kalau diusahakan dengan betul mengikut pakej amalan teknologi yang sesuai. Lebah kelulut tidak menyegat berbanding dengan lebah madu. Kajian penulis mendapati permintaan madu kelulut semakin tinggi kerana pengguna sedar tentang khasiat yang ada padanya sedangkan pengeluaran masih lagi amat kurang. Kalau dahulu madu kelulut diambil secara liar dan kini telah muncul cara baru untuk menternak secara komersial serta memudahkan pengambilan madu. Beberapa jenis produk dari lebah kelulut adalah seperti Madu kelulut, Propolis dan Pollen atau bee bread. Dari segi ekonomi yang penulis dapat daripada pakar kelulut dan pengusaha sedia ada mendapati lebah kelulut dapat memberi sumber pendapatan yang lumayan kepada penternaknya. Seseorang usahawan yang memiliki 100 koloni lebah kelulut akan dapat 4 kali tuaian madu setahun. Anggaran hasil tuaian sekitar antara 2-5kg madu, 1-2kg bee bread dan 400-800g propolis dari setiap koloni setahun. Dalam satu tahun anggaran pendapatan penternak kelulut yang aktif mampu menjana sekitar RM 650-RM700 untuk 1 koloni dan kalau anda mempunyai sebanyak100 koloni maka pendapatan dianggarkan sebanyak RM65,000 - RM70,000 setahun. Kini harga pasaran madu kelulut berada RM 80 - RM240 per kg, harga bagi Bee bread RM75 per kg dan harga bagi propolis RM180 /kg. Kadar harga ini berubah mengikut faktur pemintaan dan bekalan dan musim.

Apabila membaca artikel ini telah timbul minat untuk mulakan menternak kelulut sendiri dikawasan rumah. Bagaimana untuk memulakan bagi usahawan baru sebaiknya bermula dengan10 koloni dahulu. Tujuan ini adalah untuk mereka mempelajari dan mengenal dengan lebih dekat mengenai pengurusan lebah kelulut sebelum membuat pelaburan yang besar bagi mengelak kerugian yang lebih besar. Modal yang perlu adalah kos untuk membeli Koloni (Trigona itama) iaitu sekitar RM 250-RM800 (dalam batang kayu) dan pembelian kotak kelulut sebanyak RM 80 (1 kotak). Lain-lain los sebanyak RM 1,000 diperlukan untuk menyediakan tanaman untuk bahan makanan, peralatan, penyediaan tapak dan sebagainya. Jumlah kos asas untuk mulakan penternakan kelulut adalah sebanyak RM 4,300 - RM9,800. Bagaimana pun masa perbelanjaan sebenar hanya berlaku apabila ada pembekal bersedia membekalkan koloni kelulut yang sememangnya agak sukar mendapatkan yang berkualiti dan terjamin. Walau pun spesis kelulut banyak jenis, antara jenis spesis yang disyorkan adalah Trigona itama, Trigona thoracica, Trigona laeviceps dan juga Trigona terminata. Kawasan yang sesuai menternak kelulut seperti di ladang buahan seperti jenis dusun belimbing dan mangga dan kawasan hutan akasia atau Hutan gelam. Bagaimana untuk mereka yang tinggal di kawasan kampung dusun buahan juga sesuai untuk menternak kelulut. Penulis dapati hasil madu bergantung kepada sumber makanan. Sekiranya terhad digalakan menanam pokok bunga atau tumbuhan yang disukai oleh lebah kelulut seperti Honolulu creepers, rumput israel, bunga pukul lapan dan banyak jenis lagi. Wasallam!.


POTENSI...KELULUT DIPELIHARA...
JENISNYA,..THORACICA KE ITAMA...
SEDIA KOTAK... TOPPING JUGA...
CARI ILMU... MELAWAT MEREKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 104, Hotel Air Hitam,
Lawat Pusat Pertanian Air Hitam,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(4 Zulhijjah 1435H)  

Monday, September 29, 2014

KELULUT - TEKNOLOGI TERNAK (Part 1)

KELULUT atau Lebah Kelulut merupakan serangga kecil yang ujud didalam kawasan tumbuh-tumbuhan semulajadi di negara kita. Serangga ini dahulu hanya dibiarkan sahaja membuat sarang dicelah-celah batang kayu, di rumah dan dicelah-celah batu dan tidak dipandang sebagai satu sumber ekonomi. Kini telah ramai dikalangan usahawan kita yang mula berminat untuk menternak kelulut kerana potensi pendapatan yang boleh dijana. Penulis mendapat kini terdapat lebih dari 35 spesis kelulut terdapat di Malaysia antaranya Trigona mellina, Trigona atripes, Trigona terminata, Trigona itama, Trigona collina, Trigona apicalis, Trigona laeviceps, Trigona thoracica dan banyak lagi. Bagaimana pun hanya dua spesis yang berpotensi untuk diternak secara komersil iaitu Trigona thoracica (Berbadan agak besar sedikit dan sangat aktif) dan juga Trigona itama (agak kecil sedikit dan aktif). Daripada pemantauan penulis dibeberapa projek ternakan lebah kelulut di Pokok Sena, Kedah, di Kelantan dan di Negeri Terengganu mendapati bahawa spesis T. thoracica memberikan hasil lebih cepat berbanding dengan T. itama walau pun pada akhirnya kedua-dua spesis ini memberikan jumlah hasil yang hampir sama dari segi ekonomik. Spesis T. itama ini didapati masih aktif mencari makanan walau pun pada musim hujan berbanding dengan spesis satu lagi. Hanya mereka yang berkursus mengenai lebah keluut yang diadakan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI serta syarikat swasta mungkin akan mengenali perbezaan kedua-dua spesis kelulut tersebut. Mungkin masih ada dikalangan kita kurang faham bahawa kelulut merupakan jenis lebah yang tidak menyengat seperti lebah madu jenis Apis cerana (Lebah Keran) dan Apis mellifera (Lebah impot). Walau pun jumlah madu lebah kelulut yang dihasilkan agak sedikit berbanding dengan lebah madu, oleh kerana nilai madu kelulut lebih mahal menjadikan ia adalah nilai sumber ekonomi baru yang boleh dibangunkan di Malaysia. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan ilmu mengenai ternakan kelulut bagi rujukan anda. 


Selain daripada hasil madu kelulut, penternakan lebah kelulut juga dapat meningkatkan proses pendebungaan, menghasilkan propolis, resin dan juga baik untuk program agro- pelancongan. Serangga kelulut juga tidak mempunyai banyak masaalah serangan penyakit dan perosak seperti yang sering berlaku kepada lebah madu keran atau lebah madu impot. Bagaimana pun masa ini harga membeli koloni kelulut aalah tinggi disebabkan oleh permintaan yang meningkat dan bekalan koloni baru yang sedikit. Kini belum ramai usahawan yang mempunyai teknologi dan juga kepakaran untuk membiakkan kelulut. Ini berbeza dengan teknik membiakan ratu dan koloni Lebah Madu yang membolehkan proses untuk menyediakan ratu lebah. Pada masa ini teknik memerangkap ratu dan koloni kelulut masih menggunakan perangkap kayu berlubang secara tradisional. Bagaimana pun seorang saintis dan usahawan di Kelantan telah mencipta sejenis Kotak Kelulut yang dipanggil sebagai 'MUSTAFA HIVE' yang mampu memecahkan koloni kelulut dengan baik dan cekap. 

Penulis mendapati cara mengecam jenis lebah kelulut memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus kerana mungkin mereka yang tidak kenal akan menyangkakan ia sebagai jenis lalat atau pun semut terbang atau pun lalat buah. Kelulut dalam keadaan semulajadi sering membina sarang dengan laluan pintu lubang masuk kesarangnya yang kecil sahaja dicelah-celah lubang kayu atau batu (Sila lihat foto disebelah)Sarangnya diperbuat daripada lilin, resin dan sejenis gam dan ada juga gunakan lumpur tanah untuk struktur binaan sarang. Walau pun pintunya kecil tetapi koloni kelulut yang produktif akan membuat banyak lapisan atau kelompok sarang didalamnya. Lazimnya koloni kelulut yang baik mempunyai lebih dari 9 lapisan sarang. Bagi mengenali spesis kelulut, kita perlu melihat beberapa ciri marfologi kerana kelulut mempunyai pelbagai warna mengikut spesis. Bagi spesis T. Itama ia adalah berwarna hitam dimana saiznya lebih kecil daripada lebah madu iaitu hanya sebesar lalat malahan ia adalah lebih kecil (Sila lihat foto dibawah). Kelulut juga mempunyai rekabentuk struktur sarang yang berlainan bagi setiap spesis dimana dalam pemerhatian penulis mendapati ada spesis kelulut suka membuat sarang di dinding rumah, siling, simen, batang pokok dan dalam tanah. Kalau diteliti lagi terdapat perbezaan agak nyata mengenai struktur pintu masuk juga berlainan mengikut spesis.

Madu kelulut warnanya lebih jernih berbanding madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam (Sila lihat foto sebelah). Madunya mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan. Penulis dapati ia seakan sama sama seperti lebah madu dimana kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi. Bagaimana pun lazimnya madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah. Madu kelulut juga berharga lebih mahal berbanding dengan madu lebah biasa kerana kurang dipasaran dan sukar untuk mendapatkan jumlah yang banyak. Kini walau pun kelulut telah menjadi kesukaan ramai peminat, pengeluaran dan juga penghasilan madu kelulut masih sedikit dan sukar diperolehi dipasaran tempatan. Dari segi khasiat pula madu kelulut termasuk jenis madu yang mampu meningkatkan metabolisma badan, menambah tenaga batin, menjaga kesihatan, menguatkan tenaga wanita yang baru bersalin dan merawat pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman. Hasil penyelidikan saintis mendapati madu kelulut memberi nilai tambah dimana ia disahkan mengandungi bahan anti-oksidan yang tinggi dan ia amat baik untuk kesihatan.

Persoalannya sekarang adalah apakah menternak Lebah Kelulut ini mempunyai potensi?. Pada masa ini permintaan terhadap madu kelulut kini semakin meningkat kerana kesedaran pengguna tentang khasiatnya berbanding dengan madu lebah biasa. Khasiatnya dapat mengubati pelbagai penyakit berbahaya. Lebah kelulut tidak memerlukan ruang yang cukup luas untuk aktiviti memeliharanya. Madu lebah kelulut juga amat berkhasiat berbanding madu lebah biasa dan boleh diternak ditepi rumah, kebun sayuran, kawasan dusun buahan dan dimana sahaja yang mempunyai sumber makan. Hasil dari lebah kelulut adalah madu, propolis dan bee bread. Teknik memelihara juga agak mudah dijaga dan kelulut memang tidak menyengat seperti lebah Apis cerana dan Apis dorsata. Ia boleh hidup lama sehingga beberapa tahun sekiranya tidak diancam oleh musuhnya dan sentiasa mempunyai sumber makanan yang mencukupi. Pengusaha hanya perlu menyediakan tempat tinggal yang sesuai (kotak) untuk memudahkan pengumpulan madu dibahagian atas koloni. Sebagai perbndingan menternak kelulut tidak perlu sediakan makanan dan minuman spt ternakan lembu, kambing, ayam tetapi kita perlu membuat pemeriksaan berjadual sahaja. Semuga anda mendapat info teknologi dari blog "Anim Agro Technology" dan ianya berguna. Wasallam!...


TERNAK KELULUT...BAGAIMANA...
TENTUKAN SPESIS...YANG MANA...
MADU MANIS... MASAM PUN RASA...
BERKHASIAT... MAHAL HARGANYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiari Nasional Timur,
Pusat Pertanian Sekayu,
Terengganu,
Malaysia.
(3 Zulhijjah 1435H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...