Kini produk daripada gula melaka sudah dipelbagaikan persembahannya seperti mana laporan media mengenai berita 'Keunikan gula melaka peroi' dari Negeri Johor. Memang jika sekali pandang lazimnya gula Melaka yang dihasilkan perusahaan industri kecil sederhana (IKS) iaitu Ayizah Nur Enterprise ini seperti yang kebanyakan terdapat di pasaran (Sila lihat foto disebelah). Namun begitu tidak ramai sedar akan kelebihan gula Melaka peroi yang diusahakannya di lokasi bengkel pemprosesan diusahakan mereka yang mengeluarkan Gula Melaka Peroi. Beliau sudah mempunyai ‘formula’ mencipta resipi gula Melaka yang dibangunkan bersama suaminya hampir 10 tahun. Mereka memproses setiap hari sebanyak 250 kilogram (kg) gula Melaka peroi menggunakan air nira kelapa segar dan kemudian menjadikan produk yang dihasilkan menarik perhatian. Penggunaan gula Melaka bukan sahaja dalam masakan atau kuih muih tetapi ia juga boleh dijadikan sebagai penyedap rasa bagi minuman. Selain kualiti gula Melaka peroi berlainan dimana keunikan produk ini yang hancur atau peroi juga memudahkan penggunaannya tanpa perlu diketuk atau hiris seperti gula Melaka lain di pasaran. Kini dengan cara menggunakan mesin mempastikan kualiti gula Melaka terjamin dimana air nira kelapa akan dihimpun seawal pukul 6 pagi setiap hari dan proses memasak gula dijalankan selama 45 minit. Pada permulaan perniagaan dulu gula ini dimasak secara manual dan kini dengan adanya teknologi mesin yang canggih, proses penghasilan gula Melaka peroi lebih cepat. Dalam sehari, proses memasak dilakukan sebanyak 10 kali untuk menghasilkan 250 kilogram gula Melaka dan menjelang musim perayaan, ia terpaksa digandakan untuk memenuhi permintaan pasaran dari seluruh Malaysia. Pensijilan Halal diperoleh melalui program latihan anjuran Unit Pembangunan Usahawan, Amanah Ikhtiar Malaysia. Di samping itu juga, pelbagai kursus, bengkel dan latihan anjuran AIM telah disertai bagi meningkatkan ilmu pengetahuan didalam bidang keusahawanan. Menerusi pengalamannya sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), katanya, pinjaman dilakukan membolehkan gula Melaka diusahakan itu melalui kaedah pembaharuan pembungkusan produk dan sekali gus adalah pembiayaan AIM digunakan untuk membesarkan ruang premis perniagaan. Pembungkusan produk memainkan peranan penting dan ia perlu menarik tumpuan pengguna. Apa pun pinjaman diberikan AIM sejak 10 tahun lalu membolehkan dia melakukan inovasi pada gula Melaka yang diusahakan selain dijadikan modal pusingan di waktu mencabar.
Kuih Keria Gula Melaka kini sudah menjadi viral di Malaysia apabila lebih ramai penjual mejajanya di gerai, pasat tani, pasar malam dan juga kompleks membeli belah. Penulis blog juga mendapati resepi membuat kuih ini mudah dicari didalam internet. Lazimnya ada beberapa resepi yang sedikit berlainan untuk produk yang juga berbeza. Bagi artikel kali ini dipaparkan resepi mudah dengan gunakan bahan iaitu 500 gram ubi keledek, cawan tepung gandum, 1 sudu besar tepung beras, 1 1/2 sudu kecil soda bikarbonat, 2 keping Gula melaka, 1 sudu gula pasir dan secawan air. Cara-cara membuatnya dengan merebus ubi keledek iaitu sehingga betul-betul empuk dan ditoskan ubi keledek tersebut sehingga air yang rebusan pada ubi keledek itu tertinggal seminima yang mungkin pada ubi keledek. Seterusnya erlu dilenyek ubi keledek sehingga tiada ketulan dan kemudian campurkan ubi keledek yang telah dilenyek tadi dengan tepung gandum, tepung beras dan soda bikarbonat dan digaulkan hingga sebati menjadi doh keria. Bulat-bulatkan doh keria dan bentukkan menjadi bentuk “O” dan kemudian digoreng doh keria yang telah dibentuk kemudian toskan untuk hilangkan minyak. Campur dan cairkan gula melaka, gula pasir dan air sehingga mendidih dan pekat. Masukkan keria yang telah digoreng tadi dan gaulkan sehinga sebati Toskan gula berlebihan dengan penapis dan ia sudah siap untuk dihodang atau dijual. Di Bandar Baru UDA, Johor Bahru (Berhampiran dengan tempat tinggal penulis blog dulu) ada penjuak mampu menjual sehingga 5,000 biji kuih keria gula Melaka yang dijual di gerai tepi Jalan Mahsuri. Pengusahanya yang tidak mahu menyebut namanya tidak menduga kuih warisan yang disaluti dengan cairan keras gula Melaka itu mendapat sambutan menggalakkan pelanggan pelbagai usia dan kaum. Idea membuka perniagaan secara kecil-kecilan timbul selepas mereka menikmati kemanisan juadah kuih tradisional tersebut di gerai milik rakan yang juga pengasas produk makanan. Dilaporkan dimana kuih keria gula Melaka itu dipasarkan pada harga RM9.50 untuk 10 biji, RM15.20 (16 biji) dan RM19 (20 biji) dimana penulis blog memang sering menikmatinya diwaktu petang.
Berlainan pula dengan kehebatan gula melaka didalam maasakan Ikan Kerapu Celup Tepung Masak 10 Rasa. Penulis blog selalunya pesan Ikan Siakap 3 Rasa apabila makan di restoren Ala-Thai saja. Dilaporkan gabungan gula melaka, air asam dan bahan lain menjadi kesukaan pelanggan yang makan di sebuah restoren di Duyong/Alai Melaka. Didalam menu memang jarang dapat mencuba makanan seperti ini yang menggunakan gabungan gula melaka dan air asam. Kuah dari gabungan keduanya memang unik dan sesuai dikombinasikan dengan ikan kerapu. Apa yang penting adalah penulis blog dapat resepi penyediaan makanan hebat ini untuk dikongsi pembaca blog. Antara bahan yang digunakan adalah ekor ikan kerapu, tepung goreng serbaguna, 1 sudu besar pes asam jawa, 1 ketul mini gula melaka (ditumbuk hancur), 1 mangkuk kecil sos ikan, 1 biji limau nipis (jus), 1 biji bawang merah (hiris), 5 tangkai lada kecil (potong kecil), 1 biji tomato (potong dadu), Daun ketumbar (diracik) dan Bawang putih cincang. Bagi menyediakan bahan yang dicampurkan dengan air panas untuk dijadikan kuah dimana ddimasukkan daun ketumbar ke dalam kuah untuk rasa yang lengkap. Cara memasak akan dimulakan dengan menghasilkan kuah dahulu. Campurkan air panas, asam jawa, gula melaka, sos ikan, jus limau nipis, hirisan bawang, lada, tomato dan boleh masukkan bawang putih goreng untuk menambahkan rasa. Gaulkan semuanya dan tambah sedikit gula dan garam. Jangan lupa racikkan daun ketumbar ke dalam kuah untuk rasa yang lebih lengkap. Selepas itu, kelar bahagian badan ikan dan gaulkan dengan tepung serbaguna. Goreng ikan dengan minyak yang panas sehingga warna keemasan. Angkat ikan dan toskan minyak. Akhir sekali tuangkan campuran kuah tadi ke atas ikan dan ia sudah sedia untuk dihidangkan. Semga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
WARNA COKLAT...MANIS RASA...
ADA YANG PEROI... ADA KERIA...
MASAK IKAN... MEMANG ENAKNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(26 Ramadan 1442H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.