KOPI (Cofea spp) merupakan tanaman minuman yang ditanam daripada keluarga Rubiaceae yang ditanam secara tunggal atau selingan. Tanaman kopi didunia adalah seluas 11.12 juta hektar dengan Brazil merupakan negara penanam terluas didunia iaitu 2.15 juta hektar (19%) diikuti dengan Vietnam (1.057 juta hektar ) dan Colombia (0.88 juta hektar). Malaysia hanya mencatitkan keluasan 3,764 hektar tanaman kopi dengan pengeluaran sebanyak 14,739 mt bernilai 11.79 juta pada tahun 2013. Kawasan penanaman kopi utama di Malaysia adalah di Sabah iaitu seluas 2,220 hektar (59%) diikuti dengan Johor seluas 1,116 hektar (30%), Sarawak (193 hektar) dan Selangor (64 ha). Selain itu terdapat seluas 0.4 hektar ditanam di Kedah (Jenis Robusta) dan hanya 0.4 hektar di Pahang pada tahun 2013 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia). Cantasan pada tanaman kopi merupakan aktiviti penting kerana jika tidak dibuat cantasan maka pokok kopi akan tumbuh meliar, tinggi dan kurang cergas serta kurang mengeluarkan hasil. Terdapat dua jenis cantasan pada pokok kopi iaitu jenis CANTASAN LATIHAN dan kedua adalah CANTASAN KAWALAN. Cantasan Latihan atau pun sering juga dipanggil cantasan pembentukkan adalah pemangkasan berbatang tunggal dan pemangkasan berbilang batang. Pemangkasan Kawalan adalah cantasan keatas cabang-cabang. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknik cantasan tanaman kopi berdasarkan risalah Pertanian Bil 44b dan pengalaman penulis sendiri yang pernah memberikan kepakaran teknikal mengenai penanaman kopi di Johor.
Cantasan dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan pokok kopi yang cergas dan bagi mengawal penyakit serta serangga perosak menyerang. Ia juga menggalakan peredaran udara dan pancaran cahaya matahari yang mencukupi kepada pokok kopi. Cantasan yang dilakukan dengan betul akan mengekalkan perseimbangan antara pengeluaran daun dan buah kerana penulis dapati jika banyak daun makan kesannya pengeluaran buah akan berkurangan. Ini saya sering beritahu penanam kopi pastikan pokok kopi mereka tidak 'Gila Daun' akibat pembajaan dan cantasan yang tidak betul. Cantasan juga dikaitkan dengan menahan pokok daripada pengeluaran buah kopi yang berlebihan yang akan menyebabkan berlaku kesan Mati Rosot (Dieback) pada tanaman kopi. Teknik cantasan yang betul akan menyenangkan aktiviti kerja penyelenggaraan pokok kopi seperti merumput, membaja, menyembur racun dan mengutip hasil. Alat cantasan yang digunakan adalah seperti gergaji cantasan (pruning saw) atau Gunting Cantasan (Scateurs) bergantung kepada saiz batang atau dahan yang hendak dipotong. Sebaiknya gunakan cat disapukan selepas melakukan cantasan.
Cantasan Latihan perlu dilakukan dengan memotong batang utama pokok kopi Liberica.Pokok kopi dibiarkan tumbuh sebatang sahaja dan tunas-tunas air yang menjadi batang hendaklah dibuang. Setelah mencapi ketinggian 2.1 - 2.4 meter (7-8 kaki) maka cantas pucuk banatng tunggal pada keinggian 1.5 - 1.8 meter (sekitar 5-6 kaki) dan kekalkan ketinggiannya. Buang semua dahan-dahan rendah daripada 0.6 meter (2 kaki) daripada paras tanah kerana dahan ini akan menyusahkan kerja penyelenggaraan dan memetik hasil. Dahan bawah ini tidak mengeluarkan hasil dan seterusnya adalah membuang tunas-tunas air yang tmbuh pada batang tunggal. Bagaimana pun untuk jenis kopi Robusta (ada diutara semenanjung) teknik cantasan berbeza dimana Cantasan Berbilang sesuai dilakukan. Dalam sistem ini lazimnya dua atau tiga batang digalakkan tumbuh. Cantasan dilakukan diperingkat tapak semaian bermula diatas daun keempat (lebihkurang 40 cm dari paras tanah) dan apabila pokok telah mencapai ketinggian 6-8 pasang daun maka dua tunas dibiarkan tumbuh. Tunas-tunas air lain perlu dibuang. Dalam keadaan yang tertentu penulis dapati jika terdapat hanya satu tunas yang segar maka pemangkasan boleh dibuat keatas batang ini apabila ia meningkat ketinggian lebih 80 cm dan tunas asasl yang bantut itu dibuang.
Cantasan Kawalan dilakukan keatas cabang yang dibuat selalu. Cantasan ini adalah sering membuang dahan-dahan dan ranting yang kurang cergas atau dahan mati serta yang tidak produktif. Cantas juga dahan-dahan yang terlalu panjang dan berdekatan dengan tanah. Dahan dan ranting yang tumbuh tegak keatas dan dahan yang menuju kebahagian dalam pokok juga perlu dibuang. Ini kerana dahan menghala kedalam bahagian pokok akan menyebabkan peredaran udara kurang berlaku dan ia kuat makan baja dan tidak berbuah. Pada setiap buku cabang utama penulis syorkan agar tinggalkan satu cabang kedua. Cabang sekunder ini dicantas selang satu atau dua buku supaya membentuk rangka popkok yang sesuai untuk memungut hasil. Cantasan secara ini baik dilakukan apabila pokok telah mencapai umur 3-4 tahun selepas pokok kopi mengeluarkan hasil. Pemangkasan secara ini baik keatas kopi jenis liberica. Pemangkasan cabang-cabang tua yang tidak produktif lagi perlu dibuat pada buku 2-3 untuk mengantikan dengan dahan sekunder yang teguh. Pemangkasan ini sesuai untuk jenis kopi robusta. Mencantas adalah amalan agronomi yang penting dalam menguruskan tanaman kopi. Diharap artikel ini memberi kefahaman aplikasi teknologi cantasan tanaman kopi kepada pembaca semua. Wasallam!.
CANTASAN KOPI... IA DILAKUKAN...
BENTUK POKOK..DISEIMBANGKAN...
GUNA GERGAJI.. PELBAGAI ALATAN...
POKOK SIHAT ... HASIK DINAIKAN..
By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Kebun Kopi Hj Harun,
Kg Tampok Laut, Pontian,
Johor, Malaysia.
(16 Safar 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.