Support My Blog

Monday, December 17, 2012

DURIAN - CANTUMAN MATATUNAS

CANTUMAN MATA TUNAS DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan satu kaedah pembiakan tampang bagi tanaman durian yang mudah dan mampu mencapai kejayaan antara 80 - 90%. Teknik ini merupakan pembiakan asexual yang menentukan anakbenih varieti atau klon durian yang dihasilkan adalah tulin (true- to - type). Bagaimana pun kejayaan dalam membuat cantuman matatunas adalah bergantung kepada kemahiran pencantum (Budders) dan jenis tanaman yang dicantum. Lazimnya cantuman mata tunas boleh dijalankan terhadap beberapa jenis pokok selain daripada durian seperti pokok rambutan (Nepheliun lappaceum), Mangga (Mangifera indica), Belimbing (Avverhoa carambola), Nangka (Artocarpus heterophyllus), Cempedak (Artocarpus cempeden) dan lain-lain jenis buah-buahan. Pembiakan cantuman mata tunas durian dilakukan bagi memindahkan mata tunas durian dari klon atau varieti terpilih (D24, D197, D2 dan sebagainya) kepada pokok penanti yang terpilih. Artikel petang sabtu ini saya menulis satu artikel dalam 'Anim  Agro Technology' mengenai teknik cantuman mata tunas untuk pokok durian yang diadaptasi dari Buletin Teknikal Jabatan Pertanian untuk bacaan kita.


Paling awal kita hendak membuat cantuman mata tunas adalah penyediaan peralatan (macam doktor bedah juga - perlu ada peralatan khusus). Antara alat-alat untuk mencantum adalah seperti Pisau Mencantum (Budding knife), Sekateur (Scateurs), Pita cantuman (Budding tape), Label tanaman (Plant label), Mata Tunas dari pokok induk terpilih (Scion from selected variety) dan Pokok Penanti (Rootstock). Alat-alat ini perlu disediakan dan dibawa ketapak membuat aktiviti mencantum anak pokok durian dalam keadaan bersih, mencukupi dan sempurna. Anak pokok penanti durian disediakan dahulu dimana hanya anakpokok penanti berumur 6 bulan sesuai untuk dibuat cantuman. Seeloknya pilih pokok penanti yang ukurlilit batangnya sekitar 3 - 4 cm. Pokok penanti diperiksa agar ianya dari pokok yang sihat, subur, tiada cacat fizikal dan dalam polibeg yang sesuai. Pastikan pokok tersebut dibaja 1 bulan lebih awal sebelum kerja-kerja mencantum dilakukan. Perkara membaja ini sangat penting untuk mempastikan kejayaan dam aktiviti mencantum benih durian.

LANGKAH-LANGKAH MENCANTUM
MATA TUNAS DURIAN


1. Kelar melintang 1/3 lilitan batang anak pokok penanti. Kopek kulit keluar daripada batang bermula dari kelaran lintang menghala kebawah menggunakan pisau cantuman.


2. Pilih mata tunas dari pokok induk durian terpilih mengikut keperluan anak benih yang hendak dihasilkan. Pastikan ambil scion dari pokok yang sihat dan mencukupi bilangannya.  Kelar memanjang mata tunas memanjang kiri kekanan untuk mendapatkan matatunas (scion).


3. Mata tunas yang akan kelihatan dari disebelah dalam kulit mata tunas. Pastikan mata tunas tudak cacat atau tertinggal pada kayu ranting apabila lapisan kayu dikeluarkan dari mata tunas. Potong bahagian hujong mata tunas agar rata.


4. Letakkan mata tunas durian kepada bahagian tingkap  pada pokok penanti dari langkah (1). Potong bahagian kulit tetingkap pokok penanti sedikit kebawah dari mata tunas.


5. Apabila kedudukan mata tunas sudah 'ngam' diletak pada tingkap, maka kita perlu balut dengan menggunakan pita cantuman dengan kemas. Balutan dimulakan daripada bahagian bawah ke atas dimana ini mengelakkan air mesuk jika dibalut terbalik ketika siraman dijalankan. 


6. Pastikan pita cantuman tidak menutup mata tunas kerana kita mahu tunas durian tumbuh keluar kelak. Matikan pita cantuman setelah membalut 3 cm hingga 4 cm.


7. Pita cantuman akan dibuka selepas 3-4 mingga didalam nurseri. Kalau kita dapati kulit scion menjadi hijau menunjukkan ia berjaya dan sebaliknya. Potong batang pokok penanti anggaran 15 cm dari paras cantuman selepas 7 hari. Ini akan mengurangkan pertumbuhan pucuk pada pokok penanti sebaliknya menggalakan tunas baru tumbuh pada mata tunas cantuman.


8. Pemerhatian saya di Stesyen Pertanian yang mengeluarkan beribu-ribu anak pokok durian cantuman mata tunas durian mendapati selepas 8 -  10 bulan proses cantuman, anak pokok tersebut sedia untuk ditanam diladang.  Pada masa ini terdapat antara 10 -12 helai daun dengan ketinggian lebih dari 30 cm.


Diantara kelebihan teknik cantuman mata tunas adalah kerana cara ini dapat menghasilkan varieti atau klon durian yang mempunyai maklumat genetik yang sama seperti pokok induk (true- to - type seedlings). Ini berbeza dengan jika tanam terus dari biji durian yang diambil dari buah kerana bunga durian adalah heterozygous dimana biji yang ditanam tidak menyerupai induk akibat pendebungaan bersilang (cross pollination) dari beberapa varieti berlainan. Kaedah ini mampu menghasilkan anak benih klon yang berkualiti dengan cepat, kuantiti yang banyak dan mudah diuruskan dalam nurseri. Pengurusan tanaman didalam nurseri juga agak mudah kerana keseragaman pertumbuhan dan baka yang digunakan. Kini banyak nurseri swasta telah mengkomersilkan aktiviti mencantum anak benih durian varieti terpilih seperti Varieti Raja Kunyit / Musang King (D197), Varieti Bukit Merah (D24) dan banyak lagi varieti pilihan ramai.


Anak benih durian klon.

MENCANTUM DURIAN... ADA TEKNIKNYA...
POKOK PENANTI ... 6 BULAN UMURNYA...
MATA TUNAS DURIAN... BAIK KUALITINYA...
LEPAS 8 - 10 BULAN... KELADANG DITANAMNYA...

By,
M Anem
Pusat Pertanian Serdang,
Selangor, Malaysia.
(26 Muharram 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...